09 April 2019

BARCA...NOU CAMP DAN TUAH YANG PERNAH MENYEBELAHI UNITED




Awal pagi Khamis ini, Manchester United bakal berdepan satu lagi misi yang dianggap mustahil dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini apabila bakal berdepan Barcelona dalam aksi pertama peringkat suku akhir saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Barcelona adalah antara kesebelasan terbaik di Eropah ketika ini, jadi tidak banyak harapan yang mampu kita berikan kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk melakar sebarang kejutan tambahan pula selepas menyaksikan prestasi mereka dalam empat perlawanan terakhir.

Selepas melakar kebangkitan di Parc des Princes ketika menyingkirkan Paris St Germain di pusingan kalah mati 16 pasukan, United tewas tiga dari empat aksi terakhir mereka di pentas domestik. Mengambilkira daripada prestasi terkini yang dipamerkan barisan kendalian Solskjaer, jangan berkecil hati sekiranya ramai pihak meramalkan bahawa Barca bakal diberikan laluan yang mudah untuk mara ke peringkat separuh akhir. Berbanding Barca yang hampir serba lengkap, United pula bagi saya masih belum menemui keseimbangan meskipun prestasi mereka jauh meningkat selepas kedatangan Solskjaer Disember tahun lalu.

Solskjaer Yang Kekal Optimis

Ketika ramai pihak meragui kemampuan United untuk mara lebih jauh dalam kempen Eropah mereka kali ini, satu-satunya individu yang kekal positif apabila berbicara tentang peluang barisan pemainnya melepasi halangan Barca ialah Ole Gunnar Solskjaer. Bagi Solskjaer, jika United mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara, skuadnya perlu mengatasi halangan kesebelasan terbaik Eropah dan itulah yang perlu mereka lakukan ketika berdepan Barca nanti. Bagaimanapun dalam masa yang sama perlu diakui bahawa Barca bukanlah lawan yang mudah dan mereka sangat berpengalaman terutama ketika berada dalam peringkat seperti ini

Tersingkir dari saingan Piala FA dan tanpa sebarang aksi domestik yang perlu dihadapi barisan pemainnya minggu lalu, Solskjaer memiliki tempoh rehat selama lapan hari untuk mempersiapkan kesebelasan terbaiknya menjelang kunjungan Barca ke Old Trafford. Hujung minggu lalu, kelibat Solskjaer dikesan berada di Nou Camp menyaksikan aksi Barca ketika mereka menewaskan Atletico Madrid dalam saingan La Liga. Saya berharap ada input berguna yang diperolehi Solskjaer sepanjang beliau memerhati corak permainan, kelebihan dan kelemahan barisan bimbingan Ernesto Valverde itu di Nou Camp tempohari.

Misi Menghentikan Messi

Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa Lionel Messi merupakan pemain terbaik dunia meskipun sentiasa ada perdebatan yang membandingkan kemampuan beliau dengan Cristiano Ronaldo. Secara peribadi saya bukanlah peminat Messi mahupun Ronaldo kerana sebagai penyokong United saya lebih gemar bercakap tentang David De Gea, Paul Pogba, Marcus Rashford, Victor Lindelof, Anthony Martial atau Ander Herrera. Bagaimanapun itu bukan bermakna saya tidak mengagumi bakat yang dimiliki Messi mahupun Ronaldo kerana dua pemain ini adalah yang terbaik dari generasi mereka.

Messi adalah kekuatan utama Barca ketika mereka melancarkan gerakan ke kubu lawan. Messi bagi saya adalah `ahli silap mata kecil’ yang mampu memberikan perbezaan kepada Blaugrana berbanding lawan-lawan mereka. Dua aksi terakhir kompetitif United ketika berdepan Barca berakhir dengan kekalahan dan dalam dua aksi tersebut juga nama Messi ada dalam senarai penjaring mereka. Pada final edisi 2009 dan 2011, Messi berjaya menembusi gawang United sebanyak dua kali, jadi tidak hairanlah mengapa kali ini fokus benteng pertahanan United sekali lagi akan tertumpu kepada beliau.

Ketika barisan pertahanan United yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand gagal menghentikan pergerakan Messi, saya tertanya-tanya apa yang mampu ditawarkan Victor Lindelof atau Chris Smalling kali ini? Barca bukan berkisar tentang Messi sahaja tetapi mereka juga memiliki pemain-pemain lain seperti Luis Suarez dan Ousmane Dembele yang mampu memberikan ancaman. Jadi untuk memenangi pertarungan, United perlu mengeluarkan kemampuan terbaik mereka di semua posisi selain tidak hilang konsentrasi sepanjang perlawanan.

Barca Bukan Lawan Asing

Untuk rekod, United dan Barca sudah bertemu sesama sendiri sebanyak 11 kali, sama ada dalam saingan Liga Juara-Juara, Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) atau dalam perlawanan-perlawanan pra musim. Dari jumlah tersebut, United tewas kepada Barca sebanyak empat kali di mana dua kekalahan mereka (dalam perlawanan kompetitif) berlaku pada final Liga Juara-Juara edisi 2009 dan 2011.

Pada 2009 dan 2011, Barca merupakan kesebelasan paling mengasyikkan di Eropah menerusi pendekatan corak permainan tiki taka yang diterapkan Pep Guardiola ketika itu. Bagaimanapun Barca kini ditangani Ernesto Valverde, jadi sudah tentu pendekatan bolasepak mereka di atas padang juga sudah berubah. Barca ketika ini mungkin tidak sehebat ketika mereka ditangani Guardiola tetapi hal tersebut tetap tidak mengurangkan status mereka sebagai pasukan pilihan menjelang aksi pertama di Old Trafford nanti.

Fakta Sejarah Silam

Bukan mudah menewaskan Barcelona yang sangat konsisten musim ini, tetapi jika United berjaya melepasi halangan gergasi Catalan itu dalam cabaran peringkat suku akhir, mereka sebenarnya sangat berpeluang menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini. United menyempurnakan dua dari tiga peluang mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas berdepan Barca sama ada di peringkat kumpulan mahupun pusingan kalah mati.

Momen pertama berlaku pada musim 1998-99, ketika itu United dan Barca diletakkan dalam kumpulan yang sama (Kumpulan D). Dalam aksi timbal balik peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri (3-3). Di akhir saingan Kumpulan D, Bayern Munich dan United layak ke peringkat suku akhir selepas masing-masing muncul juara dan naib juara peringkat kumpulan, manakala Barca sekadar berada di posisi ketiga.

Akhirnya di penghujung saingan, United muncul sebagai juara selepas mereka melakukan kebangkitan hebat di Nou Camp dalam aksi final menentang Bayern. Momen kedua pula berlaku pada musim 2007-08, di mana kali ini United dan Barca bertembung di peringkat separuh akhir. Aksi pertama yang berlangsung di Nou Camp berakhir dengan keputusan seri (0-0), tetapi gol tunggal jaringan Paul Scholes di Old Trafford pada aksi kedua kemudiannya menghantar United ke pentas final.

Di Stadium Luzhniki, United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab selepas mereka menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti. Adakah kali ini nasib serupa bakal dilalui United jika mereka berjaya melepasi halangan Barca? United di bawah kendalian Solskjaer kesebelasan yang penuh kejutan. Mereka pernah melakukannya di kota Paris saat menyingkirkan Paris St Germain 6 Mac lalu, jadi bukan mustahil untuk mereka melakukan hal yang sama ke atas pasukan berstatus elit seperti Barca.

Ujian Terbesar

Barca bakal menjadi ujian terbesar buat Solskjaer selaku pengendali apatah lagi beliau sudah diberikan kontrak tetap yang menyaksikan legenda United ini akan berada di Old Trafford hingga 2021. Berdepan skuad serba lengkap seperti Barca bukanlah satu tugas mudah untuk United selain realiti bahawa mereka juga tidak beraksi dengan begitu baik dalam beberapa perlawanan terakhir berbanding gergasi Catalan itu.

Tugas yang perlu dilakukan Solskjaer sekarang ialah mempersiapkan barisan terbaiknya untuk diturunkan pada aksi pertama awal pagi Khamis ini. Meskipun diunggulkan sebagai pasukan pilihan, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk United menewaskan pemenang lima kali trofi Liga Juara-Juara itu. Paling penting gawang United tidak dibolosi pada aksi pertama sambil berharap Nou Camp gelanggang yang sentiasa bertuah untuk barisan The Red Devils ketika mereka beraksi di sana 17 April nanti...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan