Manchester United mengorak langkah kedua mereka dalam usaha mendapatkan bintang antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa dengan menawarkan yuran perpindahan sebanyak 13.6 juta Pound kepada Borussia Dortmund. Awal minggu ini, United dan Kagawa membuka langkah awal selepas kedua-dua pihak dikatakan telah mengadakan perbincangan dalam usaha membawa bintang tengah Dortmund itu ke Old Trafford. Menyedari Kagawa turut menarik minat Arsenal, United pantas membuat tawaran secara rasmi kepada Dortmund dan berharap persetujuan antara kedua-dua pihak dapat dicapai dalam waktu terdekat. Kontrak Kagawa bersama Dortmund hanya berbaki setahun saja lagi dan juara Bundesliga itu baru-baru ini telah pun memberikan isyarat bahawa mereka tidak akan menghalang perpindahan Kagawa. Khabar angin perpindahan Kagawa ke Old Trafford bertiup kencang sejak April lalu apabila United dikatakan antara pasukan paling serius ingin menandatangani bintang tengah itu. Reputasi Kagawa bersama Dortmund menguatkan lagi keinginan United membawa masuk pemain itu bagi memperkuatkan jentera tengah mereka bagi menghadapi saingan musim depan. 12 Mei lalu, Sir Alex Ferguson dan penolongnya Mike Phelan turut hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Jerman yang menemukan Dortmund dan Bayern Munich. Dalam perlawanan itu Kagawa beraksi cemerlang mengemudi bahagian tengah Dortmund dan menyumbangkan gol pembukaan disebalik kemenangan 5-2 mereka ke atas Munich. Pengendali Arsenal, Arsene Wenger dikatakan turut kagum dengan prestasi cemerlang Kagawa yang tiba di Jerman selepas Piala Dunia 2010 dengan yuran perpindahan sekitar 350,000 Euro sahaja. Kehadirannya nyata memberikan impak besar terhadap skuad Jurgen Klopp, di mana dia menjaringkan 29 gol dari 71 penampilan terakhir bersama Dortmund, selain turut memainkan peranan utama dalam membantu Robert Lewandowski menghasilkan hatrik diperlawanan akhir Piala Jerman tempohari. Bersama skuad kebangsaan pula, Kagawa menjaringkan 10 gol dari 30 penampilan antarabangsanya. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan