16 Februari 2021

OPSYEN YANG BOLEH DIPERTIMBANGKAN BAGI MENINGKATKAN KUALITI PERTAHANAN TENGAH UNITED

 


Lupakan Dayot Upamecano kerana pertahanan RB Leipzig itu sah bakal menyertai Bayern Munich musim depan. Gagal mendapatkan tandatangan pemain antarabangsa Perancis itu bukanlah penamat kepada usaha United bagi meningkatkan kualiti barisan pertahanan mereka terutamanya membabitkan posisi pertahanan tengah. Masih ada beberapa opsyen di luar sana yang boleh dipertimbangkan sekiranya Ole Gunnar Solskjaer berhasrat meletakkan seorang pertahanan tengah baharu dalam radar buruan beliau pada jendela perpindahan musim panas nanti.

 

Jules Kounde

 

Pemain yang diberitakan bakal menggantikan posisi Sergio Ramos di Santiago Bernabeu. Ada ciri-ciri permainan Ramos dalam diri Kounde kerana beliau sebenarnya jarang melakukan tackle, intercept atau block tetapi statistik menunjukkan Kounde pemain yang cukup bijak meletakkan dirinya di posisi yang tepat untuk memintas pergerakan penyerang lawan. Selan daripada itu Kounde jarang melakukan kesilapan-kesilapan mudah, bagus dalam duel bola tinggi selain kualiti hantaran yang dimilikinya.

 

Kalidou Koulibaly

 

Minat United terhadap Koulibaly bukanlah subjek baharu kerana khabar angin tentang pertahanan tengah Napoli ini sudah bertiup sejak beberapa musim lalu. Di sebalik postur tubuh beliau yang tegap, Koulibaly turut dianugerahkan dengan kepantasan yang tinggi bagi memintas sebarang pergerakan yang cuba dilakukan lawan. Dan sudah tentu juga melakukan duel dalam situasi bola 50/50 dengan beliau antara situasi yang seboleh mungkin cuba dielak oleh mana-mana penyerang lawan. Dianugerahkan dengan kemampuan untuk membina serangan dan hantaran-hantaran tepat dari belakang, Koulibaly adalah versi `Virgil Van Dijk’ untuk Napoli.

 

Raphael Varane

 

Rakan gandingan Sergio Ramos di benteng pertahanan Real selepas berakhirnya era Pepe di Santiago Bernabeu. Sepertimana tipikal permainan Jules Kounde, Varane juga jarang melakukan tackle yang berisiko dan sudah tentu juga corak permainan beliau sangat kontras dengan rakan gandingannya, Ramos. Varane melengkapi permainan Ramos di benteng pertahanan Real kerana kemampuan beliau melakukan tackle yang tepat selain memiliki kepantasan dalam memintas pergerakan penyerang lawan.

 

Jika Ramos sering menghiasi tajuk-tajuk utama akhbar, Varane pula boleh dianggap antara pemain Real yang underrated, tetapi sering menjalankan tugasnya di atas padang dengan sangat berkesan. Jadi tidak hairanlah mengapa Zinedine Zidane melabelkan beliau sebagai pemain yang `fenomenal’. Pada usia yang agak muda (27 tahun), Varane antara pilihan yang boleh dipertimbangkan terutamanya dalam memenuhi ambisi Solskjaer yang obses membina kekuatan skuadnya bagi tempoh jangkamasa panjang.

 

Pau Torres

 

Memiliki ketinggian 1.91m, Pau Torres memenuhi kriteria seorang pertahanan tengah yang mampu mencabar mana-mana pemain lawan dalam situasi bola tinggi. Jika anda bercakap tentang corak permainan beliau, Torres secara peribadi saya lihat memiliki permainan mirip legenda United sendiri, iaitu Rio Ferdinand. Aset kepada permainan beliau ialah ketenangannya ketika menguasai bola, dan meskipun bukan tergolong antara pertahanan yang memiliki kepantasan tinggi di La Liga, kekurangan tersebut diimbangi Torres menerusi kemampuannya membaca pergerakan lawan, lantas menjadikan beliau pertahanan yang sukar ditembusi.

 

Memiliki purata 55.26 hantaran dalam setiap perlawanan dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 86.2%, Torres sangat ideal untuk mana-mana pasukan yang mengamalkan pendekatan permainan intensif dan bergerak dalam satu unit seperti United. Seorang pertahanan tengah yang masih muda tetapi sudah meletakkan dirinya selaku antara tonggak utama skuad `El Submarino Amarillo’, Torres merupakan prospek yang bakal berada dalam kelompok antara pertahanan tengah terbaik dunia sedikit masa lagi. Jangan lupakan juga fakta bahawa beliau merupakan pemain berkaki kidal yang boleh bertindak di sebelah kiri pertahanan tengah United.

 

Penutup

 

Meletakkan seorang pertahanan tengah baharu dalam radar buruan antara fokus utama yang perlu dilakukan Solskjaer pada jendela perpindahan musim panas nanti. Melihat kepada prestasi Harry Maguire dan Victor Lindelof sejak kebelakangan ini, maka tidak hairanlah mengapa penyokong-penyokong United begitu ghairah dengan prospek kehadiran Sergio Ramos musim panas nanti. Berlaku atau tidak perpindahan Ramos nanti bukanlah isu paling utama, kerana secara peribadi sukar untuk United kembali ke podium kejuaraan jika terus meletakkan gandingan Maguire/Lindelof dalam `back four layer’ mereka. “Attack wins you games, defence wins you titles”. Glory Glory Manchester United!!!



11 Februari 2021

SERGIO RAMOS...KARAKTER SEORANG CENTRE BACK YANG SUDAH LAMA KITA RINDUI

 


Apa lagi cerita paling menarik dalam tempoh beberapa minggu ini selain berita sensasi yang mengaitkan perpindahan Sergio Ramos ke Old Trafford musim depan. Ada pro dan kontranya tentang rumour tersebut memandangkan usia Ramos yang sudahpun mencecah angka 35 tahun. Selain daripada itu masih ingatkah anda lagi dengan `pengkhianatan’ yang dilakukan Ramos hampir enam tahun lalu? Pada musim panas 2015, Ramos pernah digembar-gemburkan bakal menyertai United selepas beliau diberitakan enggan menandatangani kontrak baharu bersama Real Madrid.

 

Situasi pada masa itu mirip sepertimana yang berlaku sekarang, malah ketika itu terdapat juga cerita yang mengatakan bahawa Ramos sudah menghubungi Louis Van Gaal bagi menyatakan minatnya berpindah ke Old Trafford. Bagaimanapun impian penyokong-penyokong yang mahu melihat bintang Sepanyol itu memimpin benteng pertahanan United lebur apabila pada Ogos 2015, Ramos akhirnya diumumkan secara rasmi kekal di Santiago Bernabeu selama lima tahun lagi selepas tuntutan kenaikan gajinya dipenuhi pihak pengurusan Real.

 

Untuk berlaku adil kepada beliau, Ramos masih boleh dikategorikan antara pertahanan tengah terbaik dunia ketika ini meskipun pada bulan hadapan beliau bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35. Tiada sebarang tanda beliau akan bersara dari skuad kebangsaan dalam masa terdekat meskipun sudah memiliki 178 caps bersama skuad La Roja, manakala Zinedine Zidane pula nampaknya masih terus bergantung kepada kudrat Ramos selaku kapten pasukan dan komander kepada benteng pertahanan skuad kendaliannya.

 

`Kerja Kotor’

 

Jadi bukanlah sesuatu yang mustahil jika anda bakal melihat Ramos masih mampu beraksi di pentas tertinggi bolasepak dunia dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Apabila anda bercakap tentang Ramos, sudah tentu perkara pertama yang tergambar dalam fikiran anda ialah beliau antara pemain pertahanan `paling kotor’ dalam sejarah bolasepak dunia. Tindakan beliau hingga menyebabkan Mohamed Salah diusung keluar padang pada aksi final Liga Juara-Juara edisi 2018 masih kekal segar diingatan.

 

Tanpa Salah, tugas Ramos dalam mengekang asakan-asakan Liverpool menjadi lebih mudah, dan Real akhirnya berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-13 dalam sejarah kelab selepas mereka menundukkan wakil England itu (3-1) di Stadium Olimpik, Kiev. Bukan hanya Liverpool yang menerima impak dari kecederaan Salah, malah Mesir juga sebenarnya hampir kehilangan sentuhan pemain terbaik mereka itu di pusingan akhir Piala Dunia 2018.

 

Insiden membabitkan beliau dan Salah cuma salah satu contoh dari banyak lagi `kerja kotor’ yang pernah dilakukan Ramos. Jangan mengkritik beliau terlalu berlebihan kerana akhirnya kita juga terpaksa mengakui hakikat bahawa dalam sukan bolasepak pertaruhannya bukan sekadar tentang trofi kejuaraan semata-mata. Bagi seorang pemain, apatah lagi kapten pasukan seperti Ramos, harga diri, kebanggaan dan momen indah ketika beliau berdiri di atas podium kejuaraan adalah `nyawa’ kepada karier mereka.

 

Pemilik nama Sergio Ramos Garcia ini memang ditakdirkan untuk berada di sebelah `sisi gelap’ dunia bolasepak, sepertimana Claudio Gentile ataupun Pepe yang juga merupakan bekas rakan gandingan beliau di Real Madrid. Gentile adalah contoh paling ekstrim jika anda mahu bercakap tentang `kerja kotor’ yang dilakukan oleh seorang pemain pertahanan. Bekas pertahanan legenda era 80an ini melakukan 23 kekasaran ke atas Diego Maradona ketika Itali dan Argentina bertembung di pentas Piala Dunia 1982.

 

Menurut Gentile, bermain kotor adalah bertujuan untuk membuatkan mental lawan `koyak’ lantas menyebabkan mereka hilang fokus kepada perlawanan. Malah di Itali sendiri istilah furbizia digunakan sebagai salah satu pendekatan bagi menganggu fokus lawan asalkan ia tidak melanggar peraturan perlawanan. Diving, tactical foul, melakukan protes kepada pengadil, melengah-lengahkan permainan, melakukan provokasi kepada lawan antara cara pemain-pemain di Itali dalam melaksanakan furbizia.

 

Permainan Kotor Juga Satu Seni

 

Bukan mudah sebenarnya seseorang pemain bermain `kotor’ tanpa diberikan amaran atau menerima layangkan kad dari pengadil perlawanan. Bermain `kotor’ tanpa dapat dikesan oleh pengadil antara seni bolasepak yang jarang dimiliki, dan Ramos antara pemain yang pakar dalam melakukannya. Lihat sahaja insiden beliau dan Salah pada final Liga Juara-Juara 2018 yang lalu. Salah diusung keluar, Liverpool tidak dihadiahkan sepakan percuma manakala Ramos pula terselamat dari sebarang layangan kad oleh pengadil.

 

Memang sedikit kejam tetapi insiden dengan Salah itu bukti bahawa Ramos sanggup melakukan apa sahaja demi pasukan yang diwakili. Corak permainan keras plus sedikit `kotor’ merupakan ciri dan kekuatan kepada permainan Ramos, dan kerana corak permainan seperti itulah beliau juga sudah memenangi semua medal kejuaran dalam kariernya. Dari peringkat domestik, Eropah, Kejohanan Antara Kelab Dunia hinggalah ke Piala Dunia. Saya percaya sekiranya anda `cabut’ permainan `kotor’ itu dari dalam dirinya, Ramos mungkin cuma pertahanan tengah yang biasa-biasa saja.

 

Jiwa Pemimpin

 

Ramos bukanlah pertahanan tengah yang memiliki kelajuan larian seperti Kostas Manolas, Lucas Hernandez atau Raphael Varane. Atau type pertahanan tengah yang sukar ditembusi persis Alessandro Nesta, Fabio Cannavaro atau Nemanja Vidic, tetapi watak Ramos adalah lambang `kesombongan’ Real selaku antara kesebelasan terbaik di dunia, lambang seorang pemimpin yang tidak pernah kenal erti menyerah, ciri yang sebenarnya tidak dimiliki pemain sehebat Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi sekalipun.

 

Lihat apa yang beliau lakukan pada aksi final Liga Juara-Juara edisi 2014. Tatkala rakan-rakan sepasukannya sudah hampir menyerah kalah, Ramos memicu kebangkitan Real hasil dari gol penyamaan yang dijaringkannya di masa kecederaan (minit ke-93) untuk mengheret Atletico Madrid bermain hingga ke masa tambahan. Lima sepakan penalti yang berjaya disempurnakan mereka akhirnya menamatkan ambisi Diego Simeone untuk muncul pengurus pertama yang berjaya meletakkan Atletico di podium kejuaraan (Liga Juara-Juara).

 

Kekuatan Ramos bukan hanya terletak kepada corak permainan kerasnya tetapi juga kerana keteguhan mentalnya, dan Lisbon 2014 adalah contoh terbaik. Ramos mampu menutup setiap pergerakan penyerang lawan hanya menerusi kepintaran beliau untuk meletakkan dirinya di posisi yang tepat selain tidak pernah ragu-ragu untuk melakukan sebarang kerja-kerja `kotor’. Apa yang beliau lakukan kepada Salah di Kiev pada 2018 antara salah satu dari karya agung dan manifestasi sebenar kepada corak permainan `kotor’ Ramos.

 

Dalam semusim beliau melakukan berpuluh tactical foul, manakala layangkan kad merah seolah-olah sudah begitu akrab dengan dirinya, tetapi semua itu dilakukan Ramos demi memberikan Real keuntungan dan kelebihan dalam satu-satu perlawanan. Sudah tentu trofi kejuaraan adalah ganjarannya kerana “dalam peperangan tiada pertempuran yang terlalu bersih dan anda perlu melakukan sedikit kerja kotor untuk memenanginya”.

 

Penutup

 

Nasib Ramos di Santiago Bernabeu masih menjadi tandatanya. Tatkala kontrak beliau bersama Real akan tamat pada Jun ini, dan keretakkan hubungannya dengan Florentino Perez yang semakin membarah mungkin menyaksikan pemenang empat medal kejuaraan Liga Juara-Juara itu memilih haluan baharu musim panas nanti. Jika pemergian Ramos dari Santiago Bernabeu musim panas nanti menjadi realiti, itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika anda melihat kepada layanan Real kepada Iker Cassilas dan Raul Gonzales sebelum ini.

 

Ramos adalah type pertahanan tengah yang memang sudah lama diimpikan penyokong-penyokong United. Sejak berakhirnya era Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand, kita sangat dahagakan kelibat seorang pertahanan tengah yang keras corak permainannya, bijak membaca gerakan-gerakan lawan, vokal ketika di atas padang dan bilik persalinan serta mampu mengkoordinasikan rakan-rakan sepasukan dalam situasi defensif dengan baik.

 

Jika memang benar Real sudah tidak lagi mahukan beliau, ayuhlah Ramos…keluar dari Santiago Bernabeu dan cari cabaran baharu. Dengan gaji sekitar €226 ribu seminggu untuk kualiti yang mampu beliau tawarkan di benteng pertahanan, Ramos adalah pertahanan tengah yang berbaloi United tandatangani musim panas nanti. Tidak ramai pemain yang mampu beraksi di pentas tertinggi pada usia pertengahan 30an dan Ramos merupakan salah satu diantaranya.

 

Ketika kemampuan Harry Maguire serta Victor Lindelof sering dijadikan sorotan dan diperdebatkan penyokong-penyokong, Ramos adalah jawapan kepada masalah United di benteng pertahanan mereka, setidak-tidaknya buat tempoh jangkamasa pendek. Jika di Santiago Bernabeu anda sudah tidak lagi dihargai, datanglah ke sini (Old Trafford) Ramos…tempat di mana anda akan lebih dihargai dan pentas dimana anda boleh membuktikan bahawa anda masih lagi antara pertahanan tengah terbaik dunia. Glory Glory Manchester United!!!



04 Februari 2021

BAKAT HEBAT BOLASEPAK INGGERIS BERNAMA WAYNE ROONEY

 


Wayne Rooney antara segelintir pemain yang cukup berjaya dalam kancah Liga Perdana menerusi deretan trofi yang berjaya dimenanginya, manakala di Old Trafford pula beliau diiktiraf sebagai legenda Manchester United. Bagaimanapun sepertimana pemain-pemain lain ketika usia remajanya, Rooney terpaksa melalui proses yang panjang sebelum beliau berjaya menempa nama selaku antara nama besar dalam dunia bolasepak.

 

Sinar Rooney selaku bintang dalam pembikinan sudah mula terlihat ketika beliau masih menyarung jersi Everton lagi. Pada 19 Oktober 2002, Rooney mencetus sensasi apabila gol jaringannya diminit ke-90 membolehkan Everton menewaskan Arsenal (2-1) di Goodison Park. Gol itu memang gol yang sungguh sensasi, bukan sahaja kerana ia mencalar reputasi David Seaman selaku antara penjaga gol terbaik di England, tetapi lihat juga bagaimana jaringan tersebut dihasilkan Rooney.

 

Dalam perlawanan itu, Rooney sebenarnya cuma diturunkan ketika tempoh sebenar permainan berbaki 10 minit sebelum ditamatkan apabila beliau masuk menggantikan Thomas Radzinski yang juga merupakan penyumbang gol pertama Everton. Detik untuk Rooney mencetuskan sensasi akhirnya hadir di penghujung perlawanan apabila bola clearance yang dilakukan Thomas Gravesen jatuh tepat ke kaki beliau.

 

Menyedari bahawa sukar untuk beliau melepasi kawalan Lauren dan Sol Campbell di hadapannya, Rooney sebaliknya memilih untuk melepaskan rembatan dari jarak 30 meter yang tepat menuju ke gawang Arsenal. Tidak banyak yang mampu dilakukan Seaman ketika itu untuk cuba menyelamatkan keadaan, apatah lagi bola sepakan tersebut melengkung dan menuju tepat ke palang gol sebelum menjunam menerjah jaring pintu golnya.

 

Bakat Istimewa

 

Seluruh khalayak penonton di Goodison Park terpana dengan gol tersebut, apatah lagi ia dihasilkan oleh seorang anak muda yang bakal menyambut ulang tahun ke-17, hanya lima hari selepas perlawanan itu berlangsung. Gol Rooney itu bukan sahaja diiktiraf antara jaringan ikonik di Liga Perdana tetapi gol itu juga sebenarnya turut mengakhiri rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal, selain meletakkan beliau selaku penjaring termuda di Liga Perdana sebelum rekodnya dipadam James Milner dan James Vaughn.

 

“Rooney adalah bakat bolasepak Inggeris paling menyinar pernah saya saksikan. Kami tewas menerusi gol jaringan yang sangat istimewa dari seorang pemain yang memiliki bakat istimewa. Sudah tentu tiada mana-mana pemain remaja di bawah usia 20 tahun sebagus beliau sejak saya tiba di England”, kata Arsene Wenger selepas tamat perlawanan. Benarlah kata Wenger kerana gol istimewa itu akhirnya mengubah keseluruhan perjalanan karier Rooney.

 

Pada Disember 2002, BBC memberikan anugerah Young Sports Personality of the Year kepada beliau, satu pengiktirafan kepada Rooney selaku prospek bakat hebat bolasepak Inggeris untuk beberapa tahun mendatang. Pada 2003, Rooney diberikan kontrak profesional pertamanya sekaligus meletakkan beliau selaku pemain remaja yang menerima bayaran paling mahal. Selepas mengharungi dua musim di Goodison Park, Rooney berhijrah ke Old Trafford pada musim panas 2004.

 

Cabaran Baharu

 

Bagi merealisasikan impiannya membawa Rooney ke Old Trafford, Sir Alex Ferguson terpaksa memujuk pihak pengurusan United agar memenuhi tuntutan Everton yang mahukan wang sebanyak £25.6 juta jika United mahukan bintang muda sensasi mereka itu. Angka yang cukup besar ketika itu bagi seorang pemain yang baru berusia 18 tahun. Bagaimanapun pelaburan itu nyata berbaloi apabila Rooney akhirnya sukses membantu United menjulang pelbagai kejuaraan di peringkat domestik mahupun Eropah.

 

Pada 28 September 2004, hasrat penyokong-penyokong United yang mahu melihat penampilan pertama Rooney dipenuhi Fergie apabila beliau menurunkan pemain itu ketika skuadnya berdepan Fenerbahce dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Old Trafford. Sepertimana gol spectacular yang dihasilkannya ke gawang Arsenal pada 2002, Rooney sekali lagi mengagumkan pemerhati bolasepak dunia apabila beliau dengan bersahaja tiga kali menewaskan Rustu Recber dalam perlawanan itu.

 

Kejayaan United menewaskan Fenerbahce (6-2) dalam perlawanan itu turut diwarnai dengan cerita sensasi hatrik Rooney. Tiga gol pada penampilan pertama dari seorang anak muda yang baru berusia 18 tahun dan dilakukan pula di pentas Eropah merupakan satu isyarat jelas bahawa Rooney bakal menjadi tonggak penting United buat tempoh masa yang panjang. United berjaya menjulang kejuaraan Piala Liga pada musim 2005/06 yang juga merupakan trofi pertama Rooney dalam karier profesionalnya sebagai pemain.

 

Era Keemasan

 

Musim berikutnya (2006/07) Rooney membantu United menyingkirkan Chelsea dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, sekaligus menamatkan dominasi dua musim berturut-turut skuad kendalian Jose Mourinho itu selaku kuasa baharu bolasepak Inggeris. Sumbangan penting Rooney terus diberikan pengiktirafan oleh Fergie apabila pada musim 2007/08, beliau mewarisi jersi nombor 10 yang ditinggalkan Ruud Van Nistelrooy. Musim 2007/08 juga boleh disimpulkan sebagai musim terbaik Rooney sepanjang kariernya di Old Trafford.

 

Pada musim inilah United berjaya mencipta kejuaraan berganda (selain satu kejuaraan Perisai Komuniti) apabila mereka sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, selain kembali menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun. Meskipun kejayaan kali ini tidak setanding dengan pencapaian skuad `Treble 99’, mara ke Stadium Luzhniki dan menewaskan Chelsea di pentas final Liga Juara-Juara adalah momen terhebat Rooney sepanjang tempoh 13 tahun kariernya bersama United.

 

Prestasi cemerlang yang dipamerkan United sepanjang musim ini juga sebenarnya banyak dibantu oleh faktor ketajaman The Holy Trinity yang dibentuk Fergie dibarisan hadapan skuadnya menerusi kombinasi gandingan Rooney, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez. Sepanjang musim, trio ini menyumbang lebih separuh daripada gol-gol yang dihasilkan United apabila kombinasi mereka berjaya meledak 79 gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Kombinasi Rooney, Ronaldo dan Tevez boleh dianggap trio penggempur paling menakutkan pernah disaksikan penyokong-penyokong United dan dicemburui oleh mana-mana pencabar domestik mereka. Ketika itu Rooney lebih banyak memainkan peranannya sebagai `pengumpan’ kepada Ronaldo hingga menyaksikan bintang Portugal itu begitu produktif apabila beliau berjaya menjaringkan 42 gol semusim. Hasilnya Ronaldo juga berjaya memenangi anugerah kasut emas menerusi 31 gol yang diledak beliau dalam saingan liga.

 

18 gol yang berjaya dijaringkan Rooney sepanjang musim tersebut juga sebenarnya statistik yang cukup bagus mengingatkan bahawa peranan beliau ketika itu lebih sebagai passer kepada Ronaldo. Dan ketika Ronaldo memilih meninggalkan Old Trafford pada 2009, tugas utama sebagai pemburu gol kembali diberikan kepada Rooney. Pada musim 2009/10, ketika beliau bertindak sendirian selaku penyerang utama United, Rooney meledak 26 gol dari 32 penampilan beliau dalam saingan liga.

 

Statistik Yang Semakin Menurun

 

Pada musim 2010/11, ratio gol Rooney menurun secara drastik apabila beliau cuma mampu menghasilkan 11 gol dari 26 penampilan liga. Kecederaan pergelangan kaki selain polemik tentang masa depan beliau di Old Trafford antara penyebab mengapa Rooney tidak setajam sepertimana musim sebelumnya. Mujurlah penurunan prestasi Rooney diimbangi ketajaman Dimitar Berbatov yang berjaya meledak 20 gol dari 32 penampilan, selain Javier Hernandez selaku supersub yang berjaya meledak 13 gol dari 27 penampilan.

 

Meskipun musim 2010/11 mungkin antara musim terburuk Rooney di Old Trafford, United akhirnya berjaya kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana selepas mereka mengatasi cabaran Chelsea yang juga merupakan juara bertahan menerusi kelebihan sembilan mata. Selain itu, United juga berjaya mara ke pentas final Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun. Menamatkan musim dengan medal kejuaraan Liga Perdana, Perisai Komuniti dan runner up Liga Juara-Juara bukanlah satu pencapaian yang buruk buat Rooney.

 

Musim 2011/12, Rooney kembali menemui titik terbaik dalam kariernya apabila beliau berjaya meledak 27 gol dari 34 penampilan liga. Berbanding musim sebelumnya, Rooney kembali disayangi penyokong-penyokong United selepas beliau memutuskan untuk kekal di Old Trafford selama lima tahun lagi. Bagaimanapun agak malang, United gagal memenangi sebarang trofi musim tersebut dan tambah tragik, gelaran juara bertahan Liga Perdana terlepas ke tangan Manchester City pada aksi terakhir liga hanya menerusi perbezaan jaringan gol.

 

Kehadiran Robin Van Persie pada musim panas 2012 menyaksikan Rooney kembali menggalas peranannya sebagai pemain `nombor 10’. Tatkala Van Persie bermaharajalela selaku penggempur utama di barisan hadapan, Rooney pula masih mampu mencipta angka dua digit dalam statistik jaringannya pada musim tersebut (2012/13). Dari 27 penampilan liga, Rooney berjaya menjaringkan 12 gol manakala secara keseluruhan dalam semua peringkat kejohanan, Rooney berjaya menjaringkan 16 gol dari 37 penampilan.

 

United menamatkan musim terakhir Sir Alex Ferguson selaku pengurus dengan kembali berdiri di podium kejuaraan Liga Perdana. Ini juga bermakna kejayaan pada musim 2012/13 itu merupakan medal kejuaraan liga terakhir yang dimenangi Rooney sepanjang karier profesionalnya sebagai pemain. Di bawah regim pengurusan David Moyes, United bukan lagi kesebelasan yang sama sepertimana era keemasan Fergie, tetapi Rooney masih mampu meletakkan dirinya selaku penyumbang gol utama untuk The Red Devils.

 

The Red Devils menamatkan saingan liga musim 2013/14 di tangga ketujuh, situasi yang sebenarnya tidak pernah dibayangkan kebanyakkan penyokong United ketika era Fergie. Bagaimanapun Rooney masih mampu meletakkan dirinya selaku penjaring terbanyak kelab menerusi 19 gol yang dijaringkannya dalam semua peringkat kejohanan sepanjang musim tersebut.

 

Tiga musim terakhir, ratio jaringan Rooney terus menurun dari musim ke musim tambahan pula beliau bukan lagi watak utama di barisan hadapan terutama selepas kehadiran Anthony Martial, Radamel Falcao dan Zlatan Ibrahimovic. Perlu juga diakui sejak kehadiran Van Persie pada 2012, peranan Rooney juga secara perlahan-lahan bertukar dari pemegang watak `nombor 9’ kepada pemain tengah menyerang yang turut mempengaruhi ratio jaringannya setiap musim.

 

Penutup

 

Pada 14 Mei 2017, Rooney menjaringkan gol terakhirnya untuk United disebalik kekalahan (1-2) kepada Tottenham Hotspurs dalam perlawanan terakhir liga. Penampilan terakhir Rooney sebagai pemain United pula berlaku dalam aksi final Liga Europa di Friends Arena pada tanggal 24 Mei 2017 ketika beliau masuk menggantikan Antonio Valencia di penghujung perlawanan. Ikatan selama 13 tahun antara Rooney dan United akhirnya terputus apabila beliau memutuskan untuk pulang semula ke Goodison Park dan kembali bermain untuk Everton.

 

Rooney antara nama besar yang pernah menghiasi kesebelasan utama United selama lebih sedekad, manakala dari sudut bilangan trofi pula, tiada apa lagi yang perlu dibuktikan Rooney baik kepada penyokong United mahupun para pengkritiknya. Ketika beraksi di atas padang, Rooney bukanlah pemain yang suka digantikan, apatah lagi memegang watak pengganti. Bagi Rooney, bermain selama 90 minit, berlari ke setiap sudut padang, melakukan tackle, melakukan hantaran, membuka ruang buat rakan sepasukan, menjaringkan gol dan menghidu aroma rumput di atas padang adalah nikmat yang tidak terkira.

 

Momen pada 28 September 2004 tentunya momen terbaik yang ditinggalkan Rooney untuk penyokong-penyokong United. Sangat mengujakan bila melihat seorang anak muda ketika itu menewaskan penjaga gol yang sangat berpengalaman seperti Rustu Recber sebanyak tiga kali pada penampilan pertamanya untuk United. Selain daripada itu, tiada siapa pun boleh melupakan jaringan `anti graviti’ yang dilakukan Rooney ketika berdepan Manchester City pada 2011. Gol itu antara gol ikonik yang pernah dihasilkan Rooney, malah imej beliau ketika meraikan jaringan tersebut masih tidak jemu untuk ditatap hingga sekarang.

 

Pada musim panas 2017, Rooney akhirnya meninggalkan Old Trafford untuk pulang menyertai semula Everton, kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya. Pada 15 Januari 2021 pula, Rooney akhirnya mengumumkan persaraannya, sekaligus mengakhiri tempoh 19 tahun karier profesional beliau sebagai pemain bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas beliau sebagai pengurus sepenuh masa Derby County.

 

Di Old Trafford, Rooney meninggalkan legasi yang cukup besar, bukan sahaja menerusi bilangan trofi yang sudah beliau menangi tetapi juga statistik-statistik beliau di atas padang. Satu cabaran yang cukup besar juga buat mana-mana penyerang United selepas ini untuk cuba memecahkan rekod Rooney selaku penjaring terbanyak United sepanjang zaman menerusi 253 gol yang dihasilkannya dari 559 penampilan yang dilakukan beliau dalam semua peringkat kejohanan.

 

Ketika Rooney meledak jaringan spectacular ke gawang Arsenal pada 2002, Clive Tyldesley yang juga merupakan pengulas perlawanan ketika itu sempat mengatakan “Ingat akan nama ini!!!”. Kata-kata itu bukan sekadar kata-kata manis yang keluar dari mulut Tyldesley, kerana dalam peranan sebagai pemain `nombor 8’, `nombor 9’ atau `nombor 10’, Rooney akan sentiasa diingati kerana bakat istimewa yang dimilikinya serta peranan besar yang dimainkannya dalam kesebelasan United. Jika tidak masakan beliau diberikan gelaran `The White Pele’. Glory Glory Manchester United!!!



29 Januari 2021

DUA LEGENDA...DUA NASIB BERBEZA

 


Kedua-duanya merupakan legenda untuk kelab masing-masing ketika era mereka sebagai pemain. Seorang mencipta nama di Old Trafford dan seorang lagi di Stamford Bridge. Kemudian kedua-duanya ditakdirkan untuk kembali semula ke tempat di mana mereka membina reputasi selaku antara legenda di pentas Liga Perdana. Ole Gunnar Solskjaer pulang semula ke Old Trafford pada Disember 2018 untuk memimpin Manchester United selepas pemecatan Jose Mourinho sebagai pengurus.

 

Meskipun pada awalnya perlantikan Solskjaer selaku pengurus United cuma bersifat sementara bagi memberi ruang untuk kelab mencari pengurus berprofil tinggi sebagai pengganti Mourinho, namun prestasi baik yang dipamerkan United selepas itu menyaksikan beliau kemudiannya diberikan kontrak secara tetap. Tujuh bulan selepas itu, giliran Chelsea pula mengikut jejak yang sama apabila mereka melantik Frank Lampard, yang juga merupakan legenda kelab bagi menggantikan posisi Maurizio Sarri.

 

Persamaan antara Solskjaer dan Lampard ialah kedua-duanya merupakan legenda kelab dan kedua-duanya juga begitu disanjungi oleh para penyokong United dan Chelsea. Bagaimanapun akhirnya nasib tidak menyebelahi `Super Frankie 8’ apabila beliau dipecat dari kerusi pengurus Chelsea selepas skuad kendaliannya berdepan prestasi turun naik dalam saingan liga. Ketika artikel ini ditulis, kedudukan Chelsea dalam carta liga terperosok di tangga ke-10 berbanding United yang berada di tangga kedua liga.

 

Legenda Yang Terluka

 

Meskipun hanya beberapa jam sebelum itu Lampard berjaya mengemudi Chelsea mara ke pusingan kelima Piala FA dengan menyingkirkan Luton Town, beliau akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa Stamford Bridge adalah tempat yang sukar buat mana-mana pengurus meskipun mereka berjaya mengemudi The Blues memenangi trofi. Jose Mourinho, Carlo Ancelotti, Roberto Di Matteo, Rafa Benitez, Antonio Conte dan Maurizio Sarri sudah merasai peritnya ditunjukkan jalan keluar meskipun mereka berjaya meletakkan trofi dalam kabinet kejuaraan di Stamford Bridge.

 

Pada hari Selasa (26 Januari 2021), Chelsea mengumumkan secara rasmi pemecatan Lampard dan tempat beliau bakal diisi Thomas Tuchel yang pada musim lalu berjaya mengemudi Paris St Germain mara ke pentas final Liga Juara-Juara. Berbeza dengan rakan sejawatnya di Old Trafford, nasib Lampard tidak seindah Solskjaer. Reputasi beliau sebagai legenda di Stamford Bridge bukanlah tiket imuniti untuk Lampard kebal dari pemecatan. Pemecatan ini akhirnya meyaksikan Solskjaer sekali lagi berjaya menewaskan Lampard.

 

Dalam pertembungan di atas padang selaku pengurus, Solskjaer dan Lampard sudah bertemu sebanyak lima kali, di mana dari jumlah tersebut, Solskjaer berjaya menewaskan Lampard sebanyak tiga kali. Dalam baki dua lagi pertembungan, Lampard berjaya menewaskan Solskjaer sekali dan satu lagi perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri. Atas beberapa faktor, nasib Lampard sebenarnya sudah boleh diteka, manakala Solskjaer pula bertuah kerana beliau berada di Old Trafford, bukan bekerja di bawah regim Roman Abramovich.

 

Cara Berbeza

 

Sepanjang tempoh 25 bulan sejak Solskjaer dilantik selaku pengendali United, pernahkah anda mendengar sebarang kritikan terbuka yang beliau lemparkan kepada pemainnya meskipun skuadnya berdepan isu konsistensi? Begitu juga cara beliau menangani pemain dalam skuadnya yang bertaraf `superstar’. Paul Pogba adalah contoh terbaik. Dari seorang pemain yang dikatakan sering menimbulkan masalah, `toksik’ dan tidak lagi komited kepada pasukan, Pogba kini menjelma kembali kepada watak penting dalam kebangkitan semula United.

 

Anda boleh bercakap dan mempersoalkan tentang masa depan Pogba bersama kelab, tetapi buat masa ini Solskjaer berjaya mengeluarkan semula sisi terbaik dalam permainan bintang antarabangsa Perancis itu. Bagaimana pula dengan Lampard? Salah satu faktor yang menjadi pendorong kepada pemecatan beliau ialah `pemberontakan’ dari sebilangan pemain-pemain utama Chelsea. Berbanding Solskjaer, Lampard pula lebih cenderung mengkritik pemainnya secara terbuka dan itulah yang sering dilakukannya setiap kali Chelsea tewas.

 

Masih ingatkah lagi dengan kata-kata Lampard selepas skuadnya tewas di tangan Wolverhampton Wanderers pada Disember lalu? “Pemain harus bertanggungjawab dengan kekalahan ini”. Berkonfrontasi dengan pemain bukanlah tindakan yang bijak, dan akhirnya Lampard tewas dalam pertembungan ini. Selain daripada itu, Lampard juga dikatakan kurang ketrampilan dalam hal memotivasikan dan memaksimakan potensi pemain-pemainnya meskipun beliau dilimpahi dengan bakat-bakat hebat dalam skuadnya. Apa yang berlaku kepada Chelsea sekarang selepas mereka berbelanja besar musim panas lalu?

 

Projek Jangka Panjang

 

Lampard sebenarnya sudah melaksanakan tugasnya dengan cukup baik musim lalu. Berbekalkan skuad muda dan berdepan pula dengan larangan pembelian di bursa perpindahan pemain, Chelsea berjaya menamatkan saingan liga di tangga keempat. Anehnya meskipun sukses dengan pemain-pemain muda seperti Mason Mount, Tammy Abraham, Fikayo Tomori, Callum Hudson-Odoi dan Reece James, Chelsea berbalanja besar dengan menandatangani pemain seperti Kai Havertz, Timo Werner, Hakim Ziyech dan Ben Chillwell.

 

£200 juta yang dibelanjakan bagi mendapatkan pemain baharu musim panas lalu akhirnya menjadi beban yang perlu dipikul Lampard. Sudah tentu Abramovich selaku pemilik kelab mahukan keputusan segera, manakala Lampard pula perlukan masa bagi membina skuadnya dengan kehadiran pemain-pemain baharu ini. Jadi dalam hal ini memang ada kebenaran kata-kata Solskjaer tentang projek jangka panjang yang sedang beliau lakukan di Old Trafford.

 

“Bukan mudah bila anda membawa masuk begitu ramai pemain baharu dalam pasukan. Perlukan masa untuk pemain-pemain ini menyesuaikan diri dan menyatu dengan corak permainan dan bemain sebagai satu unit. Kita sudah melihat beberapa kelab mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan masalah mereka dengan berbelanja besar. Manakala kami pula percaya kepada proses dan progres jangka panjang”, kata Solskjaer kepada Sky Sports pada Disember lalu.

 

Musim panas lalu United menandatangani lima pemain baharu dengan tiga daripadanya merupakan pemain muda (Donny Van De Beek, Facundo Pellistri dan Amad Diallo), selain Alex Telles. Manakala Edinson Cavani pula datang selaku ejen bebas. Kehadiran Van De Beek, Pellistri dan Diallo adalah obsesi Solskjaer terhadap bakat-bakat muda yang beliau percaya bakal menjadi tonggak masa depan skuadnya. Proses ke arah itu mungkin sedikit perlahan tetapi percayalah ia satu keputusan dan langkah yang tepat. Kunci utama adalah kesabaran.

 

Pengalaman

 

Solskjaer bukanlah pengurus yang didambakan penyokong-penyokong United sebaik sahaja Mourinho dipecat. Ketika itu nama-nama seperti Massimiliano Allegri, Mauricio Pochettino, Gian Piero Gasperini dan Antonio Conte antara yang sering disebut-sebut sebagai calon lebih layak sebagai pengganti Mourinho. Keinginan penyokong-penyokong United terhadap nama-nama besar ini memang ada asasnya kerana sebelum dilantik selaku pengurus United, pengalaman Solskjaer cuma melatih kelab kecil seperti Cardiff City dan Molde FK.

 

Bagi Lampard pula, beliau cuma memiliki pengalaman selama semusim (2018/19) selaku pengendali Derby County sebelum menyahut cabaran untuk pulang ke Stamford Bridge bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maurizio Sarri. Meskipun tidak pernah menguruskan kelab besar, Solskjaer pula memiliki pengalaman selama lebih sedekad dalam dunia kejurulatihan. Beliau yang memulakan karier kejurulatihannya pada 2008 selaku pengendali skuad simpanan United setidak-tidaknya jauh lebih berpengalaman berbanding Lampard.

 

Penutup

 

Keputusan pihak pengurusan Chelsea menamakan Lampard selaku pengurus mereka musim lalu sebenarnya sedikit mengejutkan memandangkan pengalaman beliau dalam dunia kejurulatihan masih terlalu cetek. Berbanding mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi sepertimana kebiasaan yang mereka lakukan, Chelsea tampak cuba `meniru’ jejak United dengan menamakan legenda mereka sebagai pengendali.

 

Akhirnya pengalaman memisahkan antara pihak yang menang dan yang kalah, dan kerana pengalaman jugalah menyaksikan Solskjaer masih mampu bertahan berbanding Lampard. Saya tidak mengatakan bahawa Solskjaer masih selamat di kerusi pengurus United, tetapi beliau sebenarnya lebih bernasib baik berbanding Lampard kerana bekerja di Old Trafford, bukan di Stamford Bridge tempat yang `sangat tidak akrab’ dengan mana-mana pengendali.

 

Di sana (Stamford Bridge) sudah terlalu ramai pengendali yang menjadi korban kepada ketidak sabaran pemilik kelab serta penyokong, dan Lampard adalah mangsa terkini. Apa yang boleh dilakukan Lampard selepas ini? Bermula dari `0’ semula dengan kembali melatih kelab-kelab Liga Kejuaraan. Kerana di sana beliau boleh mengasah semula teknik kejurulatihannya, mempelbagaikan strategi permainan dan memanfaatkan aset pemain yang ada tanpa sokongan wang yang besar.

 

Era bolasepak moden memang sangat kejam dan tidak memilih mangsa hatta legenda seperti Lampard sekalipun. Ketika kebanyakkan kelab besar berkiblatkan kepada `keputusan segera’, senario pemecatan pengurus bukan lagi satu perkara yang terlalu asing. Dunia masih belum berakhir untuk anda `Super Frankie 8’. Semoga suatu hari nanti anda kembali semula memanaskan saingan di Liga Perdana sebagai pengurus yang jauh lebih bagus dan kembali memimpin kelab besar. Glory Glory Manchester United!!!

26 Januari 2021

KELUAR DARI KONTROVERSI DAN KEMBALI DICINTAI

 


Komitmen kepada kelab yang sering diperdebatkan, kenyataan-kenyataan terbuka yang keluar dari mulutnya tentang masa depan beliau di Old Trafford dan penampilan lesu yang sering dipamerkan beliau setiap kali diberikan peluang bermain menjadikan Paul Pogba antara pemain yang penyokong Manchester United tidak mahu lihat kelibatnya di atas padang. Itu dulu, tetapi sekarang Pogba kembali dipuja kerana impak yang beliau berikan dalam menggerakkan jentera tengah United bersama Bruno Fernandes dan Fred.

 

Melihat kepada kedudukan terkini United dalam carta liga, siapa sangka bahawa inilah kesebelasan yang diawal musim sering dijadikan bahan jenaka oleh penyokong lawan. Mereka membuka kempen liga dengan kekalahan memalukan (1-3) kepada Crystal Palace di gelanggang sendiri, bergelut sebelum berjaya mengatasi Brighton & Hove Albion di gelanggang lawan dan paling memalukan, United diaibkan Tottenham Hotspurs menerusi kekalahan besar (1-6) yang dialami mereka di Old Trafford.

 

Tetapi United secara perlahan-lahan mula keluar dari situasi buruk yang dialami mereka dan untuk itu anda patut percaya bahawa setiap orang mampu mengubah nasib mereka termasuklah United dan tentunya Pogba sendiri. Sejak kekalahan (0-1) kepada Arsenal di gelanggang sendiri pada 2 November lalu, United sudah mengharungi 13 perlawanan liga tanpa tewas. 33 mata yang dikutip dari 13 penampilan terakhir ini melonjakkan kedudukan United ditangga teratas liga, sesuatu yang tidak mungkin terlintas di fikiran anda jika mengambilkira empat atau lima aksi United di permulaan musim.

 

Bruno Fernandes memang diakui `nyawa’ kepada permainan United menerusi impak diberikan beliau sejak kehadirannya pada Februari 2020. Selain Bruno, ada seorang pemain yang nampaknya sudah bangkit dari lena yang panjang dan mula memberikan kontribusinya kepada pasukan. Pemain yang saya maksudkan sudah tentu ialah Paul Pogba. Tendangan volinya ketika berdepan Burnley di Turf Moor dan sepakan dari luar petak penalti ketika berdepan Fulham adalah `signature’ yang sebenarnya sudah lama tidak anda lihat dalam ciri permainan Pogba.

 

Gol tunggal perlawanan di Turf Moor menerusi voli Pogba itu juga meletakkan United di puncak liga buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun setengah sejak kali terakhir mereka melakukannya pada 2017 ketika kelab di bawah kendalian Jose Mourinho. Dan gol itu saya anggap sebagai isyarat dari Pogba bahawa beliau masih antara bakat besar yang ada dalam barisan kendalian Solskjaer, selain mampu memainkan peranan penting dalam survival United pada baki saingan musim ini, baik di peringkat domestik mahupun Eropah.

 

Apa yang menyebabkan perubahan besar kepada penampilan Pogba di atas padang sejak kebelakangan ini? Ramai pihak mengatakan bahawa ego Pogba yang sudah tercalar sejak kehadiran Bruno dalam kem United antara punca kebangkitan pemenang medal Piala Dunia ini. Bagaimanapun dari sudut perspektif berbeza, kembalinya Pogba ke prestasi terbaik beliau sebenarnya turut dipengaruhi oleh perubahan peranan dan kedudukan beliau dalam skema formasi United.

 

Sejak kebelakangan ini Pogba sebenarnya diberikan peranan dan posisi yang membolehkan beliau untuk lebih banyak terlibat dalam setiap gerakan-gerakan serangan United. Dalam `layer’ tengah United, kedudukan Pogba adalah di sebelah kiri dan perubahan kedudukan Pogba ini dilakukan Solskjaer bagi mengubah dinamika kepada permainan skuadnya. Perubahan ini juga sebenarnya salah satu cara dilakukan Solskjaer agar pemain seperti Donny Van de Beek beroleh kesempatan bermain sepertimana formasi United ketika mereka berdepan Liverpool dalam saingan Piala FA tempohari.

 

Akhirnya sepertimana yang dapat anda lihat, United sudah mula menemui rentak kepada permainan mereka dalam tempoh beberapa minggu terakhir menerusi keberadaan Pogba bersama Bruno dan Fred di jentera tengah mereka. United berjaya memanfaatkan variasi kepada permainan mereka menerusi formasi 4-2-3-1 dengan Bruno semakin bebas bergerak di belakang penyerang, manakala Pogba pula lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja melakukan build up tanpa terikat dengan tugas defensif yang dilaksanakan dengan baik oleh Fred, Scott McTominay atau Nemanja Matic.

 

United kini sudah kembali berada di puncak liga, jadi satu tugas yang sangat berat perlu dipikul Solskjaer untuk cuba mengekalkan posisi tersebut seberapa lama yang boleh. Ramai penyokong United yang semakin optimis bahawa musim ini adalah masa terbaik untuk kelab menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa kejuaraan liga, tetapi untuk melakukannya Solskjaer perlu membawa United keluar dari polemik konsistensi.

 

Adakah United kini kesebelasan yang lebih konsisten berbanding prestasi mereka musim lalu dan awal musim ini? Tugas untuk memastikan United terus konsisten bukan sahaja perlu dipikul Solskjaer, tetapi juga pemain tonggak seperti Pogba. Ternyata pemain yang sering mencetuskan kontroversi ini kini antara `key player’ yang menjadi nadi penting kepada kebangkitan United untuk kembali selaku pencabar kejuaraan liga.

 

Anda boleh membuat apa sahaja ramalan tentang masa depan Pogba. Adakah di penghujung musim nanti beliau akan pergi atau terus kekal menyarung jersi United? Nasihat saya, buat masa ini anda nikmati sahaja aksi Pogba, menikmati bagaimana ledakan `Pogboom’ dari beliau yang menewaskan Alphonse Areola di Craven Cottage pertengahan minggu lalu dan berharap akan ada lebih banyak `Pogboom’ dari kaki beliau selepas ini. Pertarungan sengit dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga bukan sekadar menguji karakter sebenar United tetapi juga Pogba selaku pemenang medal Piala Dunia. Glory Glory Manchester United!!!



25 Januari 2021

10 FAKTA DI SEBALIK KEJAYAAN UNITED MARA KE PUSINGAN KELIMA PIALA FA



Kejayaan Manchester United menyingkirkan Liverpool di pusingan keempat Piala FA kali ini sangat besar maknanya buat Ole Gunnar Solskjaer. Kerana kejayaan ini merupakan kejayaan pertama beliau selaku pengurus mengemudi skuadnya menewaskan Liverpool. Meskipun The Reds unggul terlebih dahulu menerusi gol pendahuluan Mohamed Salah diminit ke-12, tetapi United bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mason Greenwood, 14 minit kemudian.

 

Hanya tiga minit sebaik babak kedua bersambung, giliran Marcus Rashford pula meletakkan United di hadapan namun kelebihan itu hanya bertahan selama sepuluh minit apabila Salah sekali lagi menemui sentuhan jaringan untuk menyamakan kedudukan. Akhirnya detik yang dinanti penyokong United tiba jua menerusi kejayaan Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan percuma diminit ke-78, sekaligus meletakkan United di pusingan kelima.

 

Kejayaan awal pagi tadi di Old Trafford itu juga bermakna bahawa United sudah sepuluh kali menyingkirkan Liverpool dari saingan Piala FA, selain turut menamatkan salah satu prospek trofi untuk `rival’ mereka itu memenangi musim ini. Selain kejayaan pertama Solskjaer dari lima pertembungan beliau menentang Liverpool selaku pengurus United, kemenangan ini juga merupakan yang pertama dilakar United ke atas skuad kendalian Jurgen Klopp itu sejak Mac 2018.

 

Sebenarnya jurang antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini tidaklah terlalu besar, tetapi keputusan Solskjaer melakukan penggantian pemain di pertengahan babak kedua akhirnya memberikan perbezaan di penghujung perlawanan. Impak yang sangat signifikan sebaik sahaja Bruno Fernandes dan Fred masuk menggantikan Mason Greenwood serta Donny Van De Beek hinggalah gol kemenangan di minit ke-78 itu terhasil. Dan hal ini turut diakui Ian Wright, yang juga merupakan legenda Arsenal.

 

Menurut Wright penggantian pemain yang dilakukan Klopp tidak memberikan impak sepertimana yang dilakukan Solskjaer. “United melihat kepada pemain di bangku simpanan mereka dan memasukkan Bruno Fernandes. Anda kerap mendengar bahawa dia hanya mampu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan tenggelam dalam perlawanan besar. Tetapi dia memberikan perbezaan dalam perlawanan ini, manakala penggantian pemain yang dilakukan Liverpool tidak memberikan impak”, kata Wright.

 

Kejayaan menyingkirkan Liverpool ini menyaksikan United bakal berdepan West Ham di pusingan kelima yang turut akan dilangsungkan di Old Trafford pada 11 Februari nanti. Liverpool sudah berjaya disingkirkan dan kini fokus seterusnya ialah aksi menentang Sheffield United dalam saingan liga di Old Trafford pada 28 Januari ini. Berikut adalah sepuluh fakta menarik selepas perlawanan United dan Liverpool awal pagi tadi:

 

# United sudah sepuluh kali menyingkirkan Liverpool sepanjang sejarah pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA.

 

# Liverpool cuma menang sekali dari 15 penampilan terakhir mereka di Old Trafford dalam semua peringkat kejohanan (empat keputusan seri dan sepuluh kali tewas). Selain dari itu mereka juga tidak pernah menang dalam lapan kunjungan terakhir mereka menentang United di Old Trafford (empat kali seri dan empat kali tewas).

 

# Kemenangan ke atas Liverpool ini menyaksikan United menang lapan perlawanan terakhir mereka dalam saingan Piala FA di gelanggang sendiri. Pada 1908 hingga 1912, United memiliki catatan kemenangan lebih baik apabila mereka menang sembilan perlawanan di gelanggang sendiri dalam kejohanan ini.

 

# Liverpool merupakan juara bertahan Liga Perdana pertama yang tersingkir di pusingan keempat Piala FA sejak kegagalan Manchester City pada edisi 2014/15.

 

# Liverpool tewas dalam dua perlawanan berturut-turut dalam semua peringkat kejohanan buat pertama kalinya sejak Mac 2020.

 

# Roberto Firmino sudah memberikan 18 assist untuk gol Mohamed Salah dalam semua peringkat kejohanan untuk Liverpool, jumlah terbanyak sejak The Reds dikendalikan Jurgen Klopp. Jumlah ini juga merupakan yang terbanyak berbanding gandingan pemain lain di kelab Liga Perdana (dalam semua peringkat kejohanan).

 

# Mason Greenwood menamatkan kemarau 11 perlawanan tanpa gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Pada usia 19 tahun dan 115 hari, Mason merupakan pemain United paling muda yang berjaya menjaringkan gol ke gawang Liverpool sejak Wayne Rooney melakukannya pada Januari 2005 dalam saingan liga. Ketika itu Rooney berusia (19 tahun dan 83 hari).

 

# Setakat ini Marcus Rashford sudah menjaringkan empat gol ketika berdepan Liverpool di Old Trafford. Jumlah ini merupakan yang terbanyak berbanding ketika beliau berdepan mana-mana pasukan ketika United beraksi di gelanggang sendiri.

 

# Sejak melakukan penampilan pertama untuk United pada Februari 2020, Bruno Fernandes sudah menjaringan lebih banyak gol berbanding mana-mana pemain untuk kelab di Liga Perdana (20 gol) sepanjang tempoh tersebut.

 

# Dua gol yang dihasilkan Mohamed Salah dalam perlawanan ini menyaksikan beliau berkongsi kedudukan dengan Harry Kane selaku penjaring terbanyak untuk kelab di Liga Perdana dalam semua peringkat kejohanan (19 gol).

 

Glory Glory Manchester United!!!


 

01 Januari 2021

PRA PERLAWANAN: MANCHESTER UTD vs ASTON VILLA

 


H2H

 

  • Satu-satunya kemenangan Villa dari 43 pertemuan Liga Perdana menentang United berlaku di Old Trafford pada Disember 2009. Ketika itu mereka menewaskan United (1-0) menenerusi gol jaringan Gabriel Agbonlahor. Secara keseluruhannya rekod mereka ketika menentang United di era Liga Perdana ialah (menang sekali, seri 11 kali dan tewas 31 kali).

 

  • Kemenangan pada Disember 2009 itu juga merupakan satu-satunya kemenangan Villa dari 33 kunjungan mereka ke Old Trafford sejak 1983.

 

  • Jika berjaya mengelak kekalahan dalam perlawanan ini, Villa bakal mengulangi pencapaian mereka pada musim 1995/96 dan 1996/97 dengan tidak tewas dua perlawanan berturut-turut di Old Trafford. Untuk rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan musim lalu di Old Trafford berkesudahan dengan keputusan seri (2-2).

 

Manchester United

 

  • United sudah mengharungi sembilan aksi terakhir liga mereka tanpa kalah (menang tujuh kali dan seri dua kali).

 

  • Tangga kedua liga yang dihuni United ketika ini merupakan kedudukan tertinggi mereka pada peralihan tahun sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

 

  • Setakat ini United tewas tiga aksi liga mereka di gelanggang sendiri. Jumlah kekalahan paling banyak yang dialami mereka di gelanggang sendiri ialah pada musim 2001/02 (enam kekalahan) dan pada musim 2013/14 (tujuh kekalahan).

 

  • Selain kemenangan besar (6-2) mereka ke atas Leeds, United hanya menjaringkan empat gol dalam tujuh dari lapan penampilan liga mereka di Old Trafford musim ini.

 

  • United masih memegang rekod pasukan paling banyak memenangi perlawanan pada hari tahun baharu (27 kemenangan).

 

  • Paul Pogba sudah mengharungi 21 penampilan terakhir beliau di Old Trafford tanpa sebarang gol sejak kali terakhir beliau menyempurnakan dua sepakan penalti ke gawang West Ham pada April 2019.

 

  • Bruno Fernandes sudah terlibat secara langsung dalam 32 gol dari 29 penampilannya di Liga Perdana (menjaringkan 18 gol dan 14 bantuan gol).

 

Aston Villa

 

  • Villa tidak tewas dalam lima penampilan terakhir liga mereka (menang tiga kali dan seri dua kali).

 

  • Villa mencatatkan empat clean sheet dan hanya bolos satu gol dari lima penampilan terakhir liga mereka.

 

  • Villa tidak tewas dalam tiga penampilan terakhir liga mereka di gelanggang lawan. Mereka menewaskan Wolves (1-0), menewaskan West Brom (3-0) dan seri (1-1) ketika berdepan Chelsea.

 

  • Villa cuma perlukan satu lagi kemenangan untuk menyamai pencapaian mereka sepanjang musim lalu di Liga Perdana (sembilan kemenangan).

 

  • Villa tidak tewas dalam 10 perlawanan liga terakhir mereka pada hari tahun baru (menang enam kali dan seri empat kali).

 

  • Meskipun muncul penjaring terbanyak Villa setakat ini dalam saingan liga dengan enam gol, Ollie Watkins sudah mengharungi tujuh perlawanan terakhirnya tanpa sebarang gol.

 

Glory Glory Manchester United!!!