Chris
Smalling cuma perlukan semusim untuk menambat hati para Romanisti selepas
beliau dipinjamkan ke AS Roma pada musim panas tahun lalu. Sepanjang
semusim penampilannya di Stadio Olimpico, Smalling bermain 30 perlawanan untuk
Roma di Serie A dan berjaya menjaringkan tiga gol selain berjaya membantu kelab
dari kota Rome itu menamatkan saingan liga di tangga kelima sekaligus layak
beraksi di pentas Liga Europa musim depan.
Mengakui
bahawa `hatinya patah’ selepas `diperintahkan’ untuk pulang ke Old Trafford,
Smalling sempat mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong Roma dan
kecewa kerana tidak dapat membantu kesebelasan bergelar Giallorossi itu dalam
kempen Liga Europa mereka. Untuk rekod Roma sudahpun tersingkir dari saingan
Liga Europa selepas mereka tewas 0-2 kepada Sevilla di pusingan kalah mati 16
pasukan.
Kehadiran
Harry Maguire yang direkrut Ole Gunnar Solskjaer dari Leicester City musim
panas tahun lalu menyebabkan persaingan di posisi pertahanan tengah United kian
sengit. Selain Maguire dan Smalling, Solskjaer turut memiliki Victor Lindelof,
Eric Bailly, Phil Jones serta Axel Tuanzebe sebagai pilihan untuk digandingkan
sebagai pasangan pertahanan tengah dalam skuadnya. Jadi pilihan yang ada ketika
itu buat Smalling ialah cuba mencari cabaran baharu untuk mendapatkan lebih
minit permainan.
Tatkala
United menobatkan Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia, menyertai AS
Roma adalah pilihan terbaik yang boleh dilakukan Smalling demi menyelamatkan
kariernya yang semakin suram di Old Trafford. Smalling perlukan cabaran baharu,
manakala Paolo Fonseca pula tercari-cari pengganti ideal kepada Kostas Manolas
yang berhijrah ke Napoli selepas lima musim berada di kota Rome. Dan akhirnya
Smalling adalah jawapan kepada masalah dihadapi Roma.
Di
kota Rome, karier Smalling yang sebelumnya `layu’ kembali hidup. Meskipun pada
peringkat awal Fonseca lebih memilih Juan Jesus sebagai rakan gandingan
Federico Fazio, beliau akhirnya terpaksa mengakui bahawa Smalling adalah centre
back yang lebih sesuai melaksanakan peranannya dalam taktikal yang beliau
terapkan. Jadi tidak hairanlah mengapa Roma cuba mengekalkan Smalling di kota
Rome dengan tawaran perpindahan bernilai €15 juta pada Januari lalu.
Hasrat
Roma untuk mendapatkan khidmat Smalling secara tetap ditolak United, kerana
Solskjaer sedar bahawa `cebisan’ pembelian dari era Sir Alex Ferguson ini masih
boleh memainkan peranan penting untuk skuadnya. Namun persoalan paling besar, adakah
Smalling masih lagi relevan untuk kembali membarisi benteng pertahanan United?
Anda boleh dambakan kelibat Kalidou Koulibaly atau Alessio Romagnoli, tetapi
secara peribadi saya berpendapat masa depan Smalling masa ada di Old Trafford.
Musim
ini meskipun kelab berjaya mendapatkan khidmat Maguire, namun perlu diakui
bahawa benteng pertahanan United masih belum benar-benar kukuh. Hampir
sepanjang musim Solskjaer mengerah kudrat Maguire dan Lindelof di benteng
tengah skuadnya namun gandingan ini sebenarnya bukanlah terlalu solid. Duel
bola tinggi adalah kelemahan paling ketara dalam permainan Lindelof, jadi
Smalling boleh menjadi opsyen tambahan di barisan belakang United atau
sekiranya Solskjaer mahu menggunakan strategi tiga pertahanan.
Perlu
diakui bahawa Smalling sudah menemui semula pretasi terbaiknya sepanjang
semusim `perguruan’ beliau di Serie A. Itali yang memang terkenal sebagai
sebuah negara yang sangat taksub dengan seni bertahan dalam bolasepak adalah
tempat terbaik untuk Smalling mengasah kembali teknik bertahan dalam permainan beliau.
Bermain di liga yang menuntut aspek taktikal yang tinggi, Smalling akhirnya berjaya
beradaptasi dengan cukup pantas dalam budaya bolasepak Itali.
Di kota Rome, Smalling berjaya membuatkan para Romanisti `jatuh cinta’ menerusi pengaruh yang dimainkannya di atas padang, tetapi akhirnya mereka juga terpaksa mengakui hakikat bahawa beliau masih lagi pemain United. Kini Smalling kembali lagi ke Old Trafford, dan tentunya sangat menarik untuk kita melihat adakah beliau berjaya membuatkan penyokong-penyokong United `jatuh cinta’ buat kali kedua kepadanya. Masih relevankah Smalling di benteng pertahanan United? Glory Glory Manchester United!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan