Manchester United mengutip
satu mata ketika berdepan Arsenal di Old Trafford dalam aksi yang dilangsungkan
awal pagi semalam. Satu mata yang berjaya dikutip itu menyaksikan United
berjaya mengumpul sembilan mata dari tujuh perlawanan. Keputusan ini juga membolehkan
mereka naik satu anak tangga (tangga ke-10) dalam carta liga, dan ketinggalan
12 mata di belakang Liverpool selaku pendahulu liga. Apa yang berlaku di Old
Trafford awal pagi semalam menunjukkan bahawa United masih bergelut dengan
prestasi selepas tewas kepada West Ham dan terpaksa berhempas pulas sebelum
berjaya menyingkirkan Rochdale (kelab yang beraksi di dividyen tiga) dalam
saingan Piala Liga.
Pertembungan ke-190 dalam
sejarah antara dua kelab ini sebenarnya menyaksikan senario berbeza. Arsenal
berdepan masalah rapuhnya benteng pertahanan mereka, manakala dominasi
permainan United tidak diiringi dengan ketajaman mereka ketika melakukan
penyudah. Bagaimanapun prestasi Arsenal dalam tiga aksi terakhir mereka sebelum
bertandang ke Old Trafford jauh lebih baik berbanding United. Mereka menewaskan
Eintracht Frankfurt (3-0) di Jerman, mengutip tiga mata penuh ketika berdepan
Aston Villa di gelanggang sendiri meskipun beraksi dengan sepuluh pemain,
selain menang bergaya (5-0) ketika berdepan Nottingham Forest dalam kempen
Piala Liga.
Perlawanan
Yang Membosankan
Keterujaan
penyokong-penyokong hilang seiring dengan malapnya api perseteruan antara
United dan Arsenal. Sebaik Kevin Friend menamatkan perlawanan, athmosphere di Old Trafford kelihatan
sangat santai. Aksi menentang Arsenal ini sepatutnya menjadi titik permulaan
United untuk kembali meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam
carta liga, apatah lagi mereka beraksi di halaman sendiri.
Sepanjang tempoh 30 minit
pertama permainan, percubaan on target
pertama hanya hadir diminit ke-28 menerusi Andreas Perreira kerana sebelumnya
pemain kedua-dua pasukan lebih kerap melakukan kesilapan dalam melakukan
hantaran. Unai Emery meletakkan tiga pemain tengah bercirikan `fighter’ dalam diri Granit Xhaka, Matteo
Guendouzi dan Lucas Torreira. Tujuannya hanya satu, iaitu mahu merosakkan tempo
permainan United.
Sepertimana ketika aksi menentang
West Ham, Solskjaer juga menurunkan ramai pemain yang memiliki attacking minded, malangnya permainan
mereka seolah-olah sudah diprogramkan untuk hanya melakukan counter attack. Gerakan-gerakan yang
dilakukan barisan United sebenarnya lebih bagus berbanding ketika mereka
berdepan West Ham, namun aliran bola tidak begitu lancar untuk sebuah pasukan
yang memburu tiga mata berharga.
Ketika United berdepan isu
ketajaman di bahagian hadapan, mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol
menerusi gerakan counter attack. Selepas
Arsenal berjaya menjaringkan gol penyamaan, segala usaha cuba dilakukan
Solskjaer untuk mencari gol kedua. Beliau memasukkan Mason Greenwood dan Fred,
tetapi tidak banyak impak mampu dilakukan dua pemain ini dalam tempoh 15 minit
sebelum wisel penamat dibunyikan.
Tumpulnya
Marcus Rashford
Pada 28 Februari 2016, Marcus
Rashford menjaringkan dua gol ke gawang Arsenal sekaligus menyaksikan nama
pemain ini mula meniti bibir penyokong-penyokong United. Dalam perlawanan yang
dilangsungkan di Old Trafford itu, United berjaya menewaskan Arsenal 3-2
menerusi dua gol yang dijaringkan Rashford dan satu lagi gol disumbangkan Ander
Herrera. Ketika itu Rashford menjanjikan kepada kita bahawa beliau bakal muncul
penggempur digeruni suatu hari nanti.
Bagaimanapun selepas lebih
tiga tahun momen itu berlalu, apa yang berlaku awal pagi semalam sebenarnya
diluar jangkaan kita. Perlu diakui bahawa aksi menentang Arsenal ini merupakan
penampilan pertama Rashford sejak pulih dari kecederaan, jadi beliau perlukan
sedikit waktu untuk kembali keprestasi terbaiknya. Namun penampilan Rashford
awal pagi semalam tidak terlepas dari lensa kritikan berikutan kegagalannya
menyudahkan beberapa peluang terhidang.
Setakat ini Rashford
menjaringkan tiga gol untuk United, dimana dua daripadanya adalah menerusi
sepakan penalti. 20 perlawanan terakhir yang diharungi United (dalam semua
kejohanan) menyaksikan mereka cuma mampu menjaringkan 18 gol. Ketika peranan
selaku penggempur utama kini disandang Rashford, beliau perlu meningkatkan
naluri pembunuhnya dan menjaringkan lebih banyak gol atau jika tidak United
bakal berdepan masalah besar.
Api
Permusuhan Yang Kian Malap
Penghujung dekad 90an hingga
awal era millennium adalah tempoh dimana maraknya api permusuhan membabitkan
United dan Arsenal. Persaraan Sir Alex Ferguson dan perginya Arsene Wenger,
seolah-olah mengendurkan terus ketegangan aksi dua kelab ini di atas padang,
sesuatu yang dahulunya sentiasa menjadi tarikan bukan sahaja kepada penyokong
United dan Arsenal, tetapi aksi dua kesebelasan ini sentiasa dinanti saban
musim oleh peminat bolasepak seluruh dunia. Kini tiada lagi aksi brutal Roy
Keane dan Patrick Vieira atau perang mulut membabitkan Fergie dan Wenger di
luar padang.
Menurunnya kualiti dua
kesebelasan ini sejak beberapa musim terakhir turut menghilangkan daya tarikan
pertembungan United dan Arsenal. Jadi jangan berkecil hati jika Jamie Carragher
melabelkan pertembungan antara The Red
Devils dan The Gunners ini tidak
lebih sekadar pertembungan antara `dua kelab pertengahan liga’. “Mereka
memulakan perlawanan di kedudukan kelapan dan kesebelas liga. Mereka memang
nampak seperti pasukan pertengahan liga. Kita tahu mereka sebenarnya lebih baik
dari itu tetapi perlawanan ini memang tidak menepati dari segi kualiti”, kata
Carragher.
Permulaan
Terburuk Era Liga Perdana
Sebuah lagi catatan buruk
diukir United selepas tamat aksi awal pagi semalam. Sembilan mata yang berjaya
dikutip dari tujuh perlawanan, turut menandakan bahawa ini adalah permulaan
terburuk United sepanjang penyertaan mereka di era Liga Perdana. Tiga dekad
sebelumnya, United sebenarnya pernah melakukan catatan permulaan lebih buruk
berbanding sekarang. Ketika itu Sir Alex Ferguson yang sedang mengharungi musim
keempatnya di Old Trafford berada di bawah tekanan. Pada musim 1989/90, United
cuma mampu mengumpul tujuh mata dari tujuh perlawanan awal liga, tetapi catatan
itu berlaku ketika mereka masih bermain di era Liga Divisyen Satu.
Catatan skuad kendalian
Solskjaer kali ini juga lebih buruk berbanding yang dilakukan barisan David
Moyes (2013/14) atau Jose Mourinho (2018/19), dan sepertimana yang anda tahu,
Moyes serta Mourinho akhirnya dipecat pada musim tersebut. Meskipun pada
awalnya, Solskjaer dilihat mampu meningkatkan semula prestasi United selepas
mereka menang 14 dari 19 aksi pertama di bawah kendalian beliau, situasi
sebaliknya berubah selepas itu. Sejak beliau dilantik selaku pengendali tetap,
United cuma mampu mengutip 49 mata dari 28 aksi terakhir. Di era Mourinho pula,
United berjaya mengutip 51 mata, juga menerusi jumlah perlawanan yang sama.
United
Perlu Lebih Klinikal
Melihat kepada statistik
perlawanan, United sebenarnya lebih unggul berbanding Arsenal. Sepanjang
perlawanan mereka melepaskan 16 percubaan ke arah gawang lawan berbanding
(sepuluh) yang dilakukan Arsenal. Dari segi penguasaan bola pula, United menguasai
55% manakala 45% lagi adalah milik Arsenal. Sekali lagi dominasi United tidak
diimbangi mereka dengan ketajaman ketika melakukan penyudah di hadapan gawang
lawan. Ketika keporosan benteng pertahanan yang sering menghantui United musim
lalu berjaya diperbaiki, Solskjaer kini terpaksa berdepan pula isu ketumpulan
jentera serangan yang perlu segera diselesaikannya.
Adalah sesuatu yang sangat
merugikan ketika mereka berjaya menjaringkan gol pertama, United gagal mencari
gol kedua dan akhirnya mereka membiarkan lawan menyamakan kedudukan. Ini
bukanlah kali pertama berlaku kerana di Stadium Molineux dan St Mary, United
juga melakukan kesilapan yang sama. Iaitu gagal menamatkan perlawanan selaku
pemenang meskipun pada satu ketika mereka menjaringkan gol pendahuluan.
Bayangkan di mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya
menamatkan tiga aksi ketika berdepan (Wolves, Southampton dan Arsenal) selaku
pemenang.
Penutup
Ini bukanlah aksi yang kita
ingin tonton, terutamanya apabila terpaksa bangkit dari tidur di awal pagi. Aksi
ke-190 antara United dan Arsenal ini kini sekadar cebisan dari kemegahan silam
yang kian pudar. Tatkala United sedang bergelut untuk kembali ke puncak takhta,
tempat di mana mereka pernah berada, Arsenal juga begitu. Jika dahulu
pertembungan United dan Arsenal akan sentiasa diwarnai dengan aksi-aksi panas
di atas padang dek kerana kesungguhan pemain kedua-dua pasukan bersaing merebut
kejuaraan, kini suhu pertempuran kian menurun.
Lebih pahit lagi aksi yang
dahulunya sentiasa menimbulkan keterujaan kepada penyokong kedua-dua pasukan,
kini dilabel sebagai `pertembungan kelab pertengahan liga’. Pada musim 1989/90,
ketika United berdepan saat paling buruk dalam tempoh 30 tahun, Liverpool
ketika itu muncul juara liga, manakala Arsenal menamatkan saingan liga di
tangga keempat. Di mana pula kedudukan United? United ketika itu cuma mengumpul
48 mata dan berada di tangga ke-13. Adakah episod sama akan berulang? Berharaplah
semoga ianya tidak berlaku...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan