28 Mac 2021

UNITED `KELIRU' KETIKA MEREKA MEREKRUT DONNY VAN DE BEEK?

 



Kedatangan Donny Van de Beek pada Ogos tahun lalu merupakan satu berita gembira buat penyokong-penyokong United. Melihat apa yang sudah beliau lakukan ketika bersama Ajax, kehadiran Van de Beek memberikan kita harapan untuk melihat perubahan yang lebih besar kepada jentera tengah United. Kreativiti dan visi permainan yang tinggi, itulah yang ditawarkan Van de Beek, kerana United memang perlukan seorang pemain seperti beliau bagi membantu Bruno Fernandes di bahagian tengah.

 

Ketika komitmen Paul Pogba kepada kelab mula diperdebatkan, Van de Beek adalah rekrut baharu yang diharap mampu menggantikan tempat pemenang medal Piala Dunia itu jika Pogba memilih meninggalkan Old Trafford. Bagaimanapun realitinya tidak begitu, kerana nilai £35 juta yang dibelanjakan United bagi mendapatkan khidmat Van de Beek dari Ajax seperti sia-sia. Dari prospek hangat untuk membentuk gandingan bersama Bruno Fernandes, Van de Beek antara muka yang sering disisihkan Ole Gunnar Solskjaer dari kesebelasan utama skuadnya.

 

Berbanding Van de Beek, musim ini Solskjaer lebih gemar menurunkan kombinasi Bruno Fernandes/Fred/Scott McTominay atau Paul Pogba selaku penggerak jentera tengah United, jadi mungkin juga ada benarnya tentang laporan yang mengatakan bahawa Solskjaer tidak pernah berniat menandatangani pemain antarabangsa Belanda itu dari Ajax Amsterdam musim panas lalu. Kurangnya minit permainan dan gagal bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama United adalah satu mimpi ngeri buat karier pemain berbakat ini di England.

 

Di Belanda sendiri, sudah kuat kedengaran suara-suara yang mahukan agar Van de Beek meninggalkan Old Trafford musim panas nanti. Marco Van Basten, Rafael Van der Vaart serta adik beradik Frank dan Ronald de Boer mencadangkan agar Van de Beek mencari kelab baharu sama ada menerusi perpindahan tetap atau pinjaman bagi menyelamatkan posisinya dalam skuad kebangsaan. Situasi kelam yang beliau alami di Old Trafford ini sebenarnya juga bakal merosakkan peluang Van de Beek untuk beraksi di kejohanan Euro 2021 atau Piala Dunia 2022 di Qatar.

 

Saya tertarik dengan pandangan yang dilemparkan Ian Wright, yang juga merupakan legenda Arsenal tentang situasi sukar dialami Van de Beek sejak perpindahannya ke Old Trafford pada musim panas lalu. Menurut Wright, Van de Beek bukanlah seorang pemain yang mampu memberikan perbezaan kepada corak permainan United. Skema permainan berbeza yang diterapkan United berbanding Ajax antara faktor utama mengapa Van de Beek kerap disisihkan Solskjaer dari kesebelasan utamanya musim ini.

 

Kebenarannya memang begitu, kerana corak permainan United tidak berteraskan kepada penguasaan bola sepertimana yang dipamerkan Ajax terutamanya ketika mereka di bawah kendalian Frank de Boer. “Berkenaan Donny Van de Beek, kita sebenarnya bercakap tentang seorang pemain yang sejak usia 8 tahun sudah berada di Ajax. Kekuatan dia dibina menerusi permainan berteraskan penguasaan bola. Dia pemain yang sangat bagus, tetapi bagaimana dia boleh memberikan pengaruh kepada United yang mengamalkan corak permainan berbeza?, kata Wright.

 

Dalam komentar beliau di Inside Football itu juga Wright menambah, “Bagaimana dia masuk ke dalam skuad dan boleh memberikan perbezaan? Saya menyaksikan dia bermain dalam beberapa perlawanan, dimana dia sudah mencuba di beberapa ruang untuk memberikan sumbangan. Bagaimanapun United bukan pasukan yang cenderung menguasai bola dan itu menyebabkan dia sukar bergerak dan memainkan peranannya”. Rumusan dari komentar Wright, akhirnya seperti yang dapat anda lihat, Van de Beek cuma bermain selama 311 minit dalam saingan liga setakat ini.

 

Kecederaan yang dialaminya mengakibatkan Van de Beek tidak diturunkan dalam kempen kelayakan Piala Dunia Belanda ketika mereka berdepan Turki. Dalam aksi menentang Latvia pula, beliau cuma melakukan penampilan selama 11 minit selaku pemain gantian. Agak malang melihat pemain berbakat seperti Van de Beek yang pada awalnya begitu percaya bahawa beliau boleh membantu United memenangi kembali trofi kini semakin beransur-ansur hilang dari pandangan. “Saya akan memberikan segalanya kepada kelab dan berharap kami mampu memenangi kejuaraan”, kata Van de Beek pada Ogos lalu.

 

Ruud Van Nistelrooy merupakan inspirasi terbesar beliau yang mendorong Van de Beek berpindah ke Old Trafford, tetapi dengan situasi terkini, sukar nampaknya untuk beliau menjejak legasi yang ditinggalkan `The Flying Dutchman’ bersama skuad The Red Devils. Mungkin keputusan Solskjaer yang jarang menurunkan Van de Beek boleh dipersoalkan. Tetapi persoalan paling besar ialah adakah United memang benar-benarkan perlukan beliau ketika mereka membayar wang sebanyak £35 juta kepada Ajax pada Ogos lalu?

 

Pada awalnya saya mendambakan bahawa Van de Beek akan bermain bersama skuad utama setiap minggu, memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera tengah United serta melakukan hantaran-hantaran berkualiti yang mampu disudahkan rakan-rakan dibarisan hadapan. Bagaimanapun hakikatnya tidak berlaku seperti yang saya impikan. Jadi persoalan paling besar yang sering bermain di fikiran saya, kenapa kelab membelanjakan wang sebanyak itu jika mereka hanya mahukan Van de Beek sekadar menjadi penonton di luar padang? Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan