31 Oktober 2015

JUAN MATA, BUKAN LAGI PEMAIN TERBUANG

Dari pemain buangan kini muncul antara pemain terpenting, siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan sosok bernama Juan Mata. Siapa sangka selepas dinobatkan selama dua musim selaku pemain terbaik tahunan Chelsea, Mata akhirnya ditendang keluar oleh Jose Mourinho selepas beliau mengambilalih semula kerusi pengurus di Stamford Bridge. Sepertimana yang anda tahu, Mata merupakan pembelian yang dilakukan Andre Villas Boas pada 2011 sebagai usaha beliau untuk menambah kreativiti di bahagian tengah The Blues.

Gandingan beliau bersama Frank Lampard di bahagian tengah Chelsea perlu saya akui antara gandingan midfielder terbaik pernah saya saksikan di Liga Perdana. Mata dan Lampard, kedua-duanya memiliki attacking minded yang mengagumkan sambil John Obi Mikel pula memainkan peranan selaku defensive midfielder di belakang mereka. Jadi tidak hairanlah mengapa ketika era Mata, Lampard dan Mikel, Chelsea memiliki keseimbangan di bahagian tengah yang patut dicemburui oleh pesaing-pesaing domestik mereka.

Bagaimanapun langit tidak sentiasa cerah buat karier Mata apabila kedatangan Oscar dan Eden Hazard pada musim panas 2012 menambahkan lagi ketatnya persaingan merebut posisi di bahagian tengah Chelsea. Secara perlahan-lahan tempatnya dalam kesebelasan utama The Blues mula tersisih manakala kehadiran Mourinho yang menggantikan posisi Rafa Benitez seolah-olah petanda bahawa karier Mata di Stamford Bridge bakal berakhir. Mourinho lebih memilih Oscar untuk mengisi posisi di bahagian tengah kerana beliau mendakwa pemain Brazil itu memiliki kualiti bertahan yang lebih bagus berbanding Mata.

Mendapati dirinya bukan lagi pilihan di bahagian tengah Chelsea, Mata memutuskan untuk berhijrah ke Old Trafford ketika jendela perpindahan pertengahan musim dibuka pada Januari 2014. Kedatangan Mata memang mengujakan saya, kerana bagi saya beliau merupakan salah seorang dari sebilangan kecil pemain tengah kreatif yang ada di Liga Perdana. Peringkat awal karier Mata di Old Trafford sebenarnya tidak berjalan lancar tambahan pula United di bawah kendalian David Moyes ketika itu berdepan kejatuhan prestasi paling teruk dalam tempoh dua dekad terakhir.

Kedatangan Louis Van Gaal selepas itu juga pada mulanya seolah-olah tidak membawa perubahan besar kepada karier Mata di Old Trafford. Dengan Wayne Rooney kerap digunakan untuk memainkan peranan sebagai `pemain nombor 10’, Mata pula sering sahaja bertukar-tukar posisi sama ada digunakan Van Gaal di sebelah kanan (formasi 4-1-4-1), atau ditengah (formasi 3-5-2). Musim lalu Mata bermain selama 1,903 minit dalam saingan liga, menjaringkan sembilan gol dan menyumbangkan empat assist, statistik yang pada saya boleh dianggap bagus jika diambilkira fakta bahawa Mata sendiri sering keluar masuk dalam kesebelasan utama United.

Melihat situasi Mata sejak beliau tiba di Old Trafford pada Januari 2014 hinggalah sepanjang musim lalu, saya pada mulanya tidak yakin beliau akan dikekalkan Van Gaal bagi menghadapi cabaran musim baharu (2015-16). Sejak penghujung musim lalu lagi, kita sudah dihidangkan dengan berbagai laporan media tentang kesangsian masa depan Mata di Old Trafford dengan dakwaan bahawa beliau antara pemain yang bakal diletakkan tanda `untuk dijual’ oleh Van Gaal. Bagaimanapun segala kesangsian akhirnya berlalu begitu sahaja dan selepas jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, Mata masih kekal sebagai pemain United.

Selepas berdepan segala kesukaran terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir, Mata kini sudah boleh tersenyum lebar hasil dari penampilannya setakat ini. Empat gol dan empat assist yang beliau sumbangkan dalam semua kejohanan meletakkan Mata sebagai pemain paling banyak terlibat dengan gol-gol yang dihasilkan United. Sumbangan Mata bukan sekadar menjaringkan gol dan menyumbangkan assist, tetapi kehadiran beliau diatas padang turut memberikan pengaruh yang besar kepada gaya permainan United.

Saya begitu tertarik menyaksikan bagaimana bijaknya Mata mengatur permainan, umpanan-umpanannya sering sahaja memecah benteng pertahanan lawan, penglibatannya dengan setiap gerakan-gerakan pasukan ketika melancarkan serangan dan mencipta peluang buat rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol. Jadi bolehlah saya simpulkan bahawa beliaulah sebenarnya yang memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’ buat United ketika ini meskipun posisi Mata dalam formasi 4-2-3-1 bukanlah betul-betul berada di tempat di mana `pemain nombor 10’ sepatutnya berada.

Apa yang menyebabkan Mata begitu berjaya setakat ini? Jawapan paling tepat saya kira ialah taktik permainan yang digunakan Van Gaal. Apa yang saya lihat, United sebenarnya lebih banyak melakukan gerakan-gerakan dari sebelah kiri ketika melancarkan serangan melalui Memphis Depay sambil dibantu kepantasan Luke Shaw (ketika beliau belum dilanda kecederaan) ataupun kini menggunakan kelebihan  skill individu Anthony Martial. Kecenderungan United ini sebenarnya membolehkan Mata bergerak lebih bebas di sebelah kanan sambil bertukar-tukar posisi dengan Wayne Rooney bagi membolehkan beliau masuk lebih jauh ke dalam kotak penalti lawan.

Selain itu gaya permainan Mata juga sebenarnya amat sesuai dengan apa yang diterapkan Van Gaal dalam taktik permainannya musim ini. Apa yang paling ketara selepas sepuluh perlawanan liga dilangsungkan, Van Gaal kali ini melakukan pendekatan dengan bermain hantaran-hantaran pendek, taktik yang jauh berbeza berbanding permainan United musim lalu (musim lalu United lebih kerap bermain dengan taktik serangan balas pantas menerusi kedua-dua bahagian sayap). Sebagai penyokong United, anda sudah tentu tahu bukan gaya permainan sebenar Mata?

Beliau memiliki visi yang cukup bagus ketika bermain hantaran-hantaran pendek selain antara pemain United yang cukup mahir dalam melakukan thorugh ball. Pendekatan berbeza yang diamalkan Van Gaal kepada gaya permainan United kali ini pada pandangan saya menjadi faktor penting mengapa nama Mata secara tiba-tiba muncul antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama pilihan beliau. Jangan lupakan juga kemampuan Mata dalam menjaringkan gol kerana hingga setakat ini bekas lulusan akademi Real Madrid itu sudah menjaringkan empat gol buat United dalam semua kejohanan, dibelakang Wayne Rooney dan Anthony Martial.

Jika di Stamford Bridge, kualiti bertahan Mata menyebabkan beliau dipinggirkan Mourinho, kini selepas lebih setahun saya melihat Mata pemain yang lebih seimbang. Walaupun pada musim pertama pengurusan Van Gaal di Old Trafford karier Mata tidak berjalan dengan lancar hingga masa depannya sering diperdebatkan, kini keadaan sudah berputar 360°. Musim lalu, Mata muncul pemain United paling rajin di atas padang dengan catatan purata larian 11.3 km setiap perlawanan.

Walaupun tidak sebagus Morgan Schneiderlin ketika melakukan tackle, Mata kini saya lihat lebih berdisiplin dalam soal bertahan di mana beliau kerap turun ke bawah bagi membantu barisan belakang ketika bertahan. Dengan ketinggian hanya 170cm dan type permainan yang dimiliki beliau, apa yang perlu Mata lakukan bukanlah terjahan-terjahan keras tetapi cukup sekadar memberikan sedikit gangguan bagi merencatkan aliran serangan yang diatur pemain lawan.

Menerusi sistem permainan yang diamalkan United, Mata tetap mampu memainkan peranannya dalam situasi defensif walaupun beliau memiliki tubuh yang agak kecil. Dan menerusi sistem permainan yang diamalkan United juga, Mata tetap mampu memainkan peranannya dengan berkesan walaupun `ditolak’ ke kanan dari posisi idealnya selaku `pemain nombor 10’. Sebagai pemain, Mata memang tidak mampu membantah sebarang keputusan yang dilakukan Van Gaal dan apa yang beliau boleh lakukan ialah cuba menyesuaikan diri dan bermain sebaik mungkin sebagai seorang winger.

Walaupun beliau kini berjaya memainkan peranannya dengan berkesan sebagai seorang winger, saya tetap berharap agar suatu hari nanti posisi `pemain nombor 10’ dikembalikan semula kepada Mata. Walau bagaimanapun itu semua akan hanya berlaku jika Van Gaal berjaya mendapatkan seorang winger kelas dunia untuk diletakkan di sebelah kanan sebagai rakan gandingan Matteo Darmian. Sebelum segala kemungkinan itu berlaku, biarkan sahaja Mata menikmati peranan yang dimainkannya sebagai seorang winger kerana kini beliau bukan lagi pemain buangan, tetapi antara nadi penting kepada percaturan Van Gaal di atas padang. Jika ada individu yang sepatutnya berasa menyesal melihat prestasi terkini yang ditunjukkan Mata, individu itu saya yakin ialah Jose Mourinho…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

17 Oktober 2015

MEMPHIS YANG `OVERRATED'?

Musim lalu beliau muncul penjaring terbanyak Eredivisie, antara tonggak utama di sebalik kejayaan Belanda mara hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014 manakala bakat yang diperagakannya mula menggamit perhatian kelab-kelab utama sekitar Eropah. Baru berusia 21 tahun, tetapi beliau sudah menikmati hidup sebagai seorang bintang bolasepak, sesuatu yang mungkin tidak pernah beliau impikan ketika mula menendang bola di lorong-lorong kejiranan sekitar Moordrecht.

Ketika kelibat Zakaria Bakkali, penjaring hatrik termuda dalam sejarah Eredivisie lebih mencuri tumpuan dan dikategorikan sebagai bintang muda Eindhoven yang bakal menyinar suatu hari nanti, Memphis Depay pula muncul dengan aksi lebih konsisten hingga menyebabkan nama Bakkali sedikit demi sedikit mula dilupakan. Meskipun Eindhoven gagal menjulang kejuaraan Eredivisie musim 2013/14, kelibat Memphis mula menerbitkan rasa kagum kepada warga bolasepak Belanda selepas beliau menghasilkan 12 gol dari 32 penampilan liga.

Penampilan cemerlangnya di pentas liga turut membuka laluan buat Memphis disenaraikan dalam skuad kebangsaan Belanda di bawah kendalian Louis Van Gaal. Debut Memphis bersama De Oranje ialah ketika berdepan Turki dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2014 pada 15 Oktober 2013. Reputasinya sebagai bintang dalam pembikinan menyebabkan kelibatnya mula diperhatikan pencari bakat kelab-kelab besar Eropah terutamanya selepas berakhir kempen Piala Dunia 2014.

Disebalik segala perhatian yang mula diberikan kepada beliau, Memphis bagaimanapun memilih untuk bertahan di Phillips Stadion selama semusim lagi. Keputusan yang diambilnya untuk terus menyarung jersi Eindhoven nyata berbaloi apabila beliau berjaya membantu Boeren memecah dominasi Ajax dengan menjulang kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh enam tahun. Lebih manis, 22 gol yang dijaringkan Memphis membolehkan beliau muncul penjaring terbanyak Eredivisie (musim 2014/15) dan dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan.

Kejayaan membantu Eindhoven menjulang landskampioen juga menandakan berakhirnya ikatan antara Memphis bersama juara Eredivisie itu. Tawaran sebanyak £22 juta yang dilakukan United membolehkan Van Gaal membawa pemain ini ke Old Trafford meskipun sebelumnya PSG, Liverpool dan Chelsea turut menunjukkan minat untuk mendapatkan tandatangan beliau. Semakin besar reputasi yang dimiliki seseorang pemain, semakin terdedahlah mereka dengan kritikan, dan Memphis juga tidak terkecuali.

Ketika skuad kebangsaan Belanda tewas kepada Iceland dan Turki dalam kempen kelayakan Euro 2016, Memphis antara pemain yang paling teruk dijadikan sasaran kritikan. Lagenda Belanda, Willem Van Hanegem menyamakan Memphis seperti `orang Amish’ kerana gaya fesyennya dan antara pemain dalam skuad Oranje yang hanya mementingkan diri sendiri. “Budak itu kelihatan seperti orang Amish. Ada beberapa pemain yang hanya mementingkan diri sendiri, contohnya Memphis. Dia seperti `goldfinger’ dengan kasut emasnya. Apa manfaatnya itu untuk Belanda?” tulis Van Hanegem dalam kolumnya di Algemeen Dagblad.

Selepas Hanegem, Youri Mulder dan Pierre Van Hooijdonk pula mengambilalih posisi dengan melancarkan serangan ke atas Memphis sebaik saja Belanda gagal layak ke kejohanan Euro 2016 buat pertama kali sejak 1988. Menurut Mulder, gaya permainan Memphis yang `arrogant’ menjejaskan rentak permainan Belanda manakala Van Hooijdonk pula melabelkan pemain berusia 21 tahun ini sebagai `overrated’. Dalam nada yang lebih keras, Hooijdonk turut mengatakan bahawa Memphis bukanlah pemain yang diperlukan Belanda jika Arjen Robben tidak tersisih akibat kecederaan.

Di Old Trafford, gaya hidup luar padang Memphis turut mendapat sorotan dari sang lagenda The Red Devils, Ryan Giggs. Jika fesyen Memphis dijadikan sasaran kritikan Hanegem, Giggsy pula nampaknya kurang senang dengan perhatian keterlaluan yang diberikan media terhadap gaya hidup pemain ini dan mahu beliau lebih fokus ketika sesi latihan. Saya akui, sejak tiba di Old Trafford musim panas lalu, Memphis lebih menonjol berbanding mana-mana pemain United menerusi lensa kamera diluar padang berbanding aksinya di atas padang. Lebih parah, beliau dilaporkan masih sempat keluar berhibur selepas United tewas 0-3 kepada Arsenal 4 Oktober lalu.

Berbeza dengan Hanegem, Mulder dan Van Hooijdonk yang seperti sudah hilang sabar dengan penampilan Memphis bersama skuad kebangsaan Belanda, penyokong-penyokong United pula saya kira lebih `cool’ tatkala beliau masih tercari-cari rentak yang pernah menjulang namanya sebagai pemain terbaik di Eredivisie. Setakat ini satu-satunya penampilan `kelas A’ yang ditunjukkan Memphis sejak berpindah ke Old Trafford ialah ketika menentang Club Brugge 15 Ogos lalu.

Paling mengecewakan melihat aksinya ketika berdepan Newcastle United, manakala penampilannya yang serba tidak menjadi ketika United melayan kunjungan Liverpool menyebabkan beliau terpaksa ditarik keluar di babak kedua. Prestasi buruk Memphis berterusan hingga menyaksikan beliau hanya bermain selama 45 minit sebelum beliau digantikan Marouane Fellaini ketika United tewas 0-3 kepada Arsenal. Apa sebenarnya yang sedang dihadapai Memphis hingga menjejaskan aksinya di tengah padang?

Jawapan paling tepat ialah konsistensi. Memang lumrah buat pemain muda seperti beliau berdepan masalah mengekalkan konsistensi dalam permainan mereka dan Memphis tidak terkecuali. Tidak mustahil sekiranya selepas ini anda akan saksikan pula Anthony Martial mengalamai nasib yang sama seperti Memphis sekiranya pemain yang sudah menyumbangkan tiga gol untuk United dalam saingan liga ini hilang fokus secara tiba-tiba. Selain masalah konsistensi yang sering dihadapi pemain-pemain muda, perubahan taktikal juga antara penyumbang utama mengapa Memphis masih terkial-kial menyesuaikan diri dengan rentak permainan bersama kelab baharunya.

Berbeza dengan pendekatan yang digunakan Van Gaal untuk United, Eindhoven di bawah kendalian Phillip Cocu pula lebih gemar mengamalkan corak permainan serang balas pantas. Falsafah Cocu sebenarnya cukup mudah, bola yang dirampas dari kaki lawan perlu segera dihantar kepada Memphis atau Luciano Narsingh. Taktik seperti itu sebenarnya memberikan kelebihan kepada pemain sayap yang memiliki kebolehan teknikal seperti Memphis kerana beliau memiliki ruang yang cukup luas ketika melancarkan serangan.

Bersama Eindhoven, Memphis membina reputasinya sebagai seorang dribbler di mana peratus kejayaan gelecekannya mencapai hingga 54% dalam setiap perlawanan di Eredivisie. Berbanding Angel Di Maria yang beraksi untuk United musim lalu, Memphis memiliki fizikal yang lebih kuat untuk menangani corak permainan keras di Liga Perdana. Menentang Tottenham Hotspurs dalam aksi pertama liga, Memphis mencatatkan 67% kejayaan dalam perebutan bola dengan pemain lawan menerusi peranan yang beliau mainkan di belakang Wayne Rooney.

Walau bagaimanapun, perlu kita akui bahawa posisi selaku penyerang tengah bukanlah posisi ideal buat Memphis. Beliau dilahirkan dengan bakat semulajadi sebagai pemain sayap berbekalkan kemahiran teknikal yang bagus. Di Phillips Stadion, Phillip Cocu memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Memphis untuk bergerak di sebelah kiri dengan peranan sebagai free role kerana kemampuan menyerang yang dimilikinya.

Cuba anda bayangkan kualiti yang dimiliki Memphis digabungkan dengan kemampuan Luke Shaw ketika melakukan overlapping. Bagaimanapun agak malang, terjahan keras Hector Moreno akhirnya menyebabkan Shaw terpaksa melupakan baki saingan musim ini. Kita sebenarnya boleh menyaksikan kombinasi sebelah kiri United antara yang paling dicemburui lawan sekiranya Memphis berada diprestasi terbaiknya sambil Shaw memberikan sokongan dari belakang ketika United dalam mode menyerang.

Dengan sokongan Shaw di belakangnya sepertimana yang dilakukan Jetro Willems di Eindhoven, Memphis boleh membelah pertahanan lawan dengan bergerak masuk ke tengah dan kemudiannya melakukan umpanan, ataupun United boleh memanfaatkan kemampuan Shaw dengan hantaran silang kaki kiri ketika melakukan overlapping. Saya percaya situasi inilah yang anda bayangkan ketika mula-mula Memphis menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United.

Untuk melihat semua ini berlaku, Memphis sendiri perlu mengubah corak permainannya dan menurunkan sedikit tahap keegoannya. Kecenderungan beliau untuk menyimpan bola terlalu lama menyebabkan beliau juga kerap hilang kawalan. Satu hakikat penting yang Memphis perlu sedar ialah corak permainan United tidak berpusat kepadanya, situasi yang jelas jauh berbeza berbanding ketika beliau masih bergelar pemain Eindhoven.

Sejak ditinggalkan Cristiano Ronaldo pada 2009, penyokong-penyokong United hingga sekarang dahagakan aksi dari seorang winger yang memiliki kepantasan, bijak, punya sepasang kaki memukau dan handal dalam menjaringkan gol. Dan sejak ditinggalkan Ronaldo juga, deretan nama-nama seperti Gabriel Obertan, Nani, Antonio Valencia, Ashley Young dan Wilfired Zaha dibawa masuk, namun semuanya masih jauh dari tahap yang pernah Ronaldo berikan sepanjang enam musim beliau menyarung jersi United.

Adakah Memphis mampu mengikut jejak yang pernah ditinggalkan George Best, Steve Coppel, Ryan Giggs, David Beckham dan Cristiano Ronaldo sebagai antara winger terbaik yang pernah disaksikan dalam sejarah kelab? Ya, saya tidak pernah meragui potensi dan kualiti beliau untuk muncul antara pemain terbaik United suatu hari nanti, tetapi dengan syarat beliau perlu bekerja lebih keras dan fokus sepertimana yang disarankan Giggsy.

Pada usia 21 tahun, masa memang masih berpihak kepada Memphis dan dengan adanya Shaw (yang baru berusia 20 tahun) di belakang beliau, saya yakin gandingan ini bakal mendominasi bahagian kiri United untuk tempoh satu dekad kehadapan. Semoga harapan tinggi yang diletakkan dibahunya, nombor ikon 7 yang tertera dibelakang jersinya dan kehidupan luar padang bak superstar tidak membunuh potensi yang dimiliki anak muda ini. Untuk bersikap adil, berikan beliau masa dan biarkan beliau lakukan apa yang sepatutnya beliau perlu lakukan sebagai seorang pemain bolasepak. Ayuh Memphis, buktikan bahawa anda adalah lagenda nombor 7 seterusnya….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 Oktober 2015

DUNIA BELUM KIAMAT

Sudah genap seminggu berlalu tetapi masih ada di kalangan rakan-rakan saya yang masih belum pulih dari kejutan kekalahan 0-3 kepada Arsenal Ahad lalu. Ya, saya faham apa yang anda rasakan selepas berakhirnya perlawanan itu dan sepertimana anda saya juga berasa kecewa, kesal dan sedikit marah melihat bagaimana mudahnya Arsenal menjaringkan tiga gol dalam tempoh hanya 20 minit. Saya anggap perlawanan sudahpun `berakhir’ sebaik Mesut Ozil mejaringkan gol kedua Arsenal manakala gol ketiga tuan rumah memadamkan semua sisa harapan yang tinggal untuk melihat United melakukan kebangkitan.

Mujurlah tiada perlawanan liga dilangsungkan minggu ini kerana memberi ruang buat perlawanan antarabangsa seperti Kelayakan Euro, Kelayakan Piala Dunia dan perlawanan-perlawanan persahabatan dijalankan. Jadi saya berharap tempoh `rehat’ seminggu ini membolehkan anda kembali `relaks’, santai dihadapan kaca TV sambil melayan perlawanan-perlawanan antarabangsa dan dalam masa yang sama memujuk hati yang masih kecewa.

Selepas seminggu berlalu, saya berharap kekecewaan yang anda alami semakin reda dan kepada rakan-rakan saya yang dahulunya `murung’, saya berharap anda kini kembali menjalani hidup seperti biasa. Perjalanan musim ini masih panjang dan kekalahan kepada Arsenal tempohari bukanlah penamat kepada segala-galanya. Tewas besar kepada salah sebuah kelab yang dianggap antara pencabar kejuaraan sudah tentu sukar untuk diterima tetapi saya berharap kekalahan itu akan menjadikan anak-anak buah Louis Van Gaal pasukan yang jauh lebih baik selepas ini.

Jika diimbas sejarah lampau, kekalahan ini sepatutnya tidak perlu kita risaukan. Kekalahan 0-3 kepada Arsenal di Stadium Emirates Ahad lalu bukanlah kekalahan besar pertama yang dialami United kepada skuad kendalian Arsene Wenger itu. 17 tahun lalu atau lebih tepatnya pada 20 September 1998, skrip hampir sama berlaku di Highbury apabila jaringan Tony Adams, Nicolas Anelka dan Fredrik Ljungberg menyaksikan United terpaksa menelan antara kekalahan terbesar mereka musim tersebut (1998-99).

Saya masih ingat, kekalahan 0-3 di Highbury itu mencetuskan perdebatan di kalangan penyokong-penyokong United sendiri tentang kemampuan kelab merampas semula kejuaraan liga yang dimenangi Arsenal pada musim sebelumnya (1997-98). Kekalahan itu umpama `bencana’ buat penyokong-penyokong United, malah bukan sedikit juga yang menidakkan kemampuan kelab menyaingi penguasaan Arsenal, tetapi lapan bulan selepas itu, lihatlah dimana kedudukan barisan pimpinan Sir Alex Ferguson?

Siapa sangka pada 26 Mei 1999 di Nou Camp, lapan bulan selepas kekalahan `memalukan’ di Highbury, barisan The Red Devils berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara sekaligus melengkapkan kejuaraan Treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara) musim 1998-99, pencapaian yang hingga sekarang masih gagal dilakukan oleh mana-mana kelab Inggeris. Saya tidak berharap atau memasang impian keajaiban musim 1998-99 mampu diulangi anak-anak buah Van Gaal, tetapi saya percaya akan ada kebangkitan yang bakal dipamerkan mereka selepas ini berkat dari kekalahan minggu lalu.

Selepas lapan perlawanan liga, tiada satupun kelab yang mampu mendabik dada dengan mengatakan bahawa merekalah yang bakal merajai saingan musim ini. Chelsea selaku juara liga musim lalu terus bergelut dengan prestasi sendiri hingga menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-16 liga. Jose Mourinho yang memang terkenal dengan falsafah defensive football beliau hingga kini masih tercari-cari jalan penyelesaian bagaimana mahu menghalang lawan dari terus membocori gawang pasukannya yang sudah dibolosi sebanyak 17 kali setakat ini.

Apa yang menyebabkan prestasi Chelsea begitu buruk selepas lapan perlawanan? Pada pendapat saya, jawapan kepada persoalan ini ada dalam diri John Terry, pemain yang bukan sahaja dianggap sebagai pemimpin tetapi lambang kepada kukuhnya barisan belakang The Blues selama ini. Pada usia 34 tahun, Terry sudah hilang kelajuan dan kini bukan lagi pertahanan kental yang pernah kita kenali selama bertahun-tahun beliau mengetuai benteng Chelsea, atau lebih tepatnya era JT#26 di Stamford Bridge sudah berada dipenghujungnya.

Kurt Zouma menjadi pilihan utama Mourinho untuk diletakkan sebagai gandingan Gary Cahill, tetapi pada usia 20 tahun, remaja Perancis ini perlukan dua atau tiga tahun lagi sebelum muncul pemain yang lebih bagus bagi meneruskan kesinambungan dinasti Terry sebagai jantung pertahanan Chelsea. Merosotnya prestasi Chelsea selain ketidaktentuan yang masih menyelubungi Anfield menyebabkan senarai pencabar kejuaraan musim ini saya anggap semakin pendek.

Jika diambilkira prestasi semasa, hanya Manchester City dan Arsenal sahaja pasukan yang perlu dirisaukan Van Gaal, tetapi dalam masa yang sama beliau juga perlu memastikan United tidak kehilangan mata ketika berdepan kelab-kelab pertengahan. Atau lebih tepatnya, United pimpinan Van Gaal perlu lebih konsisten. Meskipun tewas besar kepada Arsenal tempohari, satu hakikat yang perlu kita akui ialah bahawa United masih berada di kedudukan empat teratas, hanya dua mata di belakang Manchester City selaku pendahulu liga.

Ini juga bermakna United masih berada di landasan untuk memburu kejuaraan terutamanya selepas revolusi besar-besaran yang dilakukan Van Gaal dalam tempoh dua tahun terakhir. Kelebihan dua mata yang dimiliki City bukanlah jarak yang terlalu besar untuk dikejar apatah lagi dengan baki musim yang masih panjang perlu diharungi setiap pasukan. Bercakap tentang jurang mata yang dimiliki City, saya teringat antara comeback menakjubkan pernah dirakamkan United dalam saingan domestik.

Ia berlaku pada musim 1995/96, musim dimana Newcastle United pimpinan Kevin Keegan muncul pencabar serius dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga. Melihat kepada beberapa pemain kelas dunia dalam lineup mereka seperti David Ginola, Les Ferdinand, Peter Beardsley, Phillipe Albert, David Batty dan Faustino Asprilla, tidak hairanlah mengapa Magpies muncul antara kelab yang perlu ditewaskan ketika itu. Mereka mencipta jurang 10 mata di hadapan United menjelang saingan liga memasuki fasa kedua.

Ketika Magpies dilihat begitu selesa dengan kelebihan besar yang mereka miliki, manakala tidak banyak harapan yang diletakkan ke atas barisan Sir Alex Ferguson untuk menghampiri mereka, prestasi United tiba-tiba meledak menjelang bermulanya tahun baharu. Sedikit demi sedikit jurang besar ciptaan anak-anak buah Kevin Keegan terhakis, hinggalah kemuncaknya apabila Eric Cantona menjulang kejuaraan liga ketiganya bersama Unted di akhir musim.

Melihat kepada sejarah kebangkitan United sebelum ini, saya yakin generasi pemain baru di bawah era Van Gaal juga mampu mengulangi perkara yang sama. Skuad yang ada sekarang tidak kurang dari segi kualiti jika dibandingkan ketika era Unted dibarisi pemain-pemain seperti Roy Keane, Eric Cantona, David Beckham, Ruud Van Nistelrooy, Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary Neville, Andy Cole, Dwight Yorke, Jaap Stam dan ramai lagi.

Cuma apa yang mereka perlukan sekarang ialah masa selain faktor bagaimana bijaknya Van Gaal merangka strategi permainan berdasarkan kebolehan dan potensi pemain yang beliau miliki. Jika segalanya berjalan lancar, percayalah United bakal kembali muncul sebagai kuasa dominan di England dan kembali ke era kegemilangan mereka, era dimana Steve Bruce, Eric Cantona, Roy Keane, Gary Neville dan Nemanja Vidic muncul kapten yang pernah menjulang trofi Liga Perdana.

Apakah selepas ini akan tiba pula giliran Wayne Rooney? Jika soalan ini ditanyakan kepada saya, saya yakin Rooney berpeluang cerah meletakkan dirinya di atas podium kejuaraan sambil menjulang trofi Liga Perdana, sama seperti apa yang pernah dilakukan Bruce, Cantona, Keane, Neville dan Vidic. Apa pula yang boleh anda lakukan sekarang? Jawapannya ialah `bersabar’, kerana penyokong-penyokong United memang terkenal punya tahap kesabaran yang cukup tinggi.

Andainya anda masih lagi marah, kecewa dan kesal dengan kekalahan besar minggu lalu, sambil-sambil itu cuba bertanya kepada generasi penyokong United era 70an dan 80an, mengapa mereka meminati Manchester United biarpun dekad tersebut The Red Devils tidak punya apa-apa seperti ketika era kegemilangan ciptaan Sir Alex Ferguson. Atau paling bagus anda tanyakan kepada rakan-rakan Liverpool anda, mengapa disebalik segala kemarahan yang sudah lama terpendam, mereka masih kekal dan bersemangat melaungkan kata-kata keramat `You’ll never walk alone!!!’ kepada kelab kesayangan mereka. Pesan terakhir saya, `Bawa bertenang kerana dunia belum kiamat'...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

01 Oktober 2015

API SENGKETA YANG KIAN MALAP

Bercakap tentang pertembungan Manchester United dan Arsenal tidak akan lengkap sekiranya anda tidak menyebut perseteruan epik antara Roy Keane dan Patrick Vieira dalam topik perbualan anda. Sebaik berakhirnya era penguasaan Liverpool sebagai kuasa dominan di England, United dan Arsenal muncul memberikan warna kepada bolasepak Inggeris menerusi perseteruan hebat mereka bermula di penghujung era 90’an hinggalah awal dekad millennium.

Sebelum Chelsea datang `kacau daun’ menerusi pelaburan besar yang dilakukan Roman Abramovich pada 2003, saban musim pertembungan United dan Arsenal merupakan acara blockbuster yang dinantikan penuh teruja oleh penyokong kedua-dua kelab. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan pertembungan United/Arsenal ketika itu akan hilang serinya tanpa kelibat Keano dan Vieira di atas padang, dua individu yang memainkan pengaruh besar sepanjang karier mereka di Old Trafford dan Highbury.

Walaupun di awal era 90’an, Leeds United, Blackburn Rovers dan kemudiannya Newcastle United silih berganti memberikan cabaran kepada United dalam perebutan kejuaraan liga, Arsenal akhirnya muncul kelab yang memberikan makna sebenar `permusuhan abadi’ kepada barisan Sir Alex Ferguson. Semuanya bermula selepas kehadiran Arsene Wenger dari Nagoya Grampus Eight pada 1996 yang mengubah keseluruhan lanskap di Highbury.

Prestasi Arsenal sedikit demi sedikit mula meledak di bawah kendalian Wenger namun The Gunners perlu berdepan United yang sedang mengharungi tempoh cemerlang mereka dalam saingan domestik. Meskipun dekad-dekad sebelum itu sudah ada beberapa insiden yang membabitkan perseteruan United dan Arsenal, namun tidaklah sehebat ketika era di mana Keano dan Viera mengetuai sepuluh lagi rakan mereka di atas padang.

Daripada percakaran antara Keano dan Vieira hinggalah kepada insiden pizza gate, kesemuanya masih meninggalkan bekas mendalam yang diingati hingga kini setiap kali United dan Arsenal bertemu. Menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan Ahad ini, apa kata kita imbas kembali insiden-insiden paling terkenal yang membabitkan United dan Arsenal sepanjang era kemuncak perseteruan mereka.

Kening Berdarah Beckham

Permusuhan antara Roy Keane dan Ptrick Vieira sebenarnya turut membuatkan api perseteruan antara United dan Arsenal semakin marak. Entah buat keberapa kalinya Keano dan Vieira sekali lagi bertembung di atas padang apabila kedua-dua kelab bertemu di pusingan keempat Piala FA pada 15 Februari 2003. `Panasnya’ perlawanan ini mula dirasakan apabila seawal minit ketujuh permainan lagi, pemain kedua-dua pasukan sudah terlibat dengan pertelingkahan di atas padang.

Suasana `panas’ di atas padang turut terbawa-bawa hingga ke bilik persalinan dan ketika inilah tercetusnya insiden `boot melayang’ yang menyebabkan kening David Beckham berdarah. Kemarahan yang meluap-luap menyaksikan barisan hadapannya gagal menyudahkan banyak peluang terhidang dihamburkan Sir Alex terhadap pemain-pemainnya di bilik persalinan. Si `Hairdryer Treatment’ ini tanpa sengaja melepaskan rembatan padu pada boot pemain yang kemudiannya melayang mengenai Beckham.

Keesokan harinya imej Beckham dengan kening bertampal mendapat liputan utama akhbar berbanding kekalahan 0-2 United kepada seteru domestik mereka itu. Insiden ini juga rupa-rupanya petanda bahawa karier Beckham sebagai `budak emas’ di Old Trafford bakal menuju penamatnya. Diakhir musim Arsenal muncul juara Piala FA selepas mereka menewaskan Southampton di final manakala Beckham pula menamatkan kariernya bersama United dengan menyertai Real Madrid.

Battle of Old Trafford

Satu lagi perlawanan `panas’ membabitkan United dan Arsenal berlaku pada 21 September 2003. Sejak dari awal hinggalah ketiupan wisel terakhir, aksi selama 90 minit di Old Trafford ini berlangsung dengan cukup tegang. Malanglah buat Steve Bennet yang ditugaskan mengadili perlawanan itu kerana beliau terpaksa bekerja keras mengawal permainan agar berjalan lancar sejak dari minit pertama lagi.

Bintang yang menjadi sorotan dalam perlawanan ini siapa lagi jika bukan Ruud Van Nistelrooy dan Martin Keown. `Drama’ sebenarnya bermula diminit ke-80, apabila berlakunya insiden antara Patrick Vieira dan Van Nistelrooy yang hampir mencetuskan pergaduhan  hingga mengundang layangkan kad kuning kedua buat kapten Arsenal itu. Sepuluh minit kemudian kekasaran yang dilakukan Keown ke atas Diego Forlan pula menyebabkan Bennet menghadiahkan sepakan penalti kepada United.

Disinilah kemuncaknya `drama’ perlawanan ini terjadi. Ketika United sudah berkira-kira meraih tiga mata penuh jika Van Nistelrooy berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sepakan penalti yang diambil Van Nistelrooy mengenai palang gol dan sebaik Bennet meniup wisel penamat, Keown dan beberapa pemain Arsenal mengerumuni penyerang Belanda itu dan mula melakukan provokasi berlebihan.

Akibatnya berlaku sekali lagi kekecohan di atas padang hingga menyebabkan FA kemudiannya mengenakan hukuman denda sebanyak £175 ribu (yang tertinggi dalam sejarah hukuman FA) kepada semua pemain yang terlibat. Sepanjang 90 minit perlawanan, Bennet terpaksa melayangkan lapan kad kuning dan satu kad merah hasil dari 31 kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan. Di akhir musim, Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana sebagai skuad The Invincibles dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim.

Battle of the Buffet

Ada yang menamakan insiden ini sebagai Battle of the Buffet dan ada juga yang menamakan ia sebagai Pizzagate. Berikan apa sahaja nama yang anda fikirkan sesuai tetapi satu perkara yang tidak akan berubah sampai bila-bila ialah betapa insiden yang berlaku pada 24 Oktober 2004 itu merupakan momen paling terkenal membabitkan perseteruan antara dua kelab bolasepak.

Insiden ini sebenarnya cukup signifikan kerana pada tarikh inilah rekod invincibles 49 perlawanan tanpa kalah milik Arsenal berakhir. Jadi sudah tentu ada ketegangan serta kekecewaan semasa dan selepas perlawanan terutamanya di kalangan pemain-pemain The Gunners apabila perjalanan epik yang dimulakan mereka sejak 7 Mei 2003 berakhir di tangan musuh domestik seperti United.

Menurut Ashley Cole dalam autobiografinya, insiden tersebut bukanlah berpunca dari pemain Arsenal tetapi sebaliknya dimulakan oleh seorang penonton hingga akhirnya mencetuskan suasana kelam kabut dikalangan pemain kedua-dua pasukan. Selepas sebelas tahun dan pada dekad-dekad seterusnya, saya yakin Pizzagate akan sentiasa diingati sebagai simbol perseteruan paling mencuri tumpuan dalam sejarah bolasepak Inggeris khasnya dan dunia amnya.

Permusuhan Keano dan Vieira

Tidak dapat dinafikan bahawa Roy Keane merupakan kapten United paling kontroversi pernah kita saksikan. Ketepikan segala kontroversi yang pernah beliau cetuskan kerana sebagai pemain, Keano memang benar-benar mengagumkan. Kerja kerasnya, semangat meluap-luapnya dan keinginan cukup tinggi untuk menang setiap kali mengetuai rakan-rakan sepasukan, faktor mengapa beliau begitu digeruni kawan dan lawan.

Insiden paling terkenal sepanjang permusuhan Keano dan Vieira berlaku pada 2005 di Highbury. Percakaran lisan antara dua kapten berpengaruh itu dalam terowong pemain yang dirakamkan kamera kekal sebagai momen paling diingati jika kita bercakap tentang perseteruan United dan Arsenal. Semuanya bermula dari `perang kecil’ yang berlaku antara Vieira dan Gary Neville kemudiannya merebak sebaik Keano turut campur tangan.

Akhirnya insiden di terowong itu memancing emosi pemain dari kedua-dua pasukan hingga mencetuskan beberapa ketegangan sepanjang aksi 90 minit di atas padang. Bagaimanapun di sebalik ketegangan yang beliau cetuskan, Keano tetap mampu tersenyum sinis sambil memandang Vieira selepas tamat perlawanan apabila United (menang 4-2) hasil dua jaringan Cristiano Ronaldo, Ryan Giggs dan John O’Shea.

Walaupun selepas bersara sebagai pemain, Keano dan Vieira nampaknya masih sukar bertentang mata hinggalah satu pertemuan diatur sebuah saluran televisyen pada Disember 2013. Bagaimanapun, tempoh dua bulan diperlukan penerbit bagi menyakinkan Keano untuk bertemu Vieira buat pertama kali selepas masing-masing menamatkan kerjaya mereka di Old Trafford dan Highbury pada 2005. Bezanya kali ini pertembungan antara dua lagenda itu bukan berlaku di atas padang tetapi dihadapan kamera.

Berakhirnya Era Keano dan Vieira

Selepas berakhirnya era Keano dan Vieira di Old Trafford dan Highbury, ketegangan antara dua kelab ini juga nampaknya sedikit demi sedkit semakin kendur. Ketika posisi pemain-pemain seperti Keano, Rio Ferdinand, Ruud Van Nistelrooy, Gary Neville, Ryan Giggs, Paul Scholes, Ray Parlour, Thierry Henry, Lauren, Patrick Vieira, Ashley Cole, Martin Keown dan Dennis Bergkamp digantikan dengan generasi pemain baharu, api dendam dan kemarahan yang menghangatkan pertembungan United/Arsenal pada penghujung dekad 90’an dan awal era millennium turut semakin malap.

Adakalanya saya merindui kelibat pemain-pemain `rebel’ seperti Keano, Ferdinand, Vieira dan Keown kerana merekalah sebenarnya yang menyebabkan pertembungan United/Arsenal 10 atau 15 tahun dahulu begitu ditunggu-tunggu. Sejak berakhirnya era Keano dan Vieira juga, Arsenal nampaknya masih bergelut mencari kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 11 tahun. Kemunculan Chelsea dan kemudiannya Manchester City sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris disamping polisi pembelian pemain yang diamalkan Arsene Wenger penyumbang utama mengapa Arsenal kian terpinggir walaupun saban musim mereka konsisten menempatkan diri di kedudukan empat teratas.

Berbanding 10 atau 15 tahun yang lalu, pertembungan United/Arsenal kini bukan lagi dianggap sebagai perlawanan blockbuster Liga Perdana. Di sebalik segala api kemarahan, dendam dan permusuhan yang kian malap, aksi menentang Arsenal tetap satu perlawanan penting yang perlu dimenangi United. Meskipun aksi di Stadium Emirates Ahad ini tidak sepanas ketika era Keano dan Vieira sebagai pemain, saya masih percaya bahawa pertembungan kali ini tetap ada daya penariknya. Perlawanan yang saya percaya mampu memaksa saya terpaku di hadapan televisyen selama dua jam…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 September 2015

KALAULAH ADA ROBIN...

“Pahit”…hanya itulah perkataan yang mampu diberikan selepas menyaksikan kekalahan Manchester United pada perlawanan pertama mereka di pentas Liga Juara-Juara musim ini. Menguasai segenap pelusuk padang tidak bermakna anda akan keluar sebagai pemenang selepas 90 minit permainan dan itulah yang berlaku tempohari. Dari segi statistik, United memang jauh berada di hadapan berbanding Eindhoven, tetapi dua jaringan lawan yang dihasilkan menerusi Hector Moreno dan Luciano Narsingh menyebabkan rekod buruk Van Gaal setiap kali bertandang ke Phillips Stadion terus berpanjangan.

Untuk rekod, sepanjang karier kejurulatihannya, Van Gaal hanya mampu menang dua kali di Phillips Stadion. Kemenangan pertama Van Gaal di gelanggang Eindhoven itu berlaku pada aksi saingan Eredivisie 1994/95 ketika beliau membawa barisan Ajax Amsterdam menang 4-1 di sana. Kemenangan kedua pula hadir ketika beliau mengendalikan AZ Alkmaar, manakala sepanjang 26 perlawanan menentang Eindhoven, Van Gaal hanya mampu membawa pasukannya menang lapan kali, enam perlawanan berakhir dengan keputusan seri dan 13 kekalahan.

Awal pagi Rabu lalu, sumpahan Phillips Stadion nampaknya masih menghantui karier kejurulatihan Van Gaal apabila kali ini United di bawah kendalian beliau pula menjadi mangsa. Saya akui track record Van Gaal setiap kali pasukannya berdepan Eindhoven memang buruk, tetapi dalam masa yang sama saya juga perlu mengakui bahawa United masih lagi belum menunjukkan kemampuan sebenar sesuai dengan nilai yang telah dibelanjakan Van Gaal sejak beliau dilantik selaku pengurus di Old Trafford.

Aksi di Phillips Stadion tempohari sekali lagi mendedahkan kekurangan sebenar United, iaitu ketumpulan di jentera serangan. Ketika penguasaan bola menjadi milik mutlak mereka, barisan serangan pula seperti tiada ilham dalam usaha mereka membocori gawang lawan. Melihat kepada situasi terkini, saya mula terfikir apa rasionalnya Van Gaal dengan mudah melepaskan Robin Van Persie ke Fenerbahce sedangkan dalam masa yang sama beliau tidak membawa pengganti setaraf untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penggempur handalan dari Belanda itu.

Melihat `stok’ penyerang yang dimiliki kelab semakin berkurangan selepas penghijrahan Van Persie dan Radamel Falcao, Van Gaal membuatkan kita sekali lagi bingung apabila bertindak menjual Javier Hernandez kepada Bayern Levekusen dan meletakkan Adnan Januzaj di Signal Iduna Park sebagai pemain pinjaman. Kurangnya pilihan pemain di jentera serangan menyebabkan Van Gaal pernah melakukan percubaan dengan meletakkan Memphis Depay sebagai penyerang tengah di belakang Wayne Rooney tetapi tidak berhasil.

Ketika perlawanan menentang Liverpool Sabtu lalu, Van Gaal menggunakan Marouane Fellaini sebagai `targetman’ berikutan ketiadaan Rooney yang mengalami kecederaan. Walaupun berjaya menewaskan musuh tradisi mereka itu, Fellaini bukanlah pilihan yang tepat untuk diletakkan sebagai `pemburu gol’. Sepanjang separuh masa pertama, pergerakkan Fellaini mudah dibaca pertahanan Liverpool tetapi perubahan taktikal di babak kedua apabila Van Gaal memasukkan Ashley Young dan Anthony Martial berjaya mengubah situasi.

Apa yang sedang dihadapi United ketika ini membuatkan saya mula terfikir alangkah baiknya jika kelibat Robin Van Persie masih ada dalam pasukan. Saya akui Van Persie tidak sepantas dua atau tiga tahun yang lalu tetapi ketajaman naluri pembunuhnya serta pengalaman luas yang dimiliki bekas kapten skuad kebangsaan Belanda itu tidak dimiliki Anthony Martial ataupun James Wilson. Saya akui Martial merupakan satu pembelian yang bagus untuk jangkamasa panjang tetapi dengan usia yang masih muda dan cetek pengalaman, beliau perlukan beberapa tahun lagi sebelum muncul pemain yang lebih bagus.

Akhirnya suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa keputusan Van Gaal melepaskan Robin Van Persie bukanlah satu keputusan yang bijak. Saya masih mengingati gol menakjubkan yang dihasilkannya ke gawang Aston Villa dalam aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford pada 23 April 2013. Gol sehebat itu perlukan kemahiran teknikal yang hebat dari seorang pemain yang hebat dan itulah kualiti yang sering diperagakan Van Persie kepada kita selama bertahun-tahun beliau mengerah keringatnya di Liga Perdana.

Selepas berakhir perlawanan tersebut, Van Persie ketika ditanya wartawan mengatakan bahawa gol seperti itu memang sukar dihasilkan. “Jika anda lihat situasinya dan betapa pentingnya gol tersebut, maka itu adalah salah satu gol terbaik pernah saya jaringkan. Umpanan Wayne Rooney sungguh luarbiasa. Dia perlu membaca pergerakkan saya kerana ketika itu saya berlari melepasi Ron Vlaar. Bola betul-betul jatuh dihadapan saya dan anda perlukan sedikit tuah kerana tendangan seperti itu boleh sahaja melambung tinggi atau tersasar”, kata Van Persie.

Gol jaringan Van Persie itu diiktiraf sebagai antara `goal of the decade’ dan di akhir musim dicalonkan untuk Puskas Award 2013 serta penghargaan tahunan untuk kategori gol terbaik. Sebelum meninggalkan Stadium Emirates pun, Van Persie masih sempat meninggalkan momen untuk dikenang penyokong-penyokong Arsenal menerusi gol cantiknya ke gawang Everton. Memang Van Persie sudah sinonim dengan gol-gol indahnya baik ketika bersama Arsenal mahupun skuad kebangsaan Belanda terutamanya menerusi sepakan-sepakan kencang serta voli dari kaki kirinya.

Jika anda masih ingat, kemenangan ke atas Aston Villa pada 23 April 2013 itu juga sebenarnya mengesahkan kedudukan United selaku juara liga musim 2012/13. Selepas tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim sebelumnya kepada Manchester Cty menerusi perbezaan gol, musim 2012/13 dianggap musim paling penting buat United untuk bangkit kembali. Bagi seluruh pasukan, terlepas kejuaraan liga pada perlawanan terakhir hanya menerusi perbezaan jaringan selepas seluruh musim berhempas pulas merupakan satu pukulan psikologi yang bukan sedikit kesannya.

Untuk menewaskan City, Sir Alex Ferguson sedar bahawa beliau perlu mendapatkan `senjata baharu’ untuk diletakkan dalam skuadnya. Beliau beruntung ketika itu kerana di Stadium Emirates ada seorang pemain yang tidak gembira kerana misi peribadinya mahu memenangi medal kejuaraan sulung Liga Perdana sebelum bersara masih tidak kesampaian walaupun sudah lapan musim di England.

Berbekalkan kebolehan teknikal yang cukup bagus sebagai seorang penyerang dan keinginan meluap-luap untuk menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam kariernya, Robin Van Persie adalah `faktor penentu’ yang dicari-cari Sir Alex untuk memberikan kelebihan kepada pasukannya. Musim panas 2012, Van Persie akhirnya menamatkan ikatannya bersama Arsenal selepas lapan musim memperagakan ketajamannya selaku `penembak tepat’ The Gunners.

Tawaran United untuk mendapatkan penyerang handalannya tidak dapat ditolak Arsene Wenger, manakala Van Persie pula percaya dengan menyertai United medal kejuaraan Liga Perdana akan dikalungkan di lehernya di akhir musim nanti. Akhirnya berbekalkan ketajaman Van Persie di jentera serangan di samping bantuan yang diberikan Wayne Rooney dari belakang, kejuaraan Liga Perdana berjaya dirampas dari Stadium Etihad.

Sepanjang musim 2012/13, jentera serangan United menghasilkan 86 gol di mana 41 daripadanya adalah dari sumbangan Van Persie menerusi 26 gol yang dijaringkannya dan 15 assist yang diciptanya. Atau lebih tepatnya 47.67% dari gol yang dihasilkan United sepanjang musim tersebut adalah menerusi penglibatan Van Persie. Kejuaraan liga musim tersebut merupakan kejuaraan liga ke-20 buat United tetapi yang terakhir untuk Van Persie dan Sir Alex.

Pengumuman pengunduran Sir Alex dari kerusi pengurus rupa-rupanya memberikan kesan bukan sedikit kepada Van Persie. Beliau pemain United paling kecewa sebaik mendengar pengumuman itu dan apa yang beliau rasakan sebenarnya cukup mudah difahami. Selain mahu memburu kejuaraan sulung Liga Perdana, faktor Sir Alex juga antara penyebab yang mempengaruhi keputusan beliau memilih Old Trafford sebagai destinasinya selepas meninggalkan Stadium Emirates. Bukan hanya medal kejuaraan Liga Perdana jadi buruan, tetapi Van Persie sebenarnya memasang impian mahu bermain di bawah kendalian Sir Alex untuk beberapa musim lagi.

Musim 2013/14 di bawah kendalian David Moyes merupakan musim paling mengerikan terutamanya buat generasi baharu penyokong United yang sudah terbiasa dengan kejuaraan demi kejuaraan yang dihadiahkan Sir Alex sepanjang eranya. Bukan hanya United yang menerima kesannya malah Van Persie juga begitu. Sepanjang musim tersebut Van Persie hanya mampu menyumbangkan 12 gol dari 21 penampilan. Kecederaan yang membataskan penampilan beliau juga antara penyebab mengapa statistik jaringannya jatuh mendadak.

Kedatangan Van Gaal sebagai pengganti Moyes pada mulanya dilihat ramai pihak mampu melonjakkan semula prestasi Van Persie, namun hal itu tidak berlaku. Statistik jaringan Van Pesie terus menjunam di mana beliau hanya mampu menjaringkan 10 gol dari 27 penampilan liga. Beberapa siri kecederaan sekali lagi menganggu penampilannya di atas padang selain aksi di Piala Dunia turut memberikan kesan kepada kudrat pemain yang sudah berusia seperti beliau.

Akhirnya karier Van Persie di Old Trafford hanya bertahan selama tiga musim sebelum beliau akhirnya di lepaskan ke Fenerbahce. Musim pertama dilalui beliau dengan penuh gemilang dan dua musim selepas itu dipenuhi dengan ketidaktentuan. Apapun yang berlaku disebalik penghijrahan Van Persie, saya hingga sekarang masih menganggap keputusan Van Gaal menjual pemain ini adalah satu kesilapan yang besar.

Ketumpulan jentera serangan di Phillips Stadion tempohari bukanlah yang pertama berlaku ke atas United setakat ini. Tiga aksi awal liga menyaksikan United hanya mampu menjaringkan dua gol dan melepaskan tiga percubaan tepat ke arah gawang lawan walaupun menang dua dari tiga perlawanan mereka. Dua dari tiga gol yang dijaringkan United ketika berdepan Liverpool pula dijaringkan oleh pemain tengah (Ander Herrera menerusi sepakan penalti) dan pertahanan (Daley Blind).

Saya sedikit resah menyaksikan statistik jaringan United setakat ini terutamanya dalam saingan liga apabila mereka hanya mampu menghasilkan enam gol dari lima perlawanan. Itu pun tiga daripadanya disumbangkan pemain tengah manakala satu gol sendiri dari pemain lawan (Kyle Walker). Menyaksikan apa yang sudah berlaku di Phillips Stadion tempohari, saya hanya mampu berharap Wayne Rooney segera kembali beraksi untuk memberikan sedikit nafas kepada jentera serangan United.

Buat masa sekarang pemain paling sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai penyerang tengah ialah Anthony Martial. Martial memiliki kekuatan dan kepantasan, cuma tekniknya perlu dipertajamkan sebelum beliau boleh menghadirkan gentar kepada barisan pertahanan lawan. Dengan sokongan Rooney di belakangnya, saya yakin kombinasi Rooney/Martial boleh diharap untuk memburu gol. Inilah sahaja pilihan yang Van Gaal ada selain percubaan meletakkan Ashley Young selaku penyerang tengah seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Jika prestasi sama ketika berdepan Liverpool mampu diulangi Martial, saya percaya anak muda ini boleh diharap untuk bertindak selaku penggempur, cuma masalahnya pemain muda seperti beliau sering berdepan masalah konsistensi. Kini saya ingin melihat apa percaturan seterusnya yang bakal dilakukan Van Gaal selepas skuadnya ditewaskan Eindhoven. Akan berlaku lagikah perubahan kepada barisan serangan United pada aksi di Stadium St Mary nanti? Jika itu berlaku, giliran pemain manakah kali ini yang bakal digunakan Van Gaal selaku penggempur?

Melihat kepada situasi terkini, tidakkah anda pernah terfikir alangkah baiknya jika penyerang berpengalaman dan sebagus Van Persie masih ada dalam pasukan? Walaupun beliau sudah berusia, saya masih merasakan penyerang berpengalaman serta punya ketajaman seperti Van Persie masih mampu memberikan sumbangan besar dan menghadirkan `fear factor’ kepada mana-mana pertahanan lawan. Menyaksikan aksi United di Phillips Stadion tempohari, hati saya tiba-tiba terdetik dan berkata…”Ohhh alangkah bagusnya jika ketika ini ada Robin”.. Glory Glory Manchester United!!! - AJ