09 Ogos 2020

EDWIN VAN DER SAR: ENAM TAHUN MENUNGGU DAN ENAM TAHUN YANG SANGAT DOMINAN DI OLD TRAFFORD

 

Perlukan tempoh selama enam tahun sebelum hasrat Sir Alex Ferguson untuk meletakkan Edwin Van der Sar di posisi nombor 1 dalam kesebelasan Manchester United tercapai. Selepas pemergian Peter Schmeichel pada 1999, Fergie bergelut mencari pengganti `The Great Dane’ untuk mengawal gawang United. Selama enam tahun juga, Fergie telah `bereksperimen’ dengan sekurang-kurangnya sepuluh orang penjaga gol di gawang The Red Devils. Mark Bosnich, Massimo Taibi, Raimond Van der Gouw, Nick Culkin, Andy Goram, Paul Rachubka, Roy Carroll, Fabien Barthez, Ricardo dan Tim Howard adalah diantaranya.

 

Namun di antara mereka tiada seorang pun yang benar-benar `setaraf’ Schmeichel, penjaga gol yang berjaya membantu United menjulang lima trofi kejuaraan Liga Perdana sepanjang lapan tahun pengabdiannya di Old Trafford. Kemuncak karier Schmeichel bersama United tentunya kejayaan epik menjulang kejuaraan `treble’ (Liga Pedana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) pada 1999. Segalanya sudah beliau menangi bersama United, jadi Schmeichel akhirnya memilih untuk mengundurkan diri secara terhormat pada penghujung musim 1998/99.

 

Bukan Mark Bosnich sebenarnya yang dimahukan Fergie bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Schmeichel, tetapi radar beliau terarah kepada seorang penjaga gol yang pada ketika itu sudah pun menjangkau usia 29 tahun. Beliau yang saya maksudkan ialah Edwin Van der Sar. “Kami sepatutnya mendapatkan Van der Sar ketika Peter pergi. Tetapi Martin Edwards sudah menjalinkan persetujuan dengan Aston Villa untuk Mark Bosnich”, kata Fergie dalam satu temubual bersama Mark Ogden dari The Telegraph.

 

Bagaimanapun selama enam tahun selepas itu, Fergie hanya perlukan seorang penjaga gol untuk mengawal gawang United, dan sepanjang tempoh itu (2005-2011), Van der Sar begitu dominan menguasai posisi nombor satu dalam kesebelasan Fergie. Sembilan musim bersama Ajax Amsterdam, Van der Sar berjaya memenangi pelbagai kejuaraan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Beliau merupakan antara anggota `generasi emas’ Ajax di bawah kendalian Louis Van Gaal yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara pada musim 1994/95 selepas mereka melakar kejutan dengan menewaskan AC Milan di pentas final.

 

Bagaimanapun kemuncak sebenar kepada karier Van der Sar berlaku di Old Trafford. Selepas mengecapi pelbagai kejayaan bersama Ajax, Van der Sar menyertai Juventus pada musim 1999/00, tetapi di Turin perjalanan karier beliau tidak seindah seperti yang diimpikan. Selama dua musim, beliau adalah pilihan utama Carlo Ancelotti untuk mengawal gawang Juventus, namun keputusan kelab menandatangani Gianluigi Buffon dari Parma pada 2001 merupakan titik penamat kepada karier beliau di Itali.

 

“Ketika itu berlaku banyak perpindahan penjaga gol di Serie A. Buffon ke Juventus, (Francesco) Toldo ke Inter dan (Sebastien) Frey ke Parma. Situasinya seperti belaku pertarungan antara penjaga-penjaga gol top manakala saya pula ditinggalkan. Saya kemudiannya berbincang dengan Ajax, Dortmund dan Liverpool tetapi mereka memilih untuk menunggu hingga ke penghujung tempoh jendela perpindahan sebelum membuat keputusan”, kata Van der Sar kepada Four Four Two.

 

Ketika beliau tercari-cari kelab yang mahukan khidmatnya, United pula pada 2001 sudah memiliki Fabien Barthez yang ditandatangani Fergie setahun sebelumnya dari AS Monaco. Masa semakin suntuk untuk beliau, jadi pilihan terakhir yang ada ketika itu ialah kekal bersama Juventus dan pasrah untuk sekadar menjadi pilihan nombor dua di belakang Buffon. Bagaimanapun di saat tiada mana-mana kelab besar yang berminat mendapatkan khidmatnya, Fulham secara tiba-tiba datang membuat tawaran.

 

Pada 1 Ogos 2001, Van der Sar akhirnya menyertai Fulham dengan nilai perpindahan sebanyak £7 juta. Agak ironi sebenarnya apabila melihat salah seorang penjaga gol terbaik dunia ketika itu menyertai kelab yang baru dipromosikan ke liga utama seperti Fulham. Bagaimanapun bagi Van der Sar, itu adalah pilihan yang jauh lebih baik berbanding kekal di Turin dan melihat Buffon merampas posisinya selaku penjaga gol nombor satu Juventus.

 

Di Craven Cottage, Fulham memenuhi hasrat Van der Sar di mana posisi nombor satu tidak mampu digugat oleh mana-mana pemain apatah lagi reputasi yang dimilikinya selaku penjaga gol utama skuad kebangsaan Belanda. Meskipun usia beliau sudah mencecah angka 30an, namun penampilan Van der Sar cukup konsisten. Dari 154 penampilan untuk `The Cottagers’, beliau berjaya mencatatkan 49 `clean sheet’, statistik yang sangat mengagumkan dari seorang penjaga gol untuk kelab yang sering bertarung di kelompok pertengahan liga seperti Fulham.

 

Meskipun usia beliau bukan lagi muda, hasrat Van der Sar untuk menyertai mana-mana kelab besar di Eropah masih menyala. Kerinduan untuk menjulang trofi kejuaraan masih meluap-luap namun Fulham sudah tentu tidak mampu menenuhi ambisi beliau. “Saya ke Fulham kerana mereka ada projek yang bagus. Saya masih boleh bermain di peringkat tertinggi dan skuad kebangsaan tetapi saya terlepas malam-malam aksi di Eropah dan menjulang kejuaraan. Saya tertanya-tanya bilakah agaknya ada kelab besar yang datang membuat tawaran”, ujar Van der Sar pada 2009.  

 

Akhirnya penantian Van der Sar berakhir apabila pada 2005, Fergie datang menawarkan peluang untuknya berpindah ke Old Trafford. Meskipun ketika itu Tim Howard sudah dipersiapkan sebagai penjaga gawang jangka panjang United, Fergie melihat Van der Sar punya aset yang sangat berharga iaitu pengalaman yang dimilikinya ketika beraksi di pentas tertinggi. Pada Jun 2005, Van der Sar yang ketika itu sudah pun berusia 35 tahun diumumkan secara rasmi sebagai pemain United melibatkan yuran perpindahan bernilai £2 juta.

 

Musim pertama Van der Sar di Old Trafford, kerinduan beliau untuk kembali menjulang trofi kejuaraan berakhir apabila United menewaskan Wigan Athletic (4-0) pada aksi final Piala Liga. Ini cumalah permulaan, kerana selepas itu Van der Sar sukses membantu United menjulang pelbagai kejuaraan besar di peringkat domestik dan Eropah. Sudah tentu momen paling indah bila anda bercakap tentang Van der Sar ialah ketika beliau menafikan sepakan penalti Nicholas Anelka yang menyaksikan United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab.

 

Kejayaan 12 tahun lalu di Stadium Luzhniki itu boleh dianggap kemuncak kepada karier selama enam musim Van der Sar di Old Trafford, tetapi jangan lupakan juga apa yang telah beliau lakukan pada musim 2008/09. Pada usia 38 tahun ketika itu, Van der Sar sekali lagi mengagumkan kita apabila ketangkasannya menyaksikan gawang United tidak dibolosi selama 1,311 minit. Catatan ini meletakkan Van der Sar sebagai pemegang rekod dunia yang baharu selaku penjaga gol yang memiliki catatan `clean sheet’ paling lama dalam tempoh semusim mengatasi catatan yang dilakukan Jose Maria Buljubasich (1,289 minit).  

 

Prestasi memukau yang dipamerkan beliau di gawang sepanjang musim 2008/09 membolehkan United mengatasi cabaran sengit Liverpool untuk keluar selaku juara Liga Perdana. Kejayaan ini turut menyaksikan United mengekalkan trofi Liga Perdana di Old Trafford buat musim ketiga berturut-turut. Meskipun tewas kepada Barcelona dalam aksi final Liga Juara-Juara di kota Rome, Van der Sar diumumkan sebagai penjaga gol terbaik Eropah selain antara lima pemain United yang tersenarai untuk anugerah PFA Player of the Year yang dimenangi Ryan Giggs.

 

Sepanjang enam musim di Old Trafford, Van der Sar berjaya membantu United menjulang empat kejuaraan Liga Perdana, satu trofi Liga Juara-Juara, satu trofi Kejuaraan Kelab Dunia, satu Piala Liga dan tiga Perisai Komuniti. Van der Sar adalah jawapan kepada masalah United yang selama enam tahun tercari-cari pengganti paling ideal kepada Peter Schmeichel di gawang mereka. Akhirnya selepas menanti selama enam tahun `ikatan cinta’ antara beliau dan United terjalin, itupun ketika usia Van der Sar sudah mencecah 35 tahun. Mungkin agak lewat tetapi penantian panjang Fergie itu akhirnya tetap berbaloi. Glory Glory Manchester United!!! 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan