Penghijrahan Samir Nasri ke Manchester City
pada musim panas 2011 tentunya satu kehilangan besar buat Arsene Wenger.
Bagaimanapun sebelum berlakunya penghijrahan sensasi itu, Nasri juga sempat dikaitkan
bakal menyertai Manchester United. Ketika itu ramai yang tertanya-tanya, kelab
Manchester mana yang akan diplih pemain antarabangsa Perancis itu. Ramai yang
berteka teki sama ada Nasri akan memilih menyarung jersi merah ataupun biru dan
ramai juga peminat-peminat United yang berharap agar impian mereka mahu melihat
Nasri menyertai United tercapai. Akhirnya semua pesoalan terjawab apabila Nasri
memilih tawaran lumayan yang diberikan City berbanding menyertai kelab yang
mempunyai latar belakang, tradisi serta sejarah gemilang seperti United.
Bagaimanapun ada baiknya Nasri memilih City berbanding United, bukan disebabkan
prestasi buruknya ketika pertembungan derby
tempohari ataupun City bukanlah pasukan yang betul-betul cemerlang sejak
menandatangani Nasri dengan nilai 25 juta Pound dari Arsenal musim lalu. Tom
Cleverley adalah sebab utama. Jika Sir Alex berjaya menandatangani Nasri, maka
peluang buat Cleverley menyerlah pastinya terbatas. Jika Nasri datang ke Old
Trafford, Cleverley tidak akan menikmati peluang tampil dalam kesebelasan utama
United seperti yang diperolehinya sekarang. Sir Alex sendiri mengakui bahawa
Cleverley tidak akan menjadi pemain yang sebagus sekarang jika Nasri menyertai
United walaupun pemain muda itu bermain cemerlang ketika dipinjamkan ke Leicester
City, Watford dan Wigan. Musim lalu, Cleverley bermula dengan cemerlang ketika
berdepan Tottenham dan Chelsea sebelum mengalami kecederaan buku lali akibat
terjahan keras Kevin Davies semasa berdepan Bolton Wanderers.
Walaupun berjaya
kembali semula, Cleverley gagal mengembalikan semula prestasi awal musimnya, mungkin disebabkan hilang keyakinan dan trauma kerana kecederaan serius yang
dialaminya. Musim ini, Cleverley sekali lagi memulakan aksi dengan cemerlang, mengemudi
bahagian tengah bergandingan dengan Michael Carrick dan Anderson. Cleverley
bukanlah pemain yang memiliki fizikal besar dan kuat seperti Yaya Toure, tetapi
pemain antarabangsa England itu tidak gentar bersaing dengan jentera tengah
City yang lebih berpengalaman dibarisi (Yaya) Toure dan Gareth Barry sepanjang
perlawanan derby hujung minggu lalu. Dalam
perlawanan itu, Cleverley sentiasa bergerak membantu Wayne Rooney serta Robin Van
Persie ketika menyerang dan berada di sebelah Carrick melindungi benteng
pertahanan ketika lawan melakukan asakan. Pada usia 23 tahun, Cleverley adalah
pilihan tetap Roy Hodgson di bahagian tengah skuad kebangsaan England sejak
kebelakangan ini. Gandingannya bersama Carrick ketika England menewaskan Itali pada
perlawanan persahabatan Ogos lalu cukup mengesankan. Banyak lagi aspek dalam
permainan yang perlu diperbaiki Cleverley untuk muncul sebagai antara pemain
tengah terbaik dunia satu hari nanti. Cleverley perlu bekerja keras untuk
menjadi pemain yang lebih baik dan tidak mustahil dia akan diiktiraf sebagai
lagenda United satu hari nanti atas kerja kerasnya sepertimana yang dinikmati seniornya seperti Paul Scholes dan Ryan Giggs. Kini sudah ada
penyokong-penyokong The Red Devils
yang tidak mahu Sir Alex meneruskan niatnya membawa Wesley Sneijder ke Old
Trafford, Januari ini kerana United sudahpun mempunyai TOM CLEVERLEY. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan