Rio Ferdinand tidak menjaringkan sebarang gol
pada pertemuan menentang Reading awal pagi tadi, tetapi gerakan menarik yang
dilakukannya membolehkan Wayne Rooney menjaringkan gol tunggal perlawanan
sekaligus memberikan tiga mata buat Manchester United. Sebelum gerakan yang
menghasilkan gol itu, Ferdy turut terlibat mencipta peluang buat Ashley Young
menerusi hantaran jauh yang dilakukannya. Walau bagaimanapun Young gagal
menyempurnakan peluang itu apabila sepakannya sedikit tersasar dari pintu gol
lawan. Mungkin juga Ferdy mendapat semangat baru selepas dipanggil semula
menyertai skuad kebangsaan England sejak kali terakhir tampil di pentas
antarabangsa pada Jun 2011. Peranan besar yang diberikan Ferdy awal pagi tadi
hingga terhasilnya gol diminit ke-21 itu mendapat pujian dari Sir Alex
Ferguson. Meskipun ramai pihak mengatakan bahawa Ferdy sudah melepasi zaman
kemuncaknya hingga pernah diiktiraf sebagai antara pertahanan tengah terbaik
dunia, pemain berusia 34 tahun itu berjaya menutup mulut
pengkritik-pengkritiknya menerusi persembahan konsisten bersama United sejak
akhir-akhir ini. Memang benar, Ferdy tidak sepantas dulu ketika berdepan
larian-larian pantas penyerang lawan, tetapi dia tetap masih antara pertahanan
terbaik di Liga Perdana ketika ini. Ada yang mengatakan pada usia 34 tahun, karier
Ferdy sudah tiba dipenghujungnya, tetapi anda jangan lupa bahawa lagenda AC
Milan, Paolo Maldini masih bermain untuk kelab itu pada usia 41 tahun. Jadi
Ferdy masih boleh memberikan prestasi terbaiknya dan bermain di peringkat
tertinggi sekurang-kurang untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Roy Hodgson tahu peranan besar yang dimainkan
Ferdy di benteng pertahanan United, maka dengan sebab itulah beliau tidak
teragak-agak untuk menyenaraikan semula nama Ferdy dalam skuad The Three Lions menentang San Marino dan
Montenegro minggu hadapan. Ketika zaman mudanya, Ferdy diakui antara pertahanan
yang mempunyai skil kawalan bola cukup menarik dan gemar naik ke atas membantu
serangan. Hanya pemain yang mempunyai keyakinan tinggi dan dianugerahkan
kebolehan menggelecek saja mampu `bermain-main’ dengan penyerang lawan dalam
kawasan sendiri seperti mana yang dilakukan Ferdy ketika zaman kemuncaknya. Kalau
anda masih kurang percaya, google saja
di Youtube dan saksikan sendiri aksi-aksi berani yang pernah dilakukan Ferdy. Ketika
sidang medianya selepas tamat perlawanan awal pagi tadi, Sir Alex mengatakan
dia sudah lama tidak menyaksikan Ferdy melakukan gerakan solo seperti itu. “Kami
di Manchester United sentiasa yakin bahawa Ferdinand memang memiliki kemampuan
menyerang melalui bahagian tengah dengan skil kawalan bola yang dimilikinya.
Tentu saja dia semakin jarang melakukannya, tetapi hari ini dia kembali
menunjukkannya hingga berjaya mencipta jaringan untuk kami”, kata Sir Alex. Kemenangan
yang diraih United ini menyaksikan impian The
Red Devils untuk menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20 semakin cerah
apatah lagi selepas pencabar terdekat, Manchester City tewas di Goodison Park
semalam. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan