Siapakah sebenarnya Klaus Toppmoller? Jika Sir Alex Ferguson mengambil keputusan untuk bersara sepertimana yang dirancangkannya pada tahun 2002, Toppmoller adalah individu yang disebut-sebut akan menggantikan Ferguson di Old Trafford. Warga Jerman itu telah memberikan kesan besar ketika bersama Bayern Leverkusen dan berada di senarai teratas individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Pengurus United, selepas Ferguson sendiri mengumumkan pada malam tahun 2001 bahawa musim itu (2001/02) bakal menjadi musim terakhirnya bersama United. Selepas Ferguson menarik balik hasratnya untuk bersara, Leverkusen di bawah kendalian Toppmoller muncul pencabar hebat di liga domestik dan juga Eropah apabila mereka berjaya melayakkan diri ke pentas final Liga Juara-Juara, menduduki tangga kedua Bundesliga di belakang Borussia Dortmund dan mara ke perlawanan akhir Piala Jerman. Leverkusen bagaimanapun tewas 1-2 kepada pasukan pilihan Real Madrid yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Zinedine Zidane, Raul Gonzalez dan Ronaldo di perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang diadakan di Hampden Park. Di perlawanan akhir Piala Jerman pula, Leverkusen tewas 2-4 kepada Schalke 04 dan sembilan bulan kemudian Toppmoller dipecat. Toppmoller tidak bersendirian dalam senarai jurulatih yang disebut-sebut bakal menggantikan Ferguson, kerana bekas pemain United sendiri seperti Steve Bruce dan Roy Keane yang melaksanakan tugas mereka dengan agak cemerlang bersama Sunderland, Wigan Athletic, Birmingham City dan Ipswich Town turut disenaraikan sebagai pengganti ideal buat Ferguson. Akhirnya, Bruce dan Keane sendiri menerima nasib yang sama seperti Toppmoller apabila mereka di pecat dari jawatan masing-masing walaupun Keane berjaya membawa Sunderland muncul juara Liga Kejuaraan pada musim 2006/07 sekaligus membawa kembali kelab itu beraksi di Liga Perdana.
Ferguson sering menekankan aspek kesihatan adalah faktor utama yang menjadi pertimbangannya dalam menentukan bila dia akan bersara. Baru-baru ini Ferguson terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pendarahan hidung dan berita ini meningkatkan spekulasi bahawa warga Scotland itu akan bersara dalam tempoh terdekat. Sahabat baik Ferguson di Wigan Athletic, Dave Whelan mengeluarkan kenyataan bahawa akan berlaku kekosongan jawatan Pengurus United dalam tempoh setahun lagi tetapi Ferguson pantas menafikan perkara itu. Beberapa nama yang dikaitkan sebagai pengganti Ferguson perlu bersedia dan mempersiapkan diri mereka mulai sekarang memandangkan usia Ferguson yang bakal menjangkau 71 tahun Disember ini, dan taraf kesihatannya memungkinkan beliau bersara sebaik musim 2012/13 berakhir. Ketika ini nama bekas jurulatih Barca, Pep Guardiola antara yang cukup hangat diperkatakan bakal menduduki kerusi panas milik Ferguson. Pada usia 41 tahun, Guardiola berjaya menerajui Barcelona memenangi 14 trofi dalam tempoh empat tahun bersama kelab Catalan itu. Guardiola menghantui United dalam dua final Liga Juara-Juara apabila dia berjaya membawa Barca menewaskan United di Rome (2009) dan Wembley (2011). Walaupun Roman Abramovich mempunyai idea untuk membawa Guardiola ke Stamford Bridge, warga Sepanyol itu mengatakan bahawa dia ingin berehat dan melupakan sebentar dunia bolasepak serta ingin menetap di New York selepas meletakkan jawatan di Barca. Seseorang yang mengambil keputusan untuk berehat selepas hanya empat musim mengemudi sebuah kelab bolasepak bukanlah calon sesuai untuk menggantikan tempat Ferguson.
Ole Gunnar Solskjaer merupakan nama yang turut disebut-sebut memiliki potensi menggantikan tempat Ferguson. Sepertimana Keane dan Bruce, Solskjaer juga adalah bekas pemain dan lagenda The Red Devils yang menceburi bidang kejurulatihan selepas bersara sebagai pemain. Solskjaer membuktikan kemampuannya sebagai pengurus apabila berjaya membawa bekas kelab yang diwakilinya ketika zaman remaja, Molde FK menjuarai Liga Perdana Norway buat pertama kali dalam sejarah kelab. Lebih manis kejayaan Molde FK hadir ketika musim pertama Solskjaer bersama-sama kelab tersebut selepas berpindah dari Manchester, hingga meletakkan dia berada di senarai teratas pengurus yang paling dikehendaki. Pemilik Aston Villa, Randy Lerner sanggup terbang ke Norway untuk bertemu dengan Solskjaer bagi berbincang tentang kekosongan jawatan pengurus di Villa Park namun tawaran Lerner ditolak Solskjaer atas alasan keluarga. Mungkin juga Solskjaer sudah mempunyai rancangan tentang masa depannya dan akan hanya kembali semula ke England selepas dia benar-benar sudah bersedia. Solskjaer sebenarnya bertindak bijak apabila menolak tawaran Lerner dan tidak terpengaruh atas pretasi cemerlang semusimnya di Molde FK dengan menerima tawaran Villa. Jika ditakdirkan dia gagal di Villa Park, laluan Solskjaer untuk menggantikan tempat Ferguson tentunya akan tersasar dan pilihan untuk kekal bersama Molde FK buat tempoh setahun atau dua lagi adalah langkah yang tepat.
Ramai juga yang menyebut bahawa Jose Mourinho sebagai antara individu yang berpeluang besar mengambilalih tempat Ferguson. Mourinho baru berusia 49 tahun dan memiliki rekod cemerlang sebagai pengurus apabila berjaya memenangi trofi Liga Juara-Juara dengan dua pasukan berbeza (FC Porto dan Inter Milan). Selain itu Mourinho juga cukup terkenal kerana memiliki ego yang tinggi serta mampu menyerap tekanan, dan ciri-ciri seperti itu memang sesuai mengisi jawatan Pengurus United. Bagaimanapun ramai berpendapat gaya permainan yang diterapkan Mourinho ketika bersama Chelsea tidak akan menggembirakan penyokong-penyokong United di Old Trafford apatalah lagi selepas mereka disajikan dengan gaya menyerang selama 25 tahun di bawah kendalian Ferguson. Bagaimanapun harus diakui, Madrid di bawah Mourinho baru saja menyingkirkan Barca dari perebutan kejuaraan La Liga dan mereka menjaringkan 121 gol dalam saingan liga musim ini. Statistik ini menunjukkan Mourinho sebenarnya bukanlah seorang pengurus yang gemar menerapkan corak permainan negatif dalam permainan. Sepertimana Ferguson sendiri, Mourinho juga tidak dapat menahan naluri menyerang jika mempunyai pemain yang mampu melaksanakan tugas tersebut. Di Real Madrid, Mourinho mempunyai Cristiano Ronaldo dan Mesut Ozil, pemain yang cukup berjaya menggalas tugas dan menjayakan strategi menyerang Mourinho. Mourinho baru saja menandatangani lanjutan kontrak bersama Real sehingga 2016 tetapi Los Blancos juga cukup terkenal dengan kekerapan mereka menukar pengurus hingga menyaksikan seramai 10 orang pengurus datang dan pergi di Bernabeu dalam tempoh 9 tahun. Mungkin juga Mourinho tidak terkecuali jika diambilkira kenyataan-kenyataan yang dibuatnya sebelum ini bahawa mengisi jawatan Pengurus Manchester United adalah impian terbesar dalam kerjayanya. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan