11 April 2019

MISI SUKAR TETAPI BUKAN MUSTAHIL DI NOU CAMP



Gol sendiri Luke Shaw diminit ke-12 akhirnya memberikan Barcelona kelebihan satu gol untuk mereka bawa pulang menjelang aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara yang bakal berlangsung di Nou Camp minggu hadapan. Meskipun tewas, saya secara peribadi menganggap aksi yang dipamerkan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer sepanjang tempoh 90 minit permainan jauh lebih baik berbanding ketika mereka tewas 0-2 kepada Paris St Germain 13 Februari lalu.

Saya tiada masalah dengan statistik perlawanan yang menunjukkan bahawa tiada satu pun shots on target mampu dilakukan barisan hadapan United bagi menguji Marc Ander ter-Stegen, kerana saya lebih gemar melihat dari sudut bagaimana kesebelasan yang diturunkan Solskjaer menyusun gerakan dan cuba mencipta peluang sepanjang permainan. Barca mungkin lega dengan kemenangan 1-0 yang mereka capai, tetapi dalam masa sama juga mereka sedar bahawa `bahaya’ masih menanti mereka pada aksi kedua di Nou Camp nanti.

Kredit Untuk McTominay dan Fred

Saya memuji penampilan Gerard Pique yang begitu tenang mengemudi benteng pertahanan Barca tetapi di pihak United saya sangat mengagumi prestasi yang dipamerkan Scott McTominay dan Fred di bahagian tengah. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa McTominay dan Fred merupakan pemain paling menonjol dalam kem United awal pagi tadi. Dua pemain yang digunakan Solskjaer sebagai pelindung Paul Pogba ini melaksanakan tugas mereka dengan sangat cemerlang terutamanya ketika mematahkan setiap gerakan-gerakan serang balas yang cuba dilakukan lawan.

Sepanjang perlawanan McTominay dan Fred mencatatkan tiga tackle bersih, dua intercept, satu clearance dan memenangi empat pertarungan bola tinggi. Dalam situasi offensive pula Fred muncul pemain United paling banyak melakukan sentuhan bola (90 sentuhan). Dari jumlah tersebut beliau melepaskan 74 hantaran tepat dimana peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 86%. Dalam hal melakukan dribble pula, McTominay lebih menonjol apabila pemain muda itu berjaya melakukan dua dribble manakala gerakan-gerakan yang dilakukannya menyebabkan Sergio Busquets beberapa kali terpaksa melakukan pelanggaran.

Smalling Yang `Melukakan’ Messi

Setiap kali kelab-kelab dari Liga Perdana berdepan Barca dalam saingan di pentas Eropah, nama Lionel Messi pasti menjadi sorotan media. Semuanya gara-gara 22 gol yang dihasilkan La Pulga dari 30 aksi Barca ketika mereka berdepan wakil dari Inggeris. United sendiri pernah merasai bagaimana pahitnya saat `Si Penyihir Kecil’ itu menembusi gawang mereka dalam dua aksi final Liga Juara-Juara pada edisi 2009 dan 2011.

Bagaimanapun dua gol yang dijaringkan Messi ke gawang United dalam dua aksi final Liga Juara-Juara itu berlaku di gelanggang neutral. Satu dihasilkan beliau di Stadium Olimpik Rome dan satu gol lagi dijaringkannya di Stadium Wembley. Dua lagi pertembungan membabitkan United dan Barca pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2007-08 menyaksikan Messi gagal menjaringkan sebarang gol.

Awal pagi tadi, Old Trafford nampaknya masih lagi `suci’ dari dinodai Messi, semuanya dibantu oleh prestasi terpuji yang dipamerkan Chris Smalling `dijantung’ pertahanan United. Jika nama Messi sering menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana pertahanan lawan, Smalling pula mungkin boleh dikecualikan. Sepanjang tempoh 90 minit, Smalling membuktikan bahawa kata-katanya sebelum perlawanan bukanlah cakap-cakap kosong.

“Aksi menentang Messi merupakan pertembungan yang saya nanti-nantikan”, kata Smalling semasa sidang media pra perlawanan. Solskjaer memang tidak memberikan arahan secara khusus kepada mana-mana pemainnya agar `memberikan layanan istimewa’ kepada Messi, tetapi selaku pemain pertahanan, Smalling sentiasa memastikan dirinya berada pada waktu dan posisi yang tepat bagi menghentikan setiap gerakan yang cuba dilakukan kapten Barca itu.

Insiden pertembungan yang membabitkan dirinya dengan Messi diminit ke-28 hingga mengakibatkan kapten Barca itu mengalami kecederaan mungkin interpretasi dari kenyataan Smalling sebelum perlawanan tentang keterujaannya untuk berdepan Messi. Meskipun ada yang mengecam rempuhan kerasnya ke atas Messi, secara keseluruhan saya melihat Smalling sudah melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam mengawal benteng pertahanan United sepanjang perlawanan.

Menanti Kebangkitan Di Nou Camp

Jika bercakap tentang soal melakukan comeback, United antara kelab yang sangat sinonim dengan perkataan tersebut. Meskipun barisan pemainnya tewas 0-1 pada aksi pertama di Old Trafford awal pagi tadi, Solskjaer tetap optimis bahawa United sudah bersiap sedia melakukan kebangkitan di Nou Camp minggu hadapan. Pengalaman manis ketika menyingkirkan Paris St Germain di Paris Februari lalu bakal dijadikan suntikan motivasi buat barisan United menjelang aksi kedua nanti.

Meskipun sedar bukan tugas mudah untuk barisan pemainnya melakar satu lagi kejutan terutamanya ketika berdepan lawan sehebat Barca, Solskjaer optimis bahawa United mampu menjaringkan gol di Nou Camp.  “Di Nou Camp nanti anda perlu bermain baik meskipun tidak menguasai bola. Kami akan memperbaiki beberapa aspek dan kemudiannya pergi ke sana dengan fokus utama iaitu menjaringkan gol”, kata Solskjaer dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Jalan Berliku Buat United

Solskjaer menjanjikan kebangkitan pada perlawanan kedua di Nou Camp minggu hadapan tetapi untuk melakukannya bukanlah satu tugas yang mudah. Solskjaer mengatakan fokus di Nou Camp nanti ialah menjaringkan gol tetapi untuk melakukannya beliau harus memperbaiki ketajaman penyudah barisan penyerangnya. Di sebalik penguasaan bola yang dipamerkan Barca sepanjang aksi awal pagi tadi, United pula melepaskan 10 percubaan ke arah gawang lawan namun tiada satupun tepat ke sasaran.

Jika mahu menamatkan perjuangan Barca di Nou Camp nanti, United perlu memperbaiki aspek kreativiti ketika melakukan serangan, kerana sekiranya kelemahan ini tidak diperbaiki sukar untuk membayangkan bahawa Romelu Lukaku, Marcus Rashford atau Anthony Martial mampu meletakkan nama mereka sebagai penjaring pada aksi kedua nanti. Jangan lupakan fakta bahawa Barca sangat kebal ketika bermain di gelanggang sendiri kerana sejak kekalahan (3-4) kepada Real Betis November tahun lalu, gawang Marc Ander ter-Stegen cuma dibolosi 9 kali dari 15 aksi mereka di Nou Camp.

Motivasi Tambahan

Di pentas domestik tiada sebarang kejuaraan yang mampu digapai United selepas mereka terkeluar dari persaingan merebut kejuaraan Piala Liga, Piala FA dan Liga Perdana. Misi utama mereka dalam saingan liga ialah memastikan salah satu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan berada dalam genggaman meskipun terpaksa berdepan cabaran sengit dari Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Chelsea.

Kini satu-satunya peluang yang tinggal untuk barisan Solskjaer menamatkan musim ini dengan satu kejuaraan ialah mara ke Wanda Metropolitano  dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana pada 1 Jun nanti. Trofi Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya kejuaraan yang realistik untuk United menangi, jadi saya berharap ia juga bakal menjadi motivasi tambahan kepada kesebelasan yang bakal diturunkan Solskjaer di Nou Camp dalam misi mereka melakar satu lagi kejutan.

Musim ini United pernah menakluk Juventus dan kemudiannya Paris St Germain di gelanggang lawan, jadi tiada salahnya jika kita memasang impian mahu melihat armada Solskjaer menakluk Nou Camp pula. Dibantu dengan sedikit tuah serta fakta bahawa Barca juga tidak pernah berjaya melepasi peringkat suku akhir dalam tempoh tiga musim terakhir, kita mungkin bakal melihat Nou Camp menghadirkan kegembiraan buat United untuk kali kedua dalam tempoh 20 tahun. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

09 April 2019

BARCA...NOU CAMP DAN TUAH YANG PERNAH MENYEBELAHI UNITED




Awal pagi Khamis ini, Manchester United bakal berdepan satu lagi misi yang dianggap mustahil dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini apabila bakal berdepan Barcelona dalam aksi pertama peringkat suku akhir saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Barcelona adalah antara kesebelasan terbaik di Eropah ketika ini, jadi tidak banyak harapan yang mampu kita berikan kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk melakar sebarang kejutan tambahan pula selepas menyaksikan prestasi mereka dalam empat perlawanan terakhir.

Selepas melakar kebangkitan di Parc des Princes ketika menyingkirkan Paris St Germain di pusingan kalah mati 16 pasukan, United tewas tiga dari empat aksi terakhir mereka di pentas domestik. Mengambilkira daripada prestasi terkini yang dipamerkan barisan kendalian Solskjaer, jangan berkecil hati sekiranya ramai pihak meramalkan bahawa Barca bakal diberikan laluan yang mudah untuk mara ke peringkat separuh akhir. Berbanding Barca yang hampir serba lengkap, United pula bagi saya masih belum menemui keseimbangan meskipun prestasi mereka jauh meningkat selepas kedatangan Solskjaer Disember tahun lalu.

Solskjaer Yang Kekal Optimis

Ketika ramai pihak meragui kemampuan United untuk mara lebih jauh dalam kempen Eropah mereka kali ini, satu-satunya individu yang kekal positif apabila berbicara tentang peluang barisan pemainnya melepasi halangan Barca ialah Ole Gunnar Solskjaer. Bagi Solskjaer, jika United mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara, skuadnya perlu mengatasi halangan kesebelasan terbaik Eropah dan itulah yang perlu mereka lakukan ketika berdepan Barca nanti. Bagaimanapun dalam masa yang sama perlu diakui bahawa Barca bukanlah lawan yang mudah dan mereka sangat berpengalaman terutama ketika berada dalam peringkat seperti ini

Tersingkir dari saingan Piala FA dan tanpa sebarang aksi domestik yang perlu dihadapi barisan pemainnya minggu lalu, Solskjaer memiliki tempoh rehat selama lapan hari untuk mempersiapkan kesebelasan terbaiknya menjelang kunjungan Barca ke Old Trafford. Hujung minggu lalu, kelibat Solskjaer dikesan berada di Nou Camp menyaksikan aksi Barca ketika mereka menewaskan Atletico Madrid dalam saingan La Liga. Saya berharap ada input berguna yang diperolehi Solskjaer sepanjang beliau memerhati corak permainan, kelebihan dan kelemahan barisan bimbingan Ernesto Valverde itu di Nou Camp tempohari.

Misi Menghentikan Messi

Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa Lionel Messi merupakan pemain terbaik dunia meskipun sentiasa ada perdebatan yang membandingkan kemampuan beliau dengan Cristiano Ronaldo. Secara peribadi saya bukanlah peminat Messi mahupun Ronaldo kerana sebagai penyokong United saya lebih gemar bercakap tentang David De Gea, Paul Pogba, Marcus Rashford, Victor Lindelof, Anthony Martial atau Ander Herrera. Bagaimanapun itu bukan bermakna saya tidak mengagumi bakat yang dimiliki Messi mahupun Ronaldo kerana dua pemain ini adalah yang terbaik dari generasi mereka.

Messi adalah kekuatan utama Barca ketika mereka melancarkan gerakan ke kubu lawan. Messi bagi saya adalah `ahli silap mata kecil’ yang mampu memberikan perbezaan kepada Blaugrana berbanding lawan-lawan mereka. Dua aksi terakhir kompetitif United ketika berdepan Barca berakhir dengan kekalahan dan dalam dua aksi tersebut juga nama Messi ada dalam senarai penjaring mereka. Pada final edisi 2009 dan 2011, Messi berjaya menembusi gawang United sebanyak dua kali, jadi tidak hairanlah mengapa kali ini fokus benteng pertahanan United sekali lagi akan tertumpu kepada beliau.

Ketika barisan pertahanan United yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand gagal menghentikan pergerakan Messi, saya tertanya-tanya apa yang mampu ditawarkan Victor Lindelof atau Chris Smalling kali ini? Barca bukan berkisar tentang Messi sahaja tetapi mereka juga memiliki pemain-pemain lain seperti Luis Suarez dan Ousmane Dembele yang mampu memberikan ancaman. Jadi untuk memenangi pertarungan, United perlu mengeluarkan kemampuan terbaik mereka di semua posisi selain tidak hilang konsentrasi sepanjang perlawanan.

Barca Bukan Lawan Asing

Untuk rekod, United dan Barca sudah bertemu sesama sendiri sebanyak 11 kali, sama ada dalam saingan Liga Juara-Juara, Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) atau dalam perlawanan-perlawanan pra musim. Dari jumlah tersebut, United tewas kepada Barca sebanyak empat kali di mana dua kekalahan mereka (dalam perlawanan kompetitif) berlaku pada final Liga Juara-Juara edisi 2009 dan 2011.

Pada 2009 dan 2011, Barca merupakan kesebelasan paling mengasyikkan di Eropah menerusi pendekatan corak permainan tiki taka yang diterapkan Pep Guardiola ketika itu. Bagaimanapun Barca kini ditangani Ernesto Valverde, jadi sudah tentu pendekatan bolasepak mereka di atas padang juga sudah berubah. Barca ketika ini mungkin tidak sehebat ketika mereka ditangani Guardiola tetapi hal tersebut tetap tidak mengurangkan status mereka sebagai pasukan pilihan menjelang aksi pertama di Old Trafford nanti.

Fakta Sejarah Silam

Bukan mudah menewaskan Barcelona yang sangat konsisten musim ini, tetapi jika United berjaya melepasi halangan gergasi Catalan itu dalam cabaran peringkat suku akhir, mereka sebenarnya sangat berpeluang menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini. United menyempurnakan dua dari tiga peluang mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas berdepan Barca sama ada di peringkat kumpulan mahupun pusingan kalah mati.

Momen pertama berlaku pada musim 1998-99, ketika itu United dan Barca diletakkan dalam kumpulan yang sama (Kumpulan D). Dalam aksi timbal balik peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri (3-3). Di akhir saingan Kumpulan D, Bayern Munich dan United layak ke peringkat suku akhir selepas masing-masing muncul juara dan naib juara peringkat kumpulan, manakala Barca sekadar berada di posisi ketiga.

Akhirnya di penghujung saingan, United muncul sebagai juara selepas mereka melakukan kebangkitan hebat di Nou Camp dalam aksi final menentang Bayern. Momen kedua pula berlaku pada musim 2007-08, di mana kali ini United dan Barca bertembung di peringkat separuh akhir. Aksi pertama yang berlangsung di Nou Camp berakhir dengan keputusan seri (0-0), tetapi gol tunggal jaringan Paul Scholes di Old Trafford pada aksi kedua kemudiannya menghantar United ke pentas final.

Di Stadium Luzhniki, United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab selepas mereka menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti. Adakah kali ini nasib serupa bakal dilalui United jika mereka berjaya melepasi halangan Barca? United di bawah kendalian Solskjaer kesebelasan yang penuh kejutan. Mereka pernah melakukannya di kota Paris saat menyingkirkan Paris St Germain 6 Mac lalu, jadi bukan mustahil untuk mereka melakukan hal yang sama ke atas pasukan berstatus elit seperti Barca.

Ujian Terbesar

Barca bakal menjadi ujian terbesar buat Solskjaer selaku pengendali apatah lagi beliau sudah diberikan kontrak tetap yang menyaksikan legenda United ini akan berada di Old Trafford hingga 2021. Berdepan skuad serba lengkap seperti Barca bukanlah satu tugas mudah untuk United selain realiti bahawa mereka juga tidak beraksi dengan begitu baik dalam beberapa perlawanan terakhir berbanding gergasi Catalan itu.

Tugas yang perlu dilakukan Solskjaer sekarang ialah mempersiapkan barisan terbaiknya untuk diturunkan pada aksi pertama awal pagi Khamis ini. Meskipun diunggulkan sebagai pasukan pilihan, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk United menewaskan pemenang lima kali trofi Liga Juara-Juara itu. Paling penting gawang United tidak dibolosi pada aksi pertama sambil berharap Nou Camp gelanggang yang sentiasa bertuah untuk barisan The Red Devils ketika mereka beraksi di sana 17 April nanti...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

03 April 2019

DUA KALI JATUH DI LUBANG YANG SAMA




“Umpama seorang pekerja yang sudah tamat bercuti tetapi masih terlupa untuk kembali bertugas”, itulah luahan Ole Gunnar Solskjaer selepas beliau menyaksikan barisan pemainnya sekali lagi ditundukkan Wolverhampton Wanderers di Molineux. Kekalahan kali kedua yang dialami United di Molineux ini juga melengkapkan rekod buruk mereka setiap kali berdepan kesebelasan The Wolves itu musim ini. Dari tiga aksi domestik menentang skuad bimbingan Nuno Espirito Santo itu musim ini (dua dalam saingan liga dan satu dalam saingan Piala FA), United sekadar mencatat satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Agak merugikan bagi United kerana ketika mereka perlukan kemenangan untuk terus bersaing merebut posisi empat teratas, kesilapan individu yang dilakukan pemain selain ketumpulan jentera serangan menyaksikan barisan kendalian Solskjaer tewas buat kali kedua di Molineux dalam tempoh 17 hari. Saya tiada masalah dengan corak permainan United kerana hampir sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung, mereka jelas mendominasi perlawanan. Di babak pertama sahaja mereka melepaskan tiga percubaan tepat selain mencipta empat peluang jaringan gol di mana salah satunya berjaya disempurnakan oleh Scott McTominay.

Kesilapan Individu

Di babak kedua United masih mendominasi permainan tetapi dalam masa yang sama beberapa kesilapan individu, hantaran-hantaran yang kurang tepat dan first touch  yang buruk menyaksikan gerakan-gerakan yang dilakukan mereka di kawasan final third lawan mudah dipatahkan kesebelasan tuan rumah. Situasi bertambah sukar buat United selepas Ashley Young dilayangkan kad kuning kedua kerana kekasaran yang dilakukan beliau ke atas Diogo Jota diminit ke-57. Selepas beraksi dengan sepuluh pemain, saya cuma berharap agar United tidak pulang dengan tangan kosong tetapi malangnya gawang mereka sekali lagi dibolosi buat kali kedua diminit ke-77.

United mungkin kurang bernasib baik dalam perlawanan ini tetapi jangan lupakan juga fakta bahawa kesilapan individu adalah penyebab utama mengapa anak-anak buah Solskjaer sekali lagi gagal menawan Molineux. Dua gol yang membolosi gawang United bukan terhasil dari gerakan-gerakan menarik tetapi dimanfaatkan lawan dari kesilapan individu yang dilakukan Fred dan Chris Smalling. Memandangkan saingan semakin menuju kepenghujung musim serta tidak banyak lagi baki perlawanan yang tinggal, pemain-pemain perlu berhenti dari melakukan kesilapan-kesilapan mudah seperti itu jika mereka mahu beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Jatuh Di Lubang Yang Sama

Di Molineux awal pagi tadi, United sepertimana biasa bermain secara terbuka, menguasai bola dan banyak melakukan percubaan-percubaan ke arah gawang lawan. Sepanjang perlawanan, United melepaskan 18 percubaan di mana empat daripadanya tepat ke gawang lawan. Dari segi penguasaan bola pula, mereka lebih dominan menerusi 71% penguasaan bola (sebelum Ashley Young dilayangkan kad kuning kedua). Dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan pula, United sepatutnya sudah mendahului lawan dengan dua atau tiga gol berdasarkan beberapa peluang terbaik yang berjaya mereka cipta.

Akhirnya bolasepak sekali lagi mengajar kita bahawa pemenang perlawanan bukan ditentukan oleh kesebelasan mana yang lebih banyak mencipta peluang, menguasai bola atau melakukan lebih banyak percubaan. Bolasepak ialah tentang memanfaatkan peluang, menghukum kesilapan lawan dan jumlah gol yang dijaringkan berbanding lawan serta sedikit tuah untuk anda keluar sebagai pemenang. Awal pagi tadi, Wolves keluar sebagai pemenang bukan kerana mereka kesebelasan yang lebih bagus berbanding United, tetapi kerana mereka bijak menunggu dan memanfaatkan peluang.

Bagi Wolves pula, mereka tentunya sangat gembira bila menentang kesebelasan yang bermain secara terbuka seperti United. Apa yang perlu dilakukan oleh Nuno Espirito Santo ialah memastikan pemain-pemainnya sentiasa berdisiplin ketika bertahan sambil menunggu peluang untuk melakukan serang balas pantas. Pendekatan garis pertahanan rendah yang diterapkan Espirito Santo ketika bertahan juga menyaksikan barisan hadapan United bergelut sepanjang perlawanan. Menerusi taktik yang sama jugalah, mereka berjaya menyingkirkan United dari saingan suku akhir Piala FA 17 Mac lalu.

Ditewaskan dua kali oleh lawan yang sama dan di gelanggang yang sama dalam tempoh 17 hari bukanlah sesuatu yang bagus. Tambahan pula kekalahan ini hadir ketika saingan liga semakin menuju ke penghujung musim dan ketika saingan untuk merebut slot empat teratas semakin sengit. Selepas jatuh di lubang yang sama buat kali kedua, United kini tidak lagi boleh kehilangan mata pada baki enam perlawanan liga mereka. Apa yang perlu dilakukan United selepas ini? Jawapannya mereka perlu meraih mata maksimum ketika bertemu West Ham, Everton, Chelsea, Huddersfield dan Cardiff City sambil pengecualian mungkin boleh diberikan kepada Manchester City...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

02 April 2019

PEMBELIAN TERBAIK DARI ESTADIO DO DRAGAO



Diogo Dalot hanya bermain selama 43 minit ketika United berdepan Southampton di Old Trafford 2 Mac lalu, tetapi impak kehadirannya di atas padang selepas beliau masuk menggantikan Alexis Sanchez (diminit ke-52) amat mencuri perhatian. Penampilan cemerlang Dalot ketika itu juga mencetuskan tandatanya bahawa, “Adakah United kesebelasan yang jauh lebih bagus selepas kehadiran Dalot atau tanpa Sanchez?”.

Kehadiran Dalot di atas padang pantas mengubah arus perlawanan walaupun barisan United sebelum itu mendapati mereka begitu sukar menembusi benteng pertahanan Southampton yang sangat berdisiplin ketika bertahan. Hanya seminit diperlukan Dalot untuk mencetuskan impak apabila hantaran yang dilakukannya berjaya disudahkan Andreas Pereira untuk gol penyamaan.

Tiada kesangsian juga bahawa kehadiran Dalot menyaksikan permainan United lebih lancar meskipun selepas itu mereka sempat ketinggalan buat kali kedua menerusi jaringan James Ward-Prowse. United jelas kesebelasan yang berbeza selepas masuknya Dalot menerusi peluang-peluang gol yang berjaya mereka cipta terutamanya menerusi gerakan-gerakan yang dilakukan dari sisi kanan.

Sisi kanan yang sebelumnya `mati’ kembali efektif selepas kehadiran Dalot dan akhirnya lihat apa yang beliau lakukan ketika gol jaringan Pereira terhasil. Sepanjang 43 minit aksinya di atas padang, Dalot melakukan 100% tackle bersih, melepaskan dua percubaan tepat, mencipta dua peluang jaringan gol dan melakukan satu bantuan gol. Jadi tidak hairanlah mengapa selain Romelu Lukaku, nama Dalot dijadikan fokus oleh pundit selepas berakhirnya aksi penuh dramatik itu.

Di Luar Zon Selesa

Dalot sepertimana yang anda tahu merupakan pemain yang berperanan di posisi bek kanan. Walau bagaimanapun dalam skema 4-3-3 yang digunakan Solskjaer dalam aksi menentang Southampton, Dalot ditugaskan untuk berfungsi sebagai penyerang sayap kanan. Ini bukanlah pertama kali Solskjaer meletakkan Dalot di posisi tersebut kerana ketika berdepan Crystal Palace, warga Portugal itu berjaya melaksanakan peranannya dengan berkesan sebagai penyerang sayap (kanan).

Kebolehan Dalot ketika melakukan larian-larian overlap menambahkan lagi variasi kepada serangan-serangan United sekaligus meringankan beban yang dipikul Marcus Rashford atau Anthony Martial yang lebih banyak bergerak dari sisi kiri. Berbanding Rashford dan Martial yang kerap melakukan cut inside atau menunggu bantuan rakan ketika bola berada di kaki mereka, Dalot pula lebih senang melakukan hantaran-hantaran silang atau melepaskan sendiri percubaan-percubaan `spekulasi’ ke arah gawang lawan.

Melihat kepada perkembangan yang ditunjukkan Dalot sejak kebelakangan ini sebenarnya sangat mengagumkan, apatah lagi mengingatkan bahawa pemain-pemain yang lebih berpengalaman seperti Alexis Sanchez dan Fred masih bergelut dalam proses adaptasi mereka di Old Trafford. Secara peribadi saya menganggap penampilan terbaik Dalot musim ini ialah ketika kelab berdepan Fulham di Old Trafford, 8 Disember tahun lalu. Dalam aksi itu, Dalot melepaskan lapan umpanan silang di mana empat daripadanya tepat ke sasaran.

Dalot Atau Soares?

Mourinho sebenarnya memiliki dua pemain pilihan untuk beliau tandatangani musim panas lalu kerana selain Dalot nama Cedric Soares juga sering disebut-sebut sebagai sasaran yang dimahukan Mourinho. Pada awalnya saya fikirkan bahawa Soares sasaran yang realistik untuk mengisi sektor bek kanan United kerana pengalaman luas yang dimiliki pemain berusia 27 tahun itu. Selain berada di usia matang sebagai pemain, Soares juga bukanlah nama asing di England hasil dari 104 penampilannya bersama Southampton di Liga Perdana.

Bagaimanapun dari St Mary, sasaran Mourinho kemudiannya beralih jauh ke Estadio do Dragao di mana sosok seorang bintang muda menarik perhatian beliau. Kepantasan, fizikal yang bagus dan teknik permainan yang dimiliki Dalot antara penyebab mengapa Mourinho sangat mahukan pemain muda ini. Memiliki ketinggian 1.84m, Dalot boleh dianggap `gergasi’ untuk seorang pemain yang berperanan sebagai flanker, tetapi itu bukan alasan utama mengapa Mourinho menandatangani beliau.

Sebagai bek kanan, Dalot gemar naik ke atas, melakukan larian-larian overlapping dan beradu kekuatan dengan bek kiri lawan malah ada yang menyebut corak permainan beliau mirip bek kanan Arsenal, Hector Bellerin. Paling utama berbanding Soares, Dalot mampu bermain lebih dari satu posisi dan hal itulah sebenarnya yang menyebabkan Mourinho memilih beliau untuk ditandatangani. Akhirnya Mourinho mengetepikan pengalaman Soares dan memilih pemain multi-fungsi seperti Dalot sebagai pilihan untuk di bawa ke Old Trafford.

Prospek Jangka Panjang

Di negara kelahirannya, Dalot sudah melakukan penampilan dalam pelbagai peringkat umur untuk skuad kebangsaan Portugal. Bermula dari skuad B-15, Dalot kemudiannya berjaya membantu skuad B-17 menjuarai kejuaraan Eropah pada 2016. Setahun selepas itu beliau tampil pula bersama skuad B-19 di Kejohanan Eropah serta melakukan penampilan di Kejohanan Piala Dunia Remaja bersama skuad B-20 Portugal.

Musim 2018/19 semakin menuju ke penghujung, tetapi musim ini anda akan mengingati kehadiran seorang pemain muda berpotensi besar bernama Diogo Dalot. Tatkala Solskjaer berdepan krisis kecederaan pemain dalam tempoh beberapa minggu terakhir, variasi dan fleksibiliti permainan yang dimiliki Dalot memudahkan tugas pengendali dari Norway itu merencanakan formasi serta taktikal yang beliau ingin terapkan dalam satu-satu perlawanan.

Ketika kerjaya Antonio Valencia bersama kelab semakin menuju titik nokhtah manakala Ashley Young pula bukan lagi seorang pemain yang muda, anda boleh mengharapkan keberadaan Dalot sebagai prospek jangka panjang di posisi bek kanan United. Untuk seorang pemain muda berbakat besar dan ditandatangani pula dengan harga cuma £19 juta, anda sepatutnya berterima kasih dengan usaha yang dilakukan oleh Jose Mourinho membawa Dalot dari Estadio do Dragao ke Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

23 Mac 2019

SELAMAT BERISTIREHAT VAN GAAL



Louis Van Gaal akhirnya mengumumkan persaraannya secara rasmi dari dunia kejurulatihan pada 11 Mac lalu, sekaligus menjadikan Manchester United sebagai kelab terakhir yang dikendalikan beliau. Rekod kejurulatihan beliau ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, Bayern Munich dan skuad kebangsaan Belanda antara kriteria utama mengapa Van Gaal dipilih menggantikan posisi David Moyes pada 2014.

Sepanjang tempoh dua musim di Old Trafford, momen paling diingati apabila anda bercakap tentang Val Gaal tentunya kejayaan beliau mengemudi United menjulang kejuaraan Piala FA pada 2016. Dan sudah tentu juga kejayaan United menjulang trofi tersebut di Stadium Wembley pada 21 Mei 2016 itu merupakan medal kejuaraan terakhir yang dimenangi Van Gaal sepanjang karier kejurulatihannya.

Kejuaraan Paling Diingati

Tekanan tinggi, harapan menggunung serta sejarah gemilang kelab benar-benar mempengaruhi Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau berada di Old Trafford. Bagi merealisasikan impian penyokong yang mahu melihat United beraksi semula di pentas Liga Juara-Juara, Van Gaal membawa masuk Angel Di Maria, Ander Herrera, Marcos Rojo, Luke Shaw dan Daley Blind pada musim pertama beliau selaku pengendali di Old Trafford

Hasil dari pelaburan besar yang dilakukannya, United berjaya menamatkan saingan liga (2014-15) di tangga keempat, sekaligus melayakkan mereka beraksi di pentas Liga Juara-Juara (musim 2015-16). Bagaimanapun di sebalik keterujaan melihat United kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara, skuad kendalian Van Gaal gagal mara lebih jauh apabila mereka sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga.

Kegagalan di pentas Liga Juara-Juara dan kemudiannya disusuli pula di Liga Europa selain United juga menamatkan saingan liga di tangga kelima menyaksikan suara-suara yang mahukan agar Van Gaal dipecat semakin lantang kedengaran. Bagaimanapun di sebalik tekanan yang kian meningkat, Van Gaal berjaya juga menghadiahkan United kejuaraan Piala FA ke-12 dalam sejarah kelab selepas mereka menundukkan Crystal Palace di pentas final.

Kejuaraan Piala FA yang dimenangi United pada 21 Mei 2016 itu merupakan kejuaraan major pertama berjaya dimenangi mereka pasca persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013. Jadi mungkin atas sebab itu jugalah mengapa Van Gaal meletakkan kejayaan tersebut sebagai momen terpenting sepanjang karier kejurulatihannya. Sepanjang tempoh dua musim, Van Gaal mengendalikan 103 perlawanan untuk United. Dari jumlah tersebut United menang 54 perlawanan, seri 25 kali dan tewas 24 kali.

Menilai Prestasi Van Gaal

Hanya dua hari selepas kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA, Van Gaal menerima khabar buruk pemecatannya sebagai pengurus United. Disebalik pelaburan besar yang dilakukan sepanjang tempoh dua musim Van Gaal mengendalikan kelab, beliau pula cuma mampu membawa masuk Piala FA ke dalam kabinet kejuaraan di Old Trafford. Kejayaan Van Gaal mengemudi United menjulang kejuaraan Piala FA tetap gagal menyakinkan pihak pengurusan kelab untuk terus mengekalkan khidmatnya.

Jika mahu menilai prestasi Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau mengendalikan kelab, pasti akan timbul perdebatan sama ada beliau berjaya atau gagal melaksanakan tugasnya selaku pengendali. Selepas dipecat, Van Gaal meluahkan kekecewaannya kerana tidak diberikan peluang menghabiskan tempoh kontraknya. “Saya kecewa kerana tidak dapat menyelesaikan rancangan tiga tahun yang sudah saya atur. Saya percaya kelab sudah berada di landasan yang betul untuk terus bergerak ke hadapan”, kata Van Gaal.

Kejayaan mengemudi skuad kebangsaan Belanda mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2014 serta corak permainan menarik yang ditampilkan skuad De Oranje itu di bumi Brazil meletakkan Van Gaal sebagai calon nombor satu menggantikan posisi David Moyes di Old Trafford. Selepas Van Gaal sah dilantik sebagai pengurus United yang baharu, tugas utama beliau ialah meningkatkan kembali prestasi dan moral pasukan. Harapan penyokong terhadap kemampuan Van Gaal juga tinggi terutamanya selepas melihat track record beliau sebelum ini.

Van Gaal sangat terkenal kerana falsafah possession football beliau menerusi corak permainan hantaran-hantaran pendek, manakala skema formasi 3-5-2 pula sering diimplementasi dengan baik oleh skuad yang pernah dilatihnya. Aksi pra musim United meningkatkan lagi rasa optimis di kalangan penyokong kerana mereka melihat corak permainan barisan The Red Devils kali ini jauh lebih baik berbanding ketika era Moyes.

Janji Van Gaal untuk membawa United kembali ke saingan Liga Juara-Juara ditunaikan beliau selepas skuad kendaliannya menamatkan saingan liga (2014-15) di tangga keempat. Bukan itu sahaja, barisan United juga kembali dihormati semula kerana kemampuan mereka memenangi perlawanan-perlawanan besar terutamanya membabitkan aksi Manchester Derby dan North West Derby. Kemampuan beliau dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi juga mengingatkan kita kepada kelibat Sir Alex Ferguson.

Marcus Rashford, Paddy McNair, Cameron Bothwick-Jackson dan Timothy Fosu-Mensah antara pemain dari akademi yang ditampilkan Van Gaal dalam skuad utama United. Pembelian Anthony Martial dari AS Monaco pula saya anggap satu pelaburan jangka panjang yang bijak dilakukan Van Gaal kerana potensi besar yang dimiliki warga Perancis itu. Dari jumlah 13 pemain yang pernah melakukan debut di bawah kendalian beliau, tujuh daripada mereka berjaya melakukan lebih dari sepuluh penampilan bersama skuad utama United.

Kejayaan beliau mengetengahkan bakat muda seperti Marcus Rashford memang wajar diingati, juga pelaburan bijak yang dilakukannya ke atas Anthony Martial dan Luke Shaw. Jangan lupakan juga jasa beliau dalam menggilap semula potensi Jesse Lingard tatkala pemain itu hampir menuju pintu keluar selepas gagal tampil secara konsisten bersama skuad utama United di era David Moyes. Tetapi bagaimana pula dengan pelaburan besar yang dilakukan Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau berada di Old Trafford?

Anthony Martial, Memphis Depay, Morgan Schniederlin, Luke Shaw Marcos Rojo, Angel Di Maria, Ander Herrera dan Daley Blind antara 13 pemain yang ditandatangani Van Gaal, tetapi dari jumlah tersebut hanya Martial, Herrera dan Shaw boleh diletakkan sebagai pelaburan berbaloi yang pernah dibawa masuk oleh beliau ke Old Trafford. Pelaburan ke atas Di Maria akan sentiasa diingati sebagai pelaburan paling merugikan manakala Depay pula cuma mampu melakukan 33 penampilan dalam saingan liga meskipun beliau pada mulanya dilabel sebagai `Next Cristiano Ronaldo’ oleh penyokong United.

Taktikal Yang Membosankan

Taktik yang diamalkan Jose Mourinho menyebabkan United dilabelkan sebagai kesebelasan yang membosankan. Bagaimanapun jika undian dibuat untuk memilih taktik siapa paling membosankan antara Mourinho dan Van Gaal, maka undian akan saya berikan untuk Van Gaal. Falsafah bolasepak Van Gaal menjadikan United kesebelasan yang cukup sukses dalam hal penguasaan bola sepanjang dua musim beliau berada di Old Trafford.

Bagaimanapun Van Gaal mungkin terlupa bahawa keputusan perlawanan ditentukan menerusi jaringan gol yang dihasilkan, bukan statistik penguasaan bola di atas padang. Suksesnya United menguasai bola tidak diimbangi mereka dengan ketajaman ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Pada musim kedua Van Gaal di Old Trafford, United hanya mampu menjaringkan 49 gol sekaligus merupakan catatan terendah mereka sejak era Liga Perdana diperkenalkan.

Selamat Beristirehat

Ketika namanya diumumkan secara rasmi sebagai pengganti David Moyes, ramai pihak percaya bahawa Van Gaal mampu menjadikan United kembali disegani dan ditakuti. Kredibiliti yang dimilikinya, rekod silam beliau serta pengalaman luasnya selaku pengurus menyebabkan dirinya dilihat sebagai watak penyelamat bagi mengangkat kembali martabat United selepas era penuh kesuraman di bawah Moyes.

Harapan tinggi bagaimanapun bertukar kepada `bencana’ kerana magis Van Gaal seolah-olah semakin pudar seiring usianya. Di Old Trafford beliau bukan lagi Van Gaal yang kita kenali ketika beliau mengemudi barisan Ajax Amsterdam menjulang trofi Liga Juara-Juara. Atau ketika beliau membawa Barcelona menjulang trofi La Liga dua musim berturut-turut selain Copa del Rey dan UEFA Super Cup.

Bundesliga juga pernah menyaksikan penguasaan Van Gaal bilamana Bayern Munich menang kejuaraan berganda ketika gergasi Jerman itu di bawah era pengurusannya. Jangan lupakan juga `keajaiban’ yang beliau lakukan ketika membawa AZ Alkmaar keluar sebagai juara Eredivisie sepuluh tahun lalu sekaligus menafikan dominasi Ajax dan PSV sebagai penguasa bolasepak Belanda.

Di Old Trafford yang juga merupakan destinasi terakhir dalam kariernya sebagai pengendali, Van Gaal cuma mampu menghadiahkan kejuaraan Piala FA selain tiket beraksi di Liga Juara-Juara. Piala FA merupakan kejuaraan pertama yang berjaya United menangi selepas mereka ditinggalkan Sir Alex Ferguson, jadi tidak hairanlah mengapa kejuaraan ini sangat istimewa di hati Van Gaal.

Ketika kejayaan beliau mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi selain medal kejuaraan Piala FA yang berjaya dimenangi pada musim terakhirnya di Old Trafford, Van Gaal juga akan dikenang kerana corak permainan membosankan yang dipamerkan United dibawah arahannya. Sepanjang dua musim dengan segala kelebihan dan kekurangan yang terlihat, seribu penghargaan tetap wajar diberikan kepada pemilik nama Aloysius Paulus Maria Van Gaal ini.

United merupakan kelab terakhir yang beliau kendalikan, jadi saya percaya United juga akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati Van Gaal. Van Gaal mungkin tidak berjaya mengotakan janjinya untuk menjadikan United kembali disegani, tetapi kejuaraan Piala FA yang berjaya beliau hadiahkan pada musim terakhirnya sebagai pengurus akan sentiasa berada dalam lipatan memori. Terima kasih Van Gaal untuk dua musim yang penuh warna....selamat beristirehat. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

18 Mac 2019

MAMPUKAH OLE MENYELAMATKAN UNITED?




Dua kekalahan berturut-turut dalam tempoh seminggu. Apa sebenarnya yang berlaku kepada Manchester United? Menyaksikan bagaimana United bermain ketika mereka tewas 0-2 kepada Arsenal minggu lalu, saya bersetuju dengan pendapat Ole Gunnar Solskjaer bahawa barisan pemainnya tidak berhak tewas dalam perlawanan tersebut. Tetap bagaimana pula dengan aksi mereka di Stadium Molineux yang menyaksikan perjalanan United dalam saingan Piala FA  dihentikan Wolverhampton Wanderers?

Menurut Solskjaer, aksi sepanjang tempoh 90 minit ketika berdepan Wolves merupakan penampilan terburuk yang dipamerkan oleh barisan pemainnya sejak beliau mengambilalih posisi pengendali dari Jose Mourinho Disember tahun lalu. United mendominasi penguasaan bola sebanyak 64.1% tetapi mereka cuma mampu melepaskan 11 percubaan ke gawang lawan (berbanding 17 oleh Wolves), manakala kelekaan di benteng pertahanan menyaksikan pintu gol United dibolosi sebanyak dua kali.

Dua faktor penting di sebalik kekalahan United di Stadium Molineux ialah kegagalan jentera tengah mereka bekerja sepertimana biasa meskipun Solskjaer menurunkan trio terbaiknya (Paul Pogba, Ander Herrera dan Nemanja Matic) di posisi tersebut. Di barisan hadapan pula, hampir sepanjang tempoh permainan, para penggempur United gagal memberikan ancaman serius kepada John Ruddy meskipun mereka mendominasi penguasaan bola. Akhirnya United dihukum menerusi dua gol yang dihasilkan lawan menerusi gerakan counter attack mereka serta percaturan bijak dilakukan Nuno Espirito Santo.

Bulan Madu Solskjaer Berakhir

Kekalahan 0-2 kepada Arsenal dalam saingan liga minggu lalu menyaksikan rekod 15 perlawanan tanpa kalah United di peringkat domestik berakhir. Tidak cukup dengan itu, Solskjaer sekali lagi menerima tamparan hebat selepas beliau menyaksikan skuadnya disingkirkan Wolves dari saingan suku akhir Piala FA. Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, tempoh rehat selama seminggu bagi memberikan laluan kepada perlawanan antarabangsa diharap boleh digunakan Solskjaer untuk mencari solusi terbaik bagaimana mahu meletakkan United kembali ke jalur kemenangan.

Ketika Carrington bakal `lengang’ selama seminggu, ini adalah masa terbaik untuk Solskjaer melakukan evaluasi dalam sistem permainan United dan mencari titik kelemahan yang menjadi penyebab dua kekalahan yang dialami skuadnya ditangan Arsenal dan Wolves. Rekod 15 perlawanan domestik tanpa kalah sudah menjadi sejarah, manakala baki lapan perlawanan liga bakal menentukan masa depan Solsjaer di Old Trafford. Jadi fokus beliau seterusnya ialah memastikan United mengutip tiga mata penuh ketika mereka menerima kunjungan Watford 30 Mac ini.

Mengharapkan Magis Ole

Hampir 20 tahun lalu, gol jaringan Solskjaer ke gawang Bayern Munich di Nou Camp memberikan United kejuaraan Liga Juara-Juara kedua dalam sejarah kelab. Gol penghujung permainan yang menewaskan Oliver Kahn itu adalah bukti bahawa keajaiban sentiasa ada dalam dunia bolasepak. Selepas 20 tahun adakah Solskjaer mampu menghadirkan magisnya sekali lagi untuk United? Jika ketika eranya sebagai pemain Solskjaer sering menyelamatkan United menerusi gol-gol pentingnya di penghujung permainan, kini sentuhan magis beliau sebagai pengurus di tagih kelab terutama dalam misi mereka menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas.

Sejak ketibaannya di Old Trafford, Solskjaer berjaya mengubah pandangan pesimis ramai pihak terhadap kemampuan United untuk bangkit dari tempoh sukar selepas pemecatan Jose Mourinho. Ketika corak permainan defensif United dikritik penyokong sendiri, Solskjaer berjaya mengubah kritikan tersebut kepada pujian menerusi pendekatan corak permainan menyerang yang dipamerkan barisan pemainnya. Suasana di bilik persalinan kembali terkawal, moral pemain melonjak tinggi dan paling penting pemain berasa selesa serta bebas bermain di bawah arahannya, sesuatu yang mereka katakan tidak dinikmati ketika era Mourinho.

Misi Solakjser ketika beliau dilantik sebagai pengendali sementara Disember lalu ialah menjadikan United kesebelasan yang menarik untuk ditonton aksinya di atas padang. Mengembalikan DNA menyerang dalam permainan United antara keutamaan Solskjaer, jadi tidak hairanlah mengapa corak permainan yang dipamerkan skuad United ketika ini sering dibandingkan dengan barisan The Red Devils kendalian Fergie. Kehadiran Solakjser bukan sahaja berjaya melonjakkan motivasi di kalangan pemainnya malah penyokong-penyokong juga semakin optimis bahawa kelab mampu menamatkan saingan liga di posisi empat teratas, sesuatu yang tidak mungkin pernah mereka fikirkan sebelum ketibaan beliau.

Harapan Di Bahu Ole

Ketika nama-nama besar seperti Zinedine Zidane dan Antonio Conte digembar-gemburkan bakal mengisi kekosongan kerusi panas di Old Trafford, pihak pengurusan United pula sebaliknya memilih Solskjaer sebagai pengendali interim. Setakat ini, kedudukan Solskjaer sebagai pengurus tetap masih belum dimuktamadkan biarpun beliau berjaya meletakkan United kembali sebagai pesaing posisi empat teratas. Kejayaan menyingkirkan PSG dari saingan Liga Juara-Juara juga nampaknya masih belum mampu membuka pintu hati pihak pengurusan kelab untuk menawarkan kontrak tetap kepada beliau.

Sebagai pemain, Solskjaer juga bukanlah nama besar sehebat Ronaldinho, Zinedine Zidane, Thierry Henry, Ryan Giggs atau si El Phenomenon (Ronaldo Luis Nazario de Lima). Solskjaer hanyalah watak pengganti yang sering digunakan Sir Alex Ferguson tatkala beliau mahu melakukan perubahan kepada plan permainannya dalam satu-satu perlawanan. Gaya permainannya juga tidaklah seindah Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, tetapi di Old Trafford beliau adalah lagenda menerusi gol-gol penting jaringannya yang sering menjadi penyelamat United.

Dalam bidang kejurulatihan pula, Solskjaer belum memenangi apa-apa kejuaraan besar yang boleh beliau banggakan. Memenangi kejuaraan Tippeligaen dan Piala Norway bukanlah bandingan untuk trofi Liga Perdana, La Liga, Scudetto, Ligue 1 atau Bundesliga. Bersama Cardiff City pula, beliau cuma mampu bertahan selama sembilan bulan sebelum kembali semula ke pangkuan Molde FK. Jadi tidak hairanlah mengapa pada awal kemunculannya di Old Trafford, tidak banyak harapan diberikan atas kemampuan Solskjaer untuk `mengejutkan United dari lena yang panjang’.

United bukanlah seperti Cardiff City atau Molde, kerana di Old Trafford tekanannya lebih tinggi. David Moyes, Louis Van Gaal dan kemudiannya Jose Mourinho tewas dalam misi mereka menjejak kejayaan Fergie meskipun dua daripada mereka (Van Gaal dan Mourinho) memiliki track record yang cemerlang. Pengurus sehebat Van Gaal gagal menjadikan United kembali garang meskipun skuadnya dibarisi pemain bertaraf dunia seperti Bastian Schweinsteiger, Angel Di Maria dan Radamel Falcao.

Mourinho pula yang sering dikelilingi superstar dalam setiap kelab yang pernah beliau kendalikan tetap gagal menjinakkan Paul Pogba. Akhirnya perseteruan dengan beberapa pemain utama menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan hingga mengakibatkan Mourinho terpaksa menamatkan kariernya di Old Trafford lebih awal. Lebih perit janji-janji awal Mourinho yang mahu menjadikan United segagah ketika mereka di era kendalian Fergie tidak kesampaian. Jika nama-nama besar seperti Van Gaal dan Mourinho pun tewas, apa yang mampu anda harapkan dari seorang pengurus yang `tidak punya apa-apa’ seperti Solskjaer?

Bagaimanapun pandangan pesimis terhadap kemampuan Solskjaer berubah kepada optimis selepas beliau berjaya meletakkan United kembali sebagai pencabar kelompok empat teratas. Ketika awal kedatangan beliau, tiada siapa menyangka bahawa jurang 11 mata yang dimiliki Chelsea selaku kelab di tangga keempat liga mampu dicantas. Begitu juga ramalan pengkritik yang mengatakan bahawa misi United di saingan Liga Juara-Juara sudah berakhir sebaik mereka diundi berdepan PSG di peringkat kalah mati 16 pasukan. Akhirnya dengan sedikit bantuan tuah dan strategi yang tepat, ego barisan bintang PSG direntap di hadapan penyokong mereka sendiri.

United sudah pun terkeluar dari saingan Piala FA, tetapi pintu untuk mereka beraksi disaingan Liga Juara-Juara musim hadapan masih terbuka luas. Asalkan mereka konsisten pada baki lapan perlawanan liga selepas ini, yakinlah bahawa misi menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas mampu disempurnakan. Di pentas Eropah pula, United bakal berdepan satu lagi misi mustahil selepas mereka diundi menentang Barcelona di peringkat suku akhir. Barca memang lawan yang hampir sempurna di segenap posisi tetapi bukan mustahil untuk United melakar satu lagi kejutan dengan menewaskan gergasi Catalan itu.

Ole Yang Sentiasa Optimistik

Apa yang menjadikan Solskjaer supersub yang sangat berbahaya ketika era beliau sebagai pemain ialah sikap optimistik yang ada dalam dirinya. Aksi kedua pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara di Parc des Princes 7 Mac lalu adalah contoh terbaik tentang sikap optimis seorang individu bernama Ole Gunnar Solskjaer ini. Tatkala ramai pihak percaya bahawa peluang United mara ke suku akhir sudah tertutup ekoran kekalahan yang dialami mereka pada perlawanan pertama, Solskjaer pula kekal tenang dan percaya bahawa United mampu melakukan kebangkitan di Paris. Akhirnya lihatlah apa yang barisan pemainnya lakukan di Parc des Princes 7 Mac lalu.

Terdetik sedikit rasa bimbang selepas melihat United tewas dua perlawanan berturut-turut dalam tempoh seminggu, tetapi saya percaya di bawah kendalian individu yang sentiasa optimis seperti Solskjaer, United akan kembali bangkit. Aksi menentang Watford sepatutnya dijadikan medan kebangkitan semula United sebelum mereka berdepan kempen yang sukar sepanjang bulan April nanti. April nanti bukan sahaja bakal menjadi bulan yang penting dalam survival United untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan, tetapi April juga bakal menyaksikan kepulangan semula Solskjaer ke Nou Camp buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.

Cuma kali ini kepulangan beliau ke tanah Catalan bukan lagi sebagai pemain tapi menggalas misi besar United sebagai pengurus. 20 tahun lalu beliau pernah melakar keajaiban di Nou Camp sebagai pemain, dan semoga 17 April nanti satu lagi keajaiban mampu dilakukan beliau sebagai pengurus pula. Tatkala United bakal berdepan kempen sukar sepanjang bulan April, di bahu Solskjaer terbeban segenap harapan untuk melihat United menamatkan saingan liga di posisi empat teratas dan mara sejauh mungkin di pentas Liga Juara-Juara. Setinggi manakah tahap optimisme anda terhadap peluang United pada baki saingan musim ini? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar