04 April 2013

MUSIM DEPAN, KAGAWA AKAN LEBIH MENYERLAH


Hampir sebulan lalu, ramai pihak meletakkan skuad Manchester United musim ini boleh mengulangi pencapaian meraih gelaran treble yang pernah dilakukan skuad musim 1998-99. Walau bagaimanapun potensi besar yang diletakkan ke atas Nemanja Vidic dan rakan-rakan sepasukannya musim ini gugur satu persatu. Bermula dengan penyingkiran secara kontroversi dari saingan Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, barisan The Red Devils sekali lagi terpaksa menelan kepahitan apabila giliran Chelsea pula menyingkirkan mereka dari perebutan trofi kejohanan kalah mati domestik. Kini satu-satunya kejayaan yang mampu memadam semua kekecewaan sebelum ini ialah dengan menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Sir Alex Ferguson menaruh keyakinan yang cukup tinggi terhadap barisan pemain yang dimilikinya musim ini, jadi tidak hairanlah jika beliau berani meletakkan sasaran pasukannya mampu mengulangi pencapaian tahun 1999 dan 2008 dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara. Selepas kegagalan di pentas Eropah dan kemarau menjulang Piala FA terus berpanjangan, ada kemungkinan Sir Alex akan melakukan `langkah besar’ dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Walau bagaimanapun artikel ini bukanlah mahu menyentuh tentang penjualan atau pembelian pemain musim panas nanti tetapi lebih kepada skuad yang ada sekarang. Siapa pemain dari skuad sekarang yang akan lebih menyerlah musim depan sepertimana yang telah ditunjukkan David de Gea dan Rafael da Silva musim ini? Tom Cleverley, Danny Welbeck atau Shinji Kagawa? Pada usia mencecah 23 tahun, Cleverley adalah pemain utama United musim ini dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama-sama Michael Carrick di bahagian tengah. Malah Sir Alex tidak ragu-ragu meletakkan Cleverley sebagai peneraju bahagian tengah England di masa depan. Welbeck berkembang dengan cukup baik musim ini, memainkan peranannya dengan berkesan dalam formasi 4-2-3-1 tetapi perlu memperbaiki lagi sentuhan penyudahnya. Walau bagaimanapun pemain pilihan saya yang akan menyerlah musim depan ialah Shinji Kagawa, lelaki Jepun yang dibawa Sir Alex dari Borussia Dortmund musim panas lalu.

Musim pertama di Old Trafford memang diakui sebagai musim yang sukar buat Kagawa. Kecederaan memang menjadi musuh utama kepada mana-mana pemain dan itulah yang terpaksa di hadapi Kagawa. Selain masalah kecederaan yang membelenggu, Kagawa juga terpaksa bergelut menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana England yang lebih fizikal berbanding Bundesliga. Walau bagaimanapun, playmaker antarabangsa Jepun itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan sejak kebelakangan ini. Kagawa membuktikan keupayaan sebenarnya selepas menjaringkan hatrik ketika menentang Norwich City beberapa minggu lalu. Diletakkan sebaris bersama Wayne Rooney dalam formasi permainan United memberikan Kagawa lebih banyak ruang untuk bergerak serta menyusun permainan, jadi hatriknya ke atas Norwich bukanlah kerana nasib semata-mata. Peningkatan yang dipamerkan Kagawa sejak akhir-akhir ini memberikan isyarat jelas bahawa bintang antarabangsa Jepun akan lebih bersedia dan menyerlah musim depan. Reaksi Sir Alex selepas tamat perlawanan menentang Norwich menggambarkan apa yang mampu dilakukan Kagawa pada musim keduanya di Old Trafford nanti. “Dia akan menjadi pemain yang lebih bagus. Musim depan saya percaya dia akan menjadi pemain yang jauh lebih bagus”, kata Sir Alex. Kelebihan yang dimiliki Kagawa ialah kemampuannya menarik pemain lawan keluar dari posisi mereka sebelum mencipta peluang untuk disudahkan rakan-rakan sepasukan. Peranan yang dimainkan dalam formasi United juga banyak membantu perkembangan Kagawa di mana dia sering bergerak di antara pemain tengah dan barisan pertahanan lawan. Sebagai pemain tengah, Kagawa sudah tentunya perlu melakukan banyak hantaran-hantaran dan ketepatan hantaran adalah aset yang cukup bernilai bagi playmaker sepertinya. Dalam soal ketepatan ketika melakukan hantaran, Kagawa adalah antara yang terbaik dalam skuad United. Setakat ini statistik menunjukkan bahawa Kagawa mencatatkan 90.5% ketepatan hantaran, hanya sedikit di belakang Paul Scholes.

Penjaga gol Dortmund, Roman Weidenfeller yang juga merupakan bekas rakan sepasukan Kagawa adalah individu paling tepat yang boleh memberikan ulasan tentang kemampuan sebenar Kagawa. Weidenfeller yang bermain bersama-sama Kagawa selama dua musim di Signal Iduna Park mengatakan bahawa bekas rakan sepasukannya itu sudah mula menemui pretasi terbaiknya bersama United. “Tempoh paling buruk buat Kagawa ialah kecederaan yang dialaminya tetapi dia kini sudah cergas dan kembali menemui prestasi terbaiknya. Percayalah dia akan menunjukkan apa yang sebenarnya mampu dia lakukan kepada penyokong-penyokong United. Hanya beberapa minggu lalu dia menjaringkan hatrik jadi dia memang sentiasa berkembang setiap masa. Dia masih muda, jadi masih banyak yang dapat diharapkan daripadanya kerana dia akan terus berkembang”, kata Weidenfeller. Kelebihan Kagawa menurut Weidenfeller ialah dia memiliki teknik yang bagus dalam permainan di mana lawan sukar meramalkan apa yang bakal dilakukannya ketika menyusun gerakan. Memang benar apa yang dikatakan Weidenfeller kerana Kagawa adalah antara pemain yang mampu bermain dalam berbagai posisi. Bersama Dortmund Kagawa bukan hanya bertindak sebagai pemain tengah menyerang tetapi seringkali diletakkan Jurgen Klopp di belakang Robert Lewandowski. Dalam formasi permainan United pula, Kagawa beroperasi dalam kedudukan yang lebih luas disebelah kiri di mana peranan yang sama turut dimainkannya bersama skuad kebangsaan Jepun. Kata-kata Sir Alex selepas perlawanan menentang Norwich seolah-olah memberikan gambaran awal bahawa Kagawa akan menjadi nadi kekuatan United musim depan. Jika ada individu yang layak untuk meramalkan tentang skuad musim depan United, orangnya tidak lain dan tidak bukan ialah Sir Alex sendiri. Untuk musim depan, apakah Sir Alex akan terus menggunakan formasi 4-2-3-1 yang membolehkan Kagawa bermain mengikut kebolehan semula jadinya atau beliau akan mengubah peranan pemain berusia 24 tahun itu sepertimana yang dilakukannya ke atas Wayne Rooney musim ini. Shinji Kagawa sudah mula menunjukkan potensinya dan tidak mustahil ramalan Sir Alex bahawa bintang Jepun itu akan menjadi key player buat United musim depan akan menjadi kenyataan. Pengendali berpengalaman seperti Sir Alex sudah tentu cukup bijak dan arif bagaimana mahu mengeksploitasi sepenuhnya bakat dan kebolehan milik Kagawa untuk kepentingan pasukan, jadi kita tunggu saja apa yang mampu diberikan Kagawa pada musim keduanya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

02 April 2013

KEGAGALAN SEMALAM BUKANLAH KEGAGALAN MUTLAK


Selepas treble kini double pula terlucut dari jangkauan. Manchester United sudahpun tersingkir dari saingan Piala FA musim ini selepas mereka tewas 0-1 ditangan Chelsea pada perlawanan ulangan yang dilangsungkan di Stamford Bridge semalam. Kekalahan semalam memang memedihkan terutamanya apabila disingkirkan oleh musuh ketat seperti Chelsea dan kegagalan itu pasti akan terus diingati untuk tempoh beberapa hari lagi. Perlawanan semalam bolehlah dikatakan hampir seimbang dengan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang menjaringkan gol tetapi amat malang apabila United gagal bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan Demba Ba diminit ke-49. Kita juga perlu mengakui bahawa Petr Cech berada pada kelas tersendiri semalam terutama ketika dia bertindak cukup cemerlang menafikan peluang terbaik United menerusi tandukan Javier Hernandez diminit ke-61. Ketika 99% bola hampir pasti menerjah jaring gol, Cech bertindak dengan begitu fantastis menafikan peluang Hernandez untuk menyamakan kedudukan. Meskipun selepas perlawanan, Cech mengakui dia sekadar bernasib baik (berjaya menepis bola tandukan Hernandez) namun penjaga gol antarabangsa Republik Czech itu memang menampilkan aksi cukup cemerlang sepanjang 90 minit permainan. Kekalahan semalam juga menyaksikan Sir Alex Ferguson gagal membawa United menjulang Piala FA buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun, tetapi pengendali berpengalaman itu tahu segala kekecewaan akan segera dilupakan jika United berjaya membenam Manchester City pada pertemuan liga di Old Trafford minggu hadapan. Menewaskan City bermakna United memiliki kelebihan 18 mata di hadapan juara bertahan itu dan meskipun secara matematiknya, City masih berpeluang mengejar The Red Devils (itupun jika United tewas 6 perlawanan dan seri sekali dari baki tujuh perlawanan mereka), peluang City mempertahankan kejuaraan mereka bolehlah dikatakan sudah tertutup rapat. Okey kembali semula pada perlawanan di Stamford Bridge semalam. Pada keseluruhannya pemain United paling menonjol ialah Antonio Valencia yang konsisten sepanjang perlawanan. Meskipun penampilannya sejak kebelakangan ini sering menjadi bahan kritikan tetapi Valencia pantas membuktikan bahawa dia sepatutnya perlu lebih dihormati.

Sepanjang 90 minit Valencia memenuhi standard yang diletakkan Sir Alex ke atasnya dan perkara itu diakui sendiri oleh bos United itu. Menurut Sir Alex tiada seorangpun pemain United yang sepatutnya berbangga dengan penampilan mereka semalam kecuali Valencia. “Sepanjang 90 minit Antonio Valencia bermain dengan cukup cemerlang, melakukan gerakan-gerakan serangan tanpa rasa penat dan bertahan dengan baik ketika kubu kami diasak. Phil Jones tampil bagus dalam beberapa bahagian dan David De Gea juga. Tetapi sepanjang 90 minit hanya Antonio Valencia yang benar-benar cemerlang dan memberikan prestasi terbaiknya”, kata Sir Alex. Sebelum perlawanan United sudah ditimpa malang apabila Wayne Rooney yang dikatakan bakal menjadi sandaran di bahagian hadapan United tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha. Di separuh masa pertama Hernandez hampir meletakkan United di hadapan namun rembatannya dari luar petak penalti berjaya diselamatkan Cech dengan menggunakan kaki meskipun pada awalnya dia tampak hampir tertewas. Di penghujung permainan, Robin Van Persie juga hampir saja menyamakan kedudukan tetapi rembatannya melambung tinggi meskipun dia berada pada posisi terbaik di hadapan gawang lawan. Pada kebiasaannya peluang seperti itu adalah `makanan’ Van Persie tetapi entah apa sebabnya dia terlepas peluang keemasan seperti itu. Jika Hernandez atau Van Persie berjaya menyempurnakan salah satu peluang tersebut, keputusan perlawanan mungkin berbeza. Apapun 90 minit perlawanan sudah berakhir dengan Chelsea sudahpun menempah tempat mereka di separuh akhir dan kegagalan haruslah diterima dengan hati terbuka. Gagal memenuhi misi menjulang treble atau double bukanlah satu kegagalan mutlak kerana United masih mempunyai satu lagi trofi untuk dijulang iaitu trofi Liga Perdana. Semoga pertemuan menentang City minggu hadapan akan menjadi detik terbaik buat pemain-pemain bangkit dan penyokong-penyokong melupakan kegagalan semalam. Hanya kemenangan ke atas City pada pertemuan derby 9 April nanti menjadi hadiah terbaik dari United untuk penyokong-penyokong mereka sekaligus memberikan paku terakhir pada keranda perjuangan City musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

01 April 2013

PREVIEW PIALA FA: CHELSEA lwn MANCHESTER UTD



Manchester United dan Chelsea akan membuat perhitungan terakhir di Stamford Bridge bagi merebut slot ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama yang diadakan di Old Trafford. Dua gergasi England itu meraih keputusan berbeza dalam saingan liga Sabtu lalu di mana United menang 1-0 ke atas Sunderland manakala Chelsea pula tewas 1-2 kepada Southampton. Bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari pastinya menguji mental dan fizikal pemain kedua-dua pasukan dan dalam hal ini United dilihat memiliki sedikit kelebihan. United memiliki skuad yang besar berbanding Chelsea di mana Sir Alex mempunyai lebih banyak opsyen dalam menurunkan barisan pemainnya malam ini. Rio Ferdinand, Tom Cleverley, Wayne Rooney, Patrice Evra, Danny Welbeck dan Nani yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menentang Sunderland dijangka kembali memperkuatkan pasukan, manakala tempat Rafael da Silva yang diberitakan mengalami kecederaan ringan akan diisi Phil Jones. Bagi tuan rumah pula, nama-nama seperti Juan Mata, Eden Hazard, Ashley Cole, David Luiz, Ramires dan Demba yang direhatkan ketika mereka tewas kepada Southampton kembali menjadi sandaran Rafa Benitez. Benitez nampaknya berdepan situasi lebih kritikal kerana perlu bertindak bijak dalam melakukan penggiliran pemain kerana mereka terpaksa berdepan lima perlawanan dalam tempoh 13 hari. John Terry tampak akan mengetuai skuad The Blues dalam perlawanan ini selepas mempamerkan persembahan terpuji di St Mary.

Selepas direhatkan pada perlawanan liga Sabtu lalu, Wayne Rooney pasti mendapat rehat secukupnya dan kecergasannya akan menjadi faktor penting di barisan hadapan United. Rooney menjaringkan dua gol dalam aksi antarabangsa untuk England minggu lalu dan dia dilihat dalam momentum terbaik untuk sekali mencuri tumpuan dalam perlawanan ini. Selain Rooney, Javier Hernandez juga bakal menjadi tumpuan berikutan rekod baiknya setiap kali berdepan Chelsea. Tujuh gol dari 10 pertemuan menentang kelab London itu tentunya akan menyebabkan Hernandez diberikan perhatian benteng pertahanan Chelsea jika dia diturunkan Sir Alex malam ini. Jika Sir Alex memiliki Rooney dan Hernandez sebagai senjata utamanya dalam perlawanan ini, Benitez pula akan menyandarkan harapannya kepada Juan Mata untuk menggempur kubu United. Mata merupakan penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan 17 gol dalam semua kejohanan dan dia jelas pemain paling berbahaya untuk The Blues. David de Gea perlu lebih berhati-hati dengan kemampuan Mata menjaringkan gol dari luar petak penalti dan gerakan-gerakan liciknya. Jika Mata berada pada prestasi terbaik, Chelsea mampu memberikan ancaman menerusi gerakan­ serang balas pantas mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Dari 12 rekod pertemuan Piala FA menentang Chelsea, United menang lapan perlawanan, dua kali seri dan dua kali kalah.

- Dalam saingan Piala FA 1998-99, United dan Chelsea mencatat keputusan seri pada perlawanan di Old Trafford, tetapi Red Devils menang 2-0 pada perlawanan ulangan di Stamford Bridge.

- Ini merupakan kunjungan ketiga United di Stamford Bridge musim ini. United mengatasi Chelsea pada perlawanan liga tetapi tewas dalam saingan Piala Liga (Capital One).

- Chelsea merupakan kelab yang memiliki pencapaian terbaik pada saingan Piala FA dalam tempoh beberapa tahun terakhir. Mereka berjaya memenangi Piala FA sebanyak empat kali dalam tempoh enam musim terakhir.

- Chelsea tidak tewas di Stamford Bridge dalam saingan Piala FA selama 10 tahun. Kelab terakhir yang berjaya menewaskan Chelsea di Stamford Bridge ialah Arsenal di mana The Gunners menang perlawanan ulangan peringkat suku akhir musim 2002-03 dengan keputusan 3-1. John Terry menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan itu.

- United tidak pernah menjulang Piala FA sejak 2004 meskipun mereka adalah kelab yang paling banyak menjulang trofi kejohanan kalah mati itu sebanyak 11 kali.

- Kali terakhir United mara ke final ialah pada musim 2006-07. Bagaimanapun United tewas kepada Chelsea.

- Javier Hernandez adalah penjaring terbanyak United dalam kempen Piala FA musim ini dengan empat gol.

31 Mac 2013

MAAF...CHICHARITO BUKAN UNTUK DIJUAL!


Meskipun jarang tampil dalam kesebelasan utama Manchester United, kelibat Javier Hernandez tetap menjadi perhatian beberapa kelab utama Eropah. Real Madrid dan Juventus secara terbuka mengatakan mereka berminat membawa keluar Hernandez dari Old Trafford musim panas ini jika United sedia menjual penyerang antarabangsa Mexico itu. Dalam saingan liga musim ini, Hernandez hanya bermain sebanyak 15 perlawanan, jauh dari pencapaian yang pernah dilakukannya dalam tempoh dua musim terakhir. Hernandez berdepan kesukaran memecah penguasaan Wayne Rooney dan Robin Van Persie di barisan hadapan United manakala Danny Welbeck pula berjaya memainkan peranan dengan berkesan dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Sir Alex musim ini. Dengan kualiti pemain yang dimiliki United musim ini, mana-mana pengurus atau jurulatih akan berdepan masalah sepertimana yang dihadapi Sir Alex dalam memilih kesebelasan terbaiknya bagi setiap perlawanan. Disebabkan jarang diturunkan ramai pihak sudah mula meramalkan bahawa Hernandez akan meninggalkan Old Trafford dan spekulator pula sudah mula meletakkan namanya dalam senarai pemain United yang akan dijual musim panas ini. Bagaimanapun Sir Alex tetap sedar bahawa Hernandez masih lagi antara pemain utama dan penting dalam skuadnya, jadi atas sebab itulah bos United itu pantas menepis khabar-khabar angin yang meragui masa depan penyerang berusia 24 tahun itu di Old Trafford. Berkaitan tentang masa depan Hernandez, kata-kata dari Sir Alex ini sudah cukup untuk menepis sebarang spekulasi-spekulasi liar dan meredakan kebimbangan penyokong-penyokong United tentang kemungkinan bintang Mexico itu meninggalkan pasukan. “Dia memiliki kontrak jangka panjang bersama kami jadi dia tidak akan kemana-mana. Dia pemain yang sangat penting bagi kami”, kata Sir Alex. Menjelang pertembungan ulangan suku akhir Piala FA menentang Chelsea esok, kelibat Hernandez berkemungkinan besar dapat disaksikan berikutan rekod jaringannya yang cukup baik setiap kali berdepan The Blues. Rekod jaringan Hernandez ke atas Chelsea memang diakui ramai pihak dan situasi ini cukup membimbangkan penyokong-penyokong lawan. Hernandez sudah menjaringkan tujuh gol dari 10 pertemuan menentang Chelsea dan dia tidak pernah gagal membolosi gawang Petr Cech dalam empat pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan. Tetapi isu yang besar di sini ialah tentang tempoh yang dihabiskannya di bangku simpanan United hingga menyebabkan masa depannya mula dipersoalkan.

Kualiti kuartet penggempur yang dimiliki United musim ini sering dijadikan perbandingan dengan skuad juara treble United `99 yang ketika itu dibarisi Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer dan Teddy Sheringham. Dengan apa yang dimiliki sekarang, memang sukar buat Sir Alex memilih penyerang mana patut diturunkannya dalam setiap perlawanan. Sir Alex sendiri mengakui bahawa sukar baginya meninggalkan pemain sebagus Hernandez di bangku simpanan apatah lagi selepas melihat pemain berusia 24 tahun itu sudah menjaringkan 16 gol dari 28 penampilan dalam semua kejohanan setakat ini. 16 gol adalah jumlah yang banyak buat seorang pemain yang kerap bermula dari bangku simpanan, jadi tidak hairanlah mengapa Sir Alex meletakkan tanda `Bukan Untuk Dijual’ ke atas Hernandez. Hernandez memang memiliki kualiti penyudah yang cukup fantastik ketika berada dalam petak penalti tetapi dalam masa yang sama Sir Alex juga tidak mampu meletakkan pemain yang memiliki kualiti kelas dunia seperti Robin Van Persie dan Wayne Rooney di bangku simpanan. “Saya sudah mengatakan kepadanya, bukan mudah buat saya meninggalkannya di bangku simpanan selepas melihat dia menjaringkan 16 gol musim ini. Situasi saya bertambah sukar selepas kami memiliki Van Persie dan dalam masa yang sama saya juga mempunyai Welbeck, Rooney dan Shinji Kagawa. Saya memiliki skuad yang mungkin terbesar dalam liga”, tambah Sir Alex bagi menjelaskan situasi sukar yang dialaminya ketika ini dalam memilih kesebelasan utama United. Meskipun jarang di turunkan dalam saingan liga domestik, Hernandez membuktikan ketajamannya di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Mexico mengikat Honduras 2-2 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, 23 Mac lalu. Kemampuan Hernandez seringkali dibandingkan dengan lagenda United, Ole Gunnar Solskjaer di mana kedua-duanya mempunyai satu persamaan, iaitu ketajaman mereka tidak tumpul biarpun banyak menghabiskan waktu di bangku simpanan. Katalah apa saja tentang Hernandez, sama ada dia memang penyerang yang mempunyai naluri pembunuh, bertuah atau sekadar bernasib baik setiap kali berdepan Chelsea. Jika diturunkan esok, ketajaman dan rekod baik Hernandez ketika berdepan Chelsea kembali ditagih untuk membawa United ke peringkat separuh akhir Piala FA sekaligus menjadikan misi menjulang kejuaraan double (kejuaraan liga dan Piala FA) buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun semakin hampir menjadi kenyataan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Anda Juga Mungkin Meminati:

REVIEW: KEJUARAAN KE-20 SEMAKIN HAMPIR


Pertembungan di Stadium of Light malam tadi bukanlah perlawanan yang menarik tetapi selepas tamat 90 minit Manchester United mendapat keputusan yang dimahukan mereka. Kemenangan 1-0 ke atas Sunderland mengulangi pencapaian mereka ke atas skuad The Black Cats itu musim lalu dan dengan baki 8 perlawanan lagi untuk diharungi, United kian menghampiri kejuaraan liga ke-20. Berdepan minggu yang agak sibuk, Sir Alex Ferguson nampaknya cukup berhati-hati memilih kesebelasan utamanya semalam apatah lagi United akan berkunjung pula ke Stamford Bridge berdepan Chelsea dalam perlawanan ulangan peringkat suku akhir Piala FA esok. Sir Alex memutuskan merehatkan Rio Ferdinand, Jonny Evans, Tom Cleverley, Patrice Evra, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam perlawanan ini namun masih mampu meraih tiga mata penuh. Menyedari mereka perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi mengekalkan jurang mata di tangga teratas, United mula memberikan tekanan kepada barisan tuan rumah sejak awal permainan. Walaupun mendominasi penguasaan bola namun United sukar menembusi benteng lawan yang diterajui bekas pemain United sendiri iaitu John O’Shea dan Phil Bardsley. Gol tunggal perlawanan akhirnya terhasil diminit ke-27 apabila rembatan Robin Van Persie dari sebelah kanan pintu gol lawan tertampan Titus Bramble lalu menerjah gawang sendiri. Meskipun pada awalnya gol itu seolah-olah milik Van Persie tetapi akhirnya disahkan secara rasmi sebagai gol sendiri Bramble sekaligus menyaksikan penyerang United itu masih belum menjaringkan sebarang gol di peringkat liga sejak 11 Februari lalu. Babak kedua perlawanan menyaksikan tuan rumah cuba mencari gol penyamaan dengan meningkatkan tekanan tetapi mendapati mereka sukar menembusi benteng pertahanan United. Hanya satu gerakan menarik yang dapat disaksikan di babak kedua menerusi percubaan Alexander Buttner yang berjaya ditepis keluar Simon Mignolet. Di penghujung permainan, Van Persie hampir menambah jaringan United tetapi walaupun hanya berdepan Mignolet, rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol itu. Kemenangan ini menyaksikan United masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan liga sejak kali terakhir tewas kepada Norwich City di Carrow Road pada 18 November lalu.

REAKSI BOS

Sementara itu, Sir Alex tetap berpuas hati walaupun pasukannya sekadar meraih kemenangan tipis ke atas Sunderland. Gol jaringan sendiri Titus Bramble itu sudah cukup memberikan United tiga mata penuh sekaligus mengekalkan jurang mata mereka di tangga teratas selepas pencabar terdekat Manchester Ciy mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Newcastle United di gelanggang sendiri. Walaupun gagal menambah sebarang gol selepas itu, Sir Alex gembira dengan prestasi yang dipamerkan pemain-pemainnya terutama di benteng pertahanan yang menyaksikan David de Gea berjaya mengekalkan rekod bersih tidak dibolosi enam perlawanan (liga) berturut-turut. “Para pemain menampilkan semangat juang yang tinggi. Kami bermain dengan baik di babak pertama tetapi tuan rumah mendominasi saingan di babak kedua. Ini adalah kemenangan ke-25 kami dari 30 perlawanan liga sekaligus rekod baru buat kami. Semua ini adalah kerana kerja keras serta dedikasi yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat di Manchester United. Selain itu saya juga cukup berpuas hati dengan penampilan pasukan musim ini”, kata Sir Alex. Berbaki lapan perlawanan lagi untuk diharungi dan dengan kelebihan 15 mata yang dimiliki United, peluang juara bertahan, Manchester City yang cuba mengekalkan trofi liga di Stadium Etihad musim ini tampak semakin menghampiri penamatnya. United boleh menamatkan perjuangan City musim ini jika berjaya menewaskan skuad Roberto Mancini apabila kedua-dua musuh setempat itu bertemu dalam saingan liga pada 9 April ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Sunderland-United:

Penguasaan Bola: 39% - 61%
Percubaan Tepat: 1 – 8
Percubaan Tersasar: 9 – 14
Sepakan Sudut: 3 – 6
Kekasaran: 12 – 9
Offside: 1 – 3
Kad Kuning: 3 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Gol: 0 - 1

29 Mac 2013

PREVIEW: SUNDERLAND lwn MANCHESTER UTD



Manchester United kembali semula ke Stadium of Light buat pertama kali, gelanggang di mana barisan The Red Devils menyaksikan mahkota liga yang mereka menangi pada musim 2010-11 terlucut dari genggaman pada perlawanan terakhir liga musim lalu. Jika 10 bulan lalu, United berkunjung ke Stadium of Light membawa misi hampir mustahil iaitu mahu mempertahankan kejuaraan liga dari terlepas ke tangan Manchester City, kini situasi sudah berputar hampir 360 darjah. Ketika ini United begitu selesa menerajui takhta liga dengan kelebihan 15 mata, jauh meninggalkan City yang berada di tangga kedua. Tewas atau seri, tidak memberikan perubahan yang besar kepada kedudukan United di tangga teratas liga tetapi jika skuad kendalian Sir Alex Ferguson berjaya menewaskan Sunderland dalam perlawanan ini, City yang akan berdepan Newcastle United dua jam kemudian pasti lebih tertekan. Selepas sebahagian besar pemain-pemainnya terlibat dengan perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing minggu ini, Sir Alex kini terpaksa memikirkan kemungkinan menurunkan dua kesebelasan utama berbeza bagi berdepan aksi liga dan perlawanan ulangan saingan suku akhir Piala FA menentang Chelsea, 1 April ini.

Anders Lindegaard dijangka mengambil alih tempat David de Gea manakala gandingan Rio Ferdinand dan Chris Smalling mungkin bertindak selaku benteng tengah bagi memberi laluan pula buat Nemanja Vidic dan Jonny Evans beraksi (menentang Chelsea pada saingan suku akhir Piala FA) di Stamford Bridge. Jika Sir Alex memutuskan mahu merehatkan Patrice Evra dan Rafael da Silva maka Phil Jones yang baru pulih dari kecederaan dan Alexander Buttner bakal digunakan bagi mengisi posisi bek kiri dan kanan. Di bahagian tengah pula, Ryan Giggs dan Anderson akan mengisi posisi tersebut jika Tom Cleverley dan Michael Carrick yang bermain untuk England pada hari Rabu ketika berdepan perlawanan sukar menentang Montenegro direhatkan. Ashley Young, Nani dan Antonio Valencia bakal bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat di posisi sayap kiri dan kanan manakala siapa yang bakal diletakkan Sir Alex selaku penggempur bergantung kepada penyerang mana yang akan diturunkannya pada perlawanan menentang Chelsea, Isnin ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Sunderland hanya menang sekali dari 23 perlawanan terakhir mereka menentang United. Selebihnya mereka tewas 17 kali dan seri 5 kali.

- Sunderland hanya berjaya meraih dua mata dari sembilan pertemuan terakhir menentang United di gelanggang sendiri.

- United hanya dibolosi satu gol dalam tempoh 572 minit terakhir menentang Sunderland dalam saingan liga.

- United berjaya mengutip 47 mata dari 17 perlawanan terakhir mereka.

- David de Gea tidak dibolosi dalam lima perlawanan terakhir di peringkat liga.

Barisan Kemungkinan Sunderland:

Simon Mignolet, John O’Shea, Titus Bramble, Craig Gardner, Jack Colback, Danny Rose, Alfred N’Diaye, Sebastian Larsson, Adam Johnson, Danny Graham & Ryan Noble

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Phil Jones, Nani, Anderson, Ryan Giggs, Antonio Valencia, Javier Hernandez & Danny Welbeck

27 Mac 2013

RVP, SUAREZ & BALE...SIAPA LEBIH HEBAT?


Robin Van Persie, Luis Suarez dan Gareth Bale dijangka bersaing sesama sendiri bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana England pada akhir musim nanti. Walaupun Van Persie, Suarez dan Bale memainkan peranan yang sangat berbeza untuk kelab masing-masing namun berkongsi fakta yang sama, iaitu mereka bertiga adalah finisher hebat musim ini. Ketiga-tiga mereka sudah menghimpunkan 73 gol dalam semua kejohanan setakat ini dengan kemungkinan seorang dari mereka akan memenangi anugerah pemain terbaik manakala seorang lagi meraih anugerah kasut emas di akhir musim. Perlu diakui bahawa Van Persie, Suarez dan Bale merupakan pemain yang cukup cemerlang dari segi teknikalnya dan mereka cukup ditakuti mana-mana pemain pertahanan di Liga Perdana apabila bola berada di kaki mereka. Kemahiran yang dimiliki mereka menerusi pergerakan-pergerakan yang mengelirukan selain sering berada pada waktu dan posisi yang tepat untuk menjaringkan gol menjadikan mereka igauan ngeri pertahanan lawan.

Van Persie sudah membuktikan betapa dia adalah penyerang kelas dunia sejak bersama Arsenal lagi dan sekarang meneruskan kehebatannya bersama Manchester United pula. Kemampuan Van Persie bukan setakat berada di belakang pertahanan lawan dan kemudiannya menunggu hantaran rakan sepasukan untuk disudahkan tetapi dia juga dianggap penyerang yang cukup kreatif dalam menyusun gerakan ketika melancarkan serangan. Van Persie boleh menyebabkan penjaga gol berpengalaman sekalipun umpama pemain amatur menerusi kehebatan kaki kirinya sama ada melalui gerakan-gerakan padang ataupun menerusi sepakan percuma. Ramai pihak tidak menjangkakan bahawa Van Persie akan menjaringkan banyak gol buat United pada musim pertamanya selepas berhijrah dari Arsenal musim panas lalu. Bukan mudah buat seseorang pemain menyesuaikan diri dengan pasukan baru baik dari segi permainan, taktikal atau individu-individu disekelilingnya. Tetapi itulah sebenarnya kehebatan Van Persie di mana dia membuktikan pemain kelas dunia sepertinya tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk beradaptasi dengan pasukan baru. Sejak Ruud Van Nistelrooy meninggalkan Old Trafford tujuh tahun lalu, peminat-peminat United merindui kelibat seorang finisher sehebatnya sehinggalah Sir Alex melakukan langkah besar dengan menandatangani Van Persie Ogos lalu. Pada usia 29 tahun, Van Persie sedang berada dikemuncak kariernya dan jika United berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali ke-20, itu adalah detik terbaik dalam keseluruhan kerjaya Van Persie. Kejuaraan berganda dengan memenangi Piala FA pula adalah bonus buat penyerang antarabangsa Belanda itu pada musim pertamanya di Old Trafford.

Meskipun Luis Suarez bermain untuk Liverpool yang juga merupakan musuh tradisi United, tetapi kita perlu bersikap adil terhadapnya dengan mengakui bahawa Suarez adalah antara penyerang yang dianugerahkan dengan skil hebat. Ketika Suarez masih bersama Ajax Amsterdam, saya pernah berharap agar suatu hari nanti Sir Alex akan membawanya beraksi di Old Trafford, tetapi malang Kenny Dalglish lebih kehadapan dalam mendapatkan khidmatnya. Kontroversi yang tercetus antara dirinya dan Patrice Evra musim lalu tidak pernah memadamkan kehebatannya di tengah padang meskipun dia antara pemain paling dibenci di England. Lupakan seketika kontroversi-kontroversi yang pernah dicetuskan Suarez dan mari kita lihat sumbangan yang diberikannya kepada Liverpool musim ini. Setakat ini Suarez adalah penjaring terbanyak liga dengan 22 gol dan dia sudah menjaringkan 29 gol dari 40 penampilan dalam semua kejohanan musim ini. Ramai yang mengatakan bahawa Liverpool terlalu bergantung kepada Suarez dalam menghasilkan gol musim ini sehingga ada yang melabelkan penyerang antarabangsa Uruguay itu secara berseorangan berjaya membawa The Reds naik ke kedudukan lebih baik dalam carta liga biarpun di awal musim berada di kelompok bawahan. Suarez adalah contoh pemain yang gigih di atas padang dan berbekalkan kemahiran serta kepintaran yang dimilikinya, Suarez sebenarnya sedang menuju proses menjadi penyerang terbilang satu hari nanti.  Pemain seperti Van Persie, Didier Drogba dan Dimitar Berbatov menikmati tempoh terbaik dalam kerjaya mereka pada usia 27 hingga 30 tahun, jadi bagi Suarez yang kini berusia 26 tahun, dia dijangka lebih menyerlah musim hadapan selepas melalui tempoh yang cukup cemerlang musim ini.

Gareth Bale baru berusia 23 tahun dan sudah pasti selepas apa yang disumbangkannya untuk Tottenham Hotspurs musim ini, dia mempunyai masa depan yang cukup cemerlang. Selepas mula mencuri tumpuan musim lalu, Bale benar-benar meledak musim ini sehingga menyebabkan dirinya muncul pemain paling diburu kelab-kelab utama Eropah. Di bawah kendalian Harry Redknapp, Bale bermula sebagai bek kiri tetapi kepantasannya dimanfaatkan pengendali berpengalaan itu dengan menukar posisi Bale ke bahagian sayap kiri pula. Bermula dari situlah karier Bale semakin menyinar dan dia benar-benar menikmati peranan yang dimainkannya sekarang. Peranan Bale dalam skuad Spurs sekarang tidak terbatas sebagai pemain sayap sahaja kerana dia juga sering digunakan Andre Villas-Boas untuk bertindak selaku penyerang tengah. Dalam tempoh hanya beberapa musim, Bale muncul kuasa peledak untuk Spurs dan bintang utama kelab dari London itu. Kemampuan Bale sering dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo dan tidak terkecuali rakan senegaranya yang juga lagenda Manchester United, Ryan Giggs ketika zaman kemuncaknya. Sebagai pemain sayap, Bale tidak bergantung kepada kepantasannya semata-mata tetapi dia juga menggunakan kelebihan kekuatan fizikalnya untuk menewaskan pemain pertahanan lawan. Di gimnasium Bale bekerja keras membentuk kekuatan fizikalnya manakala ketika di padang latihan pula dia menghabiskan masa berjam-jam mengasah ketajaman penyudah serta memperbaiki teknik sepakan percumanya. Dalam saingan liga setakat ini Bale sudah menjaringkan 16 gol dari 26 penampilan, jumlah tertinggi yang dihasilkannya sejak 6 musim bersama Spurs. Jadi tidak mengejutkan jika satu hari nanti Bale mungkin akan digunakan sebagai penyerang tengah sepenuhnya.

Selepas apa yang mereka sumbangkan musim ini sukar untuk memilih siapa yang lebih baik di antara mereka bertiga. Van Persie adalah mesin gol buat United dan dia membuktikan penyerang kelas dunia sepertinya tidak memerlukan waktu yang panjang untuk menyerlah bersama pasukan baru. 19 gol dari 26 aksi liga setakat ini membuktikan wibawa sebenar Van Persie sebagai penjaring gol, itu belum lagi diambil kira beberapa gol penting yang dihasilkannya musim ini. Sepakan percuma Van Persie yang menghasilkan gol kemenangan United di Stadium Etihad adalah contoh terbaik. Ketika masih bersama Arsenal, setiap kali mereka menguasai bola, hantaran pastinya akan ditujukan kepada Van Persie, hal yang sama juga berlaku kepada Suarez di Liverpool. Setakat ini Suarez sudah bermain semua perlawanan liga untuk Liverpool dan menjaringkan 22 gol, lebih sekali ganda dari apa yang dihasilkannya musim lalu. Suarez dibeli Kenny Dalglish bagi menggantikan tempat Fernando Torres yang berhijrah ke Chelsea. Hadir di Anfield pada pertengahan musim 2010-11, Suarez menjaringkan 4 gol dari 13 penampilan liga. Musim lalu, penyerang antarabangsa Uruguay itu menjaringkan 11 gol dari 31 aksi, tetapi musim ini Suarez benar-benar meledak. Berbanding Van Persie dan Suarez, Bale mungkin lebih mencuri tumpuan musim ini. Bale antara pemain Spurs yang cukup konsisten dan dia adalah bintang sebenar di White Hart Lane ketika ini. Mungkin juga Bale satu-satunya pemain Spurs yang mampu bermain dengan mana-mana kelab terbaik dunia. Bale memiliki potensi besar untuk menjadi bintang utama dunia satu hari nanti dan dia sebenarnya dalam landasan tepat menuju ke arah itu. Jadi siapakah di antara mereka yang terbaik musim ini? Jika saya diberi pilihan dan sebagai peminat Manchester United, sudah tentu saya memilih Robin Van Persie. Peluang buat Van Persie mempertahankan anugerah yang dimenanginya musim lalu lebih terbuka andainya United berjaya meraih kejuaraan double musim ini…Glory Glory Manchester United!!! – A.J