16 Ogos 2020

PRA PERLAWANAN: SEVILA BUKANLAH TERLALU LUARBIASA DAN UNITED JUGA BUKANLAH KESEBELASAN YANG BIASA-BIASA

 


Manchester United memilih jalan yang sukar sebelum mereka berjaya menyingkirkan FC Copenhagen di peringkat suku akhir Liga Europa tempohari. Mereka diheret untuk bermain hingga ke masa tambahan oleh wakil Denmark itu sebelum jaringan penalti Bruno Fernandes akhirnya meletakkan United di peringkat separuh akhir. Kali ini lawan yang bakal dihadapi ialah Sevilla, dan berbanding Copenhagen mereka adalah lawan yang jauh lebih sukar.

 

Reputasi sebagai `Raja Liga Europa’ sudah cukup untuk menggambarkan bahawa United bakal berdepan ujian getir ketika berdepan kelab dari Andalusia itu awal pagi nanti. Sevilla boleh dilabelkan sebagai `pakar’ dalam persaingan di pentas Liga Europa, kerana mereka tidak pernah gagal menjulang trofi tersebut setiap kali lolos ke peringkat suku akhir.

 

Jika itu masih tidak mencukupi untuk menggambarkan kemampuan mereka, lihat juga rekod skuad kendalian Julen Loptegui itu setiap kali mereka berdepan wakil dari Inggeris. Untuk rekod, dari sembilan pertembungan terakhir mereka dengan kelab-kelab dari England di pentas Eropah, Sevilla menang enam perlawanan, seri dua kali dan cuma tewas sekali.

 

Satu-satunya kekalahan yang dialami Sevilla kepada wakil England ialah ketika mereka disingkirkan Leicester City di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara musim 2016/17. Meskipun menang perlawanan pertama di Seville, kekalahan (0-2) di Kings Power Stadium pada perlawanan kedua menyaksikan Leicester City akhirnya mara ke pusingan suku akhir menerusi kelebihan aggregat (3-2).

 

Lima kejuaraan yang sudah mereka menangi sejak musim 2005/06 meletakkan Sevilla selaku kesebelasan paling sukses di pentas Liga Europa. Tumpuan pastinya terarah kepada kelibat Ever Banega, pemain paling menyerlah ketika mereka menyingkirkan Wolves di pusingan suku akhir tempohari. Masih ingat lagi apa yang pemain berusia 32 tahun ini lakukan lebih dua tahun lalu?

 

Lebih dua tahun lalu, United dan Sevilla pernah berdepan di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Tatkala peluang untuk melangkah ke pusingan suku akhir agak besar selepas skuad kendalian Jose Mourinho berjaya mengikat lawan (0-0) pada aksi pertama yang dilangsungkan di Seville, United bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan (1-2) di Old Trafford.

 

Wissam Ben Yedder mungkin pemain paling menjadi tumpuan menerusi dua gol yang dijaringkan beliau di Old Trafford, tetapi watak sebenar di sebalik kejayaan Sevilla pada malam 15 Mac 2018 itu ialah Ever Banega. Di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan dan Old Trafford, statistik merakamkan Banega berjaya mencipta 17 peluang jaringan gol untuk rakan-rakan sepasukannya.

 

Apa yang boleh dilakukan Ole Gunnar Solskjaer agar episod hitam lebih dua tahun lalu tidak berulang lagi? Sepertimana kebanyakkan kesebelasan di La Liga, Sevilla juga cenderung mengamalkan pendekatan penguasaan bola dalam permainan mereka. Sepanjang kempen Liga Europa musim ini, Sevilla mencatatkan purata 66.3% penguasaan bola, iaitu angka tertinggi berbanding mana-mana pasukan.

 

Bagi United pula, kekuatan utama mereka ialah pendekatan menerusi gerakan serang balas pantas dan Solskjaer memiliki sejumlah pemain yang mampu melaksanakan skema permainan tersebut dengan berkesan. Trio Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood akan menjadi tumpuan dalam misi untuk memecah benteng pertahanan Sevilla, tetapi saya memilih Paul Pogba atau Bruno Fernandes sebagai `game changer’ dalam perlawanan ini.

 

Jika diambilkira rekod pertemuan United dengan wakil-wakil dari Sepanyol di pentas Eropah, timbul sedikit kebimbangan tentang peluang mereka untuk mara ke pentas final nanti. Apatah lagi Sevilla sendiri tidak pernah gagal mara ke final setiap kali mereka berkesempatan menjejakkan kaki di peringkat separuh akhir. Sevilla adalah `pakar’ di Liga Europa, tetapi United juga bukanlah sebuah kesebelasan yang kerdil.

 

Kira-kira dua tahun lima bulan yang lalu, United cuma mampu melepaskan tiga percubaan tepat ke sasaran ketika mereka berdepan Sevilla, tetapi kini situasinya pasti berbeza. Penampilan Marcus Rashford serta Anthony Martial sudah jauh berbeza berbanding dua tahun lima bulan yang lalu, dan dengan adanya Mason Greenwood serta Bruno Fernandes, Yassine Bounou akan dipaksa bekerja lebih keras di gawang Sevilla nanti. Glory Glory Manchester United!!!


Statistik:

Manchester United

-Lima gol yang sudah dijaringkan Mason Greenwood setakat ini meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak United dalam saingan Liga Europa.

-Juan Mata merupakan penyumbang bantuan gol terbanyak United setakat ini di Liga Europa (5 assist).

-Rekod United ketika berdepan wakil Sepanyol di peringkat Eropah (menang 13 kali, seri 22 kali dan kalah 21 kali). Mereka menjaringkan 64 gol dan bolos 78 gol.

-United tidak pernah menang lapan pertemuan terakhir mereka dengan wakil Sepanyol di peringkat Eropah (seri 3 kali dan kalah 5 kali).

-Pertembungan terakhir United dengan kelab dari Sepanyol berlaku pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara 2018/19 menentang Barcelona. Mereka tersingkir selepas tewas dengan aggregat (0-4).

-Kali terakhir United tampil di peringkat separuh akhir Liga Europa ialah pada musim 2016/17. Mereka menyingkirkan Celta Vigo untuk mara ke final menerusi kemenangan aggregat (2-1).

-United cuma tewas sekali dari 22 penampilan terakhir mereka di Liga Europa (menang 16 kali, seri lima kali dan kalah sekali). Dari jumlah tersebut United menjaringkan 43 gol, bolos lapan gol dan 15 clean sheet.

Sevilla

-Lima gol yang sudah dihasilkan Munir El Haddadi setakat ini meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak Sevilla dalam saingan Liga Europa.

-Ever Banega merupakan penyumbang bantuan gol terbanyak untuk Sevilla dalam saingan Liga Europa setakat ini (3 assist).

-Rekod Sevilla ketika berdepan kelab Inggeris di peringkat Eropah (menang 7 kali, seri lima kali dan kalah 4 kali).

-Gawang Sevilla tidak bolos dalam tiga perlawanan terakhir mereka di Liga Europa.

-Sevilla tidak tewas dalam 19 perlawanan terakhir mereka di semua peringkat kejohanan (menang 10 dan seri 9). Selain itu mereka juga menang 7 dari lapan perlawanan terakhir mereka.

-Gawang Sevilla tidak tidak bolos dalam lima perlawanan terakhir mereka di semua peringkat kejohanan. Mereka menewaskan Mallorca (2-0), seri (0-0) ketika berdepan Real Sociedad, menewaskan Valencia (1-0), menewaskan AS Roma (2-0) dan menewaskan Wolves (1-0).

-Ever Banega sudah menyumbang 10 bantuan gol dalam semua peringkat kejohanan musim ini.   

-Lucas Ocampos sudah menjaringkan 17 gol dalam 42 penampilan untuk Sevilla di semua peringkat kejohanan musim ini sekaligus menjadikan musim 2019/20 sebagai musim paling produktif beliau sepanjang kariernya di Eropah.

-Sevilla tidak pernah gagal ke final setiap kali mereka mara hingga ke peringkat separuh akhir. Mereka melakukannya pada separuh akhir 2013/14, 2014/15 dan 2015/16.

13 Ogos 2020

MASIH RELEVANKAH SMALLING DI BENTENG PERTAHANAN UNITED?

 


Chris Smalling cuma perlukan semusim untuk menambat hati para Romanisti selepas beliau dipinjamkan ke AS Roma pada musim panas tahun lalu. Sepanjang semusim penampilannya di Stadio Olimpico, Smalling bermain 30 perlawanan untuk Roma di Serie A dan berjaya menjaringkan tiga gol selain berjaya membantu kelab dari kota Rome itu menamatkan saingan liga di tangga kelima sekaligus layak beraksi di pentas Liga Europa musim depan.

 

Mengakui bahawa `hatinya patah’ selepas `diperintahkan’ untuk pulang ke Old Trafford, Smalling sempat mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong Roma dan kecewa kerana tidak dapat membantu kesebelasan bergelar Giallorossi itu dalam kempen Liga Europa mereka. Untuk rekod Roma sudahpun tersingkir dari saingan Liga Europa selepas mereka tewas 0-2 kepada Sevilla di pusingan kalah mati 16 pasukan.

 

Kehadiran Harry Maguire yang direkrut Ole Gunnar Solskjaer dari Leicester City musim panas tahun lalu menyebabkan persaingan di posisi pertahanan tengah United kian sengit. Selain Maguire dan Smalling, Solskjaer turut memiliki Victor Lindelof, Eric Bailly, Phil Jones serta Axel Tuanzebe sebagai pilihan untuk digandingkan sebagai pasangan pertahanan tengah dalam skuadnya. Jadi pilihan yang ada ketika itu buat Smalling ialah cuba mencari cabaran baharu untuk mendapatkan lebih minit permainan.

 

Tatkala United menobatkan Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia, menyertai AS Roma adalah pilihan terbaik yang boleh dilakukan Smalling demi menyelamatkan kariernya yang semakin suram di Old Trafford. Smalling perlukan cabaran baharu, manakala Paolo Fonseca pula tercari-cari pengganti ideal kepada Kostas Manolas yang berhijrah ke Napoli selepas lima musim berada di kota Rome. Dan akhirnya Smalling adalah jawapan kepada masalah dihadapi Roma.

 

Di kota Rome, karier Smalling yang sebelumnya `layu’ kembali hidup. Meskipun pada peringkat awal Fonseca lebih memilih Juan Jesus sebagai rakan gandingan Federico Fazio, beliau akhirnya terpaksa mengakui bahawa Smalling adalah centre back yang lebih sesuai melaksanakan peranannya dalam taktikal yang beliau terapkan. Jadi tidak hairanlah mengapa Roma cuba mengekalkan Smalling di kota Rome dengan tawaran perpindahan bernilai €15 juta pada Januari lalu.

 

Hasrat Roma untuk mendapatkan khidmat Smalling secara tetap ditolak United, kerana Solskjaer sedar bahawa `cebisan’ pembelian dari era Sir Alex Ferguson ini masih boleh memainkan peranan penting untuk skuadnya. Namun persoalan paling besar, adakah Smalling masih lagi relevan untuk kembali membarisi benteng pertahanan United? Anda boleh dambakan kelibat Kalidou Koulibaly atau Alessio Romagnoli, tetapi secara peribadi saya berpendapat masa depan Smalling masa ada di Old Trafford.

 

Musim ini meskipun kelab berjaya mendapatkan khidmat Maguire, namun perlu diakui bahawa benteng pertahanan United masih belum benar-benar kukuh. Hampir sepanjang musim Solskjaer mengerah kudrat Maguire dan Lindelof di benteng tengah skuadnya namun gandingan ini sebenarnya bukanlah terlalu solid. Duel bola tinggi adalah kelemahan paling ketara dalam permainan Lindelof, jadi Smalling boleh menjadi opsyen tambahan di barisan belakang United atau sekiranya Solskjaer mahu menggunakan strategi tiga pertahanan.

 

Perlu diakui bahawa Smalling sudah menemui semula pretasi terbaiknya sepanjang semusim `perguruan’ beliau di Serie A. Itali yang memang terkenal sebagai sebuah negara yang sangat taksub dengan seni bertahan dalam bolasepak adalah tempat terbaik untuk Smalling mengasah kembali teknik bertahan dalam permainan beliau. Bermain di liga yang menuntut aspek taktikal yang tinggi, Smalling akhirnya berjaya beradaptasi dengan cukup pantas dalam budaya bolasepak Itali.

 

Di kota Rome, Smalling berjaya membuatkan para Romanisti `jatuh cinta’ menerusi pengaruh yang dimainkannya di atas padang, tetapi akhirnya mereka juga terpaksa mengakui hakikat bahawa beliau masih lagi pemain United. Kini Smalling kembali lagi ke Old Trafford, dan tentunya sangat menarik untuk kita melihat adakah beliau berjaya membuatkan penyokong-penyokong United `jatuh cinta’ buat kali kedua kepadanya. Masih relevankah Smalling di benteng pertahanan United? Glory Glory Manchester United!!!!



11 Ogos 2020

BRUNO...`SI RAJA SEPAKAN PENALTI'

 


Manchester United terpaksa bermain sehingga 120 minit sebelum mereka berjaya menyingkirkan wakil Denmark, FC Copenhagen awal pagi tadi. Meskipun `armada’ Solskjaer tampil dominan dengan melepaskan 26 percubaan, namun mereka akhirnya terpaksa bergantung sekali lagi kepada sepakan penalti Bruno Fernandes untuk berdepan sama ada Wolverhampton Wanderers atau Sevilla di peringkat separuh akhir nanti.

 

Penalti…penalti…penalti, dan akhirnya satu lagi sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan untuk United musim ini. Secara keseluruhannya, United dihadiahkan sepakan penalti sebanyak 21 kali dalam semua peringkat kejohanan musim ini. Jadi sudah tentu keputusan Clement Turpin menghadiahkan satu lagi sepakan penalti kepada United awal pagi tadi mengundang perdebatan hangat di kalangan peminat bolasepak.

 

Dalam saingan peringkat domestik, United dihadiahkan sepakan penalti sebanyak 17 kali (saingan liga 14 kali, Piala FA  2 kali, dan Piala Liga sekali). Manakala di pentas Liga Europa pula, mereka sudah dihadiahkan empat sepakan penalti setakat ini dan keempat-empatnya berjaya disempurnakan. Catatan ini menyaksikan United muncul kesebelasan paling banyak dihadiahkan sepakan penalti berbanding mana-mana pasukan dari lima liga utama Eropah.

 

Ketepikan sebentar pandangan sinis segelintir peminat bolasepak tentang kejayaan United mara ke peringkat separuh akhir menerusi gol sepakan penalti Bruno Fernandes itu. Tiada pertikaian, kerana kekasaran yang dilakukan Andreas Bjelland ke atas Anthony Martial itu seharusnya berakhir dengan sepakan penalti. Memetik kata-kata Romario yang juga merupakan legenda bolasepak Brazil, “Gol tetap gol meskipun ia dijaringkan dengan menggunakan perut”.

 

Ya…awal pagi tadi United mara ke peringkat separuh akhir Liga Europa meskipun mereka akhirnya terpaksa sekali lagi bergantung kepada gol sepakan penalti dari Bruno. Berdepan dengan Karl-Johan Johnsson yang begitu cemerlang menafikan peluang-peluang terbuka sepanjang tempoh 90 minit permainan, Bruno bertindak dengan cukup bijak apabila beliau mengubah teknik sepakan penaltinya untuk menewaskan penjaga gol berusia 31 tahun itu.

 

Bruno tidak melakukan lompatan kecil sebelum melepaskan sepakan sepertimana kelaziman yang beliau lakukan, tetapi kali ini beliau cuma melakukan rembatan terus menerusi kaki kanannya. Satu keputusan tepat yang dilakukan Bruno kerana bola akhirnya menuju laju ke arah kanan pintu gol lawan meskipun Johnsson masih mampu membaca arah sepakan tersebut. Mengulas tentang hal tersebut, Solskjaer tidak terkejut apabila Bruno mengubah teknik sepakan penaltinya.

 

Menurut Solskjaer, semasa sesi latihan, Bruno biasanya berlatih dengan dua gaya sepakan penalti bergantung kepada penjaga gol yang bakal beliau hadapi. Gol ke gawang Copenhagen itu merupakan gol ketujuh yang disempurnakan Bruno menerusi sepakan penalti sejak beliau menyertai United pada Januari lalu. Sepanjang kariernya, Bruno juga memiliki catatan yang sangat bagus ketika beliau ditugaskan untuk menyempurnakan sepakan penalti. Untuk rekod, dari 29 sepakan penalti yang diambilnya, Bruno cuma gagal sebanyak dua kali sahaja.

 

Kegagalan pertama berlaku dalam aksi beliau untuk Udinese ketika berdepan Napoli dalam saingan Serie A musim 2015/16. Manakala kegagalan kedua pula berlaku dalam aksinya bersama Sporting Lisbon ketika berdepan GS Loures dalam kejohanan Taca de Portugal pada Oktober 2018. Jika berjaya ke final, United masih memiliki baki dua lagi perlawanan, jadi ada kemungkinan jumlah 21 sepakan penalti yang diterima mereka setakat ini boleh bertambah. Jika itu berlaku, siapa lagi yang akan ditugaskan untuk melakukannya jika bukan Bruno…`Si Raja Sepakan Penalti’. Glory Glory Manchester United!!!


09 Ogos 2020

EDWIN VAN DER SAR: ENAM TAHUN MENUNGGU DAN ENAM TAHUN YANG SANGAT DOMINAN DI OLD TRAFFORD

 

Perlukan tempoh selama enam tahun sebelum hasrat Sir Alex Ferguson untuk meletakkan Edwin Van der Sar di posisi nombor 1 dalam kesebelasan Manchester United tercapai. Selepas pemergian Peter Schmeichel pada 1999, Fergie bergelut mencari pengganti `The Great Dane’ untuk mengawal gawang United. Selama enam tahun juga, Fergie telah `bereksperimen’ dengan sekurang-kurangnya sepuluh orang penjaga gol di gawang The Red Devils. Mark Bosnich, Massimo Taibi, Raimond Van der Gouw, Nick Culkin, Andy Goram, Paul Rachubka, Roy Carroll, Fabien Barthez, Ricardo dan Tim Howard adalah diantaranya.

 

Namun di antara mereka tiada seorang pun yang benar-benar `setaraf’ Schmeichel, penjaga gol yang berjaya membantu United menjulang lima trofi kejuaraan Liga Perdana sepanjang lapan tahun pengabdiannya di Old Trafford. Kemuncak karier Schmeichel bersama United tentunya kejayaan epik menjulang kejuaraan `treble’ (Liga Pedana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) pada 1999. Segalanya sudah beliau menangi bersama United, jadi Schmeichel akhirnya memilih untuk mengundurkan diri secara terhormat pada penghujung musim 1998/99.

 

Bukan Mark Bosnich sebenarnya yang dimahukan Fergie bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Schmeichel, tetapi radar beliau terarah kepada seorang penjaga gol yang pada ketika itu sudah pun menjangkau usia 29 tahun. Beliau yang saya maksudkan ialah Edwin Van der Sar. “Kami sepatutnya mendapatkan Van der Sar ketika Peter pergi. Tetapi Martin Edwards sudah menjalinkan persetujuan dengan Aston Villa untuk Mark Bosnich”, kata Fergie dalam satu temubual bersama Mark Ogden dari The Telegraph.

 

Bagaimanapun selama enam tahun selepas itu, Fergie hanya perlukan seorang penjaga gol untuk mengawal gawang United, dan sepanjang tempoh itu (2005-2011), Van der Sar begitu dominan menguasai posisi nombor satu dalam kesebelasan Fergie. Sembilan musim bersama Ajax Amsterdam, Van der Sar berjaya memenangi pelbagai kejuaraan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Beliau merupakan antara anggota `generasi emas’ Ajax di bawah kendalian Louis Van Gaal yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara pada musim 1994/95 selepas mereka melakar kejutan dengan menewaskan AC Milan di pentas final.

 

Bagaimanapun kemuncak sebenar kepada karier Van der Sar berlaku di Old Trafford. Selepas mengecapi pelbagai kejayaan bersama Ajax, Van der Sar menyertai Juventus pada musim 1999/00, tetapi di Turin perjalanan karier beliau tidak seindah seperti yang diimpikan. Selama dua musim, beliau adalah pilihan utama Carlo Ancelotti untuk mengawal gawang Juventus, namun keputusan kelab menandatangani Gianluigi Buffon dari Parma pada 2001 merupakan titik penamat kepada karier beliau di Itali.

 

“Ketika itu berlaku banyak perpindahan penjaga gol di Serie A. Buffon ke Juventus, (Francesco) Toldo ke Inter dan (Sebastien) Frey ke Parma. Situasinya seperti belaku pertarungan antara penjaga-penjaga gol top manakala saya pula ditinggalkan. Saya kemudiannya berbincang dengan Ajax, Dortmund dan Liverpool tetapi mereka memilih untuk menunggu hingga ke penghujung tempoh jendela perpindahan sebelum membuat keputusan”, kata Van der Sar kepada Four Four Two.

 

Ketika beliau tercari-cari kelab yang mahukan khidmatnya, United pula pada 2001 sudah memiliki Fabien Barthez yang ditandatangani Fergie setahun sebelumnya dari AS Monaco. Masa semakin suntuk untuk beliau, jadi pilihan terakhir yang ada ketika itu ialah kekal bersama Juventus dan pasrah untuk sekadar menjadi pilihan nombor dua di belakang Buffon. Bagaimanapun di saat tiada mana-mana kelab besar yang berminat mendapatkan khidmatnya, Fulham secara tiba-tiba datang membuat tawaran.

 

Pada 1 Ogos 2001, Van der Sar akhirnya menyertai Fulham dengan nilai perpindahan sebanyak £7 juta. Agak ironi sebenarnya apabila melihat salah seorang penjaga gol terbaik dunia ketika itu menyertai kelab yang baru dipromosikan ke liga utama seperti Fulham. Bagaimanapun bagi Van der Sar, itu adalah pilihan yang jauh lebih baik berbanding kekal di Turin dan melihat Buffon merampas posisinya selaku penjaga gol nombor satu Juventus.

 

Di Craven Cottage, Fulham memenuhi hasrat Van der Sar di mana posisi nombor satu tidak mampu digugat oleh mana-mana pemain apatah lagi reputasi yang dimilikinya selaku penjaga gol utama skuad kebangsaan Belanda. Meskipun usia beliau sudah mencecah angka 30an, namun penampilan Van der Sar cukup konsisten. Dari 154 penampilan untuk `The Cottagers’, beliau berjaya mencatatkan 49 `clean sheet’, statistik yang sangat mengagumkan dari seorang penjaga gol untuk kelab yang sering bertarung di kelompok pertengahan liga seperti Fulham.

 

Meskipun usia beliau bukan lagi muda, hasrat Van der Sar untuk menyertai mana-mana kelab besar di Eropah masih menyala. Kerinduan untuk menjulang trofi kejuaraan masih meluap-luap namun Fulham sudah tentu tidak mampu menenuhi ambisi beliau. “Saya ke Fulham kerana mereka ada projek yang bagus. Saya masih boleh bermain di peringkat tertinggi dan skuad kebangsaan tetapi saya terlepas malam-malam aksi di Eropah dan menjulang kejuaraan. Saya tertanya-tanya bilakah agaknya ada kelab besar yang datang membuat tawaran”, ujar Van der Sar pada 2009.  

 

Akhirnya penantian Van der Sar berakhir apabila pada 2005, Fergie datang menawarkan peluang untuknya berpindah ke Old Trafford. Meskipun ketika itu Tim Howard sudah dipersiapkan sebagai penjaga gawang jangka panjang United, Fergie melihat Van der Sar punya aset yang sangat berharga iaitu pengalaman yang dimilikinya ketika beraksi di pentas tertinggi. Pada Jun 2005, Van der Sar yang ketika itu sudah pun berusia 35 tahun diumumkan secara rasmi sebagai pemain United melibatkan yuran perpindahan bernilai £2 juta.

 

Musim pertama Van der Sar di Old Trafford, kerinduan beliau untuk kembali menjulang trofi kejuaraan berakhir apabila United menewaskan Wigan Athletic (4-0) pada aksi final Piala Liga. Ini cumalah permulaan, kerana selepas itu Van der Sar sukses membantu United menjulang pelbagai kejuaraan besar di peringkat domestik dan Eropah. Sudah tentu momen paling indah bila anda bercakap tentang Van der Sar ialah ketika beliau menafikan sepakan penalti Nicholas Anelka yang menyaksikan United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab.

 

Kejayaan 12 tahun lalu di Stadium Luzhniki itu boleh dianggap kemuncak kepada karier selama enam musim Van der Sar di Old Trafford, tetapi jangan lupakan juga apa yang telah beliau lakukan pada musim 2008/09. Pada usia 38 tahun ketika itu, Van der Sar sekali lagi mengagumkan kita apabila ketangkasannya menyaksikan gawang United tidak dibolosi selama 1,311 minit. Catatan ini meletakkan Van der Sar sebagai pemegang rekod dunia yang baharu selaku penjaga gol yang memiliki catatan `clean sheet’ paling lama dalam tempoh semusim mengatasi catatan yang dilakukan Jose Maria Buljubasich (1,289 minit).  

 

Prestasi memukau yang dipamerkan beliau di gawang sepanjang musim 2008/09 membolehkan United mengatasi cabaran sengit Liverpool untuk keluar selaku juara Liga Perdana. Kejayaan ini turut menyaksikan United mengekalkan trofi Liga Perdana di Old Trafford buat musim ketiga berturut-turut. Meskipun tewas kepada Barcelona dalam aksi final Liga Juara-Juara di kota Rome, Van der Sar diumumkan sebagai penjaga gol terbaik Eropah selain antara lima pemain United yang tersenarai untuk anugerah PFA Player of the Year yang dimenangi Ryan Giggs.

 

Sepanjang enam musim di Old Trafford, Van der Sar berjaya membantu United menjulang empat kejuaraan Liga Perdana, satu trofi Liga Juara-Juara, satu trofi Kejuaraan Kelab Dunia, satu Piala Liga dan tiga Perisai Komuniti. Van der Sar adalah jawapan kepada masalah United yang selama enam tahun tercari-cari pengganti paling ideal kepada Peter Schmeichel di gawang mereka. Akhirnya selepas menanti selama enam tahun `ikatan cinta’ antara beliau dan United terjalin, itupun ketika usia Van der Sar sudah mencecah 35 tahun. Mungkin agak lewat tetapi penantian panjang Fergie itu akhirnya tetap berbaloi. Glory Glory Manchester United!!! 


07 Ogos 2020

ALEXIS SANCHEZ: SATU KEGAGALAN ATAU UNITED MEMANG TIDAK PERNAH MENEMUI SISI TERBAIK DALAM PERMAINANNYA?


 


Akhirnya teka-teki tentang masa depan Alexis Sanchez sudah terjawab selepas pemain berusia 31 tahun itu menyertai Inter Milan secara tetap. Berbanding Chris Smalling yang dipanggil pulang semula ke Old Trafford, Sanchez pula akhirnya dilepaskan ke Inter Milan selepas menjalani tempoh pinjaman di San Siro sepanjang musim ini. Perpindahan Sanchez ke San Siro secara tetap memang sudah boleh diduga, malah Antonio Conte melabelkan perpindahan ini sebagai `sesuatu yang hebat’ dilakukan oleh pihak pengurusan Inter.

 

Sehingga bulan Januari (2020), Sanchez hanya tampil dalam lima perlawanan liga untuk Inter kerana masalah kecederaan yang dialaminya. Bagaimanapun selepas itu, beliau diturunkan Conte dalam 17 perlawanan liga dimana sembilan daripadanya Sanchez diletakkan dalam kesebelasan utama. Daripada jumlah itu, beliau berjaya menjaringkan tiga gol dan mencipta lapan bantuan gol. Jadi tidak hairanlah mengapa Conte gembira selepas perpindahan Sanchez ke San Siro secara tetap berjaya direalisasikan.

 

Sanchez secara rasminya menyertai United pada Januari 2018 dengan kelab turut menjadikan Henrikh Mkhitaryan sebagai pertukaran. Satu keterujaan yang sangat luarbiasa dirasakan ketika itu selepas perpindahan Sanchez dari Stadium Emirates ke Old Trafford dimuktamadkan. Apa tidaknya kerana sepanjang tiga musim setengah menyarung jersi Arsenal, Sanchez melakukan 166 penampilan dalam semua peringkat kejohanan, menjaringkan 80 gol dan mencipta 45 bantuan gol untuk skuad The Gunners.

 

Gol-gol yang dihasilkannya juga sering menjadi penentu kepada kemenangan Arsenal, jadi jangan salahkan penyokong-penyokong United sekiranya pada ketika itu mereka melabelkan beliau sebagai `pemain paling layak’ mewarisi jersi ikonik nombor 7 selepas era Cristiano Ronaldo di Old Trafford berakhir. Masih ingatkah lagi kenyataan Bryan Robson yang meramalkan Sanchez bakal menjadi sehebat Cantona, Beckham dan Ronaldo? Akhirnya sepanjang semusim setengah Sanchez di Old Trafford, keterujaan terhadap beliau bertukar menjadi kekesalan.

 

Bayaran gaji tinggi yang diterima beliau menyaksikan kelab terpaksa melakukan perubahan besar dalam struktur gaji pemain manakala aksinya di atas padang pula tidak setimpal dengan imbuhan yang diterimanya. Akhirnya suka atau pun tidak, kita terpaksa mengakui bahawa keputusan kelab mendapatkan khidmat Sanchez antara `blunder’ terbesar pernah dilakukan mereka. Mengapa dari seorang pemain yang begitu `mengerikan’ ketika di Arsenal, Sanchez bertukar kepada pemain yang gagal di Old Trafford?

 

Jangan salahkan Sanchez 100% berikutan kegagalan beliau sepanjang satu musim setengah menyarung jersi United. Di Stadium Emirates, beliau ialah pemain nombor satu atau lebih tepatnya `anak emas’ untuk Arsenal, dimana skema permainan mereka yang dibangunkan Arsene Wenger berteraskan kepada kelebihan dan kekuatan yang dimiliki Sanchez. Sanchez adalah penjaring gol utama untuk Arsenal dan fokus beliau juga hanya tertumpu untuk melakukan perkara tersebut (menjaringkan gol).

 

Di Old Trafford, Sanchez tidak menikmati keistimewaan tersebut berikutan adanya Romelu Lukaku, Marcus Rashford dan Anthony Martial. Bersama United, Sanchez juga lebih kerap diberikan peranan untuk bertindak sebagai pemain sayap berbanding tugas hakikinya sebagai penyerang tengah ketika bersama Arsenal. Meskipun peranan sebagai pemain sayap bukanlah terlalu asing buat beliau, Sanchez sebenarnya lebih berbahaya ketika beliau bergerak di tengah berbanding di sisi padang.

 

Mungkin atas faktor inilah mengapa akhirnya anda melihat Sanchez lebih cenderung dijadikan bahan jenaka berbanding label `penyelamat’ yang diletakkan kepadanya ketika fasa awal kehadiran beliau di Old Trafford. 45 penampilan dalam semua kejohanan, menjaringkan lima gol dan mencipta sembilan bantuan gol, itulah sumbangan Sanchez sepanjang semusim setengah beliau menyarung jersi United sebelum menjalani tempoh pinjaman selama semusim di San Siro. Cuba bandingkan pula statistik beliau sepanjang tempohnya bersama Arsenal.

 

Masalah kecederaan, hilang keyakinan diri dan tidak sesuai dengan strategi permainan yang digunakan United antara faktor mengapa Sanchez gagal menjelma menjadi pemain yang sama sepertimana ketika beliau menyarung jersi Arsenal. Semusim setengah adalah tempoh yang sangat menyakitkan buat Sanchez tetapi kini beliau menikmati `angin baharu’ di San Siro. Selepas aksi Serie A disambung semula, Sanchez mula menemui semula sentuhannya terbaiknya dan paling penting Inter berjaya membuatkan beliau jatuh cinta semula dengan bolasepak. “Semoga berjaya di sana Alexis Sanchez”. Glory Glory Manchester United!!!


03 Ogos 2020

SANCHO...REALITI ATAU SATU LAGI KISAH `CINTA YANG TIDAK KESAMPAIAN'?



Beliau adalah subjek utama perbualan penyokong-penyokong Manchester United di media sosial sejak akhir-akhir ini. Ada yang mengatakan bahawa United cuma selangkah lagi dalam misi mereka mendapatkan pemain ini, tetapi cerita terbaharu yang mengatakan bahawa beliau lebih memilih Anfield berbanding Old Trafford juga mungkin sedikit sebanyak merentap emosi kita sebagai penyokong United. Pemain yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Jadon Sancho.

 

Sancho adalah sasaran paling panas dalam bursa perpindahan kali ini, semuanya gara-gara kemampuan beliau menjaringkan 20 gol dan mencipta 20 bantuan gol dari 44 penampilan dalam semua peringkat kejohanan untuk Dortmund sepanjang musim ini. Bagaimanapun halangan paling besar untuk United dalam misi mereka membawa bintang muda ini pulang semula ke England ialah harga tinggi yang diletakkan Dortmund.

 

£109 juta…itulah tandaharga yang  diletakkan Michael Zorc, sedangkan Ed Woodward pula cuma sanggup mengeluarkan dana sebanyak £80 juta sahaja demi merealisasikan hasrat penyokong-penyokong United yang mahu melihat Sancho menyarung jersi merah `The Red Devils’ musim depan. Dortmund akhirnya memberikan tempoh sehingga 10 Ogos kepada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmat Sancho sebelum mereka memutuskan senarai skuad untuk musim 2020/21.

 

Saya tidak bimbang bila `Kickers’ dalam laporan mereka menyebut bahawa Sancho lebih beminat untuk berpindah ke Liverpool berbanding United. Asas pertimbangan Sancho ialah peluang untuknya menjulang trofi lebih cerah jika menyertai skuad kendalian Jurgen Klopp itu. Ya…cakap memang mudah tetapi realitinya tidak begitu kerana seperti mana-mana pasukan, Liverpool juga berdepan kekangan kewangan kesan daripada  penularan pandemik Covid-19.

 

Pada Jun lalu, Klopp terpaksa mengundurkan diri dari pemburuan mendapatkan Timo Werner meskipun Liverpool pada mulanya disebut-sudah berada di fasa akhir dalam misi mereka membawa bekas penggempur RB Leipzig itu beraksi di Anfield. Dalam situasi kekangan kewangan yang dihadapi banyak kelab, Klopp akhirnya terpaksa akur dan membiarkan Chelsea memintas mereka apabila kelab berpangkalan di London itu mengumumkan kejayaan menandatangani Werner dengan kontrak selama lima tahun bernilai £45 juta.   

 

Siapa yang tidak teruja dengan prospek seperti Sancho. Pada usia yang baru mencecah 20 tahun, beliau sudah mempesonakan peminat bolasepak dunia menerusi peranan yang dimainkannya dalam kesebelasan Dortmund. Untuk kejohanan peringkat umur pula, Sancho adalah bintang utama untuk skuad U-16 dan U-17 England. Ketika mewakili skuad U-16 England, beliau menjaringkan enam gol dari tujuh penampilan. Bersama skuad U-17 pula, Sancho menjaringkan 13 gol dan mencipta tujuh bantuan gol dari 17 penampilan.

 

Dalam kejohanan Euro U-17 yang dilangsungkan di Croatia pada 2017, Sancho antara `key player’ di sebalik kejayaan England mara ke pentas final. England tewas kepada Sepanyol dalam penentuan sepakan penalti, tetapi catatan lima gol dan lima bantuan gol yang dilakukannya membolehkan Sancho dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan, pengiktirafan yang turut pernah diberikan kepada Cecs Fabregas, Toni Kroos, Mario Gotze dan Wayne Rooney.

 

Ramalan Christian Wuck yang juga merupakan pengendali skuad U-17 Jerman ketika itu bahawa Sancho bakal muncul pemain yang lebih `menakutkan’ akhirnya menjadi kenyataan. Dalam kejohanan peringkat umur, `level’ beliau berada di atas rakan-rakan seusianya manakala penampilan beliau ketika menyarung jersi Dortmund pula sangat mempersonakan menerusi gerakan-gerakan yang dilakukannya ketika bola berada dikakinya.

 

Untuk seorang pemain yang memiliki kelajuan dan teknik kawalan bola menarik sepertinya, Sancho adalah pemain yang sangat berbahaya buat kesebelasan yang sering mengamalkan pendekatan serang balas pantas. Beliau adalah ancaman utama buat mana-mana `fullback’ lawan menerusi gerakan-gerakan licik yang dilakukannya dari sisi padang. Dengan kemampuan untuk melakukan `cut inside’ , Sancho turut boleh berperanan dari sisi kanan ataupun kiri.

 

Tiga tahun lalu, Sancho antara bintang dalam pembikinan yang menjadi perhatian kelab-kelab Eropah selepas masa depan beliau bersama Manchester City semakin tidak menentu. City cuba mengekalkan beliau di Stadium Etihad dengan tawaran kontrak profesional bernilai £210 ribu semusim. Bagaimanapun Sancho perlukan minit permainan yang lebih banyak, namun dengan adanya pemain-pemain seperti Raheem Sterling, Leroy Sane, Gabriel Jesus serta Bernardo Silva, tiada jaminan untuk beliau tembus ke dalam skuad utama pimpinan Guardiola.

 

Akhirnya dengan tawaran bernilai £8 juta yang diberikan Dortmund, Sancho secara rasmi berpindah ke Signal Iduna Park pada Ogos 2017. Berpindah ke Signal Iduna Park adalah langkah yang paling tepat diambil Sancho kerana Dortmund memiliki `track record’ yang sangat bagus dalam mengetengahkan bakat-bakat muda seperti beliau. Perlukan keberanian yang bukan sedikit untuk seorang anak muda berusia 17 tahun berpindah ke negara yang bahasa serta budaya hidupnya berbeza dengan tanah air sendiri.

 

Secara peribadi, saya kurang mengambil perhatian tentang pemain bernama Jadon Malik Sancho ini hinggalah aksi mempersonakan yang dipamerkannya ketika Dortmund membelasah Atletico Madrid (4-0) dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim 2018/19. Sepanjang bersama Dortmund, Sancho muncul pemain yang lebih baik dari musim ke musim dan dari pemain yang cuma berharga £8 juta, nilai semasa beliau kini sudah melonjak melebihi £100 juta. 

 

Persoalan paling besar sekarang adakah United sanggup berbelanja lebih £100 juta untuk seorang pemain yang baru berusia 20 tahun? Atau adakah pengakhirannya nanti kelibat Sancho dengan jersi merah United cuma sekadar fantasi buat penyokong-penyokong `The Red Devils’? Usah kecewa sekiranya `saga transfer’ Sancho ke Old Trafford tidak menjadi kenyataan kerana tetap ada alternatif lain yang boleh dipertimbangkan untuk menggantikan beliau. Jauh di Argentina ada Thiago Almada yang sedang meningkat naik, dan harganya juga tentu jauh lebih murah berbanding Sancho. Glory Glory Manchester United!!!


01 Ogos 2020

MAGUIRE...BERBALOI ATAU MEMBAZIR

 

Pada Julai 2019, Manchester United menawarkan £70 juta kepada Leicester City untuk mendapatkan khidmat Harry Maguire. Bagaimanapun tawaran pertama United ditolak `The Foxes’, dan angka itu kemudiannya melonjak kepada £80 juta sekaligus meletakkan Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia mengatasi nilai yang dibayar Liverpool ketika mereka menandatangani Virgil Van Dijk pada Januari 2018.

 

Dengan nilai yang dibayar sebanyak £80 juta itu, tentulah harapan tinggi diletakkan di bahu beliau selaku tonggak utama di benteng tengah pertahanan United. Musim lalu, isu kerapuhan benteng pertahanan antara isu yang sering disuarakan Jose Mourinho hinggalah pemecatannya pada bulan Disember 2018. Masalah itu kemudiannya diwarisi Ole Gunnar Solskjaer yang menyaksikan United menamatkan musim 2018/19 dengan pintu gol mereka dibolosi sebanyak 54 kali.

 

Musim ini, Solskjaer meletakkan kombinasi Harry Maguire dan Victor Lindelof sebagai gandingan nombor satu pilihan beliau di sektor tengah pertahanan United selepas Chris Smalling berhijrah ke AS Roma dengan status sebagai pemain pinjaman. Dua lagi pilihan pertahanan tengah yang ada dalam skuad utama United (Eric Bailly dan Phil Jones) pula lebih kerap menghabiskan tempoh musim ini dibilik rawatan akibat kecederaan jangka panjang yang dialami mereka.

 

Jika diambilkira jumlah gol yang dilepaskan United musim ini (36 gol), kehadiran Maguire memang memberikan kesan kepada kekuatan jentera pertahanan The Red Devils, meskipun penampilan beliau di penghujung musim sering dijadikan sasaran kritikan. Akibat beberapa siri kesilapan yang dilakukannya, timbul perdebatan sama ada berbaloikah kelab mengeluarkan belanja sebanyak £80 juta untuk seorang pertahanan tengah seperti beliau?

 

Untuk berlaku adil, kita perlu mengakui bahawa ini adalah musim pertama Maguire di Old Trafford, musim di mana beliau sebenarnya perlu diberikan peluang untuk beradaptasi dengan gaya permainan United. Untuk seorang pemain yang berperanan sebagai `ball playing defender’, Maguire sebenarnya sudah menjalankan tugasnya dengan cukup baik apabila statistik menunjukkan bahawa peratus ketepatan hantarannya mencapai 86.7% dari 2,519 hantaran yang dilakukannya.

 

Salah satu kelemahan benteng pertahanan United yang berjaya dihidu Solskjaer ialah dalam menangani pertarungan bola tinggi. Jadi atas sebab itulah mengapa seorang pertahanan tengah seperti Maguire sangat diperlukan beliau. Musim lalu, Maguire berjaya memenangi purata 5.9 perebutan bola tinggi dalam setiap perlawanan. Catatan ini mengatasi statistik yang dilakukan Chris Smalling (4.3), Phil Jones (2.6) dan Victor Lindelof (1.8).

 

Bagaimana pula catatan Maguire musim ini? Musim ini beliau berjaya memenangi 176 kali `duel’ bola tinggi sekaligus meletakkannya di tangga ketiga sebagai pemain pertahanan paling banyak memenangi perebutan bola tinggi di Liga Perdana selepas James Tarkowski dan Virgil Van Dijk. Selain beliau, tiada mana-mana pertahanan United yang tersenarai dalam kelompok 19 pemain pertahanan yang paling banyak memenangi perebutan bola tinggi dalam saingan liga musim ini.

 

Berbekalkan ketinggian 194cm yang dimilikinya, Maguire berjaya memenangi purata perebutan bola tinggi sebanyak 4.6 kali per perlawanan. Angka yang sedikit menurun berbanding catatan dilakukannya ketika bersama Leicester musim lalu. Bagaimanapun cuba bayangkan apa yang terjadi kepada benteng pertahanan United ketika mereka berdepan lawan yang memiliki pemain berketinggian seperti Sebastian Haller, Tomas Soucek, Yerry Mina, Jannik Vestergaard, Philip Billing atau Daniel Burn dalam situasi bola mati tanpa Maguire?

 

Secara peribadi, saya beranggapan Maguire berjaya mengharungi musim pertamanya sebagai pemain United dengan baik. Aksi terakhir liga menentang Leicester adalah contoh terbaik bagaimana benteng pertahanan United sangat perlukan kepimpinan seorang pemain seperti beliau. Sepanjang aksi di Kings Power Stadium, Maguire melakukan tujuh `duel’ di udara sekaligus muncul pemain paling banyak terlibat dalam perebutan bola tinggi berbanding mana-mana pemain di atas padang ketika itu.


Kemampuan ketika melakukan `tackle’ atau ketika melakukan `pressing’ adalah antara aspek yang perlu diperbaiki Maguire jika beliau mahu meletakkan dirinya sebagai pertahanan tengah yang lebih baik berbanding sekarang. Untuk musim ini, saya anggap Maguire sudah menjalankan tugasnya dengan baik, tetapi terpulang kepada anda untuk menilai sama ada £80 juta yang dibelanjakan kelab itu satu pelaburan yang berbaloi atau satu pembaziran. Glory Glory Manchester United!!!