Manchester
United terpaksa bermain sehingga 120 minit sebelum mereka berjaya menyingkirkan
wakil Denmark, FC Copenhagen awal pagi tadi. Meskipun `armada’ Solskjaer tampil
dominan dengan melepaskan 26 percubaan, namun mereka akhirnya terpaksa bergantung
sekali lagi kepada sepakan penalti Bruno Fernandes untuk berdepan sama ada
Wolverhampton Wanderers atau Sevilla di peringkat separuh akhir nanti.
Penalti…penalti…penalti,
dan akhirnya satu lagi sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan untuk
United musim ini. Secara keseluruhannya, United dihadiahkan sepakan penalti
sebanyak 21 kali dalam semua peringkat kejohanan musim ini. Jadi sudah tentu
keputusan Clement Turpin menghadiahkan satu lagi sepakan penalti kepada United
awal pagi tadi mengundang perdebatan hangat di kalangan peminat bolasepak.
Dalam
saingan peringkat domestik, United dihadiahkan sepakan penalti sebanyak 17 kali
(saingan liga 14 kali, Piala FA 2 kali, dan
Piala Liga sekali). Manakala di pentas Liga Europa pula, mereka sudah
dihadiahkan empat sepakan penalti setakat ini dan keempat-empatnya berjaya
disempurnakan. Catatan ini menyaksikan United muncul kesebelasan paling banyak
dihadiahkan sepakan penalti berbanding mana-mana pasukan dari lima liga utama
Eropah.
Ketepikan
sebentar pandangan sinis segelintir peminat bolasepak tentang kejayaan United
mara ke peringkat separuh akhir menerusi gol sepakan penalti Bruno Fernandes
itu. Tiada pertikaian, kerana kekasaran yang dilakukan Andreas Bjelland ke atas
Anthony Martial itu seharusnya berakhir dengan sepakan penalti. Memetik
kata-kata Romario yang juga merupakan legenda bolasepak Brazil, “Gol tetap gol
meskipun ia dijaringkan dengan menggunakan perut”.
Ya…awal
pagi tadi United mara ke peringkat separuh akhir Liga Europa meskipun mereka
akhirnya terpaksa sekali lagi bergantung kepada gol sepakan penalti dari Bruno.
Berdepan dengan Karl-Johan Johnsson yang begitu cemerlang menafikan
peluang-peluang terbuka sepanjang tempoh 90 minit permainan, Bruno bertindak
dengan cukup bijak apabila beliau mengubah teknik sepakan penaltinya untuk
menewaskan penjaga gol berusia 31 tahun itu.
Bruno
tidak melakukan lompatan kecil sebelum melepaskan sepakan sepertimana kelaziman
yang beliau lakukan, tetapi kali ini beliau cuma melakukan rembatan terus
menerusi kaki kanannya. Satu keputusan tepat yang dilakukan Bruno kerana bola
akhirnya menuju laju ke arah kanan pintu gol lawan meskipun Johnsson masih
mampu membaca arah sepakan tersebut. Mengulas tentang hal tersebut, Solskjaer
tidak terkejut apabila Bruno mengubah teknik sepakan penaltinya.
Menurut
Solskjaer, semasa sesi latihan, Bruno biasanya berlatih dengan dua gaya sepakan
penalti bergantung kepada penjaga gol yang bakal beliau hadapi. Gol ke gawang
Copenhagen itu merupakan gol ketujuh yang disempurnakan Bruno menerusi sepakan penalti
sejak beliau menyertai United pada Januari lalu. Sepanjang kariernya, Bruno
juga memiliki catatan yang sangat bagus ketika beliau ditugaskan untuk
menyempurnakan sepakan penalti. Untuk rekod, dari 29 sepakan penalti yang
diambilnya, Bruno cuma gagal sebanyak dua kali sahaja.
Kegagalan
pertama berlaku dalam aksi beliau untuk Udinese ketika berdepan Napoli dalam
saingan Serie A musim 2015/16. Manakala kegagalan kedua pula berlaku dalam
aksinya bersama Sporting Lisbon ketika berdepan GS Loures dalam kejohanan Taca
de Portugal pada Oktober 2018. Jika berjaya ke final, United masih memiliki
baki dua lagi perlawanan, jadi ada kemungkinan jumlah 21 sepakan penalti yang
diterima mereka setakat ini boleh bertambah. Jika itu berlaku, siapa lagi yang
akan ditugaskan untuk melakukannya jika bukan Bruno…`Si Raja Sepakan Penalti’.
Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan