Meskipun jarang tampil dalam kesebelasan
utama Manchester United, kelibat Javier Hernandez tetap menjadi perhatian
beberapa kelab utama Eropah. Real Madrid dan Juventus secara terbuka mengatakan
mereka berminat membawa keluar Hernandez dari Old Trafford musim panas ini jika
United sedia menjual penyerang antarabangsa Mexico itu. Dalam saingan liga
musim ini, Hernandez hanya bermain sebanyak 15 perlawanan, jauh dari pencapaian
yang pernah dilakukannya dalam tempoh dua musim terakhir. Hernandez berdepan
kesukaran memecah penguasaan Wayne Rooney dan Robin Van Persie di barisan
hadapan United manakala Danny Welbeck pula berjaya memainkan peranan dengan
berkesan dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Sir Alex musim ini. Dengan
kualiti pemain yang dimiliki United musim ini, mana-mana pengurus atau
jurulatih akan berdepan masalah sepertimana yang dihadapi Sir Alex dalam
memilih kesebelasan terbaiknya bagi setiap perlawanan. Disebabkan jarang
diturunkan ramai pihak sudah mula meramalkan bahawa Hernandez akan meninggalkan
Old Trafford dan spekulator pula sudah mula meletakkan namanya dalam senarai
pemain United yang akan dijual musim panas ini. Bagaimanapun Sir Alex tetap
sedar bahawa Hernandez masih lagi antara pemain utama dan penting dalam
skuadnya, jadi atas sebab itulah bos United itu pantas menepis khabar-khabar
angin yang meragui masa depan penyerang berusia 24 tahun itu di Old Trafford.
Berkaitan tentang masa depan Hernandez, kata-kata dari Sir Alex ini sudah cukup
untuk menepis sebarang spekulasi-spekulasi liar dan meredakan kebimbangan
penyokong-penyokong United tentang kemungkinan bintang Mexico itu meninggalkan
pasukan. “Dia memiliki kontrak jangka panjang bersama kami jadi dia tidak akan
kemana-mana. Dia pemain yang sangat penting bagi kami”, kata Sir Alex.
Menjelang pertembungan ulangan suku akhir Piala FA menentang Chelsea esok,
kelibat Hernandez berkemungkinan besar dapat disaksikan berikutan rekod
jaringannya yang cukup baik setiap kali berdepan The Blues. Rekod jaringan Hernandez ke atas Chelsea memang diakui
ramai pihak dan situasi ini cukup membimbangkan penyokong-penyokong lawan.
Hernandez sudah menjaringkan tujuh gol dari 10 pertemuan menentang Chelsea dan
dia tidak pernah gagal membolosi gawang Petr Cech dalam empat pertemuan
terakhir antara kedua-dua pasukan. Tetapi isu yang besar di sini ialah tentang
tempoh yang dihabiskannya di bangku simpanan United hingga menyebabkan masa
depannya mula dipersoalkan.
Kualiti kuartet penggempur yang dimiliki
United musim ini sering dijadikan perbandingan dengan skuad juara treble United `99 yang ketika itu
dibarisi Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer dan Teddy Sheringham.
Dengan apa yang dimiliki sekarang, memang sukar buat Sir Alex memilih penyerang
mana patut diturunkannya dalam setiap perlawanan. Sir Alex sendiri mengakui
bahawa sukar baginya meninggalkan pemain sebagus Hernandez di bangku simpanan
apatah lagi selepas melihat pemain berusia 24 tahun itu sudah menjaringkan 16 gol
dari 28 penampilan dalam semua kejohanan setakat ini. 16 gol adalah jumlah yang
banyak buat seorang pemain yang kerap bermula dari bangku simpanan, jadi tidak
hairanlah mengapa Sir Alex meletakkan tanda `Bukan Untuk Dijual’ ke atas
Hernandez. Hernandez memang memiliki kualiti penyudah yang cukup fantastik
ketika berada dalam petak penalti tetapi dalam masa yang sama Sir Alex juga
tidak mampu meletakkan pemain yang memiliki kualiti kelas dunia seperti Robin
Van Persie dan Wayne Rooney di bangku simpanan. “Saya sudah mengatakan
kepadanya, bukan mudah buat saya meninggalkannya di bangku simpanan selepas melihat dia menjaringkan 16 gol musim ini. Situasi saya bertambah sukar
selepas kami memiliki Van Persie dan dalam masa yang sama saya juga mempunyai
Welbeck, Rooney dan Shinji Kagawa. Saya memiliki skuad yang mungkin terbesar
dalam liga”, tambah Sir Alex bagi menjelaskan situasi sukar yang dialaminya
ketika ini dalam memilih kesebelasan utama United. Meskipun jarang di turunkan
dalam saingan liga domestik, Hernandez membuktikan ketajamannya di peringkat
antarabangsa apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Mexico mengikat
Honduras 2-2 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, 23 Mac lalu. Kemampuan
Hernandez seringkali dibandingkan dengan lagenda United, Ole Gunnar Solskjaer
di mana kedua-duanya mempunyai satu persamaan, iaitu ketajaman mereka tidak
tumpul biarpun banyak menghabiskan waktu di bangku simpanan. Katalah apa saja
tentang Hernandez, sama ada dia memang penyerang yang mempunyai naluri
pembunuh, bertuah atau sekadar bernasib baik setiap kali berdepan Chelsea. Jika
diturunkan esok, ketajaman dan rekod baik Hernandez ketika berdepan Chelsea
kembali ditagih untuk membawa United ke peringkat separuh akhir Piala FA
sekaligus menjadikan misi menjulang kejuaraan double (kejuaraan liga dan Piala FA) buat pertama kali dalam tempoh
14 tahun semakin hampir menjadi kenyataan. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Anda Juga Mungkin Meminati:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan