Keputusan Sir Alex Ferguson meletakkan Wayne Rooney di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Real Madrid di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara 6 Mac lalu menyebabkan timbulnya spekulasi tentang masa depan penyerang England itu di Old Trafford. Media pantas meniupkan spekulasi bahawa hubungan dingin antara kedua-dua individu itu (Sir Alex dan Rooney) menjadi sebab utama mengapa nama Wazza tidak berada dalam kesebelasan permulaan United. Bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif terus berlarutan, Sir Alex akhirnya mendedahkan bahawa laporan yang diterbitkan media tentang kemungkinan Rooney akan dijual musim panas nanti sebagai mengarut. Sir Alex turut mengatakan keputusannya tidak menurunkan Rooney dalam perlawanan itu atas alasan taktikal semata-mata dan bukannya disebabkan perkara-perkara negatif lain. Walaupun pendedahan telah dibuat Sir Alex bagi meredakan spekulasi tentang masa depan Rooney, masih banyak pihak sebenarnya kurang yakin bintang England itu akan kekal di Old Trafford musim hadapan. Mereka yang masih ragu-ragu tentang masa depan Rooney ada sebab untuk bersikap demikian jika diambilkira apa yang berlaku ke atas David Beckham sepuluh tahun lalu. Sama seperti situasi yang dialami Rooney, Beckham juga tidak diturunkan ketika United berdepan Real Madrid di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara pada tahun 2003. Keputusan meletakkan Beckham di bangku simpanan mengundang berbagai-bagai andaian hinggakan Sir Alex terpaksa tampil meredakan keadaan dan menafikan bahawa hubungannya dengan Beckham sedang bergolak. Kesudahannya kita semua tahu bagaimana spekulasi itu berakhir di mana Beckham akhirnya meninggalkan Old Trafford pada musim panas 2003. Sir Alex cukup dikenali sebagai seorang pengendali yang tegas dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain meskipun mereka bertaraf bintang dan tonggak utama kelab. Walau bagaimanapun tidak semua pemain bintang yang meninggalkan pasukan disebabkan pertelagahan atau tidak sebulu dengan Sir Alex, Cristiano Ronaldo adalah contoh terbaik. Apakah Wazza senasib dengan Becks? Ramai penyokng-penyokong United berharap Rooney terus kekal hingga ke penghujung kariernya bersama United, dan saya tidak terkecuali. Bagaimanapun jika Rooney benar-benar meninggalkan Old Trafford nanti, penyokong-penyokong United usah terkejut kerana Sir Alex sendiri mempunyai track record menyingkirkan bintang-bintang handalannya sebelum ini. Bagi yang mengikuti perkembangan United sejak sekian lama, terutamanya sejak Sir Alex mengambilalih jawatan pengurus dari Ron Atkinson pada 1986, anda pasti sedar bahawa bukan sedikit pemain-pemain bertaraf bintang yang disingkirkan beliau. Apa yang menariknya, tindakan beliau (menyingkirkan pemain bertaraf bintang) ini tidak menjejaskan pasukan, maka dengan sebab itulah apa saja yang dilakukannya sentiasa mendapat sokongan dari pihak pengurusan dan penyokong-penyokong United sendiri. Untuk itu, di sini disenaraikan beberapa pemain bintang yang terpaksa angkat kaki kerana berkonfrontrasi atau dalam bahasa mudahnya `sengaja cari pasal’ dengan bos United itu sepanjang era beliau berkuasa di Old Trafford.
PAUL
MCGRATH (1982-1989)
Paul McGrath menyertai Manchester United dari
kelab Ireland, St Patrick Athletic FC pada 1982 dan berjaya membentuk gandingan
mantap di benteng pertahanan bersama-sama Kevin Moran. Empat tahun selepas Sir
Alex mengambilalih jawatan pengurus United dari Ron Atkinson, McGrath yang
merupakan tonggak pertahanan United ketika itu dijual kepada Aston Villa. McGrath
merupakan pemain pertahanan yang memiliki skill tinggi dan tenang ketika
mengemudi benteng pertahanan, jadi tidak hairanlah jika dia muncul antara
pemain yang menjadi kesukaan penyokong-penyokong United ketika itu. McGrath
adalah antara tonggak yang berjaya membantu United menjulang Piala FA pada 1985
selepas menewaskan Everton 1-0 dan dinamakan pemain terbaik perlawanan akhir.
Bagaimanapun rentetan kecederaan dan hubungan buruknya dengan Sir Alex memaksa
dia menamatkan kariernya bersama United dan berhijrah ke Villa Park pada 1989.
Musim pertamanya di Villa Park, McGrath membantu The Villans menduduki tangga kedua liga (ketika itu Liga Divisyen
1) dan dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada musim pertama Liga
Perdana diperkenalkan (1992-93).
PAUL
INCE (1989-1995)
Paul Ince menyertai Manchester United dari
West Ham dengan nilai 1 juta Pound pada musim panas 1989. Pembelian Ince
menimbulkan kontroversi ketika itu selepas gambarnya memakai jersi United
diterbitkan akhbar Daily Express
walaupun dia sebenarnya masih belum menandatangani sebarang kontrak bersama
United. Ince tampil lebih 200 perlawanan untuk United dan berjaya mengukuhkan
kedudukannya di bahagian tengah bersama-sama Brian McClair, Roy Keane dan
kemudiannya Nicky Butt. Hubungan Ince dan Sir Alex memasuki fasa kritikal di
penghujung musim 1994/95 selepas bos United itu menggelarkan Ince dengan
gelaran “bottler”. Sir Alex berang dengan penampilan Ince hingga menyebabkan
United terlepas kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers. Seminggu kemudian, Ince
tidak disenaraikan ketika United berdepan Everton di perlawanan akhir Piala FA
yang menyaksikan United tewas 0-1 kepada The
Toffees. Sejak itu hubungan antara Ince dan Sir Alex tidak pernah baik dan
akhirnya pemain tengah itu dijual kepada Inter Milan dengan nilai 7.5 juta
Pound. Sepanjang tempoh enam tahun bersama United, Ince berjaya memenangi 10
medal kejuaraan utama, namun selepas pulang semula ke England, Ince hanya
memenangi satu medal kejuaraan bersama Wolverhampton Wanderers (play off Divisyen 1).
JAAP
STAM (1998-2001)
“Perbualan singkat di dalam kereta ketika
saya mengisi minyak sudah cukup bagi saya meninggalkan kelab besar itu”, itulah
kata-kata Jaap Stam ketika ditanya mengapa dia bertindak meninggalkan Manchester
United. Menerusi perbualan singkat itu, Sir Alex berjaya memaksa Stam
meninggalkan Old Trafford. Segalanya berpunca dari penerbitan autobiografi
bertajuk `Head To Head’ yang ditulis Stam hingga menimbulkan kemarahan Sir
Alex. Dalam autobiografinya itu antaranya Stam menyebut bahawa penghijrahannya
ke Old Trafford tidak mendapat keizinan dari pihak pengurusan PSV Eindhoven
selain mendedahkan bahawa Sir Alex mengarahkan agar pemain-pemainya sengaja
menjatuhkan badan ketika perlawanan. Stam menghabiskan tempoh tiga musim dengan
begitu cemerlang di Old Trafford apabila berjaya membantu United memenangi tiga
kejuaraan liga, satu Piala FA, satu Liga Juara-Juara dan satu Piala
Antarabenua. Bagaimanapun disebabkan tuduhan liarnya itu, Stam akhirnya
terpaksa dijual dan kelab Itali, Lazio pantas mengeluarkan dana sebanyak 16.4
juta Pound untuk membawa pemain pertahanan itu beraksi di Serie A. Sir Alex
mengatakan bahawa kecederaan yang dialami Stam menjadi sebab utama mengapa
beliau bertindak menjual pemain pertahanan itu sebelum mengakui itu adalah
antara kesilapan terbesar (menjual Stam) pernah dilakukannya.
DWIGHT
YORKE (1998-2002)
Gandingan Dwight Yorke bersama Andy Cole
berjaya membantu United meraih berbagai kejuaraan dalam tempoh hanya empat
tahunnya di Old Trafford. Yorke cukup cemerlang ketika membolosi gawang lawan
namun tidak mempunyai formula untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan Sir
Alex. Memiliki isteri seorang selebiriti dengan kehidupan penuh glamor, gaya
hidup play boy Yorke menjejaskan
persembahannya di atas padang. Beberapa insiden yang dicetuskan pemain itu di
bilik persalinan sepanjang musim 2001/02 menandakan karier penyerang dari
Trinidad & Tobago di Old Trafford menuju fasa akhir. Yorke mengakui dia
kembali menjadi penagih alkohol manakala peranannya selaku penggempur utama
United yang pernah menyaksikan dia dan Cole dijulang sebagai gandingan paling
menggerunkan pernah disaksikan dalam sejarah bolasepak England hingga berjaya
membantu The Red Devils menjulang
kejuaraan treble pada 1999 kian pudar.
Yorke akhirnya menyertai Blackburn Rovers pada Julai 2002.
DAVID
BECKHAM (1993-2003)
Ketika United kecundang 0-2 kepada Arsenal
dalam saingan Piala FA di gelanggang sendiri pada Februari 2003, ramai pihak
menjangkakan pemain-pemain United akan berdepan `hairdryer treatment’ dari Sir Alex. Jangkaan mereka tepat kerana
selepas itu foto-foto David Beckham dengan kening bertampal menghiasi dada-dada
akhbar di seluruh England. Sebelum insiden itu, Sir Alex mengakui beliau rimas
dengan gaya hidup bak selebriti Beckham selepas pemain itu mengahwini bintang
pop popular, Posh Spice (Victoria Beckham). Beckham juga diberitakan pernah
dihalau Sir Alex dari sesi latihan kerana tiba lewat dan kemuncaknya ialah
insiden layangan but di bilik persalinan selepas United tewas kepada Arsenal.
Biarpun beberapa kali menafikannya, Sir Alex akhirnya mengakui bahawa beliaulah
yang menyebabkan kening Beckham tercedera. “Itu insiden yang aneh. Jika saya
mencubanya sekali lagi 100 kali atau sejuta kali sekalipun ia tidak mungkin
menemui sasaran”, kata Sir Alex tentang insiden itu. Beckham akhirnya dijual
kepada Real Madrid penghujung musim 2002/03 dengan nilai 25 juta Pound.
RUUD
VAN NISTELROOY (2001-2006)
Ruud Van Nistelrooy diakui antara penyerang
terbaik pernah beraksi di Old Trafford. Gol-gol yang dihasilkannya berjaya
membantu United menjulang kejuaraan liga musim 2002/03, Piala FA (2003/04),
Perisai Komuniti (2003) dan Piala Liga (2005/06). Sepanjang lima musim bersama
United, Nistelrooy menjaringkan 150 gol dari 219 penampilan hingga diiktiraf
sebagai mesin gol buat The Red Devils.
Biarpun tindakan Sir Alex menandatangani Nistelrooy dari PSV Eindhoven
dipertikaikan ramai pihak berikutan rekod kecederaan pemain itu yang agak
buruk, Nistelrooy tidak mengambil masa yang panjang untuk menutup mulut
pengkritik-pengkritiknya apabila menjaringkan gol demi gol buat United sejak
tiba di Old Trafford pada musim panas 2001. Insiden pertelingkahannya dengan
Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan musim 2005/06 dan kritikan-kritikan yang
dilemparkannya terhadap Sir Alex menjadi penyebab utama Nistelrooy dijual
kepada Real Madrid. Di Sepanyol, Nistelrooy berjaya membantu Los Blancos
menjuarai La Liga sebanyak dua kali sebelum menyertai Hamburg dan kemudiannya
kembali semula ke Sepanyol (menyertai Malaga). Nistelrooy mengumumkan persaraan
dari arena bolasepak tahun lalu.
ROY
KEANE (1993-2005)
Ramai pihak melihat sifat-sifat Sir Alex ada
dalam diri Roy Keane ketika dia beraksi di padang. Keane yang ditandatangani
Sir Alex dari Notthingham Forest pada 1993 menjadi simbol kekuatan United di
bahagian tengah dari era 90an hingga awal 2000. Selama sedekad, Keane menguasai
bahagian tengah United, bermain dalam perlawanan-perlawanan besar, berjaya
mengatasi masalah kecederaan dan menyakinkan orang di sekelilingnya tentang apa
yang diperlukan untuk menjadi pemain Manchester United. Sepertimana aksinya di
atas padang yang sentiasa mencetuskan kontroversi, begitu jugalah Keane ketika
di luar padang. Keane pernah menggegarkan kem United pada 2002 apabila mempersoalkan
komitmen dan karakter rakan-rakan sepasukannya selepas kelab menamatkan musim
2001/02 tanpa sebarang gelaran. Pada bulan Ogos 2002, Keane didenda 150,000
Pound dan digantung tiga perlawanan kerana menyiku pemain Sunderland, Jason
McAteer. Pendedahan Keane bahawa dia sengaja mencederakan Alf Inge Haaland
ketika pertemuan derby Manchester pada 2001 hingga menyebabkan pemain Norway
itu menamatkan kariernya akibat kecederaan lutut yang serius menyebabkan Keane
digantung lima perlawanan oleh FA England. Selepas menjalani pembedahan
pinggul, Keane lebih berhati-hati dalam permainan dan cenderung mengelak
konfrontasi dengan pemain lain. Ramai pihak menanggap penampilan baru Keane
menyebabkan pengaruhnya di atas padang semakin berkurangan dan menganggu gaya
permainannya. Hubungan Keane dengan Sir Alex goyah selepas penerbitan
autobiografinya dan kritikan yang dilemparkannya terhadap pihak pengurusan
ketika kempen pra musim United di Portugal. 18 November 2005, Keane akhirnya
meninggalkan Old Trafford selepas 12 tahun menyarung jersi United dengan
menyertai kelab Liga Perdana Scotland, Glasgow Geltic.
CARLOS
TEVEZ (2007-2009)
Carlos Tevez pernah menjadi pemain pujaan peminat di Old Trafford. Bagaimanapun situasi itu berlaku empat tahun
lalu, tetapi kini Tevez adalah musuh nombor satu penyokong-penyokong United. Di
penghujung musim 2008/09 hubungan Tevez – Sir Alex mula meruncing selepas
pemain Argentina itu mendakwa pengendali United itu tidak serius mengekalkannya
di Old Trafford. Hubungan antara kedua-dua pihak mula panas apabila Sir Alex
pula mengambil giliran untuk menafikan dakwaan yang dibuat Tevez. Pengendali
United itu sebaliknya mendedahkan bahawa pihak pengurusan United memang serius
mahu mengekalkan khidmat bekas penyerang West Ham itu tetapi sebaliknya Tevez
telah menolak kontrak baru yang ditawarkan. Apapun alasan yang diberikan
kedua-dua belah pihak, seteru setempat United, Manchester City bijak mengambil
kesempatan dari kemelut yang melanda dua individu ini hingga berjaya
menandatangani Tevez pada Julai 2009. Kemuncak kebencian penyokong-penyokong
United terhadap Tevez berlaku musim lalu apabila semasa dalam satu perarakan
meraikan kejayaan City menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam
tempoh 44 tahun, pemain Argentina itu mencetuskan provokasi melampau apabila
menjulang sepanduk bertulis `RIP FERGIE’. Penyokong-penyokong United sudah
pasti tidak sabar-sabar menanti `kepulangan semula’ Tevez ke Old Trafford 9
April nanti apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu untuk aksi saingan
liga. Selepas provokasi yang dilakukannya ke atas Sir Alex, pasti ada `sambutan
hangat’ yang bakal diberikan penyokong-penyokong United buat Carlitos.
KESIMPULANNYA, besar manapun bintang anda di
Old Trafford, anda jangan cuba-cuba cari pasal atau menimbulkan kemarahan
individu bernama Sir Alexander Chapman Ferguson. Jika tidak, anda bakal
ditunjukkan pintu keluar oleh beliau sepertimana yang berlaku ke atas McGrath,
Ince, Stam, Yorke, Beckham, Nistelrooy, Keane dan Tevez. Apakah selepas ini giliran Rooney? Saya harap tidak. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan