Pertembungan di Stadium of Light malam tadi
bukanlah perlawanan yang menarik tetapi selepas tamat 90 minit Manchester
United mendapat keputusan yang dimahukan mereka. Kemenangan 1-0 ke atas
Sunderland mengulangi pencapaian mereka ke atas skuad The Black Cats itu musim lalu dan dengan baki 8 perlawanan lagi
untuk diharungi, United kian menghampiri kejuaraan liga ke-20. Berdepan minggu
yang agak sibuk, Sir Alex Ferguson nampaknya cukup berhati-hati memilih
kesebelasan utamanya semalam apatah lagi United akan berkunjung pula ke
Stamford Bridge berdepan Chelsea dalam perlawanan ulangan peringkat suku akhir Piala
FA esok. Sir Alex memutuskan merehatkan Rio Ferdinand, Jonny Evans, Tom
Cleverley, Patrice Evra, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam perlawanan ini
namun masih mampu meraih tiga mata penuh. Menyedari mereka perlu mengekalkan
momentum kemenangan bagi mengekalkan jurang mata di tangga teratas, United mula
memberikan tekanan kepada barisan tuan rumah sejak awal permainan. Walaupun
mendominasi penguasaan bola namun United sukar menembusi benteng lawan yang
diterajui bekas pemain United sendiri iaitu John O’Shea dan Phil Bardsley. Gol
tunggal perlawanan akhirnya terhasil diminit ke-27 apabila rembatan Robin Van
Persie dari sebelah kanan pintu gol lawan tertampan Titus Bramble lalu
menerjah gawang sendiri. Meskipun pada awalnya gol itu seolah-olah milik Van
Persie tetapi akhirnya disahkan secara rasmi sebagai gol sendiri Bramble
sekaligus menyaksikan penyerang United itu masih belum menjaringkan sebarang
gol di peringkat liga sejak 11 Februari lalu. Babak kedua perlawanan
menyaksikan tuan rumah cuba mencari gol penyamaan dengan meningkatkan tekanan tetapi mendapati mereka sukar menembusi benteng pertahanan United. Hanya satu gerakan
menarik yang dapat disaksikan di babak kedua menerusi percubaan Alexander
Buttner yang berjaya ditepis keluar Simon Mignolet. Di penghujung permainan,
Van Persie hampir menambah jaringan United tetapi walaupun hanya berdepan
Mignolet, rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol itu. Kemenangan ini
menyaksikan United masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan
liga sejak kali terakhir tewas kepada Norwich City di Carrow Road pada 18
November lalu.
Sementara itu, Sir Alex tetap berpuas hati walaupun
pasukannya sekadar meraih kemenangan tipis ke atas Sunderland. Gol jaringan
sendiri Titus Bramble itu sudah cukup memberikan United tiga mata penuh
sekaligus mengekalkan jurang mata mereka di tangga teratas selepas pencabar
terdekat Manchester Ciy mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Newcastle United
di gelanggang sendiri. Walaupun gagal menambah sebarang gol selepas itu, Sir
Alex gembira dengan prestasi yang dipamerkan pemain-pemainnya terutama di
benteng pertahanan yang menyaksikan David de Gea berjaya mengekalkan rekod
bersih tidak dibolosi enam perlawanan (liga) berturut-turut. “Para pemain
menampilkan semangat juang yang tinggi. Kami bermain dengan baik di babak
pertama tetapi tuan rumah mendominasi saingan di babak kedua. Ini adalah
kemenangan ke-25 kami dari 30 perlawanan liga sekaligus rekod baru buat kami.
Semua ini adalah kerana kerja keras serta dedikasi yang diberikan oleh semua
pihak yang terlibat di Manchester United. Selain itu saya juga cukup berpuas
hati dengan penampilan pasukan musim ini”, kata Sir Alex. Berbaki lapan
perlawanan lagi untuk diharungi dan dengan kelebihan 15 mata yang dimiliki
United, peluang juara bertahan, Manchester City yang cuba mengekalkan trofi
liga di Stadium Etihad musim ini tampak semakin menghampiri penamatnya. United
boleh menamatkan perjuangan City musim ini jika berjaya menewaskan skuad
Roberto Mancini apabila kedua-dua musuh setempat itu bertemu dalam saingan liga
pada 9 April ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Statistik Perlawanan Sunderland-United:
Penguasaan Bola: 39% - 61%
Percubaan Tepat: 1 – 8
Percubaan Tersasar: 9 – 14
Sepakan Sudut: 3 – 6
Kekasaran: 12 – 9
Offside: 1 – 3
Kad Kuning: 3 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Gol: 0 - 1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan