19 Disember 2012

LIMA LAGENDA UNITED SEPANJANG ZAMAN


Memilih siapa pemain terbaik Manchester United sepanjang zaman bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan ramai bakat luar biasa muncul selama beberapa dekad kebelakangan ini. Jadi untuk membuat keputusan bagi memilih siapa terbaik di antara yang terbaik adalah sesuatu yang mustahil. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah menyenarai lima pemain terbaik sepanjang zaman yang pernah menyarung jersi United, mengambilkira aspek seperti sumbangan yang mereka berikan, peranan mereka dalam pasukan, impak yang mereka tinggalkan dan jangkamasa mereka bermain bersama kelab. Lima pemain yang disenaraikan ini adalah nama besar dan mereka adalah lagenda sebenar. Masing-masing telah memberikan sumbangan dan memainkan peranan mereka sendiri hinggakan United berdiri dengan megah hingga ke hari ini.

1.  RYAN GIGGS

Ryan Joseph Giggs tanpa perlu diragui lagi adalah pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris. Sudah melakukan lebih 900 penampilan untuk Manchester United, Giggs adalah fenomena dan masih lagi memperlihatkan sinarnya walaupun baru menyambut ulang tahun ke-39 baru-baru ini. Untuk mengekalkan prestasi dan bermain selama 20 tahun dalam saingan tertinggi seperti Liga Perdana England bukanlah sesuatu yang mudah. Giggs  adalah satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap musim sejak Liga Perdana diperkenalkan. Sejak melakukan penampilan pertamanya pada Mac 1991 Giggs membuktikan dia pemain yang benar-benar konsisten dan bermain tidak kurang dari 25 perlawanan setiap musim. Kualiti dan bakat yang ditunjukkannya selama dua dekad memukau perhatian dan dia adalah cermin buat pemain-pemain muda United untuk dijadikan contoh terbaik seorang pemain profesional tulen. Selama lebih dari dua dekad, Giggs sudah memenangi 12 trofi Liga Perdana, empat Piala FA, tiga Piala Liga dan dua Liga Juara-Juara serta memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA pada usia 37 tahun. Apa yang sudah dicapainya amat mustahil untuk di atasi oleh mana-mana pemain selepas ini.

2.  SIR BOBBY CHARLTON

Bobby Charlton adalah pemain tengah paling berbakat pernah dilahirkan England. Sir Bobby Charlton bukan saja lagenda Manchester United tetapi beliau adalah ikon bolasepak dunia. Sir Bobby adalah anggota dari skuad Three Lions yang memenangi Piala Dunia 1966, berfungsi sebagai pemain tengah menyerang yang mendominasi permainan selama 17 tahun dengan megahnya. Menjaringkan 199 gol dari 606 perlawanan adalah sesuatu yang cukup luar biasa buat seorang pemain tengah sepertinya. Pada 1968, Sir Bobby menjaringkan dua gol sebagai ketua pasukan untuk membantu United muncul kelab pertama England menjulang Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara). Hanya baru-baru ini rekod penampilannya untuk United berjaya dipecahkan Ryan Giggs tetapi Sir Bobby masih lagi seorang pemenang anugerah Ballon d’Or (1966). Charlton bangkit semula dari nahas udara Munich (Tragedi Munich) dengan memberikan segala yang ada pada dirinya untuk kelab. Pada usia 75 tahun, Sir Bobby kini adalah duta utama Manchester United, sesuai dengan apa yang sudah diberikan selama ini, baik ketika masih bermain ataupun selepas bersara.

3.  GEORGE BEST

Selain Pele dan Maradona, George Best diiktiraf sebagai bakat luar biasa yang pernah menghiasi bolasepak dunia. Malangnya Best meninggal dunia pada usia 59 tahun selepas berdepan masalah ketagihan alkohol yang kronik. Best menjaringkan 137 gol dari 361 penampilan, 11 tahun aksinya di Old Trafford meninggalkan memori sukar dilupakan bukan saja bagi generasi ketika itu tetapi juga generasi penyokong-penyokong United seterusnya. Bagi yang berkesempatan menyaksikan aksinya secara langsung ketika itu, mereka sebenarnya cukup bertuah. Dianugerahkan rupa yang tampan, Best adalah selebriti bolasepak sebenar kerana kelibatnya tidak hanya menjadi perhatian ketika di dalam padang malah turut menjadi buruan peminat ketika di luar padang. Best adalah bakat yang sukar dicari ganti, berjaya membantu United memenangi Piala Eropah pada 1968 dan diumumkan pemenang Ballon d’Or tahun yang sama. Masalah ketagihan alkohol yang membelenggu kehidupannya turut menganggu prestasinya sebagai pemain. Best akhirnya terpaksa meninggalkan Old Trafford dengan berat hati dan tidak pernah menemui kelab yang sesuai dengan dirinya meskipun mencuba selama sepuluh tahun. Tugunya didirikan di Old Trafford untuk dikenang bahawa dia adalah “pemain yang memainkan bolasepak dengan indah”. 

4.  DENIS LAW

Denis Law memulakan karier bersama kelab Huddersfield Town, Manchester City dan Torino, tetapi tempoh 11 tahunnya bersama Manchester United menyebabkan beliau dikenali selamanya sebagai lagenda. United menandatangani Law dengan nilai £115,000 sekaligus rekod baru Inggeris ketika itu. Keputusan mendapatkan khidmat Law benar-benar satu keputusan yang tepat apabila penyerang Scotland itu menjaringkan 237 gol dari 404 penampilannya. Law ketika itu muncul satu-satunya pemain Scotland yang pernah disenaraikan dalam anugerah Pemain Terbaik Eropah dan berada di tempat kedua sebagai penjaring gol terbanyak United sepanjang zaman di belakang Sir Bobby Charlton. Masih diingati sebagai `Raja’ dan `Lawman’ oleh peminat-peminatnya hingga kini. Kunjungan ke Old Trafford akan disambut dengan tugu Law, Charlton dan Best di perkarangan Theatre of Dreams mengabadikan lagenda berusia 72 tahun itu sebagai salah seorang pemain terbaik pernah beraksi di Old Trafford.

5.  ERIC CANTONA

Dilihat oleh ramai pihak sebagai pencetus kepada kebangkitan semula Manchester United di era 90 an. Cantona juga boleh dilabelkan sebagai seorang pemain bolasepak paling mengujakan pada era boalsepak moden. Cantona adalah ikon di Old Trafford menjadikan penampilannya di dalam mahupun luar padang sentiasa menjadi perhatian ramai. Leeds United sepatutnya menyesal apabila membiarkan Cantona menyertai United dengan nilai £1.2 juta. Walau bagaimanapun ramai yang tidak mengetahui bahawa Cantona sebenarnya bukanlah pilihan pertama Sir Alex Ferguson. Sebelum mendapatkan Cantona, Sir Alex pernah cuba mendapatkan David Hirst, Matt Le Tissier dan Brian Deane tetapi kesemua tawarannya ditolak. Namun ketika Cantona tiba di Old Trafford, beliau sudah menemui bahawa di situlah gelanggang paling sesuai untuk mempamerkan bakat sebenarnya. Cantona berjaya membantu United menang gelaran liga pada musim pertamanya di Old Trafford dengan kelebihan sepuluh mata. Pemain hebat seperti Cantona tidak terlepas dari sebarang kontroversi. Hebat di atas padang, Cantona juga turut dikenali sebagai pemain `kepala angin’. Ketika menentang Crystal Palace, seminit selepas menjaringkan gol sensasi menerusi sepakan gunting, Cantona bertindak di luar dugaan apabila melepaskan tendangan ala kung fu ke atas penyokong lawan yang didakwa menghina ibunya. Kini Cantona memegang jawatan Pengarah Bolasepak Kelab New York Cosmos. Walaupun melalui tempoh yang singkat bersama United, si genius ini meninggalkan impak cukup besar kepada penyokong-penyokong United sepanjang tempoh lima tahunnya di Old Trafford. King Eric akan sentiasa diingati atas apa yang telah disumbangkannya dan peranan yang dimainkannya sepanjang menyarung jersi Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

16 Disember 2012

UNITED HASILKAN PEMAIN ELIT PALING RAMAI BERBANDING KELAB LAIN DI ENGLAND


Manchester United telah melahirkan lebih ramai pemain yang kini bermain dalam lima liga elit di Eropah berbanding mana-mana kelab di England. Akademi United di Carrington menjadi medan buat 24 pemain mengasah bakat dan kini mereka sedang bermain di sekitar Eropah sama ada di Liga Perdana England, La Liga Sepanyol, Serie A Itali, Bundesliga Jerman atau Ligue 1 Perancis. Pemain-pemain ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya tiga tahun waktu remaja mereka selepas diserap ke dalam sistem pembangunan kelab dengan umur paling sesuai untuk dibentuk ialah sekitar 15 hingga 21 tahun, menurut kajian dari CIES Football Observatory yang berpangkalan di Switzerland. Daripada 24 pemain elit yang dilahirkan, lapan daripadanya masih kekal di kelab termasuklah Ryan Giggs, Paul Scholes, Jonny Evans, Tom Cleverley dan Danny Welbeck manakala empat pemain lagi dianggap sebagai `produk sekunder’ oleh CIES iaitu Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan kembar Da Silva yang menghabiskan sekurang-kurang tiga tahun dalam sistem pembangunan kelab lain sebelum menyertai United. 15 pemain lagi bermain untuk kelab-kelab lain seperti Phil Neville di Everton, Ron-Robert Zieler di Hannover 96, Paul Pogba di Juventus dan Ryan Shawcross di Stoke City. Dalam laporan oleh Sportingintelligence.com pula, Akademi Arsenal berada di tangga kedua di England dengan 20 produk, manakala Aston Villa dan Tottenham Hotspurs berkongsi di tangga ketiga dengan 15 produk. Sportingintelligence.com juga menyenaraikan Carrington sebagai akademi bolasepak keempat (berkongsi kedudukan dengan Rennes) paling berjaya di dunia di belakang Barcelona (38 produk), Olympique Lyonnais (31 produk) dan Real Madrid (29 produk). United sudahpun melalui sejarah yang cukup panjang dalam pembangunan pemain-pemain muda dan mereka memang cukup serius dalam hal ini.

Sir Alex Ferguson dan Sir Matt Busby sendiri sudahpun menghasilkan beberapa pemain terhebat di dunia pada era masing-masing. George Best adalah contoh paling ketara dalam hal ini hingga mendorong penyokong-penyokong United melaungkan perkataan ini, “Maradona Good, Pele Better, George Best”. Sir Bobby Charlton dan George Best adalah pemenang anugerah Ballon d’Or pada 1966 dan 1968 selain Cristiano Ronaldo pada 2008 manakala David Beckham dan Duncan Edwards hampir memenanginya apabila masing-masing diumumkan di tempat kedua pada 1957 dan 1999. Beberapa nama besar pernah dilahirkan semasa era Busby Babes hingga Fergie dan ini membuktikan bahawa legasi kelab untuk memastikan kemudahan latihan di Carrington sentiasa kekal sebagai penanda aras bagi pembangunan pemain-pemain muda di England. Ketika pemain-pemain muda melangkah keluar dari bilik persalinan Carrington, mereka akan menyaksikan potret-potret pemain terbaik yang pernah dilahirkan di sini seperti (Bobby) Charlton, (Duncan) Edwards, (David) Beckham dan (Ryan) Giggs di dinding koridor. Potret-potret ini diharapkan akan memberikan inspirasi buat mereka (pemain-pemain muda) dan ianya sudah tentu lebih berbaloi terutamanya apabila memikirkan United terpaksa membelanjakan tiga kali ganda berbanding peruntukkan untuk kemudahan akademi mereka ketika mendapatkan Wayne Rooney pada 2004. Kelab yang membawa masuk pemain muda dan kemudiannya menjadikan mereka pemain hebat lebih dihormati berbanding berbelanja secara mewah membeli nama-nama besar seperti yang dilakukan Chelsea dan Manchester City ketika ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: MISI BALAS DENDAM BERHASIL


Misi balas dendam atas penghinaan yang diberikan penyokong-penyokong Sunderland musim lalu berhasil selepas Manchester United berjaya menewaskan skuad kendalian Martin O’Niell itu 3-1. Pada perlawanan terakhir liga yang menemukan kedua-dua pasukan di Stadium of Light musim lalu, barisan pemain-pemain United diejek penyokong-penyokong Sunderland selepas mereka mengetahui Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan Manchester City ke atas QPR sekaligus mengesahkan kejuaraan liga milik kelab tetangga United itu. Ternyata luka musim lalu masih berbekas buat pemain-pemain United dan mereka menunjukkannya sejak minit awal permainan lagi. Selepas beberapa kali mengeksploitasi kelemahan benteng pertahanan The Black Cats yang diterajui bekas pemain United sendiri, John O’Shea, Robin Van Persie akhirnya menjaringkan gol pembukaan diminit ke-16 menerusi gerakan Ashley Young dari sebelah kiri. United hanya memerlukan tempoh tiga minit untuk menggandakan jaringan apabila lorongan cantik Michael Carrick berjaya disudahkan Tom Cleverley untuk meletakkan United selesa mendahului 2-0 dalam tempoh 20 minit perlawanan. Pesta gol tampak akan berlaku di Old Trafford apabila United terus memberikan tekanan kepada benteng pelawat biarpun selesa mendahului dengan dua gol. Wayne Rooney hampir-hampir menjaringkan gol ketiga United namun rembatan jarak dekatnya diminit ke-23 sedikit melepasi palang gol.

Pelawat sekali sekala cuba memberikan ancaman menerusi gerakan-gerakan Craig Gardner dan James McClean namun tidak cukup untuk membuatkan David de Gea mengutip bola di gawang sendiri dan kedudukan kekal 2-0 hingga wisel separuh masa pertama ditiupkan Chris Foy. Di babak kedua, United terus mengasak untuk melebarkan kedudukan dan selepas mempersia-siakan beberapa peluang keemasan di babak pertama, Rooney akhirnya menemui sentuhan gol apabila menjaringkan gol ketiga United diminit ke-59 selepas menerima hantaran silang Van Persie dari dalam petak penalti. Kecewa dengan barisan hadapannya, O’Niell memasukkan Frazier Campbell diminit ke-68 dan tindakannya itu berhasil apabila bekas penyerang United itu menjaringkan gol tunggal pelawat empat minit selepas dia dimasukkan. Menerusi hantaran lambung Stephane Sessegnon, Campbell mudah menanduk masuk di gawang terbuka untuk memberikan gol saguhati buat pasukannya. Perlawanan ini juga menyaksikan kapten pasukan, Nemanja Vidic beraksi buat pertama kali sejak September lalu apabila masuk menggantikan Rio Ferdinand diminit ke-68. Kemenangan ini mengekalkan jurang enam mata milik United di tangga teratas liga manakala Sunderland pula terperosok di tangga ke-16 liga. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan:

Gol: 3 – 1
Tendangan Sudut: 9 – 9
Percubaan Tepat: 9 – 10
Percubaan Tersasar: 9 – 3
Kekasaran: 13 – 10
Offside: 2 – 1
Penguasaan Bola: 58% - 42%
Kad Kuning: 0 – 0
Kad Merah: 0 – 0

15 Disember 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn SUNDERLAND



Selepas kejayaan menewaskan pencabar kejuaraan, Manchester City di Stadium Etihad minggu lalu sekaligus berjaya mencipta jurang enam mata di tangga teratas liga, United melihat kunjungan Sunderland ke Old Trafford hari ini sebagai peluang terbaik buat mereka melebarkan lagi kedudukan selaku pendahulu. Chelsea berada jauh di Jepun mengharungi cabaran Kejuaraan Kelab Dunia FIFA manakala (Manchester) City pula berdepan tugas sukar menentang Newcastle United di Sports Direct Arena. Jadi peluang beraksi di gelanggang sendiri berdepan kelab di tangga ke-15 liga itu perlu digunakan sebaik-baiknya oleh barisan United untuk mengutip mata maksimum. Sunderland jelas pasukan berbeza berbanding musim lalu apabila kedudukan mereka ketika ini hanya tiga tangga dari zon penyingkiran. Kejayaan menewaskan Reading 3-0 di gelanggang sendiri minggu lalu sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat Martin O’Niell tetapi beliau perlu memastikan skuadnya bemain lebih dari prestasi biasa jika berhasrat melakukan kejutan di Old Trafford, tempat yang mana mereka tidak pernah menang dalam sejarah Liga Perdana. Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan juga jelas tidak memihak kepada The Black Cats apabila kali terakhir mereka menewaskan United ialah pada 1 September 1990 dengan keputusan 2-1. Selepas itu pertemuan seterusnya di dominasi United dengan keputusan paling baik yang pernah dicatatkan Sunderland ialah ketika mengikat  barisan The Red Devils 0-0 di gelanggang  sendiri kira-kira dua tahun lalu. Selepas kejayaan menamatkan rentetan rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri sejak 2010, United menerima suntikan motivasi tambahan berikutan kepulangan semula kapten pasukan Nemanja Vidic selepas pulih dari kecederaan. Pertahanan Serbia itu dijangka kembali digandingkan bersama-sama Rio Ferdinand untuk mengemudi bahagian tengah pertahanan dalam perlawanan ini. 

Cuma apa yang menjadi persoalannya ialah sama ada Vidic sudah benar-benar bersedia bermain semula selepas berehat panjang sejak September lalu. Mungkin juga Sir Alex Ferguson tidak perlu terburu-buru menurunkan tonggak pertahanannya itu memandangkan Vidic baru pulih dari kecederaan serius pada lututnya. Tempoh dua minggu mungkin paling ideal sebelum Vidic benar-benar bersedia mengharungi perlawanan kompetitif selama 90 minit. Nani, Shinji Kagawa, Jonny Evans dan Anderson pula masih kekal dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan tetapi bintang antarabangsa Jepun (Kagawa) dijangka kembali semula minggu hadapan. Bagi Sunderland pula mereka terpaksa meninggalkan beberapa tonggak utama berikutan masalah kecederaan. Antara yang terpaksa diketepikan O’Niell ialah bekas pemain United, Phil Bardsley (lutut), Wes Brown (lutut), Lee Cattermole (lutut) dan Adam Johnson (buku lali). Steven Fletcher yang menjaringkan satu gol ketika mereka menewaskan Reading perlu diberikan perhatian benteng pertahanan United. Penyerang Scotland itu sudah menjaringkan tujuh gol untuk Sunderland dalam semua kejohanan setakat ini, jadi pertahanan United perlu berhati-hati menangani ancaman yang bakal dihadirkan Fletcher. Dalam apa jua keadaan pun, United perlu menang perlawanan ini untuk terus meletakkan penyandang juara musim lalu, City dalam tekanan ketika saingan memasuki tahun baru, tetapi dalam masa yang sama tidak memandang rendah keupayaan skuad Martin O’Niell itu melakukan kejutan. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

Rekod Pertemuan United – Sunderland:

Jumlah Perlawanan: 112
Menang: 52 – 33
Seri: 27 – 27
Kalah: 33 – 52

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Michael Carrick,Tom Cleverley, Antonio Valencia, Ashley Young, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Sunderland:

Simon Mignolet, John O’Shea, Carlos Cuellar, Danny Rose, Stephane Sessegnon, Craig Gardner, James McClean,  Sebastian Larsson, James Vaughan, Jack Colback, Stephen Fletcher

13 Disember 2012

NASRI MEMILIH CITY TAPI CLEVERLEY SEMAKIN BERSINAR UNTUK UNITED


Penghijrahan Samir Nasri ke Manchester City pada musim panas 2011 tentunya satu kehilangan besar buat Arsene Wenger. Bagaimanapun sebelum berlakunya penghijrahan sensasi itu, Nasri juga sempat dikaitkan bakal menyertai Manchester United. Ketika itu ramai yang tertanya-tanya, kelab Manchester mana yang akan diplih pemain antarabangsa Perancis itu. Ramai yang berteka teki sama ada Nasri akan memilih menyarung jersi merah ataupun biru dan ramai juga peminat-peminat United yang berharap agar impian mereka mahu melihat Nasri menyertai United tercapai. Akhirnya semua pesoalan terjawab apabila Nasri memilih tawaran lumayan yang diberikan City berbanding menyertai kelab yang mempunyai latar belakang, tradisi serta sejarah gemilang seperti United. Bagaimanapun ada baiknya Nasri memilih City berbanding United, bukan disebabkan prestasi buruknya ketika pertembungan derby tempohari ataupun City bukanlah pasukan yang betul-betul cemerlang sejak menandatangani Nasri dengan nilai 25 juta Pound dari Arsenal musim lalu. Tom Cleverley adalah sebab utama. Jika Sir Alex berjaya menandatangani Nasri, maka peluang buat Cleverley menyerlah pastinya terbatas. Jika Nasri datang ke Old Trafford, Cleverley tidak akan menikmati peluang tampil dalam kesebelasan utama United seperti yang diperolehinya sekarang. Sir Alex sendiri mengakui bahawa Cleverley tidak akan menjadi pemain yang sebagus sekarang jika Nasri menyertai United walaupun pemain muda itu bermain cemerlang ketika dipinjamkan ke Leicester City, Watford dan Wigan. Musim lalu, Cleverley bermula dengan cemerlang ketika berdepan Tottenham dan Chelsea sebelum mengalami kecederaan buku lali akibat terjahan keras Kevin Davies semasa berdepan Bolton Wanderers. 

Walaupun berjaya kembali semula, Cleverley gagal mengembalikan semula prestasi awal musimnya, mungkin disebabkan hilang keyakinan dan trauma kerana kecederaan serius yang dialaminya. Musim ini, Cleverley sekali lagi memulakan aksi dengan cemerlang, mengemudi bahagian tengah bergandingan dengan Michael Carrick dan Anderson. Cleverley bukanlah pemain yang memiliki fizikal besar dan kuat seperti Yaya Toure, tetapi pemain antarabangsa England itu tidak gentar bersaing dengan jentera tengah City yang lebih berpengalaman dibarisi (Yaya) Toure dan Gareth Barry sepanjang perlawanan derby hujung minggu lalu. Dalam perlawanan itu, Cleverley sentiasa bergerak membantu Wayne Rooney serta Robin Van Persie ketika menyerang dan berada di sebelah Carrick melindungi benteng pertahanan ketika lawan melakukan asakan. Pada usia 23 tahun, Cleverley adalah pilihan tetap Roy Hodgson di bahagian tengah skuad kebangsaan England sejak kebelakangan ini. Gandingannya bersama Carrick ketika England menewaskan Itali pada perlawanan persahabatan Ogos lalu cukup mengesankan. Banyak lagi aspek dalam permainan yang perlu diperbaiki Cleverley untuk muncul sebagai antara pemain tengah terbaik dunia satu hari nanti. Cleverley perlu bekerja keras untuk menjadi pemain yang lebih baik dan tidak mustahil dia akan diiktiraf sebagai lagenda United satu hari nanti atas kerja kerasnya sepertimana yang dinikmati seniornya seperti Paul Scholes dan Ryan Giggs. Kini sudah ada penyokong-penyokong The Red Devils yang tidak mahu Sir Alex meneruskan niatnya membawa Wesley Sneijder ke Old Trafford, Januari ini kerana United sudahpun mempunyai TOM CLEVERLEY. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

12 Disember 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: SELEPAS RVP KINI GILIRAN THEO?


Awal pagi tadi, Arsenal menerima tamparan hebat selepas tersingkir di peringkat suku akhir Piala Capital One oleh kelab dari Liga Dua, Bradford City. Selepas terikat 1-1, perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti dan kegagalan Santi Cazorla, Maruoane Chamakh dan Thomas Vermaelen menyempurnakan sepakan tersebut menyebabkan The Gunners terlepas satu dari piala yang disasarkan mereka musim ini. Beita buruk (tewas kepada Bradford) tidak terhenti setakat ini buat penyokong-penyokong Arsenal, kerana mereka mungkin terpaksa menerima hakikat bakal kehilangan seorang lagi tonggak utama dan idola mereka dalam tempoh terdekat. Lebih memeritkan, selepas Robin Van Persie menyertai kelab paling dibenci mereka musim panas lalu, penyokong-penyokong Arsenal sekali lagi terpaksa berdepan prospek kehilangan seorang lagi bintang kesayangan mereka kepada Manchester United. United diberitakan akan membuat tawaran sensasi bagi membawa keluar bintang antarabangsa England itu dari Stadium Emirates. Selepas membayar 24 juta Pound ke atas Van Persie, Sir Alex Ferguson dijangka melakukan perkara yang sama sekali lagi, kali ini untuk Walcott pula. Diberitakan United juga sudah bersedia memenuhi permintaan gaji sebanyak 100 ribu Pound seminggu yang dibuat Walcott. Van Persie juga dikhabarkan memainkan peranan dalam memujuk Sir Alex supaya menandatangani bekas rakan sepasukannya di Emirates itu selepas Walcott secara terbuka meluahkan rasa kecewa dengan prestasi semasa The Gunners. Walcott baru-baru ini juga sudah menolak tawaran gaji sebanyak 75 ribu Pound seminggu yang dibuat pihak pengurusan Arsenal dan situasi ini boleh digunakan Sir Alex untuk memancing Walcott ke Old Trafford. Selepas menyaksikan suksesnya Van Persie bersama-sama United, faktor ini dilihat boleh mendorong pemain itu untuk mengikut jejak langkah bekas kaptennya itu dengan menjadi sebahagian dari anggota The Red Devils. Dengan masalah prestasi yang dihadapi Ashley Young dan Nani, Walcott dilihat adalah jalan penyelesaian terbaik buat Sir Alex dan bos United itu mungkin boleh memikirkan untuk melakukan perjanjian pertukaran membabitkan kedua-dua pemain sayap itu (Nani dan Walcott) pada jendela perpindahan pemain Januari ini. Persoalannya sekarang adakah Arsene Wenger sedia kehilangan seorang lagi tonggak utama pasukannya kepada United selepas Van Persie, sekaligus membantu seteru utamanya itu meningkatkan lagi kekuatan mereka musim ini? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

11 Disember 2012

MUSIM TERAKHIR GIGGSY?


Musim ini berikutan kurangnya diberikan kesempatan tampil dalam kesebelasan utama, penyokong-penyokong tegar Manchester United sudah mula bertanyakan soalan: Apakah ini musim terakhir untuk Ryan Giggs? Soalan seperti ini mungkin tampak sedikit kasar dan kurang sopan memandangkan apa yang telah lagenda itu berikan sepanjang kariernya yang panjang dan cemerlang di bawah Sir Alex Ferguson. Tidak kiralah sama ada dia masih mahu bermain atau mengambil keputusan bersara selepas ini, Giggs tidak syak lagi adalah pemain terhebat pernah menyarung jersi merah keramat The Red Devils. Selaku pemain, Giggs sudah menang hampir semua kejuaraan di peringkat kelab sama ada di pentas domestik ataupun Eropah dan bermacam-macam lagi pengiktirafan peribadi yang sudah diterimanya. Selepas melakukan penampilan pertamanya pada Mac 1991, Giggs hingga kini sudah bermain lebih 900 perlawanan untuk United, menjaringkan gol dalam kempen Liga Juara-Juara sejak 1994 dan pemegang rekod penjaring gol tertua di saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu pada usia 37 tahun dan 148 hari. Tetapi selepas menyambut hari lahirnya yang ke-39 tahun minggu lalu, lagenda dan ikon bolasepak ini perlu memikirkan apakah dia sepatutnya menggantung but dan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan sebaik musim ini berakhir? Jawapannya cukup mudah, terserah kepada Giggs. Hanya Giggs yang boleh menilai sama ada fizikal dan mentalnya masih mampu mengharungi saingan bolasepak di peringkat tertinggi, dan selepas itu barulah kita tahu bila Giggs akan bersara sebagai pemain. 

Jika diambil kira atas situasi yang berlaku kepada Paul Scholes musim lalu mungkin boleh dijadikan sedikit pengajaran. Scholes secara terbuka mengakui bahawa beliau mengambil keputusan untuk bersara terlalu awal sedangkan naluri untuk bermain masih lagi menebal. Scholes akhirnya mengambil keputusan keluar dari persaraan dan bermain semula sebelum perlawanan derby Manchester di Stadium Etihad Januari lalu. Untuk itu, Giggs juga harus berhati-hati sebelum mengambil sebarang keputusan tentang masa depannya dan mengambil iktibar dari kesilapan yang telah dilakukan Scholes. Bagi mana-mana penyokong yang menganggap musim ini akan menjadi musim terakhir Giggs sebagai pemain, mereka mungkin tersilap. Giggs ialah seorang pemain yang sering menyebabkan pengkritik-pengkritiknya terdiam dan gemar mencabar kebolehannya sendiri. Masih ingatkah lagi anda tentang spekulasi yang bertiup kencang tiga musim lalu yang mengatakan kemungkinan Giggs akan meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Inter Milan dan akan menghabiskan baki kariernya di San Siro? Cakap-cakap itu akhirnya lenyap begitu sahaja, dan Giggs sebaliknya mencipta rekod baru di Old Trafford apabila tampil lebih 900 perlawanan untuk United. Segalanya mungkin boleh berlaku, sama ada Giggs akan bersara penghujung musim ini dan mengendalikan skuad simpanan United ataupun terus bermain. Sir Alex sendiri tiada jawapan apabila ditanya tentang bilakah bintang kesayangannya itu akan bersara, malah bos United itu pernah mengatakan angka (penampilan) ke-1000 tidak mustahil untuk dicapai Giggs. Jadi jangan terkejut apabila anda melihat nama RYAN GIGGS berada dalam senarai skuad utama Manchester United musim hadapan ataupun lagenda itu menyimpan hasrat mahu menyamai pencapaian Stanley Matthews yang bermain hingga umur 50 tahun. Glory Glory Manchester United!!! – A.J