Selepas berehat selama
seminggu bagi memberikan laluan kepada perlawanan antarabangsa, aksi Liga
Perdana Inggeris akan disambung semula minggu ini. Sudah tentu, pertembungan North West Derby membabitkan Manchester
United dan Liverpool bakal menjadi perlawanan tumpuan. Tatkala United gagal
menang dalam tiga perlawanan terakhir mereka di semua peringkat kejohanan, Ole
Gunnar Solskjaer pula melabelkan aksi North
West Derby ke-178 ini bakal menjadi `perlawanan yang sempurna’ untuk
barisan pemainnya melakukan kebangkitan selepas terperosok di tangga ke-12
liga.
Menyaksikan jurang prestasi
terkini membabitkan kedua-dua musuh abadi ini, sangat sukar sebenarnya untuk
membayangkan bahawa ini adalah `perlawanan yang sempurna’ untuk United,
tambahan pula Solskjaer bakal kehilangan khidmat Paul Pogba dan David De Gea
dalam kesebelasan utama. Dengan prestasi terkini yang semakin menurun serta
berdepan krisis kecederaan membabitkan Pogba dan De Gea, ini sebenarnya
bukanlah masa yang tepat untuk United berdepan Liverpool yang setakat ini masih
mengekalkan rekod bersih mereka selepas mengharungi lapan perlawanan liga.
Elemen
Yang Perlu Diperbaiki
Sejak kejayaan menewaskan
Chelsea (4-0) pada perlawanan pembukaan liga, United hanya menjaringkan lima
gol dalam enam aksi mereka selepas itu. Kecederaan Anthony Martial serta
ketumpulan penyudah Marcus Rashford antara penyebab utama mengapa United begitu
bergelut dalam usaha mereka menyudahkan peluang ketika berada di hadapan gawang
lawan. Selain ketumpulan jentera serangan, elemen lain yang perlu segera
diperbaiki Solskjaer ialah kelemahan skuadnya dalam memanfaatkan situasi bola
mati.
Kecuali sepakan penalti,
United setakat ini nampaknya masih gagal memanfaatkan peluang jaringan gol
ketika mereka menerima sepakan sudut ataupun percuma. Kekalahan kepada
Newcastle United pada 6 Oktober lalu juga menyaksikan United gagal menjaringkan
sebarang gol dari sepakan sudut dan percuma untuk tempoh selama 221 hari. Untuk
rekod, kali terakhir United menjaringkan gol menerusi sepakan sudut ialah pada
27 Februari lalu, iaitu ketika mereka berdepan Crystal Palace di Selhurst Park
menerusi jaringan Romelu Lukaku.
Musim lalu, statistik
menunjukkan bahawa pemain-pemain United dikasari sebanyak 100 kali di kawasan final third lawan. Jumlah ini meletakkan
mereka selaku pasukan ketiga di Liga Perdana selepas Chelsea (112) dan Everton
(106). Musim ini pula selepas mengharungi lapan perlawanan liga, 28 kekasaran
sudah dilakukan lawan di kawasan final
third mereka terhadap pemain-pemain United. Statistik ini meletakkan United
ditangga teratas, manakala 44 sepakan sudut yang diterima pula meletakkan
mereka di tangga kelapan selaku kesebelasan paling banyak mendapatkan sepakan
sudut.
Agak pelik sebenarnya bila
memikirkan situasi yang dialami United ketika ini terutamanya selepas mereka
melabur besar demi mendapatkan khidmat Harry Maguire semasa bursa perpindahan
pemain musim panas lalu. Saya yakin pembelian yang dilakukan kelab terhadap
Maguire bukan sekadar kerana kemampuan defensif yang dimiliki beliau atau
kerana daya kepimpinannya di atas padang, tetapi turut mengambilkira kebolehan
pertahanan antarabangsa England ini memanfaatkan peluang dalam situasi bola
mati.
Musim lalu, Maguire
menjaringkan tiga gol untuk Leicester City, di mana dua daripadanya adalah
berpunca dari situasi bola mati. Dalam kempen Piala Dunia 2018 pula, beliau
berjaya menyumbangkan satu gol untuk England menerusi tandukan yang berpunca
dari sepakan sudut. Bagaimanapun di Old Trafford, segala-galanya masih belum
menyebelahi Maguire biarpun beliau menerima peluang terbaik untuk menjaringkan
gol dalam situasi bola mati ketika berdepan Arsenal dan Newcastle United.
Jika mahu melakukan sesuatu
ketika berdepan Liverpool nanti, elemen penyudah dalam menyempurnakan peluang
dalam situasi bola mati perlu segera diperbaiki Solskjaer tatkala beliau
berdepan isu ketajaman di barisan hadapan skuadnya. Dengan adanya pemain-pemain
yang memiliki kekuatan dalam melakukan duel
di udara seperti Maguire, Scott McTominay dan Nemanja Matic, United sepatutnya
mampu memberikan ancaman lebih serius kepada pertahanan lawan ketika mereka
dihadiahkan sepakan percuma ataupun sepakan sudut.
Strategi
Ketika Bertahan
Liverpool muncul selaku
kesebelasan kedua paling banyak menjaringkan gol setakat ini selepas Manchester
City. Sudah tentu trio Mo Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino akan sekali
lagi memainkan peranan penting dalam misi mereka merobek gawang lawan. Lapan
gol yang dilepaskan David De Gea pula sebenarnya bukanlah statistik yang
terlalu buruk jika dibandingkan dengan kesebelasan yang berada di posisi lebih
atas seperti Arsenal, Chelsea, Manchester City atau Tottenham Hotspurs.
Bagaimanapun ancamana sebenar
bukan hanya datang dari trio Salah-Mane-Firmino, kerana Liverpool juga memiliki
kekuatan ketika mereka melancarkan gerakan dari sisi kiri dan kanan menerusi dua
full back mereka iaitu Trent
Alexander-Arnold dan Andy Robertson. Dilema sebenarnya bakal dihadapi Solskjaer
terutama dalam menentukan pola permainan United ketika mereka bertahan. Jika
beliau memilih untuk mengarahkan benteng pertahanannya bertahan lebih kedalam,
itu akan membuka ruang buat dua bek sisi Liverpool bergerak lebih bebas.
Penting untuk Solskjaer
memikirkan garis pertahanan mana yang sesuai untuk beliau gunakan ketika berdepan
Liverpool nanti. Sama ada beliau mahu mengarahkan barisan belakangnya bertahan
lebih ke dalam atau tetap `melayan’ Liverpool yang kebiasaannya cenderung
melancarkan serangan dari sebelah sisi. Jika Solskjaer mahukan benteng
pertahanannya bermain dengan `terbuka’, Aaron Wan-Bissaka serta Ashley Young
perlu berada pada tahap terbaik untuk berhadapan dengan Alexander-Arnold dan
Robertson di sisi kiri dan kanan.
Salah,
Mane dan Firmino
Aksi menentang Liverpool ini
bukan sahaja penting kepada survival United
untuk cuba memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, tetapi aksi ini juga
bakal menjadi ujian paling getir buat Harry Maguire di benteng pertahanan.
Selaku pemain pertahanan termahal dunia, fokus pastinya akan terarah kepada
sosok beliau selaku pengemudi di garis pertahanan United dalam menghadapi
gempuran dari trio Salah, Mane dan Firmino.
Bukan tugas mudah buat
mana-mana benteng pertahanan di Liga Perdana menangani ancaman yang datang dari
trio ini kerana ketiga-tiganya memiliki gaya permainan berbeza. Firmino seperti
biasa akan digunakan Klopp untuk memberikan kerosakan kepada benteng pertahanan
lawan dari bahagian tengah. Jadi sangat menarik untuk melihat siapakah antara defensive midfielder United yang bakal ditugaskan
untuk merantai pemain Brazil ini agar benteng lebih fokus kepada setiap gerakan
yang cuba dilakukan oleh Salah dan Mane.
Jika Solskjaer mahu
meneutralkan Salah, beliau perlu mengarahkan pemain-pemainnya untuk melakukan marking kepada Mane dan Firmino, kerana
dua pemain inilah sebenarnya yang berperanan besar sebagai penggerak kepada
serangan-serangan Liverpool. Ketika Firmino atau Mane menguasai bola terutamanya
di kawasan final third, penting untuk
mana-mana pemain yang ditugaskan membayangi dua pemain ini menyekat mereka dari
melepaskan percubaan atau melakukan hantaran-hantaran ke arah Salah.
Gerakan
`Counter Attack’
Sukar untuk membayangkan di
Old Trafford, United bermain secara bertahan ketika berdepan Liverpool. Tetapi
dalam keadaan sekarang tidak banyak yang mampu dilakukan Solskjaer jika beliau
mahu menamatkan rekod bersih barisan Jurgen Klopp dalam saingan liga setakat
ini. Bertahan mungkin antara opsyen jika Solskjaer mahu memastikan United mampu
mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan ini. Tetapi persoalan
paling besar ialah selama mana benteng pertahanan mampu menyerap asakan
kesebelasan yang memiliki trio penggempur digeruni seperti Salah, Mane dan
Firmino jika Solskjaer memilih pendekatan `park
the bus’ nanti.
Saya berharap agar United bermain
seperti biasa iaitu menjadikan gerakan-gerakan serang balas pantas sebagai
tunjang permainan mereka. Dalam masa yang sama Solskjaer juga perlu memastikan
barisan tengahnya lebih compact bagi
menyaingi Fabinho dan Giorgino Wijnaldum. Dua pemain tengah Liverpool ini saya
anggap cukup bagus dalam mengekalkan penguasaan bola selain bijak mengatasi pressing yang cuba dilakukan lawan.
Strategi mana yang bakal digunakan Solskjaer sangat menarik untuk kita
saksikan, sambil berharap United akan lebih fleksibel ketika bertahan mahupun
menyerang terutamanya di sisi kanan dan kiri.
Penutup
Suka atau tidak, kita
terpaksa mengakui bahawa darjat antara dua seteru tradisi ini sudah jauh
berbeza. Liverpool datang ke Old Trafford selaku pendahulu takhta liga menerusi
rekod bersih lapan kemenangan berturut-turut yang dilakar mereka setakat ini.
Manakala United pula terus berdepan isu prestasi selepas mereka cuma mampu
mengutip satu mata dari tiga aksi terakhir liga. Tambah memburukkan keadaan, De
Gea dan Pogba sudah disahkan tidak akan beraksi dalam North West Derby kali ini manakala lawan pula akan kembali
diperkuatkan Alisson Becker dan Joel Matip.
Bagaimanapun melihat kepada
rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak 2014, anda mungkin boleh mengharapkan
sesuatu mampu dilakukan barisan kendalian Solskjaer kali ini. Sejak kejayaan Brendan
Rodgers mengemudi barisan The Reds
menewaskan United (3-0) di Old Trafford dalam saingan liga pada 16 Mac 2014, mereka
kemudiannya mengharungi lima aksi terakhir di Theatre of Dreams selepas itu dengan rekod tiga kekalahan dan dua
keputusan seri. Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Old Trafford musim lalu
pula berakhir dengan keputusan seri (0-0).
Selepas menyaksikan barisan
pemainnya tewas di St James Park pada 6 Oktober lalu, Solskjaer cuba
menyakinkan dirinya bahawa aksi menentang Liverpool adalah `perlawanan sempurna’
untuk United melakukan kebangkitan. Saya berharap sikap optimisme Solskjaer itu
akan diterjemahkan pemain-pemainnya menerusi aksi terpuji di atas padang nanti.
Ramai pihak mengatakan bahawa aksi North
West Derby kali ini akan menentukan nasib Solskjaer selaku pengendali
United, tetapi saya cuma berharap agar `perlawanan sempurna’ itu tidak akan
bertukar kepada tragedi buat beliau. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan