15 April 2019

UNITED PERLUKAN `ANJING GILA' JIKA MAHU KALAHKAN BARCA




Manchester United akan berdepan ujian getir di Nou Camp dalam misi mereka memadam defisit satu gol pada aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona awal pagi Rabu ini. Ada yang mengatakan bahawa misi di Catalan nanti bakal menjadi misi mustahil buat barisan Ole Gunnar Solskjaer, jadi untuk melaksanakan misi mustahil ini Solskjaer perlukan kesebelasan terbaik jika United mahu mengulangi pencapaian ketika mereka melakukan comeback saat menyingkirkan Paris St Germain di Paris 7 Mac lalu.

Jika saya dipaksa memilih satu nama yang tidak boleh tercicir dari kesebelasan utama yang bakal diturunkan di Nou Camp nanti, saya akan meletakkan nama Scott McTominay sebagai pilihan. McTominay antara pemain paling menyerlah dalam kesebelasan United pada aksi pusingan pertama menentang Barca Khamis lalu, terutama menerusi kombinasi beliau bersama Fred yang membentuk double pivot  di bahagian tengah. Sangat mengagumkan apabila melihat seorang pemain yang baru berusia 22 tahun tampil tanpa rasa takut ketika berdepan perlawanan besar dan kesebelasan unggul seperti Barca.

Dewasa Berbanding Usia

United tewas dalam aksi pertama yang dilangsungkan di Old Trafford itu, tetapi mungkin satu-satunya perkara yang boleh membuatkan Solskjaer tersenyum selepas tamat perlawanan ialah melihat prestasi terpuji yang dipamerkan McTominay sepanjang 90 minit aksinya di atas padang. Penampilan McTominay sepanjang perlawanan langsung tidak menggambarkan bahawa beliau baru berusia 22 tahun terutama menerusi kerja keras dan energy yang ditunjukkan beliau dalam permainannya.

Sebelum aksi pertama itu berlangsung, ramai pihak khuatir dengan kemampuan United menghentikan pergerakan Lionel Messi tambahan pula benteng pertahanan antara sektor yang sering diperdebatkan sebagai titik kelemahan mereka musim ini. Kelicikan La Pulga sering menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng pertahanan lawan, tetapi di Old Trafford tempohari Messi tidak bermain sepertimana biasa.

Selain pelanggaran keras yang dilakukan Chris Smalling ke atasnya, satu-satunya momen yang ditinggalkan Messi selepas tamat perlawanan pusingan pertama itu ialah penglibatan beliau hingga terhasilnya gol tunggal perlawanan menerusi jaringan sendiri Luke Shaw. Kegagalan Messi berfungsi sepertimana biasa sebenarnya turut dibantu penampilan terpuji McTominay yang sentiasa bersedia menyekat pergerakan kapten Barca itu setiap kali bola berada dikakinya.

“Scott McTominay fantastis. Dia masih muda tetapi setiap kali dia bermain untuk kami dia sentiasa meningkat. Dia atlet yang luar biasa, sentiasa memenangi pertarungan-pertarungan di atas padang dan memiliki sepasang kaki yang pantas. Kehadirannya membuatkan kami kuat di bahagian tengah”, kata Solskjaer selepas tamat perlawanan. Menurut catatan Squawka, McTominay sukses melakukan 100% tackle bersih dan menang dalam setiap pertarungan bola tinggi, manakala peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai 80%.

United Perlukan `Anjing Gila’

Penampilan terpuji yang dipamerkan McTominay turut mendapat perhatian istimewa dari Jose Mourinho. Menurut Mourinho, McTominay adalah penyebab mengapa Barca gagal mempamerkan permainan terbaik mereka pada aksi pertama tempohari. Dipetik dari Football Espana, Mourinho berkata, “Barcelona tidak menjadi seperti Barcelona. Saya fikir pemain yang bertanggungjawab melakukannya ialah Scott McTominay. Di bahagian tengah dia seperti `anjing gila’, tetapi dalam konteks yang positif. Dia tiada sebarang rasa takut dan sentiasa memberikan tekanan-tekanan yang sangat keras kepada mana-mana pemain lawan”.

Pentas Liga Juara-Juara bukanlah saingan yang asing buat McTominay. Musim lalu dalam aksi pusingan pertama 16 pasukan, Mourinho menurunkan McTominay dalam kesebelasan utamanya ketika berdepan Sevilla di gelanggang lawan. Meskipun perlawanan berkesudahan seri 0-0, United bermain di bawah par dalam perlawanan itu. Mereka bukan sahaja kalah dalam penguasaan bola malah cuma mampu melepaskan 6 percubaan ke arah gawang lawan (berbanding 25 oleh Sevilla). Bagaimanapun selepas tamat perlawanan, Mourinho memeluk seorang wartawan yang bertanyakan tentang prestasi McTominay kepada beliau dalam sidang media.

“Saya fikir memang wajar anda bertanyakan tentang prestasinya. Dia pemain yang fantastis dan dia bermain dengan baik dalam perlawanan ini. Dia memberikan masalah kepada Ever Banega sepanjang perlawanan. Dia selesa ketika bola berada di kakinya, manakala corak permainanya pula sangat simple”, kata Mourinho. Jika dilihat kepada statistik McTominay dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan itu, penampilan beliau bukanlah terlalu luar biasa. Lalu apa yang menyebabkan Mourinho begitu teruja bila bercakap tentang pemain kelahiran Lancaster berusia 22 tahun ini?

Jawapannya ialah kerana McTominay sangat berdisiplin dalam melaksanakan taktikal dan arahan yang dikeluarkan Mourinho. Ketika berdepan Sevilla, Mourinho menggunakan trio Nemanja Matic, Ander Herrera dan McTominay di bahagian tengah manakala Paul Pogba bermula dari bangku simpanan. McTominay tidak memiliki teknik permainan sebagus Pogba, jadi sudah tentu keputusan Mourinho meletakkan nama pemain muda ini dalam senarai kesebelasan utamanya di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan bukanlah untuk menggantikan peranan Pogba.

Mourinho memang ada tujuan berbeza kerana hal ini boleh anda lihat dari catatan defensif yang dilakukan McTominay. Walaupun gagal melakukan sebarang tackle bersih, McTominay berhasilkan melakukan satu intercept dan tiga clearance sepanjang perlawanan, manakala postur tubuhnya yang tinggi digunakan beliau untuk memenangi tiga perebutan bola tinggi. Catatan ini bukanlah catatan yang impresif tetapi point utama Mourinho ketika itu ialah beliau mahu meminimakan gerakan-gerakan ofensif dari Ever Banega atau Steven N’Zonzi menerusi kehadiran McTominay di bahagian tengah.

Jangkaan Di Nou Camp

Jika musim lalu di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan, Mourinho menggunakan McTominay bagi membayangi setiap pergerakan Ever Banega di bahagian tengah, perkara yang sama juga akan dilakukan Solskjaer saat berdepan Barca di Nou Camp nanti. Di Old Trafford Khamis lalu, McTominay sudah melaksanakan plan taktikal Solskjaer dengan berkesan menerusi disiplin permainan tinggi yang dipamerkan pemain muda ini ketika beliau membayangi setiap pergerakan yang cuba dilakukan Lionel Messi.

Ketika United berdepan `misi mustahil’ untuk melepasi halangan Barca, di bahu McTominay juga kita berharap agar beliau mampu meneutralkan magis Messi. Sama ada berjaya atau tidak United melepasi halangan Barca akan hanya kita ketahui selepas tamat aksi di Nou Camp nanti. Tetapi satu perkara yang pasti ialah para Stretford Enders bakal menyaksikan prospek jangka panjang di bahagian tengah United menerusi kualiti yang ada dalam diri McTominay, anak muda yang tiada rasa gentar biarpun terpaksa berdepan dengan pemain sehebat Lionel Messi...Glory Glory Manchester United!!! -  Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan