01 Ogos 2020

MAGUIRE...BERBALOI ATAU MEMBAZIR

 

Pada Julai 2019, Manchester United menawarkan £70 juta kepada Leicester City untuk mendapatkan khidmat Harry Maguire. Bagaimanapun tawaran pertama United ditolak `The Foxes’, dan angka itu kemudiannya melonjak kepada £80 juta sekaligus meletakkan Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia mengatasi nilai yang dibayar Liverpool ketika mereka menandatangani Virgil Van Dijk pada Januari 2018.

 

Dengan nilai yang dibayar sebanyak £80 juta itu, tentulah harapan tinggi diletakkan di bahu beliau selaku tonggak utama di benteng tengah pertahanan United. Musim lalu, isu kerapuhan benteng pertahanan antara isu yang sering disuarakan Jose Mourinho hinggalah pemecatannya pada bulan Disember 2018. Masalah itu kemudiannya diwarisi Ole Gunnar Solskjaer yang menyaksikan United menamatkan musim 2018/19 dengan pintu gol mereka dibolosi sebanyak 54 kali.

 

Musim ini, Solskjaer meletakkan kombinasi Harry Maguire dan Victor Lindelof sebagai gandingan nombor satu pilihan beliau di sektor tengah pertahanan United selepas Chris Smalling berhijrah ke AS Roma dengan status sebagai pemain pinjaman. Dua lagi pilihan pertahanan tengah yang ada dalam skuad utama United (Eric Bailly dan Phil Jones) pula lebih kerap menghabiskan tempoh musim ini dibilik rawatan akibat kecederaan jangka panjang yang dialami mereka.

 

Jika diambilkira jumlah gol yang dilepaskan United musim ini (36 gol), kehadiran Maguire memang memberikan kesan kepada kekuatan jentera pertahanan The Red Devils, meskipun penampilan beliau di penghujung musim sering dijadikan sasaran kritikan. Akibat beberapa siri kesilapan yang dilakukannya, timbul perdebatan sama ada berbaloikah kelab mengeluarkan belanja sebanyak £80 juta untuk seorang pertahanan tengah seperti beliau?

 

Untuk berlaku adil, kita perlu mengakui bahawa ini adalah musim pertama Maguire di Old Trafford, musim di mana beliau sebenarnya perlu diberikan peluang untuk beradaptasi dengan gaya permainan United. Untuk seorang pemain yang berperanan sebagai `ball playing defender’, Maguire sebenarnya sudah menjalankan tugasnya dengan cukup baik apabila statistik menunjukkan bahawa peratus ketepatan hantarannya mencapai 86.7% dari 2,519 hantaran yang dilakukannya.

 

Salah satu kelemahan benteng pertahanan United yang berjaya dihidu Solskjaer ialah dalam menangani pertarungan bola tinggi. Jadi atas sebab itulah mengapa seorang pertahanan tengah seperti Maguire sangat diperlukan beliau. Musim lalu, Maguire berjaya memenangi purata 5.9 perebutan bola tinggi dalam setiap perlawanan. Catatan ini mengatasi statistik yang dilakukan Chris Smalling (4.3), Phil Jones (2.6) dan Victor Lindelof (1.8).

 

Bagaimana pula catatan Maguire musim ini? Musim ini beliau berjaya memenangi 176 kali `duel’ bola tinggi sekaligus meletakkannya di tangga ketiga sebagai pemain pertahanan paling banyak memenangi perebutan bola tinggi di Liga Perdana selepas James Tarkowski dan Virgil Van Dijk. Selain beliau, tiada mana-mana pertahanan United yang tersenarai dalam kelompok 19 pemain pertahanan yang paling banyak memenangi perebutan bola tinggi dalam saingan liga musim ini.

 

Berbekalkan ketinggian 194cm yang dimilikinya, Maguire berjaya memenangi purata perebutan bola tinggi sebanyak 4.6 kali per perlawanan. Angka yang sedikit menurun berbanding catatan dilakukannya ketika bersama Leicester musim lalu. Bagaimanapun cuba bayangkan apa yang terjadi kepada benteng pertahanan United ketika mereka berdepan lawan yang memiliki pemain berketinggian seperti Sebastian Haller, Tomas Soucek, Yerry Mina, Jannik Vestergaard, Philip Billing atau Daniel Burn dalam situasi bola mati tanpa Maguire?

 

Secara peribadi, saya beranggapan Maguire berjaya mengharungi musim pertamanya sebagai pemain United dengan baik. Aksi terakhir liga menentang Leicester adalah contoh terbaik bagaimana benteng pertahanan United sangat perlukan kepimpinan seorang pemain seperti beliau. Sepanjang aksi di Kings Power Stadium, Maguire melakukan tujuh `duel’ di udara sekaligus muncul pemain paling banyak terlibat dalam perebutan bola tinggi berbanding mana-mana pemain di atas padang ketika itu.


Kemampuan ketika melakukan `tackle’ atau ketika melakukan `pressing’ adalah antara aspek yang perlu diperbaiki Maguire jika beliau mahu meletakkan dirinya sebagai pertahanan tengah yang lebih baik berbanding sekarang. Untuk musim ini, saya anggap Maguire sudah menjalankan tugasnya dengan baik, tetapi terpulang kepada anda untuk menilai sama ada £80 juta yang dibelanjakan kelab itu satu pelaburan yang berbaloi atau satu pembaziran. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan