10 Oktober 2019

SEMOGA KEBEBALAN WOODWARD BERJAYA DIKURANGKAN



Sejak kejayaan menewaskan Leicester City 14 September lalu, Manchester United sudah mengharungi tiga perlawanan liga tanpa kemenangan. Tiga perlawanan liga terakhir yang diharungi United berakhir dengan dua kekalahan dan satu keputusan seri. Dalam saingan Piala Liga pula, mereka terpaksa bergelut hingga kepenentuan sepakan penalti sebelum berjaya menewaskan Rochdale, kelab yang beraksi di EFL League Two (atau lebih tepatnya divisyen tiga dalam hierarki bolasepak England). Awal pagi Jumaat lalu, United terikat 0-0 ketika berdepan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa, manakala kekalahan kepada Newcastle United pula menyaksikan mereka sudah mengharungi 11 aksi di gelanggang lawan tanpa sebarang kemenangan.

Prestasi United ketika ini memang sangat, sangat, sangat meresahkan tatkala saingan kompetitif musim 2019/20 sebenarnya masih lagi di fasa awal. Selepas kekalahan di St James Park itu, kedudukan United dalam carta liga juga tergelincir ke tangga ke-12. Sudah tentu selain prestasi barisan pemain yang dijadikan sorotan, kelibat Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali juga tidak terlepas dari kecaman dan kritikan. Di Twitter, #oleout menjadi trending akibat rasa tidak puashati penyokong-penyokong United terhadap prestasi barisan kendalian Solskjaer. Ya sudah tentu bagi mana-mana pengendali pun, mereka adalah orang pertama yang akan dipersalahkan jika skuad kendalian mereka berdepan prestasi buruk dan Solskjaer juga tidak terkecuali.

Krisis Di Era Woodward

Imbas kembali setahun yang lalu, ketika United berdepan Newcastle United dalam saingan liga di Old Trafford. United berjaya menewaskan Newcastle (3-2) dalam aksi pada 7 Oktober 2018 itu, tetapi ketika mereka ketinggalan (0-2) pada separuh masa pertama, seluruh Old Trafford bergema dengan chant berbunyi “Jose’s right, the board is shi*e”. Sokongan yang diterima Mourinho ketika itu tatkala barisan pemainnya berdepan tempoh sukar menunjukkan bahawa masalah United tidak akan selesai dengan hanya membawa masuk pengurus baharu.

Chant itu terus bergema hampir sepanjang perlawanan dan sudah tentu individu yang menjadi sasaran lensa kamera ialah Ed Woodward. Dua bulan selepas itu, Mourinho akhirnya dipecat kerana prestasi skuad kendalian beliau terus menjunam. Saya tidak mahu ambil tahu siapa dalang di sebalik pemecatan Mourinho, tetapi persoalan paling utama mengapa kelab besar seperti United selepas era Sir Alex Ferguson lebih cenderung menjadi bahan jenaka. Atau lebih tepatnya, United sesudah berakhirnya era Fergie dipenuhi banyak drama berbanding prestasi terpuji di atas padang.

Mengapa David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho gagal? Mengapa kepulangan semula Paul Pogba gagal mencetuskan impak berpanjangan sedangkan bekas penyandang pemain termahal dunia itu menampilkan sisi berbeza dalam permainannya ketika bersama skuad kebangsaan Perancis? Mengapa pemain berbakat besar seperti Anthony Martial bergelut untuk membuktikan kemampuan beliau dalam skuad utama? Mengapa pelaburan yang dilakukan terhadap Angel Di Maria, Memphis Depay, Henrikh Mkhitaryan dan Alexis Sanchez menjadi pelaburan yang sia-sia?

Sebagai antara kelab terkaya di dunia, United sebenarnya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pemain-pemain bintang dan hal tersebut dibuktikan mereka menerusi pembelian yang dilakukan ke atas Di Maria, Pogba, Sanchez dan menjadikan Harry Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia. Lebih £600 juta yang dibelanjakan United sejak 2013 tidak menjadikan mereka kesebelasan yang digeruni, malah hanya mengubah wajah The Red Devils kepada kesebelasan yang lesu, tidak konsisten dan tidak lagi ditakuti.

Berbanding ketika era pengurusan David Gill, United di bawah telunjuk Ed Woodward kini lebih dikenali sebagai kelab yang gemar berbelanja besar tanpa memikirkan adakah pemain yang ditandatangani itu sesuai dengan keperluan dan rencana pasukan. Selaku seorang yang memiliki latarbelakang dalam dunia kewangan dan perbankan, kredibiliti Woodward dalam menjadikan United sebagai salah sebuah kelab yang memiliki pendapatan tertinggi dunia memang perlu diakui. Buktinya, musim lalu, United meraih pendapatan £627.1 juta, iaitu peningkatan 6% dari musim sebelumnya.

Selaku bekas akauntan dan `banker’, Woodward mungkin berfikir bahawa segala masalah boleh diselesaikan dengan wang tetapi usaha yang dilakukan beliau setakat ini nampaknya masih belum berhasil. Beliau membayar harga Marouane Fellaini lebih mahal dari nilai kontraknya. Beliau membawa masuk Angel Di Maria dan Memphis Depay, dua pemain `individualistik’ yang sebenarnya tidak cocok dengan falsafah possession football ala Van Gaal. Dan apakah yang merasuk fikiran beliau hingga sanggup menjadikan Pogba pemain termahal dunia?

Jika senarai di atas masih belum cukup, bagaimana pula keputusan Woodward melantik Jose Mourinho selaku pengganti Van Gaal, sedangkan semua orang tahu bahawa falsafah park the bus beliau sangat berlawanan dengan DNA permainan menyerang United. Juga atas penilaian apa hingga menyebabkan beliau berani melabel Diego Godin dan Toby Alderweireld sebagai bek yang tidak cukup bagus untuk United? Dan kesilapan paling fatal dan terkini yang dilakukan Woodward ialah membayar £60 juta kepada Arsenal hanya untuk seorang pemain bernama Alexis Sanchez.

Identiti Yang Kian Hilang

Woodward nampaknya gagal mengekalkan identiti United yang sudah dibina selama bertahun-tahun oleh Sir Alex Ferguson dan David Gill. Lebih menakutkan ketika United bergelut, kelab-kelab seperti Manchester City, Liverpool dan Tottenham Hotspurs semkin mula menjarakkan diri. City contohnya sudah lama mendahului United apabila pada 2012 mereka meletakkan Txiki Begiristain dalam hierarki pengurusan kelab selaku pengarah bolasepak  (Director of Football). Lihat sahaja apa yang berjaya dilakukan Begiristain bersama Pep Guardiola hingga berjaya meletakkan The Citizens sebagai kuasa baharu bolasepak England.

Liverpool pula dalam beberapa musim terakhir berjaya melakukan beberapa pembelian yang sangat sukses. Mo Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino, Alisson Becker, Fabinho, Giorgino Wijnaldum dan Virgil Van Dijk berjaya mengubah wajah Liverpool dari skuad yang sebelumnya sering menjadi bahan jenaka kepada pencabar serius kejuaraan liga. Di Old Trafford pula, United sudah memecat tiga pengurus pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Ketiga-tiganya (Moyes, Van Gaal dan Mourinho) adalah pengurus dengan falsafah bolasepak serta gaya permainan berbeza tetapi tetap gagal mengembalikan semula kegemilangan United.

Pengarah Bolasepak/Teknikal

Menempatkan seorang pengarah bolasepak/teknikal dalam hierarki pengurusan United kini sudah menjadi satu keperluan dalam bolasepak moden. United sepatutnya berasa malu kerana kelab kerdil seperti Brighton & Hove Albion juga sebenarnya sudah melihat jauh ke hadapan apabila mereka meletakkan Dan Ashworth di posisi tersebut. “Pengarah teknikal adalah jawatan yang perlu ada untuk menjaga kepentingan kelab dalam jangka masa pendek dan panjang.  Ada enam elemen tugas yang perlu dilakukan seorang pengarah teknikal iaitu skuad utama, skuad wanita, merekrut pemain, akademi, ilmu perubatan, sukan dan peminjaman pemain”, kata Ashworth.

Ketika kelab-kelab lain sudah mengorak langkah ke arah perubahan, United pula masih menggunakan cara lama. United perlu mendapatkan seorang pengarah bolasepak/teknikal kerana Woodward bukanlah individu yang tepat untuk melaksanakan tugas-tugas yang Ashworth sebutkan terutamanya dalam hal merekrut pemain baharu. Adanya seorang pengarah bolasepak/teknikal akan meringankan tugas pengurus. Kolaborasi antara pengarah bolasepak/teknikal dan pengurus akan menentukan pemain mana sesuai untuk direkrut dan pemain mana pula yang wajar dilepaskan ke pasukan lain.

Gandingan kuat antara pengarah bolasepak/teknikal dan pengurus akan menghasilkan sebuah pasukan yang kuat, bukan sahaja dari segi taktikal tetapi juga falsafah permainan. Manchester City dan Liverpool adalah contoh terbaik hingga menyebabkan United seperti sudah begitu jauh ketinggalan di belakang. “Jika pengurus dibiarkan berseorangan, dia akan menjadi sasaran yang mudah. Semua orang perlukan bantuan dalam bolasepak. Seorang pengarah teknikal itu sangat penting dalam bolasepak moden”, kata Luis Campos yang juga merupakan pengarah sukan kelab Ligue 1, LOSC Lille.

Penutup

Memecat Solskjaer tidak akan menyelesaikan masalah sebenar United. Begitu juga jika mereka melantik mana-mana pengurus baharu bagi menggantikan beliau. Van Gaal dan Mourinho adalah contoh pengurus berprofil tinggi yang gagal di Old Trafford, bukan kerana mereka tidak bagus, tetapi mereka gagal disebabkan sistem pengurusan kelab yang ketinggalan zaman terutamanya dalam melibatkan hal pembelian pemain. Salah satu kerosakan paling besar yang menyumbang kepada kegagalan United ialah kebebalan Woodward sendiri. Beliau mendakwa bahawa kelab masih mampu merekrut pemain yang diperlukan pengurus tanpa perlu adanya seorang pengarah bolasepak/teknikal.

Meskipun dalam tempoh beberapa waktu kebelakangan ini, United digembar-gemburkan bakal mendapatkan khidmat seorang pengarah bolasepak/teknikal, Woodward tetap menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk merekrut pemain baharu tetap berada di tangannya. Selaku penyokong dari jauh, kita hanya mampu merungut memikirkan nasib United ketika ini. Merungut tentang kerja belakang tabir yang dilakukan Woodward hingga merosakkan kelab. Jika rungutan demi rungutan dari kejauhan ini boleh menyebabkan `kebebalan' Woodward berkurangan, janganlah berhenti merungut untuk seorang individu yang pernah dilabel Van Gaal sebagai “tidak tahu apa-apa tentang bolasepak”. Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

05 Oktober 2019

CALL UP UNTUK ZLATAN



Melihat kepada penampilan barisan hadapan Manchester United ketika ini, timbul persoalan sama ada wajarkah Ole Gunnar Solskjaer melakukan call up kepada Zlatan Ibrahimovic bagi membolehkan pemain itu kembali ke Old Trafford dan memperkuatkan semula barisan hadapan The Red Devils? Ketika kontrak Zlatan bersama LA Galaxy akan berakhir pada 31 Disember ini, beliau pada Ogos lalu sudah pun memberikan isyarat bahawa sedia kembali ke Old Trafford untuk menyarung semula jersi United.

Dalam kempen MLS musim ini, bekas bintang antarabangsa Sweden itu menjaringkan 29 gol dari 33 penampilan liga untuk LA Galaxy dan pada usia 37 tahun, Zlatan berpendapat bahawa beliau masih cukup bagus untuk kembali mengetuai jentera serangan United. “Saya dengan mudah boleh bermain di Liga Perdana, tetapi perkara itu hanya boleh berlaku jika United memanggil saya kembali. Bagaimanapun ketika ini saya masih milik LA Galaxy, jadi saya minta maaf”, kata Zlatan selepas beliau menjaringkan dua gol ketika berdepan Los Angeles FC dalam derby El Trafico, Ogos lalu.   

Keputusan Solskjaer yang bertegas tidak menandatangani penyerang baharu biarpun beliau melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ke Inter Milan akhirnya memerangkap diri sendiri. Dari tujuh aksi liga setakat ini, barisan hadapan United cuma mampu menjaringkan sembilan gol dengan lima daripadanya disumbangkan Marcus Rashford (3 gol) dan Anthony Martial (2 gol), dua gandingan penyerang yang pada mulanya dipercayai Solskjaer mampu memikul tugas selaku penggempur utama United musim ini.

Tambah memeningkan kepala Solskjaer ketika Rashford dan Martial berdepan masalah kecederaan, Mason Greenwood pula masih terlalu mentah untuk diberikan peranan sebagai penyerang utama. Tidak banyak yang mampu dilakukan Solskjaer jika Rashford dan Martial tersisih akibat kecederaan, selain meletakkan Jesse Lingard selaku penyerang tengah atau mengharapkan Daniel James kembali menemui sentuhan gol selepas kali terakhir pemain muda ini meledak jaring lawan ketika berdepan Southampton pada 31 Ogos lalu.

Pilihan Yang Ada

Menanti jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka, tidak banyak pilihan yang ada di tangan Solskjaer selain menggunakan set penyerang sedia ada. Bermula dari sekarang hinggalah Januari nanti, beliau hanya mampu berharap agar Martial kembali secepat mungkin, manakala Rashford pula mampu keluar dari krisis kemarau gol. Selain itu, menurut laporan yang diterbitkan oleh Independent, United djangka akan melakukan maneuver dalam bursa perpindahan pemain musim sejuk dengan cuba mendapatkan tandatangan Mario Mandzukic atau Ousmane Dembele.

Berbanding cuba memancing Mandzukic atau Dembele, Solskjaer masih memiliki pilihan lain yang saya percaya lebih mudah berbanding melakukan rundingan dengan Juventus atau Barcelona. Pilihan yang saya maksudkan ialah memanggil semula Zlatan kembali ke Old Trafford. Menurut Clayton Blackmore yang pernah beraksi untuk United dari 1982 hingga 1994, memanggil semula Zlatan adalah pilihan yang jauh lebih mudah dan realistik berbanding cuba memancing mana-mana penyerang dari kelab yang sedang mengharungi kempen domestik dan Liga Juara-Juara.

“Saya fikir kita patut memanggil semula Zlatan Ibrahimovic. Kita perlukan seorang target man dan dia salah seorang yang terbaik di dunia. Berketinggian 6’ 5” dengan tali pinggang hitam, dia membuktikan di MLS bahawa dia masih mampu melakukannya. Kita membiarkan dia pergi kerana kecederaan lututnya, tetapi ketika dia bersama kami, kelab berjaya memenangi Liga Europa, Piala Liga dan Perisai Komuniti. Kita perlukan target man bagi membolehkan pemain-pemain muda yang memiliki kepantasan bermain bersamanya”, kata Blackmore dalam satu wawancara dengan Manchester Evening News.

Veteran Yang Masih Berbisa

Ibarat pepatah Melayu lama, “Tua-tua keladi, makin tua makin menjadi”, begitu jugalah boleh diumpamakan dengan Zlatan Ibrahimovic. Kelab melepaskan beliau pada 2018 kerana kondisi lututnya yang mengalami kecederaan teruk ketika berdepan Anderlecht dalam saingan Liga Europa 2016/17. Bagaimanapun selepas sahaja pulih dan menyertai LA Galaxy, Zlatan membuktikan bahawa beliau masih lagi seorang penyerang tengah yang berbisa. Dua musim di MLS, Zlatan menjaringkan 51 gol dari 55 penampilan liga untuk LA Galaxy. Bukan itu sahaja, Zlatan juga sebenarnya sudah menjaringkan lebih 300 gol sejak usianya memasuki angka 30an.

Usia nampaknya tidak pernah membatasi kemampuan Zlatan dari terus mencetak gol dan itulah yang dibuktikan beliau sepanjang tempoh dua musim bermain di MLS. Di Liga Perdana pula, kemampuan beliau juga sudah terbukti apabila pada musim pertamanya di Old Trafford, Zlatan menjaringkan 28 gol untuk United dalam semua kejohanan. Catatan ini juga meletakkan beliau selaku pemain pertama selepas era Sir Alex Ferguson yang mampu menjaringkan lebih 20 gol dalam tempoh semusim. Jika tidak kerana kecederaan lutut yang dialaminya, saya percaya jumlah jaringan Zlatan untuk United tidak akan terhenti setakat angka 29 sahaja.

Zlatan mungkin tidak sehebat ketika beliau meledak 113 gol dari 122 penampilan Ligue 1 untuk Paris St Germain, tetapi visi permainan dan daya kepimpinan beliau di atas padang sangat diperlukan United. Bukan itu sahaja, Zlatan juga merupakan tipikal target man yang gemar membuka ruang buat rakan sepasukan yang lain ketika melakukan serangan. Sebenarnya sudah agak lama kita tidak melihat sosok seorang pemain yang bukan sahaja digeruni ketika di atas padang, tetapi juga mampu memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan ketika di bilik persalinan. Elemen ini ada pada diri Zlatan dan elemen ini jugalah yang sudah hilang dalam kem United sejak kebelakangan ini.

Terserah Kepada Ole

Selaku pengendali United, semua keputusan berada di tangan Solskjaer. Zlatan sudahpun memberikan isyarat bahawa beliau sedia kembali ke England jika United mahukan khidmatnya. Solskjaer juga pernah mengatakan bahawa pintu untuk Zlatan kembali ke Old Trafford masih terbuka. Tetapi persoalan paling besar bermain difikiran beliau adakah Zlatan mampu memberikan impak di Liga Perdana sepertimana beliau lakukan di MLS ketika usia pemain itu sudahpun menginjak ke angka 38 tahun.

Kebimbangan Solskjaer tentang umur Zlatan mungkin disebabkan persepsi bahawa MLS adalah lubuk pemain-pemain bintang yang sedang melalui fasa penghujung karier mempamerkan aksi mereka sebelum bersara. Kaka, Andrea Pirlo, David Beckham, Thierry Henry dan Wayne Rooney antara yang pernah beraksi di sana tetapi Zlatan boleh diletakkan dalam kategori berbeza. Selepas bemain untuk beberapa kelab terbaik dunia dan berjaya memenangi 33 trofi kejuaraan di Eropah, Zlatan meletakkan MLS sebagai medan pertempuran baharu untuk beliau peragakan kehebatannya.

Zlatan tetap Zlatan dan sepertimana biasa, keterujaan beliau terhadap cabaran baharu sentiasa tinggi memuncak meskipun kini sudah 20 tahun beliau bergelumang dalam kancah bolasepak profesional. “Saya ingin pergi ke Amerika dan menunjukkan bolasepak saya di sana. Ini adalah cabaran baharu, saya memandang ke hadapan untuk menakluk Amerika sepertimana yang saya lakukan di Eropah”, kata Zlatan pada Mac lalu. Dalam keadaan sekarang Solskjaer tidak boleh terlalu cerewet terutamanya bila menyentuh tentang usia Zlatan. Jika di penghujung tahun nanti prestasi barisan hadapan masih lagi tidak berubah, Solskjaer perlu mencari alternatif tambahan.

Itu pun jika beliau berhasrat mahu mengemudi United melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Europa, atau meletakkan skuadnya dalam kedudukan lebih baik dalam carta liga. Untuk melakukannya, Solskjaer perlukan `keajaiban’, dan keajaiban itu mungkin ada ditangan Zlatan, pemain penuh imaginasi hingga pernah mendakwa bahawa beliau dicipta separuh dewa dan separuh lagi manusia. Bukanlah sesuatu yang merugikan sekiranya Solskjaer membuat satu panggilan kecemasan kepada Zlatan, bagi meminta agar beliau kembali ke Old Trafford untuk menyelamatkan United. Glory Glory Manchester United!!!

02 Oktober 2019

KEMEGAHAN DAN KETERUJAAN YANG KIAN MALAP



Manchester United mengutip satu mata ketika berdepan Arsenal di Old Trafford dalam aksi yang dilangsungkan awal pagi semalam. Satu mata yang berjaya dikutip itu menyaksikan United berjaya mengumpul sembilan mata dari tujuh perlawanan. Keputusan ini juga membolehkan mereka naik satu anak tangga (tangga ke-10) dalam carta liga, dan ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool selaku pendahulu liga. Apa yang berlaku di Old Trafford awal pagi semalam menunjukkan bahawa United masih bergelut dengan prestasi selepas tewas kepada West Ham dan terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menyingkirkan Rochdale (kelab yang beraksi di dividyen tiga) dalam saingan Piala Liga.

Pertembungan ke-190 dalam sejarah antara dua kelab ini sebenarnya menyaksikan senario berbeza. Arsenal berdepan masalah rapuhnya benteng pertahanan mereka, manakala dominasi permainan United tidak diiringi dengan ketajaman mereka ketika melakukan penyudah. Bagaimanapun prestasi Arsenal dalam tiga aksi terakhir mereka sebelum bertandang ke Old Trafford jauh lebih baik berbanding United. Mereka menewaskan Eintracht Frankfurt (3-0) di Jerman, mengutip tiga mata penuh ketika berdepan Aston Villa di gelanggang sendiri meskipun beraksi dengan sepuluh pemain, selain menang bergaya (5-0) ketika berdepan Nottingham Forest dalam kempen Piala Liga.

Perlawanan Yang Membosankan

Keterujaan penyokong-penyokong hilang seiring dengan malapnya api perseteruan antara United dan Arsenal. Sebaik Kevin Friend menamatkan perlawanan, athmosphere di Old Trafford kelihatan sangat santai. Aksi menentang Arsenal ini sepatutnya menjadi titik permulaan United untuk kembali meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, apatah lagi mereka beraksi di halaman sendiri.

Sepanjang tempoh 30 minit pertama permainan, percubaan on target pertama hanya hadir diminit ke-28 menerusi Andreas Perreira kerana sebelumnya pemain kedua-dua pasukan lebih kerap melakukan kesilapan dalam melakukan hantaran. Unai Emery meletakkan tiga pemain tengah bercirikan `fighter’ dalam diri Granit Xhaka, Matteo Guendouzi dan Lucas Torreira. Tujuannya hanya satu, iaitu mahu merosakkan tempo permainan United.

Sepertimana ketika aksi menentang West Ham, Solskjaer juga menurunkan ramai pemain yang memiliki attacking minded, malangnya permainan mereka seolah-olah sudah diprogramkan untuk hanya melakukan counter attack. Gerakan-gerakan yang dilakukan barisan United sebenarnya lebih bagus berbanding ketika mereka berdepan West Ham, namun aliran bola tidak begitu lancar untuk sebuah pasukan yang memburu tiga mata berharga.

Ketika United berdepan isu ketajaman di bahagian hadapan, mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi gerakan counter attack. Selepas Arsenal berjaya menjaringkan gol penyamaan, segala usaha cuba dilakukan Solskjaer untuk mencari gol kedua. Beliau memasukkan Mason Greenwood dan Fred, tetapi tidak banyak impak mampu dilakukan dua pemain ini dalam tempoh 15 minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Tumpulnya Marcus Rashford

Pada 28 Februari 2016, Marcus Rashford menjaringkan dua gol ke gawang Arsenal sekaligus menyaksikan nama pemain ini mula meniti bibir penyokong-penyokong United. Dalam perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford itu, United berjaya menewaskan Arsenal 3-2 menerusi dua gol yang dijaringkan Rashford dan satu lagi gol disumbangkan Ander Herrera. Ketika itu Rashford menjanjikan kepada kita bahawa beliau bakal muncul penggempur digeruni suatu hari nanti.

Bagaimanapun selepas lebih tiga tahun momen itu berlalu, apa yang berlaku awal pagi semalam sebenarnya diluar jangkaan kita. Perlu diakui bahawa aksi menentang Arsenal ini merupakan penampilan pertama Rashford sejak pulih dari kecederaan, jadi beliau perlukan sedikit waktu untuk kembali keprestasi terbaiknya. Namun penampilan Rashford awal pagi semalam tidak terlepas dari lensa kritikan berikutan kegagalannya menyudahkan beberapa peluang terhidang.

Setakat ini Rashford menjaringkan tiga gol untuk United, dimana dua daripadanya adalah menerusi sepakan penalti. 20 perlawanan terakhir yang diharungi United (dalam semua kejohanan) menyaksikan mereka cuma mampu menjaringkan 18 gol. Ketika peranan selaku penggempur utama kini disandang Rashford, beliau perlu meningkatkan naluri pembunuhnya dan menjaringkan lebih banyak gol atau jika tidak United bakal berdepan masalah besar.

Api Permusuhan Yang Kian Malap

Penghujung dekad 90an hingga awal era millennium adalah tempoh dimana maraknya api permusuhan membabitkan United dan Arsenal. Persaraan Sir Alex Ferguson dan perginya Arsene Wenger, seolah-olah mengendurkan terus ketegangan aksi dua kelab ini di atas padang, sesuatu yang dahulunya sentiasa menjadi tarikan bukan sahaja kepada penyokong United dan Arsenal, tetapi aksi dua kesebelasan ini sentiasa dinanti saban musim oleh peminat bolasepak seluruh dunia. Kini tiada lagi aksi brutal Roy Keane dan Patrick Vieira atau perang mulut membabitkan Fergie dan Wenger di luar padang.

Menurunnya kualiti dua kesebelasan ini sejak beberapa musim terakhir turut menghilangkan daya tarikan pertembungan United dan Arsenal. Jadi jangan berkecil hati jika Jamie Carragher melabelkan pertembungan antara The Red Devils dan The Gunners ini tidak lebih sekadar pertembungan antara `dua kelab pertengahan liga’. “Mereka memulakan perlawanan di kedudukan kelapan dan kesebelas liga. Mereka memang nampak seperti pasukan pertengahan liga. Kita tahu mereka sebenarnya lebih baik dari itu tetapi perlawanan ini memang tidak menepati dari segi kualiti”, kata Carragher.   

Permulaan Terburuk Era Liga Perdana

Sebuah lagi catatan buruk diukir United selepas tamat aksi awal pagi semalam. Sembilan mata yang berjaya dikutip dari tujuh perlawanan, turut menandakan bahawa ini adalah permulaan terburuk United sepanjang penyertaan mereka di era Liga Perdana. Tiga dekad sebelumnya, United sebenarnya pernah melakukan catatan permulaan lebih buruk berbanding sekarang. Ketika itu Sir Alex Ferguson yang sedang mengharungi musim keempatnya di Old Trafford berada di bawah tekanan. Pada musim 1989/90, United cuma mampu mengumpul tujuh mata dari tujuh perlawanan awal liga, tetapi catatan itu berlaku ketika mereka masih bermain di era Liga Divisyen Satu.

Catatan skuad kendalian Solskjaer kali ini juga lebih buruk berbanding yang dilakukan barisan David Moyes (2013/14) atau Jose Mourinho (2018/19), dan sepertimana yang anda tahu, Moyes serta Mourinho akhirnya dipecat pada musim tersebut. Meskipun pada awalnya, Solskjaer dilihat mampu meningkatkan semula prestasi United selepas mereka menang 14 dari 19 aksi pertama di bawah kendalian beliau, situasi sebaliknya berubah selepas itu. Sejak beliau dilantik selaku pengendali tetap, United cuma mampu mengutip 49 mata dari 28 aksi terakhir. Di era Mourinho pula, United berjaya mengutip 51 mata, juga menerusi jumlah perlawanan yang sama.

United Perlu Lebih Klinikal

Melihat kepada statistik perlawanan, United sebenarnya lebih unggul berbanding Arsenal. Sepanjang perlawanan mereka melepaskan 16 percubaan ke arah gawang lawan berbanding (sepuluh) yang dilakukan Arsenal. Dari segi penguasaan bola pula, United menguasai 55% manakala 45% lagi adalah milik Arsenal. Sekali lagi dominasi United tidak diimbangi mereka dengan ketajaman ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Ketika keporosan benteng pertahanan yang sering menghantui United musim lalu berjaya diperbaiki, Solskjaer kini terpaksa berdepan pula isu ketumpulan jentera serangan yang perlu segera diselesaikannya.

Adalah sesuatu yang sangat merugikan ketika mereka berjaya menjaringkan gol pertama, United gagal mencari gol kedua dan akhirnya mereka membiarkan lawan menyamakan kedudukan. Ini bukanlah kali pertama berlaku kerana di Stadium Molineux dan St Mary, United juga melakukan kesilapan yang sama. Iaitu gagal menamatkan perlawanan selaku pemenang meskipun pada satu ketika mereka menjaringkan gol pendahuluan. Bayangkan di mana kedudukan United dalam carta liga sekiranya mereka berjaya menamatkan tiga aksi ketika berdepan (Wolves, Southampton dan Arsenal) selaku pemenang.

Penutup

Ini bukanlah aksi yang kita ingin tonton, terutamanya apabila terpaksa bangkit dari tidur di awal pagi. Aksi ke-190 antara United dan Arsenal ini kini sekadar cebisan dari kemegahan silam yang kian pudar. Tatkala United sedang bergelut untuk kembali ke puncak takhta, tempat di mana mereka pernah berada, Arsenal juga begitu. Jika dahulu pertembungan United dan Arsenal akan sentiasa diwarnai dengan aksi-aksi panas di atas padang dek kerana kesungguhan pemain kedua-dua pasukan bersaing merebut kejuaraan, kini suhu pertempuran kian menurun.

Lebih pahit lagi aksi yang dahulunya sentiasa menimbulkan keterujaan kepada penyokong kedua-dua pasukan, kini dilabel sebagai `pertembungan kelab pertengahan liga’. Pada musim 1989/90, ketika United berdepan saat paling buruk dalam tempoh 30 tahun, Liverpool ketika itu muncul juara liga, manakala Arsenal menamatkan saingan liga di tangga keempat. Di mana pula kedudukan United? United ketika itu cuma mengumpul 48 mata dan berada di tangga ke-13. Adakah episod sama akan berulang? Berharaplah semoga ianya tidak berlaku...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

28 September 2019

KETIKA TEKANAN KIAN MENINGKAT, MAMPUKAH OLE TERUS BERTAHAN?



Hari yang buruk untuk Manchester United datang lagi selepas mereka menerima kekalahan kedua dari enam aksi pertama liga musim ini. Kekalahan (0-2) di tangan West Ham United pada 22 September lalu menyaksikan kedudukan United dalam carta liga jatuh ke tangga kelapan selepas mereka mengumpul lapan mata hasil dari dua kemenangan, dua seri dan dua kekalahan. Menyaksikan persembahan buruk barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer sepanjang 90 minit aksi di Stadium London ini, timbul pertanyaan apa sebenarnya yang sudah berlaku kepada mereka?

Ketumpulan jentera serangan memang sangat menghampakan apabila dari sembilan percubaan yang dilakukan barisan hadapan United hanya tiga tepat ke sasaran. Berbanding lawan pula, mereka melepaskan enam percubaan on target di mana dua daripadanya berhasil menewaskan David De Gea. Sekali lagi faktor keberkesanan dalam menyempurnakan peluang menjadi perbezaan antara pasukan yang menang dan yang kalah, meskipun sepanjang perlawanan United melakukan 486 hantaran berbanding tuan rumah (424 hantaran).

Atau lebih tepatnya hantaran-hantaran yang dilakukan United bukan bertujuan untuk membina serangan atau visi permainan yang jelas tetapi sekadar memindahkan bola dari pemain ke pemain lain. Melihat kepada senarai pemain yang diturunkan Solskjaer, terdapat ramai pemain yang memiliki attacking minded dalam kesebelasan utama United. Bagi memberikan sokongan kepada Marcus Rashford pula, Solskjaer menurunkan Andreas Perreira dan Juan Mata, iaitu dua pemain ber`typeplaymaker bagi menambah kreativiti ketika mereka melakukan serangan.

Bagaimanapun barisan belakang West Ham memang sukar ditembusi menerusi skema permainan 4-1-4-1 yang digunakan Manuel Pellegrini. Keberadaan Declan Rice yang berada di hadapan empat pemain pertahanan mereka berjaya meneutralkan kreativiti Mata. Tambah menyulitkan tugas Mata, Pellegrini juga sering menggunakan pemain yang memiliki mobiliti bagus seperti Mark Noble untuk menganggu tempo permainan United.  Hal ini juga menyebabkan tidak banyak impak yang mampu diberikan Perreira apabila sepanjang perlawanan beliau hanya mampu melakukan satu key passes.

Jika barisan hadapan hilang kreativiti dalam mencipta atau menyudahkan peluang, barisan belakang pula masih berdepan isu stabiliti. Meskipun Solskjaer menurunkan Scott McTominay dan Nemanja Matic sebagai double pivot bagi melindungi empat pemain di benteng pertahanan, gawang United tetap berjaya ditembusi lawan. West Ham sebenarnya bukanlah skuad yang terlalu bagus, namun mereka lebih efektif berbanding United dalam menyudahkan peluang. Hasilnya mereka menyempurnakan dua dari enam percubaan on target yang dilepaskan ke arah gawang De Gea.

Terimalah Kenyataan

Aksi menentang West Ham adalah salah satu contoh bagaimana United akan bergelut dan terus bergelut dalam saingan liga musim ini. Jika anda seorang penyokong United yang realistik, keputusan di Stadium London sepatutnya sudah anda jangkakan. Dalam beberapa musim terakhir, harapan tinggi sentiasa diletakkan penyokong terhadap barisan The Red Devils, tetapi lihatlah dan apa yang berlaku akhirnya. Secara peribadi saya berpendapat, musim 2016/17 adalah musim terbaik United sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Bagaimanapun kejayaan memenangi `treble kecil’ (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) itu gagal diulangi Jose Mourinho pada musim kedua dan ketiga beliau di Old Trafford hingga memaksa kelab memecat The Special One berikutan prestasi buruk yang dipamerkan skuad bimbingannya. Kehadiraan Ole Gunnar Solskjaer pada Disember tahun lalu diharap mampu menjadi penyelamat United, tetapi diakhir musim kelab menamatkan saingan liga di tangga keenam meskipun pada satu ketika mereka pernah berada di kelompol empat teratas.

Musim ini, harapan tinggi sekali lagi diletakkan penyokong terhadap barisan The Red Devils tatkala Solskjaer bakal menikmati musim penuhnya selaku pengendali di Old Trafford. Mereka bermula dengan penuh menyakinkan pada aksi pertama liga selepas membelasah Chelsea (4-0) dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang sendiri. Bagaimanapun mereka kemudiannya sekadar mengutip lima mata dari lima aksi terakhir menentang Wolverhampton, Crystal Palace, Soutahmpton, Leicester City dan West Ham.

Sejak kejayaan epik menundukkan Paris St Germain di Parc des Princes 7 Mac lalu, United mengharungi sembilan perlawanan di gelanggang lawan dalam semua peringkat kejohanan tanpa sebarang kemenangan (enam seri dan tiga kekalahan). Tambah parah, De Gea juga gagal melakukan sebarang clean sheet dalam sebelas aksi terakhir di gelanggang lawan. Jika tiada perubahan drastik dalam masa terdekat, United berdepan potensi menyamai rekod 14 aksi tanpa kemenangan di gelanggang lawan yang dilakukan mereka sepanjang tempoh April hingga Disember 2002.

Siapa yang tidak kecewa melihat prestasi United diawal musim ini, tetapi jika dilihat kepada aset yang dimiliki Solskjaer, anda sepatutnya sudah boleh menjangkakan bahawa ini bukanlah skuad yang kompetitif untuk bersaing merebut kejuaraan liga. Suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa skuad yang ada sekarang tidak mampu bersaing dengan Liverpool dan Manchester City, malah mungkin juga Tottenham Hotspurs. Jadi sasaran paling realistik buat masa ini ialah tempat keempat liga, itu jika Solskjaer mampu meningkat prestasi skuadnya berbanding sekarang.

Patutkan Ole Dipersalahkan?

Setiap kali sesebuah pasukan berdepan prestasi buruk, pengurus adalah orang pertama yang terpaksa berdepan sasaran kritikan. Selepas persaraannya, Sir Alex Ferguson sentiasa dijadikan kayu ukur kepada mana-mana pengganti beliau dan akibatnya David Moyes, Louis Van Gaal serta Jose Mourinho gagal menghabiskan tempoh baki kontrak mereka selaku pengendali United. Van Gaal dan Mourinho bukanlah calang-calang pengurus kerana track record yang ada dibelakang dua individu ini sudah cukup untuk meletakkan mereka sebagai antara jurulatih berprofil tinggi dalam dunia bolasepak.

Bagaimanapun di Old Trafford, rekod pencapaian silam tidak banyak membantu Van Gaal dan Mourinho. Van Gaal cuma mampu bertahan selama dua musim, manakala konfrontasi yang tercetus antara Mourinho dan beberapa pemain utama menjejaskan prestasi pasukan hingga mengakibatkan pemecatan beliau pada Disember tahun lalu. Solskjaer pula sudah melakukan segala yang beliau mampu bersandarkan kepada aset pemain sedia ada yang dimilikinya. Dari segi taktik, beliau berusaha menjadikan United sebuah kesebelasan yang bermain dengan corak possession football, namun setakat ini kesannya tidaklah terlalu signifikan.

Mungkin disebabkan kekangan kualiti pemain yang dimiliki beliau, possession football versi Solskjaer hanya dimainkan untuk meningkatkan intensiti dan membuatkan para penyokong terhibur kerana mereka kini bukan lagi kesebelasan yang pragmatis di atas padang sepertimana ketika era pemerintahan Mourinho. Perlu saya jelaskan sekali lagi, ini adalah skuad United `yang sedang dalam pembinaan’, bukan skuad yang dipersiapkan untuk menang perlumbaan merebut kejuaraan liga. Untuk menang perlumbaan merebut kejuaraan liga, Solskjaer perlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat lagi pemain baharu.

Mampukah Ole Bertahan?

Selepas kekalahan kepada West Ham, sudah terdapat suara-suara lantang yang mahukan agar Solskjaer dipecat. Menguruskan kelab seperti Manchester United memang satu pekerjaan yang sangat sukar. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Moyes, Van Gaal dan Mourinho selepas mereka dipecat. Kecuali Van Gaal yang sudahpun mengumumkan persaraannya pada bulan Mac lalu, Moyes dan Mourinho pula nampaknya masih belum mengendalikan sebarang pasukan.

Kini Solskjaer juga sebenarnya berpotensi mengikut jejak Moyes, Van Gaal dan Mourinho. Ketika terdapat sebahagian penyokong yang mula melaungkan ketidakyakinan mereka terhadap Solskjaer, Roy Keane dan Mourinho turut melontarkan kritikan mereka. Mourinho mengatakan bahawa selepas pemergian beliau, United masih sebuah kesebelasan yang statik malah prestasi mereka kini lebih teruk. Sementara Keane pula berkata bahawa United kini sedang berada dalam `fasa yang mengerikan’.

Ketika ini keputusan perlawanan nampaknya tidak memihak Solskjaer meskipun beliau cuba mengembalikan semula DNA permainan menyerang United kedalam `tubuh’ skuad kendaliannya. Enam aksi liga yang diharungi United setakat ini berakhir dengan keputusan dua kemenangan, dua seri dan dua kekalahan. Jika diambilkira jumlah perlawanan yang diharungi United sejak bulan Mac, mereka sebenarnya mencatatkan jumlah kekalahan lebih banyak berbanding kemenangan.

Ironinya kekalahan yang dialami United berlaku ketika mereka berdepan kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga. Jika situasi ini berterusan, hanya masa yang bakal menentukan sama ada Solskjaer mampu menyelamatkan karier beliau di Old Trafford atau pun tidak. Dunia bolasepak sudah berputar 360º, dan selaku antara kelab besar di dunia, pihak pengurusan dan penyokong mahukan keputusan segera. Mereka tidak akan mampu bertahan jika keputusan-keputusan buruk seperti ketika berdepan West Ham dan Crystal Palace berterusan.

Penutup

Bulan Oktober bakal menjadi bulan yang sangat penting dalam survival Solskjaer jika beliau mahu menjadi penerus legasi Sir Alex Ferguson. Bagaimanapun cabaran yang menanti sepanjang bulan Oktober ini bukanlah mudah. Dalam saingan liga, mereka bakal berdepan Arsenal (H), Newcastle United (A), Liverpool (H) dan Norwich City (A). Manakala dalam kempen Liga Europa pula, dua aksi di gelanggang lawan berdepan AZ Alkmaar dan FK Partizan bakal menjadi ujian getir buat Solskjaer. Selain itu dalam saingan Piala Liga  pula, The Red Devils bakal berdepan Chelsea di Stamford Bridge pada 29 Oktober.

Prestasi buruk yang dipamerkan United ketika berdepan West Ham bukanlah yang terakhir. Saya percaya akan ada lagi beberapa siri keputusan buruk yang bakal diraih barisan The Red Devils selepas ini. Cuma persoalan paling besar ialah sejauh manakah anda bersedia menerima hakikat bahawa dengan skuad yang ada sekarang, United masih jauh di belakang Manchester City ataupun Liverpool. Malah jika di akhir musim nanti mereka berjaya menamatkan saingan liga di tangga keempat atau kelima, itu merupakan pencapaian yang sangat baik dari skuad muda yang dimiliki Solskjaer. Glory Glory Manchester United!!!

22 September 2019

MALAM UNTUK MASON GREENWOOD



Meskipun Manchester United berjaya memungut tiga mata penuh pada aksi pertama mereka dalam saingan Kumpulan L Liga Eruopa, ekspresi wajah Ole Gunnar Solskjaer tidak sepertimana biasa. Selepas jaringan tunggal perlawanan yang dihasilkan menerusi ledakan kaki kanan Mason Greenwood diminit ke-73 itu terhasil, Solskjaer hanya bertepuk tangan sebagai tanda meraikan gol tersebut. Reaksi Solskjaer itu boleh kita fahami kerana sepanjang perlawanan United muncul kesebelasan yang lebih dominan, tetapi selepas 90 minit aksi di Old Trafford itu mereka cuma mampu menjaringkan satu gol ke gawang lawan.

90 minit aksi di Old Trafford itu memang didominasi United hinggakan Phil Jones dan Axel Tuanzebe seringkali anda lihat berlegar-legar di kawasan final third lawan. Sepanjang perlawanan, Tuanzebe pula melakukan lebih 100 sentuhan bola, sekaligus mengesahkan lagi betapa dominannya United dalam perlawanan itu. Bagaimanapun dominasi mutlak United tidak diterjemahkan mereka menerusi jumlah gol yang dihasilkan. United terpaksa menunggu hingga minit ke-73 sebelum berjaya membolosi gawang pelawat menerusi gol jaringan Mason Greenwood.

Malam 20 September lalu merupakan malam yang sangat indah buat Mason Greenwood. Apa tidaknya gol tunggal yang dijaringkan beliau memberikan United tiga mata berharga di gelanggang sendiri sekaligus meletakkan skuad The Red Devils ditangga teratas Kumpulan L selepas satu lagi aksi yang membabitkan AZ Alkmaar dan FK Partizan berakhir dengan keputusan seri. Apa yang menariknya sepanjang 90 minit aksi tempohari bukan tentang kemenangan yang berjaya diraih United ke atas wakil Kazakhstan itu, tetapi saya tertarik melihat bagaimana gol kemenangan itu dihasilkan Mason.

Selepas menerima umpanan dari Fred, Mason melakukan satu gerakan dari kaki kiri untuk memperdaya pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan Nenad Eric. Saya katakan menarik kerana gol yang dijaringkan Mason itu sebenarnya mirip kepada gaya jaringan Robin Van Persie, peledak berbisa yang pernah membantu United menjulang kejuaraan liga pada 2013. “Mason salah seorang pemain yang kami mahu pertahankan. Dia mula memahami bolasepak peringkat senior dan hari ini adalah pengenalan yang bagus untuknya”, kata Solskjaer selepas tamat perlawanan.

Malam Untuk Mason

Bukan hanya gol jaringannya yang memberikan United tiga mata berharga, tetapi penampilan keseluruhan Mason dalam perlawanan itu sememangnya wajar diberikan pujian. Mason sentiasa berjaya mengatasi pemain lawan menerusi dribble yang dilakukannya sepanjang perlawanan, manakala peratusan ketepatan hantarannya pula mencapai 94%. Sepanjang 90 minit, beliau berjaya melepaskan empat percubaan, namun gol jaringannya diminit ke-73 itu merupakan satu-satunya percubaan on target yang berjaya dilakukan Mason.

Dari aspek defensif pula, Mason berjaya melakukan dua tackle bersih dan tiga kali memenangi duel dengan pemain lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan versi penyokong United. Sebagai seorang finisher, Mason bagi saya memiliki naluri pembunuh ketika berada di dalam petak penalti lawan. Beliau tahu bagaimana caranya untuk menyudahkan peluang dan meskipun kadangkala agak gopoh, hal tersebut sebenarnya lumrah buat mana-mana pemain muda seperti beliau.

Pentas Pemain Muda

Aksi menentang Astana boleh dianggap sebagai pentas pemain muda memperagakan bakat mereka. Di barisan hadapan, Solskjaer menurunkan empat pemain muda termasuk Mason, manakala tiga yang lainnya ialah Angel Gomes, Tahith Chong dan Marcus Rashford. Di barisan belakang pula, Solskjaer meletakkann Axel Tuanzebe dan Phil Jones selaku gandingan dua pertahanan tengah. Tenang ketika menyerap asakan lawan selain berhasil melakukan satu tackle bersih, penampilan Tuanzebe dalam perlawanan ini tidak langsung menampakkan bahawa beliau baru sahaja berusia 21 tahun.

Malam 20 September itu memang `dicipta’ untuk pemain muda United memperagakan aksi mereka dalam saingan kompetitif di peringkat Eropah. Tetapi secara keseluruhannya nama Mason Greenwood paling mencuri tumpuan rakan seangkatan beliau yang lain. Tatkala barisan The Red Devils seperti kebingungan dalam misi mereka memecah benteng pertahanan lawan meskipun mereka jauh lebih unggul dan dominan dari pelbagai segi, Mason pula memilih detik yang tepat untuk menutup segala kekurangan tersebut menerusi gol yang dijaringkannya diminit ke-73.

Pada malam itu, sama ada di dalam mahupun sekitar petak penalti Astana, Mason muncul pemain terbaik yang dimiliki United di barisan hadapan. Potensi besar Mason selaku penggempur masa hadapan United sudah ditunjukkan beliau sejak aksi pra musim lagi. Dan ketika berdepan Astana, Mason menunjukkan kepada kita tentang dua perkara yang dilakukan Solskjaer musim ini merupakan satu keputusan yang tepat. Pertama, berkaitan keputusan beliau menjual Romelu Lukaku dan kedua, Solskjaer tidak menandatangani penyerang baharu sebagai pengganti Lukaku.

Melepaskan Lukaku dan Alexis Sanchez menyaksikan pilihan di barisan hadapan United semakin mengecil. Namun demikian, situasi tersebut nampaknya tidak membuatkanSolskjaer terlalu gusar. Mengulas akan hal tersebut Solskjaer ketika diwawancara Manchester Evening News berkata, “Bagi saya, melepaskan Lukaku merupakan satu keputusan yang tepat. Dia (Mason) akan menjadi pemain penting untuk kami musim ini. Memang betul dia masih belum banyak bermain setakat ini, tetapi dia akan diberikan kesempatan dan akan berkembang menjadi pemain yang lebih baik”.

Perjudian Berani

Menurunkan skuad kedua ketika memulakan kempen Eropah mereka saya anggap satu perjudian berani yang dilakukan Solskjaer. Melihat kepada kesebelasan utama yang diturunkan Solskjaer dalam aksi menentang Astana itu, saya tidak menduga akan ada lima pemain muda dalam senarai kesebelasan pemain. Old Trafford bukanlah gelanggang yang mudah untuk mana-mana pemain muda melakukan penampilan, tambahan pula dalam saingan besar seperti Liga Europa. Bagaimanapun Liga Europa juga adalah pentas terbaik untuk Solskjaer memberikan peluang kepada beberapa pemain mudanya menimba pengalaman dan memperolehi minit permainan.

Mason, Tuanzebe, Gomes dan Chong masih perlukan waktu sebelum mampu meletakkan diri mereka sebagai pemain regular United. Tetapi malam 20 September itu, kelibat Mason lebih menonjol manakala gol yang dihasilkannya adalah ganjaran kepada usaha keras pemain muda ini sepanjang perlawanan. Selepas Astana, United akan bertandang ke London untuk berdepan pula dengan West Ham United dalam aksi liga. Pertembungan di Stadium London ini mungkin satu lagi peluang untuk kita menyaksikan aksi Mason berikutan kecederaan yang dialami Anthony Martial dan Daniel James. 20 September lalu, beliau sudah memahat namanya selaku pemain kelahiran 2000an pertama yang menjaringkan gol untuk skuad senior United dalam perlawanan kompetetif.

Bukan itu sahaja, pada usia 17 tahun dan 353 hari, Mason muncul pemain termuda United yang berjaya menjaringkan gol dalam saingan peringkat Eropah. Malam 20 September itu memang malam yang dicipta untuk Mason Greenwood tatkala Solskjaer melakukan perjudian berani dengan menurunkan hampir separuh pemain-pemain muda dalam kesebelasan utamanya. Sir Alex Ferguson pernah `berjudi’ dan akhirnya sukses dengan barisan Fergie Fledglings beliau, jadi saya juga menanti adakah Solskjaer cukup berani melakukan perjudian serupa bagi membina semula empayar United berteraskan bakat-bakat muda yang dimiliki beliau? Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

17 September 2019

WESLEY SNEIJDER: KISAH CINTA YANG TIDAK KESAMPAIAN



Selepas 17 tahun bergelumang dalam kancah bolasepak profesional, bermain untuk enam kelab dari enam negara berbeza selain 134 penampilan untuk skuad kebangsaan Belanda, Wesley Sneijder akhirnya mengumumkan persaraan beliau secara rasmi pada 12 Ogos lalu. 15 gol yang dijaringkannya dari 22 penampilan liga untuk Al Gharafa di Liga Qatar (Q-League) adalah catatan terakhir yang dilakar Sneijder sebelum beliau memutuskan menggantung but pada usia 35 tahun.

Perkara pertama yang akan dilakukan Sneijder selepas bersara ialah kembali ke Belanda dan menyertai barisan pengurusan FC Utrecht yang juga merupakan kelab bandar kelahirannya. Walaupun lahir di Utrecht, karier Sneijder lebih gemilang bersama Ajax Amsterdam menerusi kejayaan menjulang trofi Eredivisie (musim 2003/04), Piala KNVB (2006 dan 2007) serta Johan Cryuff Shield (2006). Malah sepanjang karier profesionalnya, Sneijder tidak pernah bermain untuk FC Utrecht baik di peringkat remaja mahupun senior.

Ajax Amsterdam dari dahulu hingga kini sentiasa melahirkan bakat-bakat bolasepak yang hebat dan Sneijder salah seorang diantaranya. Penampilan cemerlang beliau bersama skuad bergelar de Godenzonen itu akhirnya menarik perhatian Real Madrid. Sukar untuk mana-mana pemain menolak godaan Real Madrid, dan Sneijder juga tidak terkecuali. Selepas lima musim menabur bakti di Amsterdam Arena, Sneijder akhirnya memutuskan menyertai dua rakan senegaranya (Arjen Robben dan Royston Drenthe) di Santiago Bernabeu pada 2007.

Tidak Seindah Yang Diimpikan

Menyarung jersi putih Real Madrid dan beraksi di Santiago Bernabeu adalah dambaan buat mana-mana pemain. Tawaran yang datang dari gergasi Sepanyol itu akhirnya membawa Sneijder keluar dari Belanda untuk menikmati cabaran baharu di La Liga. Musim pertama Sneijder di Bernabeu berjalan dengan lancar apabila beliau melakukan 30 penampilan untuk Real dalam saingan liga dan menjaringkan sembilan gol. Selain itu, Sneijder juga berjaya membantu Real menjulang kejuaraan liga bagi musim 2007/08.

Kecederaan ligamen yang dialaminya ketika berdepan Arsenal dalam aksi pra musim pada 2008 menjejaskan prestasi Sneijder. Musim 2008/09, Sneijder cuma diturunkan sebanyak 18 kali dalam kesebelasan utama Real dari 22 penampilan. Selain daripada itu, jumlah jaringan dan bantuan gol yang dihasilkan Sneijder juga merosot kepada hanya dua gol dan dua bantuan gol. Musim 2009/10, tiada tempat lagi untuk Sneijder dalam skuad Real selepas mereka membawa masuk Cristiano Ronaldo, Kaka dan Karim Benzema ke Bernabeu.

Nafas Baharu Di Itali

Situasi tidak menentu yang dialami Sneijder di Bernabeu dipantau penuh minat oleh Jose Mourinho yang ketika itu merupakan pengendali Inter Milan. Akhirnya menjelang hari terakhir pasaran perpindahan pemain musim panas 2009/10, Sneijder memutuskan untuk menerima tawaran dari Inter, dan bermulalah kehidupan baharu beliau di Itali. Meskipun sebelumnya beliau tidak diperlukan lagi di Bernabeu, Inter pula nampaknya menyuntik nafas baharu dalam karier Sneijder. 

Dalam skema 4-2-3-1 yang diterapkan Mourinho, Sneijder muncul pemain yang sangat berpengaruh menerusi kreativiti beliau dalam mengerakkan jentera tengah Inter. Musim 2009/10 saya anggap tempoh kemuncak dalam karier Sneijder sebagai pemain kerana pada musim inilah beliau berjaya menjulang kejuaraan treble bersama skuad La Baneamata itu. Beliau antara watak utama di sebalik prestasi cemerlang Inter hingga membolehkan mereka menjulang kejuaraan Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara pada musim tersebut.

Piala Dunia 2010

Ketika Sneijder mendapat angin baharu menerusi penampilan cemerlang beliau bersama Inter, Kejohanan Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan pula hadir pada waktu yang tepat untuk beliau meneruskan momentumnya. Sepanjang kejohanan, Sneijder menjaringkan lima gol untuk skuad De Oranje, sekaligus menyaksikan beliau berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak bersama Thomas Muller, David Villa dan Diego Forlan.

Bagaimanapun Muller dinobatkan selaku penjaring terbanyak kerana menghasilkan tiga bantuan gol berbanding satu yang dilakukan Villa, Sneijder dan Forlan. Akhirnya selepas kiraan minit permainan pula dilakukan, Villa diumumkan selaku pemenang silver boot, manakala Sneijder berada di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak. Sudah tentu dua gol yang dijaringkan Sneijder ke gawang Brazil pada peringkat separuh akhir antara sumbangan terpenting beliau dalam kempen Belanda di Afrika Selatan.

Belanda tewas di pentas final kepada Sepanyol hasil ledakan Andres Iniesta di masa tambahan, tetapi tiada siapa mampu menidakkan sumbangan besar Sneijder di sebalik kejayaan Belanda mara ke Soccer City Stadium, Johannesburg pada tanggal 11 Julai 2010 itu. Berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak menerusi lima gol yang dihasilkannya, selain empat kali dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan meletakkan Sneijder antara bintang paling menyinar di bumi Afrika Selatan.

Ballon d’Or Yang Dirompak

Medal kejuaraan Serie A, Coppa Italia, Liga Juara-Juara dan naib juara Piala Dunia yang dimenangi Sneijder sepatutnya sudah cukup untuk meletakkan beliau sebagai Pemain Terbaik Dunia. Namun anehnya, Sneijder tiada dalam senarai tiga calon akhir untuk anugerah Ballon d’Or 2010 yang dimenangi Lionel Messi, disusuli Andres Iniesta dan Xavi Hernandez. Sneijder pula sekadar berada di tangga keempat menerusi 14.48% undian yang diterimanya.

Menurut laporan Marca yang diterbitkan pada 2010, Sneijder pada mulanya berada di tangga teratas hasil undian yang dilakukan wartawan bolasepak seluruh dunia menerusi 293 mata yang diperolehinya, jauh meninggalkan Messi di tangga kedua yang hanya mengumpul 175 mata. Kegagalan Sneijder memenangi Ballon d’Or mendapat perhatian peminat bolasepak seluruh dunia dan hal ini turut dikongsi Tom Scholes (jurnalis bolasepak) dalam kolumnya di Gentlemenultra.

“Apa lagi yang mampu dia (Sneijder) lakukan. Kita semua sudah melihat bagaimana cemerlangnya dia untuk Inter dan Belanda. Menyaksikan dia menamatkan penguasaan Messi dan Ronaldo tentunya perkara yang sangat menyenangkan untuk dilihat. Sneijder akan sentiasa dikenang sebagai individu yang patut menang Ballon d’Or 2010. Bagi mereka yang tidak menyenangi Sneijder, saya sarankan agar anda tonton klip video Inter di YouTube, khasnya pada musim 2009/10”, tulis Scholes.

Cinta Yang Tak Kesampaian

Kecemerlangan beliau ketika bersama Inter menjadikan nama Sneijder sentiasa meniti di bibir penyokong-penyokong United. Sneijder antara pemain yang sangat diinginkan penyokong-penyokong United untuk Sir Alex Ferguson bawa ke Old Trafford. Setiap kali tibanya bursa perpindahan pemain, nama Sneijder seringkali digembar-gemburkan berada dalam radar buruan United. Bukan setakat ketika era pengurusan Fergie, malah rumour perpindahan Sneijder ke Old Trafford berlanjutan hingga ke era Louis Van Gaal.

Jika ada di kalangan anda yang masih ingat, rumour yang mengaitkan Sneijder dan United bermula buat pertama kali pada 2008. Ketika itu Daily Telegraph melaporkan bahawa Sneijder akan dijadikan sebahagian dari kesepakatan perpindahan saga Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Bagaimanapun khabar angin tersebut tidak menjadi realiti apabila Sneijder memilih Inter sebagai kesebelasan yang bakal beliau wakili. Pada musim panas 2010, Sneijder sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, apatah lagi selepas prestasinya meledak bersama Inter dan skuad kebangsaan di kempen Piala Dunia 2010.

United ketika itu dilaporkan sanggup membayar £35 juta demi mendapatkan tandatangan Sneijder, namun tawaran tersebut ditolak Inter. Desas-desus perpindahan Sneijder semakin kuat bertiup apabila beliau menulis dalam akaun Twitternya, “Saya menghormati semua penyokong United yang menyokong saya sepanjang jendela perpindahan ini”. Bagaimanapun apa yang menariknya, laporan tersebut disangkal Fergie apabila beliau mengatakan bahawa United tidak pernah menghubungi Inter bagi mendapatkan khidmat Sniejder.

“Bagaimana mereka (Inter) boleh menolak tawaran yang sememangnya tidak pernah kami buat”, kata Fergie pada 2010. Setahun selepas itu, `cerita cinta’ antara United dan Sneijder kembali menghiasi dada-dada akhbar, dan kali ini Fergie diberitakan mahu mendapatkan khidmat Sneijder sebagai pengganti Paul Scholes yang kian berada di penghujung karier. Dan sekali lagi Fergie menafikan apabila beliau berkata bahawa United sudah berpuas hati dengan tiga pembelian yang mereka lakukan ke atas Phil Jones, David de Gea dan Ashley Young.

Meskipun demikian, media nampaknya masih belum berpuas hati dengan penjelasan Fergie. Beberapa hari selepas itu, rumour tentang perpindahan Sneijder kembali bertiup kencang dan kali ini mereka melaporkan bahawa United serta Inter sudah mencapai kesepakatan untuk melunaskan perpindahan bintang antarabangsa Belanda itu ke Old Trafford. Bagaimanapun laporan tersebut sekali lagi di sanggah dan kali ini giliran Marco Branca (Pengarah Teknik Inter) pula bersuara. “Tiada tawaran rasmi dari United, dan Inter juga tidak pernah mahu menjualnya”, kata Branca.

Meskipun selepas Fergie bersara pada 2013, `kisah cinta’ antara Sneijder dan United masih terus dimainkan media. Kegagalan David Moyes mendapatkah khidmat Cesc Fabregas dan Thiago Alcantara menyebabkan radar The Choosen One beralih ke arah Sneijder. Pada Januari 2014, Sneijder dilaporkan menjadi sasaran alternatif Moyes jika beliau gagal mendapatkan tandatangan Ross Barkley dan Koke. Malang buat Moyes kerana ketiga-tiga pemain yang beliau sasarkan gagal ditandatangani, malah tiga bulan selepas itu beliau dipecat berikutan prestasi buruk yang dipamerkan United.

Kedatangan Louis Van Gaal pada musim panas 2014 selaku pengganti Moyes sepatutnya membuka jalan dalam merealisasikan impian penyokong-penyokong United yang mahu melihat Sneijder menyarung jersi The Red Devils. Bagaimanapun hal tersebut nampaknya tidak menjadi kenyataan kerana kisah antara Sneijder dan United kekal menjadi `kisah cinta yang tidak kesampaian’. “Saya sangat berbangga dengan minat yang ditunjukkan United, tetapi saya sudah jatuh cinta dengan Turki. Saya juga tidak mahu meninggalkan saingan Liga Juara-Juara”, kata Sneijder yang ketika itu bermain untuk Galatasaray.  

Penutup

Keputusan Sneijder menggantung but pada 12 Ogos lalu menyaksikan berakhirnya era seorang pemain tengah yang dianggap antara terbaik untuk generasinya. Sneijder akan sentiasa diingati kerana gol-gol indah yang dijaringkannya, seorang pemain yang sangat bijak membaca tempo permainan, juga salah seorang pemain tengah paling kreatif yang pernah kita saksikan. Ajax Amsterdam, Real Madrid, Inter Milan, Galatasaray, Nice dan Al Gharafa merupakan kelab yang beliau wakili sepanjang tempoh 17 tahun karier profesionalnya.

Hampir setiap musim dalam tempoh enam tahun, rumour perpindahan beliau ke Old Trafford sentiasa menjadi tajuk perbincangan utama di kalangan penyokong-penyokong United. Namun sayangnya untuk salah seorang pemain tengah paling menarik pernah kita saksikan aksinya di atas padang, impian untuk melihat beliau menyarung jersi merah United tidak pernah kesampaian. Pengumuman persaraan yang dilakukan Sneijder bukan sahaja menjadi detik penamat kepada karier profesionalnya, tetapi juga menjadi nokhtah kepada kisah cinta yang tidak kesampaian antara beliau dan United. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar