18 Oktober 2019

SEMOGA `KESEMPURNAAN' YANG DIINGINKAN SOLSKJAER TIDAK BERTUKAR TRAGEDI



Selepas berehat selama seminggu bagi memberikan laluan kepada perlawanan antarabangsa, aksi Liga Perdana Inggeris akan disambung semula minggu ini. Sudah tentu, pertembungan North West Derby membabitkan Manchester United dan Liverpool bakal menjadi perlawanan tumpuan. Tatkala United gagal menang dalam tiga perlawanan terakhir mereka di semua peringkat kejohanan, Ole Gunnar Solskjaer pula melabelkan aksi North West Derby ke-178 ini bakal menjadi `perlawanan yang sempurna’ untuk barisan pemainnya melakukan kebangkitan selepas terperosok di tangga ke-12 liga.

Menyaksikan jurang prestasi terkini membabitkan kedua-dua musuh abadi ini, sangat sukar sebenarnya untuk membayangkan bahawa ini adalah `perlawanan yang sempurna’ untuk United, tambahan pula Solskjaer bakal kehilangan khidmat Paul Pogba dan David De Gea dalam kesebelasan utama. Dengan prestasi terkini yang semakin menurun serta berdepan krisis kecederaan membabitkan Pogba dan De Gea, ini sebenarnya bukanlah masa yang tepat untuk United berdepan Liverpool yang setakat ini masih mengekalkan rekod bersih mereka selepas mengharungi lapan perlawanan liga.

Elemen Yang Perlu Diperbaiki

Sejak kejayaan menewaskan Chelsea (4-0) pada perlawanan pembukaan liga, United hanya menjaringkan lima gol dalam enam aksi mereka selepas itu. Kecederaan Anthony Martial serta ketumpulan penyudah Marcus Rashford antara penyebab utama mengapa United begitu bergelut dalam usaha mereka menyudahkan peluang ketika berada di hadapan gawang lawan. Selain ketumpulan jentera serangan, elemen lain yang perlu segera diperbaiki Solskjaer ialah kelemahan skuadnya dalam memanfaatkan situasi bola mati.

Kecuali sepakan penalti, United setakat ini nampaknya masih gagal memanfaatkan peluang jaringan gol ketika mereka menerima sepakan sudut ataupun percuma. Kekalahan kepada Newcastle United pada 6 Oktober lalu juga menyaksikan United gagal menjaringkan sebarang gol dari sepakan sudut dan percuma untuk tempoh selama 221 hari. Untuk rekod, kali terakhir United menjaringkan gol menerusi sepakan sudut ialah pada 27 Februari lalu, iaitu ketika mereka berdepan Crystal Palace di Selhurst Park menerusi jaringan Romelu Lukaku. 

Musim lalu, statistik menunjukkan bahawa pemain-pemain United dikasari sebanyak 100 kali di kawasan final third lawan. Jumlah ini meletakkan mereka selaku pasukan ketiga di Liga Perdana selepas Chelsea (112) dan Everton (106). Musim ini pula selepas mengharungi lapan perlawanan liga, 28 kekasaran sudah dilakukan lawan di kawasan final third mereka terhadap pemain-pemain United. Statistik ini meletakkan United ditangga teratas, manakala 44 sepakan sudut yang diterima pula meletakkan mereka di tangga kelapan selaku kesebelasan paling banyak mendapatkan sepakan sudut.

Agak pelik sebenarnya bila memikirkan situasi yang dialami United ketika ini terutamanya selepas mereka melabur besar demi mendapatkan khidmat Harry Maguire semasa bursa perpindahan pemain musim panas lalu. Saya yakin pembelian yang dilakukan kelab terhadap Maguire bukan sekadar kerana kemampuan defensif yang dimiliki beliau atau kerana daya kepimpinannya di atas padang, tetapi turut mengambilkira kebolehan pertahanan antarabangsa England ini memanfaatkan peluang dalam situasi bola mati.

Musim lalu, Maguire menjaringkan tiga gol untuk Leicester City, di mana dua daripadanya adalah berpunca dari situasi bola mati. Dalam kempen Piala Dunia 2018 pula, beliau berjaya menyumbangkan satu gol untuk England menerusi tandukan yang berpunca dari sepakan sudut. Bagaimanapun di Old Trafford, segala-galanya masih belum menyebelahi Maguire biarpun beliau menerima peluang terbaik untuk menjaringkan gol dalam situasi bola mati ketika berdepan Arsenal dan Newcastle United.

Jika mahu melakukan sesuatu ketika berdepan Liverpool nanti, elemen penyudah dalam menyempurnakan peluang dalam situasi bola mati perlu segera diperbaiki Solskjaer tatkala beliau berdepan isu ketajaman di barisan hadapan skuadnya. Dengan adanya pemain-pemain yang memiliki kekuatan dalam melakukan duel di udara seperti Maguire, Scott McTominay dan Nemanja Matic, United sepatutnya mampu memberikan ancaman lebih serius kepada pertahanan lawan ketika mereka dihadiahkan sepakan percuma ataupun sepakan sudut.

Strategi Ketika Bertahan

Liverpool muncul selaku kesebelasan kedua paling banyak menjaringkan gol setakat ini selepas Manchester City. Sudah tentu trio Mo Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino akan sekali lagi memainkan peranan penting dalam misi mereka merobek gawang lawan. Lapan gol yang dilepaskan David De Gea pula sebenarnya bukanlah statistik yang terlalu buruk jika dibandingkan dengan kesebelasan yang berada di posisi lebih atas seperti Arsenal, Chelsea, Manchester City atau Tottenham Hotspurs.

Bagaimanapun ancamana sebenar bukan hanya datang dari trio Salah-Mane-Firmino, kerana Liverpool juga memiliki kekuatan ketika mereka melancarkan gerakan dari sisi kiri dan kanan menerusi dua full back mereka iaitu Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson. Dilema sebenarnya bakal dihadapi Solskjaer terutama dalam menentukan pola permainan United ketika mereka bertahan. Jika beliau memilih untuk mengarahkan benteng pertahanannya bertahan lebih kedalam, itu akan membuka ruang buat dua bek sisi Liverpool bergerak lebih bebas.

Penting untuk Solskjaer memikirkan garis pertahanan mana yang sesuai untuk beliau gunakan ketika berdepan Liverpool nanti. Sama ada beliau mahu mengarahkan barisan belakangnya bertahan lebih ke dalam atau tetap `melayan’ Liverpool yang kebiasaannya cenderung melancarkan serangan dari sebelah sisi. Jika Solskjaer mahukan benteng pertahanannya bermain dengan `terbuka’, Aaron Wan-Bissaka serta Ashley Young perlu berada pada tahap terbaik untuk berhadapan dengan Alexander-Arnold dan Robertson di sisi kiri dan kanan.

Salah, Mane dan Firmino

Aksi menentang Liverpool ini bukan sahaja penting kepada survival United untuk cuba memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, tetapi aksi ini juga bakal menjadi ujian paling getir buat Harry Maguire di benteng pertahanan. Selaku pemain pertahanan termahal dunia, fokus pastinya akan terarah kepada sosok beliau selaku pengemudi di garis pertahanan United dalam menghadapi gempuran dari trio Salah, Mane dan Firmino.

Bukan tugas mudah buat mana-mana benteng pertahanan di Liga Perdana menangani ancaman yang datang dari trio ini kerana ketiga-tiganya memiliki gaya permainan berbeza. Firmino seperti biasa akan digunakan Klopp untuk memberikan kerosakan kepada benteng pertahanan lawan dari bahagian tengah. Jadi sangat menarik untuk melihat siapakah antara defensive midfielder United yang bakal ditugaskan untuk merantai pemain Brazil ini agar benteng lebih fokus kepada setiap gerakan yang cuba dilakukan oleh Salah dan Mane.

Jika Solskjaer mahu meneutralkan Salah, beliau perlu mengarahkan pemain-pemainnya untuk melakukan marking kepada Mane dan Firmino, kerana dua pemain inilah sebenarnya yang berperanan besar sebagai penggerak kepada serangan-serangan Liverpool. Ketika Firmino atau Mane menguasai bola terutamanya di kawasan final third, penting untuk mana-mana pemain yang ditugaskan membayangi dua pemain ini menyekat mereka dari melepaskan percubaan atau melakukan hantaran-hantaran ke arah Salah.

Gerakan `Counter Attack’

Sukar untuk membayangkan di Old Trafford, United bermain secara bertahan ketika berdepan Liverpool. Tetapi dalam keadaan sekarang tidak banyak yang mampu dilakukan Solskjaer jika beliau mahu menamatkan rekod bersih barisan Jurgen Klopp dalam saingan liga setakat ini. Bertahan mungkin antara opsyen jika Solskjaer mahu memastikan United mampu mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan ini. Tetapi persoalan paling besar ialah selama mana benteng pertahanan mampu menyerap asakan kesebelasan yang memiliki trio penggempur digeruni seperti Salah, Mane dan Firmino jika Solskjaer memilih pendekatan `park the bus’ nanti.

Saya berharap agar United bermain seperti biasa iaitu menjadikan gerakan-gerakan serang balas pantas sebagai tunjang permainan mereka. Dalam masa yang sama Solskjaer juga perlu memastikan barisan tengahnya lebih compact bagi menyaingi Fabinho dan Giorgino Wijnaldum. Dua pemain tengah Liverpool ini saya anggap cukup bagus dalam mengekalkan penguasaan bola selain bijak mengatasi pressing yang cuba dilakukan lawan. Strategi mana yang bakal digunakan Solskjaer sangat menarik untuk kita saksikan, sambil berharap United akan lebih fleksibel ketika bertahan mahupun menyerang terutamanya di sisi kanan dan kiri.

Penutup

Suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa darjat antara dua seteru tradisi ini sudah jauh berbeza. Liverpool datang ke Old Trafford selaku pendahulu takhta liga menerusi rekod bersih lapan kemenangan berturut-turut yang dilakar mereka setakat ini. Manakala United pula terus berdepan isu prestasi selepas mereka cuma mampu mengutip satu mata dari tiga aksi terakhir liga. Tambah memburukkan keadaan, De Gea dan Pogba sudah disahkan tidak akan beraksi dalam North West Derby kali ini manakala lawan pula akan kembali diperkuatkan Alisson Becker dan Joel Matip.

Bagaimanapun melihat kepada rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2014, anda mungkin boleh mengharapkan sesuatu mampu dilakukan barisan kendalian Solskjaer kali ini. Sejak kejayaan Brendan Rodgers mengemudi barisan The Reds menewaskan United (3-0) di Old Trafford dalam saingan liga pada 16 Mac 2014, mereka kemudiannya mengharungi lima aksi terakhir di Theatre of Dreams selepas itu dengan rekod tiga kekalahan dan dua keputusan seri. Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Old Trafford musim lalu pula berakhir dengan keputusan seri (0-0).

Selepas menyaksikan barisan pemainnya tewas di St James Park pada 6 Oktober lalu, Solskjaer cuba menyakinkan dirinya bahawa aksi menentang Liverpool adalah `perlawanan sempurna’ untuk United melakukan kebangkitan. Saya berharap sikap optimisme Solskjaer itu akan diterjemahkan pemain-pemainnya menerusi aksi terpuji di atas padang nanti. Ramai pihak mengatakan bahawa aksi North West Derby kali ini akan menentukan nasib Solskjaer selaku pengendali United, tetapi saya cuma berharap agar `perlawanan sempurna’ itu tidak akan bertukar kepada tragedi buat beliau. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

13 Oktober 2019

`SANG PENAKLUK MARACANA’ YANG PERNAH SINGGAH SEBENTAR DI OLD TRAFFORD



Selasa lalu (8 Oktober 2019), seorang lagi antara bakat hebat dalam arena bolasepak dunia mengumumkan persaraan. Ya....kali ini tiba pula giliran Bastian Schweinsteiger mengucapkan selamat tinggal selepas 18 tahun bertarung di arena rumput hijau. Pengumuman persaraan yang dilakukan Basti ini juga menandakan berakhir sudah era Fußballgott, `jeneral’ yang pernah menakluk Maracana, antara produk terbaik pernah dilahirkan Jerman dan antara yang terbaik ketika era kemuncaknya sebagai pemain.

Sebagai pemain, Basti sudah memenangi hampir semua medal kejuaraan yang ditawarkan. Bersama Bayern Munich, beliau sudah menyapu bersih semua trofi domestik selain medal kejuaraan Liga Juara-Juara. Di Old Trafford beliau ada medal kejuaraan Piala FA dan bersama skuad kebangsaan pula, Basti mengecap kejayaan paling agung dalam kariernya iaitu menjulang kejuaraan Piala Dunia 2014 di tanah Brazil, negara yang penduduknya meletakkan bolasepak sebagai `agama’ kedua terbesar selepas Katholik.

Sebenarnya tiada apa yang perlu diratapi dan disesalkan Basti sebaik beliau mengumumkan persaraannya, kerana seperti yang saya sebutkan tadi, beliau sudah memenangi hampir semua kejuaraan utama ketika eranya sebagai pemain. Siapa sangka, beliau yang pada mulanya meletakkan sukan luncur salji sebagai keutamaan berbanding bolasepak akhirnya muncul antara pemain paling sukses dalam sejarah bolasepak Jerman. Terima kasih atas tawaran yang diberikan Bayern Munich pada 2001, yang akhirnya mengubah haluan karier beliau.

Hidup Baru

Keputusan Basti memperjudikan nasibnya dengan meninggalkan sukan luncur salji dan terjun ke dunia bolasepak akhirnya membuahkan hasil. Meskipun Felix Neureuther yang juga merupakan rakan sepelatih beliau dalam sukan luncur salji berjaya memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia pada 2013, Basti pula muncul idola di Allianz Arena apabila berjaya membantu Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Tanda-tanda kesuksesan Basti dalam karier baharunya sudah mula terlihat ketika beliau berjaya membantu skuad U17 dan U19 Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2001 dan 2002. Pada Julai 2002, Basti dinaikkan pangkat ke skuad simpanan Bayern. Empat bulan kemudian Ottmar Hitzfeld memberikan penampilan pertama buat Basti dalam skuad senior ketika Bayern berdepan RC Lens dalam saingan Liga Juara-Juara pada usia 18 tahun.

Walaupun cuma dimasukkan selaku pemain gantian di penghujung perlawanan, Basti berjaya memikat perhatian Hitzfeld apabila beliau berjaya menyumbangkan assist yang disempurnakan Markus Feulner. Potensi besar yang dimiliki Basti akhirnya menyaksikan beliau menandatangani kontrak profesional bersama Bayern pada November 2002. Sepanjang musim 2001/02, Basti sempat melakukan empat penampilan bersama Bayern dalam saingan Bundesliga.

Serba Boleh Dan Liga Juara-Juara

Basti merupakan pemain serba boleh kerana ketika peringkat awal kariernya bersama Bayern, beliau pernah beraksi sebagai full back, pemain sayap dan juga pemain tengah. Di era Hitzfeld, beliau menggunakan Basti sebagai full back, sebelum Felix Magath pula kemudiannya mengubah posisi beliau ke bahagian sayap. Kehadiran Louis Van Gaal sekali lagi menyaksikan perubahan posisi Basti dan kali ini pengendali Belanda itu meletakkan beliau di bahagian tengah.

Dan sebagai midfielder lah, Basti akhirnya menemui potensi terbaik beliau sebagai pemain yang akhirnya meletakkan namanya selaku tonggak Bayern dan juga skuad kebangsaan Jerman. Ketika beliau meraih kesuksesan di pentas domestik dari 2002 hingga 2010 menerusi lima kejuaraan Bundesliga, lima kejuaraan DFB Pokal, DFB Ligapokal dan DFL Supercup, satu-satunya kejuaraan yang masih belum mampu beliau menangi bersama Bayern ialah trofi Liga Juara-Juara.

Pada 2010, Bayern tewas di pentas final kepada Inter Milan, manakala dua tahun kemudian Basti sekali lagi sekadar berpuas hati dengan status selaku runner up apabila Bayern dikejutkan Chelsea pada aksi final yang dilangsungkan di Allianz Arena. Akhirnya penantian Basti berakhir kerana pada final edisi 2013, Bayern akhirnya berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun selepas mereka menewaskan Borussia Dortmund di Wembley.

Piala Dunia 2014

Ketika tekanan dan penantian untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara berakhir, cabaran lebih besar menanti Basti tatkala Jerman muncul antara pasukan pilihan dalam Kejohanan Piala Dunia 2014. Rombongan yang dibawa Joachim Loew ke Brazil kali ini boleh dianggap barisan paling berbakat yang dimiliki Jerman sejak kejayaan mereka mara ke final Piala Dunia edisi 2002 yang dilangsungkan di Jepun dan Korea Selatan.

Meskipun begitu, tugas Basti bukanlah mudah kerana tiada mana-mana negara dari luar benua Amerika Selatan yang berjaya menjulang Piala Dunia setiap kali kejohanan empat tahun sekali itu dilangsungkan di benua tersebut. Bermula di Uruguay pada 1930 hinggalah Argentina menjadi host pada 1978, empat edisi Piala Dunia yang dilangsungkan di benua Amerika Selatan dimonopoli oleh Uruguay (2 kali), Brazil (sekali) dan Argentina (sekali).

Tambahan pula skuad `serba sempurna’ Brazil yang beraksi di tanah air mereka sendiri adalah halangan paling besar yang perlu dilepasi oleh mana-mana pasukan jika mereka berhasrat mahu mencipta sejarah selaku negara pertama dari luar Amerika Selatan yang menjulang Piala Dunia di benua tersebut. Pada usia 30 tahun ketika itu dan potensi besar yang dimiliki skuad Jerman, ini adalah peluang terakhir Basti untuk mengecap nikmat selaku pemenang medal Piala Dunia.

Di bumi Brazil, Jerman akhirnya berjaya memecahkan mitos dengan muncul negara non Amerika Latin pertama yang berjaya menjulang kejuaraan Piala Dunia di benua Amerika Selatan selepas mereka menewaskan Argentina di final. Lebih manis di peringkat separuh akhir, barisan Die Mannschaft tanpa belas kasihan membantai `skuad serba sempurna’ Brazil menerusi kemenangan besar (7-1) yang dilakar mereka pada malam yang akan sentiasa dikenang sebagai `malam tragedi bolasepak Brazil’.

Pada malam 13 Julai 2014 di Stadium Maracana, Phillip Lahm adalah kapten pasukan tetapi pemimpin sebenar di atas padang yang menjadi inspirasi di sebalik kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia ialah Basti. Hanya lima hari selepas segerombolan lelaki Jerman meranapkan sama sekali ego Brazil menerusi pembantaian yang dilakukan mereka di Belo Horizonte, Basti membuktikan bahawa  Die Mannschaft ketika itu memang sukar dihentikan hatta oleh pemain terbaik dunia seperti Lionel Messi sekalipun.

Peranan besar yang dimainkan Basti turut diakui pengendali Jerman, Joachim Loew. Loew melabelkan Basti sebagai `otak’ di sebalik penampilan cemerlang Jerman sepanjang kejohanan di Brazil. Lebih daripada itu, beliau juga sumber inspirasi bukan sahaja di atas padang, tetapi juga di bilik persalinan Jerman yang ketika itu didominasi oleh pemain-pemain muda. Aksi heroic beliau di pentas final dengan wajah berlumuran darah akan kekal terpahat sebagai antara imej paling ikonik jika mahu berbicara tentang `sang penakluk Maracana’ ini.

Selamat Tinggal Munich

Pada 2015, Basti akhirnya mengambil keputusan menamatkan ikatan selama 14 tahun dengan Bayern Munich. Meninggalkan Bayern adalah antara keputusan paling besar yang pernah beliau lakukan dalam hidupnya. Sama sepertimana ketika beliau mengambil keputusan untuk beralih ke dunia bolasepak meskipun Basti turut memiliki bakat hebat dalam sukan luncur salji ketika zaman remajanya. Menurut Basti, kejayaan membantu Bayern menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2013 adalah sebab utama mengapa beliau memutuskan untuk mencari cabaran baharu.

“Perpindahan saya dari Bayern ke Manchester United adalah keputusan yang tepat. Di Bayern, saya memiliki sasaran untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama mereka. Atas sebab itulah saya bertahan di sana dan tidak pernah cuba untuk bermain di luar Jerman. Kemudian pada 2013, saya mencapai sasaran itu dan selepas memenangi Piala Dunia, saya berkata inilah waktu yang tepat untuk saya pergi”, kata Basti. Meninggalkan Bayern adalah keputusan yang sangat sukar, tetapi Basti mahu membuktikan bahawa beliau juga mampu `hidup’ di luar Jerman.

Tidak Seindah Disangka

Berbanding era penuh gemilang beliau dengan jersi Bayern Munich, Old Trafford pula rupa-rupanya tidaklah seindah yang disangka. Datang sebagai juara dunia, Basti akhirnya terpaksa bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama United meskipun setahun sebelumnya beliau berjaya menakluk Maracana. Beliau cuma tampil 18 perlawanan untuk United dalam saingan liga tetapi menutup musim pertamanya di Old Trafford dengan medal kejuaraan Piala FA.

Isu kecederaan adalah masalah besar yang terpaksa dihadapi Basti bersama United hingga membataskan sumbangannya di atas padang. Lebih malang, kehadiran Jose Mourinho pada 2016 yang menggantikan posisi Van Gaal menyaksikan kelibat Basti tidak lagi dapat kita lihat di atas padang. Kecederaan menjadi alasan utama mengapa Mourinho menyisihkan Basti dari skuad utama. Meskipun dipencilkan Mourinho, Basti menerima hal tersebut dengan cukup terbuka.

Dalam proses pemulihan, beliau juga berlatih secara bersendirian bagi memastikan kecergasannya sebagai pemain sentiasa terjaga sambil berharap ada peluang kedua untuknya diberikan Mourinho. Old Trafford, terutamanya Mourinho benar-benar menguji profesionalisme Basti sebagai pemain. “Saya tidak mahu sentuh apa yang Mourinho katakan terhadap saya. Saya tidak pernah meragui kualiti saya dan apa yang dia (Mourinho) lakukan adalah ujian kepada karakter saya. Saya tetap gembira walaupun terpaksa berlatih sendirian”, kata Basti.

Kesabaran Basti akhirnya terbayar apabila beliau disenaraikan Mourinho dalam kesebelasan utama ketika United berdepan West Ham dalam saingan Piala Liga. Dua bulan selepas aksi menentang West Ham, Basti disenaraikan Mourinho sekali lagi dalam kesebelasan utama ketika United berdepan Wigan Athletic dalam saingan Piala FA. Dalam perlawanan itu, beliau menjaringkan satu gol dan menyumbang satu bantuan gol hingga dinobatkan pemain terbaik perlawanan versi penyokong United.

Haluan Baharu

Old Trafford nyata bukanlah tempat untuk Basti, dan menyedari akan hal tersebut beliau akhirnya memutuskan untuk mencari haluan baharu bagi meneruskan sisa-sisa kariernya. Pada Mac 2017, beliau menerima tawaran Chicago Fire dan bermulalah perjalanan baharu karier beliau di bumi Amerika Syarikat. Berbanding LA Galaxy, DC United atau San Jose Earthquakes, Chicago Fire bukanlah kelab yang memiliki rekod hebat di MLS. Tetapi di sana, Basti kembali dihargai dan menjadi tonggak penting kepada skuad Man in Red itu.

Selama tiga musim berkelana di Soldier Field, Basti melakukan 85 penampilan liga dan menjaringkan lapan gol selain menyumbang sembilan bantuan gol untuk Chicago Fire. Statistik ini sebenarnya boleh dianggap mengagumkan untuk seorang pemain yang sedang melalui fasa akhir karier mereka. Bukan itu sahaja, penampilan cemerlang Basti turut membolehkan beliau disenaraikan dalam skuad MLS All Stars bagi musim 2017 dan 2019. Dan pada 8 Oktober lalu, Basti akhirnya menemui titik nokhtah dalam kariernya dengan Chicago Fire muncul kelab terakhir yang diwakilinya.

Terima Kasih Basti

Jika anda mahu bercakap tentang seorang profesional tulen, Basti adalah antara contoh terbaik. Di akhir karier beliau bersama United, Basti pergi sebagai seorang lelaki sejati. Tiada dendam yang tersimpan di dalam hatinya meskipun perlakuan yang dilakukan Mourinho terhadap dirinya boleh dianggap sesuatu yang kurang wajar. Pada akhirnya Basti menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai United, manakala Mourinho pula mengakui kesilapan yang dilakukannya dengan membiarkan Basti berlatih bersama skuad remaja.

“Dia adalah pemain yang boleh membuatkan saya menyesal. Sebelum dia pergi saya berkata kepadanya, `Saya pernah memperlakukan kamu dengan cara yang kurang baik. Jadi sebelum kamu pergi saya ingin berbaik dengan kamu’. Saya benar-benar menyesal, dan sekarang saya akan merindui seorang lelaki yang baik, profesional dan punya pengaruh besar seperti dia”, kata Mourinho. Fußballgott adalah legenda di Munich, disayangi di Old Trafford dan sangat dihormati di Chicago. Dan untuk segala yang anda berikan selama ini, terima kasih Basti...`Sang Penakluk Maracana’ yang pernah singgah sebentar di Old Trafford. Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

10 Oktober 2019

SEMOGA KEBEBALAN WOODWARD BERJAYA DIKURANGKAN



Sejak kejayaan menewaskan Leicester City 14 September lalu, Manchester United sudah mengharungi tiga perlawanan liga tanpa kemenangan. Tiga perlawanan liga terakhir yang diharungi United berakhir dengan dua kekalahan dan satu keputusan seri. Dalam saingan Piala Liga pula, mereka terpaksa bergelut hingga kepenentuan sepakan penalti sebelum berjaya menewaskan Rochdale, kelab yang beraksi di EFL League Two (atau lebih tepatnya divisyen tiga dalam hierarki bolasepak England). Awal pagi Jumaat lalu, United terikat 0-0 ketika berdepan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa, manakala kekalahan kepada Newcastle United pula menyaksikan mereka sudah mengharungi 11 aksi di gelanggang lawan tanpa sebarang kemenangan.

Prestasi United ketika ini memang sangat, sangat, sangat meresahkan tatkala saingan kompetitif musim 2019/20 sebenarnya masih lagi di fasa awal. Selepas kekalahan di St James Park itu, kedudukan United dalam carta liga juga tergelincir ke tangga ke-12. Sudah tentu selain prestasi barisan pemain yang dijadikan sorotan, kelibat Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali juga tidak terlepas dari kecaman dan kritikan. Di Twitter, #oleout menjadi trending akibat rasa tidak puashati penyokong-penyokong United terhadap prestasi barisan kendalian Solskjaer. Ya sudah tentu bagi mana-mana pengendali pun, mereka adalah orang pertama yang akan dipersalahkan jika skuad kendalian mereka berdepan prestasi buruk dan Solskjaer juga tidak terkecuali.

Krisis Di Era Woodward

Imbas kembali setahun yang lalu, ketika United berdepan Newcastle United dalam saingan liga di Old Trafford. United berjaya menewaskan Newcastle (3-2) dalam aksi pada 7 Oktober 2018 itu, tetapi ketika mereka ketinggalan (0-2) pada separuh masa pertama, seluruh Old Trafford bergema dengan chant berbunyi “Jose’s right, the board is shi*e”. Sokongan yang diterima Mourinho ketika itu tatkala barisan pemainnya berdepan tempoh sukar menunjukkan bahawa masalah United tidak akan selesai dengan hanya membawa masuk pengurus baharu.

Chant itu terus bergema hampir sepanjang perlawanan dan sudah tentu individu yang menjadi sasaran lensa kamera ialah Ed Woodward. Dua bulan selepas itu, Mourinho akhirnya dipecat kerana prestasi skuad kendalian beliau terus menjunam. Saya tidak mahu ambil tahu siapa dalang di sebalik pemecatan Mourinho, tetapi persoalan paling utama mengapa kelab besar seperti United selepas era Sir Alex Ferguson lebih cenderung menjadi bahan jenaka. Atau lebih tepatnya, United sesudah berakhirnya era Fergie dipenuhi banyak drama berbanding prestasi terpuji di atas padang.

Mengapa David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho gagal? Mengapa kepulangan semula Paul Pogba gagal mencetuskan impak berpanjangan sedangkan bekas penyandang pemain termahal dunia itu menampilkan sisi berbeza dalam permainannya ketika bersama skuad kebangsaan Perancis? Mengapa pemain berbakat besar seperti Anthony Martial bergelut untuk membuktikan kemampuan beliau dalam skuad utama? Mengapa pelaburan yang dilakukan terhadap Angel Di Maria, Memphis Depay, Henrikh Mkhitaryan dan Alexis Sanchez menjadi pelaburan yang sia-sia?

Sebagai antara kelab terkaya di dunia, United sebenarnya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pemain-pemain bintang dan hal tersebut dibuktikan mereka menerusi pembelian yang dilakukan ke atas Di Maria, Pogba, Sanchez dan menjadikan Harry Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia. Lebih £600 juta yang dibelanjakan United sejak 2013 tidak menjadikan mereka kesebelasan yang digeruni, malah hanya mengubah wajah The Red Devils kepada kesebelasan yang lesu, tidak konsisten dan tidak lagi ditakuti.

Berbanding ketika era pengurusan David Gill, United di bawah telunjuk Ed Woodward kini lebih dikenali sebagai kelab yang gemar berbelanja besar tanpa memikirkan adakah pemain yang ditandatangani itu sesuai dengan keperluan dan rencana pasukan. Selaku seorang yang memiliki latarbelakang dalam dunia kewangan dan perbankan, kredibiliti Woodward dalam menjadikan United sebagai salah sebuah kelab yang memiliki pendapatan tertinggi dunia memang perlu diakui. Buktinya, musim lalu, United meraih pendapatan £627.1 juta, iaitu peningkatan 6% dari musim sebelumnya.

Selaku bekas akauntan dan `banker’, Woodward mungkin berfikir bahawa segala masalah boleh diselesaikan dengan wang tetapi usaha yang dilakukan beliau setakat ini nampaknya masih belum berhasil. Beliau membayar harga Marouane Fellaini lebih mahal dari nilai kontraknya. Beliau membawa masuk Angel Di Maria dan Memphis Depay, dua pemain `individualistik’ yang sebenarnya tidak cocok dengan falsafah possession football ala Van Gaal. Dan apakah yang merasuk fikiran beliau hingga sanggup menjadikan Pogba pemain termahal dunia?

Jika senarai di atas masih belum cukup, bagaimana pula keputusan Woodward melantik Jose Mourinho selaku pengganti Van Gaal, sedangkan semua orang tahu bahawa falsafah park the bus beliau sangat berlawanan dengan DNA permainan menyerang United. Juga atas penilaian apa hingga menyebabkan beliau berani melabel Diego Godin dan Toby Alderweireld sebagai bek yang tidak cukup bagus untuk United? Dan kesilapan paling fatal dan terkini yang dilakukan Woodward ialah membayar £60 juta kepada Arsenal hanya untuk seorang pemain bernama Alexis Sanchez.

Identiti Yang Kian Hilang

Woodward nampaknya gagal mengekalkan identiti United yang sudah dibina selama bertahun-tahun oleh Sir Alex Ferguson dan David Gill. Lebih menakutkan ketika United bergelut, kelab-kelab seperti Manchester City, Liverpool dan Tottenham Hotspurs semkin mula menjarakkan diri. City contohnya sudah lama mendahului United apabila pada 2012 mereka meletakkan Txiki Begiristain dalam hierarki pengurusan kelab selaku pengarah bolasepak  (Director of Football). Lihat sahaja apa yang berjaya dilakukan Begiristain bersama Pep Guardiola hingga berjaya meletakkan The Citizens sebagai kuasa baharu bolasepak England.

Liverpool pula dalam beberapa musim terakhir berjaya melakukan beberapa pembelian yang sangat sukses. Mo Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino, Alisson Becker, Fabinho, Giorgino Wijnaldum dan Virgil Van Dijk berjaya mengubah wajah Liverpool dari skuad yang sebelumnya sering menjadi bahan jenaka kepada pencabar serius kejuaraan liga. Di Old Trafford pula, United sudah memecat tiga pengurus pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Ketiga-tiganya (Moyes, Van Gaal dan Mourinho) adalah pengurus dengan falsafah bolasepak serta gaya permainan berbeza tetapi tetap gagal mengembalikan semula kegemilangan United.

Pengarah Bolasepak/Teknikal

Menempatkan seorang pengarah bolasepak/teknikal dalam hierarki pengurusan United kini sudah menjadi satu keperluan dalam bolasepak moden. United sepatutnya berasa malu kerana kelab kerdil seperti Brighton & Hove Albion juga sebenarnya sudah melihat jauh ke hadapan apabila mereka meletakkan Dan Ashworth di posisi tersebut. “Pengarah teknikal adalah jawatan yang perlu ada untuk menjaga kepentingan kelab dalam jangka masa pendek dan panjang.  Ada enam elemen tugas yang perlu dilakukan seorang pengarah teknikal iaitu skuad utama, skuad wanita, merekrut pemain, akademi, ilmu perubatan, sukan dan peminjaman pemain”, kata Ashworth.

Ketika kelab-kelab lain sudah mengorak langkah ke arah perubahan, United pula masih menggunakan cara lama. United perlu mendapatkan seorang pengarah bolasepak/teknikal kerana Woodward bukanlah individu yang tepat untuk melaksanakan tugas-tugas yang Ashworth sebutkan terutamanya dalam hal merekrut pemain baharu. Adanya seorang pengarah bolasepak/teknikal akan meringankan tugas pengurus. Kolaborasi antara pengarah bolasepak/teknikal dan pengurus akan menentukan pemain mana sesuai untuk direkrut dan pemain mana pula yang wajar dilepaskan ke pasukan lain.

Gandingan kuat antara pengarah bolasepak/teknikal dan pengurus akan menghasilkan sebuah pasukan yang kuat, bukan sahaja dari segi taktikal tetapi juga falsafah permainan. Manchester City dan Liverpool adalah contoh terbaik hingga menyebabkan United seperti sudah begitu jauh ketinggalan di belakang. “Jika pengurus dibiarkan berseorangan, dia akan menjadi sasaran yang mudah. Semua orang perlukan bantuan dalam bolasepak. Seorang pengarah teknikal itu sangat penting dalam bolasepak moden”, kata Luis Campos yang juga merupakan pengarah sukan kelab Ligue 1, LOSC Lille.

Penutup

Memecat Solskjaer tidak akan menyelesaikan masalah sebenar United. Begitu juga jika mereka melantik mana-mana pengurus baharu bagi menggantikan beliau. Van Gaal dan Mourinho adalah contoh pengurus berprofil tinggi yang gagal di Old Trafford, bukan kerana mereka tidak bagus, tetapi mereka gagal disebabkan sistem pengurusan kelab yang ketinggalan zaman terutamanya dalam melibatkan hal pembelian pemain. Salah satu kerosakan paling besar yang menyumbang kepada kegagalan United ialah kebebalan Woodward sendiri. Beliau mendakwa bahawa kelab masih mampu merekrut pemain yang diperlukan pengurus tanpa perlu adanya seorang pengarah bolasepak/teknikal.

Meskipun dalam tempoh beberapa waktu kebelakangan ini, United digembar-gemburkan bakal mendapatkan khidmat seorang pengarah bolasepak/teknikal, Woodward tetap menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk merekrut pemain baharu tetap berada di tangannya. Selaku penyokong dari jauh, kita hanya mampu merungut memikirkan nasib United ketika ini. Merungut tentang kerja belakang tabir yang dilakukan Woodward hingga merosakkan kelab. Jika rungutan demi rungutan dari kejauhan ini boleh menyebabkan `kebebalan' Woodward berkurangan, janganlah berhenti merungut untuk seorang individu yang pernah dilabel Van Gaal sebagai “tidak tahu apa-apa tentang bolasepak”. Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

05 Oktober 2019

CALL UP UNTUK ZLATAN



Melihat kepada penampilan barisan hadapan Manchester United ketika ini, timbul persoalan sama ada wajarkah Ole Gunnar Solskjaer melakukan call up kepada Zlatan Ibrahimovic bagi membolehkan pemain itu kembali ke Old Trafford dan memperkuatkan semula barisan hadapan The Red Devils? Ketika kontrak Zlatan bersama LA Galaxy akan berakhir pada 31 Disember ini, beliau pada Ogos lalu sudah pun memberikan isyarat bahawa sedia kembali ke Old Trafford untuk menyarung semula jersi United.

Dalam kempen MLS musim ini, bekas bintang antarabangsa Sweden itu menjaringkan 29 gol dari 33 penampilan liga untuk LA Galaxy dan pada usia 37 tahun, Zlatan berpendapat bahawa beliau masih cukup bagus untuk kembali mengetuai jentera serangan United. “Saya dengan mudah boleh bermain di Liga Perdana, tetapi perkara itu hanya boleh berlaku jika United memanggil saya kembali. Bagaimanapun ketika ini saya masih milik LA Galaxy, jadi saya minta maaf”, kata Zlatan selepas beliau menjaringkan dua gol ketika berdepan Los Angeles FC dalam derby El Trafico, Ogos lalu.   

Keputusan Solskjaer yang bertegas tidak menandatangani penyerang baharu biarpun beliau melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ke Inter Milan akhirnya memerangkap diri sendiri. Dari tujuh aksi liga setakat ini, barisan hadapan United cuma mampu menjaringkan sembilan gol dengan lima daripadanya disumbangkan Marcus Rashford (3 gol) dan Anthony Martial (2 gol), dua gandingan penyerang yang pada mulanya dipercayai Solskjaer mampu memikul tugas selaku penggempur utama United musim ini.

Tambah memeningkan kepala Solskjaer ketika Rashford dan Martial berdepan masalah kecederaan, Mason Greenwood pula masih terlalu mentah untuk diberikan peranan sebagai penyerang utama. Tidak banyak yang mampu dilakukan Solskjaer jika Rashford dan Martial tersisih akibat kecederaan, selain meletakkan Jesse Lingard selaku penyerang tengah atau mengharapkan Daniel James kembali menemui sentuhan gol selepas kali terakhir pemain muda ini meledak jaring lawan ketika berdepan Southampton pada 31 Ogos lalu.

Pilihan Yang Ada

Menanti jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka, tidak banyak pilihan yang ada di tangan Solskjaer selain menggunakan set penyerang sedia ada. Bermula dari sekarang hinggalah Januari nanti, beliau hanya mampu berharap agar Martial kembali secepat mungkin, manakala Rashford pula mampu keluar dari krisis kemarau gol. Selain itu, menurut laporan yang diterbitkan oleh Independent, United djangka akan melakukan maneuver dalam bursa perpindahan pemain musim sejuk dengan cuba mendapatkan tandatangan Mario Mandzukic atau Ousmane Dembele.

Berbanding cuba memancing Mandzukic atau Dembele, Solskjaer masih memiliki pilihan lain yang saya percaya lebih mudah berbanding melakukan rundingan dengan Juventus atau Barcelona. Pilihan yang saya maksudkan ialah memanggil semula Zlatan kembali ke Old Trafford. Menurut Clayton Blackmore yang pernah beraksi untuk United dari 1982 hingga 1994, memanggil semula Zlatan adalah pilihan yang jauh lebih mudah dan realistik berbanding cuba memancing mana-mana penyerang dari kelab yang sedang mengharungi kempen domestik dan Liga Juara-Juara.

“Saya fikir kita patut memanggil semula Zlatan Ibrahimovic. Kita perlukan seorang target man dan dia salah seorang yang terbaik di dunia. Berketinggian 6’ 5” dengan tali pinggang hitam, dia membuktikan di MLS bahawa dia masih mampu melakukannya. Kita membiarkan dia pergi kerana kecederaan lututnya, tetapi ketika dia bersama kami, kelab berjaya memenangi Liga Europa, Piala Liga dan Perisai Komuniti. Kita perlukan target man bagi membolehkan pemain-pemain muda yang memiliki kepantasan bermain bersamanya”, kata Blackmore dalam satu wawancara dengan Manchester Evening News.

Veteran Yang Masih Berbisa

Ibarat pepatah Melayu lama, “Tua-tua keladi, makin tua makin menjadi”, begitu jugalah boleh diumpamakan dengan Zlatan Ibrahimovic. Kelab melepaskan beliau pada 2018 kerana kondisi lututnya yang mengalami kecederaan teruk ketika berdepan Anderlecht dalam saingan Liga Europa 2016/17. Bagaimanapun selepas sahaja pulih dan menyertai LA Galaxy, Zlatan membuktikan bahawa beliau masih lagi seorang penyerang tengah yang berbisa. Dua musim di MLS, Zlatan menjaringkan 51 gol dari 55 penampilan liga untuk LA Galaxy. Bukan itu sahaja, Zlatan juga sebenarnya sudah menjaringkan lebih 300 gol sejak usianya memasuki angka 30an.

Usia nampaknya tidak pernah membatasi kemampuan Zlatan dari terus mencetak gol dan itulah yang dibuktikan beliau sepanjang tempoh dua musim bermain di MLS. Di Liga Perdana pula, kemampuan beliau juga sudah terbukti apabila pada musim pertamanya di Old Trafford, Zlatan menjaringkan 28 gol untuk United dalam semua kejohanan. Catatan ini juga meletakkan beliau selaku pemain pertama selepas era Sir Alex Ferguson yang mampu menjaringkan lebih 20 gol dalam tempoh semusim. Jika tidak kerana kecederaan lutut yang dialaminya, saya percaya jumlah jaringan Zlatan untuk United tidak akan terhenti setakat angka 29 sahaja.

Zlatan mungkin tidak sehebat ketika beliau meledak 113 gol dari 122 penampilan Ligue 1 untuk Paris St Germain, tetapi visi permainan dan daya kepimpinan beliau di atas padang sangat diperlukan United. Bukan itu sahaja, Zlatan juga merupakan tipikal target man yang gemar membuka ruang buat rakan sepasukan yang lain ketika melakukan serangan. Sebenarnya sudah agak lama kita tidak melihat sosok seorang pemain yang bukan sahaja digeruni ketika di atas padang, tetapi juga mampu memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan ketika di bilik persalinan. Elemen ini ada pada diri Zlatan dan elemen ini jugalah yang sudah hilang dalam kem United sejak kebelakangan ini.

Terserah Kepada Ole

Selaku pengendali United, semua keputusan berada di tangan Solskjaer. Zlatan sudahpun memberikan isyarat bahawa beliau sedia kembali ke England jika United mahukan khidmatnya. Solskjaer juga pernah mengatakan bahawa pintu untuk Zlatan kembali ke Old Trafford masih terbuka. Tetapi persoalan paling besar bermain difikiran beliau adakah Zlatan mampu memberikan impak di Liga Perdana sepertimana beliau lakukan di MLS ketika usia pemain itu sudahpun menginjak ke angka 38 tahun.

Kebimbangan Solskjaer tentang umur Zlatan mungkin disebabkan persepsi bahawa MLS adalah lubuk pemain-pemain bintang yang sedang melalui fasa penghujung karier mempamerkan aksi mereka sebelum bersara. Kaka, Andrea Pirlo, David Beckham, Thierry Henry dan Wayne Rooney antara yang pernah beraksi di sana tetapi Zlatan boleh diletakkan dalam kategori berbeza. Selepas bemain untuk beberapa kelab terbaik dunia dan berjaya memenangi 33 trofi kejuaraan di Eropah, Zlatan meletakkan MLS sebagai medan pertempuran baharu untuk beliau peragakan kehebatannya.

Zlatan tetap Zlatan dan sepertimana biasa, keterujaan beliau terhadap cabaran baharu sentiasa tinggi memuncak meskipun kini sudah 20 tahun beliau bergelumang dalam kancah bolasepak profesional. “Saya ingin pergi ke Amerika dan menunjukkan bolasepak saya di sana. Ini adalah cabaran baharu, saya memandang ke hadapan untuk menakluk Amerika sepertimana yang saya lakukan di Eropah”, kata Zlatan pada Mac lalu. Dalam keadaan sekarang Solskjaer tidak boleh terlalu cerewet terutamanya bila menyentuh tentang usia Zlatan. Jika di penghujung tahun nanti prestasi barisan hadapan masih lagi tidak berubah, Solskjaer perlu mencari alternatif tambahan.

Itu pun jika beliau berhasrat mahu mengemudi United melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Europa, atau meletakkan skuadnya dalam kedudukan lebih baik dalam carta liga. Untuk melakukannya, Solskjaer perlukan `keajaiban’, dan keajaiban itu mungkin ada ditangan Zlatan, pemain penuh imaginasi hingga pernah mendakwa bahawa beliau dicipta separuh dewa dan separuh lagi manusia. Bukanlah sesuatu yang merugikan sekiranya Solskjaer membuat satu panggilan kecemasan kepada Zlatan, bagi meminta agar beliau kembali ke Old Trafford untuk menyelamatkan United. Glory Glory Manchester United!!!

02 Oktober 2019

KEMEGAHAN DAN KETERUJAAN YANG KIAN MALAP



Manchester United mengutip satu mata ketika berdepan Arsenal di Old Trafford dalam aksi yang dilangsungkan awal pagi semalam. Satu mata yang berjaya dikutip itu menyaksikan United berjaya mengumpul sembilan mata dari tujuh perlawanan. Keputusan ini juga membolehkan mereka naik satu anak tangga (tangga ke-10) dalam carta liga, dan ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool selaku pendahulu liga. Apa yang berlaku di Old Trafford awal pagi semalam menunjukkan bahawa United masih bergelut dengan prestasi selepas tewas kepada West Ham dan terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menyingkirkan Rochdale (kelab yang beraksi di dividyen tiga) dalam saingan Piala Liga.

Pertembungan ke-190 dalam sejarah antara dua kelab ini sebenarnya menyaksikan senario berbeza. Arsenal berdepan masalah rapuhnya benteng pertahanan mereka, manakala dominasi permainan United tidak diiringi dengan ketajaman mereka ketika melakukan penyudah. Bagaimanapun prestasi Arsenal dalam tiga aksi terakhir mereka sebelum bertandang ke Old Trafford jauh lebih baik berbanding United. Mereka menewaskan Eintracht Frankfurt (3-0) di Jerman, mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Aston Villa di gelanggang sendiri meskipun beraksi dengan sepuluh pemain, selain menang bergaya (5-0) ketika berdepan Nottingham Forest dalam kempen Piala Liga.

Perlawanan Yang Membosankan

Keterujaan penyokong-penyokong hilang seiring dengan malapnya api perseteruan antara United dan Arsenal. Sebaik Kevin Friend menamatkan perlawanan, athmosphere di Old Trafford kelihatan sangat santai. Aksi menentang Arsenal ini sepatutnya menjadi titik permulaan United untuk kembali meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, apatah lagi mereka beraksi di halaman sendiri.

Sepanjang tempoh 30 minit pertama permainan, percubaan on target pertama hanya hadir diminit ke-28 menerusi Andreas Perreira kerana sebelumnya pemain kedua-dua pasukan lebih kerap melakukan kesilapan dalam melakukan hantaran. Unai Emery meletakkan tiga pemain tengah bercirikan `fighter’ dalam diri Granit Xhaka, Matteo Guendouzi dan Lucas Torreira. Tujuannya hanya satu, iaitu mahu merosakkan tempo permainan United.

Sepertimana ketika aksi menentang West Ham, Solskjaer juga menurunkan ramai pemain yang memiliki attacking minded, malangnya permainan mereka seolah-olah sudah diprogramkan untuk hanya melakukan counter attack. Gerakan-gerakan yang dilakukan barisan United sebenarnya lebih bagus berbanding ketika mereka berdepan West Ham, namun aliran bola tidak begitu lancar untuk sebuah pasukan yang memburu tiga mata berharga.

Ketika United berdepan isu ketajaman di bahagian hadapan, mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi gerakan counter attack. Selepas Arsenal berjaya menjaringkan gol penyamaan, segala usaha cuba dilakukan Solskjaer untuk mencari gol kedua. Beliau memasukkan Mason Greenwood dan Fred, tetapi tidak banyak impak mampu dilakukan dua pemain ini dalam tempoh 15 minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Tumpulnya Marcus Rashford

Pada 28 Februari 2016, Marcus Rashford menjaringkan dua gol ke gawang Arsenal sekaligus menyaksikan nama pemain ini mula meniti bibir penyokong-penyokong United. Dalam perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford itu, United berjaya menewaskan Arsenal 3-2 menerusi dua gol yang dijaringkan Rashford dan satu lagi gol disumbangkan Ander Herrera. Ketika itu Rashford menjanjikan kepada kita bahawa beliau bakal muncul penggempur digeruni suatu hari nanti.

Bagaimanapun selepas lebih tiga tahun momen itu berlalu, apa yang berlaku awal pagi semalam sebenarnya diluar jangkaan kita. Perlu diakui bahawa aksi menentang Arsenal ini merupakan penampilan pertama Rashford sejak pulih dari kecederaan, jadi beliau perlukan sedikit waktu untuk kembali keprestasi terbaiknya. Namun penampilan Rashford awal pagi semalam tidak terlepas dari lensa kritikan berikutan kegagalannya menyudahkan beberapa peluang terhidang.

Setakat ini Rashford menjaringkan tiga gol untuk United, dimana dua daripadanya adalah menerusi sepakan penalti. 20 perlawanan terakhir yang diharungi United (dalam semua kejohanan) menyaksikan mereka cuma mampu menjaringkan 18 gol. Ketika peranan selaku penggempur utama kini disandang Rashford, beliau perlu meningkatkan naluri pembunuhnya dan menjaringkan lebih banyak gol atau jika tidak United bakal berdepan masalah besar.

Api Permusuhan Yang Kian Malap

Penghujung dekad 90an hingga awal era millennium adalah tempoh dimana maraknya api permusuhan membabitkan United dan Arsenal. Persaraan Sir Alex Ferguson dan perginya Arsene Wenger, seolah-olah mengendurkan terus ketegangan aksi dua kelab ini di atas padang, sesuatu yang dahulunya sentiasa menjadi tarikan bukan sahaja kepada penyokong United dan Arsenal, tetapi aksi dua kesebelasan ini sentiasa dinanti saban musim oleh peminat bolasepak seluruh dunia. Kini tiada lagi aksi brutal Roy Keane dan Patrick Vieira atau perang mulut membabitkan Fergie dan Wenger di luar padang.

Menurunnya kualiti dua kesebelasan ini sejak beberapa musim terakhir turut menghilangkan daya tarikan pertembungan United dan Arsenal. Jadi jangan berkecil hati jika Jamie Carragher melabelkan pertembungan antara The Red Devils dan The Gunners ini tidak lebih sekadar pertembungan antara `dua kelab pertengahan liga’. “Mereka memulakan perlawanan di kedudukan kelapan dan kesebelas liga. Mereka memang nampak seperti pasukan pertengahan liga. Kita tahu mereka sebenarnya lebih baik dari itu tetapi perlawanan ini memang tidak menepati dari segi kualiti”, kata Carragher.   

Permulaan Terburuk Era Liga Perdana

Sebuah lagi catatan buruk diukir United selepas tamat aksi awal pagi semalam. Sembilan mata yang berjaya dikutip dari tujuh perlawanan, turut menandakan bahawa ini adalah permulaan terburuk United sepanjang penyertaan mereka di era Liga Perdana. Tiga dekad sebelumnya, United sebenarnya pernah melakukan catatan permulaan lebih buruk berbanding sekarang. Ketika itu Sir Alex Ferguson yang sedang mengharungi musim keempatnya di Old Trafford berada di bawah tekanan. Pada musim 1989/90, United cuma mampu mengumpul tujuh mata dari tujuh perlawanan awal liga, tetapi catatan itu berlaku ketika mereka masih bermain di era Liga Divisyen Satu.

Catatan skuad kendalian Solskjaer kali ini juga lebih buruk berbanding yang dilakukan barisan David Moyes (2013/14) atau Jose Mourinho (2018/19), dan sepertimana yang anda tahu, Moyes serta Mourinho akhirnya dipecat pada musim tersebut. Meskipun pada awalnya, Solskjaer dilihat mampu meningkatkan semula prestasi United selepas mereka menang 14 dari 19 aksi pertama di bawah kendalian beliau, situasi sebaliknya berubah selepas itu. Sejak beliau dilantik selaku pengendali tetap, United cuma mampu mengutip 49 mata dari 28 aksi terakhir. Di era Mourinho pula, United berjaya mengutip 51 mata, juga menerusi jumlah perlawanan yang sama.

United Perlu Lebih Klinikal

Melihat kepada statistik perlawanan, United sebenarnya lebih unggul berbanding Arsenal. Sepanjang perlawanan mereka melepaskan 16 percubaan ke arah gawang lawan berbanding (sepuluh) yang dilakukan Arsenal. Dari segi penguasaan bola pula, United menguasai 55% manakala 45% lagi adalah milik Arsenal. Sekali lagi dominasi United tidak diimbangi mereka dengan ketajaman ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Ketika keporosan benteng pertahanan yang sering menghantui United musim lalu berjaya diperbaiki, Solskjaer kini terpaksa berdepan pula isu ketumpulan jentera serangan yang perlu segera diselesaikannya.

Adalah sesuatu yang sangat merugikan ketika mereka berjaya menjaringkan gol pertama, United gagal mencari gol kedua dan akhirnya mereka membiarkan lawan menyamakan kedudukan. Ini bukanlah kali pertama berlaku kerana di Stadium Molineux dan St Mary, United juga melakukan kesilapan yang sama. Iaitu gagal menamatkan perlawanan selaku pemenang meskipun pada satu ketika mereka menjaringkan gol pendahuluan. Bayangkan di mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya menamatkan tiga aksi ketika berdepan (Wolves, Southampton dan Arsenal) selaku pemenang.

Penutup

Ini bukanlah aksi yang kita ingin tonton, terutamanya apabila terpaksa bangkit dari tidur di awal pagi. Aksi ke-190 antara United dan Arsenal ini kini sekadar cebisan dari kemegahan silam yang kian pudar. Tatkala United sedang bergelut untuk kembali ke puncak takhta, tempat di mana mereka pernah berada, Arsenal juga begitu. Jika dahulu pertembungan United dan Arsenal akan sentiasa diwarnai dengan aksi-aksi panas di atas padang dek kerana kesungguhan pemain kedua-dua pasukan bersaing merebut kejuaraan, kini suhu pertempuran kian menurun.

Lebih pahit lagi aksi yang dahulunya sentiasa menimbulkan keterujaan kepada penyokong kedua-dua pasukan, kini dilabel sebagai `pertembungan kelab pertengahan liga’. Pada musim 1989/90, ketika United berdepan saat paling buruk dalam tempoh 30 tahun, Liverpool ketika itu muncul juara liga, manakala Arsenal menamatkan saingan liga di tangga keempat. Di mana pula kedudukan United? United ketika itu cuma mengumpul 48 mata dan berada di tangga ke-13. Adakah episod sama akan berulang? Berharaplah semoga ianya tidak berlaku...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar