Selepas Sir Alex Ferguson mengumumkan
persaraannya Rabu lalu, kini giliran Paul Scholes pula mengambil langkah yang
sama. Meskipun masih belum secara rasmi (mengumumkan persaraannya), Scholes
dijangka berbuat demikian pada satu sidang akhbar dalam masa terdekat. Lagenda
berusia 38 tahun itu mengumumkan persaraannya musim panas 2011 tetapi kembali
bermain pada Januari tahun lalu selepas dipujuk Sir Alex Ferguson yang ketika
itu berdepan krisis kecederaan permain di bahagian tengah. Scholes sudah bermain
lebih 700 perlawanan Untuk United dijangka menamatkan karier bolasepaknya yang
penuh gemilang hujung musim ini. Meskipun jarang bermain musim ini kerana
kecederaan, Scholes tetap pemain penting yang berjaya membantu United menjulang
trofi Liga Perdana buat kali ke-20. Ada laporan mengatakan Scholes akan
mengumumkan persaraannya selewat-lewatnya minggu depan dan perlawanan menentang Swansea adalah yang terakhir buatnya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
11 Mei 2013
10 Mei 2013
MARI BERKENALAN DENGAN BAKAL BOS MANCHESTER UNITED
David Moyes sudah sah akan mengambilalih
kerusi pengurus yang dikosongkan Sir Alex Ferguson musim depan. Bagi
penyokong-penyokong United termasuk saya yang pada mulanya menjangkakan Jose
Mourinho akan menggantikan Sir Alex perlu menerima hakikat Moyes adalah pilihan
lembaga pengarah dan Sir Alex sendiri. Buat permulaan mari kita berkenalan
dengan bakal bos baru United ni. David William Moyes dilahirkan pada 25 April
1963, semasa zamannya sebagai pemain, Moyes pernah mewakili Celtics, Bristol
City, Dunfermline Athletic dan mengakhiri kariernya sebagai pemain (merangkap
pengurus) di Preston North End pada 1999. Sepanjang kerjayanya sebagai pemain professional,
Moyes bermain sebanyak 536 perlawanan di peringkat kelab. Selepas bersara,
Moyes memulakan kerjaya pengurus di Preston North End selama empat tahun (1998
hingga 2002). Empat tahun bersama Preston, Moyes mengendali kelab itu sebanyak
243 perlawanan dengan rekod 113-63-67. Pada Mac 2002, Moyes meninggalkan
Preston dan menyertai Everton untuk menggantikan Walter Smith. Di bawah kendaliannya,
Everton berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara pada 2005 selain mara
keperlawanan akhir Piala FA edisi 2009. Pada sambutan ulangtahun kesepuluhnya
di Goodison Park, Moyes menerima pujian dari rakan-rakan pengurus yang lain
termasuk Sir Alex Ferguson atas pencapaiannya bersama Everton. Pemilihan Moyes bagi
menggantikan tempat Sir Alex mengundang reaksi banyak pihak termasuk bekas
pertahanan United, Henning Berg. Berg yang bermain untuk United pada 1997
hingga 2000 menyokong langkah pihak pengurusan mendapatkan khidmat Moyes selaku
pengendali. Menurut Berg, gaya pengurusan Moyes mirip kepada Sir Alex. "Dia sangat mirip kepada Sir Alex
dan dia membuktikannya di Everton. Dengan peruntukkan yang terbatas dia berjaya
membawa Everton secara konsisten bersaing di kelompok teratas", kata Berg
kepada Talksport. Berg juga yakin
Moyes akan membawa bersama seorang atau dua anak didiknya di Everton ke Old
Trafford. Okey kembali semula kepada latar belakang Moyes sebagai pengurus.
Seperti Sir
Alex, Moyes juga berasal dari Scotland dan berjaya menyamai pencapaian Sir Alex
dengan memenangi anugerah Pengurus Terbaik Tahunan sebanyak tiga kali (2003, 2005
dan 2009) manakala Sir Alex pula memenanginya pada 1999, 2008 dan 2011. Moyes
berusia 50 tahun, 21 tahun lebih muda berbanding Sir Alex. Selama 11 tahun
mengendalikan Everton, Moyes tidak pernah sekalipun berjaya memenangi trofi
kejuaraan, tetapi dalam tempoh yang sama Sir Alex membawa United menang 17
kejuaraan. Kedudukan tertinggi liga yang pernah diraih Everton di bawah kendalian
Moyes ialah tangga keempat pada musim 2004/05. Pencapaian terbaik mereka dalam
saingan Piala FA ialah sebagai naib juara pada 2009 selepas tewas kepada
Chelsea di perlawanan akhir. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, langkah
paling jauh yang pernah dicapai Everton ialah layak ke pusingan kalah mati (16
pasukan) pada musim 2007/08. Satu-satunya trofi yang pernah dimenangi Moyes
sebagai pengurus ialah Kejuaraan Liga Divisyen 2 bersama Preston North End pada
musim 1999/00 lalu. Moyes muncul pengurus ketiga paling lama berkhidmat untuk
sebuah pasukan di belakang Sir Alex dan Arsene Wenger sejak mengambil jawatan
itu pada 2002. Sepanjang tempoh 11 tahun bersama Everton, Moyes berjaya membawa
kelab Merseyside itu menang 172 dari 425 perlawanan. Angka tersebut merupakan
keempat terbanyak di era Liga Perdana. Moyes berada di belakang Sir Alex (527
kemenangan), Arsene Wenger (366 kemenangan) dan Harry Redknapp (231 kemenangan).
Selepas secara rasmi mengambilalih tempat Sir Alex Julai ini, Moyes bakal
muncul pengurus ke-18 (sejak Newton Heath menukar nama mereka kepada Manchester
United). Dari 17 pengurus sebelumnya, hanya Sir Matt Busby (1,141 perlawanan)
dan Sir Alex (1,500 perlawanan) yang berjaya melepasi angka 1,000 perlawanan,
manakala pengurus yang lain pula mencatat purata 297 perlawanan. Bagaimana
nasib Moyes??? Glory Glory Manchester United!!! – A.J
KOMEN INDIVIDU PENTING TENTANG PEMILIHAN MOYES
Terjawab sudah persoalan siapakah individu
yang akan mengisi kekosongan kerusi pengurus Manchester United selepas Sir Alex
Ferguson mengumumkan persaraannya kelmarin (Rabu). Pengurus Everton, David
Moyes akhir dipilih sebagai pengendali United musim depan dan akan melapor diri
di Old Trafford, Julai ini dengan ikatan kontrak selama 6 tahun. Pemilihan
Moyes akhirnya turut memadamkan spekulasi tentang calon pengurus United yang
bertiup kencang sebaik Sir Alex mengumumkan persaraannya. Sebelum itu beberapa
nama dikaitkan akan mengambilalih tempat Sir Alex, antara calon yang paling
hangat ialah Jose Mourinho, Jurgen Klopp dan bekas bintang United yang sukses
bersama Molde FK, Ole Gunnar Solskjaer. Moyes sudah pun dipilih menggantikan
Sir Alex tetapi persoalan di sini ialah apakah faktor yang menyebabkan pihak
pengurusan memilih Moyes untuk mengendalikan United musim depan? Berikut adalah
antara-antara alasan-alasan dan komen yang diberikan oleh individu-individu
berpengaruh di Old Trafford mengapa Moyes dipilih sebagai bos baru Manchester
United:
SIR
ALEX.
Sir Slex adalah orang pertama yang mengumumkan calon penggantinya dan beliau
mendedahkan bahawa semasa perbincangan memilih pengurus baru United, pihak
pengurusan sebulat suara memilih pengurus Everton itu. Menurut Sir Alex, Moyes sudah
membuktikan kredibilitinya sebagai pengurus berwibawa dengan membawa Everton
secara konsisten bersaing di Liga Perdana. Meskipun diberikan peruntukkan
terhad setiap musim untuk membeli pemain, Moyes berjaya meletakkan The Toffees dalam kelompok atas selain
berjaya melahirkan beberapa pemain bertaraf bintang. Sir Alex jelas mengagumi
kerja keras Moyes di Goodison Park dan pernah menawarkan tempat untuknya
sebagai pembantu di Old Trafford pada 1998. Ketika itu Moyes masih di peringkat
awal kariernya sebagai pengurus untuk Preston North End. Tiada persoalan lagi
tentang kualiti Moyes jadi atas sebab itu jugalah mengapa Sir Alex begitu yakin
pengendali berusia 50 tahun itu mampu mewarisi kecemerlangannya di Old
Trafford.
SIR
BOBBY CHARLTON. Lagenda United, Sir Bobby Charlton juga
sangat senang dengan pemilihan Moyes. Sir Bobby berpendapat sesiapapun yang bakal
menggantikan tempat Sir Alex mestilah memiliki mental juara, dan tidak perlu
diragui bahawa Moyes memilikinya. Moyes adalah individu paling tepat kerana United
adalah kelab yang istimewa dan perlukan seorang yang istimewa untuk
mengendalikannya. Meskipun pada mulanya ramai yang menjangkakan bahawa Jose
Mourinho adalah calon utama menggantikan tempat Sir Alex tetapi United sudah
mendapatkan calon yang tepat dan sesuai. Moyes memiliki karakter yang cukup
kuat dan dia juga faham tentang betapa pentingnya mengembangkan bakat muda bersama
pemain kelas dunia dalam pasukan. Di United, Moyes akan menjadi dirinya sendiri
dan Sir Bobby gembira pengendali itu akhirnya menerima tawaran sebagai pengurus
di Old Trafford.
ED
WOODWARD: Woodward melihat Moyes memiliki sikap yang hampir sama
seperti Sir Alex. Moyes menurut pandangan Woodward adalah seorang pengurus yang
memiliki semua kemampuan untuk membangunkan pasukan. Tidak perlu diragui bahawa
kekuatan dan komitmen yang ada dalam diri Moyes bakal menjadikan United terus
cemerlang di bawah kendaliannya. Woodward cukup tertarik dengan gaya kepimpinan
yang ditunjukkan Moyes di Goodison Park dan yakin warga Scotland itu mampu meneruskannya
bersama United. ”Saya yakin dia akan menjadi sebahagian dari tradisi United”,
komen Woodward ringkas.
JOEL
GLAZER: Timbalan Pengerusi, Joel Glazer juga gembira dengan
pemilihan Moyes. Menurut Joel, beliau gembira kerana Moyes setuju memimpin
United dan pengendali itu memiliki sifat kerja keras dalam diri, kriteria yang
cukup dihargai di United. ”Dia sudah menunjukkan dirinya sebagai seorang
pengurus yang impresif selama bertahun-tahun. Kami sangat yakin David mampu
meneruskan apa yang sudah dilakukan Sir Alex selama ini. Dia akan meneruskan
tradisi kelab dengan memainkan bolasepak menarik”, kata Joel.
AVIE
GLAZER: Seorang lagi Timbalan Pengerusi, Avie Glazer mendedahkan
Moyes adalah pilihan Sir Alex. Avie mengatakan perbincangan mencari pengurus
baru berlangsung dalam waktu yang singkat kerana Sir Alex sudahpun mempunyai
pilihannya sendiri. ”Sir Alex jelas sudah mempunyai calonnya sendiri ketika
beliau menamakan David selaku calon penggantinya. Kami sangat gembira kerana
David menerima tawaran kami. Dia datang ke Old Trafford dengan rekod
mengagumkan dan dia sudah sedia memulakan tugasnya. Dia dan Woodward akan duduk
semeja pada akhir musim untuk berbincang tentang rancangan masa depan kelab”,
kata Avie.
DAVID
GILL:
Ketua Eksekutif Manchester United ini tidak banyak memberikan komen tentang
kehadiran Moyes namun percaya pengendali itu mampu meneruskan kecemerlang
United. ”Saya gembira kerana David setuju menyertai kami. Dia melakukan
tugasnya dengan hebat di Everton. Dia memiliki kualiti yang kami cari sebagai
pengganti Sir Alex”, komen Gill.
DAVID
MOYES: Akhir sekali David Moyes sendiri memberikan komen
tentang keputusannya menyertai Manchester United. Menurut Moyes tawaran yang
diberikan untuk mengendalikan United merupakan satu penghormatan besar
sepanjang kariernya. ”Saya gembira kerana ditawarkan menggantikan tempat Sir
Alex dan ia satu penghormatan besar buat saya. Saya lebih gembira kerana Sir
Alex yakin dengan kemampuan dan mencadangkan nama saya kepada lembaga pengarah.
Sir Alex adalah figura yang saya cukup hormati. Saya sedar sangat sukar untuk
meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau, tetapi peluang menjadi pengurus
United tidak datang setiap saat. Saya sudah bersedia menjalankan tugas itu
musim depan”, kata Moyes. Selepas 11 tahun mengendalikan Everton, Moyes
merakamkan penghargaannya buat semua pihak di Goodison Park atas kerjasama dan
sokongan yang diterimanya selama ini. ”Mulai saat ini saya akan bekerja keras
untuk membawa Everton menamatkan saingan musim ini di tempat terbaik. Penyokong
Everton yang fantastik memainkan peranan besar sepanjang karier saya di
Goodison Park. Everton akan sentiasa berada di hati saya”, kata Moyes lagi.
GLORY
GLORY MANCHESTER UNITED!!!
09 Mei 2013
TERIMA KASIH SIR ALEX...ATAS SEGALANYA
Apakah dunia bolasepak sudah bersedia
kehilangan seorang lagenda yang mewarnai pentas dunia selama hampir 27 tahun?
Selepas mengumumkan persaraannya secara rasmi semalam, kita pasti akan merindui
sentuhan magik dan karakternya musim depan. Sudah tentu kita punya pendapat
berbeza tentang soalan yang dilontarkan di atas tetapi kita tidak boleh
menafikan selama 27 tahun Sir Alex mengendalikan Manchester United, beliau
sudah meninggalkan kesan yang bukan sedikit baik kepada penyokong-penyokong
United sendiri mahupun lawan mereka. Setiap dari kita akan mengenang Sir Alex
dengan cara yang berbeza tetapi ada beberapa ciri khas miliknya yang akan
selalu membuatkan kita mengenangnya. Karakter Sir Alex yang pasti dirindui
selepas ini ialah tabiatnya di tepi padang yang gemar melihat jam tangan setiap
kali United ketinggalan kepada lawan. Gol-gol penghujung permainan memang sudah
sinonim dengan United di bawah kendalian Sir Alex hingga ada yang menamakan
situasi ini sebagai Fergie Time.
Gol-gol pada saat genting seperti itu menunjukkan United memiliki mentaliti kuat
untuk menang dan ia sebenarnya disebabkan pengaruh Sir Alex dari tepi padang.
Istilah Fergie Time hanya muncul buat
pertama kali pada 1998, tetapi kegemaran barisan The Red Devils menjaringkan gol lewat permainan berlaku lama
sebelum itu. Pada April 1993, Steve Bruce menjaringkan dua gol ke gawang
Sheffield Wednesday sekaligus menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada United. Gol
kedua Bruce dihasilkan diminit keenam waktu kecederaan yang memberikan United
kejuaraan pertama liga dalam tempoh 26 tahun. Bagi penonton neutral (bukan
penyokong United mahupun lawan), gol-gol dramatik seperti itu menjadikan
perlawanan-perlawanan membabitkan United cukup seronok untuk ditonton. Di sebalik
Fergie Time pegawai keempat perlawanan
juga sering menjadi sasaran kemarahan beliau jika tambahan masa yang diberikan
tidak selaras dengan apa yang beliau jangkakan. Bagi penyokong-penyokong United
yang berumur belasan tahun atau awal 20an, Sir Alex adalah Manchester United.
Selepas ini mereka mungkin berasa agak janggal apabila menyaksikan
perlawanan-perlawanan United tanpa kelibat Sir Alex di tepi padang. Sambil
mengunyah gula-gula getah, Sir Alex akan memberikan reaksi-reaksi spontan
terhadap apa yang berlaku di tengah padang. Menyaksikan Sir Alex berteriak
memberikan arahan atau membantah keputusan pengadil perlawanan dan tindakan
yang dilakukan pemain lawan adalah perkara biasa.
Sir Alex bukan saja pengurus bolasepak yang
hebat tetapi kata-kata yang dilemparkannya sering menjadi perhatian dan antaranya
masih diingati hingga kini. Antara kata-katanya yang masih diingati hingga
sekarang ialah "Tugas saya di
sini ialah untuk menjatuhkan Liverpool". Kata-kata Sir Alex itu
diucapkannya dalam satu sidang akhbar selepas mengambilalih tugas dari Ron
Atkinson sebagai pengendali United, tetapi ucapannya yang paling terkenal ialah
"Football, bloody hell"
yang dilemparkan beliau selepas United menumpaskan Bayern Munich di final Liga
Juara-Juara 1999. Sebagaimana sentuhan berbisanya sebagai pengendali, begitu
jugalah berbisa dan pedasnya kata-kata yang keluar dari mulutnya hinggakan
beliau diberikan gelaran hair dryer
treatment oleh pemain-pemainnya. Amukan Sir Alex terhadap pemain-pemainnya
di bilik persalinan adalah perkara biasa jika mereka bermain di bawah prestasi
sebenar. Tidak hanya pemain-pemain sendiri menjadi mangsa kata-kata pedasnya,
malah lawannya turut menerima nasib yang sama. Musim ini Alan Pardew menjadi
mangsa terbaru Sir Alex apabila beliau menggelar bos Newcastle United itu
sebagai "Pengurus Kelab Kecil". Sebagai pengurus kelab terbesar di
dunia, Sir Alex sudah tentu terpaksa berdepan dengan pesaing-pesaingnya
terutama di peringkat domestik. Pencabar dan pesaing Sir Alex datang silih
berganti sepanjang beliau berada di Old Trafford. Kenny Dalglish, Kevin Keegan,
Arsene Wenger, Jose Mourinho, Rafa Benitez dan Alan Pardew adalah antara
beberapa nama yang pernah terbabit dalam pertikaian dengan Sir Alex. Bukan saja
pesaing dan pencabar dari luar, malah Sir Alex sendiri terpaksa berdepan
karenah di kalangan pemain-pemainnya sendiri. Pemain-pemain yang cuba cari
pasal dengannya ibarat membuka sendiri pintu keluar dari Old Trafford. Paul
Ince, Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy, Gabriel Heinze dan Roy
Keane adalah antara nama-nama besar yang pernah disingkirkan Sir Alex kerana
tindakan mereka yang cuba menguji kesabaran beliau. Sir Alex tidak pernah
tunduk kepada kehendak pemain-pemainnya sekalipun mereka adalah tonggak utama
pasukan. Bagi beliau, United tidak dibina dengan hanya bertunjangkan seorang
atau dua pemain tetapi kekuatan kelab melibatkan semua pihak di Old Trafford.
Jadi jika ada pemain yang cuba menunjukkan ego dan besar kepala mereka, anda
dipersilakan pergi.
Kejayaan tidak
datang dengan segera dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika mahu
berjaya anda perlukan pengorbanan dan keberanian kerana jika tidak sanggup
melakukannya, anda tidak akan berjaya. Itulah antara prinsip utama yang
dipegang Sir Alex selama beliau duduk di kerusi panas Pengurus Manchester
United. Ketika melihat pasukannya tewas dalam saingan merebut kejuaraan liga
kepada Blackburn Rovers musim 1994-95, Sir Alex melakukan rombakan besar ke
atas skuadnya dengan memperkenalkan beberapa muka baru. Mereka merupakan
pemain-pemain remaja dari Akademi United yang diletakkan harapan untuk
menggantikan tempat beberapa pemain senior yang gagal memberikan sumbangan
berkesan kepada pasukan. Tindakan Sir Alex membawa masuk David Beckham, Paul
Scholes, Nicky Butt, Gary dan Phil Neville ke dalam skuad utamanya dikritik
lagenda Liverpool, Alan Hansen yang ketika itu bertugas sebagai pengulas di
BBC. Hansen secara menyindir mengatakan mana-mana pasukan tidak akan menang
trofi kejuaraan jika menurunkan budak-budak. Akhirnya Hansen terpaksa menelan
kata-kata yang dilemparkannya sendiri apabila budak-budak inilah yang membawa
United kembali memenangi trofi kejuaraan liga musim berikutnya (1995-96). Sir
Alex memang diketahui seorang pengurus yang cukup yakin dengan bakat-bakat muda
dan bijak menggilap bakat mereka hingga berjaya muncul bintang masa hadapan.
Tradisi membimbing bakat muda sama ada dari Akademi ataupun menerusi pembelian
masih beliau teruskan hingga kehari ini. Sebagai seorang individu yang tegas,
Sir Alex juga cukup terkenal dengan sifat keras hatinya. BBC pernah menjadi
mangsa Sir Alex selepas badan penyiaran itu dalam laporan-laporannya melabelkan
beliau umpama seorang diktator. Akibatnya, BBC terpaksa membayar harga yang
mahal atas tindakan mereka itu apabila diboikot Sir Alex. Badan penyiaran
British itu terpaksa mengambil masa bertahun-tahun hanya untuk mendapatkan
sedikit perhatian dari beliau. Bagi Sir Alex, kesetiaan dan rasa hormat cukup
penting baginya, jadi tidak hairanlah mengapa dua bintang lagenda United, Ryan
Giggs dan Paul Scholes menerima layanan istimewa dari beliau.
Walaupun dikenali
sebagai seorang individu yang tegas dan keras, Sir Alex tetap manusia biasa
yang memiliki sisi humor dalam dirinya. Pada 1993, Sir Alex mengatakan bahawa
pasukannya yang diketuai Eric Cantona ketika itu mampu membuatkan seorang
penyokong sebaya beliau melompat seperti anak kecil. Sir Alex melakukannya setiap
kali beliau merayakan gol penting United dengan melakukan tarian-tarian yang
agak aneh. Sir Alex memang selalu spontan, sering melemparkan senyuman dan
melahirkan kegembiraannya tanpa mengira tempat, jadi beliau tidak ambil kisah
jika ada pihak mengatakan bahawa tariannya itu melucukan. Sir Alex menamakan
tariannya itu sebagai dad dancing. Sir
Alex pengurus yang bijak dan membangunkan kekuatan pasukan berteraskan
kelebihan yang dimiliki pemain-pemainnya. Permainan United sendiri kadang kala
dilihat seperti sudah diprogramkan untuk menang dalam perlawanan-perlawanan
mereka. Bagaimanapun adakalanya Sir Alex terpaksa juga bergantung kepada
pemain-pemain utamanya. Nama-nama seperti Eric Cantona, Cristiano Ronaldo, Ryan
Giggs, Wayne Rooney dan kini Robin Van Persie sering memainkan peranan penting
dan kerap menjadi penentu kepada keputusan-keputusan perlawanan United. United mampu
mengekalkan tahap konsistensi mereka kerana memiliki pemain-pemain bintang dari
tahun ke tahun. Sesiapapun yang menggantikan tempat Sir Alex nanti dijangka
tidak berdepan kesukaran kerana beliau sudah membina Manchester United untuk
menjadi pasukan yang kuat dan stabil, bukan untuk waktu terdekat sahaja tetapi
dalam tempoh yang panjang. Sir Alex dan trofi bolehlah diibaratkan seperti aur
dengan tebing. Puluhan kejuaraan yang sudah dimenanginya sejak mengendalikan
United 27 tahun lalu adalah bukti paling tepat. Boleh dikatakan hampir setiap
tahun barisan pemain-pemain United di bawah bimbingan Sir Alex mengisi almari
trofi di Old Trafford dengan kejuaraan. Memenangi kejuaraan secara konsisten jelas
menunjukkan Sir Alex berjaya menanamkan naluri juara dalam diri setiap
pemainnya. Sudah tentu penyokong-penyokong United mengharapkan siapapun yang
menggantikan Sir Alex nanti mampu meneruskan momentum juara yang selama ini
diterapkan Sir Alex kepada barisan The
Red Devils. Terima kasih Sir Alex atas segalanya…Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
08 Mei 2013
BERITA TERGEMPAR: SIR ALEX AKHIRNYA UMUMKAN PERSARAAN
Sir Alex Ferguson akhirnya mengumumkan
persaraannya secara rasmi hujung musim ini selepas 27 tahun mengendalikan
Manchester United. Berita ini diumumkan oleh laman sesawang rasmi United
manutd.com hari ini. Pengurus paling berjaya dalam sejarah bolasepak England
ini akan mengendalikan United buat kali terakhir ketika berdepan West Brom 19
Mei ini. Selepas bersara sebagai pengurus nanti, Sir Alex diberitakan akan
menyertai pula Lembaga Pengarah Kelab. Mengumumkan persaraannya akhir musim
ini, Sir Alex mengatakan, "Sebelum mengumumkan keputusan ini saya sudah
memikirkan secara mendalam dan ia bukanlah satu keputusan yang mudah. Ini
adalah saat yang tepat untuk melakukannya dan sangat penting untuk saya
meninggalkan organisasi ini ketika mereka dalam keadaan kuat dan stabil.
Kualiti skuad juara ini dan keseimbangan usia pemain merupakan petanda baik
untuk tempoh jangka panjang. Struktur pasukan remaja pula akan memastikan masa
depan yang cerah buat kelab. Mengenai rancangan ke hadapan, saya gembira
memainkan peranan selaku pengarah dan juga duta kelab. Dengan aktiviti baru ini,
disertai minat yang lain, saya tidak sabar untuk menikmati. Saya harus memberikan
penghormatan buat keluarga saya kerana sokongan mereka kepada saya selama ini amat
penting. Isteri saya, Cathy adalah individu penting sepanjang karier saya",
kata Sir Alex. Berita mengejut persaraan Sir Alex ini kemudiannya pantas
menghadirkan spekulasi tentang siapa yang bakal menggantikan tempatnya. Berbagai spekulasi mula bertiup kencang dan
munculah senarai panjang calon-calon yang dikira cukup layak mengambilalih
peranan Sir Alex di Old Trafford. Antara paling hangat diperkatakan ialah
tindakan mengejut yang diambil Sir Alex ini bertujuan memberi laluan buat Jose
Mourinho dilantik sebagai bos baru United. Dari desas desus di England, Sir
Alex dikatakan tidak sanggup melihat Mourinho menyertai semula Chelsea, kerana
jika perkara itu berlaku, Mourinho pasti akan kekal lama di Stamford Bridge
dengan ikatan kontrak yang panjang. Sebelum ini pun sudah terdapat
laporan-laporan yang mengatakan bahawa Sir Alex memang mahukan warga Portugal
itu mengambilalih jawatannya. Selamat Bersara Sir Alex!. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
06 Mei 2013
DEMI KARIER, ANDO MESTI TINGGALKAN OLD TRAFFORD
Sukar untuk mempercayai apabila menyaksikan
prestasi Anderson (Ando) terus merosot sekaligus memberikan isyarat dia bakal
menuju pintu keluar musim panas ini. Tidak boleh dinafikan bahawa Ando adalah favourite penyokong-penyokong United di
mana dia sering diberikan sambutan dan sorakan hebat setiap kali masuk ke
padang. Sekalipun dibelenggu prestasi tidak menentu dan kecederaan demi
kecederaan yang dialaminya, masih ramai yang mengharapkan agar Ando mampu
memberikan sesuatu kepada pasukan. Ando di beli Sir Alex Ferguson dari FC Porto
pada 2007 kerana beliau begitu tertarik dengan gaya permainan menyerangnya dan memiliki
kualiti ketika bertahan sekaligus diletakkan harapan sebagai pengganti sesuai
buat Keane. Bagaimanapun harapan awal penyokong-penyokong United yang mahu
menyaksikan warga Brazil dengan skill hebat mengemudi bahagian tengah United
hingga kini tidak kesampaian apabila Ando sendiri gagal memenuhi jangkaan awal
yang diletakkan ke atasnya. Statistik tidak pernah berbohong apabila dalam
tempoh enam musim, Ando hanya bermain penuh selama 90 minit sebanyak 18
perlawanan sahaja. Kegagalan Ando berlanjutan hingga aksi menentang Arsenal
minggu lalu apabila dia sekadar diletakkan selaku pemain simpanan dan hanya
dimasukkan ketika masa sebenar permainan berbaki 17 minit untuk ditamatkan.
Peluang yang diberikan gagal digunakan sepenuhnya oleh Ando di mana dalam
tempoh 17 minit dia hanya mampu memberikan aksi berkarat selain gagal
memberikan sokongan kepada Wayne Rooney. Ketika beraksi bersama Gremio dan
Porto, Ando adalah pemain berbeza di mana ketika itu, dia diiktiraf antara
bakat muda yang memiliki gaya permainan menarik dengan peranan selaku pemain
tengah menyerang. Pada tahun 2005, bakat Ando diiktiraf apabila dia dipilih
FIFA sebagai pemenang Bola Emas (Pemain Terbaik Bawah 17 Tahun), selain membantu
Brazil menang Kejohanan Bawah 17 Tahun Amerika Selatan. Bakat dan kebolehan
yang dipamerkan Ando mula membuka mata ramai pihak hingga dia dilabel sebagai
pengganti Kaka, manakala kelab-kelab Eropah pula mula menghantar
pencari-pencari bakat mereka meninjau aksinya bersama Gremio di Brazil.
Ketika dia tiba di Old Trafford, ramai pihak
terutamanya peminat-peminat bolasepak Brazil terkejut apabila Sir Alex lebih
banyak menggunakan Ando sebagai pemain tengah bertahan. Ketika di atas padang,
Ando adalah pemain yang gemar memberikan tekanan kepada lawan menerusi
bentesen-bentesan kerasnya dan selaku pemain tengah, kualiti hantaran adalah
aset utamanya. Bagaimanapun kecederaan demi kecederaan yang menghantuinya sejak
tiba di Old Trafford membataskan kemampuan Ando, dan sekarang dia terjebak pula
dengan dua peranan berbeza yang terpaksa dimainkannya. Walaupun masih ada pihak
di Old Trafford sama ada pihak pengurusan mahupun penyokong-penyokong meletakkan
harapan agar Ando menemui sentuhan lama yang pernah menjulang namanya ketika
diusia remaja, impian itu sebenarnya sukar untuk diterjemahkannya di atas
padang. Setiap musim penyokong-penyokong United sering mengharapkan agar musim
tersebut bakal menjadi musim Ando tetapi harapan tetap tinggal harapan. Kini
Ando hanya ada satu cara untuk menyelamatkan kariernya, iaitu dengan
meninggalkan Old Trafford. Khabar terbaru bakal memberikan Ando jalan yang
lebih mudah untuk keluar selepas pihak pengurusan dilaporkan meletakkan namanya
dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Sir Alex sudah hampir pasti
mendapatkan tenaga baru di bahagian tengah pasukannya memandangkan Paul Scholes
mungkin mengumumkan persaraan buat kali kedua manakala Darren Fletcher pula berdepan
masalah kesihatan yang berpanjangan. Kevin Strootman dan Victor Wanyama adalah
antara nama yang dikaitkan bakal dipancing Sir Alex untuk menguatkan bahagian
tengah United dan anda sudah pasti dapat menjangkakan masa depan Ando. Jika
Ando dibenarkan pergi, dia perlu mencari pasukan yang boleh meletakkan dirinya
di posisi kegemarannya iaitu selaku pemain tengah menyerang, bukannya berada jauh
di kawasan sendiri dengan peranan lebih defensif. Hanya pasukan yang boleh menawarkan
tempat untuknya dalam kesebelasan utama dengan peranan seperti itu boleh
menyelamatkan karier Ando…selebihnya terpulang kepada diri Ando sendiri. Glory
Glory Manchester United!!! - A.J
04 Mei 2013
RIO...MASIH LAGI ANTARA YANG TERBAIK
Rio Ferdinand merupakan sosok yang cukup
berpengaruh bagi Manchester United. Kita tidak boleh menidakkan sumbangan Rio
atas kejayaan United menjulang trofi Liga Perdana musim ini. Di awal musim,
ketika Sir Alex Ferguson berdepan krisis kecederaan di benteng pertahanan
pasukannya, Rio yang sudah menjangkau usia 34 tahun terpaksa memikul beban
bermain setiap minggu. Ketika itu, Rio menjadi satu-satunya pemain pertahanan
tengah yang dimiliki Sir Alex selepas Jonny Evans, Chris Smalling, Phil Jones
dan Nemanja Vidic mengalami kecederaan serentak. Musim lalu, Rio berdepan musim
suram selepas kerap dibelenggu kecederaan belakang, United terlepas trofi liga
kepada seteru setempat, Manchester City dengan hanya perbezaan jaringan
manakala adiknya, Anton pula menjadi mangsa perkauman kapten Chelsea, John
Terry. Rio tidak disenaraikan Roy Hodgson untuk aksi Euro 2012 atas alasan bolasepak
tetapi ramai percaya tindakan Hodgson (tidak menyenaraikan Rio) disebabkan
bimbang insiden membabitkan Anton dan Terry boleh menjejaskan keharmonian
pasukan. Tidak kira apapun kontroversi yang menyelubungi pemain pertahanan
berpengalaman United itu, Rio sebenarnya masih ada tempat dalam skuad The Three Lions jika diukur prestasi
yang dipamerkannya untuk United musim ini. Kemunculan pemain-pemain pelapis
seperti Jones, Smalling dan Evans seolah-olah memberikan isyarat bahawa tempoh
keemasan buat Rio dan gandingan ampuhnya, Nemanja Vidic semakin berada di
penghujung. Memang diakui bahawa pintu gol United mudah dibolosi terutamanya di
awal musim hingga menimbulkan rasa bimbang bukan sahaja kepada Sir Alex tetapi
penyokong-penyokong United sendiri. Ketika itu ramai pihak menunding jari ke
arah barisan pertahanan yang diketuai Rio. Ramai mengatakan bahawa Rio yang
semakin hilang kepantasan menjadi penyebab utama rapuhnya benteng hingga mudah
dibolosi lawan. Kekalahan United di tangan Tottenham Hotspurs buat pertama kali
dalam tempoh 23 tahun di gelanggang sendiri menyebabkan Rio terus dikritik
hebat hingga menimbulkan persoalan apakah musim ini bakal menjadi musim
terakhirnya di Old Trafford. Masuk saja ke tahun baru 2013, Sir Alex mengubah
sedikit gaya permainan United dengan meletakkan benteng pertahanan sebagai fokus
utamanya. Meskipun corak permainan United menjadi sedikit tidak menarik apabila
mereka lebih defensif tetapi benteng pertahanan menjadi begitu sukar ditembusi
penyerang lawan.
Keputusan Sir Alex itu memang jelas satu
tindakan yang cukup bijak dimana beliau meletakkan sasaran menang biarpun
dengan kelebihan hanya satu gol dalam setiap perlawanan. Kembalinya semula
beberapa pemain pertahanan yang sebelumnya mengalami kecederaan turut mengurangkan
beban yang digalas Rio dan akhirnya United berjaya mengimbangi ketajaman
barisan hadapan dengan kekebalan di bahagian belakang. Keseluruhan kekuatan
pasukan akhirnya mula seimbang hingga menyaksikan mereka berjaya merampas trofi
Liga Perdana dari tangan Manchester City sekaligus merupakan gelaran ke-20
United. Berbalik kepada hal Rio, kita perlu mengakui bahawa pada usia 34 tahun
dia masih lagi tunjang di barisan belakang United meskipun prestasinya
kadangkala dikritik penyokong-penyokong United sendiri. Pada
perlawanan-perlawanan besar dan penting musim ini, nama Rio sentiasa ada dalam
senarai kesebelasan utama United, atau dalam bahasa mudahnya Rio wajib ada
dibenteng pertahanan jika United berdepan kelab-kelab besar tidak kiralah sama
ada di peringkat domestik atau pun Eropah. Lagenda AC Milan dan Itali, Paolo Maldini
pernah mengiktiraf Rio sebagai antara pemain pertahanan tengah terbaik dunia
tetapi sukar untuk membayangkan Rio mampu mengikut jejak Maldini yang masih
lagi mampu bermain untuk Milan sehingga menjangkau usia 40 tahun. Tempo
permainan Liga Perdana jauh berbeza jika dibandingkan dengan Serie A jadi amat
sukar untuk melihat pemain-pemain di England mampu bermain di peringkat
tertinggi buat jangkamasa yang lama, dan Rio tidak terkecuali. Rio tidak
sepantas 7 atau 8 tahun yang lalu tetapi dia masih lagi benteng yang sukar
ditembusi dan digeruni penyerang-penyerang handalan di Liga Perdana. Sukar
untuk membayangkan musim ini tanpa Rio apatah lagi jika memikirkan siri
kecederaan panjang yang dialami pemain-pemain pertahanan United di awal musim. Kita
mungkin tidak pernah terfikir Rio masih mampu bertahan sehingga kini kerana 4
tahun lalu ketika dia berusia 30 tahun, Rio berdepan siri kecederaan pangkal
paha, betis dan belakang hingga membataskan penampilannya untuk skuad
kebangsaan dan kelab. Ketika itu ramai yang meramalkan karier Rio akan
berakhir. Musim ini Rio bangkit memberikan segala yang mampu diberikannya
kepada kelab, tidak ada pengganti setanding buat pemain sepertinya untuk
pengalaman dan daya fikirnya yang begitu tajam ketika di atas padang. Tidak
syak lagi Rio bukan sekadar pemain bolasepak, tetapi dia juga adalah pemimpin,
idola, ikon dan lagenda Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Langgan:
Catatan (Atom)











