25 Oktober 2019

SEMOGA NASIBMU TIDAK SEPERTI ADNAN JANUZAJ



Sebelum kehadirannya, tidak ramai penyokong-penyokong Manchester United mengenali beliau, tetapi kini nama Daniel James adalah nama yang wajib ada dalam kesebelasan utama United. Bukan Paul Pogba, bukan Marcus Rashford, bukan Scott McTominay, bukan David De Gea, bukan Aaron Wan-Bisakka dan bukan juga Harry Maguire, tetapi tanpa ragu saya akan memilih James sebagai pemain terbaik United setakat ini. Biarpun beliau datang sebagai pemain yang kurang dikenali, tetapi kini James adalah pemain sebutan dan kesayangan penyokong-penyokong United hasil dari prestasi terpuji yang beliau pamerkan.

Kelajuan adalah aset utama kepada permainan James dan kelebihan itulah sekali lagi beliau gunakan ketika menyumbang bantuan gol yang berjaya disempurnakan Marcus Rashford ketika aksi menentang Liverpool tempohari. Lebih penting, kelajuan James sebenarnya sangat penting dalam memaksimakan method permainan United yang mengandalkan gerakan-gerakan counter attack. £15 juta yang dibelanjakan United untuk seorang pemain berusia 21 tahun dan tidak pernah bermain di pentas Liga Perdana pada mulanya dianggap jumlah yang cukup tinggi.

Tetapi James pantas membuktikan kebenaran kata-kata Ryan Giggs yang juga merupakan pengendali Wales bahawa pemain muda ini akan menjadi aset dan tunjang kepada gaya permainan United. “Yang paling utama ialah kelajuan merupakan gaya permainannya. Saya tidak pernah melihat pemain selaju dia sepanjang karier saya. Dia tentunya akan menghadirkan mimpi buruk kepada mana-mana pertahanan lawan. Postur tubuhnya juga tidak terlalu besar, jadi memudahkan dia untuk melepasi pemain lawan. Kedua-dua belah kakinya sama baik untuk dia menjaringkan gol atau mencipta peluang”, kata Giggs.

Sasaran Lawan
James tidak menunggu lama untuk diberikan penampilan pertama oleh Solskjaer di Liga Perdana. Meskipun tampil selama 16 minit ketika berdepan Chelsea dalam aksi pertama liga musim ini, tempoh singkat tersebut digunakan James untuk mencuri tumpuan pemerhati dan juga penyokong United. Sudah tentu bagi seorang anak muda yang baru berusia 21 tahun, menjaringkan gol untuk United pada penampilan pertama di Liga Perdana umpana impian yang menjadi kenyataan. Gol yang diledak James ke gawang Chelsea diminit ke-81 itu adalah isyarat yang diberikan beliau sebagai menandakan kehadiran seorang rookie di Liga Perdana.

Sepertimana yang saya sebutkan tadi, kelajuan adalah aset kepada permainan James, jadi tidak hairanlah setakat ini beliau sudah melakukan purata 16.5 pecutan dalam setiap perlawanan. Kelajuan seorang pemain hadapan pula sudah tentu mendatangkan masalah kepada mana-mana pertahanan lawan, dan untuk itu statistik yang dikeluarkan oleh WhoScored menunjukkan bahawa James muncul pemain United paling kerap dikasari lawan. Secara purata, James dikasari sebanyak 2.4 kali dalam setiap perlawanan, dan statistik itu turut menyaksikan mengapa United muncul kesebelasan paling banyak dihadiahkan sepakan percuma oleh pengadil setakat ini.

Efektif

Selepas United mengharungi sembilan perlawanan liga, James sudah menjaringkan tiga gol dan menyumbangkan satu bantuan gol. Dalam senarai penjaring terbanyak United, James berada di belakang Marcus Rashford yang sudah mengumpul empat gol setakat ini. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa dua gol yang dijaringkan Rashford adalah menerusi sepakan penalti. Dari sudut lain pula, James muncul pemain United paling efektif dalam menyempurnakan peluang.

Menurut laman sesawang Liga Perdana, James setakat ini hanya mensia-siakan satu peluang jaringan gol berbanding Rashford (3). Dari sembilan perlawanan pula, James mencatatkan peratus percubaan tepat sebanyak 44%, atau lebih tepatnya beliau melakukan tujuh shot on target dari 16 yang dilepaskannya. Peratusan ini merupakan yang tertinggi berbanding Rashford (38%), Anthony Martial (34%) dan Paul Pogba (11%).

Gaya permainan James sebenarnya mengingatkan saya kepada kelibat Arjen Robben, seorang inverted winger yang pernah mempersonakan Liga Perdana selama tiga musim dari 2004 hingga 2007. Sama seperti James, Robben juga memiliki kelajuan dalam lariannya ketika beliau `membelah’ pertahanan lawan dari sebelah sisi. Gol jaringan James ke gawang Crystal Palace dan Southampton adalah contoh kemampuan beliau untuk bertindak sebagai seorang inverted winger.

Kelemahan

Sebagai pemain muda dan ini pula merupakan musim pertama beliau beraksi di Liga Perdana, sudah tentu banyak aspek yang perlu beliau perbaiki dalam permainannya. Apa yang berlaku sekarang ialah, James sering menggunakan kelajuannya untuk mengeksploitasi ruang bagi mencipta peluang berbanding melakukan key passes. Purata 0.6 key passes yang dilakukannya per perlawanan merupakan statistik yang sangat rendah untuk seorang pemain hadapan seperti beliau.

Aspek lain yang perlu diperbaiki James ialah ketepatan ketika melakukan hantaran-hantaran silang serta memperkukuhkan kondisi fizikal beliau. Liga Perdana sering dilabel sebagai liga paling `keras’ di dunia, jadi ini tentunya pentas saingan yang bukan mudah untuk seorang anak muda yang cuma memiliki ketinggian 1.70 m dan berat 76 kg ini. Lihat saja kekasaran demi kekasaran yang dilakukan pemain-pemain Liverpool untuk menghentikan pergerakan beliau tempohari.

Pelaburan Berbaloi

Sudah banyak pelaburan-pelaburan besar yang dilakukan United dalam tempoh beberapa musim terakhir. Meskipun mereka pernah dibarisi bakat-bakat besar seperti Angel Di Maria, Memphis Depay, Henrikh Mkhitaryan, Alexis Sanchez, Radamel Falcao, Bastian Schweinsteiger, Zlatan Ibrahimovic dan Romelu Lukaku,  tidak banyak perubahan signifikan yang berlaku di Old Trafford kecuali `treble kecil’ yang berjaya mereka menangi ketika era pengurusan Jose Mourinho.

Paul Pogba yang pernah menyandang gelaran pemain termahal dunia masih berdepan isu konsistensi, manakala kehadiran Fred pula nampaknya belum mencetuskan impak di bahagian tengah. Di benteng pertahanan pula, ramai yang masih mempertikaikan harga dibayar kelab untuk Harry Maguire meskipun kehadiran pemain pertahanan antarabangsa England itu sudah mula memberikan kesan positif di posisi backline United.

Berbanding nama-nama yang saya sebutkan di atas, James pula ditandatangani dengan harga yang cukup murah.  £15 juta yang dibayar kepada Swansea City dan dengan prestasi yang beliau pamerkan setakat ini menjadikan United seolah-olah sudah memenangi jackpot. Usia yang masih muda merupakan bonus tambahan kepada James, jadi anda boleh saksikan lebih banyak peningkatan yang bakal beliau pamerkan dalam tempoh yang panjang.

Penutup

James sendiri pastinya tidak menyangka bahawa nasibnya kini berubah secara drastik. Datang dari sebuah kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan, nama Daniel James kini menjadi sebutan penyokong-penyokong United. Sudah pasti beliau juga tidak dapat menolak dari disamakan dengan Ryan Giggs yang juga merupakan legenda kelab apatah lagi mereka juga datang dari negara yang sama iaitu Wales. Untuk bertahan dalam liga besar seperti Liga Perdana, James bukan hanya perlu menjaga kondisi fizikalnya tetapi juga meningkatkan tahap permainannya.

Melihat kepada penampilan beliau bersama United, jangan salahkan penyokong-penyokong The Red Devils jika mereka mula memasang impian untuk melihat James muncul nama besar suatu hari nanti sebaris dengan Giggs atau Cristiano Ronaldo. Buat masa ini United tampak seperti sangat bergantung kepada sentuhan James, jadi saya berharap tekanan demi tekanan yang dipikulnya tidak akan merosakkan anak muda ini. Saya tidak bimbang jika James tidak mampu menjadi pemain sebagus Giggs, tetapi saya lebih bimbang jika beliau menjadi `Next Adnan Januzaj’...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan