21 Oktober 2019

DI SEBALIK SEGALA KEUNGGULAN, KLOPP MASIH GAGAL MENANG DI OLD TRAFFORD



Ini bukanlah pertembungan North West Derby terbaik, tetapi juga bukanlah yang terlalu buruk. Meskipun berjaya menamatkan rekod sempurna Liverpool, keputusan seri yang dilakar semalam tidak membolehkan United memperbaiki kedudukan mereka di carta liga. Sepuluh mata yang berjaya dikumpul barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer dari sembilan perlawanan menyaksikan kedudukan mereka di carta liga turun satu anak tangga (dari tangga ke-12), dan hanya dibezakan dua mata dari Newcastle United yang ketika ini berada di zon penyingkiran.

Agak merugikan selepas Marcus Rashford menjaringkan gol pendahuluan di babak pertama, gawang United akhirnya berjaya juga dibolosi lawan menerusi Adam Lallana ketika tempoh permainan sebenar berbaki lima minit sebelum ditamatkan. Selaku penjaring gol pendahuluan, keputusan seri yang dilakar United semalam pastinya sangat disesalkan Rashford. “Kami layak meraih tiga mata dalam perlawanan ini. Saya fikir mereka tidak cukup bagus untuk meraih walau satu mata pun. Tapi inilah bolasepak”, kata Rashford selepas tamat perlawanan.

Skema 3-5-2

Sepanjang permainan, saya sangat tertarik melihat bagaimana United melakukan pressing ke atas pemain lawan saat mereka kehilangan bola. Menerusi skema 3-5-2, United bukan sahaja cuba menguasai bahagian tengah tetapi mereka juga menggunakan Ashley Young dan Aaron Wan-Bissaka untuk membayangi setiap gerakan yang cuba dilakukan Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold dari sisi kanan dan kiri. Musim lalu pasangan bek sayap Liverpool ini muncul penyumbang terbesar bantuan gol menerusi 30 assist yang dilakukan mereka dalam semua peringkat kejohanan.

Jadi Solskjaer juga sangat sedar betapa pentingnya untuk beliau cuba meneutralkan Robertson dan Alexander-Arnold agar bekalan-bekalan hantaran yang ditujukan ke arah Roberto Firmino dan Sadio Mane dari sisi kanan dan kiri berjaya diminimakan. Strategi yang diterapkan Solskjaer boleh dianggap berhasil meskipun pada akhirnya Robertson berjaya juga mencipta assist yang disempurnakan Lallana untuk gol penyamaan. Assist yang dilakukan Robertson itu merupakan assist ke-14 dari beliau sejak musim lalu, sekaligus muncul pemain pertahanan paling banyak melakukan assist di Liga Perdana sejak musim 2018/19.

Faktor Old Trafford

Old Trafford nampaknya masih lagi gelanggang yang `kurang mesra’ untuk Jurgen Klopp. Sejak beliau dilantik selaku pengendali Liverpool pada 2015, Klopp nampaknya masih gagal membawa skuad The Reds itu menewaskan United di Old Trafford. Sejak kali terakhir Brendan Rodgers dan skuad bimbingan beliau menakluk markas United itu pada pada Mac 2014, enam kunjungan Liverpool ke Theatre of Dreams dalam saingan liga selepas itu berakhir dengan tiga keputusan seri dan tiga kekalahan.

Datang selaku pendahulu liga menerusi rekod sempurna yang dilakukan mereka dalam lapan aksi sebelum itu, satu mata yang mereka bawa pulang ke Anfield tentunya bukanlah keputusan yang diimpikan Klopp. Tambahan pula barisan kendalian beliau turut diperkuatkan menerusi kehadiran semula Alisson Becker dan Joel Matip. Manakala United pula yang berdepan isu prestasi selepas mereka tewas dua dari tiga aksi terakhir saingan liga turut hilang sentuhan Paul Pogba serta Luke Shaw dalam perlawanan ini.

Solskjaer vs Klopp

Meletakkan pencapaian Klopp dan Solskjaer sebagai perbandingan tentulah bukan tindakan yang adil. Di Jerman, Klopp sudah membina reputasi beliau menerusi kejayaan menamatkan dominasi Bayern Munich di Bundesliga bersama Borussia Dortmund. Di England pula, Klopp berjaya mengangkat kembali martabat Liverpool selaku pesaing serius kejuaraan liga selain berjaya mengemudi The Reds muncul juara Eropah musim lalu.  Bagaimana pula dengan Solskjaer? Satu-satunya kebanggaan beliau selaku pengendali ialah medal kejuaraan Tippeligaen dan Piala Norway bersama FK Molde selain juara Premier Reserves League bersama skuad simpanan United.

Meskipun jurang pencapaian serta pengalaman dua pengendali ini terlalu besar, Solskjaer nampaknya masih sukar dijinakkan Klopp kerana dua pertembungan membabitkan beliau dan warga Jerman itu berakhir dengan keputusan seri. Malah lima kunjungan Klopp ke Old Trafford dalam semua peringkat kejohanan kompetitif sejak beliau dilantik selaku pengendali Liverpool pada Oktober 2015 berakhir dengan empat keputusan seri dan satu kekalahan. Klopp boleh berkata apa sahaja tentang corak bertahan yang diamalkan United, tetapi dalam masa yang sama beliau juga sepatutnya lega kerana rekod tanpa kalah Liverpool dalam sembilan perlawanan masih lagi kekal.

Strategi Solskjaer

Anda dapat saksikan sepanjang 90 minit aksi perlawanan semalam bahawa Liverpool adalah kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United. Jadi sudah tentu satu mata yang berjaya dikutip selain kejayaan menamatkan rentetan lapan kemenangan berturut-turut Liverpool dalam saingan liga musim ini boleh membuatkan kita menarik sedikit nafas lega. Selaku kesebelasan underdog, United pada pandangan saya bermain sepertimana sebuah pasukan underdog sepatutnya bermain. Mereka bertahan dengan baik sepanjang perlawanan sambil sekali sekala cuba melakukan serang balas pantas.

Gol jaringan Rashford adalah berpunca dari gerakan counter attack, dan selepas itu mereka bertahan dengan sangat baik sebagai satu unit bagi mengekalkan pendahuluan tersebut selama 49 minit (sebelum Lallana menyamakan kedudukan diminit ke-85). United di bawah kendalian Solskjaer seringkali menampilkan aksi terpuji di babak pertama, menjaringkan gol dan kemudiannya masuk ke bilik persalinan selaku pendahulu di scoreboard. Semalam, `penyakit’ sama berulang lagi di mana mereka membenarkan lawan menjaringkan gol penyamaan tatkala peluang untuk meraih tiga mata penuh begitu hampir.

Sepanjang tempoh 22 minit, Klopp melakukan tiga pertukaran manakala Solskjaer pula kekal dengan strategi bertahan sambil mengharapkan gerakan-gerakan counter attack. Akibatnya, United mencatatkan peratusan penguasaan bola kedua paling rendah (32.1%) ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri sejak Mac 2018. Untuk rekod catatan penguasaan bola paling rendah yang pernah dilakukan United di gelanggang sendiri ialah 31.06%. Catatan itu dilakukan mereka ketika berdepan Liverpool pada 10 Mac 2018 yang menyaksikan barisan kendalian Jose Mourinho menang (2-1).

Penutup

Keputusan seri yang dilakar semalam bukanlah keputusan yang dimahukan Liverpool. Keputusan seri itu juga menyaksikan rekod kemenangan 100% mereka dalam saingan liga musim ini berakhir, jadi tidak hairanlah mengapa selepas tamat perlawanan Klopp sangat kecewa. Kekecewaan Klopp diluahkan beliau dengan menyindir gaya permainan United.  Menurut Klopp, United menggunakan pendekatan parkir bas selama 90 minit, taktik yang sering mereka gunakan selama ini terutamanya ketika berdepan Liverpool.

Saya tidak salah Klopp dalam hal ini, kerana sudah tentu keputusan di Old Trafford semalam bukanlah hasil yang beliau inginkan. Seperti yang saya sebutkan tadi, United adalah pasukan underdog meskipun mereka bermain di Old Trafford. Sebelum perlawanan tidak banyak harapan yang diletakkan penyokong untuk United melakukan kejutan kerana satu mata sudah memadai meskipun Liverpool hampir sahaja berjaya ditewaskan jika tidak kerana jaringan penyamaan Lallana di penghujung permainan.

Melihat kepada prestasi United dari lapan perlawanan mereka sebelum ini, satu mata yang berjaya dikutip ketika berdepan Liverpool cukup melegakan meskipun ia masih tidak cukup untuk mereka memperbaiki kedudukan di carta liga. Semoga satu mata itu menjadi turning point kepada kebangkitan United selepas ini meskipun ia bukanlah perlawanan yang sempurna seperti diinginkan Solskjaer. Seterusnya saya ingin melihat apa yang mampu dilakukan barisan Solskjaer di Carrow Road pada 28 Oktober nanti. Di Carrow Road, United wajib, itu pun jika Solskjaer mahu menyelamatkan kariernya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan