31 Mei 2012

MAMPUKAH KAGAWA BERAKSI DI ENGLAND?


Dua tahun lalu, nama Shinji Kagawa hampir tidak pernah didengar oleh peminat-peminat bolasepak di luar Jepun, namun kini keadaan sebaliknya berlaku selepas dia menyertai Borussia Dortmund dari Cerezo Osaka pada 2010. Nama Kagawa mula menjadi sebutan selepas dia muncul antara tonggak utama Dortmund yang membantu kelab itu muncul juara Bundesliga selama dua musim berturut-turut.  Nama Kagawa semakin kerap menjadi sebutan apabila Sir Alex Ferguson pada penghujung tahun lalu diberitakan cukup berminat membawanya ke Old Trafford semasa jendela perpindahan bulan Januari dibuka. Kini, nama Kagawa disebut hampir setiap hari terutamanya oleh penyokong-penyokong United selepas diberitakan urusan perpindahan pemain tengah itu dari Westfalenstadion ke Old Trafford semakin hampir diselesaikan dengan nilai mencecah 17 juta Euro. Tujuan utama United mendapatkan Kagawa tentunya bukanlah kerana faktor menjual jenama kelab di pasaran Asia sepertimana yang mereka lakukan ketika menandatangani Dong Fangzhou dari Dalian Shide lapan tahun lalu. Kagawa adalah pemain yang jauh berbeza dari Fangzhou kerana dia sudahpun meletakkan namanya di tinta emas dalam sejarah bolasepak di Jepun. Kagawa muncul pemain termuda di Jepun yang menandatangani kontrak profesional pada usia 17 tahun dengan menyertai Cerezo Osaka, dan pada usia 18 tahun, dia berjaya menempatkan dirinya dalam skuad utama Cerezo.  Kagawa membuktikan bahawa dia adalah prospek masa depan bolasepak Jepun apabila menyumbangkan 27 gol dari 44 penampilan pada musim 2009 sekaligus membantu Cerezo kembali beraksi di J League setelah tiga tahun bersaing di divisyen dua. Thomas Kroth, agen pemain dari Jerman berjaya menghidu bakatnya dan berjaya membawa Kagawa beraksi di Bundesliga bersama-sama Borussia Dortmund. Selepas menyertai Dortmund pada musim panas 2010, Kagawa memperlihatkan kemampuannya bersaing di liga Eropah dan biarpun dia terlepas hampir separuh musim kerana kecederaan, Dortmund  muncul juara Bundesliga musim tersebut selepas kali terakhir memenanginya pada 2002.  Debut Kagawa di Eropah membuahkan hasil apabila dia disenaraikan dalam kesebelasan terbaik Bundesliga musim 2010/11 dan musim ini pula dia dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Bundesliga 2011/12.

Bersama skuad kebangsaan Jepun dan Dortmund, Kagawa menunjukkan bahawa dia adalah pemain tengah yang cukup berbahaya dalam mencipta peluang ketika bola berada dikakinya, baik melalui percubaan ataupun umpanan-umpanan kepada barisan hadapan Dortmund. Tidak hairanlah, Kagawa kini menjadi ikon baru bukan saja di Westfalenstadion malah di negaranya sendiri apabila wajahnya sering muncul dalam majalah, iklan hinggalah ke permainan video. Populariti Kagawa mengatasi seniornya yang beraksi di Inter Milan, Yuto Nagatomo dan juga penyerang CSKA Moscow, Keisuke Honda. Tidak seperti Nagatomo yang suka berjenaka, manakala Honda pula terkenal dengan kehidupan yang agak liar, Kagawa adalah individu yang sangat pemalu.  Maka dengan sebab itulah Kagawa berjaya menjauhkan dirinya dari lensa kamera ketika berada di luar padang manakala kehidupan peribadinya pula kurang mendapat liputan media. Hal ini bagaimanapun pastinya tidak akan berlaku di England dan jika Kagawa memang sudah ditakdirkan akan menyertai United, dia perlu membiasakan dirinya dengan kehidupan glamour seorang bintang bolasepak. Di Old Trafford, Kagawa akan berkongsi bilik persalinan dengan barisan bintang United yang lain seperti Wayne Rooney, Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Paul Scholes, Patrice Evra dan lain-lain. Bukan saja perlu berdepan nama-nama besar United di padang latihan, Kagawa juga perlu menyesuaikan dirinya dengan corak pengurusan berdisiplin dan tegas dari god father United sendiri iaitu Sir Alex Ferguson. Apapun yang berlaku, Jepun terutamanya dan Asia patut berbangga kerana pemain kelahiran Kobe ini nampaknya semakin hampir menyarung jersi merah keramat The Red Devils musim hadapan. Kekecewaan penyokong-penyokong United kerana keputusan Eden Hazard memilih Chelsea tentunya akan terubat dengan kehadiran Kagawa nanti. Apakah Kagawa mampu mempamerkan bakatnya di England sepertimana yang dia tunjukkan selama dua musim di Westfalenstadion...tunggu saja aksi Kagawa di tengah padang nanti. Glory Glory Manchester United!!!

29 Mei 2012

SIAPAKAH CALON SESUAI MENGGANTIKAN FERGUSON?


Siapakah sebenarnya Klaus Toppmoller? Jika Sir Alex Ferguson mengambil keputusan untuk bersara sepertimana yang dirancangkannya pada tahun 2002, Toppmoller adalah individu yang disebut-sebut akan menggantikan Ferguson di Old Trafford. Warga Jerman itu telah memberikan kesan besar ketika bersama Bayern Leverkusen dan berada di senarai teratas individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Pengurus United, selepas Ferguson sendiri mengumumkan pada malam tahun 2001 bahawa musim itu (2001/02) bakal menjadi musim terakhirnya bersama United.  Selepas Ferguson menarik balik hasratnya untuk bersara, Leverkusen di bawah kendalian Toppmoller muncul pencabar hebat di liga domestik dan juga Eropah apabila mereka berjaya melayakkan diri ke pentas final Liga Juara-Juara, menduduki tangga kedua Bundesliga di belakang Borussia Dortmund dan mara ke perlawanan akhir Piala Jerman. Leverkusen bagaimanapun tewas 1-2 kepada pasukan pilihan Real Madrid yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Zinedine Zidane, Raul Gonzalez dan Ronaldo di perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang diadakan di Hampden Park.  Di perlawanan akhir Piala Jerman pula, Leverkusen tewas 2-4 kepada Schalke 04 dan sembilan bulan kemudian Toppmoller dipecat.  Toppmoller tidak bersendirian dalam senarai jurulatih yang disebut-sebut bakal menggantikan Ferguson, kerana bekas pemain United sendiri seperti Steve Bruce dan Roy Keane yang melaksanakan tugas mereka dengan agak cemerlang bersama Sunderland, Wigan Athletic, Birmingham City dan Ipswich Town turut disenaraikan sebagai pengganti ideal buat Ferguson. Akhirnya, Bruce dan Keane sendiri menerima nasib yang sama seperti Toppmoller apabila mereka di pecat dari jawatan masing-masing walaupun Keane berjaya membawa Sunderland muncul juara Liga Kejuaraan pada musim 2006/07 sekaligus membawa kembali kelab itu beraksi di Liga Perdana. 

Ferguson sering menekankan aspek kesihatan adalah faktor utama yang menjadi pertimbangannya dalam menentukan bila dia akan bersara.  Baru-baru ini Ferguson terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pendarahan hidung dan berita ini meningkatkan spekulasi bahawa warga Scotland itu akan bersara dalam tempoh terdekat. Sahabat baik Ferguson di Wigan Athletic, Dave Whelan mengeluarkan kenyataan bahawa akan berlaku kekosongan jawatan Pengurus United dalam tempoh setahun lagi tetapi Ferguson pantas menafikan perkara itu. Beberapa nama yang dikaitkan sebagai pengganti Ferguson perlu bersedia dan mempersiapkan diri mereka mulai sekarang memandangkan usia Ferguson yang bakal menjangkau 71 tahun Disember ini, dan taraf kesihatannya memungkinkan beliau bersara sebaik musim 2012/13 berakhir.  Ketika ini nama bekas jurulatih Barca, Pep Guardiola antara yang cukup hangat diperkatakan bakal menduduki kerusi panas milik Ferguson. Pada usia 41 tahun, Guardiola berjaya menerajui Barcelona memenangi 14 trofi dalam tempoh empat tahun bersama kelab Catalan itu.  Guardiola menghantui United dalam dua final Liga Juara-Juara apabila dia berjaya membawa Barca menewaskan United di Rome (2009) dan Wembley (2011).  Walaupun Roman Abramovich mempunyai idea untuk membawa Guardiola ke Stamford Bridge, warga Sepanyol itu mengatakan bahawa dia ingin berehat dan melupakan sebentar dunia bolasepak serta ingin menetap di New York selepas meletakkan jawatan di Barca.  Seseorang yang mengambil keputusan untuk berehat selepas hanya empat musim mengemudi sebuah kelab bolasepak bukanlah calon sesuai untuk menggantikan tempat Ferguson. 

Ole Gunnar Solskjaer merupakan nama yang turut disebut-sebut memiliki potensi menggantikan tempat Ferguson. Sepertimana Keane dan Bruce, Solskjaer juga adalah bekas pemain dan lagenda The Red Devils yang menceburi bidang kejurulatihan selepas bersara sebagai pemain. Solskjaer membuktikan kemampuannya sebagai pengurus apabila berjaya membawa bekas kelab yang diwakilinya ketika zaman remaja, Molde FK menjuarai Liga Perdana Norway buat pertama kali dalam sejarah kelab. Lebih manis kejayaan Molde FK hadir ketika musim pertama Solskjaer bersama-sama kelab tersebut selepas berpindah dari Manchester, hingga meletakkan dia berada di senarai teratas pengurus yang paling dikehendaki. Pemilik Aston Villa, Randy Lerner sanggup terbang ke Norway untuk bertemu dengan Solskjaer bagi berbincang tentang kekosongan jawatan pengurus di Villa Park namun tawaran Lerner ditolak Solskjaer atas alasan keluarga. Mungkin juga Solskjaer sudah mempunyai rancangan tentang masa depannya dan akan hanya kembali semula ke England selepas dia benar-benar sudah bersedia. Solskjaer sebenarnya bertindak bijak apabila menolak tawaran Lerner dan tidak terpengaruh atas pretasi cemerlang semusimnya di Molde FK dengan menerima tawaran Villa. Jika ditakdirkan dia gagal di Villa Park, laluan Solskjaer untuk menggantikan tempat Ferguson tentunya akan tersasar dan pilihan untuk kekal bersama Molde FK buat tempoh setahun atau dua lagi adalah langkah yang tepat.

Ramai juga yang menyebut bahawa Jose Mourinho sebagai antara individu yang berpeluang besar mengambilalih tempat Ferguson.  Mourinho baru berusia 49 tahun dan memiliki rekod cemerlang sebagai pengurus apabila berjaya memenangi trofi Liga Juara-Juara dengan dua pasukan berbeza (FC Porto dan Inter Milan). Selain itu Mourinho juga cukup terkenal kerana memiliki ego yang tinggi serta mampu menyerap tekanan, dan ciri-ciri seperti itu memang sesuai mengisi jawatan Pengurus United.  Bagaimanapun ramai berpendapat gaya permainan yang diterapkan Mourinho ketika bersama Chelsea tidak akan menggembirakan penyokong-penyokong United di Old Trafford apatalah lagi selepas mereka disajikan dengan gaya menyerang selama 25 tahun di bawah kendalian Ferguson.  Bagaimanapun harus diakui, Madrid di bawah Mourinho baru saja menyingkirkan Barca dari perebutan kejuaraan La Liga dan mereka menjaringkan 121 gol dalam saingan liga  musim ini.  Statistik ini menunjukkan Mourinho sebenarnya bukanlah seorang pengurus yang gemar menerapkan corak permainan negatif dalam permainan. Sepertimana Ferguson sendiri, Mourinho juga tidak dapat menahan naluri menyerang jika mempunyai pemain yang mampu melaksanakan tugas tersebut. Di Real Madrid, Mourinho mempunyai Cristiano Ronaldo dan Mesut Ozil, pemain yang cukup berjaya menggalas tugas dan menjayakan strategi menyerang Mourinho.  Mourinho baru saja menandatangani lanjutan kontrak bersama Real sehingga 2016 tetapi Los Blancos juga cukup terkenal dengan kekerapan mereka menukar pengurus hingga menyaksikan seramai 10 orang pengurus datang dan pergi di Bernabeu dalam tempoh 9 tahun. Mungkin juga Mourinho tidak terkecuali jika diambilkira kenyataan-kenyataan yang dibuatnya sebelum ini bahawa mengisi jawatan Pengurus Manchester United adalah impian terbesar dalam kerjayanya. Glory Glory Manchester United!!!

26 Mei 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: KAGAWA, BOATENG, LAVEZZI, STROOTMAN DAN DEMBA BA


Shinji Kagawa
Ketika masih ternanti-nanti keputusan Eden Hazard tentang masa depannya, Manchester United diberitakan terus ghairah memburu tandatangan Shinji Kagawa. Selepas tawaran 13 juta Pound terhadap Kagawa ditolak Borussia Dortmund, United nampaknya sedia meningkatkan bidaan mereka menjadi 16 juta Pound bagi mendapatkan bintang tengah itu. Biarpun sedar, akan kehilangan salah seorang pemain berbakat yang pernah mereka miliki, Dortmund nampaknya tidak akan membiarkan Kagawa pergi begitu saja dengan meletakkan sasaran meraih keuntungan berlipat ganda hasil penjualannya. Kagawa menyertai Dortmund dari Cerezo Osaka pada 2010 dengan yuran perpindahan sekitar 300,000 Euro, namun nilai pemain antarabangsa Jepun itu naik berlipat kali ganda selepas dia muncul antara watak penting di sebalik kejayaan Dortmund memenangi kejuaraan Bundesliga dua musim berturut-turut. Selepas isu perpindahan Kagawa dan Hazard, United nampaknya terus menjadi sasaran media yang mengaitkan mereka dengan perpindahan beberapa lagi pemain terkemuka. Terbaru media di Itali menyiarkan berita bahawa Sir Alex Ferguson berminat membawa kembali  bintang AC Milan, Kevin Prince Boateng beraksi di England.  Sejak menyertai Milan dari Portsmouth pada 2010, Boateng muncul tonggak utama Milan di bawah kendalian Massimiliano Allergi dan Ferguson dikatakan melihatnya sebagai pemain yang cukup sesuai bermain di belakang Wayne Rooney dalam formasi pasukannya.  

Kevin Prince Boateng
Spekulasi media-media di Itali tidak berhenti setakat itu sahaja apabila Ferguson turut dikaitkan dengan minatnya terhadap bintang Napoli, Ezequeil Lavezzi. Lavezzi memang sudah lama dikaitkan akan berhijrah selepas kegagalan Napoli melayakkan diri kesaingan Liga Juara-Juara musim depan dan dengan klausa 25 juta Pound yang ada dalam kontraknya, Lavezzi memang menjadi sasaran kelab-kelab gergasi Eropah yang lain. Bintang antarabangsa Argentina itu adalah pemain yang patut dijadikan sasaran serius Ferguson berbanding usaha mendapatkan Boateng kerana selain boleh beraksi sebagai penyerang tengah, pemain itu sendiri boleh diletakkan di sebelah kiri, faktor yang mungkin cukup berguna buat Ferguson untuk pasukannya. Selepas kelab tidak menyambung kontrak Michael Owen dan Dimitar Berbatov pula bakal menuju pintu keluar, United dilihat amat memerlukan seorang penyerang tengah yang boleh membantu meringankan tugas Rooney di barisan hadapan.  Untuk itu, United pantas dikaitkan dengan usaha mereka mendapatkan Demba Ba, bintang Senegal yang menyerlah bersama Newcastle United musim ini bagi menggantikan Berbatov dan Owen.  Ba memiliki klausa dalam kontraknya yang memungkinkan dia boleh meninggalkan kelab dengan yuran perpindahan hanya 7 juta Pound.  Dengan situasi kontrak Ba dan jumlah sebanyak itu (7 juta Pound), Ba adalah sasaran paling mudah dan murah berbanding jika United meletakkan Lavezzi dan Boateng dalam senarai sasaran mereka.

Kevin Strootman
Masalah kesihatan yang dialami Darren Fletcher masih menjadi tajuk utama yang hangat diperkatakan dan Ferguson mungkin melihat situasi ini untuk mendapatkan seorang pemain tengah bertahan musim panas ini.  Antara nama yang sering dikaitkan dan berpotensi mengisi kekosongan Fletcher ialah Kevin Strootman dari PSV Eindhoven. Berita terbaru mengatakan bahawa agen pemain itu, Chiel Dekker menyebut bahawa Strootman akan mengumumkan masa depannya sebaik pusingan akhir Euro 2012 berakhir.  Menurut Dekker, selain United, dua kelab Itali, AC dan Inter Milan turut berminat mendapatkan tandatangan Strootman. Walau bagaimanapun agak sukar untuk pemain antarabangsa Belanda itu meninggalkan Eindhoven memandangkan dia baru menyertai kelab itu musim panas lalu dan kontraknya pula masih berbaki lima tahun lagi.  Strootman dilabel sebagai pengganti Mark van Bommel untuk skuad kebangsaan Belanda dan dengan hanya semusim bersama Eindhoven, pemain berusia 22 tahun itu dilihat akan kekal bermain dan mengembangkan kariernya di Eredivisie setidak-tidaknya untuk tempoh semusim lagi.  Selepas kegagalan memenangi sebarang trofi utama musim ini, United muncul kelab paling aktif dalam tajuk-tajuk utama di akhbar bukan sahaja di kalangan media-media England malah melangkaui hingga ke Perancis dan Itali.  Mungkin setakat ini pemain yang paling hampir dan bakal menyertai United bukan Kagawa, Hazard, Strootman, Boateng, Lavezzi atau Ba sebaliknya Nicolas Gaitan.  Awal bulan ini, media-media di England dan Portugal hangat menyebut bahawa United dan Benfica sudah mencapai persetujuan tentang perpindahan Gaitan ke Old Trafford tetapi kelab akan hanya mengumumkan secara rasmi Julai nanti. Glory Glory Manchester United!!!

25 Mei 2012

UNITED KEMUKA TAWARAN RASMI UNTUK KAGAWA


Manchester United mengorak langkah kedua mereka dalam usaha mendapatkan bintang antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa dengan menawarkan yuran perpindahan sebanyak 13.6 juta Pound kepada Borussia Dortmund. Awal minggu ini, United dan Kagawa membuka langkah awal selepas kedua-dua pihak dikatakan telah mengadakan perbincangan dalam usaha membawa bintang tengah Dortmund itu ke Old Trafford. Menyedari Kagawa turut menarik minat Arsenal, United pantas membuat tawaran secara rasmi kepada Dortmund dan berharap persetujuan antara kedua-dua pihak dapat dicapai dalam waktu terdekat.  Kontrak Kagawa bersama Dortmund hanya berbaki setahun saja lagi dan juara Bundesliga itu baru-baru ini telah pun memberikan isyarat bahawa mereka tidak akan menghalang perpindahan Kagawa. Khabar angin perpindahan Kagawa ke Old Trafford bertiup kencang sejak April lalu apabila United dikatakan antara pasukan paling serius ingin menandatangani bintang tengah itu. Reputasi Kagawa bersama Dortmund  menguatkan lagi keinginan United membawa masuk pemain itu bagi memperkuatkan jentera tengah mereka bagi menghadapi saingan musim depan.  12 Mei lalu, Sir Alex Ferguson dan penolongnya Mike Phelan turut hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Jerman yang menemukan Dortmund dan Bayern Munich. Dalam perlawanan itu Kagawa beraksi cemerlang mengemudi bahagian tengah Dortmund dan menyumbangkan gol pembukaan disebalik kemenangan 5-2 mereka ke atas Munich. Pengendali Arsenal, Arsene Wenger dikatakan turut kagum dengan prestasi cemerlang Kagawa yang tiba di Jerman selepas Piala Dunia 2010 dengan yuran perpindahan sekitar 350,000 Euro sahaja. Kehadirannya nyata memberikan impak besar terhadap skuad Jurgen Klopp, di mana dia menjaringkan 29 gol dari 71 penampilan terakhir bersama Dortmund, selain turut memainkan peranan utama dalam membantu Robert Lewandowski menghasilkan hatrik diperlawanan akhir Piala Jerman tempohari.  Bersama skuad kebangsaan pula, Kagawa menjaringkan 10 gol dari 30 penampilan antarabangsanya.  Glory Glory Manchester United!!!

24 Mei 2012

BERBA AKAN DITUKAR DENGAN LEWANDOWSKI?


Manchester United nampaknya akan mengamuk di pasaran perpindahan pemain musim panas nanti selepas gagal meraih sebarang trofi utama musim ini.  United memerlukan nafas baru disemua posisi bagi memberikan keseimbangan di bahagian pertahanan, menjadikan bahagian tengah mereka lebih kreatif dan mencari pendamping buat Wayne Rooney di bahagian hadapan. Sebaik musim berakhir, United pantas dikaitkan dengan beberapa nama seperti Nico Gaitan, Javi Martinez, Leighton Baines, Shinji Kagawa, Eden Hazard, Michu, Luka Modric, Ezequeil Lavezzi dan Robert Lewandowski. Sir Alex Ferguson nampaknya sudah melihat pengganti sesuai buat Dimitar Berbatov untuk diletakkan bersama-sama Rooney di bahagian hadapan, selepas Berbatov sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa masa untuknya bersama United sudah tamat.  Pemain yang dimaksudkan akan menggantikan tempat Berbatov ialah penyerang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski.  Bagi mengurangkan kos perpindahan, United dikatakan akan meletakkan Berbatov sebagai pertukaran bagi mendapatkan khidmat penggempur antarabangsa Poland itu dari Dortmund.  Berbatov yang pernah beraksi di Bundesliga bersama Bayern Leverkusen pastinya tidak teragak-agak menyertai Dortmund memandangkan mereka akan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan sepertimana yang diimpikannya. Walaupun Berbatov hanya diturunkan sebanyak lima kali musim ini dalam saingan Liga Perdana dan menyumbang tujuh gol, ketajaman penyerang itu tetap menarik minat beberapa kelab di Jerman. Michael Owen sudahpun menuju pintu keluar dan dengan prestasi tidak menentu yang dipamerkan Javier Hernandez, Ferguson memang memerlukan seorang penyerang baru bagi mengurangkan beban Rooney ketika memburu gol. Lewandowski akan tampil bersama Poland di Euro 2012 Jun ini, dan jika dia bermain dengan cemerlang, harga penyerang itu tentu akan meningkat sebaik kejohanan empat tahun sekali itu berakhir.  Untuk itu, United seharusnya bergerak cepat bagi memastikan Lewandowski menyarung jersi The Red Devils musim hadapan.  Pada perlawanan akhir Piala Jerman (DFB Pokkal), Lewandowski berjaya membolosi gawang Bayern Munich sebanyak tiga kali dan mengakhiri musim Bundesliga dengan 30 gol serta menghasilkan 10 assist dari 43 perlawanan. Pada usia 23 tahun, Lewandoski adalah penyerang yang mempunyai kemahiran dan kreativiti yang tinggi ketika berada di dalam petak penalti lawan.  Lewandowski  boleh menjadi pasangan sesuai buat Rooney di barisan hadapan United. Glory Glory Manchester United!!!

23 Mei 2012

UNITED KEMUKA TAWARAN UNTUK BAINES


Manchester United telah membuka perbincangan dengan Everton untuk menandatangani pertahanan antarabangsa England, Leighton Baines. Ketua Eksekutif, Manchester United, David Gill dilaporkan telah membentang tawaran bernilai 12 juta Pound kepada Pengerusi Everton, Bill Kenwright untuk membawa Baines ke Old Trafford musim panas ini. Meskipun Kenwright tidak mahu kehilangan pemain tonggak seperti Baines, dan dikatakan meminta tambahan 3 juta Pound lagi dari tawaran asal, The Toffees dijangka menerima tawaran United dan akan melepaskan Baines. United hanya perlu menunggu kata putus dari Baines sendiri tentang masa depannya dan pemain itu dijangka membuat pengumuman rasmi sebelum berangkat bersama skuad kebangsaan ke Ukraine untuk pusingan akhir Euro 2012. Sir Alex Ferguson melihat Baines sebagai pelapis sesuai buat Patrice Evra yang sudahpun menjangkau usia 31 tahun dan mendominasi bahagian kiri pertahanan sejak 6 tahun terakhir. Baines membuktikan kualitinya sejak menyertai Everton dari Wigan Athletic pada 2007 dan menjadi tonggak skuad David Moyes sejak beberapa musim lalu.  Pemain itu mencipta rekod kelab apabila beraksi sebanyak 99 perlawanan berturut-turut untuk Everton sebelum direhatkan pada perlawanan liga menentang Sunderland pada 27 Mac lalu.  Baines masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Everton namun penjualannya bakal memberikan tambahan dana kepada Moyes bagi mencari pemain baru.  Ketika ini Moyes dikatakan mahu mendapatkan kembali khidmat Steven Pienaar secara tetap selepas dipinjamkan dari Tottenham Hotspurs Januari lalu, dan wang hasil penjualan Baines boleh digunakannya untuk membawa kembali Pienaar secara tetap ke Goodison Park. Pada beberapa perlawanan terakhir Everton musim ini, Moyes telah menggunakan Sylvain Distin sebagai bek kiri dan bos Everton itu nampaknya sudah memiliki pengganti Baines di posisi tersebut. Glory Glory Manchester United!!!

21 Mei 2012

CHELSEA SERTAI UNITED DAN CITY DALAM PERLUMBAAN DAPATKAN HAZARD


Pemain tengah LOSC Lille, Eden Hazard mendedahkan bahawa dia masih belum memutuskan kelab dari Liga Perdana mana yang akan disertainya musim panas ini. Bintang antarabangsa Belgium itu yang menjaringkan hatrik disebalik kemenangan bergaya 4-1 ke atas Nancy pada perlawanan terakhir  Ligue 1 semalam, hampir pasti meninggalkan Lille yang menduduki tangga ketiga liga musim ini selepas dia dilaporkan cukup berminat mahu mencuba nasib dalam saingan bolasepak di England. Terbaru, Hazard mendedahkan Chelsea menyertai dua kelab Manchester (United dan City) dalam perlumbaan mendapatkan tandatangannya, dan dengan trofi Liga Juara-Juara yang baru mereka julang, Chelsea tentunya menawarkan sedikit kelainan kepada Hazard berbanding United dan City. Bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Hazard memberitahu bahawa ejennya telah berada di bandar Manchester untuk perbincangan kontrak tetapi Chelsea kemudiannya datang dengan tawaran yang cukup baik. Menurut Hazard, sukar untuknya menentukan kelab mana yang bakal disertainya musim panas ini dan hanya akan mengumumkan destinasinya secara rasmi sebaik menandatangani kontrak dengan kelab terbabit. Kehadiran Chelsea dalam perebutan mendapatkan tandatangan bintang tengah itu nyata membuatkan Hazard teragak-agak dalam menentukan halatuju kariernya musim hadapan.  Hazard memberitahu pemberita bahawa dia ingin meredakan sebentar spekulasi tentang masa depannya dan ingin menyertai skuad kebangsaan sebelum pergi bercuti.

Berita-Berita Lain:

UNITED BAKAL KEHILANGAN NANI?

Manchester United diberitakan bakal kehilangan khidmat Nani musim panas ini selepas masa depan pemain antarabangsa Portugal itu di Old Trafford menjadi tanda tanya. Kontrak Nani bersama United masih berbaki dua tahun lagi namun sehingga kini tiada kata sepakat dicapai antara kedua-dua pihak dalam soal lanjutan kontrak. Selepas menyaksikan pasukannya menamatkan musim ini tanpa trofi utama,  Ferguson sudah tentu akan melakukan beberapa perubahan dalam skuadnya dan mungkin menjual beberapa pemain yang dilihat kurang serius dalam soal perbincangan kontrak baru termasuk Nani. Dengan adanya Ashley Young yang dibawa masuk musim panas lalu dan Luis Antonio Valencia pula dianggap pemain terbaik United di sebelah kanan, apakah Ferguson merasakan dia mampu untuk menimbang penjualan Nani musim panas ini?  Untuk rekod, Nani telah membuat 195 penampilan  untuk United sejak berpindah dari Sporting Lisbon hampir lima tahun lalu dan sudah menjaringkan 36 gol.

TOLAK JUVENTUS, VALENCIA INGIN KEKAL DI OLD TRAFFORD

Pemain sayap Manchester United, Luis Antonio Valencia menegaskan komitmen penuhnya untuk kelab dan ingin terus kekal di Old Trafford.  Valencia yang dibawa masuk dari Wigan Athletic pada 2009 mengatakan dia gembira dengan kehidupannya di bandar Manchester dan ingin meneruskan kontraknya bersama United yang masih berbaki 3 tahun. Juventus dikatakan muncul kelab paling serius cuba memancing khidmat Valencia musim panas ini, tetapi pemain antarabangsa Ecuador itu mengesahkan kepada El Telegrafo bahawa masa hadapannya adalah bersama United dan tidak bercadang menyertai mana-mana pasukan musim hadapan.