Dua tahun lalu, nama Shinji Kagawa hampir tidak pernah didengar oleh peminat-peminat bolasepak di luar Jepun, namun kini keadaan sebaliknya berlaku selepas dia menyertai Borussia Dortmund dari Cerezo Osaka pada 2010. Nama Kagawa mula menjadi sebutan selepas dia muncul antara tonggak utama Dortmund yang membantu kelab itu muncul juara Bundesliga selama dua musim berturut-turut. Nama Kagawa semakin kerap menjadi sebutan apabila Sir Alex Ferguson pada penghujung tahun lalu diberitakan cukup berminat membawanya ke Old Trafford semasa jendela perpindahan bulan Januari dibuka. Kini, nama Kagawa disebut hampir setiap hari terutamanya oleh penyokong-penyokong United selepas diberitakan urusan perpindahan pemain tengah itu dari Westfalenstadion ke Old Trafford semakin hampir diselesaikan dengan nilai mencecah 17 juta Euro. Tujuan utama United mendapatkan Kagawa tentunya bukanlah kerana faktor menjual jenama kelab di pasaran Asia sepertimana yang mereka lakukan ketika menandatangani Dong Fangzhou dari Dalian Shide lapan tahun lalu. Kagawa adalah pemain yang jauh berbeza dari Fangzhou kerana dia sudahpun meletakkan namanya di tinta emas dalam sejarah bolasepak di Jepun. Kagawa muncul pemain termuda di Jepun yang menandatangani kontrak profesional pada usia 17 tahun dengan menyertai Cerezo Osaka, dan pada usia 18 tahun, dia berjaya menempatkan dirinya dalam skuad utama Cerezo. Kagawa membuktikan bahawa dia adalah prospek masa depan bolasepak Jepun apabila menyumbangkan 27 gol dari 44 penampilan pada musim 2009 sekaligus membantu Cerezo kembali beraksi di J League setelah tiga tahun bersaing di divisyen dua. Thomas Kroth, agen pemain dari Jerman berjaya menghidu bakatnya dan berjaya membawa Kagawa beraksi di Bundesliga bersama-sama Borussia Dortmund. Selepas menyertai Dortmund pada musim panas 2010, Kagawa memperlihatkan kemampuannya bersaing di liga Eropah dan biarpun dia terlepas hampir separuh musim kerana kecederaan, Dortmund muncul juara Bundesliga musim tersebut selepas kali terakhir memenanginya pada 2002. Debut Kagawa di Eropah membuahkan hasil apabila dia disenaraikan dalam kesebelasan terbaik Bundesliga musim 2010/11 dan musim ini pula dia dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Bundesliga 2011/12.
Bersama skuad kebangsaan Jepun dan Dortmund, Kagawa menunjukkan bahawa dia adalah pemain tengah yang cukup berbahaya dalam mencipta peluang ketika bola berada dikakinya, baik melalui percubaan ataupun umpanan-umpanan kepada barisan hadapan Dortmund. Tidak hairanlah, Kagawa kini menjadi ikon baru bukan saja di Westfalenstadion malah di negaranya sendiri apabila wajahnya sering muncul dalam majalah, iklan hinggalah ke permainan video. Populariti Kagawa mengatasi seniornya yang beraksi di Inter Milan, Yuto Nagatomo dan juga penyerang CSKA Moscow, Keisuke Honda. Tidak seperti Nagatomo yang suka berjenaka, manakala Honda pula terkenal dengan kehidupan yang agak liar, Kagawa adalah individu yang sangat pemalu. Maka dengan sebab itulah Kagawa berjaya menjauhkan dirinya dari lensa kamera ketika berada di luar padang manakala kehidupan peribadinya pula kurang mendapat liputan media. Hal ini bagaimanapun pastinya tidak akan berlaku di England dan jika Kagawa memang sudah ditakdirkan akan menyertai United, dia perlu membiasakan dirinya dengan kehidupan glamour seorang bintang bolasepak. Di Old Trafford, Kagawa akan berkongsi bilik persalinan dengan barisan bintang United yang lain seperti Wayne Rooney, Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Paul Scholes, Patrice Evra dan lain-lain. Bukan saja perlu berdepan nama-nama besar United di padang latihan, Kagawa juga perlu menyesuaikan dirinya dengan corak pengurusan berdisiplin dan tegas dari god father United sendiri iaitu Sir Alex Ferguson. Apapun yang berlaku, Jepun terutamanya dan Asia patut berbangga kerana pemain kelahiran Kobe ini nampaknya semakin hampir menyarung jersi merah keramat The Red Devils musim hadapan. Kekecewaan penyokong-penyokong United kerana keputusan Eden Hazard memilih Chelsea tentunya akan terubat dengan kehadiran Kagawa nanti. Apakah Kagawa mampu mempamerkan bakatnya di England sepertimana yang dia tunjukkan selama dua musim di Westfalenstadion...tunggu saja aksi Kagawa di tengah padang nanti. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan