26 Mei 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: KAGAWA, BOATENG, LAVEZZI, STROOTMAN DAN DEMBA BA


Shinji Kagawa
Ketika masih ternanti-nanti keputusan Eden Hazard tentang masa depannya, Manchester United diberitakan terus ghairah memburu tandatangan Shinji Kagawa. Selepas tawaran 13 juta Pound terhadap Kagawa ditolak Borussia Dortmund, United nampaknya sedia meningkatkan bidaan mereka menjadi 16 juta Pound bagi mendapatkan bintang tengah itu. Biarpun sedar, akan kehilangan salah seorang pemain berbakat yang pernah mereka miliki, Dortmund nampaknya tidak akan membiarkan Kagawa pergi begitu saja dengan meletakkan sasaran meraih keuntungan berlipat ganda hasil penjualannya. Kagawa menyertai Dortmund dari Cerezo Osaka pada 2010 dengan yuran perpindahan sekitar 300,000 Euro, namun nilai pemain antarabangsa Jepun itu naik berlipat kali ganda selepas dia muncul antara watak penting di sebalik kejayaan Dortmund memenangi kejuaraan Bundesliga dua musim berturut-turut. Selepas isu perpindahan Kagawa dan Hazard, United nampaknya terus menjadi sasaran media yang mengaitkan mereka dengan perpindahan beberapa lagi pemain terkemuka. Terbaru media di Itali menyiarkan berita bahawa Sir Alex Ferguson berminat membawa kembali  bintang AC Milan, Kevin Prince Boateng beraksi di England.  Sejak menyertai Milan dari Portsmouth pada 2010, Boateng muncul tonggak utama Milan di bawah kendalian Massimiliano Allergi dan Ferguson dikatakan melihatnya sebagai pemain yang cukup sesuai bermain di belakang Wayne Rooney dalam formasi pasukannya.  

Kevin Prince Boateng
Spekulasi media-media di Itali tidak berhenti setakat itu sahaja apabila Ferguson turut dikaitkan dengan minatnya terhadap bintang Napoli, Ezequeil Lavezzi. Lavezzi memang sudah lama dikaitkan akan berhijrah selepas kegagalan Napoli melayakkan diri kesaingan Liga Juara-Juara musim depan dan dengan klausa 25 juta Pound yang ada dalam kontraknya, Lavezzi memang menjadi sasaran kelab-kelab gergasi Eropah yang lain. Bintang antarabangsa Argentina itu adalah pemain yang patut dijadikan sasaran serius Ferguson berbanding usaha mendapatkan Boateng kerana selain boleh beraksi sebagai penyerang tengah, pemain itu sendiri boleh diletakkan di sebelah kiri, faktor yang mungkin cukup berguna buat Ferguson untuk pasukannya. Selepas kelab tidak menyambung kontrak Michael Owen dan Dimitar Berbatov pula bakal menuju pintu keluar, United dilihat amat memerlukan seorang penyerang tengah yang boleh membantu meringankan tugas Rooney di barisan hadapan.  Untuk itu, United pantas dikaitkan dengan usaha mereka mendapatkan Demba Ba, bintang Senegal yang menyerlah bersama Newcastle United musim ini bagi menggantikan Berbatov dan Owen.  Ba memiliki klausa dalam kontraknya yang memungkinkan dia boleh meninggalkan kelab dengan yuran perpindahan hanya 7 juta Pound.  Dengan situasi kontrak Ba dan jumlah sebanyak itu (7 juta Pound), Ba adalah sasaran paling mudah dan murah berbanding jika United meletakkan Lavezzi dan Boateng dalam senarai sasaran mereka.

Kevin Strootman
Masalah kesihatan yang dialami Darren Fletcher masih menjadi tajuk utama yang hangat diperkatakan dan Ferguson mungkin melihat situasi ini untuk mendapatkan seorang pemain tengah bertahan musim panas ini.  Antara nama yang sering dikaitkan dan berpotensi mengisi kekosongan Fletcher ialah Kevin Strootman dari PSV Eindhoven. Berita terbaru mengatakan bahawa agen pemain itu, Chiel Dekker menyebut bahawa Strootman akan mengumumkan masa depannya sebaik pusingan akhir Euro 2012 berakhir.  Menurut Dekker, selain United, dua kelab Itali, AC dan Inter Milan turut berminat mendapatkan tandatangan Strootman. Walau bagaimanapun agak sukar untuk pemain antarabangsa Belanda itu meninggalkan Eindhoven memandangkan dia baru menyertai kelab itu musim panas lalu dan kontraknya pula masih berbaki lima tahun lagi.  Strootman dilabel sebagai pengganti Mark van Bommel untuk skuad kebangsaan Belanda dan dengan hanya semusim bersama Eindhoven, pemain berusia 22 tahun itu dilihat akan kekal bermain dan mengembangkan kariernya di Eredivisie setidak-tidaknya untuk tempoh semusim lagi.  Selepas kegagalan memenangi sebarang trofi utama musim ini, United muncul kelab paling aktif dalam tajuk-tajuk utama di akhbar bukan sahaja di kalangan media-media England malah melangkaui hingga ke Perancis dan Itali.  Mungkin setakat ini pemain yang paling hampir dan bakal menyertai United bukan Kagawa, Hazard, Strootman, Boateng, Lavezzi atau Ba sebaliknya Nicolas Gaitan.  Awal bulan ini, media-media di England dan Portugal hangat menyebut bahawa United dan Benfica sudah mencapai persetujuan tentang perpindahan Gaitan ke Old Trafford tetapi kelab akan hanya mengumumkan secara rasmi Julai nanti. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan