10 Oktober 2019

SEMOGA KEBEBALAN WOODWARD BERJAYA DIKURANGKAN



Sejak kejayaan menewaskan Leicester City 14 September lalu, Manchester United sudah mengharungi tiga perlawanan liga tanpa kemenangan. Tiga perlawanan liga terakhir yang diharungi United berakhir dengan dua kekalahan dan satu keputusan seri. Dalam saingan Piala Liga pula, mereka terpaksa bergelut hingga kepenentuan sepakan penalti sebelum berjaya menewaskan Rochdale, kelab yang beraksi di EFL League Two (atau lebih tepatnya divisyen tiga dalam hierarki bolasepak England). Awal pagi Jumaat lalu, United terikat 0-0 ketika berdepan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa, manakala kekalahan kepada Newcastle United pula menyaksikan mereka sudah mengharungi 11 aksi di gelanggang lawan tanpa sebarang kemenangan.

Prestasi United ketika ini memang sangat, sangat, sangat meresahkan tatkala saingan kompetitif musim 2019/20 sebenarnya masih lagi di fasa awal. Selepas kekalahan di St James Park itu, kedudukan United dalam carta liga juga tergelincir ke tangga ke-12. Sudah tentu selain prestasi barisan pemain yang dijadikan sorotan, kelibat Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali juga tidak terlepas dari kecaman dan kritikan. Di Twitter, #oleout menjadi trending akibat rasa tidak puashati penyokong-penyokong United terhadap prestasi barisan kendalian Solskjaer. Ya sudah tentu bagi mana-mana pengendali pun, mereka adalah orang pertama yang akan dipersalahkan jika skuad kendalian mereka berdepan prestasi buruk dan Solskjaer juga tidak terkecuali.

Krisis Di Era Woodward

Imbas kembali setahun yang lalu, ketika United berdepan Newcastle United dalam saingan liga di Old Trafford. United berjaya menewaskan Newcastle (3-2) dalam aksi pada 7 Oktober 2018 itu, tetapi ketika mereka ketinggalan (0-2) pada separuh masa pertama, seluruh Old Trafford bergema dengan chant berbunyi “Jose’s right, the board is shi*e”. Sokongan yang diterima Mourinho ketika itu tatkala barisan pemainnya berdepan tempoh sukar menunjukkan bahawa masalah United tidak akan selesai dengan hanya membawa masuk pengurus baharu.

Chant itu terus bergema hampir sepanjang perlawanan dan sudah tentu individu yang menjadi sasaran lensa kamera ialah Ed Woodward. Dua bulan selepas itu, Mourinho akhirnya dipecat kerana prestasi skuad kendalian beliau terus menjunam. Saya tidak mahu ambil tahu siapa dalang di sebalik pemecatan Mourinho, tetapi persoalan paling utama mengapa kelab besar seperti United selepas era Sir Alex Ferguson lebih cenderung menjadi bahan jenaka. Atau lebih tepatnya, United sesudah berakhirnya era Fergie dipenuhi banyak drama berbanding prestasi terpuji di atas padang.

Mengapa David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho gagal? Mengapa kepulangan semula Paul Pogba gagal mencetuskan impak berpanjangan sedangkan bekas penyandang pemain termahal dunia itu menampilkan sisi berbeza dalam permainannya ketika bersama skuad kebangsaan Perancis? Mengapa pemain berbakat besar seperti Anthony Martial bergelut untuk membuktikan kemampuan beliau dalam skuad utama? Mengapa pelaburan yang dilakukan terhadap Angel Di Maria, Memphis Depay, Henrikh Mkhitaryan dan Alexis Sanchez menjadi pelaburan yang sia-sia?

Sebagai antara kelab terkaya di dunia, United sebenarnya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pemain-pemain bintang dan hal tersebut dibuktikan mereka menerusi pembelian yang dilakukan ke atas Di Maria, Pogba, Sanchez dan menjadikan Harry Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia. Lebih £600 juta yang dibelanjakan United sejak 2013 tidak menjadikan mereka kesebelasan yang digeruni, malah hanya mengubah wajah The Red Devils kepada kesebelasan yang lesu, tidak konsisten dan tidak lagi ditakuti.

Berbanding ketika era pengurusan David Gill, United di bawah telunjuk Ed Woodward kini lebih dikenali sebagai kelab yang gemar berbelanja besar tanpa memikirkan adakah pemain yang ditandatangani itu sesuai dengan keperluan dan rencana pasukan. Selaku seorang yang memiliki latarbelakang dalam dunia kewangan dan perbankan, kredibiliti Woodward dalam menjadikan United sebagai salah sebuah kelab yang memiliki pendapatan tertinggi dunia memang perlu diakui. Buktinya, musim lalu, United meraih pendapatan £627.1 juta, iaitu peningkatan 6% dari musim sebelumnya.

Selaku bekas akauntan dan `banker’, Woodward mungkin berfikir bahawa segala masalah boleh diselesaikan dengan wang tetapi usaha yang dilakukan beliau setakat ini nampaknya masih belum berhasil. Beliau membayar harga Marouane Fellaini lebih mahal dari nilai kontraknya. Beliau membawa masuk Angel Di Maria dan Memphis Depay, dua pemain `individualistik’ yang sebenarnya tidak cocok dengan falsafah possession football ala Van Gaal. Dan apakah yang merasuk fikiran beliau hingga sanggup menjadikan Pogba pemain termahal dunia?

Jika senarai di atas masih belum cukup, bagaimana pula keputusan Woodward melantik Jose Mourinho selaku pengganti Van Gaal, sedangkan semua orang tahu bahawa falsafah park the bus beliau sangat berlawanan dengan DNA permainan menyerang United. Juga atas penilaian apa hingga menyebabkan beliau berani melabel Diego Godin dan Toby Alderweireld sebagai bek yang tidak cukup bagus untuk United? Dan kesilapan paling fatal dan terkini yang dilakukan Woodward ialah membayar £60 juta kepada Arsenal hanya untuk seorang pemain bernama Alexis Sanchez.

Identiti Yang Kian Hilang

Woodward nampaknya gagal mengekalkan identiti United yang sudah dibina selama bertahun-tahun oleh Sir Alex Ferguson dan David Gill. Lebih menakutkan ketika United bergelut, kelab-kelab seperti Manchester City, Liverpool dan Tottenham Hotspurs semkin mula menjarakkan diri. City contohnya sudah lama mendahului United apabila pada 2012 mereka meletakkan Txiki Begiristain dalam hierarki pengurusan kelab selaku pengarah bolasepak  (Director of Football). Lihat sahaja apa yang berjaya dilakukan Begiristain bersama Pep Guardiola hingga berjaya meletakkan The Citizens sebagai kuasa baharu bolasepak England.

Liverpool pula dalam beberapa musim terakhir berjaya melakukan beberapa pembelian yang sangat sukses. Mo Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino, Alisson Becker, Fabinho, Giorgino Wijnaldum dan Virgil Van Dijk berjaya mengubah wajah Liverpool dari skuad yang sebelumnya sering menjadi bahan jenaka kepada pencabar serius kejuaraan liga. Di Old Trafford pula, United sudah memecat tiga pengurus pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Ketiga-tiganya (Moyes, Van Gaal dan Mourinho) adalah pengurus dengan falsafah bolasepak serta gaya permainan berbeza tetapi tetap gagal mengembalikan semula kegemilangan United.

Pengarah Bolasepak/Teknikal

Menempatkan seorang pengarah bolasepak/teknikal dalam hierarki pengurusan United kini sudah menjadi satu keperluan dalam bolasepak moden. United sepatutnya berasa malu kerana kelab kerdil seperti Brighton & Hove Albion juga sebenarnya sudah melihat jauh ke hadapan apabila mereka meletakkan Dan Ashworth di posisi tersebut. “Pengarah teknikal adalah jawatan yang perlu ada untuk menjaga kepentingan kelab dalam jangka masa pendek dan panjang.  Ada enam elemen tugas yang perlu dilakukan seorang pengarah teknikal iaitu skuad utama, skuad wanita, merekrut pemain, akademi, ilmu perubatan, sukan dan peminjaman pemain”, kata Ashworth.

Ketika kelab-kelab lain sudah mengorak langkah ke arah perubahan, United pula masih menggunakan cara lama. United perlu mendapatkan seorang pengarah bolasepak/teknikal kerana Woodward bukanlah individu yang tepat untuk melaksanakan tugas-tugas yang Ashworth sebutkan terutamanya dalam hal merekrut pemain baharu. Adanya seorang pengarah bolasepak/teknikal akan meringankan tugas pengurus. Kolaborasi antara pengarah bolasepak/teknikal dan pengurus akan menentukan pemain mana sesuai untuk direkrut dan pemain mana pula yang wajar dilepaskan ke pasukan lain.

Gandingan kuat antara pengarah bolasepak/teknikal dan pengurus akan menghasilkan sebuah pasukan yang kuat, bukan sahaja dari segi taktikal tetapi juga falsafah permainan. Manchester City dan Liverpool adalah contoh terbaik hingga menyebabkan United seperti sudah begitu jauh ketinggalan di belakang. “Jika pengurus dibiarkan berseorangan, dia akan menjadi sasaran yang mudah. Semua orang perlukan bantuan dalam bolasepak. Seorang pengarah teknikal itu sangat penting dalam bolasepak moden”, kata Luis Campos yang juga merupakan pengarah sukan kelab Ligue 1, LOSC Lille.

Penutup

Memecat Solskjaer tidak akan menyelesaikan masalah sebenar United. Begitu juga jika mereka melantik mana-mana pengurus baharu bagi menggantikan beliau. Van Gaal dan Mourinho adalah contoh pengurus berprofil tinggi yang gagal di Old Trafford, bukan kerana mereka tidak bagus, tetapi mereka gagal disebabkan sistem pengurusan kelab yang ketinggalan zaman terutamanya dalam melibatkan hal pembelian pemain. Salah satu kerosakan paling besar yang menyumbang kepada kegagalan United ialah kebebalan Woodward sendiri. Beliau mendakwa bahawa kelab masih mampu merekrut pemain yang diperlukan pengurus tanpa perlu adanya seorang pengarah bolasepak/teknikal.

Meskipun dalam tempoh beberapa waktu kebelakangan ini, United digembar-gemburkan bakal mendapatkan khidmat seorang pengarah bolasepak/teknikal, Woodward tetap menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk merekrut pemain baharu tetap berada di tangannya. Selaku penyokong dari jauh, kita hanya mampu merungut memikirkan nasib United ketika ini. Merungut tentang kerja belakang tabir yang dilakukan Woodward hingga merosakkan kelab. Jika rungutan demi rungutan dari kejauhan ini boleh menyebabkan `kebebalan' Woodward berkurangan, janganlah berhenti merungut untuk seorang individu yang pernah dilabel Van Gaal sebagai “tidak tahu apa-apa tentang bolasepak”. Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan