05 November 2019

ERLING HAALAND...OPSYEN YANG LEBIH MENARIK BERBANDING MANDZUKIC



Masih ingatkah anda dengan sosok pemain bernama Alf Inge-Haaland? Bagi penyokong-penyokong Manchester United, nama Inge-Haaland tentunya masih segar diingatan meskipun beliau tidak pernah menyarung jersi merah The Red Devils. Inge-Haaland akan tetap kekal dalam memori penyokong-penyokong United gara-gara terjahan brutal yang dilakukan Roy Keane ke atasnya dalam aksi Manchester Derby pada 2001 yang akhirnya memaksa bekas pemain antarabangsa Norway itu bersara dua tahun selepas itu.

Inge-Haaland antara mangsa kegilaan Keano di atas padang dan meskipun beliau berusaha keras untuk pulih dari kecederaan teruk yang dialaminya akibat terjahan itu, Inge-Haaland akhirnya tewas dan akur bahawa karier profesionalnya sudah berakhir. Itu cerita 18 tahun lalu kerana kini tumpuan penyokong-penyokong United beralih arah pula kepada Erling Braut Haaland, anak lelaki Inge-Haaland yang sedang mencetuskan sensasi bersama Red Bull Salzburg selepas beliau meledak 12 gol dari 10 penampilan liga musim ini.

Cerita tentang minat United terhadap pemain berusia 19 tahun ini bukanlah cerita baharu, kerana The Red Devils sudah memantau perkembangan Erling sejak beliau masih bersama FK Molde lagi. Dua gol yang dijaringkan beliau ketika berdepan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara pada 24 Oktober lalu bakal menjadi penyebab yang lebih kuat untuk United memulakan pemburuan lebih serius bagi mendapatkan tandatangannya. Red Bull Salzburg tewas dalam perlawanan itu menerusi gol kemenangan Lorenzo Insigne tetapi penampilan Erling benar-benar mencuri tumpuan.

Dua gol yang diledak Erling ke gawang Napoli itu meletakkan beliau sebagai pemain pertama yang menjaringkan enam gol dari tiga penampilan pertama di Liga Juara-Juara. Erling menjaringkan hatrik ketika Salzburg menewaskan Genk (6-2) pada perlawanan pertama, dan kemudiannya menyumbang satu gol ketika tewas (3-4) kepada Liverpool pada perlawanan kedua. Lebih sensasi, Erling sudah menjaringkan 22 gol dari 19 penampilan untuk Salzburg (disemua peringkat kejohanan) musim ini.

Prospek Panas

Sembilan gol yang diledak Erling ke gawang Honduras dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia U-20 (yang dilangsungkan pada 23 Mei-15 Jun) tahun ini sudah cukup untuk menobatkan beliau selaku pemenang kasut emas kejohanan. Sayangnya Norway gagal lolos ke pusingan kalah mati, lantas menamatkan sebarang harapan Erling untuk memadam rekod Javier Saviola selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kejohanan peringkat umur itu yang sudah bertahan selama 18 tahun menerusi 11 gol yang diledak beliau di Argentina.

Dengan ketinggian 1.94m serta berat badan 84kg, Erling dianugerahkan kekuatan fizikal yang bagus untuk berdepan sebarang duel dengan pemain lawan. Sebagai penyerang, sangat sukar untuk mana-mana pemain pertahanan lawan menjatuhkan atau merebut penguasaan bola dari kakinya. Selain itu Erling juga memiliki instinct yang cukup bagus ketika berada dalam petak penalti lawan atau meletakkan dirinya dalam posisi yang tepat untuk menerima hantaran dari rakan sepasukan.

Jerman hampir menjadi destinasi Erling selepas beliau tampil cemerlang dengan meledak 18 gol dari 14 penampilan untuk skuad B FK Bryne. Bagaimanapun beliau kembali semula ke Norway untuk menyertai FK Molde pada Februari 2017 selepas menjalani sesi trial bersama Hoffenheim. Di Molde yang ketika itu dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, Erling meledak 20 gol dari 50 penampilan dimana 16 daripadanya dijaringkan beliau pada musim 2018. Selain dari itu, beliau juga menjaringkan empat gol dalam tempoh hanya 21 minit ketika Molde mengatasi Brann pada Ogos 2018.

“Haaland boleh menjadi penyerang kelas dunia suatu hari nanti. Dia kuat seperti beruang dan pantas seperti kuda. Dia pembunuh dan mesin gol. Menyertai Salzburg adalah keputusan yang tepat kerana di sana dia akan menjadi pemain utama pada usianya. Penting untuk pemain muda sepertinya bermain sekerap mungkin”, kata Oyvind Gondo yang juga merupakan jurnalis Daglabet. Pada awal tahun ini, Erling akhirnya menyertai Salzburg, kesebelasan yang pernah dibarisi Sadio Mane dari 2012 hingga 2014.

Dalam Radar Solskjaer?

Solskjaer pernah bekerjasama dengan Erling ketika beliau melatih Molde, jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan jika United dikaitkan dengan prospek panas dari Norway ini. Selaku pemain yang pernah bermain di bawah arahan beliau, Solskjaer tentunya sangat faham kemampuan sebenar yang dimiliki Erling sebagai penggempur. Melihat kepada ketumpulan jentera serangan United musim ini, adakah Erling pemain yang diperlukan Solskjaer untuk meningkatkan lagi daya ketajaman jentera penggempurnya?

Meskipun begitu bukan mudah sebenarnya untuk United `memikat’ Erling kerana selain sejarah hitam membabitkan terjahan keras Keano yang menyebabkan bapanya terpaksa bersara awal, Erling juga sebenarnya dilahirkan di Leeds, 19 tahun yang lalu. Seperti yang anda tahu, Leeds United merupakan kelab yang pernah dibarisi ayahnya dan juga musuh abadi United yang pernah mencetuskan panik di England setiap kali berlangsungnya pertembungan Roses Derby terutamanya di sekitar era 70an hingga 80an ketika semangat hooliganisme dalam bolasepak Inggeris sedang memuncak.

Inge-Haaland pernah mewakili Leeds United selama tiga musim dari 1997 hingga 2000 dan Erling lahir ketika bapanya masih menyarung jersi skuad The Whites itu. Atas sebab itulah mengapa sentimen terhadap Leeds sememangnya masih kuat dalam diri Erling dan beliau juga pernah secara terbuka menyuarakan hasrat untuk kembali ke England dan bermain untuk Leeds. “Salah satu impian saya ialah bermain untuk Leeds dan memenangi Liga Perdana bersama mereka. Selain itu saya juga ingin bermain lebih lama berbanding ayah saya”, kata Erling.

Faktor Solskjaer

Sembilan gol yang diledak beliau ke gawang Honduras pada aksi peringkat kumpulan Piala Dunia U-20 menyaksikan Erling berjaya meleburkan rekod 22 tahun milik Adailton Martins selaku penjaring terbanyak dalam satu perlawanan. Untuk rekod, Martins menjaringkan enam gol ketika Brazil membelasah Korea Selatan (10-3) dalam kejohanan yang dilangsungkan di Malaysia pada 1997. Enam gol yang sudah dijaringkan beliau dalam saingan Liga Juara-Juara setakat ini meletakkan Erling sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak.

Enam gol dari tiga penampilan pertama di Liga Juara-Juara merupakan statistik yang menakjubkan untuk seorang pemain yang baru berusia 19 tahun, satu pencapaian yang gagal dilakukan pemain sehebat Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo sekalipun. Jadi tidak hairanlah mengapa Erling muncul prospek paling panas yang diburu kelab-kelab besar Eropah. Meskipun Solskjaer masih berdiam diri tentang khabar angin yang mengaitkan minat United terhadap pemain muda ini, saya percaya nama Erling memang sedang berlegar dalam fikiran beliau.

Leeds memang kuat melekat dalam tubuh Erling, tetapi mampukah beliau menolak jika rombongan United datang `mengetuk pintu rumahnya’ dan membuat tawaran? Ketika masih melatih Molde, Solskjaer mendedahkan ada tawaran dari `bekas juara Eropah’ yang ditolak kelabnya. “Kami pernah menerima tawaran dari `bekas juara Eropah’, tetapi kami menolaknya. Berkenaan United pula, Erling bukanlah penyokong Manchester United. Tetapi jika mereka datang tentulah bukan sesuatu yang mudah untuk dia menolaknya”, kata Solskjaer.

Faktor Solskjaer selaku individu yang pernah bekerjasama dengan Erling mungkin sedikit sebanyak boleh membantu merealisasikan perpindahan pemain muda ini ke Old Trafford jika menang benar United mahukan tandatangannya. Peluang bermain di liga paling kompetitif di dunia, dan menyertai United mungkin peluang yang sukar untuk ditolak Erling meskipun sejarah hitam masa lalu membabitkan ayahnya dan Keano, serta perseteruan silam antara United dan Leeds boleh menjadi faktor `penganggu’.

Berbanding Mario Mandzukic, saya lebih gemar melihat seorang prospek jangka panjang mengetuai jentera serangan United. Apatah lagi Solskjaer juga kini sangat cenderung mengetengahkan bakat-bakat muda dalam kesebelasan skuadnya. Melihat kepada situasi sekarang, United memang sangat memerlukan tenaga tambahan di barisan hadapan selepas pemergian Romelu Lukaku ke Inter Milan. Mandzukic paling kerap dikaitkan dengan United tetapi Erling adalah opsyen yang lebih menarik untuk menyertai revolusi Solskjaer di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

02 November 2019

ASHLEY YOUNG: MENUKAR KEJIAN DAN CACIAN KEPADA MOTIVASI DI PADANG LATIHAN




Ada momen yang sangat menarik dalam aksi antara Arsenal dan Crystal Palace di Stadium Emirates pada 28 Oktober lalu. Dua keputusan VAR yang menyaksikan layangan kad kuning kepada Wilfried Zaha ditarik balik dan Palace kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti. Manakala `gol’ penghujung perlawanan Sokratis Papastathopoulos yang dibatalkan pengadil (selepas merujuk kepada VAR) antara elemen dramatik yang menghiasi aksi tersebut.

Selepas mendahului lawan 2-0 dalam tempoh hanya sepuluh minit pertama permainan, keputusan seri itu tentunya bukanlah keputusan yang dibayangkan oleh para penyokong The Gunners. Apatah lagi seminggu sebelumnya Arsenal tewas kepada Sheffield United dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan. Kekecewaan para Gooners itu kemudiannya dilampiaskan mereka kepada Granit Xhaka, saat kapten Arsenal itu dikeluarkan diminit ke-61.

Ketika Xhaka berjalan keluar padang, beliau di-boo penyokong-penyokong Arsenal lantas memancing emosi pemain antarabangsa Switzerland itu. Respon marah dan memperolok penyokong-penyokong yang dilakukan Xhaka itu akhirnya mendapat teguran dari Unai Emery selepas tamat perlawanan. Ejekan di Stadium Emirates itu bukanlah yang pertama di terima Xhaka kerana ketika berdepan Aston Villa sebulan sebelum itu, Emery juga terpaksa bertindak mempertahankan kaptennya itu dari serangan penyokong sendiri.

Di Arsenal, Xhaka antara pemain yang sering dijadikan sasaran cemuhan penyokong-penyokong mereka sendiri, tetapi di Old Trafford juga apa kurangnya. Jika penyokong-penyokong Arsenal tidak gembira dengan prestasi kapten mereka, Ashley Young juga turut menerima nasib yang sama di Old Trafford. Cacian dan makian adalah resam yang terpaksa dihadapi pemain-pemain bolasepak, jadi penting untuk mereka mengawal emosi agar tidak terjebak dengan provokasi yang dilakukan oleh penyokong sendiri mahupun penyokong lawan.

Xhaka dan Young adalah kapten pasukan masing-masing, cuma bezanya pemilihan bekas pemain Aston Villa untuk memakain armband ketua pasukan dilakukan menerusi undian. Jika anda mahu belajar bagaimana caranya `menikmati’ segala cacian dan kejian, Young mungkin boleh dijadikan sebagai mentor terbaik. Ketika tindakan Xhaka mengundang kritikan keras dari Nigel Winterburn dan Ian Wright yang juga merupakan legenda Arsenal, Young pula melayan setiap cacian dan kejian dengan cara yang cukup santai.

Keberadaan Young di bilik persalinan dikatakan sangat menghiburkan kerana sisi humorist yang ada dalam diri beliau. Untuk seorang kapten yang dijadikan `objek kebencian’ oleh penyokong-penyokong sendiri, keupayaan beliau untuk kekal fokus, santai dan memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan yang lain sama ada di atas padang mahupun ketika di bilik persalinan sebenarnya sesuatu yang sangat mengagumkan. Untuk itu sebagai seorang kapten, Young berjaya melakukan tugasnya dengan baik.

Rahsia Young

Sebagai pemain yang pernah berperanan selaku seorang winger, Young tidaklah sehebat David Beckham, Ryan Giggs atau Cristiano Ronaldo. Selepas bertukar di posisi fullback pula, kemampuannya masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Dennis Irwin, Patrice Evra atau Gary Neville sekalipun. Manakala kekerapan beliau melakukan hantaran-hantaran jauh pula dikatakan tidak lagi sesuai dengan tuntutan bolasepak moden.

Atas semua itu, sangat menghairankan apabila memikirkan kemampuan beliau untuk terus bertahan di Old Trafford tatkala pemain-pemain kesayangan penyokong seperti Ander Herrera, Zlatan Ibrahimovic,  Daley Blind, Shinji Kagawa dan Henrikh Mkhitaryan terpaksa angkat kaki lebih awal. Mungkin kata-kata yang pernah keluar dari mulut Louis Van Gaal tatkalah beliau diwawancara Inside Football pada 2015 boleh meredakan sedikit kehairanan anda.

“Saya fikir Young sangat sesuai dengan saya. Dia antara pemain yang mampu melaksanakan segala arahan saya dengan baik”, kata Van Gaal. Nada hampir sama juga pernah diutarakan Gary Neville ketika beliau ditanya mengapa kelibat Young begitu penting di mata Solskjaer. “Ketika ramai yang mahu Young berhenti dari bermain, dia sebaliknya sering sahaja diturunkan bermain. Sama ada sebagai bek kiri, bek kanan, bek kiri lagi dan bek kanan lagi. Young akan memberikan segalanya bila diberikan peluang”, kata Gary.

Unsung Hero

Masih ingatkah anda dengan aksi Manchester Derby pada 8 April 2018 yang dilangsungkan di Stadium Etihad? Sebelum aksi Manchester Derby itu berlangsung, skuad The Citizen pada mulanya sudah berkira-kira mahu mengesahkan kejuaraan liga mereka di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Tiada tempat dan lawan paling ideal untuk melakukannya, selain menewaskan United yang juga merupakan seteru setempat di hadapan penyokong mereka sendiri.

Apa yang berlaku kemudian adalah sebaliknya, kerana barisan kendalian Jose Mourinho berjaya melaksanakan misi mustahil mereka di Stadium Etihad dengan cemerlang. Dalam perlawanan itu, United ketinggalan dua gol dalam tempoh lima minit menerusi jaringan yang dihasilkan oleh Vincent Kompany (minit ke-25) dan Ilkay Gundogan (minit ke-30). Di separuh masa kedua keajaiban kemudiannya datang apabila United bangkit memadam segala kemustahilan dan berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 16 minit.

Gol jaringan Paul Pogba (minit ke-53 dan 55) serta Chris Smalling (minit ke-69) akhir memberikan United tiga mata di Etihad sekaligus menunda pesta kejuaraan liga kelima City buat sementara waktu. Selepas tamat perlawanan, Pogba muncul pemain United paling dominan menerusi dua gol yang dihasilkannya, selain prestasi terpuji yang dipamerkan beliau di bahagian tengah.

Dari segi taktikal pula, kredit juga wajar diberikan kepada Mourinho, kerana strategi permainan beliau akhirnya berjaya memerangkap City meskipun segala statistik memihak kepada skuad bimbingan Pep Guardiola itu (kecuali jumlah jaringan gol). Bagaimanapun ada nama yang tidak didendang di sebalik kejayaan United di Etihad. Penampilannya tidaklah sehebat Pogba, tetapi peranan dimainkan beliau sebenarnya sangat signifikan dalam perlawanan itu.

Wira tidak didendang dalam perlawanan itu adalah Ashley Young, pemain paling tua dalam kesebelasan United di Etihad selain Antonio Valencia. Rahsia sebenar bagaimana United mampu mengubah defisit dua gol yang dimiliki mereka kepada kemenangan di Etihad adalah kata-kata motivasi Young kepada rakan-rakan sepasukan di bilik persalinan yang akhirnya mencetuskan kebangkitan The Red Devils di separuh masa kedua.

Inilah antara kata-kata keramat Young yang dipetik dari laporan The Times, “Tunjukkanlah kebanggaan kamu di atas padang kerana kamu bermain untuk Manchester United. Sebagai pemain kamu juga bertanggungjawab kepada penyokong dan juga kelab. Adakah kamu sanggup membiarkan penyokong-penyokong lawan memalukan kamu selepas perlawanan? Jangan biarkan itu berlaku kerana kamu adalah Manchester United”.

Kata-kata itu mungkin agak ringkas dan sederhana, tetapi kata-kata itulah yang memotivasikan rakan-rakan sepasukan, lantas membolehkan United bangkit mengejar dari belakang di babak kedua. Paling menarik dalam sebuah wawancara dengan media, Ander Herrera mengatakan bahawa taktikal adalah aspek yang paling kurang disentuh selepas tamat perlawanan, tetapi kebangkitan United pada baki 45 minit selepas itu sebenarnya tercetus dari bilik persalinan.

Belajarlah Dari Young

Young sudah bersama kelab sejak era Sir Alex Ferguson, David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan kini Ole Gunnar Solskjaer. Dalam tempoh tersebut bukan sedkit pemain berbakat yang datang dan kemudiannya pergi, tetapi selepas lapan tahun nama Ashley Young masih kekal dalam skuad utama United. Anda boleh katakan apa sahaja tentang beliau, tetapi akhirnya anda juga terpaksa mengakui bahawa kuasa untuk menentukan siapa yang patut tersenarai dalam kesebelasan utama United berada di tangan pengurus.

Bakat beliau tidaklah setanding legenda-legenda United yang lain tetapi sebagai insan, saya akui bahawa Young adalah seorang individu yang hebat. Di sebalik segala kejian dan cacian yang diterimanya, Young memilih untuk tidak bertindak balas. Tetapi beliau membalas segala cercaan tersebut dengan kesungguhan di padang latihan. Dan kerana kesungguhan beliaulah, Young masih menjadi pilihan dalam kesebelasan United sejak era Fergie hinggalah ke era Solskjaer.

Sebagai kapten, Young perlu menunjukkan contoh terbaik meskipun dirinya dihujani tekanan demi tekanan oleh penyokong, aspek yang masih kekurangan dalam diri Granit Xhaka. Tidak salah juga sekiranya kapten Arsenal itu membuat satu panggilan kepada Young untuk bertanyakan apakah rahsia sebenar rakan sejawatnya itu kekal tenang dan menjadikan segala cercaan sebagai satu perkara yang perlu `dinikmati’ oleh seorang pemain profesional. Glory Glory Manchester United!!!

29 Oktober 2019

DARI `SPARKY' HINGGA KE McTOMINAY



Ahad lalu, Manchester United berjaya mengutip tiga mata penuh ketika mereka menewaskan Norwich City di gelanggang lawan. Tiga gol berjaya dihasilkan United dalam perlawanan itu dan salah satunya merupakan gol yang sangat istimewa. Istimewa kerana ia merupakan gol ke-2000 yang dihasilkan United dalam penyertaan mereka di Liga Perdana dan pemain bertuah yang berjaya menghasilkan gol tersebut ialah Scott McTominay.

Gol itu juga merupakan gol kedua sumbangan McTominay musim ini, tetapi lebih penting gol itu meletakkan nama pemain antarabangsa Scotland ini dalam tinta sejarah United. Ketika ditanya tentang perasaan beliau selepas menjaringkan gol tersebut, McTominay berkata, “Sebelum perlawanan saya tahu tentang rekod tersebut. Menjaringkan gol di Liga Perdana satu pencapaian yang membanggakan. Saya hanya ingin membayar kepercayaan yang diberikan pengurus. Paling penting kami bermain baik dalam perlawanan ini”.

McTominay sudah mencatatkan namanya selaku penjaring gol ke-2000 untuk United di Liga Perdana. Tetapi tanpa yang pertama tidak akan ada yang kedua, ketiga hinggalah yang ke-2000. Nama bekas penyerang Sheffield United, Brian Deane akan kekal terpahat selaku pemain pertama menjaringkan gol di era Liga Perdana, tetapi siapakah pula penyumbang gol-gol istimewa untuk United sejak Liga Divisyen 1 England dijenamakan semula kepada Liga Perdana pada musim 1992/93.

Yang Pertama

Gol pertama United di era Liga Perdana dijaringkan oleh Mark Hughes. Gol itu dihasilkan Hughes ketika aksi menentang Sheffield United pada 15 Ogos 1992 yang dilangsungkan di gelanggang lawan.

Selepas Brian Deane meletakkan The Blades dua gol di hadapan menerusi tandukan diminit ke-5 dan sepakan penalti diminit ke-50, Hughes akhirnya berjaya merapatkan kedudukan apabila beliau menyempurnakan hantaran jauh yang dilakukan Peter Schmeichel.

Biarpun United tewas (1-2) dalam perlawanan itu, gol diminit ke-60 yang menewaskan Simon Tracey itu meletakkan `Sparky’ selaku penjaring gol pertama untuk United di era Liga Perdana.

Yang Ke-500

Kira-kira tujuh tahun selepas Hughes meledak gawang Sheffield United, sekaligus muncul pemain pertama menjaringkan gol untuk United di era Liga Perdana, kini giliran Andy Cole pula memahat namanya selaku penyumbang gol ke-500.

Dalam aksi menentang Nottingham Forest yang dilangsungkan di City Ground pada 6 Februari 1999 itu, United melakar kemenangan besar (8-1) keatas skuad bimbingan Ron Atkinson, yang juga merupakan bekas pengendali United dari 1981 hingga 1986.

Ole Gunnar Solskjaer adalah bintang dalam perlawanan itu menerusi empat gol yang diledak beliau ke gawang Dave Beasant, tetapi jaringan Cole diminit ke-50 sangat istimewa kerana itu adalah gol ke-500 United di Liga Perdana.

Yang Ke-1000

30 Oktober 2005, United bertandang ke Riverside untuk berdepan Middlesbrough, kesebelasan yang ketika itu dibanjiri nama-nama hebat seperti Michael Reiziger, Jimmy Floyd Hasselbaink, Gaizka Mendeita, Mark Viduka, Gareth Southgate, Fabio Rochemback dan Abel Xavier.

Agak malang kunjungan United ke Riverside ketika itu berakhir `tragedi’ apabila lawan meledak empat gol menerusi Gaizka Mendeita (dua gol), Ayegbeni Yakubu dan Emmanuel Pogatetz.  

Gol tunggal United pula dijaringkan Cristiano Ronaldo di penghujung permainan sekaligus memahat namanya selaku penjaring gol ke-1000 The Red Devils di Liga Perdana.

Meskipun gol itu merupakan gol yang istimewa, tiada keraian berlebihan yang dilakukan Ronaldo memandangkan United sudah ketinggalan tiga gol, selain peluang untuk mereka melakukan kebangkitan juga sudahpun tertutup.

Yang Ke-1500

Skrip sama ketika Ronaldo menjaringkan gol ke-1000 United di Liga Perdana berulang lagi enam tahun selepas itu. Aksi menentang Blackburn Rovers di Old Trafford pada tanggal 31 Disember 2011 sepatutnya berakhir indah, apatah lagi perlawanan itu berlangsung pada hari ulang tahun kelahiran ke-70 Sir Alex Ferguson.

Dalam tempoh 51 minit, United sudah ketinggalan dua gol menerusi jaringan Ayegbeni Yakubu yang dihasilkan beliau diminit ke-16 dan 51. Hanya dalam tempoh seminit selepas gol kedua Yakubu dijaringkan, United merapatkan kedudukan menerusi gol tandukan Dimitar Berbatov.

Berba menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu (minit ke-52 dan 62), tetapi tetap gagal menghalang Rovers dari pulang ke Ewood Park dengan tiga mata penuh selepas Grant Hanley menjaringkan gol kemenangan diminit ke-80.

Gol jaringan Berba diminit ke-52 itu adalah gol ke-1500 yang dihasilkan United di Liga Perdana. Tetapi raut wajah beliau selepas tamat perlawanan begitu suram, berbeza sekali berbanding musim sebelumnya saat Berba menewaskan Paul Robinson sebanyak lima kali di sebalik kemenangan besar (7-1) yang dilakar United ke atas Rovers.

Penutup

Sejak era Liga Perdana bermula pada musim 1992/93, United muncul kesebelasan pertama yang berjaya mencecah angka 2000 jaringan gol. Secara keseluruhannya selepas aksi menentang Norwich City tempohari, United sudah menghasilkan 2002 jaringan gol di era Liga Perdana.

Jumlah 2002 gol yang dijaringkan United itu disumbang oleh 100 pemain, bermula dari Mark Hughes hinggalah ke Anthony Martial. Manakala McTominay pula menyertai Hughes, Cole, Ronaldo dan Berbatov dalam `kelab elit’ penjaring gol pertama, ke-500, ke-1000, ke-1500 dan ke-2000 untuk United di Liga Perdana.

Jika dihitung kepada jarak masa diperlukan Cole, Ronaldo, Berba dan McTominay menjaringkan gol ke-500, 1000, 1500 dan 2000 United di Liga Perdana, anda mungkin boleh menjangkakan bahawa gol ke-2500 nanti akan hadir dalam tempoh enam atau tujuh tahun dari sekarang. Siapakah pemain bertuah yang bakal melakukannya? Glory Glory  Manchester United!!!

28 Oktober 2019

AYUH UNITED!!!...LEBIH KONSISTENLAH SELEPAS INI



Tiga mata yang sangat penting dan tiga mata ini jugalah yang melonjakkan Manchester United secara drastik dalam carta liga. Tiga mata yang dikutip United ketika berdepan Norwich City di Carrow Road membolehkan mereka melonjak lima anak tangga (dari tangga ke-12 ke tangga ke-7), dan kini hanya dibezakan tiga mata dari Arsenal yang berada di tangga kelima liga selepas barisan The Red Devils mengumpul 13 mata dari 10 perlawanan.

Ini merupakan kemenangan di gelanggang lawan kedua berturut-turut yang diraih United selepas dua hari sebelumnya mereka berjaya menewaskan FK Partizan dalam aksi Liga Europa yang dilangsungkan di Belgrade. Kemenangan di Belgrade itu merupakan kemenangan di gelanggang lawan pertama yang diraih United dalam tempoh 232 hari meskipun mereka sebenarnya tidaklah bermain dengan begitu baik, selain gol kemenangan itu dihasilkan menerusi sepakan penalti.

Di peringkat liga pula, kemenangan di Carrow Road itu merupakan kemenangan pertama berjaya diraih United di gelanggang lawan sejak mereka menewaskan Crystal Palace di Selhurst Park pada 28 Februari 2019. Kemenangan ini juga akhirnya menamatkan sumpahan lapan perlawanan tanpa kemenangan United ketika mereka bertandang ke gelanggang lawan dalam saingan liga. Terima kasih atas jaringan yang dihasilkan Scott McTominay, Marcus Rashford dan Anthony Martial.

Penampilan Berbeza

Berbanding di Belgrade, Ole Gunnar Solskjaer kembali kepada sistem 4-2-3-1 dengan meletakkan Daniel James, Andreas Pereira, Marcus Rashford dan Anthony Martial untuk memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Norwich. Taktik yang digunakan Solskjaer ini nampaknya berjalan dengan cukup efektif menerusi penampilan terpuji yang dipamerkan Scott McTominay dan Fred di bahagian tengah.

Akhirnya McTominay dan Fred berjaya membuktikan kepada kita bahawa mereka mampu membentuk gandingan yang baik ketika diturunkan bersama. McTominay sukses memainkan peranannya selaku ball winner di bahagian tengah, manakala Fred pula sangat berkesan menerusi peranan sebagai box to box midfielder hingga membolehkan rakan-rakan di barisan hadapan lebih fokus ketika mereka melancarkan serangan ke kubu lawan.

Secara peribadi, saya mengklasifikasikan bahawa ini adalah prestasi terbaik yang dipamerkan United berbanding beberapa aksi terakhir mereka sebelum ini. Berbanding penampilan mereka ketika berdepan FK Partizan di Belgrade, United sepanjang aksi di Carrrow Road berjaya melepaskan 21 percubaan ke arah gawang lawan dimana 11 daripadanya merupakan percubaan on target.

Jika tidak kerana Tim Krull berada pada prestasi terbaiknya mungkin skuad The Canaries itu bakal menerima nasib sama seperti yang berlaku kepada Southampton ketika mereka tewas besar di tangan Leicester City. Kembalinya Anthony Martial dalam perlawanan ini ternyata memberikan impak dan  perbezaan yang sangat besar di bahagian hadapan United.

Adanya Martial membolehkan Rashford berleluasa untuk bebas bergerak di sisi kiri. Secara purata, United mencatatkan angka 4.1 expected goals dalam perlawanan ini dan statistik ini diterjemahkan mereka menerusi tiga gol yang berjaya dijaringkan ke gawang tuan rumah. Selain itu dua peluang terbaik juga berjaya dicipta apabila United dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan.

Agak malang, dua penalti yang diberikan pengadil gagal disempurnakan Rashford dan Martial sekaligus membolehkan Krull muncul penjaga gol kedua yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti dalam satu perlawanan selepas Maarten Sketelenburg melakukannya pada Oktober 2016 ketika Everton berdepan Manchester City.

Duet Rashford/Martial

Kedua-duanya gagal menyempurnakan sepakan penalti, tetapi itu tidak bermakna kita boleh menidakkan sumbangan dua pemain ini di sebalik kemenangan penting yang diraih United di Carrow Road. Tidak boleh dinafikan bahawa Rashford dan Martial adalah ancaman terbesar yang terpaksa dihadapi pertahanan Norwich ketika United melancarkan serangan.

Menurut catatan Squawka, kedua-duanya melakukan 16 sentuhan bola di dalam petak penalti lawan, melepaskan 10 percubaan (dimana lapan adalah on target), melakukan lima dribble success dan masing-masing menyumbangkan satu gol. Paling menarik apabila melihat chemistry dua gandingan ini hingga terhasilnya gol ketiga United yang dijaringkan Martial diminit ke-73.

Sepanjang 75 minit permainan sebelum Martial dikeluarkan, kedua-dua pemain ini boleh anda lihat sering bergerak mencari ruang kosong di celah-celah pertahanan lawan. Ketika Martial atau James cuba masuk ke dalam petak penalti, Rashford pula akan bergerak melebar ke sisi bagi memancing pertahanan lawan dalam usaha beliau membuka ruang dan opsyen lebih luas kepada dua rakan sepasukannya itu menjaringkan gol.

Angka 2000 dan 50

Gol yang dihasilkan McTominay ke gawang Norwich diminit ke-21 merupakan gol yang sangat istimewa dari pemain antarabangsa Scotland itu. Menurut catatan Opta, gol itu merupakan gol ke-2000 yang dijaringkan United sepanjang penyertaan mereka di Liga Perdana. Pada Disember 2011, Dimitar Berbatov muncul pemain United yang menjaringkan gol ke-1500 untuk kelab di Liga Perdana manakala Cristiano Ronaldo pula menjaringkan gol ke-1000 pada Oktober 2005.

Rashford turut tidak ketinggalan untuk menjadikan perlawanan ini sebagai penampilan yang istimewa untuk dirinya. Gol kedua United yang diledak Rashford diminit ke-30 merupakan gol peribadi ke-50 yang dijaringkan beliau untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Menurut catatan Opta, 32 dari 50 gol yang dijaringkan Rashford dihasilkan beliau dalam saingan liga. Ini juga merupakan gol kelima sumbangan Rashford musim ini sekaligus meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak United setakat ini.

Rumusan

Seperti yang saya sebutkan tadi, ini merupakan penampilan terbaik yang dipamerkan United berbanding beberapa perlawanan terakhir mereka. Di Belgrade, barisan hadapan United gagal melakukan percubaan on target dalam situasi terbuka, tetapi penampilan berbeza dipamerkan mereka di Carrow Road. Tiga mata yang berjaya diraih ke atas Norwich membolehkan United memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, tetapi point paling utama adakah mereka mampu mengekalkan konsistensi dalam mengharungi musim yang masih panjang?

Semua orang tahu bahawa isu konsistensi adalah isu besar yang perlu diatasi Solskjaer selain ketumpulan jentera serangannya. Semalam United bermain dengan sangat baik di Carrow Road, gelanggang yang menyaksikan Manchester City tewas 2-3 dalam aksi yang dilangsungkan pada 15 September lalu. Adakah prestasi sama mampu mereka kekalkan pada perlawanan berikutnya, atau United kembali kepada prestasi buruk sepertimana ketika mereka tewas kepada West Ham dan Newcastle United?

Tugas besar menanti Solskjaer untuk membuktikan bahawa United boleh bermain dengan baik menentang mana-mana pasukan selepas ini. Dan penting juga untuk Solskjaer memastikan bahawa United akan lebih konsisten dalam usaha mereka mengejar kedudukan empat teratas. Sangat pelik apabila melihat Chelsea yang pernah diganyang pada aksi pertama liga musim ini kini memiliki kelebihan tujuh mata dihadapan United. Apakah rahsia Frank Lampard? Jawapannya mudah, kerana beliau berjaya menjadikan Chelsea kesebelasan yang lebih konsisten berbanding United. Glory Glory Manchester United!!!

25 Oktober 2019

SEMOGA NASIBMU TIDAK SEPERTI ADNAN JANUZAJ



Sebelum kehadirannya, tidak ramai penyokong-penyokong Manchester United mengenali beliau, tetapi kini nama Daniel James adalah nama yang wajib ada dalam kesebelasan utama United. Bukan Paul Pogba, bukan Marcus Rashford, bukan Scott McTominay, bukan David De Gea, bukan Aaron Wan-Bisakka dan bukan juga Harry Maguire, tetapi tanpa ragu saya akan memilih James sebagai pemain terbaik United setakat ini. Biarpun beliau datang sebagai pemain yang kurang dikenali, tetapi kini James adalah pemain sebutan dan kesayangan penyokong-penyokong United hasil dari prestasi terpuji yang beliau pamerkan.

Kelajuan adalah aset utama kepada permainan James dan kelebihan itulah sekali lagi beliau gunakan ketika menyumbang bantuan gol yang berjaya disempurnakan Marcus Rashford ketika aksi menentang Liverpool tempohari. Lebih penting, kelajuan James sebenarnya sangat penting dalam memaksimakan method permainan United yang mengandalkan gerakan-gerakan counter attack. £15 juta yang dibelanjakan United untuk seorang pemain berusia 21 tahun dan tidak pernah bermain di pentas Liga Perdana pada mulanya dianggap jumlah yang cukup tinggi.

Tetapi James pantas membuktikan kebenaran kata-kata Ryan Giggs yang juga merupakan pengendali Wales bahawa pemain muda ini akan menjadi aset dan tunjang kepada gaya permainan United. “Yang paling utama ialah kelajuan merupakan gaya permainannya. Saya tidak pernah melihat pemain selaju dia sepanjang karier saya. Dia tentunya akan menghadirkan mimpi buruk kepada mana-mana pertahanan lawan. Postur tubuhnya juga tidak terlalu besar, jadi memudahkan dia untuk melepasi pemain lawan. Kedua-dua belah kakinya sama baik untuk dia menjaringkan gol atau mencipta peluang”, kata Giggs.

Sasaran Lawan
James tidak menunggu lama untuk diberikan penampilan pertama oleh Solskjaer di Liga Perdana. Meskipun tampil selama 16 minit ketika berdepan Chelsea dalam aksi pertama liga musim ini, tempoh singkat tersebut digunakan James untuk mencuri tumpuan pemerhati dan juga penyokong United. Sudah tentu bagi seorang anak muda yang baru berusia 21 tahun, menjaringkan gol untuk United pada penampilan pertama di Liga Perdana umpana impian yang menjadi kenyataan. Gol yang diledak James ke gawang Chelsea diminit ke-81 itu adalah isyarat yang diberikan beliau sebagai menandakan kehadiran seorang rookie di Liga Perdana.

Sepertimana yang saya sebutkan tadi, kelajuan adalah aset kepada permainan James, jadi tidak hairanlah setakat ini beliau sudah melakukan purata 16.5 pecutan dalam setiap perlawanan. Kelajuan seorang pemain hadapan pula sudah tentu mendatangkan masalah kepada mana-mana pertahanan lawan, dan untuk itu statistik yang dikeluarkan oleh WhoScored menunjukkan bahawa James muncul pemain United paling kerap dikasari lawan. Secara purata, James dikasari sebanyak 2.4 kali dalam setiap perlawanan, dan statistik itu turut menyaksikan mengapa United muncul kesebelasan paling banyak dihadiahkan sepakan percuma oleh pengadil setakat ini.

Efektif

Selepas United mengharungi sembilan perlawanan liga, James sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbangkan satu bantuan gol. Dalam senarai penjaring terbanyak United, James berada di belakang Marcus Rashford yang sudah mengumpul empat gol setakat ini. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa dua gol yang dijaringkan Rashford adalah menerusi sepakan penalti. Dari sudut lain pula, James muncul pemain United paling efektif dalam menyempurnakan peluang.

Menurut laman sesawang Liga Perdana, James setakat ini hanya mensia-siakan satu peluang jaringan gol berbanding Rashford (3). Dari sembilan perlawanan pula, James mencatatkan peratus percubaan tepat sebanyak 44%, atau lebih tepatnya beliau melakukan tujuh shot on target dari 16 yang dilepaskannya. Peratusan ini merupakan yang tertinggi berbanding Rashford (38%), Anthony Martial (34%) dan Paul Pogba (11%).

Gaya permainan James sebenarnya mengingatkan saya kepada kelibat Arjen Robben, seorang inverted winger yang pernah mempersonakan Liga Perdana selama tiga musim dari 2004 hingga 2007. Sama seperti James, Robben juga memiliki kelajuan dalam lariannya ketika beliau `membelah’ pertahanan lawan dari sebelah sisi. Gol jaringan James ke gawang Crystal Palace dan Southampton adalah contoh kemampuan beliau untuk bertindak sebagai seorang inverted winger.

Kelemahan

Sebagai pemain muda dan ini pula merupakan musim pertama beliau beraksi di Liga Perdana, sudah tentu banyak aspek yang perlu beliau perbaiki dalam permainannya. Apa yang berlaku sekarang ialah, James sering menggunakan kelajuannya untuk mengeksploitasi ruang bagi mencipta peluang berbanding melakukan key passes. Purata 0.6 key passes yang dilakukannya per perlawanan merupakan statistik yang sangat rendah untuk seorang pemain hadapan seperti beliau.

Aspek lain yang perlu diperbaiki James ialah ketepatan ketika melakukan hantaran-hantaran silang serta memperkukuhkan kondisi fizikal beliau. Liga Perdana sering dilabel sebagai liga paling `keras’ di dunia, jadi ini tentunya pentas saingan yang bukan mudah untuk seorang anak muda yang cuma memiliki ketinggian 1.70 m dan berat 76 kg ini. Lihat saja kekasaran demi kekasaran yang dilakukan pemain-pemain Liverpool untuk menghentikan pergerakan beliau tempohari.

Pelaburan Berbaloi

Sudah banyak pelaburan-pelaburan besar yang dilakukan United dalam tempoh beberapa musim terakhir. Meskipun mereka pernah dibarisi bakat-bakat besar seperti Angel Di Maria, Memphis Depay, Henrikh Mkhitaryan, Alexis Sanchez, Radamel Falcao, Bastian Schweinsteiger, Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku,  tidak banyak perubahan signifikan yang berlaku di Old Trafford kecuali `treble kecil’ yang berjaya mereka menangi ketika era pengurusan Jose Mourinho.

Paul Pogba yang pernah menyandang gelaran pemain termahal dunia masih berdepan isu konsistensi, manakala kehadiran Fred pula nampaknya belum mencetuskan impak di bahagian tengah. Di benteng pertahanan pula, ramai yang masih mempertikaikan harga dibayar kelab untuk Harry Maguire meskipun kehadiran pemain pertahanan antarabangsa England itu sudah mula memberikan kesan positif di posisi backline United.

Berbanding nama-nama yang saya sebutkan di atas, James pula ditandatangani dengan harga yang cukup murah.  £15 juta yang dibayar kepada Swansea City dan dengan prestasi yang beliau pamerkan setakat ini menjadikan United seolah-olah sudah memenangi jackpot. Usia yang masih muda merupakan bonus tambahan kepada James, jadi anda boleh saksikan lebih banyak peningkatan yang bakal beliau pamerkan dalam tempoh yang panjang.

Penutup

James sendiri pastinya tidak menyangka bahawa nasibnya kini berubah secara drastik. Datang dari sebuah kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan, nama Daniel James kini menjadi sebutan penyokong-penyokong United. Sudah pasti beliau juga tidak dapat menolak dari disamakan dengan Ryan Giggs yang juga merupakan legenda kelab apatah lagi mereka juga datang dari negara yang sama iaitu Wales. Untuk bertahan dalam liga besar seperti Liga Perdana, James bukan hanya perlu menjaga kondisi fizikalnya tetapi juga meningkatkan tahap permainannya.

Melihat kepada penampilan beliau bersama United, jangan salahkan penyokong-penyokong The Red Devils jika mereka mula memasang impian untuk melihat James muncul nama besar suatu hari nanti sebaris dengan Giggs atau Cristiano Ronaldo. Buat masa ini United tampak seperti sangat bergantung kepada sentuhan James, jadi saya berharap tekanan demi tekanan yang dipikulnya tidak akan merosakkan anak muda ini. Saya tidak bimbang jika James tidak mampu menjadi pemain sebagus Giggs, tetapi saya lebih bimbang jika beliau menjadi `Next Adnan Januzaj’...Glory Glory Manchester United!!!

21 Oktober 2019

DI SEBALIK SEGALA KEUNGGULAN, KLOPP MASIH GAGAL MENANG DI OLD TRAFFORD



Ini bukanlah pertembungan North West Derby terbaik, tetapi juga bukanlah yang terlalu buruk. Meskipun berjaya menamatkan rekod sempurna Liverpool, keputusan seri yang dilakar semalam tidak membolehkan United memperbaiki kedudukan mereka di carta liga. Sepuluh mata yang berjaya dikumpul barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer dari sembilan perlawanan menyaksikan kedudukan mereka di carta liga turun satu anak tangga (dari tangga ke-12), dan hanya dibezakan dua mata dari Newcastle United yang ketika ini berada di zon penyingkiran.

Agak merugikan selepas Marcus Rashford menjaringkan gol pendahuluan di babak pertama, gawang United akhirnya berjaya juga dibolosi lawan menerusi Adam Lallana ketika tempoh permainan sebenar berbaki lima minit sebelum ditamatkan. Selaku penjaring gol pendahuluan, keputusan seri yang dilakar United semalam pastinya sangat disesalkan Rashford. “Kami layak meraih tiga mata dalam perlawanan ini. Saya fikir mereka tidak cukup bagus untuk meraih walau satu mata pun. Tapi inilah bolasepak”, kata Rashford selepas tamat perlawanan.

Skema 3-5-2

Sepanjang permainan, saya sangat tertarik melihat bagaimana United melakukan pressing ke atas pemain lawan saat mereka kehilangan bola. Menerusi skema 3-5-2, United bukan sahaja cuba menguasai bahagian tengah tetapi mereka juga menggunakan Ashley Young dan Aaron Wan-Bissaka untuk membayangi setiap gerakan yang cuba dilakukan Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold dari sisi kanan dan kiri. Musim lalu pasangan bek sayap Liverpool ini muncul penyumbang terbesar bantuan gol menerusi 30 assist yang dilakukan mereka dalam semua peringkat kejohanan.

Jadi Solskjaer juga sangat sedar betapa pentingnya untuk beliau cuba meneutralkan Robertson dan Alexander-Arnold agar bekalan-bekalan hantaran yang ditujukan ke arah Roberto Firmino dan Sadio Mane dari sisi kanan dan kiri berjaya diminimakan. Strategi yang diterapkan Solskjaer boleh dianggap berhasil meskipun pada akhirnya Robertson berjaya juga mencipta assist yang disempurnakan Lallana untuk gol penyamaan. Assist yang dilakukan Robertson itu merupakan assist ke-14 dari beliau sejak musim lalu, sekaligus muncul pemain pertahanan paling banyak melakukan assist di Liga Perdana sejak musim 2018/19.

Faktor Old Trafford

Old Trafford nampaknya masih lagi gelanggang yang `kurang mesra’ untuk Jurgen Klopp. Sejak beliau dilantik selaku pengendali Liverpool pada 2015, Klopp nampaknya masih gagal membawa skuad The Reds itu menewaskan United di Old Trafford. Sejak kali terakhir Brendan Rodgers dan skuad bimbingan beliau menakluk markas United itu pada pada Mac 2014, enam kunjungan Liverpool ke Theatre of Dreams dalam saingan liga selepas itu berakhir dengan tiga keputusan seri dan tiga kekalahan.

Datang selaku pendahulu liga menerusi rekod sempurna yang dilakukan mereka dalam lapan aksi sebelum itu, satu mata yang mereka bawa pulang ke Anfield tentunya bukanlah keputusan yang diimpikan Klopp. Tambahan pula barisan kendalian beliau turut diperkuatkan menerusi kehadiran semula Alisson Becker dan Joel Matip. Manakala United pula yang berdepan isu prestasi selepas mereka tewas dua dari tiga aksi terakhir saingan liga turut hilang sentuhan Paul Pogba serta Luke Shaw dalam perlawanan ini.

Solskjaer vs Klopp

Meletakkan pencapaian Klopp dan Solskjaer sebagai perbandingan tentulah bukan tindakan yang adil. Di Jerman, Klopp sudah membina reputasi beliau menerusi kejayaan menamatkan dominasi Bayern Munich di Bundesliga bersama Borussia Dortmund. Di England pula, Klopp berjaya mengangkat kembali martabat Liverpool selaku pesaing serius kejuaraan liga selain berjaya mengemudi The Reds muncul juara Eropah musim lalu.  Bagaimana pula dengan Solskjaer? Satu-satunya kebanggaan beliau selaku pengendali ialah medal kejuaraan Tippeligaen dan Piala Norway bersama FK Molde selain juara Premier Reserves League bersama skuad simpanan United.

Meskipun jurang pencapaian serta pengalaman dua pengendali ini terlalu besar, Solskjaer nampaknya masih sukar dijinakkan Klopp kerana dua pertembungan membabitkan beliau dan warga Jerman itu berakhir dengan keputusan seri. Malah lima kunjungan Klopp ke Old Trafford dalam semua peringkat kejohanan kompetitif sejak beliau dilantik selaku pengendali Liverpool pada Oktober 2015 berakhir dengan empat keputusan seri dan satu kekalahan. Klopp boleh berkata apa sahaja tentang corak bertahan yang diamalkan United, tetapi dalam masa yang sama beliau juga sepatutnya lega kerana rekod tanpa kalah Liverpool dalam sembilan perlawanan masih lagi kekal.

Strategi Solskjaer

Anda dapat saksikan sepanjang 90 minit aksi perlawanan semalam bahawa Liverpool adalah kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United. Jadi sudah tentu satu mata yang berjaya dikutip selain kejayaan menamatkan rentetan lapan kemenangan berturut-turut Liverpool dalam saingan liga musim ini boleh membuatkan kita menarik sedikit nafas lega. Selaku kesebelasan underdog, United pada pandangan saya bermain sepertimana sebuah pasukan underdog sepatutnya bermain. Mereka bertahan dengan baik sepanjang perlawanan sambil sekali sekala cuba melakukan serang balas pantas.

Gol jaringan Rashford adalah berpunca dari gerakan counter attack, dan selepas itu mereka bertahan dengan sangat baik sebagai satu unit bagi mengekalkan pendahuluan tersebut selama 49 minit (sebelum Lallana menyamakan kedudukan diminit ke-85). United di bawah kendalian Solskjaer seringkali menampilkan aksi terpuji di babak pertama, menjaringkan gol dan kemudiannya masuk ke bilik persalinan selaku pendahulu di scoreboard. Semalam, `penyakit’ sama berulang lagi di mana mereka membenarkan lawan menjaringkan gol penyamaan tatkala peluang untuk meraih tiga mata penuh begitu hampir.

Sepanjang tempoh 22 minit, Klopp melakukan tiga pertukaran manakala Solskjaer pula kekal dengan strategi bertahan sambil mengharapkan gerakan-gerakan counter attack. Akibatnya, United mencatatkan peratusan penguasaan bola kedua paling rendah (32.1%) ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri sejak Mac 2018. Untuk rekod catatan penguasaan bola paling rendah yang pernah dilakukan United di gelanggang sendiri ialah 31.06%. Catatan itu dilakukan mereka ketika berdepan Liverpool pada 10 Mac 2018 yang menyaksikan barisan kendalian Jose Mourinho menang (2-1).

Penutup

Keputusan seri yang dilakar semalam bukanlah keputusan yang dimahukan Liverpool. Keputusan seri itu juga menyaksikan rekod kemenangan 100% mereka dalam saingan liga musim ini berakhir, jadi tidak hairanlah mengapa selepas tamat perlawanan Klopp sangat kecewa. Kekecewaan Klopp diluahkan beliau dengan menyindir gaya permainan United.  Menurut Klopp, United menggunakan pendekatan parkir bas selama 90 minit, taktik yang sering mereka gunakan selama ini terutamanya ketika berdepan Liverpool.

Saya tidak salah Klopp dalam hal ini, kerana sudah tentu keputusan di Old Trafford semalam bukanlah hasil yang beliau inginkan. Seperti yang saya sebutkan tadi, United adalah pasukan underdog meskipun mereka bermain di Old Trafford. Sebelum perlawanan tidak banyak harapan yang diletakkan penyokong untuk United melakukan kejutan kerana satu mata sudah memadai meskipun Liverpool hampir sahaja berjaya ditewaskan jika tidak kerana jaringan penyamaan Lallana di penghujung permainan.

Melihat kepada prestasi United dari lapan perlawanan mereka sebelum ini, satu mata yang berjaya dikutip ketika berdepan Liverpool cukup melegakan meskipun ia masih tidak cukup untuk mereka memperbaiki kedudukan di carta liga. Semoga satu mata itu menjadi turning point kepada kebangkitan United selepas ini meskipun ia bukanlah perlawanan yang sempurna seperti diinginkan Solskjaer. Seterusnya saya ingin melihat apa yang mampu dilakukan barisan Solskjaer di Carrow Road pada 28 Oktober nanti. Di Carrow Road, United wajib, itu pun jika Solskjaer mahu menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar