Apa
lagi cerita paling menarik dalam tempoh beberapa minggu ini selain berita
sensasi yang mengaitkan perpindahan Sergio Ramos ke Old Trafford musim depan.
Ada pro dan kontranya tentang rumour tersebut memandangkan usia Ramos
yang sudahpun mencecah angka 35 tahun. Selain daripada itu masih ingatkah anda
lagi dengan `pengkhianatan’ yang dilakukan Ramos hampir enam tahun lalu? Pada
musim panas 2015, Ramos pernah digembar-gemburkan bakal menyertai United
selepas beliau diberitakan enggan menandatangani kontrak baharu bersama Real
Madrid.
Situasi
pada masa itu mirip sepertimana yang berlaku sekarang, malah ketika itu
terdapat juga cerita yang mengatakan bahawa Ramos sudah menghubungi Louis Van
Gaal bagi menyatakan minatnya berpindah ke Old Trafford. Bagaimanapun impian
penyokong-penyokong yang mahu melihat bintang Sepanyol itu memimpin benteng
pertahanan United lebur apabila pada Ogos 2015, Ramos akhirnya diumumkan secara
rasmi kekal di Santiago Bernabeu selama lima tahun lagi selepas tuntutan kenaikan
gajinya dipenuhi pihak pengurusan Real.
Untuk
berlaku adil kepada beliau, Ramos masih boleh dikategorikan antara pertahanan
tengah terbaik dunia ketika ini meskipun pada bulan hadapan beliau bakal
menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35. Tiada sebarang tanda beliau akan
bersara dari skuad kebangsaan dalam masa terdekat meskipun sudah memiliki 178 caps
bersama skuad La Roja, manakala Zinedine Zidane pula nampaknya masih
terus bergantung kepada kudrat Ramos selaku kapten pasukan dan komander kepada
benteng pertahanan skuad kendaliannya.
`Kerja
Kotor’
Jadi
bukanlah sesuatu yang mustahil jika anda bakal melihat Ramos masih mampu
beraksi di pentas tertinggi bolasepak dunia dalam tempoh dua atau tiga tahun
lagi. Apabila anda bercakap tentang Ramos, sudah tentu perkara pertama yang
tergambar dalam fikiran anda ialah beliau antara pemain pertahanan `paling
kotor’ dalam sejarah bolasepak dunia. Tindakan beliau hingga menyebabkan
Mohamed Salah diusung keluar padang pada aksi final Liga Juara-Juara edisi 2018
masih kekal segar diingatan.
Tanpa
Salah, tugas Ramos dalam mengekang asakan-asakan Liverpool menjadi lebih mudah,
dan Real akhirnya berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-13
dalam sejarah kelab selepas mereka menundukkan wakil England itu (3-1) di
Stadium Olimpik, Kiev. Bukan hanya Liverpool yang menerima impak dari
kecederaan Salah, malah Mesir juga sebenarnya hampir kehilangan sentuhan pemain
terbaik mereka itu di pusingan akhir Piala Dunia 2018.
Insiden
membabitkan beliau dan Salah cuma salah satu contoh dari banyak lagi `kerja
kotor’ yang pernah dilakukan Ramos. Jangan mengkritik beliau terlalu berlebihan
kerana akhirnya kita juga terpaksa mengakui hakikat bahawa dalam sukan
bolasepak pertaruhannya bukan sekadar tentang trofi kejuaraan semata-mata. Bagi
seorang pemain, apatah lagi kapten pasukan seperti Ramos, harga diri,
kebanggaan dan momen indah ketika beliau berdiri di atas podium kejuaraan
adalah `nyawa’ kepada karier mereka.
Pemilik
nama Sergio Ramos Garcia ini memang ditakdirkan untuk berada di sebelah `sisi
gelap’ dunia bolasepak, sepertimana Claudio Gentile ataupun Pepe yang juga
merupakan bekas rakan gandingan beliau di Real Madrid. Gentile adalah contoh
paling ekstrim jika anda mahu bercakap tentang `kerja kotor’ yang dilakukan
oleh seorang pemain pertahanan. Bekas pertahanan legenda era 80an ini melakukan
23 kekasaran ke atas Diego Maradona ketika Itali dan Argentina bertembung di
pentas Piala Dunia 1982.
Menurut
Gentile, bermain kotor adalah bertujuan untuk membuatkan mental lawan `koyak’
lantas menyebabkan mereka hilang fokus kepada perlawanan. Malah di Itali
sendiri istilah furbizia digunakan sebagai salah satu pendekatan bagi
menganggu fokus lawan asalkan ia tidak melanggar peraturan perlawanan. Diving,
tactical foul, melakukan protes kepada pengadil, melengah-lengahkan
permainan, melakukan provokasi kepada lawan antara cara pemain-pemain di Itali
dalam melaksanakan furbizia.
Permainan
Kotor Juga Satu Seni
Bukan
mudah sebenarnya seseorang pemain bermain `kotor’ tanpa diberikan amaran atau
menerima layangkan kad dari pengadil perlawanan. Bermain `kotor’ tanpa dapat
dikesan oleh pengadil antara seni bolasepak yang jarang dimiliki, dan Ramos
antara pemain yang pakar dalam melakukannya. Lihat sahaja insiden beliau dan
Salah pada final Liga Juara-Juara 2018 yang lalu. Salah diusung keluar,
Liverpool tidak dihadiahkan sepakan percuma manakala Ramos pula terselamat dari
sebarang layangan kad oleh pengadil.
Memang
sedikit kejam tetapi insiden dengan Salah itu bukti bahawa Ramos sanggup
melakukan apa sahaja demi pasukan yang diwakili. Corak permainan keras plus
sedikit `kotor’ merupakan ciri dan kekuatan kepada permainan Ramos, dan kerana
corak permainan seperti itulah beliau juga sudah memenangi semua medal kejuaran
dalam kariernya. Dari peringkat domestik, Eropah, Kejohanan Antara Kelab Dunia
hinggalah ke Piala Dunia. Saya percaya sekiranya anda `cabut’ permainan `kotor’
itu dari dalam dirinya, Ramos mungkin cuma pertahanan tengah yang biasa-biasa
saja.
Jiwa
Pemimpin
Ramos
bukanlah pertahanan tengah yang memiliki kelajuan larian seperti Kostas
Manolas, Lucas Hernandez atau Raphael Varane. Atau type pertahanan tengah yang
sukar ditembusi persis Alessandro Nesta, Fabio Cannavaro atau Nemanja Vidic,
tetapi watak Ramos adalah lambang `kesombongan’ Real selaku antara kesebelasan
terbaik di dunia, lambang seorang pemimpin yang tidak pernah kenal erti
menyerah, ciri yang sebenarnya tidak dimiliki pemain sehebat Cristiano Ronaldo atau
Lionel Messi sekalipun.
Lihat
apa yang beliau lakukan pada aksi final Liga Juara-Juara edisi 2014. Tatkala rakan-rakan
sepasukannya sudah hampir menyerah kalah, Ramos memicu kebangkitan Real hasil
dari gol penyamaan yang dijaringkannya di masa kecederaan (minit ke-93) untuk
mengheret Atletico Madrid bermain hingga ke masa tambahan. Lima sepakan penalti
yang berjaya disempurnakan mereka akhirnya menamatkan ambisi Diego Simeone
untuk muncul pengurus pertama yang berjaya meletakkan Atletico di podium kejuaraan
(Liga Juara-Juara).
Kekuatan
Ramos bukan hanya terletak kepada corak permainan kerasnya tetapi juga kerana
keteguhan mentalnya, dan Lisbon 2014 adalah contoh terbaik. Ramos mampu menutup
setiap pergerakan penyerang lawan hanya menerusi kepintaran beliau untuk
meletakkan dirinya di posisi yang tepat selain tidak pernah ragu-ragu untuk
melakukan sebarang kerja-kerja `kotor’. Apa yang beliau lakukan kepada Salah di
Kiev pada 2018 antara salah satu dari karya agung dan manifestasi sebenar
kepada corak permainan `kotor’ Ramos.
Dalam
semusim beliau melakukan berpuluh tactical foul, manakala layangkan kad
merah seolah-olah sudah begitu akrab dengan dirinya, tetapi semua itu dilakukan
Ramos demi memberikan Real keuntungan dan kelebihan dalam satu-satu perlawanan.
Sudah tentu trofi kejuaraan adalah ganjarannya kerana “dalam peperangan tiada
pertempuran yang terlalu bersih dan anda perlu melakukan sedikit kerja kotor
untuk memenanginya”.
Penutup
Nasib
Ramos di Santiago Bernabeu masih menjadi tandatanya. Tatkala kontrak beliau
bersama Real akan tamat pada Jun ini, dan keretakkan hubungannya dengan
Florentino Perez yang semakin membarah mungkin menyaksikan pemenang empat medal
kejuaraan Liga Juara-Juara itu memilih haluan baharu musim panas nanti. Jika
pemergian Ramos dari Santiago Bernabeu musim panas nanti menjadi realiti, itu
bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika anda melihat kepada layanan Real kepada
Iker Cassilas dan Raul Gonzales sebelum ini.
Ramos
adalah type pertahanan tengah yang memang sudah lama diimpikan
penyokong-penyokong United. Sejak berakhirnya era Nemanja Vidic dan Rio
Ferdinand, kita sangat dahagakan kelibat seorang pertahanan tengah yang keras
corak permainannya, bijak membaca gerakan-gerakan lawan, vokal ketika di atas
padang dan bilik persalinan serta mampu mengkoordinasikan rakan-rakan sepasukan
dalam situasi defensif dengan baik.
Jika
memang benar Real sudah tidak lagi mahukan beliau, ayuhlah Ramos…keluar dari
Santiago Bernabeu dan cari cabaran baharu. Dengan gaji sekitar €226 ribu
seminggu untuk kualiti yang mampu beliau tawarkan di benteng pertahanan, Ramos
adalah pertahanan tengah yang berbaloi United tandatangani musim panas nanti. Tidak
ramai pemain yang mampu beraksi di pentas tertinggi pada usia pertengahan 30an
dan Ramos merupakan salah satu diantaranya.
Ketika
kemampuan Harry Maguire serta Victor Lindelof sering dijadikan sorotan dan
diperdebatkan penyokong-penyokong, Ramos adalah jawapan kepada masalah United
di benteng pertahanan mereka, setidak-tidaknya buat tempoh jangkamasa pendek.
Jika di Santiago Bernabeu anda sudah tidak lagi dihargai, datanglah ke sini
(Old Trafford) Ramos…tempat di mana anda akan lebih dihargai dan pentas dimana
anda boleh membuktikan bahawa anda masih lagi antara pertahanan tengah terbaik
dunia. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan