28 Oktober 2019

AYUH UNITED!!!...LEBIH KONSISTENLAH SELEPAS INI



Tiga mata yang sangat penting dan tiga mata ini jugalah yang melonjakkan Manchester United secara drastik dalam carta liga. Tiga mata yang dikutip United ketika berdepan Norwich City di Carrow Road membolehkan mereka melonjak lima anak tangga (dari tangga ke-12 ke tangga ke-7), dan kini hanya dibezakan tiga mata dari Arsenal yang berada di tangga kelima liga selepas barisan The Red Devils mengumpul 13 mata dari 10 perlawanan.

Ini merupakan kemenangan di gelanggang lawan kedua berturut-turut yang diraih United selepas dua hari sebelumnya mereka berjaya menewaskan FK Partizan dalam aksi Liga Europa yang dilangsungkan di Belgrade. Kemenangan di Belgrade itu merupakan kemenangan di gelanggang lawan pertama yang diraih United dalam tempoh 232 hari meskipun mereka sebenarnya tidaklah bermain dengan begitu baik, selain gol kemenangan itu dihasilkan menerusi sepakan penalti.

Di peringkat liga pula, kemenangan di Carrow Road itu merupakan kemenangan pertama berjaya diraih United di gelanggang lawan sejak mereka menewaskan Crystal Palace di Selhurst Park pada 28 Februari 2019. Kemenangan ini juga akhirnya menamatkan sumpahan lapan perlawanan tanpa kemenangan United ketika mereka bertandang ke gelanggang lawan dalam saingan liga. Terima kasih atas jaringan yang dihasilkan Scott McTominay, Marcus Rashford dan Anthony Martial.

Penampilan Berbeza

Berbanding di Belgrade, Ole Gunnar Solskjaer kembali kepada sistem 4-2-3-1 dengan meletakkan Daniel James, Andreas Pereira, Marcus Rashford dan Anthony Martial untuk memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Norwich. Taktik yang digunakan Solskjaer ini nampaknya berjalan dengan cukup efektif menerusi penampilan terpuji yang dipamerkan Scott McTominay dan Fred di bahagian tengah.

Akhirnya McTominay dan Fred berjaya membuktikan kepada kita bahawa mereka mampu membentuk gandingan yang baik ketika diturunkan bersama. McTominay sukses memainkan peranannya selaku ball winner di bahagian tengah, manakala Fred pula sangat berkesan menerusi peranan sebagai box to box midfielder hingga membolehkan rakan-rakan di barisan hadapan lebih fokus ketika mereka melancarkan serangan ke kubu lawan.

Secara peribadi, saya mengklasifikasikan bahawa ini adalah prestasi terbaik yang dipamerkan United berbanding beberapa aksi terakhir mereka sebelum ini. Berbanding penampilan mereka ketika berdepan FK Partizan di Belgrade, United sepanjang aksi di Carrrow Road berjaya melepaskan 21 percubaan ke arah gawang lawan dimana 11 daripadanya merupakan percubaan on target.

Jika tidak kerana Tim Krull berada pada prestasi terbaiknya mungkin skuad The Canaries itu bakal menerima nasib sama seperti yang berlaku kepada Southampton ketika mereka tewas besar di tangan Leicester City. Kembalinya Anthony Martial dalam perlawanan ini ternyata memberikan impak dan  perbezaan yang sangat besar di bahagian hadapan United.

Adanya Martial membolehkan Rashford berleluasa untuk bebas bergerak di sisi kiri. Secara purata, United mencatatkan angka 4.1 expected goals dalam perlawanan ini dan statistik ini diterjemahkan mereka menerusi tiga gol yang berjaya dijaringkan ke gawang tuan rumah. Selain itu dua peluang terbaik juga berjaya dicipta apabila United dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan.

Agak malang, dua penalti yang diberikan pengadil gagal disempurnakan Rashford dan Martial sekaligus membolehkan Krull muncul penjaga gol kedua yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti dalam satu perlawanan selepas Maarten Sketelenburg melakukannya pada Oktober 2016 ketika Everton berdepan Manchester City.

Duet Rashford/Martial

Kedua-duanya gagal menyempurnakan sepakan penalti, tetapi itu tidak bermakna kita boleh menidakkan sumbangan dua pemain ini di sebalik kemenangan penting yang diraih United di Carrow Road. Tidak boleh dinafikan bahawa Rashford dan Martial adalah ancaman terbesar yang terpaksa dihadapi pertahanan Norwich ketika United melancarkan serangan.

Menurut catatan Squawka, kedua-duanya melakukan 16 sentuhan bola di dalam petak penalti lawan, melepaskan 10 percubaan (dimana lapan adalah on target), melakukan lima dribble success dan masing-masing menyumbangkan satu gol. Paling menarik apabila melihat chemistry dua gandingan ini hingga terhasilnya gol ketiga United yang dijaringkan Martial diminit ke-73.

Sepanjang 75 minit permainan sebelum Martial dikeluarkan, kedua-dua pemain ini boleh anda lihat sering bergerak mencari ruang kosong di celah-celah pertahanan lawan. Ketika Martial atau James cuba masuk ke dalam petak penalti, Rashford pula akan bergerak melebar ke sisi bagi memancing pertahanan lawan dalam usaha beliau membuka ruang dan opsyen lebih luas kepada dua rakan sepasukannya itu menjaringkan gol.

Angka 2000 dan 50

Gol yang dihasilkan McTominay ke gawang Norwich diminit ke-21 merupakan gol yang sangat istimewa dari pemain antarabangsa Scotland itu. Menurut catatan Opta, gol itu merupakan gol ke-2000 yang dijaringkan United sepanjang penyertaan mereka di Liga Perdana. Pada Disember 2011, Dimitar Berbatov muncul pemain United yang menjaringkan gol ke-1500 untuk kelab di Liga Perdana manakala Cristiano Ronaldo pula menjaringkan gol ke-1000 pada Oktober 2005.

Rashford turut tidak ketinggalan untuk menjadikan perlawanan ini sebagai penampilan yang istimewa untuk dirinya. Gol kedua United yang diledak Rashford diminit ke-30 merupakan gol peribadi ke-50 yang dijaringkan beliau untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Menurut catatan Opta, 32 dari 50 gol yang dijaringkan Rashford dihasilkan beliau dalam saingan liga. Ini juga merupakan gol kelima sumbangan Rashford musim ini sekaligus meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak United setakat ini.

Rumusan

Seperti yang saya sebutkan tadi, ini merupakan penampilan terbaik yang dipamerkan United berbanding beberapa perlawanan terakhir mereka. Di Belgrade, barisan hadapan United gagal melakukan percubaan on target dalam situasi terbuka, tetapi penampilan berbeza dipamerkan mereka di Carrow Road. Tiga mata yang berjaya diraih ke atas Norwich membolehkan United memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga, tetapi point paling utama adakah mereka mampu mengekalkan konsistensi dalam mengharungi musim yang masih panjang?

Semua orang tahu bahawa isu konsistensi adalah isu besar yang perlu diatasi Solskjaer selain ketumpulan jentera serangannya. Semalam United bermain dengan sangat baik di Carrow Road, gelanggang yang menyaksikan Manchester City tewas 2-3 dalam aksi yang dilangsungkan pada 15 September lalu. Adakah prestasi sama mampu mereka kekalkan pada perlawanan berikutnya, atau United kembali kepada prestasi buruk sepertimana ketika mereka tewas kepada West Ham dan Newcastle United?

Tugas besar menanti Solskjaer untuk membuktikan bahawa United boleh bermain dengan baik menentang mana-mana pasukan selepas ini. Dan penting juga untuk Solskjaer memastikan bahawa United akan lebih konsisten dalam usaha mereka mengejar kedudukan empat teratas. Sangat pelik apabila melihat Chelsea yang pernah diganyang pada aksi pertama liga musim ini kini memiliki kelebihan tujuh mata dihadapan United. Apakah rahsia Frank Lampard? Jawapannya mudah, kerana beliau berjaya menjadikan Chelsea kesebelasan yang lebih konsisten berbanding United. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan