Sejak melakukan debut pada
Februari lalu, bukan sedikit impak yang sudah diberikan Bruno Fernandes untuk
Manchester United. Beliau antara faktor yang disebut-sebut di sebalik
kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Dan kini sirna
Bruno dalam kesebelasan United seolah-olah memang tiada galang gantinya hinggakan
ramai pihak menyebut bahawa prestasi beliau di atas padang turut mempengaruhi
penampilan kesebelasan The Red Devils.
Di Goodison Park, Bruno
sekali lagi memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United menamatkan
badi tiga perlawanan tanpa kemenangan ketika mereka berdepan Everton. Aksi
menentang Everton sangat penting, bukan sahaja buat United tetapi juga kepada
survival Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali. Sebelum perlawanan, ramai
pemerhati bolasepak meramalkan bahawa ini mungkin menjadi aksi terakhir
Solskjaer di bangku pengurus jika skuadnya sekali lagi pulang dengan tangan
kosong.
Bagaimanapun di sebalik
tekanan yang kian memuncak, United sepertimana sebelumnya di era Solskjaer
sentiasa memiliki cara untuk menutup mulut para pengkritik mereka walaupun ianya
mungkin buat tempoh sementara waktu. Meskipun pada awalnya kita sedikit cemas
melihat tuan rumah mendahului menerusi sentuhan Bernard, tetapi United hanya
memerlukan tempoh enam minit untuk menyamakan kedudukan menerusi gol jaringan
Bruno di minit ke-25.
Jaringan penyamaan itu
adalah yang pertama dilakukan Bruno menerusi tandukan sejak beliau menyertai
United dari Sporting Lisbon pada hujung Januari lalu. Selepas itu United
menambah dua gol lagi, juga menerusi Bruno (minit ke-32) dan Edinson Cavani
ketika perlawanan sudah memasuki masa kecederaan. Tiada perubahan yang terlalu drastik
dalam carta liga buat United, tetapi kemenangan ini sangat penting untuk moral
pasukan sebelum aksi domestik dihentikan bagi memberikan laluan kepada
perlawanan antarabangsa.
`Comeback’
Cara Bruno
Dua gol dan kemudiannya
mencipta satu bantuan gol menyaksikan Bruno sudah terlibat dengan 15 gol yang dihasilkan
United ketika mereka beraksi di gelanggang lawan (sepuluh gol dan lima bantuan
gol). Ini merupakan penglibatan gol terbanyak yang dilakukan oleh seorang
pemain pada sepuluh penampilan pertama mereka di gelanggang lawan sepanjang era
Liga Perdana sekaligus membuktikan betapa besarnya pengaruh Bruno dalam kesebelasan
United.
Menurut catatan statistik
perlawanan dari Opta, peratusan ketepatan hantaran Bruno sepanjang perlawanan
mencapai 78% serta melepaskan enam percubaan di mana empat daripadanya
merupakan percubaan on target. Dalam situasi bertahan pula, Bruno
berjaya melakukan tiga tackle, dua clearance dan dua blocked,
statistik kerja-kerja defensif yang cukup mengagumkan mengingatkan bahawa peranan
beliau adalah sebagai `pemain nombor 10’.
Selepas `tenggelam’ di
Istanbul, Bruno `kembali ke jalan yang benar’ menerusi gaya beliau yang
tersendiri. Memainkan peranan penting di sebalik kemenangan pasukan tatkala
tekanan dibahunya kian memuncak, menjaringkan dua gol, mencipta assist
untuk rakan sepasukan meskipun beliau sebenarnya mampu melakukan hatrik dalam
perlawanan ini serta menamatkan aksi di Goodison Park selaku pemain terbaik
perlawanan adalah comeback yang indah dari seorang pemain yang hebat.
Pujian menggunung turut
diberikan Michael Owen selepas beliau menyaksikan peranan besar yang dimainkan
Bruno di Goodison Park. “Dia memainkan peranan dalam tiga gol yang dijaringkan
United. Dia bukan sahaja menjaringkan gol dan menyumbang assist , tetapi
dia juga adalah pemimpin di atas padang. Saya rasa dia bukan sahaja pemimpin
yang vokal di atas padang tetapi juga dalam sesi wawancara dan ketika bersama
rakan sepasukan”, kata Owen.
Yang Buruk Dan
Yang Baik
Selain Bruno, penampilan
Luke Shaw dalam perlawanan ini juga wajar diberikan kredit. Bagi seorang bek
sisi moden, tugas mereka tidak terikat dengan kerja-kerja bertahan semata-mata
tetapi juga berperanan dalam situasi ofensif. Itulah yang dilakukan Shaw di
Goodison Park apabila beliau berjaya melakukan 49 hantaran (82% hantaran tepat),
melepaskan dua hantaran lintang, mencipta satu key passes dan menyumbang
satu bantuan gol. Ketika melaksanakan kerja bertahan pula, Shaw melakukan satu tackle,
satu intercept, dua clearance dan satu blocked.
Jika penampilan Bruno dan
Shaw menyaksikan mereka antara pemain United yang diberikan rating paling
tinggi, lain pula halnya dengan penampilan Anthony Martial sepanjang 82 minit
kelibatnya di atas padang. Ini adalah penampilan pertama Martial di Liga
Perdana dalam tempoh tiga minggu selepas beliau menjalani penggantungan tetapi
lihatlah sumbangan keseluruhannya dalam perlawanan ini. Sepanjang 82 minit
aksinya, Martial cuma melepaskan satu percubaan off target dan paling
malang beliau tiga kali berada di luar posisi ketika rakan melakukan hantaran kepadanya.
Penutup
Melihat United kembali
mencatatkan kemenangan dalam perlawanan penting seperti ini, Bruno kembali
memainkan pengaruh besar dalam kesebelasan United dan Edinson Cavani pula sudah
membuka akaun jaringan beliau di Liga Perdana adalah antara momen menarik
selepas tamatnya aksi di Goodison Park. Bagaimanapun tetap ada satu persoalan
besar yang bermain di fikiran penyokong-penyokong United tentang kecenderungan
Solskjaer untuk terus menggunakan Anthony Martial sebagai pemburu gol untuk
skuadnya.
Melihat Martial cuma berlari-lari
tanpa arah dan gagal memberikan sebarang ancaman kepada Jordan Pickford, 82
minit adalah tempoh yang sangat panjang dan menyeksakan bagi
penyokong-penyokong United melihat penampilan warga Perancis ini. Agak
menghairankan dengan prestasi seperti itu, Solskjaer masih membiarkan Martial
terus beraksi di atas padang dan pertukaran hanya dilakukan beliau ketika tempoh
permainan sebenar berbaki lapan minit sebelum ditamatkan.
United perlukan seorang
penyerang yang klinikal dalam menyudahkan peluang dan Martial bukanlah type
penyerang seperti itu. Mungkin beliau lebih berkesan jika dibiarkan bebas
bergerak di sebelah sisi, tetapi bukan sebagai penyerang tengah. Jadi sudah
tiba masanya untuk Solskjaer berhenti menggunakan Martial sebagai `pemain
nombor 9’ dan menyerahkan peranan itu kepada Edinson Cavani. Cavani mungkin
sudah melepasi zaman kemuncaknya, tetapi dalam hal menyudahkan peluang dan
meletakkan dirinya di posisi terbaik untuk menerima hantaran, beliau jauh lebih
pakar berbanding Martial. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan