Pada
6 November 1986, Manchester United mengumumkan secara rasmi perlantikan Alex
Ferguson sebagai pengurus yang baharu bagi menggantikan posisi Ron Atkinson. Prestasi
`Big Ron’ sepanjang lima musim beliau mengendalikan United tidaklah terlalu
buruk kerana dalam tempoh era pengurusan beliau (dari 1981 hingga 1986), Atkinson
berjaya mengemudi United menjulang dua kejuaraan Piala FA (1983 dan 1985) serta
Perisai Komuniti (1983).
Dua
musim berturut-turut Atkinson berjaya mengemudi United menamatkan saingan liga
di tangga ketiga dan kemudiannya tiga musim di posisi keempat, selain dua trofi
Piala FA dan satu Perisai Komuniti, namun tetap gagal menyelamatkan kerjaya
beliau di Old Trafford. Kerana di Scotland ada pesona yang berjaya menarik
perhatian Martin Edwards untuk dilantik sebagai pengurus baharu United menerusi
kejayaan lelaki ini bersama Aberdeen memecah dominasi Glasgow Rangers dan
Celtic.
Kejayaan
mengemudi Aberdeen menjulang lapan kejuaraan domestik dan dua trofi di pentas
Eropah (Cup Winners Cup dan UEFA Super Cup) antara faktor utama yang membawa
Alex Ferguson ke Old Trafford. Dua hari selepas perlantikan beliau selaku
pengurus United yang baharu, Fergie memimpin barisan pemainnya untuk berdepan Oxford
United dalam saingan liga. Malangnya penampilan pertama Fergie sebagai pengurus
United berakhir dengan kekalahan apabila skuadnya tewas (0-2) kepada Oxford
United.
Siapakah
pemain yang diturunkan Fergie dalam kesebelasan utamanya pada penampilan
pertama beliau sebagai pengurus United?
Chris
Turner (GK)
Turner
bukanlah penjaga gol utama United tetapi beliau diturunkan Fergie selepas Gary
Walsh mengalami kecederaan. Selepas kehadiran Jim Leighton dari Aberdeen pada
1988, Turner semakin hilang tempatnya dalam skuad utama United sebelum akhirnya
beliau memutuskan berhijrah ke Sheffield United.
Mike
Duxbury
Duxbury
mendominasi sisi kanan pertahanan United sejak penghujung era 70an hingga 80an.
Selepas melakukan 299 penampilan untuk United, beliau berpindah ke Ewood Park
pada 1990 namun kecederaan lutut membataskan penampilan beliau bersama
Blackburn Rovers. Sempat melakukan 27 penampilan bersama Rovers, Duxbury kemudiannya
berhijrah ke Bradford City dua tahun selepas itu.
Kevin
Moran
Moran
akan sentiasa dikenang bukan sahaja kerana beliau antara pertahanan kental di
Old Trafford tetapi juga kerana terjahan keras yang dilakukannya pada aksi
final Piala FA edisi 1985 yang menyaksikan beliau dilayangkan kad merah. Keputusan
Fergie merekrut Steve Bruce dari Norwich City pada 1987 menyaksikan Moran
semakin hilang tempatnya dalam kesebelasan utama United. Selepas sepuluh musim
menyarung jersi United, Moran berhijrah ke Sporting Gijon pada 1988.
Graeme
Hogg
Berbanding
Kevin Moran, karier Hogg bersama United agak singkat iaitu selama empat musim
(1984-88). Selepas menghabiskan tempoh semusim sebagai pemain pinjaman bersama
West Bromwich Albion, Hogg menyertai Portsmouth pada 1988.
Arthur
Albiston
Albiston
memiliki tempoh karier yang cukup panjang bersama United. Sepanjang tempoh 14
musim menyarung jersi United, beliau melakukan 467 penampilan dalam semua peringkat
kejohanan tetapi dominasinya di sisi kiri pertahanan United mula pudar selepas
Fergie merekrut Colin Gibson dari Aston Villa. Albiston kemudiannya menyertai West
Bromwich Albion pada 1988.
Clayton
Blackmore
Dalam
perlawanan ini Blackmore diberikan peranan untuk bertindak sebagai sayap kanan
meskipun sepanjang kariernya di era Fergie, beliau bermain sebagai bek kiri. Keputusan
Fergie merekrut Paul Parker dan Denis Irwin menyaksikan Blackmore semakin tersisih
dari skuad utama United. Beliau akhir memutuskan berhijrah ke Middlesbrough
bersama-sama Bryan Robson pada 1994.
Paul
McGrath
Kecederaan
Bryan Robson memaksa Fergie meletakkan McGarth di bahagian tengah dalam
perlawanan ini kerana dari 1982 hingga 1989, beliau sangat dikenali sebagai
pertahanan tengah paling kental di Liga Divisyen 1 Inggeris. Selain Bryan Robson,
beliau juga antara pemain top yang ada dalam skuad utama United ketika
itu. Malangnya masalah ketagihan alkohol menyaksikan hubungan beliau dan Fergie
kurang harmoni. Akhirnya pada 1989, Fergie memutuskan untuk melepaskan McGarth
ke Aston Villa.
Remi
Moses
Agak
malang kerana Moses gagal mencapai potensi beliau bukan kerana prestasinya
tidak menepati standard yang diinginkan Fergie, tetapi kerana kecederaan
lutut serius yang dialaminya. Pada usia 28 tahun, Moses tidak lagi mampu
bertahan dengan tuntutan bolasepak tahap tinggi hingga memaksa beliau
mengumumkan persaraannya pada 1989.
Peter
Barnes
Bagi
pelanggan Astro dan pengikut Liga Perdana Inggeris, wajah Barnes mungkin tidak
asing bagi anda. Kerana sejak 2010, beliau bertugas sebagai pundit dan
pengulas untuk perlawanan-perlawanan Liga Perdana. Barnes antara pemain yang
direkrut Ron Atkinson tetapi tidak mampu bertahan di bawah regim Fergie. Hanya
dua musim beliau di Old Trafford, Barnes akhir menyertai semula Manchester City
pada 1987.
Frank
Stapleton
223
penampilan untuk United dari 1981 hingga 1987 serta berhasil menjaringkan 60
gol dalam saingan liga. Bagaimanapun 60 gol yang dijaringkan beliau berlaku
ketika era Ron Atkinson sebagai pengurus kerana hakikatnya Stapleton gagal
menjaringkan satu gol pun ketika beliau bermain di bawah arahan Fergie. Tiada
lagi tempat untuk Stapleton sebaik sahaja Fergie merekrut Brian McClair dan
beliau menyertai Ajax Amsterdam pada 1987.
Peter
Davenport
Idea
asalnya ialah merekrut beliau dari Nottingham Forest bagi mengisi kekosongan bakal
ditinggalkan Mark Hughes yang memilih untuk berhijrah ke Barcelona. Selama dua
musim beliau menyertai United (1986-88), Davenport berhasil menjaringkan 22 gol
menerusi 92 penampilan yang dilakukannya. Bagaimanapun keputusan Fergie membawa
kembali Hughes ke Old Trafford menyebabkan tiada lagi tempat untuk Davenport di
jentera serangan United. Beliau akhirnya memilih menyertai Middlesbrough pada
1988.
Penutup
Meskipun
penampilan pertama Fergie selaku pengendali United berakhir dengan kekalahan,
namun siapa sangka beliau akhirnya berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus
paling berjaya dalam sejarah kelab. 27 tahun sepanjang era beliau sebagai
pengurus, United sudah memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan, baik di
peringkat domestik mahupun Eropah, sesuatu yang mungkin pada awalnya
penyokong-penyokong tegar The Red Devils tidak pernah bayangkan
memandangkan Fergie sendiri bergelut sepanjang tempoh lima musim pertamanya di
Old Trafford.
Walaupun
bermula dengan `langkah kiri’, Fergie akhirnya sukses meletakkan kembali United
sebagai gergasi England dan berjaya menakluk Eropah sebanyak dua kali menerusi
kejayaan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1999 dan 2008. Jejak
gemilang yang ditinggalkan Fergie di Old Trafford sebenarnya turut menghantui
pengganti beliau selepas itu hinggakan pengurus hebat seperti Louis Van Gaal
dan Jose Mourinho `di paksa untuk berhenti lebih awal’. Ryan Giggs mengatakan
United perlukan tempoh 20 tahun lagi untuk menjulang kembali trofi Liga
Perdana, tetapi berharaplah agar telahan Giggs itu tersasar dan semoga kita
tidak perlu menunggu selama itu. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan