11 April 2019

MISI SUKAR TETAPI BUKAN MUSTAHIL DI NOU CAMP



Gol sendiri Luke Shaw diminit ke-12 akhirnya memberikan Barcelona kelebihan satu gol untuk mereka bawa pulang menjelang aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara yang bakal berlangsung di Nou Camp minggu hadapan. Meskipun tewas, saya secara peribadi menganggap aksi yang dipamerkan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer sepanjang tempoh 90 minit permainan jauh lebih baik berbanding ketika mereka tewas 0-2 kepada Paris St Germain 13 Februari lalu.

Saya tiada masalah dengan statistik perlawanan yang menunjukkan bahawa tiada satu pun shots on target mampu dilakukan barisan hadapan United bagi menguji Marc Ander ter-Stegen, kerana saya lebih gemar melihat dari sudut bagaimana kesebelasan yang diturunkan Solskjaer menyusun gerakan dan cuba mencipta peluang sepanjang permainan. Barca mungkin lega dengan kemenangan 1-0 yang mereka capai, tetapi dalam masa sama juga mereka sedar bahawa `bahaya’ masih menanti mereka pada aksi kedua di Nou Camp nanti.

Kredit Untuk McTominay dan Fred

Saya memuji penampilan Gerard Pique yang begitu tenang mengemudi benteng pertahanan Barca tetapi di pihak United saya sangat mengagumi prestasi yang dipamerkan Scott McTominay dan Fred di bahagian tengah. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa McTominay dan Fred merupakan pemain paling menonjol dalam kem United awal pagi tadi. Dua pemain yang digunakan Solskjaer sebagai pelindung Paul Pogba ini melaksanakan tugas mereka dengan sangat cemerlang terutamanya ketika mematahkan setiap gerakan-gerakan serang balas yang cuba dilakukan lawan.

Sepanjang perlawanan McTominay dan Fred mencatatkan tiga tackle bersih, dua intercept, satu clearance dan memenangi empat pertarungan bola tinggi. Dalam situasi offensive pula Fred muncul pemain United paling banyak melakukan sentuhan bola (90 sentuhan). Dari jumlah tersebut beliau melepaskan 74 hantaran tepat dimana peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 86%. Dalam hal melakukan dribble pula, McTominay lebih menonjol apabila pemain muda itu berjaya melakukan dua dribble manakala gerakan-gerakan yang dilakukannya menyebabkan Sergio Busquets beberapa kali terpaksa melakukan pelanggaran.

Smalling Yang `Melukakan’ Messi

Setiap kali kelab-kelab dari Liga Perdana berdepan Barca dalam saingan di pentas Eropah, nama Lionel Messi pasti menjadi sorotan media. Semuanya gara-gara 22 gol yang dihasilkan La Pulga dari 30 aksi Barca ketika mereka berdepan wakil dari Inggeris. United sendiri pernah merasai bagaimana pahitnya saat `Si Penyihir Kecil’ itu menembusi gawang mereka dalam dua aksi final Liga Juara-Juara pada edisi 2009 dan 2011.

Bagaimanapun dua gol yang dijaringkan Messi ke gawang United dalam dua aksi final Liga Juara-Juara itu berlaku di gelanggang neutral. Satu dihasilkan beliau di Stadium Olimpik Rome dan satu gol lagi dijaringkannya di Stadium Wembley. Dua lagi pertembungan membabitkan United dan Barca pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2007-08 menyaksikan Messi gagal menjaringkan sebarang gol.

Awal pagi tadi, Old Trafford nampaknya masih lagi `suci’ dari dinodai Messi, semuanya dibantu oleh prestasi terpuji yang dipamerkan Chris Smalling `dijantung’ pertahanan United. Jika nama Messi sering menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana pertahanan lawan, Smalling pula mungkin boleh dikecualikan. Sepanjang tempoh 90 minit, Smalling membuktikan bahawa kata-katanya sebelum perlawanan bukanlah cakap-cakap kosong.

“Aksi menentang Messi merupakan pertembungan yang saya nanti-nantikan”, kata Smalling semasa sidang media pra perlawanan. Solskjaer memang tidak memberikan arahan secara khusus kepada mana-mana pemainnya agar `memberikan layanan istimewa’ kepada Messi, tetapi selaku pemain pertahanan, Smalling sentiasa memastikan dirinya berada pada waktu dan posisi yang tepat bagi menghentikan setiap gerakan yang cuba dilakukan kapten Barca itu.

Insiden pertembungan yang membabitkan dirinya dengan Messi diminit ke-28 hingga mengakibatkan kapten Barca itu mengalami kecederaan mungkin interpretasi dari kenyataan Smalling sebelum perlawanan tentang keterujaannya untuk berdepan Messi. Meskipun ada yang mengecam rempuhan kerasnya ke atas Messi, secara keseluruhan saya melihat Smalling sudah melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam mengawal benteng pertahanan United sepanjang perlawanan.

Menanti Kebangkitan Di Nou Camp

Jika bercakap tentang soal melakukan comeback, United antara kelab yang sangat sinonim dengan perkataan tersebut. Meskipun barisan pemainnya tewas 0-1 pada aksi pertama di Old Trafford awal pagi tadi, Solskjaer tetap optimis bahawa United sudah bersiap sedia melakukan kebangkitan di Nou Camp minggu hadapan. Pengalaman manis ketika menyingkirkan Paris St Germain di Paris Februari lalu bakal dijadikan suntikan motivasi buat barisan United menjelang aksi kedua nanti.

Meskipun sedar bukan tugas mudah untuk barisan pemainnya melakar satu lagi kejutan terutamanya ketika berdepan lawan sehebat Barca, Solskjaer optimis bahawa United mampu menjaringkan gol di Nou Camp.  “Di Nou Camp nanti anda perlu bermain baik meskipun tidak menguasai bola. Kami akan memperbaiki beberapa aspek dan kemudiannya pergi ke sana dengan fokus utama iaitu menjaringkan gol”, kata Solskjaer dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Jalan Berliku Buat United

Solskjaer menjanjikan kebangkitan pada perlawanan kedua di Nou Camp minggu hadapan tetapi untuk melakukannya bukanlah satu tugas yang mudah. Solskjaer mengatakan fokus di Nou Camp nanti ialah menjaringkan gol tetapi untuk melakukannya beliau harus memperbaiki ketajaman penyudah barisan penyerangnya. Di sebalik penguasaan bola yang dipamerkan Barca sepanjang aksi awal pagi tadi, United pula melepaskan 10 percubaan ke arah gawang lawan namun tiada satupun tepat ke sasaran.

Jika mahu menamatkan perjuangan Barca di Nou Camp nanti, United perlu memperbaiki aspek kreativiti ketika melakukan serangan, kerana sekiranya kelemahan ini tidak diperbaiki sukar untuk membayangkan bahawa Romelu Lukaku, Marcus Rashford atau Anthony Martial mampu meletakkan nama mereka sebagai penjaring pada aksi kedua nanti. Jangan lupakan fakta bahawa Barca sangat kebal ketika bermain di gelanggang sendiri kerana sejak kekalahan (3-4) kepada Real Betis November tahun lalu, gawang Marc Ander ter-Stegen cuma dibolosi 9 kali dari 15 aksi mereka di Nou Camp.

Motivasi Tambahan

Di pentas domestik tiada sebarang kejuaraan yang mampu digapai United selepas mereka terkeluar dari persaingan merebut kejuaraan Piala Liga, Piala FA dan Liga Perdana. Misi utama mereka dalam saingan liga ialah memastikan salah satu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan berada dalam genggaman meskipun terpaksa berdepan cabaran sengit dari Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Chelsea.

Kini satu-satunya peluang yang tinggal untuk barisan Solskjaer menamatkan musim ini dengan satu kejuaraan ialah mara ke Wanda Metropolitano  dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana pada 1 Jun nanti. Trofi Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya kejuaraan yang realistik untuk United menangi, jadi saya berharap ia juga bakal menjadi motivasi tambahan kepada kesebelasan yang bakal diturunkan Solskjaer di Nou Camp dalam misi mereka melakar satu lagi kejutan.

Musim ini United pernah menakluk Juventus dan kemudiannya Paris St Germain di gelanggang lawan, jadi tiada salahnya jika kita memasang impian mahu melihat armada Solskjaer menakluk Nou Camp pula. Dibantu dengan sedikit tuah serta fakta bahawa Barca juga tidak pernah berjaya melepasi peringkat suku akhir dalam tempoh tiga musim terakhir, kita mungkin bakal melihat Nou Camp menghadirkan kegembiraan buat United untuk kali kedua dalam tempoh 20 tahun. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan