Pada
awalnya seperti perlawanan yang mudah, tetapi pengakhirannya Manchester United
terpaksa mengakui bahawa sumpahan kota Istanbul nampaknya masih lagi menghantui
mereka. Dua kunjungan terakhir United ke Istanbul sebelum ini berakhir dengan
kekalahan mereka kepada Galatasaray serta Fenerbahce, dan kini giliran Basaksehir
pula menambah luka kepada barisan The Red Devils.
Meskipun
gah dalam dua perlawanan awal menerusi kemenangan yang dilakar mereka ke atas
Paris St Germain dan RB Leipzig, prestasi di bawah par yang dipamerkan benteng
pertahanan menyaksikan United gagal meneruskan rentak cemerlang mereka di
pentas Eropah apabila lawan begitu mudah menjaringkan dua gol di babak pertama
menerusi Demba Ba (minit ke-13) dan Edin Visca (minit ke-40).
Walaupun
United berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol Anthony Martial (diminit
ke-43), namun itu tidak cukup untuk United pulang ke Old Trafford dengan
sekurang-kurangnya satu mata. Perlawanan ini sepatutnya menjadi medan
kebangkitan United selepas kekalahan 0-1 yang dialami mereka kepada Arsenal
dalam saingan liga hujung minggu lalu, tetapi itu tidak belaku Stadium Fatih
Terim awal pagi tadi.
Teruknya
`Back Four’ United
Ole
Gunnar Solskjaer menurunkan Harry Maguire, Axel Tuanzebe, Aaron Wan-Bissaka dan
Luke Shaw selaku empat pemain yang membarisi benteng pertahanan dalam
kesebelasan utama beliau di Fatih Terim Stadium. Dan kekalahan ini sebenarnya
tidak terlepas dari buruknya prestasi keseluruhan yang dipamerkan barisan
pertahanan United terutama di sisi kanan dan kiri.
Lihat
sahaja bagaimana mudahnya Demba Ba menjaringkan gol pertama tuan rumah ketika
kesemua empat pertahanan United berada di kawasan lawan bagi menyambut sepakan
sudut Bruno Fernandes. Kesilapan sama sekali lagi berulang diminit ke-40
apabila satu lagi gerakan serang balas lawan gagal ditangani benteng pertahanan
hingga membolehkan gol kedua tuan rumah terhasil.
Selaku
pengendali, Solskjaer mengakui akan hal tersebut. “Gol pertama berlaku ketika
kami membiarkan seorang pemain lawan bebas sendirian. Gol kedua pula berlaku
disebabkan koordinasi pertahanan kami yang begitu lemah dalam melakukan tekanan
ketika kami hilang penguasaan bola. Gol pertama memang tidak boleh dimaafkan”,
kata Solskjaer selepas tamat perlawanan.
Lawan
`Mereplikasikan’ Permainan United
United
di bawah kendalian Solskjaer memang dikenali kerana kecenderungan mereka
membiarkan lawan menguasai bola sebelum menggunakan kekuatan barisan hadapan
dalam melakukan serang balas pantas. Bagaimanapun di Istanbul awal pagi tadi,
taktik United direplikasikan oleh lawan dan gol pertama mereka adalah contoh
terbaik.
Demba
Ba memang sudah berusia 35 tahun, tetapi jangan pernah lupakan reputasi bekas
penyerang Newcastle United dan Chelsea ini sepanjang kariernya di England.
Sepanjang kariernya di Liga Perdana, Demba Ba berjaya membolosi pintu gol
United sebanyak empat kali, tiga kali ketika beliau menyarung jersi Newcastle
United dan sekali ketika bersama Chelsea.
Apa
Dah Jadi Bruno?
Selain
benteng pertahanan yang teruk dijadikan sasaran kritikan, prestasi Bruno
Fernandes dalam perlawanan ini juga sebenarnya wajar anda perhatikan. Harapan
yang diletakkan ke atas Bruno memang tinggi, apatah lagi selepas impak besar
yang diberikan beliau sejak menyertai United pada Januari lalu. Bagaimanapun di
Istanbul, Bruno tidak sepertimana lazimnya gagal menjadi inspirasi kepada
gerakan-gerakan United.
Sepanjang
perlawanan, peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya cuma mencapai angka
73.8%, jauh di belakang catatan Donny Van de Beek yang memiliki peratus
ketepatan hantaran sebanyak 93%. Di zon final third lawan pula, Bruno cuma
mencatatkan 63.5% hantaran tepat, jadi tidak hairanlah mengapa tiada satu pun key
passes yang `lahir’ dari sepasang kakinya sepanjang perlawanan ini.
Agak
malang untuk seorang pemain yang ditagih kreativitinya selaku penggerak jentera
tengah United, Bruno juga gagal melepaskan walau satu pun percubaan on
target dari empat percubaan yang dilakukannya. Lebih malang sepanjang
perlawanan, statistik turut merakamkan beliau hilang penguasaan bola sebanyak
34 kali. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau diletakkan sebagai pemain ketiga
United yang memiliki rating paling rendah selepas Dean Henderson dan Axel
Tuanzebe.
Masih
Mencari Kesebelasan Terbaik?
Untuk
kesekian kalinya, Solskjaer menurunkan kesebelasan berbeza selepas kekalahan
kepada Arsenal tempohari. Kali ini beliau menggunakan Nemanja Matic dan Donny
Van de Beek sebagai double pivot, manakala Juan Mata berperanan di sisi
kanan dalam skema formasi 4-2-3-1 yang digunakan beliau. Di barisan belakang,
beliau menggandingkan Axel Tuanzebe bersama Harry Maguire selaku pertahanan
tengah manakala Dean Henderson pula mengambilalih posisi David De Gea.
Adakah
ini menandakan bahawa Solskjaer sebenarnya memiliki ramai pemain dengan kualiti
yang seimbang dalam skuadnya hingga membolehkan beliau menyenaraikan kesebelasan
berbeza dalam setiap perlawanan. Atau adakah keputusan beliau ini sebenarnya
cumalah rutin penggiliran pemain berikutan jadual perlawanan yang padat. Atau
mungkin juga beliau masih mencari komposisi pemain terbaik untuk diletakkan
dalam kesebelasan utamanya?
Penutup
Kemenangan
ketika berdepan Paris St Germain dan RB Leipzig melenyapkan sedikit kegusaran
tentang aksi tidak konsisten United di liga domestik, tetapi kini Solskjaer
kembali di hujani soalan-soalan dari wartawan tentang kemungkian beliau bakal
dipecat. Dua kekalahan berturut-turut sukar untuk diterima tetapi jika pada
hujung minggu ini United pulang ke Old Trafford sekali lagi dengan tangan
kosong, krisis lebih besar bakal berlaku.
Dalam
saingan domestik, United tewas tiga perlawanan dari enam aksi yang sudah mereka
harungi sekaligus menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-15 liga.
Menyaksikan kepada aksi United awal pagi tadi dan kedudukan mereka dalam carta
liga, barisan The Red Devils nampaknya bukan lagi kesebelasan yang
digeruni sepertimana ketika era Solskjaer sebagai pemain. Hakikat pahit untuk
kita telan tetapi itulah realiti sebenar ketika ini. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan