13 Oktober 2019

`SANG PENAKLUK MARACANA’ YANG PERNAH SINGGAH SEBENTAR DI OLD TRAFFORD



Selasa lalu (8 Oktober 2019), seorang lagi antara bakat hebat dalam arena bolasepak dunia mengumumkan persaraan. Ya....kali ini tiba pula giliran Bastian Schweinsteiger mengucapkan selamat tinggal selepas 18 tahun bertarung di arena rumput hijau. Pengumuman persaraan yang dilakukan Basti ini juga menandakan berakhir sudah era Fußballgott, `jeneral’ yang pernah menakluk Maracana, antara produk terbaik pernah dilahirkan Jerman dan antara yang terbaik ketika era kemuncaknya sebagai pemain.

Sebagai pemain, Basti sudah memenangi hampir semua medal kejuaraan yang ditawarkan. Bersama Bayern Munich, beliau sudah menyapu bersih semua trofi domestik selain medal kejuaraan Liga Juara-Juara. Di Old Trafford beliau ada medal kejuaraan Piala FA dan bersama skuad kebangsaan pula, Basti mengecap kejayaan paling agung dalam kariernya iaitu menjulang kejuaraan Piala Dunia 2014 di tanah Brazil, negara yang penduduknya meletakkan bolasepak sebagai `agama’ kedua terbesar selepas Katholik.

Sebenarnya tiada apa yang perlu diratapi dan disesalkan Basti sebaik beliau mengumumkan persaraannya, kerana seperti yang saya sebutkan tadi, beliau sudah memenangi hampir semua kejuaraan utama ketika eranya sebagai pemain. Siapa sangka, beliau yang pada mulanya meletakkan sukan luncur salji sebagai keutamaan berbanding bolasepak akhirnya muncul antara pemain paling sukses dalam sejarah bolasepak Jerman. Terima kasih atas tawaran yang diberikan Bayern Munich pada 2001, yang akhirnya mengubah haluan karier beliau.

Hidup Baru

Keputusan Basti memperjudikan nasibnya dengan meninggalkan sukan luncur salji dan terjun ke dunia bolasepak akhirnya membuahkan hasil. Meskipun Felix Neureuther yang juga merupakan rakan sepelatih beliau dalam sukan luncur salji berjaya memenangi pingat perak dalam Kejohanan Dunia pada 2013, Basti pula muncul idola di Allianz Arena apabila berjaya membantu Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Tanda-tanda kesuksesan Basti dalam karier baharunya sudah mula terlihat ketika beliau berjaya membantu skuad U17 dan U19 Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2001 dan 2002. Pada Julai 2002, Basti dinaikkan pangkat ke skuad simpanan Bayern. Empat bulan kemudian Ottmar Hitzfeld memberikan penampilan pertama buat Basti dalam skuad senior ketika Bayern berdepan RC Lens dalam saingan Liga Juara-Juara pada usia 18 tahun.

Walaupun cuma dimasukkan selaku pemain gantian di penghujung perlawanan, Basti berjaya memikat perhatian Hitzfeld apabila beliau berjaya menyumbangkan assist yang disempurnakan Markus Feulner. Potensi besar yang dimiliki Basti akhirnya menyaksikan beliau menandatangani kontrak profesional bersama Bayern pada November 2002. Sepanjang musim 2001/02, Basti sempat melakukan empat penampilan bersama Bayern dalam saingan Bundesliga.

Serba Boleh Dan Liga Juara-Juara

Basti merupakan pemain serba boleh kerana ketika peringkat awal kariernya bersama Bayern, beliau pernah beraksi sebagai full back, pemain sayap dan juga pemain tengah. Di era Hitzfeld, beliau menggunakan Basti sebagai full back, sebelum Felix Magath pula kemudiannya mengubah posisi beliau ke bahagian sayap. Kehadiran Louis Van Gaal sekali lagi menyaksikan perubahan posisi Basti dan kali ini pengendali Belanda itu meletakkan beliau di bahagian tengah.

Dan sebagai midfielder lah, Basti akhirnya menemui potensi terbaik beliau sebagai pemain yang akhirnya meletakkan namanya selaku tonggak Bayern dan juga skuad kebangsaan Jerman. Ketika beliau meraih kesuksesan di pentas domestik dari 2002 hingga 2010 menerusi lima kejuaraan Bundesliga, lima kejuaraan DFB Pokal, DFB Ligapokal dan DFL Supercup, satu-satunya kejuaraan yang masih belum mampu beliau menangi bersama Bayern ialah trofi Liga Juara-Juara.

Pada 2010, Bayern tewas di pentas final kepada Inter Milan, manakala dua tahun kemudian Basti sekali lagi sekadar berpuas hati dengan status selaku runner up apabila Bayern dikejutkan Chelsea pada aksi final yang dilangsungkan di Allianz Arena. Akhirnya penantian Basti berakhir kerana pada final edisi 2013, Bayern akhirnya berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun selepas mereka menewaskan Borussia Dortmund di Wembley.

Piala Dunia 2014

Ketika tekanan dan penantian untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara berakhir, cabaran lebih besar menanti Basti tatkala Jerman muncul antara pasukan pilihan dalam Kejohanan Piala Dunia 2014. Rombongan yang dibawa Joachim Loew ke Brazil kali ini boleh dianggap barisan paling berbakat yang dimiliki Jerman sejak kejayaan mereka mara ke final Piala Dunia edisi 2002 yang dilangsungkan di Jepun dan Korea Selatan.

Meskipun begitu, tugas Basti bukanlah mudah kerana tiada mana-mana negara dari luar benua Amerika Selatan yang berjaya menjulang Piala Dunia setiap kali kejohanan empat tahun sekali itu dilangsungkan di benua tersebut. Bermula di Uruguay pada 1930 hinggalah Argentina menjadi host pada 1978, empat edisi Piala Dunia yang dilangsungkan di benua Amerika Selatan dimonopoli oleh Uruguay (2 kali), Brazil (sekali) dan Argentina (sekali).

Tambahan pula skuad `serba sempurna’ Brazil yang beraksi di tanah air mereka sendiri adalah halangan paling besar yang perlu dilepasi oleh mana-mana pasukan jika mereka berhasrat mahu mencipta sejarah selaku negara pertama dari luar Amerika Selatan yang menjulang Piala Dunia di benua tersebut. Pada usia 30 tahun ketika itu dan potensi besar yang dimiliki skuad Jerman, ini adalah peluang terakhir Basti untuk mengecap nikmat selaku pemenang medal Piala Dunia.

Di bumi Brazil, Jerman akhirnya berjaya memecahkan mitos dengan muncul negara non Amerika Latin pertama yang berjaya menjulang kejuaraan Piala Dunia di benua Amerika Selatan selepas mereka menewaskan Argentina di final. Lebih manis di peringkat separuh akhir, barisan Die Mannschaft tanpa belas kasihan membantai `skuad serba sempurna’ Brazil menerusi kemenangan besar (7-1) yang dilakar mereka pada malam yang akan sentiasa dikenang sebagai `malam tragedi bolasepak Brazil’.

Pada malam 13 Julai 2014 di Stadium Maracana, Phillip Lahm adalah kapten pasukan tetapi pemimpin sebenar di atas padang yang menjadi inspirasi di sebalik kejayaan Jerman menjulang Piala Dunia ialah Basti. Hanya lima hari selepas segerombolan lelaki Jerman meranapkan sama sekali ego Brazil menerusi pembantaian yang dilakukan mereka di Belo Horizonte, Basti membuktikan bahawa  Die Mannschaft ketika itu memang sukar dihentikan hatta oleh pemain terbaik dunia seperti Lionel Messi sekalipun.

Peranan besar yang dimainkan Basti turut diakui pengendali Jerman, Joachim Loew. Loew melabelkan Basti sebagai `otak’ di sebalik penampilan cemerlang Jerman sepanjang kejohanan di Brazil. Lebih daripada itu, beliau juga sumber inspirasi bukan sahaja di atas padang, tetapi juga di bilik persalinan Jerman yang ketika itu didominasi oleh pemain-pemain muda. Aksi heroic beliau di pentas final dengan wajah berlumuran darah akan kekal terpahat sebagai antara imej paling ikonik jika mahu berbicara tentang `sang penakluk Maracana’ ini.

Selamat Tinggal Munich

Pada 2015, Basti akhirnya mengambil keputusan menamatkan ikatan selama 14 tahun dengan Bayern Munich. Meninggalkan Bayern adalah antara keputusan paling besar yang pernah beliau lakukan dalam hidupnya. Sama sepertimana ketika beliau mengambil keputusan untuk beralih ke dunia bolasepak meskipun Basti turut memiliki bakat hebat dalam sukan luncur salji ketika zaman remajanya. Menurut Basti, kejayaan membantu Bayern menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2013 adalah sebab utama mengapa beliau memutuskan untuk mencari cabaran baharu.

“Perpindahan saya dari Bayern ke Manchester United adalah keputusan yang tepat. Di Bayern, saya memiliki sasaran untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama mereka. Atas sebab itulah saya bertahan di sana dan tidak pernah cuba untuk bermain di luar Jerman. Kemudian pada 2013, saya mencapai sasaran itu dan selepas memenangi Piala Dunia, saya berkata inilah waktu yang tepat untuk saya pergi”, kata Basti. Meninggalkan Bayern adalah keputusan yang sangat sukar, tetapi Basti mahu membuktikan bahawa beliau juga mampu `hidup’ di luar Jerman.

Tidak Seindah Disangka

Berbanding era penuh gemilang beliau dengan jersi Bayern Munich, Old Trafford pula rupa-rupanya tidaklah seindah yang disangka. Datang sebagai juara dunia, Basti akhirnya terpaksa bergelut merebut tempat dalam kesebelasan utama United meskipun setahun sebelumnya beliau berjaya menakluk Maracana. Beliau cuma tampil 18 perlawanan untuk United dalam saingan liga tetapi menutup musim pertamanya di Old Trafford dengan medal kejuaraan Piala FA.

Isu kecederaan adalah masalah besar yang terpaksa dihadapi Basti bersama United hingga membataskan sumbangannya di atas padang. Lebih malang, kehadiran Jose Mourinho pada 2016 yang menggantikan posisi Van Gaal menyaksikan kelibat Basti tidak lagi dapat kita lihat di atas padang. Kecederaan menjadi alasan utama mengapa Mourinho menyisihkan Basti dari skuad utama. Meskipun dipencilkan Mourinho, Basti menerima hal tersebut dengan cukup terbuka.

Dalam proses pemulihan, beliau juga berlatih secara bersendirian bagi memastikan kecergasannya sebagai pemain sentiasa terjaga sambil berharap ada peluang kedua untuknya diberikan Mourinho. Old Trafford, terutamanya Mourinho benar-benar menguji profesionalisme Basti sebagai pemain. “Saya tidak mahu sentuh apa yang Mourinho katakan terhadap saya. Saya tidak pernah meragui kualiti saya dan apa yang dia (Mourinho) lakukan adalah ujian kepada karakter saya. Saya tetap gembira walaupun terpaksa berlatih sendirian”, kata Basti.

Kesabaran Basti akhirnya terbayar apabila beliau disenaraikan Mourinho dalam kesebelasan utama ketika United berdepan West Ham dalam saingan Piala Liga. Dua bulan selepas aksi menentang West Ham, Basti disenaraikan Mourinho sekali lagi dalam kesebelasan utama ketika United berdepan Wigan Athletic dalam saingan Piala FA. Dalam perlawanan itu, beliau menjaringkan satu gol dan menyumbang satu bantuan gol hingga dinobatkan pemain terbaik perlawanan versi penyokong United.

Haluan Baharu

Old Trafford nyata bukanlah tempat untuk Basti, dan menyedari akan hal tersebut beliau akhirnya memutuskan untuk mencari haluan baharu bagi meneruskan sisa-sisa kariernya. Pada Mac 2017, beliau menerima tawaran Chicago Fire dan bermulalah perjalanan baharu karier beliau di bumi Amerika Syarikat. Berbanding LA Galaxy, DC United atau San Jose Earthquakes, Chicago Fire bukanlah kelab yang memiliki rekod hebat di MLS. Tetapi di sana, Basti kembali dihargai dan menjadi tonggak penting kepada skuad Man in Red itu.

Selama tiga musim berkelana di Soldier Field, Basti melakukan 85 penampilan liga dan menjaringkan lapan gol selain menyumbang sembilan bantuan gol untuk Chicago Fire. Statistik ini sebenarnya boleh dianggap mengagumkan untuk seorang pemain yang sedang melalui fasa akhir karier mereka. Bukan itu sahaja, penampilan cemerlang Basti turut membolehkan beliau disenaraikan dalam skuad MLS All Stars bagi musim 2017 dan 2019. Dan pada 8 Oktober lalu, Basti akhirnya menemui titik nokhtah dalam kariernya dengan Chicago Fire muncul kelab terakhir yang diwakilinya.

Terima Kasih Basti

Jika anda mahu bercakap tentang seorang profesional tulen, Basti adalah antara contoh terbaik. Di akhir karier beliau bersama United, Basti pergi sebagai seorang lelaki sejati. Tiada dendam yang tersimpan di dalam hatinya meskipun perlakuan yang dilakukan Mourinho terhadap dirinya boleh dianggap sesuatu yang kurang wajar. Pada akhirnya Basti menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai United, manakala Mourinho pula mengakui kesilapan yang dilakukannya dengan membiarkan Basti berlatih bersama skuad remaja.

“Dia adalah pemain yang boleh membuatkan saya menyesal. Sebelum dia pergi saya berkata kepadanya, `Saya pernah memperlakukan kamu dengan cara yang kurang baik. Jadi sebelum kamu pergi saya ingin berbaik dengan kamu’. Saya benar-benar menyesal, dan sekarang saya akan merindui seorang lelaki yang baik, profesional dan punya pengaruh besar seperti dia”, kata Mourinho. Fußballgott adalah legenda di Munich, disayangi di Old Trafford dan sangat dihormati di Chicago. Dan untuk segala yang anda berikan selama ini, terima kasih Basti...`Sang Penakluk Maracana’ yang pernah singgah sebentar di Old Trafford. Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan