10 November 2020

KESEBELASAN UTAMA YANG DITURUNKAN FERGIE PADA PERLAWANAN PERTAMA BELIAU SEBAGAI PENGURUS UNITED

 


 

Pada 6 November 1986, Manchester United mengumumkan secara rasmi perlantikan Alex Ferguson sebagai pengurus yang baharu bagi menggantikan posisi Ron Atkinson. Prestasi `Big Ron’ sepanjang lima musim beliau mengendalikan United tidaklah terlalu buruk kerana dalam tempoh era pengurusan beliau (dari 1981 hingga 1986), Atkinson berjaya mengemudi United menjulang dua kejuaraan Piala FA (1983 dan 1985) serta Perisai Komuniti (1983).

 

Dua musim berturut-turut Atkinson berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga di tangga ketiga dan kemudiannya tiga musim di posisi keempat, selain dua trofi Piala FA dan satu Perisai Komuniti, namun tetap gagal menyelamatkan kerjaya beliau di Old Trafford. Kerana di Scotland ada pesona yang berjaya menarik perhatian Martin Edwards untuk dilantik sebagai pengurus baharu United menerusi kejayaan lelaki ini bersama Aberdeen memecah dominasi Glasgow Rangers dan Celtic.

 

Kejayaan mengemudi Aberdeen menjulang lapan kejuaraan domestik dan dua trofi di pentas Eropah (Cup Winners Cup dan UEFA Super Cup) antara faktor utama yang membawa Alex Ferguson ke Old Trafford. Dua hari selepas perlantikan beliau selaku pengurus United yang baharu, Fergie memimpin barisan pemainnya untuk berdepan Oxford United dalam saingan liga. Malangnya penampilan pertama Fergie sebagai pengurus United berakhir dengan kekalahan apabila skuadnya tewas (0-2) kepada Oxford United.

 

Siapakah pemain yang diturunkan Fergie dalam kesebelasan utamanya pada penampilan pertama beliau sebagai pengurus United?

 

Chris Turner (GK)

 

Turner bukanlah penjaga gol utama United tetapi beliau diturunkan Fergie selepas Gary Walsh mengalami kecederaan. Selepas kehadiran Jim Leighton dari Aberdeen pada 1988, Turner semakin hilang tempatnya dalam skuad utama United sebelum akhirnya beliau memutuskan berhijrah ke Sheffield United.

 

Mike Duxbury

 

Duxbury mendominasi sisi kanan pertahanan United sejak penghujung era 70an hingga 80an. Selepas melakukan 299 penampilan untuk United, beliau berpindah ke Ewood Park pada 1990 namun kecederaan lutut membataskan penampilan beliau bersama Blackburn Rovers. Sempat melakukan 27 penampilan bersama Rovers, Duxbury kemudiannya berhijrah ke Bradford City dua tahun selepas itu.

 

Kevin Moran

 

Moran akan sentiasa dikenang bukan sahaja kerana beliau antara pertahanan kental di Old Trafford tetapi juga kerana terjahan keras yang dilakukannya pada aksi final Piala FA edisi 1985 yang menyaksikan beliau dilayangkan kad merah. Keputusan Fergie merekrut Steve Bruce dari Norwich City pada 1987 menyaksikan Moran semakin hilang tempatnya dalam kesebelasan utama United. Selepas sepuluh musim menyarung jersi United, Moran berhijrah ke Sporting Gijon pada 1988.

 

Graeme Hogg

 

Berbanding Kevin Moran, karier Hogg bersama United agak singkat iaitu selama empat musim (1984-88). Selepas menghabiskan tempoh semusim sebagai pemain pinjaman bersama West Bromwich Albion, Hogg menyertai Portsmouth pada 1988.

 

Arthur Albiston

 

Albiston memiliki tempoh karier yang cukup panjang bersama United. Sepanjang tempoh 14 musim menyarung jersi United, beliau melakukan 467 penampilan dalam semua peringkat kejohanan tetapi dominasinya di sisi kiri pertahanan United mula pudar selepas Fergie merekrut Colin Gibson dari Aston Villa. Albiston kemudiannya menyertai West Bromwich Albion pada 1988.

 

Clayton Blackmore

 

Dalam perlawanan ini Blackmore diberikan peranan untuk bertindak sebagai sayap kanan meskipun sepanjang kariernya di era Fergie, beliau bermain sebagai bek kiri. Keputusan Fergie merekrut Paul Parker dan Denis Irwin menyaksikan Blackmore semakin tersisih dari skuad utama United. Beliau akhir memutuskan berhijrah ke Middlesbrough bersama-sama Bryan Robson pada 1994.

 

Paul McGrath

 

Kecederaan Bryan Robson memaksa Fergie meletakkan McGarth di bahagian tengah dalam perlawanan ini kerana dari 1982 hingga 1989, beliau sangat dikenali sebagai pertahanan tengah paling kental di Liga Divisyen 1 Inggeris. Selain Bryan Robson, beliau juga antara pemain top yang ada dalam skuad utama United ketika itu. Malangnya masalah ketagihan alkohol menyaksikan hubungan beliau dan Fergie kurang harmoni. Akhirnya pada 1989, Fergie memutuskan untuk melepaskan McGarth ke Aston Villa.

 

Remi Moses

 

Agak malang kerana Moses gagal mencapai potensi beliau bukan kerana prestasinya tidak menepati standard yang diinginkan Fergie, tetapi kerana kecederaan lutut serius yang dialaminya. Pada usia 28 tahun, Moses tidak lagi mampu bertahan dengan tuntutan bolasepak tahap tinggi hingga memaksa beliau mengumumkan persaraannya pada 1989.

 

Peter Barnes

 

Bagi pelanggan Astro dan pengikut Liga Perdana Inggeris, wajah Barnes mungkin tidak asing bagi anda. Kerana sejak 2010, beliau bertugas sebagai pundit dan pengulas untuk perlawanan-perlawanan Liga Perdana. Barnes antara pemain yang direkrut Ron Atkinson tetapi tidak mampu bertahan di bawah regim Fergie. Hanya dua musim beliau di Old Trafford, Barnes akhir menyertai semula Manchester City pada 1987.

 

Frank Stapleton

 

223 penampilan untuk United dari 1981 hingga 1987 serta berhasil menjaringkan 60 gol dalam saingan liga. Bagaimanapun 60 gol yang dijaringkan beliau berlaku ketika era Ron Atkinson sebagai pengurus kerana hakikatnya Stapleton gagal menjaringkan satu gol pun ketika beliau bermain di bawah arahan Fergie. Tiada lagi tempat untuk Stapleton sebaik sahaja Fergie merekrut Brian McClair dan beliau menyertai Ajax Amsterdam pada 1987.

 

Peter Davenport

 

Idea asalnya ialah merekrut beliau dari Nottingham Forest bagi mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Mark Hughes yang memilih untuk berhijrah ke Barcelona. Selama dua musim beliau menyertai United (1986-88), Davenport berhasil menjaringkan 22 gol menerusi 92 penampilan yang dilakukannya. Bagaimanapun keputusan Fergie membawa kembali Hughes ke Old Trafford menyebabkan tiada lagi tempat untuk Davenport di jentera serangan United. Beliau akhirnya memilih menyertai Middlesbrough pada 1988.

 

Penutup

 

Meskipun penampilan pertama Fergie selaku pengendali United berakhir dengan kekalahan, namun siapa sangka beliau akhirnya berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab. 27 tahun sepanjang era beliau sebagai pengurus, United sudah memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah, sesuatu yang mungkin pada awalnya penyokong-penyokong tegar The Red Devils tidak pernah bayangkan memandangkan Fergie sendiri bergelut sepanjang tempoh lima musim pertamanya di Old Trafford.

 

Walaupun bermula dengan `langkah kiri’, Fergie akhirnya sukses meletakkan kembali United sebagai gergasi England dan berjaya menakluk Eropah sebanyak dua kali menerusi kejayaan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1999 dan 2008. Jejak gemilang yang ditinggalkan Fergie di Old Trafford sebenarnya turut menghantui pengganti beliau selepas itu hinggakan pengurus hebat seperti Louis Van Gaal dan Jose Mourinho `di paksa untuk berhenti lebih awal’. Ryan Giggs mengatakan United perlukan tempoh 20 tahun lagi untuk menjulang kembali trofi Liga Perdana, tetapi berharaplah agar telahan Giggs itu tersasar dan semoga kita tidak perlu menunggu selama itu. Glory Glory Manchester United!!! 



08 November 2020

PASCA PERLAWANAN: APA JADI KEPADA UNITED JIKA TANPA BRUNO?

 

 

Sejak melakukan debut pada Februari lalu, bukan sedikit impak yang sudah diberikan Bruno Fernandes untuk Manchester United. Beliau antara faktor yang disebut-sebut di sebalik kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Dan kini sirna Bruno dalam kesebelasan United seolah-olah memang tiada galang gantinya hinggakan ramai pihak menyebut bahawa prestasi beliau di atas padang turut mempengaruhi penampilan kesebelasan The Red Devils.

 

Di Goodison Park, Bruno sekali lagi memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan ketika mereka berdepan Everton. Aksi menentang Everton sangat penting, bukan sahaja buat United tetapi juga kepada survival Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali. Sebelum perlawanan, ramai pemerhati bolasepak meramalkan bahawa ini mungkin menjadi aksi terakhir Solskjaer di bangku pengurus jika skuadnya sekali lagi pulang dengan tangan kosong.

 

Bagaimanapun di sebalik tekanan yang kian memuncak, United sepertimana sebelumnya di era Solskjaer sentiasa memiliki cara untuk menutup mulut para pengkritik mereka walaupun ianya mungkin buat tempoh sementara waktu. Meskipun pada awalnya kita sedikit cemas melihat tuan rumah mendahului menerusi sentuhan Bernard, tetapi United hanya memerlukan tempoh enam minit untuk menyamakan kedudukan menerusi gol jaringan Bruno di minit ke-25.

 

Jaringan penyamaan itu adalah yang pertama dilakukan Bruno menerusi tandukan sejak beliau menyertai United dari Sporting Lisbon pada hujung Januari lalu. Selepas itu United menambah dua gol lagi, juga menerusi Bruno (minit ke-32) dan Edinson Cavani ketika perlawanan sudah memasuki masa kecederaan. Tiada perubahan yang terlalu drastik dalam carta liga buat United, tetapi kemenangan ini sangat penting untuk moral pasukan sebelum aksi domestik dihentikan bagi memberikan laluan kepada perlawanan antarabangsa.

 

`Comeback’ Cara Bruno

 

Dua gol dan kemudiannya mencipta satu bantuan gol menyaksikan Bruno sudah terlibat dengan 15 gol yang dihasilkan United ketika mereka beraksi di gelanggang lawan (sepuluh gol dan lima bantuan gol). Ini merupakan penglibatan gol terbanyak yang dilakukan oleh seorang pemain pada sepuluh penampilan pertama mereka di gelanggang lawan sepanjang era Liga Perdana sekaligus membuktikan betapa besarnya pengaruh Bruno dalam kesebelasan United.

 

Menurut catatan statistik perlawanan dari Opta, peratusan ketepatan hantaran Bruno sepanjang perlawanan mencapai 78% serta melepaskan enam percubaan di mana empat daripadanya merupakan percubaan on target. Dalam situasi bertahan pula, Bruno berjaya melakukan tiga tackle, dua clearance dan dua blocked, statistik kerja-kerja defensif yang cukup mengagumkan mengingatkan bahawa peranan beliau adalah sebagai `pemain nombor 10’.

 

Selepas `tenggelam’ di Istanbul, Bruno `kembali ke jalan yang benar’ menerusi gaya beliau yang tersendiri. Memainkan peranan penting di sebalik kemenangan pasukan tatkala tekanan dibahunya kian memuncak, menjaringkan dua gol, mencipta assist untuk rakan sepasukan meskipun beliau sebenarnya mampu melakukan hatrik dalam perlawanan ini serta menamatkan aksi di Goodison Park selaku pemain terbaik perlawanan adalah comeback yang indah dari seorang pemain yang hebat.

 

Pujian menggunung turut diberikan Michael Owen selepas beliau menyaksikan peranan besar yang dimainkan Bruno di Goodison Park. “Dia memainkan peranan dalam tiga gol yang dijaringkan United. Dia bukan sahaja menjaringkan gol dan menyumbang assist , tetapi dia juga adalah pemimpin di atas padang. Saya rasa dia bukan sahaja pemimpin yang vokal di atas padang tetapi juga dalam sesi wawancara dan ketika bersama rakan sepasukan”, kata Owen.

 

Yang Buruk Dan Yang Baik

 

Selain Bruno, penampilan Luke Shaw dalam perlawanan ini juga wajar diberikan kredit. Bagi seorang bek sisi moden, tugas mereka tidak terikat dengan kerja-kerja bertahan semata-mata tetapi juga berperanan dalam situasi ofensif. Itulah yang dilakukan Shaw di Goodison Park apabila beliau berjaya melakukan 49 hantaran (82% hantaran tepat), melepaskan dua hantaran lintang, mencipta satu key passes dan menyumbang satu bantuan gol. Ketika melaksanakan kerja bertahan pula, Shaw melakukan satu tackle, satu intercept, dua clearance dan satu blocked.

 

Jika penampilan Bruno dan Shaw menyaksikan mereka antara pemain United yang diberikan rating paling tinggi, lain pula halnya dengan penampilan Anthony Martial sepanjang 82 minit kelibatnya di atas padang. Ini adalah penampilan pertama Martial di Liga Perdana dalam tempoh tiga minggu selepas beliau menjalani penggantungan tetapi lihatlah sumbangan keseluruhannya dalam perlawanan ini. Sepanjang 82 minit aksinya, Martial cuma melepaskan satu percubaan off target dan paling malang beliau tiga kali berada di luar posisi ketika rakan melakukan hantaran kepadanya.

 

Penutup

 

Melihat United kembali mencatatkan kemenangan dalam perlawanan penting seperti ini, Bruno kembali memainkan pengaruh besar dalam kesebelasan United dan Edinson Cavani pula sudah membuka akaun jaringan beliau di Liga Perdana adalah antara momen menarik selepas tamatnya aksi di Goodison Park. Bagaimanapun tetap ada satu persoalan besar yang bermain di fikiran penyokong-penyokong United tentang kecenderungan Solskjaer untuk terus menggunakan Anthony Martial sebagai pemburu gol untuk skuadnya.

 

Melihat Martial cuma berlari-lari tanpa arah dan gagal memberikan sebarang ancaman kepada Jordan Pickford, 82 minit adalah tempoh yang sangat panjang dan menyeksakan bagi penyokong-penyokong United melihat penampilan warga Perancis ini. Agak menghairankan dengan prestasi seperti itu, Solskjaer masih membiarkan Martial terus beraksi di atas padang dan pertukaran hanya dilakukan beliau ketika tempoh permainan sebenar berbaki lapan minit sebelum ditamatkan.

 

United perlukan seorang penyerang yang klinikal dalam menyudahkan peluang dan Martial bukanlah type penyerang seperti itu. Mungkin beliau lebih berkesan jika dibiarkan bebas bergerak di sebelah sisi, tetapi bukan sebagai penyerang tengah. Jadi sudah tiba masanya untuk Solskjaer berhenti menggunakan Martial sebagai `pemain nombor 9’ dan menyerahkan peranan itu kepada Edinson Cavani. Cavani mungkin sudah melepasi zaman kemuncaknya, tetapi dalam hal menyudahkan peluang dan meletakkan dirinya di posisi terbaik untuk menerima hantaran, beliau jauh lebih pakar berbanding Martial. Glory Glory Manchester United!!!


07 November 2020

PRA PERLAWANAN: EVERTON vs MANCHESTER UTD

 


· Everton tidak tewas dalam tiga penampilan terakhir mereka menentang United (menang sekali dan seri dua kali). Musim lalu pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan liga berakhir dengan keputusan seri (1-1) di Old Trafford dan juga Goodison Park. Jika United gagal menang di Goodison Park malam ini, Everton bakal menyamai pencapaian rekod empat perlawanan tanpa kalah ke atas United yang dilakukan mereka pada Mac 1990 (menang dua kali dan seri dua kali).

 

· United berjaya menewaskan Everton sebanyak 36 kali sejak Liga Perdana diperkenalkan pada musim 1992/93. Catatan ini merupakan kemenangan terbanyak dalam statistik `head to head’ antara dua kelab berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana.

 

· Sejak era Liga Perdana, United berjaya menewaskan Everton di Goodison Park sebanyak 16 kali. Jumlah ini merupakan catatan kemenangan terbanyak di gelanggang (tertentu) berbanding mana-mana kelab di Liga Perdana. Catatan 16 kemenangan juga dilakar United ketika berdepan Aston Villa di Villa Park.

 

· Everton tewas dua penampilan terakhir mereka dalam saingan liga kepada Southampton dan Newcastle United. Jika tewas dalam perlawanan ini, mereka bakal menyamai pencapaian tiga kekalahan berturut-turut buat pertama kali sejak Disember 2019. Sementara itu Carlo Ancelotti juga tidak pernah tewas tiga perlawanan berturut-turut sejak November 2006. Ketika itu beliau merupakan pengendali AC Milan.

 

· Selepas menjaringkan gol dalam 17 perlawanan berturut-turut, rekod United terhenti ketika mereka seri (0-0) berdepan Chelsea dan tewas (0-1) ketika berdepan Arsenal. Kali terakhir United gagal menjaringkan gol dalam tiga aksi berturut-turut ialah pada Februari lalu.

 

· Dominic Calvert-Lewin sudah menjaringkan lapan gol dari tujuh aksi liga untuk Everton musim ini. Aksi menentang Southampton merupakan satu-satunya aksi dimana beliau gagal menjaringkan gol setakat ini. Penyerang ini juga cuma menjaringkan satu gol dari tujuh penampilan beliau di Liga Perdana ketika berdepan United. Gol tunggal beliau ke gawang United itu terhasil ketika kedua-dua pasukan terikat (1-1) dalam aksi yang dilangsungkan di Goodison Park pada Mac 2020.

 

· Gawang United bolos empat kali menerusi sepakan penalti dari enam aksi liga mereka setakat ini. Catatan ini mengatasi angka (3 sepakan penalti) dari 38 perlawanan liga mereka musim lalu. Catatan terbanyak sepakan penalti yang membolosi pintu gol United berlaku pada musim 2010/11 dan 2018/19 (enam sepakan penalti).

 

· Marcus Rashford terlibat dalam enam gol yang dihasilkan United dari empat aksi terakhir liga mereka (menjaringkan tiga gol dan mencipta tiga bantuan gol).

 

· Bruno Fernandes terlibat dalam 12 gol dari sembilan perlawanan Liga Perdana di gelanggang lawan sejak melakukan penampilan pertama pada Feburari lalu. Setakat ini Bruno sudah menjaringkan lapan gol dan mencipta empat bantuan gol (ketika beraksi di gelanggang lawan). Satu-satunya perlawanan di mana Bruno gagal terlibat dengan gol yang dihasilkan United ialah ketika mereka menewaskan Crystal Palace di Selhurst Park pada Julai lalu. Walaupun begitu catatan ini merupakan yang tertinggi dihasilkan oleh seorang pemain di gelanggang lawan dari sepuluh perlawanan dalam sejarah Liga Perdana.

 

Glory Glory Manchester United!!!



05 November 2020

BADI KOTA ISTANBUL

 


Pada awalnya seperti perlawanan yang mudah, tetapi pengakhirannya Manchester United terpaksa mengakui bahawa sumpahan kota Istanbul nampaknya masih lagi menghantui mereka. Dua kunjungan terakhir United ke Istanbul sebelum ini berakhir dengan kekalahan mereka kepada Galatasaray serta Fenerbahce, dan kini giliran Basaksehir pula menambah luka kepada barisan The Red Devils.

 

Meskipun gah dalam dua perlawanan awal menerusi kemenangan yang dilakar mereka ke atas Paris St Germain dan RB Leipzig, prestasi di bawah par yang dipamerkan benteng pertahanan menyaksikan United gagal meneruskan rentak cemerlang mereka di pentas Eropah apabila lawan begitu mudah menjaringkan dua gol di babak pertama menerusi Demba Ba (minit ke-13) dan Edin Visca (minit ke-40).

 

Walaupun United berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol Anthony Martial (diminit ke-43), namun itu tidak cukup untuk United pulang ke Old Trafford dengan sekurang-kurangnya satu mata. Perlawanan ini sepatutnya menjadi medan kebangkitan United selepas kekalahan 0-1 yang dialami mereka kepada Arsenal dalam saingan liga hujung minggu lalu, tetapi itu tidak belaku Stadium Fatih Terim awal pagi tadi.

 

Teruknya `Back Four’ United

 

Ole Gunnar Solskjaer menurunkan Harry Maguire, Axel Tuanzebe, Aaron Wan-Bissaka dan Luke Shaw selaku empat pemain yang membarisi benteng pertahanan dalam kesebelasan utama beliau di Fatih Terim Stadium. Dan kekalahan ini sebenarnya tidak terlepas dari buruknya prestasi keseluruhan yang dipamerkan barisan pertahanan United terutama di sisi kanan dan kiri.

 

Lihat sahaja bagaimana mudahnya Demba Ba menjaringkan gol pertama tuan rumah ketika kesemua empat pertahanan United berada di kawasan lawan bagi menyambut sepakan sudut Bruno Fernandes. Kesilapan sama sekali lagi berulang diminit ke-40 apabila satu lagi gerakan serang balas lawan gagal ditangani benteng pertahanan hingga membolehkan gol kedua tuan rumah terhasil.

 

Selaku pengendali, Solskjaer mengakui akan hal tersebut. “Gol pertama berlaku ketika kami membiarkan seorang pemain lawan bebas sendirian. Gol kedua pula berlaku disebabkan koordinasi pertahanan kami yang begitu lemah dalam melakukan tekanan ketika kami hilang penguasaan bola. Gol pertama memang tidak boleh dimaafkan”, kata Solskjaer selepas tamat perlawanan.

 

Lawan `Mereplikasikan’ Permainan United

 

United di bawah kendalian Solskjaer memang dikenali kerana kecenderungan mereka membiarkan lawan menguasai bola sebelum menggunakan kekuatan barisan hadapan dalam melakukan serang balas pantas. Bagaimanapun di Istanbul awal pagi tadi, taktik United direplikasikan oleh lawan dan gol pertama mereka adalah contoh terbaik.

 

Demba Ba memang sudah berusia 35 tahun, tetapi jangan pernah lupakan reputasi bekas penyerang Newcastle United dan Chelsea ini sepanjang kariernya di England. Sepanjang kariernya di Liga Perdana, Demba Ba berjaya membolosi pintu gol United sebanyak empat kali, tiga kali ketika beliau menyarung jersi Newcastle United dan sekali ketika bersama Chelsea.

 

Apa Dah Jadi Bruno?

 

Selain benteng pertahanan yang teruk dijadikan sasaran kritikan, prestasi Bruno Fernandes dalam perlawanan ini juga sebenarnya wajar anda perhatikan. Harapan yang diletakkan ke atas Bruno memang tinggi, apatah lagi selepas impak besar yang diberikan beliau sejak menyertai United pada Januari lalu. Bagaimanapun di Istanbul, Bruno tidak sepertimana lazimnya gagal menjadi inspirasi kepada gerakan-gerakan United.

 

Sepanjang perlawanan, peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya cuma mencapai angka 73.8%, jauh di belakang catatan Donny Van de Beek yang memiliki peratus ketepatan hantaran sebanyak 93%. Di zon final third lawan pula, Bruno cuma mencatatkan 63.5% hantaran tepat, jadi tidak hairanlah mengapa tiada satu pun key passes yang `lahir’ dari sepasang kakinya sepanjang perlawanan ini.

 

Agak malang untuk seorang pemain yang ditagih kreativitinya selaku penggerak jentera tengah United, Bruno juga gagal melepaskan walau satu pun percubaan on target dari empat percubaan yang dilakukannya. Lebih malang sepanjang perlawanan, statistik turut merakamkan beliau hilang penguasaan bola sebanyak 34 kali. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau diletakkan sebagai pemain ketiga United yang memiliki rating paling rendah selepas Dean Henderson dan Axel Tuanzebe.

 

Masih Mencari Kesebelasan Terbaik?

 

Untuk kesekian kalinya, Solskjaer menurunkan kesebelasan berbeza selepas kekalahan kepada Arsenal tempohari. Kali ini beliau menggunakan Nemanja Matic dan Donny Van de Beek sebagai double pivot, manakala Juan Mata berperanan di sisi kanan dalam skema formasi 4-2-3-1 yang digunakan beliau. Di barisan belakang, beliau menggandingkan Axel Tuanzebe bersama Harry Maguire selaku pertahanan tengah manakala Dean Henderson pula mengambilalih posisi David De Gea.

 

Adakah ini menandakan bahawa Solskjaer sebenarnya memiliki ramai pemain dengan kualiti yang seimbang dalam skuadnya hingga membolehkan beliau menyenaraikan kesebelasan berbeza dalam setiap perlawanan. Atau adakah keputusan beliau ini sebenarnya cumalah rutin penggiliran pemain berikutan jadual perlawanan yang padat. Atau mungkin juga beliau masih mencari komposisi pemain terbaik untuk diletakkan dalam kesebelasan utamanya?

 

Penutup

 

Kemenangan ketika berdepan Paris St Germain dan RB Leipzig melenyapkan sedikit kegusaran tentang aksi tidak konsisten United di liga domestik, tetapi kini Solskjaer kembali di hujani soalan-soalan dari wartawan tentang kemungkian beliau bakal dipecat. Dua kekalahan berturut-turut sukar untuk diterima tetapi jika pada hujung minggu ini United pulang ke Old Trafford sekali lagi dengan tangan kosong, krisis lebih besar bakal berlaku.

 

Dalam saingan domestik, United tewas tiga perlawanan dari enam aksi yang sudah mereka harungi sekaligus menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-15 liga. Menyaksikan kepada aksi United awal pagi tadi dan kedudukan mereka dalam carta liga, barisan The Red Devils nampaknya bukan lagi kesebelasan yang digeruni sepertimana ketika era Solskjaer sebagai pemain. Hakikat pahit untuk kita telan tetapi itulah realiti sebenar ketika ini. Glory Glory Manchester United!!!



04 November 2020

PRA PERLAWANAN: ISTANBUL BASAKSEHIR vs MAN UNITED

 


·Ini merupakan pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan dalam saingan peringkat Eropah.

 

·Wakil Turki ini pernah sekali berdepan kelab Inggeris dalam saingan Eropah iaitu ketika mereka disingkirkan Burnley menerusi kelebigan aggregate (0-1) di peringkat kelayakan pusingan ketiga Liga Europa (2018/19).

 

·Pertembungan terakhir United dengan kelab dari Turki ialah dalam saingan peringkat kumpulan Liga Europa (musim 2016/17). Ketika itu United berjaya menewaskan Fenerbahce (4-1) di Old Trafford tetapi tewas (1-2) di Istanbul.

 

·Berbanding United, Basaksehir tewas dua perlawanan awal mereka di peringkat kumpulan. Pada perlawanan pertama mereka tewas (0-2) ketika berdepan RB Leipzig di gelanggang lawan dan kemudiannya giliran PSG pula menewaskan mereka (0-2) di gelanggang sendiri.

 

·Sebelum berdepan United, Basaksehir berjaya menewaskan Konyaspor (2-1) dalam saingan Super Lig menerusi gol kemenangan penghujung perlawanan oleh Danijel Aleksic dan satu jaringan sendiri pemain lawan.

 

·Sebelum tewas (0-2) kepada PSG, Basaksehir pernah meraih dua kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri ketika mereka berdepan Sporting Lisbon dan FC Copenhagen dalam saingan Liga Europa.

 

·Basaksehir menang tiga dari lima aksi terakhir mereka di gelanggang sendiri dalam saingan peringkat Eropah.

 

·Sepanjang penyertaan mereka dalam saingan kelab-kelab Eropah, Basaksehir cuma menang lima kali dari 16 aksi mereka di gelanggang sendiri (menang 5, seri 5 dan kalah 6). Mereka menjaringkan 15 gol dan bolos 16 gol.

 

·United menang empat dari lapan aksi terakhir mereka di gelanggang lawan dalam saingan kelab-kelab Eropah (menang 4, seri 2 dan kalah 2).

 

·United tewas dua kali dalam dua kunjungan terakhir mereka di Istanbul. Pada saingan Liga Juara-Juara edisi 2012/13 mereka tewas (0-1) kepada Galatasaray dalam saingan peringkat kumpulan dan pada saingan Liga Europa (2016/17), mereka tewas kepada Fenerbahce (1-2), juga di peringkat kumpulan.

 

·Dari 16 pertemuan menentang kelab Turki di peringkat Eropah, United tewas lima kali di mana tiga daripadanya berlaku di kota Istanbul.

 

·Rekod United ketika berdepan kelab Turki di gelanggang lawan ialah menang 3 kali, seri 2 kali dan kalah 3 kali.

 

·Pencapaian keseluruhan United ketika berdepan wakil Turki ialah menang 8 kali, seri tiga kali dan tewas 5 kali. Mereka menjaringkan 26 gol dan bolos 14 gol.

 

Glory Glory Manchester United!!!


02 November 2020

UNITED SEKALI LAGI BERAKSI DI BAWAH PAR

 


Ole Gunnar Solskjaer menyambut kunjungan Arsenal untuk penampilan ke-100 beliau sebagai pengurus United. Secara spesifiknya, Solskjaer sudah mengendalikan United dalam 19 perlawanan sebagai pengurus interim dan 81 perlawanan lagi sebagai pengurus tetap. Sepatutnya perlawanan ini berakhir dengan indah untuk Solskjaer sebagai hadiah sambutan perlawanan ke-100 nya selaku pengurus United, tetapi perkara itu tidak berlaku.

 

Ketika ramai pihak begitu optimis bahawa United bakal meraih kemenangan pertama mereka di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini berbekalkan prestasi sensasi mereka ketika menundukkan RB Leipzig tempohari, barisan The Red Devils sekali lagi mengecewakan kita menerusi prestasi tidak konsisten mereka. Akhirnya Arsenal pulang ke kota London dengan fakta bahawa rekod tanpa kemenangan mereka di Old Trafford selama 14 tahun kini sudah berakhir.

 

Sebelum perlawanan, United memiliki momentum yang cukup bagus berikutan catatan tiga kemenangan dari empat aksi terakhir mereka dalam semua peringkat kejohanan. Manakala Arsenal pula tidak berada dalam kondisi yang cukup bagus selepas mereka tewas dua perlawanan terakhir liga (kepada Manchester City dan Leicester) meskipun menang ketika berdepan Dundalk dalam saingan Liga Europa.

 

4-4-2 vs 3-4-3

 

Menyedari bahawa beliau dalam momentum yang sangat bagus selepas kemenangan besar yang dilakar skuadnya ke atas Leipzig, Solskjaer sekali lagi menggunakan formasi 4-4-2 (berlian) ketika berdepan Arsenal. Harapan awalnya ialah agar United mampu mengulangi prestasi sama sepertimana ketika mereka menewaskan Leipzig tempohari. Bagaimanapun harapan tidak semestinya sentiasa menjadi kenyataan.

 

Sepanjang tempoh 45 minit pertama permainan, maneuver United cukup perlahan menerusi kecederungan mereka untuk bermain dengan berhati-hati. Mendatarnya tempo permainan United juga sebenarnya berpunca dari pendekatan formasi 3-4-3 yang digunakan Mikel Arteta dalam perlawanan ini hingga menyebabkan jentera tengah United sukar untuk bergerak. Akibatnya Fred dan Scott McTominay yang sering berperanan sebagai penghubung antara barisan belakang dan hadapan lebih banyak bergerak ke bawah.

 

Situasi ini turut menyukarkan Paul Pogba dan Bruno Fernandes untuk membekalkan hantaran-hantaran kepada Marcus Rashford atau Mason Greenwood di barisan hadapan. Pogba dan Bruno yang sebelum ini sering menjadi kunci kepada setiap gerakan-gerakan offensive United terpaksa bergelut dalam pertembungan mereka dengan lima pemain Arsenal di zon tengah padang.

 

Dalam situasi bertahan, Arteta mengarahkan tiga pemain hadapan beliau (Pierre Emerick-Aubameyang, Alexandre Lacazette dan Willian) turun sedikit ke bawah bagi membantu Thomas Partey dan Mohammed Elneny bagi meminimakan potensi sebarang gerakan yang cuba dilakukan Bruno mahupun Pogba. Untuk itu, Partey melaksanakan tugasnya dengan sangat berkesan kerana sepanjang perlawanan beliau sangat dominan dalam setiap pertempuran di zon tengah padang.

 

Man of the Match

 

Squawka memberikan kredit kepada kerja keras Partey sepanjang perlawanan di mana beliau kerap dilihat melakukan banyak duel, merebut bola dan juga membantu serangan. Apa yang dilakukan pemain antarabangsa Ghana ini ketika berdepan United? Statistik merakamkan Partey melakukan tiga tackle bersih, dua intercept, sebelas ball recoveries, menang kesemua duel bola tinggi dan mencatatkan 93% hantaran tepat. Paling menarik peratusan ketepatan hantaran-hantaran jauh yang dilakukannya turut mencapai angka 100%.

 

Rekod Terburuk

 

Beliau antara pemain yang teruk dijadikan sasaran kritikan selepas kekalahan ketiga Manchester United di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini. Tambah malang, terjahan yang dilakukannya keatas Hector Bellerin menyaksikan Arsenal akhirnya berjaya menewaskan United di Old Trafford buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun. Sepanjang perlawanan, Pogba hilang penguasaan bola sebanyak enam kali, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain United.

 

Selaku pemain yang menggerakan jentera tengah United, kreativiti Pogba juga sangat mengecewakan apabila beliau cuma mampu melakukan satu key passes. Bagaimanapun tidak adil untuk menyalahkan Pogba 100% atas kekalahan ini kerana hampir kesemua pemain United tampil di bawah prestasi sebenar mereka. Kekalahan ini menyaksikan United cuma mampu mengutip satu mata dari empat aksi pertama mereka di gelanggang sendiri musim ini.

 

Jumlah satu mata dari empat aksi awal liga di gelanggang sendiri merupakan kutipan mata terendah dan juga merupakan catatan terburuk dalam sejarah kelab. Selain itu catatan tanpa kemenangan dalam empat aksi di gelanggang sendiri turut mengulangi pencapaian yang dilakukan United pada musim 1972/73. Ketika itu United menamatkan kempen liga mereka di tangga ke-18.

 

Penutup

 

Kekalahan ini sebenarnya menjadi indikator jelas kepada kita bahawa United sebenarnya masih lagi berdepan dengan isu konsistensi. Contoh terbaik ialah bagaimana prestasi pemain-pemain seperti Fred, Scott McTominay, Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Paul Pogba secara tiba-tiba boleh berada di bawah tahap sebenar sedangkan hanya beberapa hari sebelum itu di gelanggang yang sama, mereka adalah antara key player di sebalik kemenangan sensasi ke atas RB Leipzig di pentas Eropah.

 

Satu lagi faktor yang perlu anda perhatikan ialah tindakan Solskjaer yang agak lambat untuk mengubah `arus perlawanan’. Tatkala Fred dan Scott McTominay tidak berfungsi sepertimana biasa, beliau hanya melakukan pertukaran di minit ke-62 dengan memasukkan Nemanja Matic. Selepas itu dua lagi pertukaran dilakukan serentak apabila beliau menggantikan Mason Greenwood dan Bruno Fernandes dengan Donny Van de Beek dan Edinson Cavani.

 

Ada perubahan yang berlaku selepas itu, tetapi tidak banyak yang mampu dilakukan Matic, Van de Beek dan Cavani untuk mengubah situasi memandangkan tempoh mereka beraksi di atas padang adalah sangat terhad. Paling mencuri tumpuan ialah prestasi Paul Pogba dalam perlawanan ini meskipun beliau beraksi selama 90 minit. Pogba sudah menjadi tajuk perbualan penyokong-penyokong United sejak sekian lama bukan sahaja tentang sumbangan beliau di atas padang tetapi juga tentang masa depannya di Old Trafford.

 

Sebenarnya sudah agak lama kita tidak melihat Pogba mempamerkan prestasi terbaik beliau secara konsisten buat tempoh yang panjang sesuai dengan reputasi yang pernah disandangnya selaku pemain termahal dunia. Pogba yang anda lihat sejak kebelakangan ini seolah-olah semakin hilang motivasinya beraksi dengan jersi merah United dan petanda itu sudah terlihat ketika beliau mengeluarkan kenyataan tentang impiannya untuk menyertai Real Madrid pada awal Oktober lalu.

 

Ini bukanlah kali pertama Pogba memberikan isyarat tentang keinginan beliau untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu. Jika anda masih ingat pada Ogos tahun lalu, Pogba juga menzahirkan keinginan serupa agar United mempertimbangkan secara rasional hasrat Real yang mahu mendapatkan khidmatnya. Sejak dari itu jugalah fokus Pogba seolah-olah sudah tiada lagi untuk United.

 

Bagaimanapun berbanding `buat duit’ dengan membiarkan Pogba merealisasikan impiannya menyarung jersi Real, United pula sebaliknya terus mempertahankan pemain yang hatinya mungkin sudah tiada lagi untuk terus kekal bersama kelab. Jika benar telahan saya, kelab sepatutnya sudah mula berhenti dari kebergantungan mereka kepada Pogba. Glory Glory Manchester United!!!



01 November 2020

PRA PERLAWANAN: MAN UNITED vs ARSENAL

 


Gol tunggal perlawanan jaringan Emmanuel Adebayor ketika Manchester United dan Arsenal bertemu di Old Trafford dalam saingan liga pada 19 September 2006 menyaksikan skuad kendalian Arsene Wenger itu pulang ke Highbury dengan tiga mata penuh. Dan itu jugalah buat kali terakhirnya Arsenal berjaya menewaskan United di Old Trafford dalam semua peringkat kejohanan.

 

Solskjaer vs Arteta

 

Dalam 39 penampilan beliau sebagai pengurus Arsenal, Arteta berjaya mengemudi skuad The Gunners itu menang 24 kali, enam keputusan seri dan sembilan kekalahan. Manakala Solskjaer pula sudah mengendalikan United sejak kehadirannya pada Disember 2018 sebanyak 80 perlawanan. Dari jumlah tersebut beliau berjaya mengemudi United menang 42 perlawanan, seri 18 kali dan kalah 20 kali. Secara puratanya United di bawah kendalian Solskjaer berjaya meraih 1.44 mata per perlawanan.

 

Solskjaer vs Arsenal

 

Sepanjang kariernya sebagai pengurus United, Solskjaer sudah berdepan Arsenal sebanyak empat kali. Dari jumlah tesebut, beliau cuma sekali berjaya mengemudi United menewaskan Arsenal, manakala tiga lagi pertemuan berakhir dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan. Satu-satunya kemenangan yang dicapai Solskjaer ke atas Arsenal ialah ketika United menyingkirkan The Gunners di pusingan keempat Piala FA pada Januari 2019.

 

Barisan Depan dan Belakang

 

Dalam 39 aksi Arsenal di bawah kendalian Arteta, mereka berjaya menjaringkan 71 gol dan bolos 43 kali. Manakala United dalam 80 perlawanan mereka di bawah kendalian Solskjaer pula menjaringkan 146 gol dan 86 kali bolos. Jika dihitung ratio gol kedua-dua pasukan dalam setiap perlawanan, United dan Arsenal memiliki catatan yang sama iaitu mereka menjaringkan purata 1.8 gol (per perlawanan)

 

Dalam aspek bertahan pula, kedua-dua pasukan memiliki catatan hampir sama tetapi United sedikit unggul apabila pintu gol mereka dibolosi 1.075 kali dalam setiap perlawanan. Bagaimana pula dengan statistik yang dicatatkan benteng pertahanan Arsenal? Berbanding United, pintu gol mereka secara puratanya dibolosi 1.1 kali dalam setiap perlawanan.

 

Jangkaan Formasi United

 

Jika diambilkira rekod Solskjaer setiap kali United berdepan Arsenal, ini bukanlah satu tugas yang mudah buat beliau. Bagaimanapun selepas kekalahan besar 1-6 ditangan Spurs pada 4 Oktober lalu, Unted secara perlahan-lahan sudah menunjukkan peningkatan yang drastik. Mereka menang tiga dari empat perlawanan terakhir di semua peringkat kejohanan termasuk kejayaan menewaskan Paris St Germain dan RB Leipzig di pentas Liga Juara-Juara.

 

Sangat menarik untuk melihat formasi apa yang bakal digunakan Solskjaer dalam perlawanan ini kerana sejak kekalahan besar kepada Spurs, beliau sudah menggunakan tiga formasi berbeza ketika berdepan Newcastle dan Chelsea (4-2-3-1), PSG (3-4-1-2) dan RB Leipzig (4-3-1-2). Limpahan pemain di bahagian tengah juga antara faktor penting mengapa beliau boleh menggunakan mana-mana formasi tanpa menjejaskan kestabilan skuadnya.

 

Secara peribadi, saya berharap agar Solskjaer terus menggunakan formasi (4-3-1-2) yang menyaksikan United menang besar ketika mereka menerima kunjungan Leipzig tempohari. Jangkaan kesebelasan utama dalam perlawanan ini pula ialah David de Gea, Aaron Wan-Bissaka, Victor Lindelof, Harry Maguire, Luke Shaw, Fred, Nemanja Matic, Paul Pogba, Bruno Fernandes, manakala Marcus Rashford dan Edinson Cavani membentuk dua penggempur di barisan hadapan. Glory Glory Manchester United!!!