Ole
Gunnar Solskjaer menyambut kunjungan Arsenal untuk penampilan ke-100 beliau
sebagai pengurus United. Secara spesifiknya, Solskjaer sudah mengendalikan
United dalam 19 perlawanan sebagai pengurus interim dan 81 perlawanan
lagi sebagai pengurus tetap. Sepatutnya perlawanan ini berakhir dengan indah
untuk Solskjaer sebagai hadiah sambutan perlawanan ke-100 nya selaku pengurus
United, tetapi perkara itu tidak berlaku.
Ketika
ramai pihak begitu optimis bahawa United bakal meraih kemenangan pertama mereka
di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini berbekalkan prestasi sensasi
mereka ketika menundukkan RB Leipzig tempohari, barisan The Red Devils
sekali lagi mengecewakan kita menerusi prestasi tidak konsisten mereka.
Akhirnya Arsenal pulang ke kota London dengan fakta bahawa rekod tanpa
kemenangan mereka di Old Trafford selama 14 tahun kini sudah berakhir.
Sebelum
perlawanan, United memiliki momentum yang cukup bagus berikutan catatan tiga
kemenangan dari empat aksi terakhir mereka dalam semua peringkat kejohanan.
Manakala Arsenal pula tidak berada dalam kondisi yang cukup bagus selepas
mereka tewas dua perlawanan terakhir liga (kepada Manchester City dan
Leicester) meskipun menang ketika berdepan Dundalk dalam saingan Liga Europa.
4-4-2
vs 3-4-3
Menyedari
bahawa beliau dalam momentum yang sangat bagus selepas kemenangan besar yang
dilakar skuadnya ke atas Leipzig, Solskjaer sekali lagi menggunakan formasi
4-4-2 (berlian) ketika berdepan Arsenal. Harapan awalnya ialah agar United mampu
mengulangi prestasi sama sepertimana ketika mereka menewaskan Leipzig
tempohari. Bagaimanapun harapan tidak semestinya sentiasa menjadi kenyataan.
Sepanjang
tempoh 45 minit pertama permainan, maneuver United cukup perlahan
menerusi kecederungan mereka untuk bermain dengan berhati-hati. Mendatarnya
tempo permainan United juga sebenarnya berpunca dari pendekatan formasi 3-4-3
yang digunakan Mikel Arteta dalam perlawanan ini hingga menyebabkan jentera
tengah United sukar untuk bergerak. Akibatnya Fred dan Scott McTominay yang
sering berperanan sebagai penghubung antara barisan belakang dan hadapan lebih
banyak bergerak ke bawah.
Situasi
ini turut menyukarkan Paul Pogba dan Bruno Fernandes untuk membekalkan
hantaran-hantaran kepada Marcus Rashford atau Mason Greenwood di barisan hadapan.
Pogba dan Bruno yang sebelum ini sering menjadi kunci kepada setiap
gerakan-gerakan offensive United terpaksa bergelut dalam pertembungan
mereka dengan lima pemain Arsenal di zon tengah padang.
Dalam
situasi bertahan, Arteta mengarahkan tiga pemain hadapan beliau (Pierre
Emerick-Aubameyang, Alexandre Lacazette dan Willian) turun sedikit ke bawah bagi
membantu Thomas Partey dan Mohammed Elneny bagi meminimakan potensi sebarang
gerakan yang cuba dilakukan Bruno mahupun Pogba. Untuk itu, Partey melaksanakan
tugasnya dengan sangat berkesan kerana sepanjang perlawanan beliau sangat
dominan dalam setiap pertempuran di zon tengah padang.
Man
of the Match
Squawka
memberikan kredit kepada kerja keras Partey sepanjang perlawanan di mana beliau
kerap dilihat melakukan banyak duel, merebut bola dan juga membantu serangan.
Apa yang dilakukan pemain antarabangsa Ghana ini ketika berdepan United?
Statistik merakamkan Partey melakukan tiga tackle bersih, dua intercept,
sebelas ball recoveries, menang kesemua duel bola tinggi dan mencatatkan
93% hantaran tepat. Paling menarik peratusan ketepatan hantaran-hantaran jauh
yang dilakukannya turut mencapai angka 100%.
Rekod
Terburuk
Beliau
antara pemain yang teruk dijadikan sasaran kritikan selepas kekalahan ketiga
Manchester United di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini. Tambah
malang, terjahan yang dilakukannya keatas Hector Bellerin menyaksikan Arsenal
akhirnya berjaya menewaskan United di Old Trafford buat pertama kali dalam
tempoh 14 tahun. Sepanjang perlawanan, Pogba hilang penguasaan bola sebanyak
enam kali, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain United.
Selaku
pemain yang menggerakan jentera tengah United, kreativiti Pogba juga sangat
mengecewakan apabila beliau cuma mampu melakukan satu key passes.
Bagaimanapun tidak adil untuk menyalahkan Pogba 100% atas kekalahan ini kerana
hampir kesemua pemain United tampil di bawah prestasi sebenar mereka. Kekalahan
ini menyaksikan United cuma mampu mengutip satu mata dari empat aksi pertama
mereka di gelanggang sendiri musim ini.
Jumlah
satu mata dari empat aksi awal liga di gelanggang sendiri merupakan kutipan
mata terendah dan juga merupakan catatan terburuk dalam sejarah kelab. Selain
itu catatan tanpa kemenangan dalam empat aksi di gelanggang sendiri turut mengulangi
pencapaian yang dilakukan United pada musim 1972/73. Ketika itu United menamatkan
kempen liga mereka di tangga ke-18.
Penutup
Kekalahan
ini sebenarnya menjadi indikator jelas kepada kita bahawa United sebenarnya masih
lagi berdepan dengan isu konsistensi. Contoh terbaik ialah bagaimana prestasi
pemain-pemain seperti Fred, Scott McTominay, Bruno Fernandes, Marcus Rashford
dan Paul Pogba secara tiba-tiba boleh berada di bawah tahap sebenar sedangkan
hanya beberapa hari sebelum itu di gelanggang yang sama, mereka adalah antara key
player di sebalik kemenangan sensasi ke atas RB Leipzig di pentas Eropah.
Satu
lagi faktor yang perlu anda perhatikan ialah tindakan Solskjaer yang agak
lambat untuk mengubah `arus perlawanan’. Tatkala Fred dan Scott McTominay tidak
berfungsi sepertimana biasa, beliau hanya melakukan pertukaran di minit ke-62
dengan memasukkan Nemanja Matic. Selepas itu dua lagi pertukaran dilakukan
serentak apabila beliau menggantikan Mason Greenwood dan Bruno Fernandes dengan
Donny Van de Beek dan Edinson Cavani.
Ada
perubahan yang berlaku selepas itu, tetapi tidak banyak yang mampu dilakukan
Matic, Van de Beek dan Cavani untuk mengubah situasi memandangkan tempoh mereka
beraksi di atas padang adalah sangat terhad. Paling mencuri tumpuan ialah
prestasi Paul Pogba dalam perlawanan ini meskipun beliau beraksi selama 90
minit. Pogba sudah menjadi tajuk perbualan penyokong-penyokong United sejak
sekian lama bukan sahaja tentang sumbangan beliau di atas padang tetapi juga
tentang masa depannya di Old Trafford.
Sebenarnya
sudah agak lama kita tidak melihat Pogba mempamerkan prestasi terbaik beliau secara
konsisten buat tempoh yang panjang sesuai dengan reputasi yang pernah
disandangnya selaku pemain termahal dunia. Pogba yang anda lihat sejak
kebelakangan ini seolah-olah semakin hilang motivasinya beraksi dengan jersi
merah United dan petanda itu sudah terlihat ketika beliau mengeluarkan
kenyataan tentang impiannya untuk menyertai Real Madrid pada awal Oktober lalu.
Ini
bukanlah kali pertama Pogba memberikan isyarat tentang keinginan beliau untuk
berhijrah ke Santiago Bernabeu. Jika anda masih ingat pada Ogos tahun lalu,
Pogba juga menzahirkan keinginan serupa agar United mempertimbangkan secara rasional
hasrat Real yang mahu mendapatkan khidmatnya. Sejak dari itu jugalah fokus
Pogba seolah-olah sudah tiada lagi untuk United.
Bagaimanapun
berbanding `buat duit’ dengan membiarkan Pogba merealisasikan impiannya
menyarung jersi Real, United pula sebaliknya terus mempertahankan pemain yang hatinya
mungkin sudah tiada lagi untuk terus kekal bersama kelab. Jika benar telahan
saya, kelab sepatutnya sudah mula berhenti dari kebergantungan mereka kepada
Pogba. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan