Musim
ini berikutan kurangnya diberikan kesempatan tampil dalam kesebelasan utama,
penyokong-penyokong tegar Manchester United sudah mula bertanyakan soalan: Apakah ini
musim terakhir untuk Ryan Giggs? Soalan seperti ini mungkin tampak sedikit
kasar dan kurang sopan memandangkan apa yang telah lagenda itu berikan
sepanjang kariernya yang panjang dan cemerlang di bawah Sir Alex Ferguson.
Tidak kiralah sama ada dia masih mahu bermain atau mengambil keputusan bersara
selepas ini, Giggs tidak syak lagi adalah pemain terhebat pernah menyarung
jersi merah keramat The Red Devils.
Selaku pemain, Giggs sudah menang hampir semua kejuaraan di peringkat kelab
sama ada di pentas domestik ataupun Eropah dan bermacam-macam lagi
pengiktirafan peribadi yang sudah diterimanya. Selepas melakukan penampilan
pertamanya pada Mac 1991, Giggs hingga kini sudah bermain lebih 900 perlawanan
untuk United, menjaringkan gol dalam kempen Liga Juara-Juara sejak 1994 dan
pemegang rekod penjaring gol tertua di saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu
pada usia 37 tahun dan 148 hari. Tetapi selepas menyambut hari lahirnya yang
ke-39 tahun minggu lalu, lagenda dan ikon bolasepak ini perlu memikirkan apakah
dia sepatutnya menggantung but dan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan
sebaik musim ini berakhir? Jawapannya cukup mudah, terserah kepada Giggs. Hanya
Giggs yang boleh menilai sama ada fizikal dan mentalnya masih mampu mengharungi
saingan bolasepak di peringkat tertinggi, dan selepas itu barulah kita tahu
bila Giggs akan bersara sebagai pemain.
Jika diambil kira atas situasi yang
berlaku kepada Paul Scholes musim lalu mungkin boleh dijadikan sedikit
pengajaran. Scholes secara terbuka mengakui bahawa beliau mengambil keputusan
untuk bersara terlalu awal sedangkan naluri untuk bermain masih lagi menebal.
Scholes akhirnya mengambil keputusan keluar dari persaraan dan bermain semula
sebelum perlawanan derby Manchester
di Stadium Etihad Januari lalu. Untuk itu, Giggs juga harus berhati-hati
sebelum mengambil sebarang keputusan tentang masa depannya dan mengambil iktibar
dari kesilapan yang telah dilakukan Scholes. Bagi mana-mana penyokong yang
menganggap musim ini akan menjadi musim terakhir Giggs sebagai pemain, mereka
mungkin tersilap. Giggs ialah seorang pemain yang sering menyebabkan
pengkritik-pengkritiknya terdiam dan gemar mencabar kebolehannya sendiri. Masih
ingatkah lagi anda tentang spekulasi yang bertiup kencang tiga musim lalu yang
mengatakan kemungkinan Giggs akan meninggalkan Old Trafford untuk menyertai
Inter Milan dan akan menghabiskan baki kariernya di San Siro? Cakap-cakap itu
akhirnya lenyap begitu sahaja, dan Giggs sebaliknya mencipta rekod baru di Old
Trafford apabila tampil lebih 900 perlawanan untuk United. Segalanya mungkin
boleh berlaku, sama ada Giggs akan bersara penghujung musim ini dan mengendalikan
skuad simpanan United ataupun terus bermain. Sir Alex sendiri tiada jawapan
apabila ditanya tentang bilakah bintang kesayangannya itu akan bersara, malah
bos United itu pernah mengatakan angka (penampilan) ke-1000 tidak mustahil
untuk dicapai Giggs. Jadi jangan terkejut apabila anda melihat nama RYAN GIGGS
berada dalam senarai skuad utama Manchester United musim hadapan ataupun
lagenda itu menyimpan hasrat mahu menyamai pencapaian Stanley Matthews yang
bermain hingga umur 50 tahun. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan