Manchester United `mengalu-alukan’ kunjungan
skuad kendalian Eamonn Dolan awal pagi esok sambil mengintai peluang terbaik
meraih tiga mata penuh bagi mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas
liga. Dengan pencabar terdekat, Manchester City yang akan berdepan perlawanan
sukar menentang Everton di gelanggang lawan lima jam sebelum itu, United
sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk menjarakkan lagi kedudukan selaku
pendahulu. Pertemuan antara kedua-dua pasukan 2 Disember lalu di Stadium
Madjeski berakhir dengan jumlah jaringan besar (Reading tewas 3-4) di mana
jaringan Robin Van Persie diminit ke-34 memberikan United tiga mata penuh. Jika
penyokong-penyokong meramalkan ini adalah perlawanan yang mudah buat United,
mereka sebenarnya patut melihat kembali rekod lapan pertemuan antara kedua-dua
pasukan dalam semua kejohanan. Sepanjang sejarah lapan pertemuan ini, hanya
sekali United berjaya menewaskan Reading dengan kelebihan dua gol iaitu ketika
perlawanan liga pada 19 Januari 2008 dengan keputusan 2-0. Selebihnya keputusan
perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir dengan jurang satu gol atau
berakhir dengan keputusan seri. Perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan
berlaku hampir sebulan lalu dalam saingan Piala FA di mana United menang 2-1 di
Old Trafford. Untuk rekod, Reading tidak pernah menewaskan United sejak kali
pertama kedua-dua pasukan bertemu pada 29 Jun 2006. Keputusan paling baik yang
dicatatkan mereka ketika menentang United ialah kejayaan mengikat The Red Devils dengan keputusan 1-1 pada
saingan Piala FA di Old Trafford pada Feb 2007.
Enam bulan kemudian, mereka sekali lagi
berjaya mengikat United dengan keputusan 0-0 pada pertemuan liga yang turut
dilangsungkan di Old Trafford. Nemanja Vidic dan Robin Van Persie yang tidak
berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Chelsea (pusingan suku akhir
Piala FA) pasti disenaraikan semula oleh Sir Alex. Pertahanan tengah, Rio
Ferdinand yang baru menerima berita gembira beberapa hari lalu selepas
dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan England mungkin direhatkan dan
tempatnya bakal diisi Jonny Evans. Sir Alex juga mungkin mengambil langkah
merehatkan Tom Cleverley dan Michael Carrick yang dilihat keletihan ketika
pertemuan menentang Chelsea tempohari dengan Anderson dan Ryan Giggs sebagai
pengganti. Perlawanan ini bukan saja cukup penting buat United untuk meraih
tiga mata penuh tetapi mungkin perlawanan yang ditunggu-tunggu Rafael da Silva.
Pada pertemuan pusingan pertama liga di Stadium Madjeski, Rafael bermain
dibawah tahap prestasi sebenar hingga mudah ditewaskan Jobi McAnuff sebelum
digantikan Chris Smalling. Bagi pelawat pula, kunjungan ke Old Trafford kali
ini diiringi dengan krisis kecederaan yang melanda penjaga gawang mereka
apabila pilihan pertama (Adam Federici) dan pilihan kedua (Alex McCarthy)
mengalami kecederaan hingga memaksa Dolan menyandarkan harapan kepada penjaga
gol ketiga Stuart Taylor. Turut berada dalam senarai kecederaan ialah pemain
tengah mereka Jimmy Kebe dan penggempur Jason Roberts manakala Pavel Pogrebnyak
pula masih dalam tempoh penggantungan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Rafael da Silva, Jonny Evans,
Nemanja Vidic, Patrice Evra, Ryan Giggs, Anderson, Shinji Kagawa, Antonio
Valencia, Wayne Rooney & Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan Reading:
Stuart Taylor, Stephen Kelly, Alex Pearce,
Adrian Mariappa, Ian Harte, Jobi McAnuff, Mikele Liegertwood, Hope Akpan, Nick
Blackman, Noel Hunt & Adam Le Fondre
Tiada ulasan:
Catat Ulasan