19 Mac 2013

BINTANG-BINTANG YANG PERNAH DISINGKIR SIR ALEX


Keputusan Sir Alex Ferguson meletakkan Wayne Rooney di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Real Madrid di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara 6 Mac lalu menyebabkan timbulnya spekulasi tentang masa depan penyerang England itu di Old Trafford. Media pantas meniupkan spekulasi bahawa hubungan dingin antara kedua-dua individu itu (Sir Alex dan Rooney) menjadi sebab utama mengapa nama Wazza tidak berada dalam kesebelasan permulaan United. Bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif terus berlarutan, Sir Alex akhirnya mendedahkan bahawa laporan yang diterbitkan media tentang kemungkinan Rooney akan dijual musim panas nanti sebagai mengarut. Sir Alex turut mengatakan keputusannya tidak menurunkan Rooney dalam perlawanan itu atas alasan taktikal semata-mata dan bukannya disebabkan perkara-perkara negatif lain. Walaupun pendedahan telah dibuat Sir Alex bagi meredakan spekulasi tentang masa depan Rooney, masih banyak pihak sebenarnya kurang yakin bintang England itu akan kekal di Old Trafford musim hadapan. Mereka yang masih ragu-ragu tentang masa depan Rooney ada sebab untuk bersikap demikian jika diambilkira apa yang berlaku ke atas David Beckham sepuluh tahun lalu. Sama seperti situasi yang dialami Rooney, Beckham juga tidak diturunkan ketika United berdepan Real Madrid di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara pada tahun 2003. Keputusan meletakkan Beckham di bangku simpanan mengundang berbagai-bagai andaian hinggakan Sir Alex terpaksa tampil meredakan keadaan dan menafikan bahawa hubungannya dengan Beckham sedang bergolak. Kesudahannya kita semua tahu bagaimana spekulasi itu berakhir di mana Beckham akhirnya meninggalkan Old Trafford pada musim panas 2003. Sir Alex cukup dikenali sebagai seorang pengendali yang tegas dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain meskipun mereka bertaraf bintang dan tonggak utama kelab. Walau bagaimanapun tidak semua pemain bintang yang meninggalkan pasukan disebabkan pertelagahan atau tidak sebulu dengan Sir Alex, Cristiano Ronaldo adalah contoh terbaik. Apakah Wazza senasib dengan Becks? Ramai penyokng-penyokong United berharap Rooney terus kekal hingga ke penghujung kariernya bersama United, dan saya tidak terkecuali. Bagaimanapun jika Rooney benar-benar meninggalkan Old Trafford nanti, penyokong-penyokong United usah terkejut kerana Sir Alex sendiri mempunyai track record menyingkirkan bintang-bintang handalannya sebelum ini. Bagi yang mengikuti perkembangan United sejak sekian lama, terutamanya sejak Sir Alex mengambilalih jawatan pengurus dari Ron Atkinson pada 1986, anda pasti sedar bahawa bukan sedikit pemain-pemain bertaraf bintang yang disingkirkan beliau. Apa yang menariknya, tindakan beliau (menyingkirkan pemain bertaraf bintang) ini tidak menjejaskan pasukan, maka dengan sebab itulah apa saja yang dilakukannya sentiasa mendapat sokongan dari pihak pengurusan dan penyokong-penyokong United sendiri. Untuk itu, di sini disenaraikan beberapa pemain bintang yang terpaksa angkat kaki kerana berkonfrontrasi atau dalam bahasa mudahnya `sengaja cari pasal’ dengan bos United itu sepanjang era beliau berkuasa di Old Trafford.

PAUL MCGRATH (1982-1989)

Paul McGrath menyertai Manchester United dari kelab Ireland, St Patrick Athletic FC pada 1982 dan berjaya membentuk gandingan mantap di benteng pertahanan bersama-sama Kevin Moran. Empat tahun selepas Sir Alex mengambilalih jawatan pengurus United dari Ron Atkinson, McGrath yang merupakan tonggak pertahanan United ketika itu dijual kepada Aston Villa. McGrath merupakan pemain pertahanan yang memiliki skill tinggi dan tenang ketika mengemudi benteng pertahanan, jadi tidak hairanlah jika dia muncul antara pemain yang menjadi kesukaan penyokong-penyokong United ketika itu. McGrath adalah antara tonggak yang berjaya membantu United menjulang Piala FA pada 1985 selepas menewaskan Everton 1-0 dan dinamakan pemain terbaik perlawanan akhir. Bagaimanapun rentetan kecederaan dan hubungan buruknya dengan Sir Alex memaksa dia menamatkan kariernya bersama United dan berhijrah ke Villa Park pada 1989. Musim pertamanya di Villa Park, McGrath membantu The Villans menduduki tangga kedua liga (ketika itu Liga Divisyen 1) dan dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada musim pertama Liga Perdana diperkenalkan (1992-93).

PAUL INCE (1989-1995)

Paul Ince menyertai Manchester United dari West Ham dengan nilai 1 juta Pound pada musim panas 1989. Pembelian Ince menimbulkan kontroversi ketika itu selepas gambarnya memakai jersi United diterbitkan akhbar Daily Express walaupun dia sebenarnya masih belum menandatangani sebarang kontrak bersama United. Ince tampil lebih 200 perlawanan untuk United dan berjaya mengukuhkan kedudukannya di bahagian tengah bersama-sama Brian McClair, Roy Keane dan kemudiannya Nicky Butt. Hubungan Ince dan Sir Alex memasuki fasa kritikal di penghujung musim 1994/95 selepas bos United itu menggelarkan Ince dengan gelaran “bottler”. Sir Alex berang dengan penampilan Ince hingga menyebabkan United terlepas kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers. Seminggu kemudian, Ince tidak disenaraikan ketika United berdepan Everton di perlawanan akhir Piala FA yang menyaksikan United tewas 0-1 kepada The Toffees. Sejak itu hubungan antara Ince dan Sir Alex tidak pernah baik dan akhirnya pemain tengah itu dijual kepada Inter Milan dengan nilai 7.5 juta Pound. Sepanjang tempoh enam tahun bersama United, Ince berjaya memenangi 10 medal kejuaraan utama, namun selepas pulang semula ke England, Ince hanya memenangi satu medal kejuaraan bersama Wolverhampton Wanderers (play off Divisyen 1).

JAAP STAM (1998-2001)

“Perbualan singkat di dalam kereta ketika saya mengisi minyak sudah cukup bagi saya meninggalkan kelab besar itu”, itulah kata-kata Jaap Stam ketika ditanya mengapa dia bertindak meninggalkan Manchester United. Menerusi perbualan singkat itu, Sir Alex berjaya memaksa Stam meninggalkan Old Trafford. Segalanya berpunca dari penerbitan autobiografi bertajuk `Head To Head’ yang ditulis Stam hingga menimbulkan kemarahan Sir Alex. Dalam autobiografinya itu antaranya Stam menyebut bahawa penghijrahannya ke Old Trafford tidak mendapat keizinan dari pihak pengurusan PSV Eindhoven selain mendedahkan bahawa Sir Alex mengarahkan agar pemain-pemainya sengaja menjatuhkan badan ketika perlawanan. Stam menghabiskan tempoh tiga musim dengan begitu cemerlang di Old Trafford apabila berjaya membantu United memenangi tiga kejuaraan liga, satu Piala FA, satu Liga Juara-Juara dan satu Piala Antarabenua. Bagaimanapun disebabkan tuduhan liarnya itu, Stam akhirnya terpaksa dijual dan kelab Itali, Lazio pantas mengeluarkan dana sebanyak 16.4 juta Pound untuk membawa pemain pertahanan itu beraksi di Serie A. Sir Alex mengatakan bahawa kecederaan yang dialami Stam menjadi sebab utama mengapa beliau bertindak menjual pemain pertahanan itu sebelum mengakui itu adalah antara kesilapan terbesar (menjual Stam) pernah dilakukannya.

DWIGHT YORKE (1998-2002)

Gandingan Dwight Yorke bersama Andy Cole berjaya membantu United meraih berbagai kejuaraan dalam tempoh hanya empat tahunnya di Old Trafford. Yorke cukup cemerlang ketika membolosi gawang lawan namun tidak mempunyai formula untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan Sir Alex. Memiliki isteri seorang selebiriti dengan kehidupan penuh glamor, gaya hidup play boy Yorke menjejaskan persembahannya di atas padang. Beberapa insiden yang dicetuskan pemain itu di bilik persalinan sepanjang musim 2001/02 menandakan karier penyerang dari Trinidad & Tobago di Old Trafford menuju fasa akhir. Yorke mengakui dia kembali menjadi penagih alkohol manakala peranannya selaku penggempur utama United yang pernah menyaksikan dia dan Cole dijulang sebagai gandingan paling menggerunkan pernah disaksikan dalam sejarah bolasepak England hingga berjaya membantu The Red Devils menjulang kejuaraan treble pada 1999 kian pudar. Yorke akhirnya menyertai Blackburn Rovers pada Julai 2002.

DAVID BECKHAM (1993-2003)

Ketika United kecundang 0-2 kepada Arsenal dalam saingan Piala FA di gelanggang sendiri pada Februari 2003, ramai pihak menjangkakan pemain-pemain United akan berdepan `hairdryer treatment’ dari Sir Alex. Jangkaan mereka tepat kerana selepas itu foto-foto David Beckham dengan kening bertampal menghiasi dada-dada akhbar di seluruh England. Sebelum insiden itu, Sir Alex mengakui beliau rimas dengan gaya hidup bak selebriti Beckham selepas pemain itu mengahwini bintang pop popular, Posh Spice (Victoria Beckham). Beckham juga diberitakan pernah dihalau Sir Alex dari sesi latihan kerana tiba lewat dan kemuncaknya ialah insiden layangan but di bilik persalinan selepas United tewas kepada Arsenal. Biarpun beberapa kali menafikannya, Sir Alex akhirnya mengakui bahawa beliaulah yang menyebabkan kening Beckham tercedera. “Itu insiden yang aneh. Jika saya mencubanya sekali lagi 100 kali atau sejuta kali sekalipun ia tidak mungkin menemui sasaran”, kata Sir Alex tentang insiden itu. Beckham akhirnya dijual kepada Real Madrid penghujung musim 2002/03 dengan nilai 25 juta Pound.

RUUD VAN NISTELROOY (2001-2006)

Ruud Van Nistelrooy diakui antara penyerang terbaik pernah beraksi di Old Trafford. Gol-gol yang dihasilkannya berjaya membantu United menjulang kejuaraan liga musim 2002/03, Piala FA (2003/04), Perisai Komuniti (2003) dan Piala Liga (2005/06). Sepanjang lima musim bersama United, Nistelrooy menjaringkan 150 gol dari 219 penampilan hingga diiktiraf sebagai mesin gol buat The Red Devils. Biarpun tindakan Sir Alex menandatangani Nistelrooy dari PSV Eindhoven dipertikaikan ramai pihak berikutan rekod kecederaan pemain itu yang agak buruk, Nistelrooy tidak mengambil masa yang panjang untuk menutup mulut pengkritik-pengkritiknya apabila menjaringkan gol demi gol buat United sejak tiba di Old Trafford pada musim panas 2001. Insiden pertelingkahannya dengan Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan musim 2005/06 dan kritikan-kritikan yang dilemparkannya terhadap Sir Alex menjadi penyebab utama Nistelrooy dijual kepada Real Madrid. Di Sepanyol, Nistelrooy berjaya membantu Los Blancos menjuarai La Liga sebanyak dua kali sebelum menyertai Hamburg dan kemudiannya kembali semula ke Sepanyol (menyertai Malaga). Nistelrooy mengumumkan persaraan dari arena bolasepak tahun lalu.

ROY KEANE (1993-2005)

Ramai pihak melihat sifat-sifat Sir Alex ada dalam diri Roy Keane ketika dia beraksi di padang. Keane yang ditandatangani Sir Alex dari Notthingham Forest pada 1993 menjadi simbol kekuatan United di bahagian tengah dari era 90an hingga awal 2000. Selama sedekad, Keane menguasai bahagian tengah United, bermain dalam perlawanan-perlawanan besar, berjaya mengatasi masalah kecederaan dan menyakinkan orang di sekelilingnya tentang apa yang diperlukan untuk menjadi pemain Manchester United. Sepertimana aksinya di atas padang yang sentiasa mencetuskan kontroversi, begitu jugalah Keane ketika di luar padang. Keane pernah menggegarkan kem United pada 2002 apabila mempersoalkan komitmen dan karakter rakan-rakan sepasukannya selepas kelab menamatkan musim 2001/02 tanpa sebarang gelaran. Pada bulan Ogos 2002, Keane didenda 150,000 Pound dan digantung tiga perlawanan kerana menyiku pemain Sunderland, Jason McAteer. Pendedahan Keane bahawa dia sengaja mencederakan Alf Inge Haaland ketika pertemuan derby Manchester pada 2001 hingga menyebabkan pemain Norway itu menamatkan kariernya akibat kecederaan lutut yang serius menyebabkan Keane digantung lima perlawanan oleh FA England. Selepas menjalani pembedahan pinggul, Keane lebih berhati-hati dalam permainan dan cenderung mengelak konfrontasi dengan pemain lain. Ramai pihak menanggap penampilan baru Keane menyebabkan pengaruhnya di atas padang semakin berkurangan dan menganggu gaya permainannya. Hubungan Keane dengan Sir Alex goyah selepas penerbitan autobiografinya dan kritikan yang dilemparkannya terhadap pihak pengurusan ketika kempen pra musim United di Portugal. 18 November 2005, Keane akhirnya meninggalkan Old Trafford selepas 12 tahun menyarung jersi United dengan menyertai kelab Liga Perdana Scotland, Glasgow Geltic.

CARLOS TEVEZ (2007-2009)

Carlos Tevez pernah menjadi pemain pujaan peminat di Old Trafford. Bagaimanapun situasi itu berlaku empat tahun lalu, tetapi kini Tevez adalah musuh nombor satu penyokong-penyokong United. Di penghujung musim 2008/09 hubungan Tevez – Sir Alex mula meruncing selepas pemain Argentina itu mendakwa pengendali United itu tidak serius mengekalkannya di Old Trafford. Hubungan antara kedua-dua pihak mula panas apabila Sir Alex pula mengambil giliran untuk menafikan dakwaan yang dibuat Tevez. Pengendali United itu sebaliknya mendedahkan bahawa pihak pengurusan United memang serius mahu mengekalkan khidmat bekas penyerang West Ham itu tetapi sebaliknya Tevez telah menolak kontrak baru yang ditawarkan. Apapun alasan yang diberikan kedua-dua belah pihak, seteru setempat United, Manchester City bijak mengambil kesempatan dari kemelut yang melanda dua individu ini hingga berjaya menandatangani Tevez pada Julai 2009. Kemuncak kebencian penyokong-penyokong United terhadap Tevez berlaku musim lalu apabila semasa dalam satu perarakan meraikan kejayaan City menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun, pemain Argentina itu mencetuskan provokasi melampau apabila menjulang sepanduk bertulis `RIP FERGIE’. Penyokong-penyokong United sudah pasti tidak sabar-sabar menanti `kepulangan semula’ Tevez ke Old Trafford 9 April nanti apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu untuk aksi saingan liga. Selepas provokasi yang dilakukannya ke atas Sir Alex, pasti ada `sambutan hangat’ yang bakal diberikan penyokong-penyokong United buat Carlitos.

KESIMPULANNYA, besar manapun bintang anda di Old Trafford, anda jangan cuba-cuba cari pasal atau menimbulkan kemarahan individu bernama Sir Alexander Chapman Ferguson. Jika tidak, anda bakal ditunjukkan pintu keluar oleh beliau sepertimana yang berlaku ke atas McGrath, Ince, Stam, Yorke, Beckham, Nistelrooy, Keane dan Tevez. Apakah selepas ini giliran Rooney? Saya harap tidak. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

18 Mac 2013

MASIH BERHARAPKAH MANCINI PADA KEAJAIBAN?


Beberapa hari sebelum berdepan Everton, Roberto Mancini lantang mengatakan kelebihan 12 mata yang dimiliki United ketika itu atas sebab nasib semata-mata dan yakin pasukannya mampu mengejar kedudukan The Red Devils selaku pendahulu liga sepertimana yang dilakukan mereka musim lalu, tetapi kini keadaan jauh berbeza. Selepas tamat perlawanan di Goodison Park kelmarin yang menyaksikan barisan pemain bernilai jutaan Pound kendaliannya tewas 0-2 kepada Everton, Mancini bagai hilang kata-kata. Kekalahan keempat yang dialami City musim ini menyaksikan mereka semakin ketinggalan di belakang United selaku pendahulu liga dan hanya memiliki kelebihan empat mata berbanding kelab di tangga ketiga, Chelsea. Disebabkan terlalu kecewa dan marah, Mancini tidak menghadiri sidang media selepas tamat perlawanan. Hanya kelibat pembantunya, David Platt yang dapat dilihat menjawab pertanyaan wartawan. “Anda sendiri boleh bayangkan apa yang dialami Mancini ketika ini. Dia begitu marah. Dia tidak mahu berdepan masalah lebih besar dalam situasi seperti ini dan dia mahu menenangkan dirinya”, kata Platt. Menurut Platt dia masih tidak percaya dengan keputusan yang diraih pasukannya kelmarin. “Permainan kami tidak seperti yang diharapkan, kami bermain jauh dari prestasi sebenar’, sambung Platt lagi. Situasi yang dialami Mancini ketika itu memang mudah difahami terutamanya ketika saingan liga menuju penghujung musim dan tekanan semakin meningkat. Di penghujung perlawanan Mancini kelihatan berang dengan keputusan pengadil perlawanan yang tidak menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Marouane Fellaini. Lee Probert hanya memberikan sepakan percuma kepada Cty meskipun ulang tayang menunjukkan Fellaini berada dalam petak penalti ketika bola terkena tangannya. Rekod City di Goodison Park memang diakui cukup buruk di mana mereka tewas kesemua empat perlawanan terakhir yang dilangsungkan di sana. Tambah malang, pada perlawanan kelmarin anak-anak buah Mancini gagal mengambil kesempatan apabila The Toffees terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh lebih 30 minit selepas Steven Pienaar dilayangkan kad merah.

Selepas ketinggalan menerusi jaringan Leon Osman di babak pertama, Mancini memasukkan Scott Sinclair dan Samir Nasri di babak kedua untuk menambah sengat barisan hadapannya dalam memburu gol penyamaan. Peluang terbuka luas buat City sebaik saja Pienaar diperintah keluar padang (minit ke-60), di mana mereka dilihat bukan saja boleh mencari gol penyamaan tetapi mampu meraih tiga mata penuh sekaligus menghapuskan badi Goodison Park. Bagaimanapun City dikejutkan oleh persembahan bersemangat barisan pemain Everton yang mempamerkan semangat juang cukup tinggi bagi mempertahankan satu gol yang dimiliki mereka walaupun kekurangan seorang pemain. Biarpun diasak hebat Carlos Tevez dan Edin Dzeko, anak-anak buah David Moyes masih mampu melakukan serangan ke kubu lawan dan hasilnya pemain gantian, Nikica Jelavic menamatkan cabaran City menerusi gol dimasa kecederaan. Kekalahan ini menyaksikan City ketinggalan 15 mata di belakang United dengan baki sembilan perlawanan untuk diharungi. Meskipun peluang mempertahankan kejuaraan liga semakin tipis, sebagai seorang profesional, Platt masih berfikiran positif sambil mengharapkan pemain-pemainnya mempamerkan aksi terbaik pada baki perlawanan selepas ini. “Secara matematiknya kami tidak mungkin mampu mengejar United. Bagaimanapun kami harus bersikap profesional dan cuba meraih mata maksimum pada baki perlawanan selepas ini”, akui Platt. Ya memang benar apa yang diperkatakan Platt dalam sidang media itu. Kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu semakin longgar dari genggaman manakala United pula semakin hampir membawa pulang semula trofi itu (liga) ke Old Trafford. Sebelum perlawanan menentang Everton, Mancini masih bersikap optimis tentang kemampuan pasukannya mengejar United tetapi warga Itali ini kini sedar keajaiban musim lalu sukar berulang kembali. Sebelum perlawanan menentang Eveton juga, Mancini mengatakan kedudukan United di tangga teratas liga banyak dibantu faktor nasib, tetapi kelmarin ketika aksi di Goodison Park anak-anak buahnya gagal mengambil kesempatan atas nasib yang ketika itu menyebelahi mereka untuk meraih tiga mata penuh. Jadi jangan salahkan nasib Mr. Mancini…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

17 Mac 2013

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN: SANJUNGAN BUAT RIO


Rio Ferdinand tidak menjaringkan sebarang gol pada pertemuan menentang Reading awal pagi tadi, tetapi gerakan menarik yang dilakukannya membolehkan Wayne Rooney menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus memberikan tiga mata buat Manchester United. Sebelum gerakan yang menghasilkan gol itu, Ferdy turut terlibat mencipta peluang buat Ashley Young menerusi hantaran jauh yang dilakukannya. Walau bagaimanapun Young gagal menyempurnakan peluang itu apabila sepakannya sedikit tersasar dari pintu gol lawan. Mungkin juga Ferdy mendapat semangat baru selepas dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan England sejak kali terakhir tampil di pentas antarabangsa pada Jun 2011. Peranan besar yang diberikan Ferdy awal pagi tadi hingga terhasilnya gol diminit ke-21 itu mendapat pujian dari Sir Alex Ferguson. Meskipun ramai pihak mengatakan bahawa Ferdy sudah melepasi zaman kemuncaknya hingga pernah diiktiraf sebagai antara pertahanan tengah terbaik dunia, pemain berusia 34 tahun itu berjaya menutup mulut pengkritik-pengkritiknya menerusi persembahan konsisten bersama United sejak akhir-akhir ini. Memang benar, Ferdy tidak sepantas dulu ketika berdepan larian-larian pantas penyerang lawan, tetapi dia tetap masih antara pertahanan terbaik di Liga Perdana ketika ini. Ada yang mengatakan pada usia 34 tahun, karier Ferdy sudah tiba dipenghujungnya, tetapi anda jangan lupa bahawa lagenda AC Milan, Paolo Maldini masih bermain untuk kelab itu pada usia 41 tahun. Jadi Ferdy masih boleh memberikan prestasi terbaiknya dan bermain di peringkat tertinggi sekurang-kurang untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Roy Hodgson tahu peranan besar yang dimainkan Ferdy di benteng pertahanan United, maka dengan sebab itulah beliau tidak teragak-agak untuk menyenaraikan semula nama Ferdy dalam skuad The Three Lions menentang San Marino dan Montenegro minggu hadapan. Ketika zaman mudanya, Ferdy diakui antara pertahanan yang mempunyai skil kawalan bola cukup menarik dan gemar naik ke atas membantu serangan. Hanya pemain yang mempunyai keyakinan tinggi dan dianugerahkan kebolehan menggelecek saja mampu `bermain-main’ dengan penyerang lawan dalam kawasan sendiri seperti mana yang dilakukan Ferdy ketika zaman kemuncaknya. Kalau anda masih kurang percaya, google saja di Youtube dan saksikan sendiri aksi-aksi berani yang pernah dilakukan Ferdy. Ketika sidang medianya selepas tamat perlawanan awal pagi tadi, Sir Alex mengatakan dia sudah lama tidak menyaksikan Ferdy melakukan gerakan solo seperti itu. “Kami di Manchester United sentiasa yakin bahawa Ferdinand memang memiliki kemampuan menyerang melalui bahagian tengah dengan skil kawalan bola yang dimilikinya. Tentu saja dia semakin jarang melakukannya, tetapi hari ini dia kembali menunjukkannya hingga berjaya mencipta jaringan untuk kami”, kata Sir Alex. Kemenangan yang diraih United ini menyaksikan impian The Red Devils untuk menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20 semakin cerah apatah lagi selepas pencabar terdekat, Manchester City tewas di Goodison Park semalam. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: UNITED KINI MILIKI KELEBIHAN 15 MATA


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dan kemudiannya diheret untuk bermain perlawanan ulangan saingan Piala FA, dua kekecewaan itu segera dilupakan barisan pemain Manchester United dan nampaknya mereka masih lagi pasukan yang sukar ditewaskan dalam saingan liga. Kemenangan yang diraih United ke atas Reading awal pagi tadi menyaksikan anak-anak buah Sir Alex Ferguson mengukuhkan cengkaman mereka selaku pendahulu liga. United berjaya mengambil kesempatan atas kekalahan Manchester City kepada Everton lima jam sebelum itu untuk menjarakkan lagi kedudukan di tangga teratas liga kepada 15 mata. Reading yang cuba keluar dari zon penyingkiran jelas berada dalam tekanan sejak awal permainan dan kesempatan itu diambil barisan tuan rumah untuk mencipta peluang terbaik seawal minit ke-14 menerusi Ashley Young. Young yang menerima hantaran jauh dari Rio Ferdinand bagaimanapun menyaksikan sepakannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan. Selang tujuh minit kemudian kebuntuan akhirnya terlerai apabila Ferdinand melakukan larian menarik menewaskan dua pemain lawan sebelum melakukan hantaran kepada Rooney. Penyerang antarabangsa England yang masa depannya di Old Trafford menjadi perbualan ramai pihak itu melepaskan rembatan yang gagal dijangkau Stuart Taylor. Ini merupakan gol ke-12 Rooney dalam saingan liga musim ini.

Meskipun berada di kelompok bawahan liga, Reading adalah antara pasukan yang sering berjaya memaksa United bekerja keras dalam setiap pertemuan mereka. Di penghujung babak pertama, pelawat sempat mengancam menerusi rembatan Hal Robson-Kanu namun sedikit tersasar dari pintu gol United. Babak kedua perlawanan Reading yang berusaha mencari gol penyamaan meningkatkan tekanan kepada benteng pertahanan United. Tuntutan penalti dari pemain-pemain mereka selepas Adrian Mariappa dikasari Nemanja Vidic tidak diendahkan pengadil perlawanan Lee Mason. Menyedari kesukaran yang dihadapi pemain-pemainnya memecah pertahanan United yang diterajui Vidic dan Ferdinand, Eamonn Dolan menarik keluar Robson Kanu serta Noel Hunt dan memasukkan Adam Le Fondre dan Nick Blackman. Usaha Dolan bagaimanapun gagal memberikan hasil, apabila United terus unggul mengekalkan gol tunggal perlawanan yang dimiliki untuk meraih mata ke-74 mereka setakat ini. Kemenangan ini juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut yang diraih United dalam saingan liga sejak kali terakhir diikat Tottenham Hotspurs 21 Januari lalu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United – Reading:

Gol: 1 – 0
Tendangan Sudut: 5 – 4
Percubaan Tepat: 8 – 1
Percubaan Tersasar: 9 – 4
Kekasaran: 5 – 16
Offside: 0 – 1
Kad Kuning: 0 – 2
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 56% - 44%

16 Mac 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn READING



Manchester United `mengalu-alukan’ kunjungan skuad kendalian Eamonn Dolan awal pagi esok sambil mengintai peluang terbaik meraih tiga mata penuh bagi mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas liga. Dengan pencabar terdekat, Manchester City yang akan berdepan perlawanan sukar menentang Everton di gelanggang lawan lima jam sebelum itu, United sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk menjarakkan lagi kedudukan selaku pendahulu. Pertemuan antara kedua-dua pasukan 2 Disember lalu di Stadium Madjeski berakhir dengan jumlah jaringan besar (Reading tewas 3-4) di mana jaringan Robin Van Persie diminit ke-34 memberikan United tiga mata penuh. Jika penyokong-penyokong meramalkan ini adalah perlawanan yang mudah buat United, mereka sebenarnya patut melihat kembali rekod lapan pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam semua kejohanan. Sepanjang sejarah lapan pertemuan ini, hanya sekali United berjaya menewaskan Reading dengan kelebihan dua gol iaitu ketika perlawanan liga pada 19 Januari 2008 dengan keputusan 2-0. Selebihnya keputusan perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir dengan jurang satu gol atau berakhir dengan keputusan seri. Perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan berlaku hampir sebulan lalu dalam saingan Piala FA di mana United menang 2-1 di Old Trafford. Untuk rekod, Reading tidak pernah menewaskan United sejak kali pertama kedua-dua pasukan bertemu pada 29 Jun 2006. Keputusan paling baik yang dicatatkan mereka ketika menentang United ialah kejayaan mengikat The Red Devils dengan keputusan 1-1 pada saingan Piala FA di Old Trafford pada Feb 2007.

Enam bulan kemudian, mereka sekali lagi berjaya mengikat United dengan keputusan 0-0 pada pertemuan liga yang turut dilangsungkan di Old Trafford. Nemanja Vidic dan Robin Van Persie yang tidak berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Chelsea (pusingan suku akhir Piala FA) pasti disenaraikan semula oleh Sir Alex. Pertahanan tengah, Rio Ferdinand yang baru menerima berita gembira beberapa hari lalu selepas dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan England mungkin direhatkan dan tempatnya bakal diisi Jonny Evans. Sir Alex juga mungkin mengambil langkah merehatkan Tom Cleverley dan Michael Carrick yang dilihat keletihan ketika pertemuan menentang Chelsea tempohari dengan Anderson dan Ryan Giggs sebagai pengganti. Perlawanan ini bukan saja cukup penting buat United untuk meraih tiga mata penuh tetapi mungkin perlawanan yang ditunggu-tunggu Rafael da Silva. Pada pertemuan pusingan pertama liga di Stadium Madjeski, Rafael bermain dibawah tahap prestasi sebenar hingga mudah ditewaskan Jobi McAnuff sebelum digantikan Chris Smalling. Bagi pelawat pula, kunjungan ke Old Trafford kali ini diiringi dengan krisis kecederaan yang melanda penjaga gawang mereka apabila pilihan pertama (Adam Federici) dan pilihan kedua (Alex McCarthy) mengalami kecederaan hingga memaksa Dolan menyandarkan harapan kepada penjaga gol ketiga Stuart Taylor. Turut berada dalam senarai kecederaan ialah pemain tengah mereka Jimmy Kebe dan penggempur Jason Roberts manakala Pavel Pogrebnyak pula masih dalam tempoh penggantungan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Ryan Giggs, Anderson, Shinji Kagawa, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Reading:

Stuart Taylor, Stephen Kelly, Alex Pearce, Adrian Mariappa, Ian Harte, Jobi McAnuff, Mikele Liegertwood, Hope Akpan, Nick Blackman, Noel Hunt & Adam Le Fondre 

14 Mac 2013

TRIBUTE UNTUK GIGGSY



Baik kawan mahupun lawan, penyokong United atau tidak, mereka sebenarnya perlu mengakui bahawa Ryan Giggs adalah pemain yang pastinya sukar dicari ganti selepas beliau bersara kelak. Bintang sayap veteran itu merupakan pemain yang mempunyai koleksi medal kejuaraan paling banyak dalam sejarah bolasepak England. Sejak memulakan kariernya bersama Uited pada 1990 hingga sekarang, Giggs sudah memenangi 12 medal kejuaraan Liga Perdana, 4 Piala FA, 3 Piala Liga, 8 Perisai Komuniti, 1 Piala Super UEFA, 1 Piala Antara Benua dan 2 Liga Juara-Juara selain pengiktirafan-pengiktirafan individu yang diterimanya dari berbagai pihak. Ketika zaman remajanya, Giggs sudah memberikan gambaran awal kepada pemerhati-pemerhati boasepak bahawa dia akan menjadi bintang besar satu hari nanti apabila muncul pemain pertama memenangi anugerah Pemain Remaja Terbaik Tahunan England selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 1992 dan 1993. Sejak melakukan penampilan pertamanya bersama United ketika menentang Everton pada 2 Mac 1991, nama Giggs sudah tercatat sebagai satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam setiap musim Liga Perdana. Di peringkat antarabangsa, Giggs mengumpul 64 caps bersama skuad kebangsaan Wales dan diberi penghormatan memakai lilitan ketua pasukan ketika skuad Great Britain bertanding buat pertama kalinya dalam acara boalsepak di Olimpik London 2012 (4 caps). Pada usia yang bakal mencecah 40 tahun November ini, Giggs nampaknya tidak henti-henti mencipta pencapaian unik dalam kariernya. Ketika pertemuan menentang Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu, Giggs merakamkan penampilan ke-1000 dalam karier bolasepak profesionalnya. Peminat-peminat bolasepak khasnya penyokong-penyokong United pastinya akan terus menyaksikan Giggs mencatat rekod dan pencapaian gemilang selepas menandatangani lanjutan kontrak selama setahun yang menyaksikan beliau bermain buat musim ke 24 di Liga Perdana. Berikut adalah kata-kata penghargaan yang pernah diberikan dari tokoh-tokoh bolasepak dunia, kawan mahu pun lawan bagi melahirkan kekaguman mereka atas pencapaian dan sumbangan yang diberikan Giggs kepada sukan bolasepak.

SEPP BLATTER (Presiden FIFA)

“Pencapaiannya sungguh mengagumkan dan dia pemain yang luar biasa. Sebagai individu yang berkecimpung dalam dunia bolasepak saya sukar mempercayai. Bukan mudah untuk mana-mana pemain bermain 1000 perlawanan atau lebih 600 perlawanan untuk sebuah pasukan yang sama. Itu sungguh hebat. Giggs bermain bolasepak dengan hatinya dan Manchester United adalah tempatnya”.

SIR ALEX FERGUSON (Pengurus Manchester United)

“Apa lagi perkataan yang saya tidak pernah perkatakan tentang Ryan. Sebagai pemain dia memang mengagumkan dan sebagai manusia dia adalah luar biasa. Dia memiliki tenaga yang fantastis untuk bermain bolasepak dan saya bersyukur dapat menyaksikannya bermain. Dia sudah menjaringkan gol di saingan liga selama 23 musim berturut-turut. Dalam dunia bolasepak moden perkara seperti ini sangat-sangat mengagumkan. Prestasinya bersama kami musim ini membuktikan kemampuan dan cintanya terhadap bolasepak tidak pernah surut. Saya gembira dia bersetuju menyambung kontraknya”.

PAUL SCHOLES (Rakan Sepasukan)

“Saya pernah bermain dengan ramai pemain hebat di kelab ini. Namun jika saya terpaksa memilih siapa di antara mereka yang paling hebat, tentunya pilihan saya ialah Giggsy. Di atas padang, dia mampu melakukan segalanya”.

GIANFRANCO ZOLA (Bekas pemain Chelsea yang kini menguruskan Watford)

“Dia sungguh luarbiasa. Satu-satunya kekurangan dan kesilapan yang saya lihat dilakukan Giggs ialah dia bermain untuk kelab yang salah. Dia sepatutnya bermain untuk kami (Chelsea)”.

ROBERTO MANCINI (Pengurus Manchester City)

“Bagi saya Giggs adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Dia bukannya pemain yang muda tetapi tetap bermain dengan bagus. Dia pemain yang fantastis”.

JOHAN CRYUFF (Bekas Bintang Antarabangsa Belanda)

“Eric Cantona adalah pemain hebat, tetapi dia tidak sehebat Ryan Giggs”.

GARY LINEKER (Bekas Penyerang Antarabangsa England)

“Rekodnya sungguh menakjubkan. Jumlah trofi yang dimenanginya, jumlah perlawanan yang dimainkannya serta gol-gol yang dirancang dan diciptanya sangat mengagumkan. Dia adalah profesional tulen yang selalunya menampilkan permainan kelas tertinggi setiap saat”.

ALESSANDRO DEL PIERO (Lagenda Juventus)

“Hanya dua orang pemain yang boleh membuatkan saya menangis setiap kali menonton permainan mereka. Yang pertama adalah Diego Maradona dan yang kedua adalah Ryan Giggs”.

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

13 Mac 2013

CR7 KEMBALI KE OLD TRAFFORD...REALITI ATAU SEKADAR IMPIAN


“Chevrolet akan membiayai kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Manchester United dengan nilai 55 juta Pound?”. Itulah tajuk utama akhbar The Star yang diterbitkan kira-kira tiga minggu lalu sekaligus mencetuskan harapan tinggi penyokong-penyokong United untuk menyaksikan bintang besar itu menyarung jersi The Red Devils. Khabar angin berterusan tentang perpecahan di Santiago Bernabeu dan kekecewaan Ronaldo terhadap pihak pengurusan Madrid menyebabkan ramai pihak meramalkan ini adalah musim terakhir pemenang Balon d’Or 2008 itu beraksi di La Liga. Sir Alex Ferguson dalam beberapa kenyataannya sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan kembali khidmat anak emasnya itu dan mengalu-alukan jika Ronaldo mahu kembali ke kota Manchester namun dalam masa yang sama beliau sendiri turut mengakui bahawa kemungkinan itu (Ronaldo kembali ke Old Trafford) sukar direalisasikan. Apakah Madrid akan melepaskan bintang handalannya itu dengan nilai 55 juta Pound sedangkan mereka terpaksa membayar sebanyak 80 juta Pound kepada United ketika menandatanganinya pada 2009? Nilai yang disebutkan The Star ini (55 juta Pound) sebenarnya cukup realistik memandangkan kontrak Ronaldo bersama Madrid akan berakhir pada 2015. Jika benar apa yang digambarkan media Sepanyol tentang situasi yang dihadapi Ronaldo di Madrid ketika ini ianya, tampak seperti pemain itu tidak akan menandantangani sebarang lanjutan kontrak baru bersama juara La Liga itu. Dalam dunia bolasepak, nilai pemain akan berkurangan apabila kontrak mereka menuju tahun-tahun terakhir dan selepas mengeluarkan dana yang cukup besar ketika mendapatkan khidmatnya empat tahun lalu, Madrid tentunya tidak mahu kehilangan Ronaldo secara percuma di bawah Undang-undang Bosman. Ronaldo kini berusia 28 tahun dan pada usia sepertinya tiada mana-mana pasukan yang sanggup mengeluarkan wang sebanyak 80 atau 90 juta Pound bagi mendapatkan khidmat pemain yang mungkin melepasi zaman kemuncaknya dalam tempoh dua atau tiga tahun saja lagi. Ramai juga yang berpendapat bahawa kepulangan Ronaldo ke Old Trafford mustahil direalisasikan memandangkan gaji besar yang diterimanya bersama Madrid sukar untuk dipenuhi dalam struktur gaji United. Walau bagaimanapun Ronaldo terus menghangatkan spekulasi tentang perpindahannya ke United apabila menyebut bahawa beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali semula ke Old Trafford meskipun bakal menerima gaji lebih rendah berbanding apa yang diterimanya bersama Madrid. Dalam maksud lain, wang bukanlah segala-galanya buat Ronaldo. Bagi kes Ronaldo segalanya boleh berlaku kerana faktor sentimen dan hubungan baiknya dengan Sir Alex yang sudah dianggapnya sebagai ayah dan juga sifu.

Jika benar apa yang disebutkan dalam The Star bahawa Chevrolet akan membiayai gaji Ronaldo sebagai sebahagian dari perjanjian penajaan untuk menjadikan pemain itu duta global mereka, maka kepulangan semula bintang Portugal itu ke Old Trafford boleh saja menjadi kenyataan. Dua kelab yang sedia berbelanja besar, Paris St Germain dan Manchester City sudah memaklumkan tentang minat mereka terhadap Ronaldo. Jika wang menjadi ukuran, United memang tidak mampu menandingi tawaran yang bakal diberikan dua kelab milik jutawan dari Timur Tengah itu, tetapi jika diambil kira kata-kata yang diluahkan Ronaldo sebelum dan selepas perlawanan menentang United di Bernabeu, harapan untuk menyaksikan beliau kembali menyarung jersi The Red Devils sebenarnya bukanlah khayalan. Ronaldo membina kerjayanya bersama United hingga muncul bintang utama dunia ketika ini. Insiden Piala Dunia 2006 yang membabitkan beliau dengan Wayne Rooney hingga menyebabkan bintang England itu dibuang padang menimbulkan kemarahan banyak pihak di Old Trafford terutamanya penyokong-penyokong Three Lions tetapi Ronaldo berjaya menanganinya dengan bijak. Walaupun ramai pihak meramalkan Ronaldo akan menuju pintu keluar selepas insiden tersebut tetapi beliau sebaliknya terus kekal di Old Trafford dan berjaya membantu United menang trofi Liga Juara-Juara dua tahun selepas itu. Dalam beberapa musim terakhirnya di Old Trafford, Ronaldo berubah dari seorang remaja yang kurus, sombong, pemarah kepada lelaki yang lebih matang, seimbang dan mesin gol yang cekap. Perlu juga diingatkan, pemergian Ronaldo ke Madrid pada 2009 adalah atas restu Sir Alex sendiri demi memenuhi impian ibu pemain itu yang ingin melihat Ronaldo menyarung jersi putih Madrid. Jadi tidak mustahil untuk memikirkan Sir Alex akan memainkan peranan yang sama bagi membawa Ronaldo kembali semula ke Old Trafford. Jika ini berlaku, anda tentu boleh bayangkan bagaimana bencana yang boleh diberikan kepada pertahanan lawan menerusi gandingan Ronaldo, Rooney dan Van Persie nanti. Nilai 55 juta Pound yang terpaksa dikeluarkan United mungkin menghalang Sir Alex dari melakukan pembelian lain musim panas ini tetapi kejayaan membawa masuk salah seorang pemain terbaik dunia masa kini sepatutnya mengatasi segala kebimbangan yang ada. Statistik jaringan Ronaldo bersama Real cukup menggerunkan di mana beliau sudah menjaringkan 186 gol dari 188 penampilan setakat ini, jadi kemungkinan kepulangan semula lagenda itu ke `tempat asalnya’ menjadi detik paling ditunggu-tunggu majoriti penyokong-penyokong United. Atau apakah impian untuk menyaksikan Ronaldo kembali semula menyarung jersi United cuma tinggal impian di mana Sir Alex sendiri baru-baru ini meramalkan bintang itu akan menandatangani kontrak baru bersama Real Madrid. Terbaru pihak pengurusan Madrid menafikan khabar-khabar angin bahawa Ronaldo akan meninggalkan Sepanyol manakala ejen pemain itu, Jorge Mendes menasihatkan supaya Ronaldo kekal semusim lagi di Santiago Bernabeu…jadi kita tunggu saja keputusan selanjutnya dari CR7. Glory Glory Manchester United!!! – A.J