19 Disember 2012

LIMA LAGENDA UNITED SEPANJANG ZAMAN


Memilih siapa pemain terbaik Manchester United sepanjang zaman bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan ramai bakat luar biasa muncul selama beberapa dekad kebelakangan ini. Jadi untuk membuat keputusan bagi memilih siapa terbaik di antara yang terbaik adalah sesuatu yang mustahil. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah menyenarai lima pemain terbaik sepanjang zaman yang pernah menyarung jersi United, mengambilkira aspek seperti sumbangan yang mereka berikan, peranan mereka dalam pasukan, impak yang mereka tinggalkan dan jangkamasa mereka bermain bersama kelab. Lima pemain yang disenaraikan ini adalah nama besar dan mereka adalah lagenda sebenar. Masing-masing telah memberikan sumbangan dan memainkan peranan mereka sendiri hinggakan United berdiri dengan megah hingga ke hari ini.

1.  RYAN GIGGS

Ryan Joseph Giggs tanpa perlu diragui lagi adalah pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris. Sudah melakukan lebih 900 penampilan untuk Manchester United, Giggs adalah fenomena dan masih lagi memperlihatkan sinarnya walaupun baru menyambut ulang tahun ke-39 baru-baru ini. Untuk mengekalkan prestasi dan bermain selama 20 tahun dalam saingan tertinggi seperti Liga Perdana England bukanlah sesuatu yang mudah. Giggs  adalah satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap musim sejak Liga Perdana diperkenalkan. Sejak melakukan penampilan pertamanya pada Mac 1991 Giggs membuktikan dia pemain yang benar-benar konsisten dan bermain tidak kurang dari 25 perlawanan setiap musim. Kualiti dan bakat yang ditunjukkannya selama dua dekad memukau perhatian dan dia adalah cermin buat pemain-pemain muda United untuk dijadikan contoh terbaik seorang pemain profesional tulen. Selama lebih dari dua dekad, Giggs sudah memenangi 12 trofi Liga Perdana, empat Piala FA, tiga Piala Liga dan dua Liga Juara-Juara serta memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA pada usia 37 tahun. Apa yang sudah dicapainya amat mustahil untuk di atasi oleh mana-mana pemain selepas ini.

2.  SIR BOBBY CHARLTON

Bobby Charlton adalah pemain tengah paling berbakat pernah dilahirkan England. Sir Bobby Charlton bukan saja lagenda Manchester United tetapi beliau adalah ikon bolasepak dunia. Sir Bobby adalah anggota dari skuad Three Lions yang memenangi Piala Dunia 1966, berfungsi sebagai pemain tengah menyerang yang mendominasi permainan selama 17 tahun dengan megahnya. Menjaringkan 199 gol dari 606 perlawanan adalah sesuatu yang cukup luar biasa buat seorang pemain tengah sepertinya. Pada 1968, Sir Bobby menjaringkan dua gol sebagai ketua pasukan untuk membantu United muncul kelab pertama England menjulang Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara). Hanya baru-baru ini rekod penampilannya untuk United berjaya dipecahkan Ryan Giggs tetapi Sir Bobby masih lagi seorang pemenang anugerah Ballon d’Or (1966). Charlton bangkit semula dari nahas udara Munich (Tragedi Munich) dengan memberikan segala yang ada pada dirinya untuk kelab. Pada usia 75 tahun, Sir Bobby kini adalah duta utama Manchester United, sesuai dengan apa yang sudah diberikan selama ini, baik ketika masih bermain ataupun selepas bersara.

3.  GEORGE BEST

Selain Pele dan Maradona, George Best diiktiraf sebagai bakat luar biasa yang pernah menghiasi bolasepak dunia. Malangnya Best meninggal dunia pada usia 59 tahun selepas berdepan masalah ketagihan alkohol yang kronik. Best menjaringkan 137 gol dari 361 penampilan, 11 tahun aksinya di Old Trafford meninggalkan memori sukar dilupakan bukan saja bagi generasi ketika itu tetapi juga generasi penyokong-penyokong United seterusnya. Bagi yang berkesempatan menyaksikan aksinya secara langsung ketika itu, mereka sebenarnya cukup bertuah. Dianugerahkan rupa yang tampan, Best adalah selebriti bolasepak sebenar kerana kelibatnya tidak hanya menjadi perhatian ketika di dalam padang malah turut menjadi buruan peminat ketika di luar padang. Best adalah bakat yang sukar dicari ganti, berjaya membantu United memenangi Piala Eropah pada 1968 dan diumumkan pemenang Ballon d’Or tahun yang sama. Masalah ketagihan alkohol yang membelenggu kehidupannya turut menganggu prestasinya sebagai pemain. Best akhirnya terpaksa meninggalkan Old Trafford dengan berat hati dan tidak pernah menemui kelab yang sesuai dengan dirinya meskipun mencuba selama sepuluh tahun. Tugunya didirikan di Old Trafford untuk dikenang bahawa dia adalah “pemain yang memainkan bolasepak dengan indah”. 

4.  DENIS LAW

Denis Law memulakan karier bersama kelab Huddersfield Town, Manchester City dan Torino, tetapi tempoh 11 tahunnya bersama Manchester United menyebabkan beliau dikenali selamanya sebagai lagenda. United menandatangani Law dengan nilai £115,000 sekaligus rekod baru Inggeris ketika itu. Keputusan mendapatkan khidmat Law benar-benar satu keputusan yang tepat apabila penyerang Scotland itu menjaringkan 237 gol dari 404 penampilannya. Law ketika itu muncul satu-satunya pemain Scotland yang pernah disenaraikan dalam anugerah Pemain Terbaik Eropah dan berada di tempat kedua sebagai penjaring gol terbanyak United sepanjang zaman di belakang Sir Bobby Charlton. Masih diingati sebagai `Raja’ dan `Lawman’ oleh peminat-peminatnya hingga kini. Kunjungan ke Old Trafford akan disambut dengan tugu Law, Charlton dan Best di perkarangan Theatre of Dreams mengabadikan lagenda berusia 72 tahun itu sebagai salah seorang pemain terbaik pernah beraksi di Old Trafford.

5.  ERIC CANTONA

Dilihat oleh ramai pihak sebagai pencetus kepada kebangkitan semula Manchester United di era 90 an. Cantona juga boleh dilabelkan sebagai seorang pemain bolasepak paling mengujakan pada era boalsepak moden. Cantona adalah ikon di Old Trafford menjadikan penampilannya di dalam mahupun luar padang sentiasa menjadi perhatian ramai. Leeds United sepatutnya menyesal apabila membiarkan Cantona menyertai United dengan nilai £1.2 juta. Walau bagaimanapun ramai yang tidak mengetahui bahawa Cantona sebenarnya bukanlah pilihan pertama Sir Alex Ferguson. Sebelum mendapatkan Cantona, Sir Alex pernah cuba mendapatkan David Hirst, Matt Le Tissier dan Brian Deane tetapi kesemua tawarannya ditolak. Namun ketika Cantona tiba di Old Trafford, beliau sudah menemui bahawa di situlah gelanggang paling sesuai untuk mempamerkan bakat sebenarnya. Cantona berjaya membantu United menang gelaran liga pada musim pertamanya di Old Trafford dengan kelebihan sepuluh mata. Pemain hebat seperti Cantona tidak terlepas dari sebarang kontroversi. Hebat di atas padang, Cantona juga turut dikenali sebagai pemain `kepala angin’. Ketika menentang Crystal Palace, seminit selepas menjaringkan gol sensasi menerusi sepakan gunting, Cantona bertindak di luar dugaan apabila melepaskan tendangan ala kung fu ke atas penyokong lawan yang didakwa menghina ibunya. Kini Cantona memegang jawatan Pengarah Bolasepak Kelab New York Cosmos. Walaupun melalui tempoh yang singkat bersama United, si genius ini meninggalkan impak cukup besar kepada penyokong-penyokong United sepanjang tempoh lima tahunnya di Old Trafford. King Eric akan sentiasa diingati atas apa yang telah disumbangkannya dan peranan yang dimainkannya sepanjang menyarung jersi Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan