Robin Van Persie, Luis Suarez dan Gareth Bale
dijangka bersaing sesama sendiri bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan
Liga Perdana England pada akhir musim nanti. Walaupun Van Persie, Suarez dan
Bale memainkan peranan yang sangat berbeza untuk kelab masing-masing namun
berkongsi fakta yang sama, iaitu mereka bertiga adalah finisher hebat musim ini. Ketiga-tiga mereka sudah menghimpunkan 73
gol dalam semua kejohanan setakat ini dengan kemungkinan seorang dari mereka
akan memenangi anugerah pemain terbaik manakala seorang lagi meraih anugerah
kasut emas di akhir musim. Perlu diakui bahawa Van Persie, Suarez dan Bale
merupakan pemain yang cukup cemerlang dari segi teknikalnya dan mereka cukup
ditakuti mana-mana pemain pertahanan di Liga Perdana apabila bola berada di
kaki mereka. Kemahiran yang dimiliki mereka menerusi pergerakan-pergerakan yang
mengelirukan selain sering berada pada waktu dan posisi yang tepat untuk
menjaringkan gol menjadikan mereka igauan ngeri pertahanan lawan.
Van Persie sudah membuktikan betapa dia
adalah penyerang kelas dunia sejak bersama Arsenal lagi dan sekarang meneruskan
kehebatannya bersama Manchester United pula. Kemampuan Van Persie bukan setakat
berada di belakang pertahanan lawan dan kemudiannya menunggu hantaran rakan sepasukan
untuk disudahkan tetapi dia juga dianggap penyerang yang cukup kreatif dalam
menyusun gerakan ketika melancarkan serangan. Van Persie boleh menyebabkan
penjaga gol berpengalaman sekalipun umpama pemain amatur menerusi kehebatan
kaki kirinya sama ada melalui gerakan-gerakan padang ataupun menerusi sepakan
percuma. Ramai pihak tidak menjangkakan bahawa Van Persie akan menjaringkan
banyak gol buat United pada musim pertamanya selepas berhijrah dari Arsenal
musim panas lalu. Bukan mudah buat seseorang pemain menyesuaikan diri dengan
pasukan baru baik dari segi permainan, taktikal atau individu-individu
disekelilingnya. Tetapi itulah sebenarnya kehebatan Van Persie di mana dia
membuktikan pemain kelas dunia sepertinya tidak memerlukan tempoh yang panjang
untuk beradaptasi dengan pasukan baru. Sejak Ruud Van Nistelrooy meninggalkan
Old Trafford tujuh tahun lalu, peminat-peminat United merindui kelibat seorang finisher sehebatnya sehinggalah Sir Alex
melakukan langkah besar dengan menandatangani Van Persie Ogos lalu. Pada usia
29 tahun, Van Persie sedang berada dikemuncak kariernya dan jika United berjaya
menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali ke-20, itu adalah detik terbaik
dalam keseluruhan kerjaya Van Persie. Kejuaraan berganda dengan memenangi Piala
FA pula adalah bonus buat penyerang antarabangsa Belanda itu pada musim
pertamanya di Old Trafford.
Meskipun Luis Suarez bermain untuk Liverpool
yang juga merupakan musuh tradisi United, tetapi kita perlu bersikap adil
terhadapnya dengan mengakui bahawa Suarez adalah antara penyerang yang
dianugerahkan dengan skil hebat. Ketika Suarez masih bersama Ajax Amsterdam,
saya pernah berharap agar suatu hari nanti Sir Alex akan membawanya beraksi di
Old Trafford, tetapi malang Kenny Dalglish lebih kehadapan dalam mendapatkan
khidmatnya. Kontroversi yang tercetus antara dirinya dan Patrice Evra musim
lalu tidak pernah memadamkan kehebatannya di tengah padang meskipun dia antara
pemain paling dibenci di England. Lupakan seketika kontroversi-kontroversi yang
pernah dicetuskan Suarez dan mari kita lihat sumbangan yang diberikannya kepada
Liverpool musim ini. Setakat ini Suarez adalah penjaring terbanyak liga dengan
22 gol dan dia sudah menjaringkan 29 gol dari 40 penampilan dalam semua
kejohanan musim ini. Ramai yang mengatakan bahawa Liverpool terlalu bergantung
kepada Suarez dalam menghasilkan gol musim ini sehingga ada yang melabelkan
penyerang antarabangsa Uruguay itu secara berseorangan berjaya membawa The Reds naik ke kedudukan lebih baik
dalam carta liga biarpun di awal musim berada di kelompok bawahan. Suarez
adalah contoh pemain yang gigih di atas padang dan berbekalkan kemahiran serta
kepintaran yang dimilikinya, Suarez sebenarnya sedang menuju proses menjadi
penyerang terbilang satu hari nanti.
Pemain seperti Van Persie, Didier Drogba dan Dimitar Berbatov menikmati
tempoh terbaik dalam kerjaya mereka pada usia 27 hingga 30 tahun, jadi bagi
Suarez yang kini berusia 26 tahun, dia dijangka lebih menyerlah musim hadapan
selepas melalui tempoh yang cukup cemerlang musim ini.
Gareth Bale baru berusia 23 tahun dan sudah
pasti selepas apa yang disumbangkannya untuk Tottenham Hotspurs musim ini, dia
mempunyai masa depan yang cukup cemerlang. Selepas mula mencuri tumpuan musim
lalu, Bale benar-benar meledak musim ini sehingga menyebabkan dirinya muncul
pemain paling diburu kelab-kelab utama Eropah. Di bawah kendalian Harry
Redknapp, Bale bermula sebagai bek kiri tetapi kepantasannya dimanfaatkan pengendali
berpengalaan itu dengan menukar posisi Bale ke bahagian sayap kiri pula.
Bermula dari situlah karier Bale semakin menyinar dan dia benar-benar menikmati
peranan yang dimainkannya sekarang. Peranan Bale dalam skuad Spurs sekarang
tidak terbatas sebagai pemain sayap sahaja kerana dia juga sering digunakan
Andre Villas-Boas untuk bertindak selaku penyerang tengah. Dalam tempoh hanya
beberapa musim, Bale muncul kuasa peledak untuk Spurs dan bintang utama kelab
dari London itu. Kemampuan Bale sering dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo
dan tidak terkecuali rakan senegaranya yang juga lagenda Manchester United,
Ryan Giggs ketika zaman kemuncaknya. Sebagai pemain sayap, Bale tidak bergantung
kepada kepantasannya semata-mata tetapi dia juga menggunakan kelebihan kekuatan
fizikalnya untuk menewaskan pemain pertahanan lawan. Di gimnasium Bale bekerja
keras membentuk kekuatan fizikalnya manakala ketika di padang latihan pula dia
menghabiskan masa berjam-jam mengasah ketajaman penyudah serta memperbaiki
teknik sepakan percumanya. Dalam saingan liga setakat ini Bale sudah
menjaringkan 16 gol dari 26 penampilan, jumlah tertinggi yang dihasilkannya
sejak 6 musim bersama Spurs. Jadi tidak mengejutkan jika satu hari nanti Bale
mungkin akan digunakan sebagai penyerang tengah sepenuhnya.
Selepas apa yang mereka sumbangkan musim ini
sukar untuk memilih siapa yang lebih baik di antara mereka bertiga. Van Persie
adalah mesin gol buat United dan dia membuktikan penyerang kelas dunia
sepertinya tidak memerlukan waktu yang panjang untuk menyerlah bersama pasukan
baru. 19 gol dari 26 aksi liga setakat ini membuktikan wibawa sebenar Van Persie
sebagai penjaring gol, itu belum lagi diambil kira beberapa gol penting yang
dihasilkannya musim ini. Sepakan percuma Van Persie yang menghasilkan gol
kemenangan United di Stadium Etihad adalah contoh terbaik. Ketika masih bersama
Arsenal, setiap kali mereka menguasai bola, hantaran pastinya akan ditujukan
kepada Van Persie, hal yang sama juga berlaku kepada Suarez di Liverpool. Setakat
ini Suarez sudah bermain semua perlawanan liga untuk Liverpool dan menjaringkan
22 gol, lebih sekali ganda dari apa yang dihasilkannya musim lalu. Suarez
dibeli Kenny Dalglish bagi menggantikan tempat Fernando Torres yang berhijrah
ke Chelsea. Hadir di Anfield pada pertengahan musim 2010-11, Suarez
menjaringkan 4 gol dari 13 penampilan liga. Musim lalu, penyerang antarabangsa Uruguay
itu menjaringkan 11 gol dari 31 aksi, tetapi musim ini Suarez benar-benar
meledak. Berbanding Van Persie dan Suarez, Bale mungkin lebih mencuri tumpuan
musim ini. Bale antara pemain Spurs yang cukup konsisten dan dia adalah bintang
sebenar di White Hart Lane ketika ini. Mungkin juga Bale satu-satunya pemain
Spurs yang mampu bermain dengan mana-mana kelab terbaik dunia. Bale memiliki
potensi besar untuk menjadi bintang utama dunia satu hari nanti dan dia
sebenarnya dalam landasan tepat menuju ke arah itu. Jadi siapakah di antara
mereka yang terbaik musim ini? Jika saya diberi pilihan dan sebagai peminat
Manchester United, sudah tentu saya memilih Robin Van Persie. Peluang buat Van
Persie mempertahankan anugerah yang dimenanginya musim lalu lebih terbuka
andainya United berjaya meraih kejuaraan double
musim ini…Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan