Beliau adalah subjek utama
perbualan penyokong-penyokong Manchester United di media sosial sejak
akhir-akhir ini. Ada yang mengatakan bahawa United cuma selangkah lagi dalam
misi mereka mendapatkan pemain ini, tetapi cerita terbaharu yang mengatakan
bahawa beliau lebih memilih Anfield berbanding Old Trafford juga mungkin
sedikit sebanyak merentap emosi kita sebagai penyokong United. Pemain yang saya
maksudkan siapa lagi jika bukan Jadon Sancho.
Sancho adalah sasaran paling
panas dalam bursa perpindahan kali ini, semuanya gara-gara kemampuan beliau
menjaringkan 20 gol dan mencipta 20 bantuan gol dari 44 penampilan dalam semua
peringkat kejohanan untuk Dortmund sepanjang musim ini. Bagaimanapun halangan
paling besar untuk United dalam misi mereka membawa bintang muda ini pulang
semula ke England ialah harga tinggi yang diletakkan Dortmund.
£109 juta…itulah tandaharga
yang diletakkan Michael Zorc, sedangkan
Ed Woodward pula cuma sanggup mengeluarkan dana sebanyak £80 juta sahaja demi
merealisasikan hasrat penyokong-penyokong United yang mahu melihat Sancho
menyarung jersi merah `The Red Devils’ musim depan. Dortmund akhirnya
memberikan tempoh sehingga 10 Ogos kepada mana-mana kelab yang berminat
mendapatkan khidmat Sancho sebelum mereka memutuskan senarai skuad untuk musim
2020/21.
Saya tidak bimbang bila `Kickers’
dalam laporan mereka menyebut bahawa Sancho lebih beminat untuk berpindah
ke Liverpool berbanding United. Asas pertimbangan Sancho ialah peluang untuknya
menjulang trofi lebih cerah jika menyertai skuad kendalian Jurgen Klopp itu.
Ya…cakap memang mudah tetapi realitinya tidak begitu kerana seperti mana-mana
pasukan, Liverpool juga berdepan kekangan kewangan kesan daripada penularan pandemik Covid-19.
Pada Jun lalu, Klopp terpaksa
mengundurkan diri dari pemburuan mendapatkan Timo Werner meskipun Liverpool
pada mulanya disebut-sudah berada di fasa akhir dalam misi mereka membawa bekas
penggempur RB Leipzig itu beraksi di Anfield. Dalam situasi kekangan kewangan
yang dihadapi banyak kelab, Klopp akhirnya terpaksa akur dan membiarkan Chelsea
memintas mereka apabila kelab berpangkalan di London itu mengumumkan kejayaan
menandatangani Werner dengan kontrak selama lima tahun bernilai £45 juta.
Siapa yang tidak teruja dengan
prospek seperti Sancho. Pada usia yang baru mencecah 20 tahun, beliau sudah
mempesonakan peminat bolasepak dunia menerusi peranan yang dimainkannya dalam
kesebelasan Dortmund. Untuk kejohanan peringkat umur pula, Sancho adalah
bintang utama untuk skuad U-16 dan U-17 England. Ketika mewakili skuad U-16
England, beliau menjaringkan enam gol dari tujuh penampilan. Bersama skuad U-17
pula, Sancho menjaringkan 13 gol dan mencipta tujuh bantuan gol dari 17
penampilan.
Dalam kejohanan Euro U-17 yang
dilangsungkan di Croatia pada 2017, Sancho antara `key player’ di
sebalik kejayaan England mara ke pentas final. England tewas kepada Sepanyol
dalam penentuan sepakan penalti, tetapi catatan lima gol dan lima bantuan gol
yang dilakukannya membolehkan Sancho dinamakan sebagai pemain terbaik
kejohanan, pengiktirafan yang turut pernah diberikan kepada Cecs Fabregas, Toni
Kroos, Mario Gotze dan Wayne Rooney.
Ramalan Christian Wuck yang
juga merupakan pengendali skuad U-17 Jerman ketika itu bahawa Sancho bakal
muncul pemain yang lebih `menakutkan’ akhirnya menjadi kenyataan. Dalam
kejohanan peringkat umur, `level’ beliau berada di atas rakan-rakan
seusianya manakala penampilan beliau ketika menyarung jersi Dortmund pula
sangat mempersonakan menerusi gerakan-gerakan yang dilakukannya ketika bola
berada dikakinya.
Untuk seorang pemain yang
memiliki kelajuan dan teknik kawalan bola menarik sepertinya, Sancho adalah
pemain yang sangat berbahaya buat kesebelasan yang sering mengamalkan
pendekatan serang balas pantas. Beliau adalah ancaman utama buat mana-mana `fullback’
lawan menerusi gerakan-gerakan licik yang dilakukannya dari sisi padang. Dengan
kemampuan untuk melakukan `cut inside’ , Sancho turut boleh berperanan
dari sisi kanan ataupun kiri.
Tiga tahun lalu, Sancho antara
bintang dalam pembikinan yang menjadi perhatian kelab-kelab Eropah selepas masa
depan beliau bersama Manchester City semakin tidak menentu. City cuba
mengekalkan beliau di Stadium Etihad dengan tawaran kontrak profesional bernilai
£210 ribu semusim. Bagaimanapun Sancho perlukan minit permainan yang lebih
banyak, namun dengan adanya pemain-pemain seperti Raheem Sterling, Leroy Sane,
Gabriel Jesus serta Bernardo Silva, tiada jaminan untuk beliau tembus ke dalam
skuad utama pimpinan Guardiola.
Akhirnya dengan tawaran
bernilai £8 juta yang diberikan Dortmund, Sancho secara rasmi berpindah ke
Signal Iduna Park pada Ogos 2017. Berpindah ke Signal Iduna Park adalah langkah
yang paling tepat diambil Sancho kerana Dortmund memiliki `track record’
yang sangat bagus dalam mengetengahkan bakat-bakat muda seperti beliau.
Perlukan keberanian yang bukan sedikit untuk seorang anak muda berusia 17 tahun
berpindah ke negara yang bahasa serta budaya hidupnya berbeza dengan tanah air
sendiri.
Secara peribadi, saya kurang
mengambil perhatian tentang pemain bernama Jadon Malik Sancho ini hinggalah
aksi mempersonakan yang dipamerkannya ketika Dortmund membelasah Atletico
Madrid (4-0) dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim 2018/19. Sepanjang
bersama Dortmund, Sancho muncul pemain yang lebih baik dari musim ke musim dan
dari pemain yang cuma berharga £8 juta, nilai semasa beliau kini sudah melonjak
melebihi £100 juta.
Persoalan paling besar sekarang
adakah United sanggup berbelanja lebih £100 juta untuk seorang pemain yang baru
berusia 20 tahun? Atau adakah pengakhirannya nanti kelibat Sancho dengan jersi
merah United cuma sekadar fantasi buat penyokong-penyokong `The Red Devils’?
Usah kecewa sekiranya `saga transfer’ Sancho ke Old Trafford tidak
menjadi kenyataan kerana tetap ada alternatif lain yang boleh dipertimbangkan
untuk menggantikan beliau. Jauh di Argentina ada Thiago Almada yang sedang
meningkat naik, dan harganya juga tentu jauh lebih murah berbanding Sancho.
Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan