25 Julai 2021

DARI JALANAN KE TEATER IMPIAN

 


Jadon Sancho akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai rekrut baharu Manchester United, sekaligus menamatkan saga perpindahan yang sangat panjang membabitkan pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu. £72 juta adalah nilai yang terpaksa dibayar kelab kepada Borussia Dortmund dan selepas menunggu selama setahun, impian penyokong-penyokong United yang mahu melihat perpindahan ini direalisasikan akhirnya tercapai.

 

Jika tuntutan Dortmund dipenuhi United musim panas lalu, Sancho sebenarnya berpeluang muncul pemain England pertama yang nilainya mencecah angka £100 juta. Begitupun, kontrak yang beliau tandatangani ini meletakkan Sancho selaku pemain Inggeris kedua termahal dalam sejarah serta penerima gaji kedua tertinggi di Old Trafford. Dalam kenyataan medianya pula, Sancho menganggap impian beliau untuk menyertai United kini sudah menjadi kenyataan.

 

Kejayaan menandatangani Sancho bukan bererti kepingan puzzle United sudah lengkap, tetapi anda sekurang-kurangnyanya boleh berharap kehadiran beliau bakal menjadikan barisan hadapan The Red Devils lebih tajam. 50 gol dan 64 bantuan gol dari 137 penampilan dalam semua peringkat kejohanan selama empat musim bersama Dortmund, antara penyebab paling kuat mengapa United perlukan type pemain seperti Sancho di barisan hadapan mereka.

 

Jalan Ke `Theatre of Dreams

 

Empat tahun lalu pada usia Sancho yang baharu mencecah angka 17 tahun, ramai pihak hampir `kebingungan’ dengan tindakan prospek panas bolasepak Inggeris ini meninggalkan England. Situasi ini sebenarnya jarang berlaku kerana bakat-bakat muda Inggeris lebih gemar memperagakan aksi mereka di tanah air sendiri. Pada usia yang masih muda, berhijrah ke negara asing bukanlah satu perkara yang mudah buat remaja seperti Sancho.

 

Musim pertamanya di Bundesliga, Sancho melakukan 12 penampilan dan menjaringkan satu gol untuk Dortmund. Bagaimanapun angka tersebut meningkat dari musim ke musim hingga menyaksikan beliau muncul antara pemain muda paling diburu kelab-kelab ternama Eropah. Musim terakhirnya di Signal Iduna Park pula, Sancho melakukan 26 penampilan dan cuma menjaringkan lapan gol untuk Dortmund dalam saingan liga.

 

Tatkala prestasi Sancho turun secara drastik, pesona di Signal Iduna Park beralih pula kepada Erling Haaland, bintang muda Norway yang membina reputasi beliau selaku antara penggempur paling tajam di Eropah. Penurunan prestasi Sancho di awal musim sebenarnya mudah untuk diteka, dan sepertimana menurut Hans-Joachim Watzke yang juga merupakan CEO Dortmund, segalanya berpunca dari rumours perpindahan beliau ke Old Trafford pada musim panas tahun lalu.

 

“Tanpa kami sedari, Jadon nampaknya sudah bersiap untuk meninggalkan kelab. Saya percaya, dia terlalu memikirkan rumours ini hingga menyebabkan dia hilang sentuhan berbanding musim-musim sebelumnya”, kata Watzke kepada Kicker. Kebimbangan Watzke memang ada asasnya, kerana sepanjang fasa pertama musim liga berlangsung, Sancho gagal menjaringkan sebarang gol dan cuma mampu mencipta tiga bantuan gol.

 

Bagaimanapun menjelang tahun baharu (2021), Sancho kembali menemui sentuhannya apabila beliau meledak tiga gol dan mencipta empat bantuan gol pada aksi Bundesliga sepanjang bulan Januari. Secara keseluruhannya sepanjang fasa kedua liga berlangsung, Sancho berhasil menjaringkan lapan gol dan mencipta lapan bantuan gol. Angka ini masih jauh berbanding statistik yang dirakam beliau pada musim sebelumnya, tetapi tetap satu isyarat positif bahawa Sancho sudah menemui semula sentuhan terbaiknya. 

 

Pada April (2021), khabar angin tentang perpindahan Sancho ke Old Trafford bertiup kembali. Dan menurut laporan dari Fabrizio Romano ketika itu, Sancho juga sudah menegaskan keinginannya untuk menyertai United pada musim panas. Jika setahun sebelumnya Dortmund mengatakan bahawa “tiada sebarang rundingan jika anda tidak mampu membayar sebanyak £100 juta”, kini nada mereka lebih lunak dan terbuka mendengar sebarang tawaran.

 

Perubahan Formasi

 

86% penampilan United sepanjang musim lalu, Ole Gunnar Solskjaer lebih cenderung menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam sistem permainan skuadnya. Ada kemungkinan formasi (4-2-3-1) ini akan terus digunakan Solskjaer bagi memaksimakan potensi Sancho di barisan hadapan. Apa yang menariknya, Dortmund sepanjang musim lalu juga cenderung menggunakan formasi yang sama dimana Sancho berjaya meledak 16 gol dan mencipta 20 bantuan gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Selain daripada itu, ramai pihak yang meramalkan bahawa kehadiran Sancho bakal mengubah kecenderungan Solskjaer dari sistem 4-2-3-1 kepada 4-3-3 yang menuntut United lebih menyerang. Dalam sistem ini, Sancho akan berperanan sebagai penyerang sayap (kanan), Marcus Rashford beroperasi di sebelah kiri manakala Edinson Cavani pula akan bertindak sebagai penyerang tengah. Apa yang bakal anda lihat dalam sistem ini ialah pemain seperti Sancho dan Rashford bukan sahaja berfungsi sebagai pengumpan, tetapi juga sebagai penjaring gol.

 

Apa Yang Bakal Anda Lihat?

 

Kehadiran Sancho bakal menjadikan barisan hadapan United lebih fluid, jadi tidak hairanlah mengapa Solskjaer sudah berkira-kira melakukan perubahan kepada sistem permainan skuadnya dari 4-2-3-1 kepada 4-3-3. Jika benar tanggapan ramai pihak bahawa United akan bermain dengan formasi 4-3-3, Solskjaer bakal memanfaatkan kemampuan Sancho untuk menusuk masuk ke dalam kotak penalti lawan.

 

Sancho memiliki kemampuan playmaking yang bagus, adakalanya beliau gemar berada di tengah atau turun sedikit ke bawah untuk menerima bola. Ketika bola berada di kakinya, Sancho akan merancang gerakan sama ada beliau akan melakukan dribble, melepaskan hantaran-hantaran through ball, hantaran jauh atau melakukan delay bagi mengatur tempo permainan.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa beliau muncul pemain Dortmund paling banyak melakukan dribble dan mencipta assist sepanjang musim 2019/20. Dengan dua pemain yang memiliki kelajuan di kiri dan kanan menerusi keberadaan Sancho dan Marcus Rashford, anda juga sebenarnya boleh mengharapkan bahawa United akan lebih berbahaya dalam skema gerakan-gerakan counter attack mereka.

 

Penutup

 

United kini secara rasminya sudah berjaya mendapatkan khidmat Sancho, pemain yang dilabel mampu memberikan dimensi berbeza kepada gerakan-gerakan serangan mereka. Bolehlah dikatakan bahawa Sancho adalah pembelian utama United musim ini, pemain yang didambakan penyokong-penyokong The Red Devils sekian lama, sejak rumours pertama bertiup pada 2019 lagi.

 

Selepas perpindahan ini terhalang selama setahun, Sancho akhirnya pulang semula ke tanah Inggeris dan memenuhi impiannya bermain untuk United. Dari seorang kanak-kanak yang cuma mengasah bakatnya dengan bermain bolasepak sekitar lorong-lorong di Selatan London, Sancho kini muncul pemain berharga £72 juta yang dilabel Gareth Southgate sebagai `masa depan bolasepak England’.

 

Rakam jejak Sancho umpama kisah dongeng di layar perak. Bermula dari jalanan, kini Sancho sudah menjejakkan kakinya di `teater impian’ beliau. Kini penyokong-penyokong mahu melihat pula bagaimana Solskjaer menggunakan sepenuhnya potensi besar dimiliki senjata baharu United yang berharga £72 juta ini. “Selamat datang Rocket”…Glory Glory Manchester United!!!



16 Jun 2021

PERBEZAAN KARAKTER YANG MELENGKAPKAN PERMAINAN RIO DAN VIDIC

 


Mengimbas kembali pencapaian Manchester United pada musim 2019/20 boleh dikategorikan sebagai musim yang cukup bagus. Berada di tangga ketiga liga dan seterusnya layak secara automatik beraksi di Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang manis, apatah lagi sepanjang fasa pertama liga berlangsung, tidak banyak harapan yang diletakkan ke atas skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berikutan isu konsistensi yang dihadapi mereka.

 

Selain dari pencapaian layak ke saingan Liga Juara-Juara, terdapat satu sisi yang sebenarnya menarik untuk anda perhatikan dalam skuad United musim itu. Iaitu jumlah gol yang bolos ke gawang mereka. Untuk rekod, pada musim sebelumnya (2018/19), pintu gol United bolos sebanyak 54 kali, tetapi pada musim 2019/20 angka ini menurun kepada 36 sahaja. Pencapaian ini menyaksikan mereka muncul pasukan ketiga paling kurang dibolosi selepas Liverpool dan Manchester City.

 

Faktor ini sebenarnya dibantu oleh kehadiran Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, dua pemain pertahanan yang direkrut Solskjaer bagi meningkatkan kualiti barisan belakang skuadnya. Perpindahan Maguire ke Old Trafford menyaksikan beliau memecah rekod selaku pemain pertahanan termahal dunia yang sebelumnya disandang Virgil Van Dijk. Manakala kualiti Wan-Bissaka dalam situasi satu lawan satu banyak menutup kelompongan di sisi kanan pertahanan United.

 

Maguire dan Victor Lindelof akhirnya menjadi pilihan utama Solskjaer untuk membentuk gandingan selaku duo pertahanan tengah United, manakala Eric Bailly yang pada musim-musim sebelumnya sering menemani Lindelof berperanan selaku pengganti. Tampak seperti Maguire dan Lindelof melengkapi antara satu sama lain meskipun prestasi mereka adakalanya tidak terlepas dari sasaran kritikan oleh penganalisa mahupun para penyokong United sendiri.

 

Jika diukur prestasi Maguire dan Lindelof dalam tempoh dua musim terakhir, kita nampaknya terpaksa menunggu (entah berapa lama) sebelum dapat melihat kembali duo mematikan seperti Rio Ferdinand/Nemanja Vidic `dibangkitkan semula’ bagi mengawal benteng pertahanan United. Dalam hal ini, saya agak tertarik dengan kritikan pedas yang dilemparkan Gabino Rodriguez, individu yang pernah bekerjasama dengan David De Gea dalam skuad U-21 Sepanyol.

 

Menurut Rodriguez, buruknya prestasi benteng pertahanan United antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi De Gea musim ini. “Saya percaya, karakter sesebuah pasukan adalah cermin kepada jurulatih mereka. Lihat sahaja United ketika era Sir Alex Ferguson. Mereka langsung tiada belas kasihan. Skuad Ole pula lembik seperti muffin dan David menderita kerana lemahnya pertahanan United”, kata Rodriguez kepada The Sun.

 

Ketibaan Vidic

 

Sebelum Vidic direkrut Sir Alex Ferguson dari Spartak Moscow pada Januari 2006, Rio terlebih dahulu sudah mencipta nama selaku antara tonggak penting United. Ditandatangani Fergie dari Leeds United pada Julai 2002, Rio berjaya membantu United menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim pertamanya di Old Trafford. Sepanjang tempoh empat tahun (dari 2002 hingga 2006), Rio juga berjaya membantu United memenangi Perisai Komuniti (2003) dan Piala Liga (2006).

 

Keputusan Fergie merekrut Vidic memang betul-betul mengejutkan penyokong-penyokong United. Malah saya juga percaya, Rio sendiri mungkin tidak pernah mendengar nama Vidic sebelum rumour yang mengaitkan perpindahan warga Serbia itu ke Old Trafford bertiup kencang. Ada juga laporan yang mengatakan bahawa Rio begitu skeptikal ketika menyaksikan Vidic dalam sesi latihan. Tetapi suka atau tidak, Rio akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa inilah pemain yang bakal digandingkan bersamanya di jantung pertahanan United.

 

“Saya bercakap dengan Rooney tentang dua rekrut baharu yang di bawa masuk (Vidic dan Evra). Secara jujur saya dan Rooney agak hairan mengapa kelab  menandatangani kedua-dua mereka. Dalam sesi latihan, Rooney sering memberikan masalah kepada Vidic. Dia tidak kuat dan kurang agresif. Atau lebih tepatnya, boleh saya katakan bahawa dia memang tidak layak bermain untuk United. Ketika itu saya yakin dia tidak akan kekal lama bersama kelab”, kata Rio kepada Utd Unscripted.

 

Bukan hanya Rio, kerana Vidic sendiripun memang kurang percaya dengan kemampuan beliau untuk bersaing dengan pertahanan tengah United yang lain seperti Wes Brown dan Mikael Silvestre. Di peringkat awal, memang Vidic berdepan masalah untuk beradaptasi dengan gaya permainan United khasnya dan Liga Perdana amnya. Enam bulan pertama adalah tempoh yang sukar buat Vidic tetapi secara perlahan-lahan beliau akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan budaya bolasepak Inggeris.

 

Cabaran sengit dalam sesi latihan ketika berdepan Rooney, Cristiano Ronaldo dan Louis Saha selain kerja kerasnya banyak membantu peningkatan Vidic. “Kami melayan dia dengan agak keras dalam sesi latihan, tetapi dia juga sebenarnya seorang lelaki yang keras. Selepas tamat sesi latihan, dia akan berlatih pula di gimnasium bagi meningkatkan tahap fizikalnya. Dia mempersiapkan dirinya dari segi fizikal dan mental bagi memastikan agar dirinya mampu bersaing dengan kami”, kata Rio.

 

Vidic mengakui bahawa selain memiliki `lawan’ yang bagus dalam sesi latihan, kehadiran Rio yang lebih berpengalaman juga sebenarnya banyak membantu peningkatan beliau. Dan meskipun pada mulanya Rio agak skeptikal dengan kemampuan Vidic, mereka akhirnya menjadi rakan yang akrab. “Karakter kami sangat berbeza, tetapi kami cepat akrab. Perbezaan kami akhirnya membuatkan kami saling melengkapi ketika beraksi di atas padang”, kata Vidic.

 

Karakter Berbeza

 

Musim 2006/07 merupakan musim penuh pertama gandingan Vidic dan Rio selaku duo pertahanan tengah utama United. Meskipun Vidic bergelut pada penampilan setengah musimnya sebelum itu, keampuhan gandingan Rio dan Vidic diakui Sir Alex Ferguson antara faktor penting di sebalik kejayaan United menjulang trofi Liga Perdana mereka buat kali pertama dalam tempoh empat tahun. Tanpa mengetepikan sumbangan pemain lain, Fergie mengakui bahawa benteng pertahanan United musim tersebut jauh lebih solid menerusi kombinasi Rio dan Vidic.

 

Rio dan Vidic memang memiliki karakter permainan berbeza. Rio seorang ball playing defender, pertahanan tengah yang `bergaya’, sangat yakin ketika bola berada di kakinya dan mampu `bermain-main’ dengan mana-mana penyerang lawan. Manakala Vidic seorang pertahanan yang agresif, keras corak permainannya, dominan di udara serta tiada kompromi ketika melakukan terjahan. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka berdua diletakkan Didier Drogba selaku tiga pertahanan paling sukar yang pernah beliau hadapi selain Carles Puyol.

 

“Saya selalu mengatakan bahawa Ferdinand dan Vidic sebagai bek yang paling sukar pernah saya hadapi. Saya tidak banyak menjaringkan gol ketika bertemu United, jadi jika saya berjaya melakukannya itu sangat membahagiakan saya. Jika saya berjaya menjaringkan gol ke gawang mereka, itu tandanya yang berada dalam prestasi terbaik. Selain Ferdinand dan Vidic, Carles Puyol juga bek yang paling sukar pernah saya hadapi”, kata Drogba dalam wawancara dengan BT Sport.

 

Kemuncak Pencapaian

 

Musim 2007/08 boleh dianggap antara musim terbaik United dan untuk Rio serta Vidic mereka juga tidak terkecuali selepas bejaya membantu kelab menjulang kejuaraan double (Liga Perdana dan Liga Juara-Juara). Bagaimanapun puncak pencapaian duo pertahanan tengah United ini sebenarnya berlaku pada musim 2008/09. Apakah yang berlaku sepanjang musim 2008/09 selain kejayaan United mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut serta memenangi Perisai Komuniti?

 

Pada musim 2008/09, gawang United tidak dibolosi sepanjang 14 perlawanan berturut-turut atau lebih tepatnya mereka mengharungi 1,311 minit perlawanan tanpa bolos. Catatan ini bukan sahaja merupakan rekod kelab tetapi juga rekod Liga Perdana yang kekal hingga ke hari ini. Sepanjang kempen liga musim tersebut juga, pintu gol United yang dikawal Edwin Van der Sar cuma dibolosi lawan sebanyak 24 kali. Pastinya Van der Sar tidak akan mampu melakukan catatan ini tanpa sosok dua tembok kukuh di hadapan beliau.

 

Penutup

 

Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya, begitu jugalah nasib dua tonggak pertahanan tengah penuh karisma ini. Selepas mengharungi tempoh lapan musim selaku duo pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan di Old Trafford dan Liga Perdana, gandingan Rio dan Vidic akhirnya berpecah pada 2014. Rio menyertai Queens Park Rangers manakala Vidic pula berhijrah ke Itali dengan menjadikan Inter Milan sebagai cabaran baharu dalam kariernya.

 

Trofi Liga Perdana yang berjaya dimenangi pada musim 2012/13 bukan sahaja tanda perpisahan abadi dari Sir Alex Ferguson sebagai pengurus, tetapi juga sebagai tanda bahawa tugas Rio serta Vidic di benteng pertahanan United turut `selesai’. Prestasi yang semakin menurun disebabkan peningkatan usia serta faktor kecederaan menyaksikan Rio dan Vidic bukan lagi pemain yang sama sepertimana tempoh kemuncak kegemilangan mereka.

 

Pada musim terakhir mereka di Old Trafford, Vidic masih mampu melakukan 25 penampilan untuk United dalam saingan liga, manakala Rio yang tiga tahun lebih tua cuma melakukan 14 penampilan kerana dibatasi masalah kecederaan. Tugas mereka di jantung pertahanan United akhirnya mula diambilalih Chris Smalling, Phil Jones atau Jonny Evans yang jauh lebih muda dan bertenaga. Akhirnya cara terbaik yang boleh dilakukan Rio serta Vidic ialah pergi dan ucapkan selamat tinggal kepada penyokong.

 

Rio dan Vidic adalah antara cebisan yang melengkapkan cerita kegemilangan United. Jika anda menyebut nama Rio, tidak lengkap sekiranya anda tidak menyebut nama Vidic. Akan sentiasa ada perkaitan nama Vidic di dalam diri Rio, dan begitu jugalah sebaliknya. Saat mereka meninggalkan kelab, nama mereka diiktraf sebagai gandingan pertahanan terbaik sepanjang masa United dan juga Liga Perdana. Rio dan Vidic meninggalkan seribu kenangan kepada penyokong United, dan hingga sekarang kita masih menanti bilakah watak sehebat duo pertahanan tengah ini mampu `dijelmakan’ kembali. Glory Glory Manchester United!!!



07 Jun 2021

PERKUATKAN TIGA POSISI INI JIKA UNITED MAHUKAN KEJUARAAN MUSIM DEPAN

 


Sepertimana yang anda tahu, musim ini Manchester United menamatkan saingan liga ditangga kedua. Satu anak tangga lebih baik berbanding pencapaian yang dilakar mereka musim lalu. Jika diukur dari kedudukan dalam carta liga, ini merupakan satu lagi kemajuan yang ditunjukkan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer selepas dua musim setengah legenda hidup United itu berada di Old Trafford. Mara ke peringkat suku akhir Piala FA, separuh akhir Piala Liga dan final Liga Europa juga bukanlah satu pencapaian yang terlalu buruk.

 

Bagaimanapun United tidak boleh sekadar berpuashati dengan pencapaian silam kerana musim depan penyokong-penyokong tentunya meletakkan sasaran lebih tinggi yang harus dicapai oleh skuad The Red Devils. Trofi pertama, itulah sasaran yang perlu dicapai Solskjaer dalam usaha beliau menamatkan kemarau kejuaraan yang sudah berpanjangan selama empat musim di Old Trafford. Untuk melakukannya Solskjaer perlu melakukan penambahbaikan dalam skuadnya dengan membawa masuk pemain-pemain baharu.

 

Pertahanan Tengah

 

Bagi merealisasikan impian menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim depan, United perlu memperbaiki kelemahan mereka di beberapa posisi. Paling ketara membabitkan benteng pertahanan, tengah dan hadapan. Musim panas ini, penyokong mahu melihat Solskjaer membawa masuk seorang pertahanan tengah baharu untuk digandingkan bersama Harry Maguire. Untuk posisi ini (pertahanan tengah), sudah ada beberapa nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

 

Jules Kounde, Pau Torres dan Raphael Varane antara pertahanan tengah yang hangat di gosipkan dengan minat United terhadap mereka. Kecederaan yang dialami Maguire penghujung musim ini memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya untuk United mendapatkan seorang pertahanan tengah pada jendela perpindahan musim panas nanti. Percayalah, Solskjaer tidak akan mampu merealisasikan impian beliau untuk menjulang trofi pertamanya sebagai pengurus United dengan set pertahanan tengah yang beliau miliki sekarang.

 

Pemain Tengah Bertahan

 

Selama beberapa musim terakhir, United memiliki beberapa opsyen untuk mereka gunakan dalam posisi ini (pemain tengah bertahan). Fred, Scott McTominay dan Nemanja Matic adalah diantaranya. Ketiga-tiga mereka secara bergilir-gilir kerap digunakan Solskjaer sepanjang musim ini untuk beroperasi di posisi tersebut. Secara peribadi saya berpendapat Fred merupakan seorang interceptor terbaik dalam skuad United, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa beliau bukanlah seorang passer yang bagus.

 

Tiada pertikaian tentang potensi McTominay kerana pada usia 24 tahun, beliau antara pemain regular dalam kesebelasan United menerusi 31 penampilan yang dilakukannya musim ini. Bagaimanapun United sebenarnya perlukan seorang pemain tengah bertahan yang mampu berperanan sebagai `water carriers’ dalam dalam skuad mereka. United pernah memiliki type pertahanan tengah seperti ini dalam diri Michael Carrick. Pemain yang bukan sahaja mampu melindungi empat rakan di barisan belakang tetapi juga memiliki kualiti hantaran yang sangat bagus.

 

Di luar sana ada beberapa `water carriers’ yang boleh dipertimbangkan bagi menguatkan jentera tengah United. Eduardo Camavinga begitu menyerlah bersama Rennes, Denis Zakaria merupakan tonggak Borussia Monchengladbach, Boubakary Soumare berjaya memecah dominasi Paris St Germain apabila berjaya membantu Lille menjuarai Ligue 1 musim ini pada usia beliau yang baharu mencecah 22 tahun, manakala Franck Kessie pula yang sudah melakukan 174 penampilan bersama AC Milan akan tamat kontraknya pada musim panas tahun hadapan.

 

Bagaimanapun untuk mengisi posisi ini, saya lebih tertarik dengan potensi kelab untuk `mendaratkan’ Declan Rice ke Old Trafford. Faktor paling utama ialah kemampuan pemain berusia 22 tahun ini yang sudah terbukti di Liga Perdana berbanding jika United cuba mendapatkan pemain baharu di luar England. Bagaimanapun halangan paling besar perlu dihadapi United ialah tanda harga yang diletakkan West Ham ke atas pemain ini. £80 juta adalah jumlah yang agak `tidak masuk akal’ dan perlu dipertimbangkan jika Solskjaer mahukan khidmat Rice dalam skuadnya musim depan.

 

Penyerang Sayap

 

Mengandaikan bahawa United tidak akan menandatangani sebarang penyerang tengah baharu musim depan selepas mereka melanjutkan kontrak Edinson Cavani selama semusim lagi, anda mungkin boleh mengharapkan agar saga perpindahan Jadon Sancho ke Old Trafford mampu direalisasikan. United memang memerlukan tambahan kekuatan di sisi kanan barisan hadapan mereka, jadi Sancho adalah pilihan yang sangat crucial.

 

Tiga musim terakhir di Signal Iduna Park, Sancho muncul antara tonggak penting di barisan hadapan Borussia Dortmund. Musim ini pula, lapan gol yang dijaringkannya dalam saingan liga meletakkan Sancho bersama Marco Reus muncul penjaring gol kedua terbanyak Dortmund di belakang Erling Haaland. Jika Haaland muncul penjaring terbanyak Dortmund, Sancho pula merupakan penyumbang bantuan gol utama menerusi 11 assist  yang diciptanya.

 

Musim panas kali ini adalah detik yang tepat buat United jika mereka mahukan Sancho selepas berdepan kegagalan mendapatkan khidmat pemain antarabangsa England itu tahun lalu. Berbanding musim lalu, Dortmund juga kelihatan seperti tidak lagi meletakkan Sancho sebagai prioriti utama yang mereka akan pertahankan di Signal Iduna Park. Situasinya sekarang sudah berbeza kerana Dortmund kini lebih lunak dan sedia mendengar tawaran dari mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmat bintang mereka itu.

 

Penutup

 

Secara peribadi, perkara pertama yang ingin saya lihat ialah ada pertahanan tengah baharu yang dibawa masuk untuk digandingkan bersama Harry Maguire. Kerana masalah utama yang dihadapi United musim ini ialah kualiti benteng pertahanan mereka terutamanya membabitkan posisi pertahanan tengah. Dapatkan Raphael Varane, Pau Torres, Jules Kounde, Kalidou Koulibaly atau sesiapa sahaja kerana Maguire perlukan rakan gandingan setaraf yang mampu menjadikan benteng pertahanan United lebih ampuh.

 

Prioriti kedua pula ialah cuba dapatkan seorang pemain yang boleh memainkan peranan sebagai `water carriers’ di bahagian tengah, manakala kehadiran Jadon Sancho mampu menawarkan lebih variasi kepada bentuk serangan United. Apa yang saya bayangkan musim depan ialah barisan pertahanan United akan diterajui Harry Maguire serta rakan gandingan baharu beliau di posisi pertahanan tengah. Manakala Luke Shaw dan Aaron Wan-Bissaka di sisi kanan dan kiri.

 

Di bahagian tengah pula jika Paul Pogba masih kekal bersama kelab, beliau akan bergandingan bersama Declan Rice manakala Bruno Fernandes kekal dengan peranannya selaku pemain nombor 10. Sisi kanan dan kiri barisan hadapan akan diisi Jadon Sancho serta Marcus Rashford dengan Edinson Cavani bertindak selaku penyerang tengah. Semoga bursa perpindahan musim panas tahun ini tidak berlaku `kekacauan’, dan Solskjaer mampu mendapatkan pemain-pemain yang beliau inginkan menerusi sokongan John Murtough dan Darren Fletcher selaku DoF dan Pengarah Teknikal. Glory Glory Manchester United!!!


03 Jun 2021

EMPAT PERKARA MENARIK YANG BERLAKU DALAM KEMPEN UNITED SEPANJANG MUSIM 2020/21

 



23 Mei lalu, saingan musim 2020/21 secara rasmi melabuhkan tirainya. Ini juga bermakna Manchester United sudah mengharungi empat musim terakhir mereka tanpa sebarang kejuaraan sejak kejayaan barisan  kendalian Jose Mourinho menjulang kejuaraan Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa pada musim 2016/17. Kesempatan terbaik untuk United menjulang trofi pertama di era Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun gagal selepas mereka tewas kepada Villareal di pentas final Liga Europa menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Antara indikator utama bagi seorang pengurus ialah kejuaraan. Dan meskipun musim ini Solskjaer gagal mengemudi United memenangi sebarang kejuaraan pada musim penuh kedua beliau di Old Trafford, kita juga sebenarnya perlu mengakui ada beberapa catatan positif yang diraih kelab di bawah kendalian beliau. Melihat kepada situasi kelab, percayalah bahawa The Red Devils sedang berada di landasan yang betul dalam proses untuk mereka kembali menjadi pencabar digeruni di bawah regim Solskjaer.

 

Pencapaian Domestik Dan Eropah

 

Musim ini United menamatkan saingan liga di tangga kedua. Jika mahu dibandingkan dengan kedudukan yang diraih mereka musim lalu, ini merupakan satu pencapaian yang boleh dianggap positif. Hanya juara yang akan dikenang sampai bila-bila, tetapi bagi United, posisi mereka di belakang Manchester City musim ini tetap satu indikasi bahawa ada kemajuan yang ditunjukkan oleh barisan kendalian Solskjaer berbanding pencapaian mereka musim lalu (di tangga ketiga).

 

Perjalanan United dalam saingan liga musim ini juga sebenarnya sangat menarik untuk anda perhatikan. Musim lalu United mengharungi sebahagian besar saingan liga mereka dengan berada di kelompok pertengahan, sebelum secara perlahan-lahan mula mendaki ke posisi empat teratas. Bagaimana pula dengan musim ini? Musim ini, United sudah mula menunjukkan bahawa mereka antara pencabar serius kejuaraan liga menerusi keupayaan mereka bersaing di kelompok empat teratas, malah mereka juga sempat memimpin carta liga selama dua minggu.

 

Dalam kejohanan kalah mati piala domestik pula, United mengulangi pencapaian musim lalu dengan mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga sebelum disingkirkan Manchester City. Manakala perjalanan mereka dalam kejohanan Piala FA pula dihentikan Leicester City di peringkat suku akhir. Jangan lupakan fakta bahawa dua pasukan (City dan Leicester) yang menyingkirkan United di kejohanan piala domestik musim ini merupakan juara Piala Liga dan Piala FA.

 

Di pentas Eropah pula, United gagal mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga. Akhirnya saingan Liga Europa menawarkan peluang untuk mereka mara sekali lagi ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh empat tahun. Bagaimanapun bumi Gdansk, Poland rupa-rupanya tidak cukup bertuah buat The Red Devils dan menjadi saksi kegagalan mereka menjulang trofi pertama di era Solskjaer selepas tewas kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Statistik Di Liga Perdana

 

Seperti yang anda tahu, United menamatkan saingan liga musim ini di posisi kedua. Atau lebih tepatnya, satu anak tangga lebih baik dari pencapaian yang dilakar mereka musim lalu. Sudah tentu kejayaan ini sebenarnya turut dibantu menerusi jumlah kemenangan yang diperolehi dan gol yang berjaya mereka jaringkan ke gawang lawan. Musim ini, United meraih 21 kemenangan dalam saingan liga, catatan yang lebih baik berbanding dua musim sebelumnya.

 

Jika diambil kira jumlah kemenangan yang diraih United dalam saingan liga musim ini, catatan skuad United pada musim 2017/18 yang ketika itu di bawah kendalian Jose Mourinho sebenarnya lebih unggul. United ketika itu menamatkan saingan liga di tangga kedua, menerusi 25 kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan. Meskipun begitu, tetap ada aspek yang menyaksikan catatan dilakukan skuad Solskjaer musim ini lebih unggul berbanding skuad 2017/18 kendalian Mourinho.

 

Aspek yang saya maksudkan ialah produktiviti barisan serangan United dalam menyudahkan peluang ketika berada di hadapan gawang lawan. Untuk rekod, sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, United tidak pernah menjaringkan lebih 70 gol semusim dalam saingan liga. Sebelum ini, catatan terbaik mereka ialah 68 gol yang dilakukan pada musim 2017/18. Dalam saingan liga musim ini, United menjaringkan 73 gol, manakala secara keseluruhannya pula mereka menjaringkan 120 gol dalam semua peringkat kejohanan.

 

Penampilan Di Gelanggang Lawan

 

Aspek paling menarik yang dapat anda lihat dalam sisi United musim ini ialah rekod tanpa kalah mereka ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan liga. Dari 19 penampilan mereka di gelanggang lawan, United menang 12 perlawanan dan seri tujuh kali. Apa yang agak menariknya, United juga menamatkan saingan liga musim ini menerusi kemenangan yang dilakar mereka ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux menerusi barisan pemain muda yang diturunkan Solskjaer.

 

Catatan ini menyaksikan United muncul pasukan ketiga yang berjaya mengharungi saingan liga tanpa kalah ketika beraksi di gelanggang lawan. Untuk rekod, Preston North End muncul pasukan pertama melakukannya pada musim 1888/1889, manakala Arsenal pula pada musim 2001/02 dan 2003/04. Agak malang, catatan positif ini tidak diimbangi mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri yang menyaksikan United tewas enam kali dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford.

 

Faktor Cavani

 

Bruno Fernandes masih terus memukau menerusi peranan penting yang dimainkan beliau dalam menggerakan jentera tengah United. Bagaimanapun pemain yang paling mencuri tumpuan saya musim ini ialah Edinson Cavani. Pada awalnya kedatangan Cavani dilabel sebagai `pembelian panik’, berdasarkan faktor umur dan rekod kecederaan yang dialami beliau. Atas sebab itu jugalah mengapa Paris St Germain tidak berminat mengekalkan penggempur antarabangsa Uruguay ini di Parc des Princes.

 

Tanda-tanda bahawa Cavani bakal bergelut dalam usaha beliau menyesuaikan diri dengan budaya bolasepak Inggeris sudah terlihat sejak awal lagi. Tatkala Anthony Martial masih menjadi sandaran Solskjaer sebagai pemburu gol, kesempatan untuk Cavani beraksi hanya hadir pada perlawanan liga kelima United. Aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 24 Oktober 2020, merupakan penampilan pertama Cavani untuk United. Ketika itu beliau masuk menggantikan Daniel James di minit ke-58.

 

United tewas pada penampilan kedua Cavani dalam aksi menentang Arsenal di Old Trafford, tetapi El Matador tidak menunggu lama untuk melaungkan amaran bahawa beliau masih penggempur berbisa menerusi gol yang diledaknya ke gawang Everton. Gol itu merupakan gol pertama Cavani untuk United, dan gol itu juga saya anggap sangat penting bagi meningkatkan keyakinan serta motivasi beliau. Apatah lagi Cavani sendiri memikul beban selaku penerus legasi penyarung jersi nombor 7 United yang sangat ikonik itu.

 

Gol ke gawang Everton itu bukanlah pertama dan terakhir yang dihasilkan Cavani kerana sepanjang musim ini, beliau menjaringkan 10 gol dari 26 penampilan beliau untuk United dalam saingan liga. Secara keseluruhannya pula, beliau menjaringkan 17 gol dari 39 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Apa yang menariknya, lima dari sepuluh gol dihasilkan Cavani di Liga Perdana dilakukan beliau ketika masuk sebagai pemain gantian.

 

Keseluruhan 17 gol yang dijaringkan Cavani musim ini meletakkan beliau selaku penjaring gol ketiga terbanyak United di belakang Bruno Fernandes dan Marcus Rashford. Ketika kelibatnya mula didambakan penyokong menerusi menerusi naluri pembunuh dan ketajamannya dalam menyudahkan peluang, United akhirnya berjaya memujuk bekas penyerang Palermo itu untuk kekal semusim lagi di Old Trafford. Sama ada United berjaya mendapatkan seorang penyerang baharu musim panas nanti, saya percaya Cavani bakal memainkan peranan penting di barisan hadapan United musim depan.

 

Penutup

 

Ramai penyokong United yang kecewa selepas kelab gagal memenangi sebarang kejuaraan musim ini. Empat musim tanpa sebarang kejuaraan bukanlah situasi yang baik untuk kelab besar seperti United, tetapi saya percaya mereka sedang dalam proses yang betul untuk muncul pasukan yang lebih kuat dan mampu mencabar mana-mana kejuaraan musim depan.

 

Sangat menarik untuk melihat adakah kegagalan menjulang kejuaraan musim ini bakal menjadikan United sebuah kesebelasan yang lebih laparkan kejuaraan musim depan? Dengan perubahan kepada tampuk pengurusan kelab menerusi perlantikan John Murtough selaku Director of Football dan Darren Fletcher selaku Pengarah Teknikal, Solskjaer bakal menerima sokongan lebih padu pada jendela perpindahan pemain musim panas nanti.

 

Tugas Solskjaer selepas ini ialah meminta pihak pengurusan kelab mendapatkan tiga atau empat pemain yang beliau mahukan bagi memperkuatkan skuadnya. Solskjaer perlukan pemain yang ideal dengan taktikal dan strategi permainan beliau, jadi sangat menarik untuk melihat siapakah pemain baharu yang bakal beliau bawa masuk nanti. Musim depan ialah musim `wajib menang trofi’, dan dengan peningkatan berterusan yang sudah ditunjukkan kelab, musim depan adalah musim terbaik buat Solskjaer memenangi kejuaraan pertamanya selaku pengurus United. “Trust the process”…Glory Glory Manchester United!!!


31 Mac 2021

ADAKAH `HURRIKANE' MAMPU BERTAHAN JIKA KEMARAU KEJUARAAN SPURS TERUS BERPANJANGAN?

 


Kelibat Sergio Aguero sah tidak akan dapat anda saksikan lagi dengan jersi biru Manchester City musim depan. Kemana destinasi beliau selepas ini pastinya menarik untuk kita nantikan kerana di luar sana sudah menanti beberapa kelab besar yang mahukan khidmatnya untuk diletakkan di jentera serangan mereka musim depan. Kini tinggal seorang lagi penyerang yang masa depannya masih menjadi teka teki dan sentiasa menjadi topik menarik untuk dibincangkan.

 

Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Harry Kane. Kehandalan Kane selaku `pemain nombor 9’ memang tidak perlu dipertikaikan. Ketajaman beliau dalam menyempurnakan peluang menyaksikan Kane sudah memenangi anugerah `Golden Boot’ di Liga Perdana sebanyak dua kali (2015/16 & 2016/17). Di pentas dunia pula, Kane merupakan penjaring terbanyak pada kejohanan Piala Dunia 2018 menerusi enam gol yang dihasilkannya di bumi Russia.

 

Itu pengiktirafan individu, tetapi bagaimana pula dengan pencapaian beliau dalam membantu Tottenham Hotspurs memenangi kejuaraan? Jawapannya…TIADA. Pencapaian paling tinggi yang pernah dilakar beliau dalam kariernya bersama Spurs ialah dua medal `runner up’ untuk kejohanan Piala Liga (2014/15) dan Liga Juara-Juara (2018/19). Sangat menyedihkan untuk seorang penyerang tengah yang dilabel antara yang terbaik di Eropah, Kane masih belum memenangi sebarang trofi kejuaraan pada usia beliau yang sudah mencecah 27 tahun.

 

Tidak dinafikan bahawa trofi antara penanda aras penting dalam karier seseorang pemain. Tidak kira sebagus manapun mereka, tanpa trofi kejuaraan tiada apa yang mampu untuk mereka banggakan selepas bersara nanti. Dan Kane tidak terkecuali meskipun beliau antara penyerang tengah yang memiliki reputasi hebat dalam dunia bolasepak ketika ini. Bukan mahu menidakkan kemampuan Spurs, tetapi secara peribadi sukar membayangkan bahawa Kane mampu memenangi medal kejuaraan `major’ bersama kelab yang sudah kemarau kejuaraan selama 13 tahun.

 

Ketika kali terakhir Spurs berada di podium kejuaraan ialah menerusi kejayaan mereka menewaskan Chelsea di pentas final Piala Liga edisi 2008. Ketika Ledley King menjulang trofi tersebut kira-kira 13 tahun lalu, Kane pula cumalah seorang remaja yang sedang bergelut membuktikan kemampuan dirinya bersama skuad U-16 Spurs. Selepas itu tiada lagi mana-mana kapten Spurs yang diberikan penghormatan untuk menjulang trofi kejuaraan meskipun kini mereka memiliki penggempur sehebat Kane yang sudah meledak 215 gol dari 327 penampilannya.

 

Mungkin saranan Jermain Defoe, antara tonggak yang membantu Spurs menjulang kejuaraan Piala Liga pada 2008 wajar diberikan perhatian oleh Kane. “Jika anda bertanyakan hal ini kepada saya beberapa tahun lalu, maka saya akan katakan bahawa dia (Kane) sepatutnya kekal bersama Spurs. Melihat sumbangannya selama ini untuk kelab, dia adalah legenda. Bagaimanapun anda perlu memenangi kejuaraan, kerana selain dari itu anda akan dinilai tidak cukup bagus”.

 

“Anda akan merasakan sesuatu yang luar biasa jika memenangi kejuaraan. Saya harap jika dia mahukannya (memenangi kejuaraan), dia patut melakukan lebih awal. Jika Kane mahu memenangi trofi, dia patut pergi dari sana”, kata Defoe kepada Talksport. Ketika ini Kane hangat dikaitkan dengan perpindahan dari kota London, dan di England, dua kelab dari Manchester antara disebut-sebut prospek kesebelasan yang bakal disertai Kane musim depan.

 

Jika anda tanyakan kepada saya, sudah tentu saya mahukan penyerang yang memiliki reputasi dan kualiti sebagus Kane menyertai United musim depan. Selain daripada itu, peluang bekerjasama semula dengan Mauricio Pochettino atau menyertai kesebelasan seperti Real Madrid juga antara tarikan yang mungkin boleh membawa Kane keluar dari tanah Inggeris buat pertama kali dalam kariernya. Kelab mana yang tidak mahukan penyerang tengah seperti Kane, bakat istimewa England yang muncul selepas berakhirnya era Wayne Rooney.

 

Sejak berusia 20 tahun lagi, Kane sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliaulah bakal calon penggempur utama England suatu hari nanti. Pada musim pertama Pochettino bersama Spurs, Kane meledak 31 gol dari 51 penampilan dalam semua peringkat kejohanan. Bukan jumlah gol yang mengagumkan saya, tetapi lebih kepada faktor bagaimana beliau mampu menjelma menjadi penyerang handalan Spurs meskipun terpaksa bersaing dengan Roberto Soldado dan Emmanuel Adebayor yang jauh lebih berpengalaman.

 

Jika dilihat kepada penampilan Kane tujuh tahun lalu, anda mungkin akan terkejut berbanding dengan apa yang dilakukannya sepanjang menjalani tempoh pinjaman bersama Leyton Orient, Milwall, Norwich City dan Leicester City. Bersama Leicester, kelab terakhir yang menggunakan khidmatnya sebelum beliau pulang ke pangkuan Spurs, Kane cuma meledak dua gol dari 15 penampilan.  Untuk rekod pada musim 2012/13, Leicester beraksi di Liga Kejuaraan.

 

Meskipun statistik jaringan beliau pada usia remaja tidak sebagus mana, tetapi jurulatih-jurulatih di akademi Spurs menyedari potensi besar yang dimiliki Kane. Pernah dilabel `tidak memiliki tubuh seorang atlit’, kekuatan utama Kane dari kacamata Les Ferdinand ialah keyakinan dirinya yang cukup tinggi. “Bagi saya, kualiti yang menjadikan dia pemain muda berbakat adalah keyakinan dirinya yang tinggi. Dia pemain yang sangat individual dan tahu meletakkan dirinya di posisi yang tepat”, kata Ferdinand kepada Telegraph pada 2014.

 

Sebagai penyerang tengah, Kane berjaya beradaptasi dengan baik dalam era bolasepak moden. Beliau bukanlah tipikal penyerang tengah yang cuma menanti hantaran rakan di dalam petak penalti lawan. Bersama Spurs, Kane kerap turun jauh ke bawah bagi mendapatkan bola, bergerak ke sebelah sisi kanan dan kiri, mencipta dan mendapatkan ruang untuk dirinya menembusi benteng pertahanan lawan. Menurut David Pleat pula, Kane penyerang yang istimewa kerana  memiliki sepasang kaki yang kuat.

 

“Satu hal yang istimewa tentang Harry Kane ialah dia memiliki sepasang kaki yang kuat. Dia tidak bergantung kepada hanya satu kaki untuk menjaringkan gol. Beritahu saya berapa ramai penyerang yang mahir menggunakan kedua-dua kakinya. Kane boleh menjaringkan gol dengan kaki kanan mahupun kiri. Begitu juga dengan kamampuan dia melakukan hantaran. Dia akan bergerak dari zon yang lebih dalam kerana dia memiliki kelajuan untuk melakukannya. Ia sesuatu yang dia belajar dari jurulatihnya dan dia melakukannya dengan sangat baik”, kata Pleat.


Musim ini Spurs berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan selepas skuad kendalian Jose Mourinho itu mara kefinal Piala Liga menerusi kejayaan mereka menundukkan Brentford di separuh akhir. Piala Liga adalah satu-satunya jalan yang tinggal dalam percubaan terakhir Spurs mengekalkan Kane di Utara London. Atau aksi final Piala Liga kali ini bakal menjadi `upacara’ perpisahan paling tepat jika Kane mengintai peluang menyertai kelab lebih besar, yang mampu menawarkan beliau untuk memenangi kejuaraan lebih besar berbanding Piala Liga?

 

Beliau masih belum mencapai puncak kariernya sebagai pemain, tetapi sudah menjaringkan 264 gol sepanjang karier profesionalnya setakat ini. Kane mungkin mampu menjaringkan sehingga 500 gol untuk Spurs jika beliau kekal bersama The Lilywhites sepanjang kariernya, tetapi sepuluh tahun dari sekarang Kane akan lebih dikenang sebagai pemain yang lebih hebat jika ada trofi kejuaraan yang mampu beliau menangi. Adakah Spurs boleh merealisasikan impian Kane? Jika jawapannya tidak, maka beliau harus pergi…Glory Glory Manchester United!!!



28 Mac 2021

UNITED `KELIRU' KETIKA MEREKA MEREKRUT DONNY VAN DE BEEK?

 



Kedatangan Donny Van de Beek pada Ogos tahun lalu merupakan satu berita gembira buat penyokong-penyokong United. Melihat apa yang sudah beliau lakukan ketika bersama Ajax, kehadiran Van de Beek memberikan kita harapan untuk melihat perubahan yang lebih besar kepada jentera tengah United. Kreativiti dan visi permainan yang tinggi, itulah yang ditawarkan Van de Beek, kerana United memang perlukan seorang pemain seperti beliau bagi membantu Bruno Fernandes di bahagian tengah.

 

Ketika komitmen Paul Pogba kepada kelab mula diperdebatkan, Van de Beek adalah rekrut baharu yang diharap mampu menggantikan tempat pemenang medal Piala Dunia itu jika Pogba memilih meninggalkan Old Trafford. Bagaimanapun realitinya tidak begitu, kerana nilai £35 juta yang dibelanjakan United bagi mendapatkan khidmat Van de Beek dari Ajax seperti sia-sia. Dari prospek hangat untuk membentuk gandingan bersama Bruno Fernandes, Van de Beek antara muka yang sering disisihkan Ole Gunnar Solskjaer dari kesebelasan utama skuadnya.

 

Berbanding Van de Beek, musim ini Solskjaer lebih gemar menurunkan kombinasi Bruno Fernandes/Fred/Scott McTominay atau Paul Pogba selaku penggerak jentera tengah United, jadi mungkin juga ada benarnya tentang laporan yang mengatakan bahawa Solskjaer tidak pernah berniat menandatangani pemain antarabangsa Belanda itu dari Ajax Amsterdam musim panas lalu. Kurangnya minit permainan dan gagal bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama United adalah satu mimpi ngeri buat karier pemain berbakat ini di England.

 

Di Belanda sendiri, sudah kuat kedengaran suara-suara yang mahukan agar Van de Beek meninggalkan Old Trafford musim panas nanti. Marco Van Basten, Rafael Van der Vaart serta adik beradik Frank dan Ronald de Boer mencadangkan agar Van de Beek mencari kelab baharu sama ada menerusi perpindahan tetap atau pinjaman bagi menyelamatkan posisinya dalam skuad kebangsaan. Situasi kelam yang beliau alami di Old Trafford ini sebenarnya juga bakal merosakkan peluang Van de Beek untuk beraksi di kejohanan Euro 2021 atau Piala Dunia 2022 di Qatar.

 

Saya tertarik dengan pandangan yang dilemparkan Ian Wright, yang juga merupakan legenda Arsenal tentang situasi sukar dialami Van de Beek sejak perpindahannya ke Old Trafford pada musim panas lalu. Menurut Wright, Van de Beek bukanlah seorang pemain yang mampu memberikan perbezaan kepada corak permainan United. Skema permainan berbeza yang diterapkan United berbanding Ajax antara faktor utama mengapa Van de Beek kerap disisihkan Solskjaer dari kesebelasan utamanya musim ini.

 

Kebenarannya memang begitu, kerana corak permainan United tidak berteraskan kepada penguasaan bola sepertimana yang dipamerkan Ajax terutamanya ketika mereka di bawah kendalian Frank de Boer. “Berkenaan Donny Van de Beek, kita sebenarnya bercakap tentang seorang pemain yang sejak usia 8 tahun sudah berada di Ajax. Kekuatan dia dibina menerusi permainan berteraskan penguasaan bola. Dia pemain yang sangat bagus, tetapi bagaimana dia boleh memberikan pengaruh kepada United yang mengamalkan corak permainan berbeza?, kata Wright.

 

Dalam komentar beliau di Inside Football itu juga Wright menambah, “Bagaimana dia masuk ke dalam skuad dan boleh memberikan perbezaan? Saya menyaksikan dia bermain dalam beberapa perlawanan, dimana dia sudah mencuba di beberapa ruang untuk memberikan sumbangan. Bagaimanapun United bukan pasukan yang cenderung menguasai bola dan itu menyebabkan dia sukar bergerak dan memainkan peranannya”. Rumusan dari komentar Wright, akhirnya seperti yang dapat anda lihat, Van de Beek cuma bermain selama 311 minit dalam saingan liga setakat ini.

 

Kecederaan yang dialaminya mengakibatkan Van de Beek tidak diturunkan dalam kempen kelayakan Piala Dunia Belanda ketika mereka berdepan Turki. Dalam aksi menentang Latvia pula, beliau cuma melakukan penampilan selama 11 minit selaku pemain gantian. Agak malang melihat pemain berbakat seperti Van de Beek yang pada awalnya begitu percaya bahawa beliau boleh membantu United memenangi kembali trofi kini semakin beransur-ansur hilang dari pandangan. “Saya akan memberikan segalanya kepada kelab dan berharap kami mampu memenangi kejuaraan”, kata Van de Beek pada Ogos lalu.

 

Ruud Van Nistelrooy merupakan inspirasi terbesar beliau yang mendorong Van de Beek berpindah ke Old Trafford, tetapi dengan situasi terkini, sukar nampaknya untuk beliau menjejak legasi yang ditinggalkan `The Flying Dutchman’ bersama skuad The Red Devils. Mungkin keputusan Solskjaer yang jarang menurunkan Van de Beek boleh dipersoalkan. Tetapi persoalan paling besar ialah adakah United memang benar-benarkan perlukan beliau ketika mereka membayar wang sebanyak £35 juta kepada Ajax pada Ogos lalu?

 

Pada awalnya saya mendambakan bahawa Van de Beek akan bermain bersama skuad utama setiap minggu, memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera tengah United serta melakukan hantaran-hantaran berkualiti yang mampu disudahkan rakan-rakan dibarisan hadapan. Bagaimanapun hakikatnya tidak berlaku seperti yang saya impikan. Jadi persoalan paling besar yang sering bermain di fikiran saya, kenapa kelab membelanjakan wang sebanyak itu jika mereka hanya mahukan Van de Beek sekadar menjadi penonton di luar padang? Glory Glory Manchester United!!!


26 Mac 2021

KUALITI SUDAH TERBUKTI, `FREE AGENT'...KENAPA UNITED TIDAK CUBA DAPATKAN AGUERO?



Sebagai penyokong Manchester United, anda mungkin membenci beliau. Tetapi dalam masa yang sama sebagai peminat bolasepak, anda juga sepatutnya mengagumi bakat serta kebolehan beliau selaku antara penjaring gol ulung. Saya `tidak pernah menyukai’ Kun Aguero, terutama setiap kali berlangsungnya Manchester Derby, kerana pemain inilah antara pemain City yang sering memberikan masalah kepada benteng pertahanan United.

 

`Luka’ ketika beliau meledak gol ke gawang Queens Park Rangers di masa kecederaan pada Mei 2012 masih terasa, kerana gol kemenangan itulah City akhirnya berjaya menyingkirkan United dari perebutan kejuaraan liga hanya menerusi kelebihan jaringan gol. Itulah kelebihan Aguero, seorang penyerang prolifik yang bijak menghidu dan mampu menukar sebarang peluang kepada jaringan gol ketika berada di bawah tekanan dalam petak penalti lawan.

 

Baru-baru ini ada laporan yang mengatakan bahawa Aguero bakal meninggalkan Stadium Etihad musim panas nanti. Jika laporan ini benar, Aguero boleh menyertai mana-mana kelab selaku `free agent’ kerana kontraknya bersama City akan tamat pada Jun nanti. Aguero sudah berusia 32 tahun, tetapi hakikat yang perlu kita akui ialah beliau masih lagi penyerang yang tajam dan menakutkan di Liga Perdana meskipun penampilannya musim ini terbatas kerana mengalami kecederaan.

 

Perkembangan Aguero di Stadium Etihad menarik perhatian banyak kelab, terutamanya pesaing City di Liga Perdana. Kelab Liga Perdana mana yang tidak mahukan Aguero, penyerang yang sudah menempa namanya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman City, dan penyerang yang sudah menjaringkan lebih 400 gol sepanjang karier profesional beliau. Manakala di Sepanyol pula, kelibat Aguero antara lima pemain yang turut berada dalam radar Joan Laporta untuk beliau bawa masuk ke Camp Nou musim panas nanti.

 

Ketika United masih tercari-cari seorang penggempur yang mampu meningkatkan daya serang di barisan hadapan mereka, Aguero antara pemain yang boleh kelab pertimbangkan untuk mereka tandatangani. Tambahan pula dengan kemungkinan bahawa Edinson Cavani lebih berminat pulang ke benua Amerika Selatan berbanding kekal beraksi di England. Saya lebih tertarik dengan prospek penggempur yang lebih muda seperti Erling Haaland atau Harry Kane, tetapi Aguero tetap sasaran yang mengujakan berdasarkan reputasi dan pengalaman beliau dalam kancah bolasepak England.

 

Di England, kemampuan Aguero selaku antara penggempur terbaik pernah disaksikan aksinya di Liga Perdana sudah terbukti. 257 gol dari 384 penampilan untuk kesebelasan `The Citizens’ dalam semua peringkat kejohanan adalah jawapan terbaik mengapa Thomas Tuchel juga turut mengintai peluang untuk meletakkan bintang antarabangsa Argentina ini di barisan hadapan skuadnya musim depan. Tambahan pula Chelsea juga tidak perlu membayar sesen pun kepada City untuk mendapatkan seorang penyerang berkualiti seperti Aguero.

 

Jika mengambilkira kata-kata Aguero sebelum ini bahawa beliau mahu terus kekal beraksi di England, United dan Chelsea atau mana-mana kelab Inggeris yang berminat memiliki peluang lebih besar mendapatkan khidmat beliau. Anda boleh membenci Manchester City kerana mereka adalah `jiran yang bising’, tetapi dalam masa yang sama anda juga terpaksa mengakui bahawa antara faktor kejayaan mereka menjulang empat kejuaraan liga dalam tempoh lapan tahun turut dibantu ketajaman seorang penyerang yang cukup prolifik seperti Aguero. 

 

Kualiti penyudah Aguero tidak perlu diperdebatkan, penyerang yang pernah dilabel Micah Richards sebagai memiliki ketenangan luar biasa ketika bola berada di kakinya. Merekrut seorang pemain dari kelab `rival’ bukanlah satu dosa besar, kerana United pernah melakukannya ketika mereka menandatangani Eric Cantona, Rio Ferdinand dan Alan Smith dari Leeds United. Jika sudah begitu, tiada pengecualian juga untuk Sergio `Kun’ Aguero, seorang penyerang yang kualitinya tidak perlu kita ragui pada `tandaharga percuma’. Glory Glory Manchester United!!!