31 Mac 2021

ADAKAH `HURRIKANE' MAMPU BERTAHAN JIKA KEMARAU KEJUARAAN SPURS TERUS BERPANJANGAN?

 


Kelibat Sergio Aguero sah tidak akan dapat anda saksikan lagi dengan jersi biru Manchester City musim depan. Kemana destinasi beliau selepas ini pastinya menarik untuk kita nantikan kerana di luar sana sudah menanti beberapa kelab besar yang mahukan khidmatnya untuk diletakkan di jentera serangan mereka musim depan. Kini tinggal seorang lagi penyerang yang masa depannya masih menjadi teka teki dan sentiasa menjadi topik menarik untuk dibincangkan.

 

Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Harry Kane. Kehandalan Kane selaku `pemain nombor 9’ memang tidak perlu dipertikaikan. Ketajaman beliau dalam menyempurnakan peluang menyaksikan Kane sudah memenangi anugerah `Golden Boot’ di Liga Perdana sebanyak dua kali (2015/16 & 2016/17). Di pentas dunia pula, Kane merupakan penjaring terbanyak pada kejohanan Piala Dunia 2018 menerusi enam gol yang dihasilkannya di bumi Russia.

 

Itu pengiktirafan individu, tetapi bagaimana pula dengan pencapaian beliau dalam membantu Tottenham Hotspurs memenangi kejuaraan? Jawapannya…TIADA. Pencapaian paling tinggi yang pernah dilakar beliau dalam kariernya bersama Spurs ialah dua medal `runner up’ untuk kejohanan Piala Liga (2014/15) dan Liga Juara-Juara (2018/19). Sangat menyedihkan untuk seorang penyerang tengah yang dilabel antara yang terbaik di Eropah, Kane masih belum memenangi sebarang trofi kejuaraan pada usia beliau yang sudah mencecah 27 tahun.

 

Tidak dinafikan bahawa trofi antara penanda aras penting dalam karier seseorang pemain. Tidak kira sebagus manapun mereka, tanpa trofi kejuaraan tiada apa yang mampu untuk mereka banggakan selepas bersara nanti. Dan Kane tidak terkecuali meskipun beliau antara penyerang tengah yang memiliki reputasi hebat dalam dunia bolasepak ketika ini. Bukan mahu menidakkan kemampuan Spurs, tetapi secara peribadi sukar membayangkan bahawa Kane mampu memenangi medal kejuaraan `major’ bersama kelab yang sudah kemarau kejuaraan selama 13 tahun.

 

Ketika kali terakhir Spurs berada di podium kejuaraan ialah menerusi kejayaan mereka menewaskan Chelsea di pentas final Piala Liga edisi 2008. Ketika Ledley King menjulang trofi tersebut kira-kira 13 tahun lalu, Kane pula cumalah seorang remaja yang sedang bergelut membuktikan kemampuan dirinya bersama skuad U-16 Spurs. Selepas itu tiada lagi mana-mana kapten Spurs yang diberikan penghormatan untuk menjulang trofi kejuaraan meskipun kini mereka memiliki penggempur sehebat Kane yang sudah meledak 215 gol dari 327 penampilannya.

 

Mungkin saranan Jermain Defoe, antara tonggak yang membantu Spurs menjulang kejuaraan Piala Liga pada 2008 wajar diberikan perhatian oleh Kane. “Jika anda bertanyakan hal ini kepada saya beberapa tahun lalu, maka saya akan katakan bahawa dia (Kane) sepatutnya kekal bersama Spurs. Melihat sumbangannya selama ini untuk kelab, dia adalah legenda. Bagaimanapun anda perlu memenangi kejuaraan, kerana selain dari itu anda akan dinilai tidak cukup bagus”.

 

“Anda akan merasakan sesuatu yang luar biasa jika memenangi kejuaraan. Saya harap jika dia mahukannya (memenangi kejuaraan), dia patut melakukan lebih awal. Jika Kane mahu memenangi trofi, dia patut pergi dari sana”, kata Defoe kepada Talksport. Ketika ini Kane hangat dikaitkan dengan perpindahan dari kota London, dan di England, dua kelab dari Manchester antara disebut-sebut prospek kesebelasan yang bakal disertai Kane musim depan.

 

Jika anda tanyakan kepada saya, sudah tentu saya mahukan penyerang yang memiliki reputasi dan kualiti sebagus Kane menyertai United musim depan. Selain daripada itu, peluang bekerjasama semula dengan Mauricio Pochettino atau menyertai kesebelasan seperti Real Madrid juga antara tarikan yang mungkin boleh membawa Kane keluar dari tanah Inggeris buat pertama kali dalam kariernya. Kelab mana yang tidak mahukan penyerang tengah seperti Kane, bakat istimewa England yang muncul selepas berakhirnya era Wayne Rooney.

 

Sejak berusia 20 tahun lagi, Kane sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliaulah bakal calon penggempur utama England suatu hari nanti. Pada musim pertama Pochettino bersama Spurs, Kane meledak 31 gol dari 51 penampilan dalam semua peringkat kejohanan. Bukan jumlah gol yang mengagumkan saya, tetapi lebih kepada faktor bagaimana beliau mampu menjelma menjadi penyerang handalan Spurs meskipun terpaksa bersaing dengan Roberto Soldado dan Emmanuel Adebayor yang jauh lebih berpengalaman.

 

Jika dilihat kepada penampilan Kane tujuh tahun lalu, anda mungkin akan terkejut berbanding dengan apa yang dilakukannya sepanjang menjalani tempoh pinjaman bersama Leyton Orient, Milwall, Norwich City dan Leicester City. Bersama Leicester, kelab terakhir yang menggunakan khidmatnya sebelum beliau pulang ke pangkuan Spurs, Kane cuma meledak dua gol dari 15 penampilan.  Untuk rekod pada musim 2012/13, Leicester beraksi di Liga Kejuaraan.

 

Meskipun statistik jaringan beliau pada usia remaja tidak sebagus mana, tetapi jurulatih-jurulatih di akademi Spurs menyedari potensi besar yang dimiliki Kane. Pernah dilabel `tidak memiliki tubuh seorang atlit’, kekuatan utama Kane dari kacamata Les Ferdinand ialah keyakinan dirinya yang cukup tinggi. “Bagi saya, kualiti yang menjadikan dia pemain muda berbakat adalah keyakinan dirinya yang tinggi. Dia pemain yang sangat individual dan tahu meletakkan dirinya di posisi yang tepat”, kata Ferdinand kepada Telegraph pada 2014.

 

Sebagai penyerang tengah, Kane berjaya beradaptasi dengan baik dalam era bolasepak moden. Beliau bukanlah tipikal penyerang tengah yang cuma menanti hantaran rakan di dalam petak penalti lawan. Bersama Spurs, Kane kerap turun jauh ke bawah bagi mendapatkan bola, bergerak ke sebelah sisi kanan dan kiri, mencipta dan mendapatkan ruang untuk dirinya menembusi benteng pertahanan lawan. Menurut David Pleat pula, Kane penyerang yang istimewa kerana  memiliki sepasang kaki yang kuat.

 

“Satu hal yang istimewa tentang Harry Kane ialah dia memiliki sepasang kaki yang kuat. Dia tidak bergantung kepada hanya satu kaki untuk menjaringkan gol. Beritahu saya berapa ramai penyerang yang mahir menggunakan kedua-dua kakinya. Kane boleh menjaringkan gol dengan kaki kanan mahupun kiri. Begitu juga dengan kamampuan dia melakukan hantaran. Dia akan bergerak dari zon yang lebih dalam kerana dia memiliki kelajuan untuk melakukannya. Ia sesuatu yang dia belajar dari jurulatihnya dan dia melakukannya dengan sangat baik”, kata Pleat.


Musim ini Spurs berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan selepas skuad kendalian Jose Mourinho itu mara kefinal Piala Liga menerusi kejayaan mereka menundukkan Brentford di separuh akhir. Piala Liga adalah satu-satunya jalan yang tinggal dalam percubaan terakhir Spurs mengekalkan Kane di Utara London. Atau aksi final Piala Liga kali ini bakal menjadi `upacara’ perpisahan paling tepat jika Kane mengintai peluang menyertai kelab lebih besar, yang mampu menawarkan beliau untuk memenangi kejuaraan lebih besar berbanding Piala Liga?

 

Beliau masih belum mencapai puncak kariernya sebagai pemain, tetapi sudah menjaringkan 264 gol sepanjang karier profesionalnya setakat ini. Kane mungkin mampu menjaringkan sehingga 500 gol untuk Spurs jika beliau kekal bersama The Lilywhites sepanjang kariernya, tetapi sepuluh tahun dari sekarang Kane akan lebih dikenang sebagai pemain yang lebih hebat jika ada trofi kejuaraan yang mampu beliau menangi. Adakah Spurs boleh merealisasikan impian Kane? Jika jawapannya tidak, maka beliau harus pergi…Glory Glory Manchester United!!!



28 Mac 2021

UNITED `KELIRU' KETIKA MEREKA MEREKRUT DONNY VAN DE BEEK?

 



Kedatangan Donny Van de Beek pada Ogos tahun lalu merupakan satu berita gembira buat penyokong-penyokong United. Melihat apa yang sudah beliau lakukan ketika bersama Ajax, kehadiran Van de Beek memberikan kita harapan untuk melihat perubahan yang lebih besar kepada jentera tengah United. Kreativiti dan visi permainan yang tinggi, itulah yang ditawarkan Van de Beek, kerana United memang perlukan seorang pemain seperti beliau bagi membantu Bruno Fernandes di bahagian tengah.

 

Ketika komitmen Paul Pogba kepada kelab mula diperdebatkan, Van de Beek adalah rekrut baharu yang diharap mampu menggantikan tempat pemenang medal Piala Dunia itu jika Pogba memilih meninggalkan Old Trafford. Bagaimanapun realitinya tidak begitu, kerana nilai £35 juta yang dibelanjakan United bagi mendapatkan khidmat Van de Beek dari Ajax seperti sia-sia. Dari prospek hangat untuk membentuk gandingan bersama Bruno Fernandes, Van de Beek antara muka yang sering disisihkan Ole Gunnar Solskjaer dari kesebelasan utama skuadnya.

 

Berbanding Van de Beek, musim ini Solskjaer lebih gemar menurunkan kombinasi Bruno Fernandes/Fred/Scott McTominay atau Paul Pogba selaku penggerak jentera tengah United, jadi mungkin juga ada benarnya tentang laporan yang mengatakan bahawa Solskjaer tidak pernah berniat menandatangani pemain antarabangsa Belanda itu dari Ajax Amsterdam musim panas lalu. Kurangnya minit permainan dan gagal bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama United adalah satu mimpi ngeri buat karier pemain berbakat ini di England.

 

Di Belanda sendiri, sudah kuat kedengaran suara-suara yang mahukan agar Van de Beek meninggalkan Old Trafford musim panas nanti. Marco Van Basten, Rafael Van der Vaart serta adik beradik Frank dan Ronald de Boer mencadangkan agar Van de Beek mencari kelab baharu sama ada menerusi perpindahan tetap atau pinjaman bagi menyelamatkan posisinya dalam skuad kebangsaan. Situasi kelam yang beliau alami di Old Trafford ini sebenarnya juga bakal merosakkan peluang Van de Beek untuk beraksi di kejohanan Euro 2021 atau Piala Dunia 2022 di Qatar.

 

Saya tertarik dengan pandangan yang dilemparkan Ian Wright, yang juga merupakan legenda Arsenal tentang situasi sukar dialami Van de Beek sejak perpindahannya ke Old Trafford pada musim panas lalu. Menurut Wright, Van de Beek bukanlah seorang pemain yang mampu memberikan perbezaan kepada corak permainan United. Skema permainan berbeza yang diterapkan United berbanding Ajax antara faktor utama mengapa Van de Beek kerap disisihkan Solskjaer dari kesebelasan utamanya musim ini.

 

Kebenarannya memang begitu, kerana corak permainan United tidak berteraskan kepada penguasaan bola sepertimana yang dipamerkan Ajax terutamanya ketika mereka di bawah kendalian Frank de Boer. “Berkenaan Donny Van de Beek, kita sebenarnya bercakap tentang seorang pemain yang sejak usia 8 tahun sudah berada di Ajax. Kekuatan dia dibina menerusi permainan berteraskan penguasaan bola. Dia pemain yang sangat bagus, tetapi bagaimana dia boleh memberikan pengaruh kepada United yang mengamalkan corak permainan berbeza?, kata Wright.

 

Dalam komentar beliau di Inside Football itu juga Wright menambah, “Bagaimana dia masuk ke dalam skuad dan boleh memberikan perbezaan? Saya menyaksikan dia bermain dalam beberapa perlawanan, dimana dia sudah mencuba di beberapa ruang untuk memberikan sumbangan. Bagaimanapun United bukan pasukan yang cenderung menguasai bola dan itu menyebabkan dia sukar bergerak dan memainkan peranannya”. Rumusan dari komentar Wright, akhirnya seperti yang dapat anda lihat, Van de Beek cuma bermain selama 311 minit dalam saingan liga setakat ini.

 

Kecederaan yang dialaminya mengakibatkan Van de Beek tidak diturunkan dalam kempen kelayakan Piala Dunia Belanda ketika mereka berdepan Turki. Dalam aksi menentang Latvia pula, beliau cuma melakukan penampilan selama 11 minit selaku pemain gantian. Agak malang melihat pemain berbakat seperti Van de Beek yang pada awalnya begitu percaya bahawa beliau boleh membantu United memenangi kembali trofi kini semakin beransur-ansur hilang dari pandangan. “Saya akan memberikan segalanya kepada kelab dan berharap kami mampu memenangi kejuaraan”, kata Van de Beek pada Ogos lalu.

 

Ruud Van Nistelrooy merupakan inspirasi terbesar beliau yang mendorong Van de Beek berpindah ke Old Trafford, tetapi dengan situasi terkini, sukar nampaknya untuk beliau menjejak legasi yang ditinggalkan `The Flying Dutchman’ bersama skuad The Red Devils. Mungkin keputusan Solskjaer yang jarang menurunkan Van de Beek boleh dipersoalkan. Tetapi persoalan paling besar ialah adakah United memang benar-benarkan perlukan beliau ketika mereka membayar wang sebanyak £35 juta kepada Ajax pada Ogos lalu?

 

Pada awalnya saya mendambakan bahawa Van de Beek akan bermain bersama skuad utama setiap minggu, memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera tengah United serta melakukan hantaran-hantaran berkualiti yang mampu disudahkan rakan-rakan dibarisan hadapan. Bagaimanapun hakikatnya tidak berlaku seperti yang saya impikan. Jadi persoalan paling besar yang sering bermain di fikiran saya, kenapa kelab membelanjakan wang sebanyak itu jika mereka hanya mahukan Van de Beek sekadar menjadi penonton di luar padang? Glory Glory Manchester United!!!


26 Mac 2021

KUALITI SUDAH TERBUKTI, `FREE AGENT'...KENAPA UNITED TIDAK CUBA DAPATKAN AGUERO?



Sebagai penyokong Manchester United, anda mungkin membenci beliau. Tetapi dalam masa yang sama sebagai peminat bolasepak, anda juga sepatutnya mengagumi bakat serta kebolehan beliau selaku antara penjaring gol ulung. Saya `tidak pernah menyukai’ Kun Aguero, terutama setiap kali berlangsungnya Manchester Derby, kerana pemain inilah antara pemain City yang sering memberikan masalah kepada benteng pertahanan United.

 

`Luka’ ketika beliau meledak gol ke gawang Queens Park Rangers di masa kecederaan pada Mei 2012 masih terasa, kerana gol kemenangan itulah City akhirnya berjaya menyingkirkan United dari perebutan kejuaraan liga hanya menerusi kelebihan jaringan gol. Itulah kelebihan Aguero, seorang penyerang prolifik yang bijak menghidu dan mampu menukar sebarang peluang kepada jaringan gol ketika berada di bawah tekanan dalam petak penalti lawan.

 

Baru-baru ini ada laporan yang mengatakan bahawa Aguero bakal meninggalkan Stadium Etihad musim panas nanti. Jika laporan ini benar, Aguero boleh menyertai mana-mana kelab selaku `free agent’ kerana kontraknya bersama City akan tamat pada Jun nanti. Aguero sudah berusia 32 tahun, tetapi hakikat yang perlu kita akui ialah beliau masih lagi penyerang yang tajam dan menakutkan di Liga Perdana meskipun penampilannya musim ini terbatas kerana mengalami kecederaan.

 

Perkembangan Aguero di Stadium Etihad menarik perhatian banyak kelab, terutamanya pesaing City di Liga Perdana. Kelab Liga Perdana mana yang tidak mahukan Aguero, penyerang yang sudah menempa namanya selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman City, dan penyerang yang sudah menjaringkan lebih 400 gol sepanjang karier profesional beliau. Manakala di Sepanyol pula, kelibat Aguero antara lima pemain yang turut berada dalam radar Joan Laporta untuk beliau bawa masuk ke Camp Nou musim panas nanti.

 

Ketika United masih tercari-cari seorang penggempur yang mampu meningkatkan daya serang di barisan hadapan mereka, Aguero antara pemain yang boleh kelab pertimbangkan untuk mereka tandatangani. Tambahan pula dengan kemungkinan bahawa Edinson Cavani lebih berminat pulang ke benua Amerika Selatan berbanding kekal beraksi di England. Saya lebih tertarik dengan prospek penggempur yang lebih muda seperti Erling Haaland atau Harry Kane, tetapi Aguero tetap sasaran yang mengujakan berdasarkan reputasi dan pengalaman beliau dalam kancah bolasepak England.

 

Di England, kemampuan Aguero selaku antara penggempur terbaik pernah disaksikan aksinya di Liga Perdana sudah terbukti. 257 gol dari 384 penampilan untuk kesebelasan `The Citizens’ dalam semua peringkat kejohanan adalah jawapan terbaik mengapa Thomas Tuchel juga turut mengintai peluang untuk meletakkan bintang antarabangsa Argentina ini di barisan hadapan skuadnya musim depan. Tambahan pula Chelsea juga tidak perlu membayar sesen pun kepada City untuk mendapatkan seorang penyerang berkualiti seperti Aguero.

 

Jika mengambilkira kata-kata Aguero sebelum ini bahawa beliau mahu terus kekal beraksi di England, United dan Chelsea atau mana-mana kelab Inggeris yang berminat memiliki peluang lebih besar mendapatkan khidmat beliau. Anda boleh membenci Manchester City kerana mereka adalah `jiran yang bising’, tetapi dalam masa yang sama anda juga terpaksa mengakui bahawa antara faktor kejayaan mereka menjulang empat kejuaraan liga dalam tempoh lapan tahun turut dibantu ketajaman seorang penyerang yang cukup prolifik seperti Aguero. 

 

Kualiti penyudah Aguero tidak perlu diperdebatkan, penyerang yang pernah dilabel Micah Richards sebagai memiliki ketenangan luar biasa ketika bola berada di kakinya. Merekrut seorang pemain dari kelab `rival’ bukanlah satu dosa besar, kerana United pernah melakukannya ketika mereka menandatangani Eric Cantona, Rio Ferdinand dan Alan Smith dari Leeds United. Jika sudah begitu, tiada pengecualian juga untuk Sergio `Kun’ Aguero, seorang penyerang yang kualitinya tidak perlu kita ragui pada `tandaharga percuma’. Glory Glory Manchester United!!!



24 Mac 2021

"HIDUPNYA CUMA UNTUK MENJARINGKAN GOL"

 


Ruud Van Nistelrooy, salah seorang penggempur hebat yang pernah anda saksikan aksinya di Old Trafford. Tiada keraguan bila anda bercakap tentang instinct dan ketajaman penyudah beliau ketika berada di dalam kotak penalti lawan. Jadi tidak hairanlah mengapa pada 2001, Fergie melakukan perjudian besar dengan merekrut RVN dari PSV Eindhoven meskipun beliau baru pulih dari kecederaan lutut. 150 gol dari 219 penampilan beliau untuk United, dan itu berlaku dari 2001 hingga 2006.

 

Ratio 0.7 gol bagi setiap perlawanan sepanjang lima musim menyarung jersi United adalah angka yang sangat menakjubkan bagi seorang penyerang seperti beliau. RVN antara contoh `baka poacher’ yang pernah mewarnai pentas bolasepak dunia suatu ketika dahulu menerusi ketajaman dan reaksi beliau ketika berada di hadapan gawang lawan serta sangat klinikal dalam menyempurnakan sebarang peluang dari pelbagai sudut atau situasi. Ringkasnya, `poacher’ seperti beliau adalah mimpi ngeri buat mana-mana penjaga gol lawan.

 

Jadi tidak hairanlah juga dari begitu ramai penyerang-penyerang yang pernah beraksi untuk United, nama RVN masih kuat melekat dalam ingatan penyokong-penyokong The Red Devils dan kekal dirindui penampilannya hingga ke hari ini meskipun sudah lebih sembilan tahun beliau bersara. Dan dari kalangan penyerang-penyerang yang pernah beraksi untuk United juga, Paul Scholes memilih RVN sebagai penyerang terbaik yang pernah beraksi bersama beliau.

 

Saya pernah bermain sebagai `pemain nombor 10’ dengan Ruud untuk satu musim. Saya betul-betul menyukainya. Dia seorang penjaring gol yang ganas, betul-betul ganas. Agaknya dia memang hidup untuk menjaringkan gol”, kata Scholes kepada UTD Podcast. Ketika perseteruan antara United dan Arsenal sedang memuncak ketika itu, persaingan antara RVN dan Thierry Henry bagi membuktikan siapa penggempur terbaik di Liga Perdana juga tidak dapat dielakkan.

 

“Setiap kali Ruud berjaya menjaringkan gol atau tidak dalam satu-satu perlawanan, perkara pertama yang dia akan lakukan ketika menaiki bas selepas tamat perlawanan ialah bertanyakan sama ada Henry menjaringkan gol atau tidak. Jika Henry menjaringkan gol, dia tidak akan bercakap dengan sesiapapun sepanjang perjalanan pulang kerana motivasinya ialah dia ingin menjadi penjaring gol terbanyak. Bukan hanya untuk United tetapi di liga dan di mana sahaja”.

 

Pada musim 2002/03, RVN mengatasi Henry untuk muncul selaku penjaring terbanyak liga menerusi 25 gol yang beliau ledak, satu gol mengatasi legenda Arsenal itu. Menurut Scholes lagi, RVN merupakan penyerang terbaik yang pernah menjadi rakan sepasukannya di United. “Saya suka dengan cara dia menyudahkan peluang. Di United, saya pernah bermain dengan beberapa penyerang tengah. Ada Cole, Yorke, Sheringham, Solskjaer, Van Persie dan banyak lagi. Tapi bagi saya Ruud adalah `finisher’ terbaik”.

 

Glory Glory Manchester United!!!



22 Mac 2021

HARGA YANG JAUH LEBIH MURAH...INILAH ALTERNATIF KEPADA JADON SANCHO

 


Spekulasi tentang masa depan Jadon Sancho masih lagi kekal menjadi topik bualan hangat penyokong-penyokong Manchester United. Keterujaan mereka untuk melihat Sancho menyarung jersi United tidak pernah padam meskipun perpindahan pemain itu ke Old Trafford gagal direalisasikan musim panas lalu. Tanda harga yang diletakkan Borussia Dortmund ke atas pemain itu menjadi tembok penghalang kepada usaha United untuk membawa Sancho pulang semula ke England.

 

Jika harga yang diletakkan Dortmund ke atas Sancho terlalu mahal, masih ada alternatif lain di luar sana yang boleh difikirkan sesuai sebagai pengganti dan salah seorangnya ialah Pedro Goncalves. Sama seperti Bruno Fernandes, Pedro juga beraksi untuk Sporting Lisbon. Dan apabila bercakap tentang Sporting Lisbon, ia tentunya bukanlah asing bagi United kerana kerjasama antara dua kelab ini menyaksikan skuad bergelar `Verde e brancos’ itu pernah melepaskan pemain-pemain terbaik mereka ke Old Trafford.

 

Dalam tempoh 17 tahun, anda sudah melihat empat perpindahan pemain dari Estadio Jose Alvalade ke Old Trafford, bermula dengan perpindahan sensasi Cristiano Ronaldo sebagai perintis, kemudian diikuti dengan Nani, Marcos Rojo dan terbaharu tentunya Bruno Fernandes. Manakala Liga Primeira Portugal pula nampaknya seperti medan yang sangat digemari United untuk mereka berbelanja kerana secara keseluruhannya di era Liga Perdana, mereka sudah menandatangani lapan pemain dari kelab yang beraksi di liga Portugal.

 

Selepas Ronaldo, Nani, Marcos Rojo dan Bruno, adakah anda bakal menyaksikan seorang lagi pemain dari Sporting Lisbon `terbang’ melintasi Lautan Atlantik demi mengejar sebuah kemasyuran dalam karier mereka? Secara peribadi, Pedro Goncalves adalah sasaran yang lebih realistik bebanding percubaan United mendapatkan tandatangan Sancho. Dari sudut kualiti, tanda harga dan hubungan yang sudah terbina antara United dan Sporting, Pedro adalah alternatif paling realistik jika Ole Gunnar Solskjaer terfikir untuk menghentikan pemburuan beliau ke atas Sancho.

 

Dari segi prestasi semasa pula, Pedro menikmati tempoh paling sensasi bersama Sporting musim ini apabila 15 gol yang sudah diledaknya menerusi 21 penampilan meletakkan beliau selaku penjaring terbanyak di Liga Primeira. Apa yang dilakukan Pedro musim ini juga sebenarnya sangat menarik, apabila kesemua 15 gol yang dijaringkan beliau adalah menerusi permainan terbuka. Fleksibiliti Pedro di atas padang merupakan satu nilai tambah kepada permainannya selain kemampuan beliau dalam menghasilkan gol, sama ada menerusi peranannya sebagai pemain tengah menyerang (AMC), pemain tengah (MC) atau ketika diarahkan untuk bergerak di sebelah sisi.

 

Penampilan Pedro dan Bruno memang sering dijadikan perbandingan, apatah lagi Bruno sendiri merupakan bekas pemain Sporting. Memang terdapat sedikit kemiripan dalam gaya permainan dua pemain ini, tetapi Bruno pemain tengah yang lebih kreatif berbanding Pedro jika jumlah assist mahu dijadikan perbandingan. Setakat ini Pedro cuma mencipta tiga assist berbanding tujuh yang dihasilkan Bruno dari 17 penampilan terakhirnya untuk Sporting sebelum beliau berhijrah ke Old Trafford pada Februari tahun lalu.

 

Jika assist dijadikan ukuran, Pedro juga bukanlah pemain tengah yang memiliki kreativiti sebagus Bruno, tetapi sebaliknya anda patut melihat pula kepada `conversion rate’ beliau. Sebelas gol pertama yang dijaringkan Pedro musim ini untuk Sporting dilakukan beliau hanya menerusi 26 percubaan atau peratus `conversion rate’ beliau mencapai angka 42%. Jika beliau bergerak di sebelah sisi pula, Pedro bukanlah jenis pemain yang Ruben Amorim letakkan untuk beliau mencipta peluang kepada rakan sepasukan, tetapi lebih kepada untuk mencari ruang dan menjaringkan gol.

 

Jika memang benar ada minat United terhadap Pedro, kehadirannya bakal meringankan beban yang dipikul Bruno di zon tengah. Apa yang boleh anda bayangkan selepas kehadiran Pedro nanti ialah Bruno akan lebih fokus dalam peranannya untuk mencipta peluang kepada rakan sepasukan di bahagian hadapan berbanding penyumbang gol utama United sepertimana yang berlaku sekarang. Kehadiran Pedro bakal melengkapkan kekurangan United, iaitu pemain yang mampu menjaringkan banyak gol dalam situasi permainan terbuka. Glory Glory Manchester United!!!




16 Mac 2021

DARI `BARANG YANG TIDAK DIGUNAKAN MOURINHO' KEPADA PEMAIN YANG TIDAK TERGANTIKAN TEMPATNYA DALAM KESEBELASAN UNITED

 


Beliau pernah mengalami kecederaan serius (patah kaki) akibat dari terjahan keras yang dilakukan Hector Moreno pada 2015 dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Komplikasi dari kecederaan tersebut, Shaw kemudiannya terpaksa menjalani dua pembedahan yang menyaksikan beliau terpaksa berehat panjang dan hampir meranapkan kariernya sebagai pemain. Bagaimanapun selepas pulih, Shaw terpaksa bergelut dengan prestasi hingga pada satu tahap, karier beliau bersama United diramal bakal berakhir.

 

Pada Oktober 2017, Shaw cuma beraksi selama tiga minit ketika United berdepan Swansea City dalam saingan Piala Liga sekaligus mengundang spekulasi bahawa kelab bakal melepaskan beliau pada jendela perpindahan bulan Januari. Kritikan secara terbuka yang dilontarkan Mourinho atas prestasi beliau, serta `konfrontasi senyap’ dengan pengendali Portugal itu menyebabkan tempat Shaw dalam kesebelasan United kian tersisih. Bagaimanapun ramalan tersebut meleset, dan Shaw masih kekal di Old Trafford.

 

Pada Mac 2018, Mourinho sekali lagi melepaskan `tembakan’ beliau ke arah Shaw meskipun United menang 2-0 ketika berdepan Brighton dalam saingan Piala FA. Mourinho berang dengan penampilan United yang beliau sifatkan sebagai tidak cukup bagus meskipun mereka mara ke peringkat separuh akhir. Ketika ditanya wartawan tentang keputusan beliau mengeluarkan Shaw, Mourinho menjawab ringkas, “Dengan Luke di separuh masa pertama, lawan memberikan ancaman menerusi hantaran lintang mereka. Saya tidak gembira dengan prestasi dia”.

 

Situasi Shaw berubah selepas kedatangan Ole Gunnar Solskjaer dan beliau mula menikmati peranannya di sisi kiri pertahanan United. Persaingan di posisi tersebut musim ini menerusi kehadiran Alex Telles juga antara faktor yang membantu peningkatan prestasi Shaw. Bermula dari gol pertama yang beliau hasilkan ketika berdepan Leicester City pada Ogos 2018, Shaw kini menjelma antara watak penting dan pemain yang tidak tergantikan tempatnya dalam kesebelasan utama United selain Bruno Fernandes.

 

Musim lalu, Shaw hanya mampu melakukan purata 0.8 key passes dalam setiap perlawanan, tetapi musim ini ratio tersebut meningkat kepada 2.1. Atau lebih tepatnya dalam setiap perlawanan liga musim ini, beliau mampu mencipta lebih dari 2 key passes. Peranan Shaw sebagai bek sisi memang menuntut untuk beliau melakukan banyak hantaran-hantaran lintang ke arah petak penalti lawan, dan itulah yang dapat anda lihat musim ini. Musim lalu, Shaw cuma mampu melepaskan 38 hantaran lintang tetapi jumlah tersebut meningkat tiga kali ganda musim ini.

 

Dari 25 penampilan beliau di Liga Perdana musim ini, Shaw sudah melepaskan 135 hantaran lintang ke dalam petak penalti lawan di mana lima daripadanya berakhir sebagai bantuan gol. Manakala gol yang beliau jaringkan dalam aksi Manchester Derby pada 7 Mac lalu merupakan gol pertama yang dihasilkan Shaw di saingan liga dalam tempoh 31 bulan. Penampilan beliau dalam aksi Manchester Derby antara contoh terbaik peningkatan Shaw dari pemain yang hampir terbuang kepada tonggak penting di benteng pertahanan United.

 

Jika Aaron Wan-Bissaka tampil cemerlang meneutralkan ancaman Raheem Sterling di sebelah kanan pertahanan United, apa kurangnya dengan prestasi yang dipamerkan Shaw dalam perlawanan itu. Sepanjang perlawanan beliau berjaya merantai pergerakan Riyad Mahrez hingga memaksa City lebih banyak melakukan gerakan-gerakan di bahagian tengah. Musim ini merupakan musim terbaik Shaw sejak beliau menyertai United pada 2014, tetapi musim 2018/19 boleh dianggap sebagai turning point kepada kebangkitan beliau.

 

Kekuatan mental beliau untuk bangkit dari kecederaan serius yang dialaminya pada 2015 dan penurunan prestasi pasca insiden ngeri tersebut wajar diberikan pujian. Musim 2018/19 menyaksikan Shaw berjaya merebut semula posisinya selaku pilihan pertama di sisi kiri pertahanan United dari Ashley Young, veteran yang pada awalnya sering menjadi pilihan utama Mourinho. Penampilan cemerlang beliau menyaksikan Shaw dinamakan selaku pemain terbaik United bagi musim tersebut.

 

Musim ini Shaw tidak lagi menoleh ke belakang, beliau masih lagi menjadi pilihan utama di sisi kiri pertahanan United meskipun kelab menandatangani Alex Telles dari FC Porto pada Oktober lalu. Jika musim 2018/19 boleh dilabel sebagai musim kebangkitan Shaw, musim ini pula penampilan beliau benar-benar luarbiasa. Tatkala penyokong-penyokong United masih bercakap tentang Patrice Evra yang masih tiada penggantinya, prestasi terpuji Shaw pula datang pada masa yang tepat.

 

Ketika penyokong-penyokong United menyambut gembira kedatangan Telles yang dilabel mereka bakal menguasai posisi bek kiri United, Shaw pula menjadikan kehadiran pemain Brazil itu sebagai sumber motivasinya. Jika anda di antara anda yang masih bercakap bahawa aksi Manchester Derby merupakan penampilan terbaik Shaw musim ini, jangan lupakan juga penampilan beliau ketika United menewaskan Fulham di Craven Cottage pada 18 Januari lalu.

 

Paul Pogba muncul wira dalam perlawanan itu menerusi gol kemenangan yang dihasilkannya, tetapi penampilan Shaw benar-benar mengagumkan. Sepanjang perlawanan, Shaw melepaskan tujuh hantaran silang dan mencipta dua peluang jaringan gol. Jumlah ini merupakan yang terbanyak berbanding mana-mana pemain United yang beraksi dalam perlawanan itu. Tiga hari sebelum itu, penampilan cemerlang Shaw di Anfield menyaksikan Mohamed Salah gagal melepaskan sebarang percubaan on target ke arah David de Gea.

 

Dan sepertimana Raheem Sterling yang gagal melepasi kawalan Aaron Wan-Bissaka pada aksi Manchester Derby, Salah juga menerima nasib yang sama apabila beliau gagal melakukan sebarang dribble dalam usahanya melepasi kawalan Shaw. Selain melakukan kerja-kerja bertahan, Shaw juga sangat efektif membantu serangan, dan salah satunya apabila umpanan beliau kepada Bruno Fernandes di babak kedua berjaya diselamatkan Alisson Becker.

 

Kini anda boleh melihat kesabaran kelab terhadap beliau sudah mula membuahkan hasil. Wang £30 juta yang dibelanjakan United tujuh tahun lalu bagi membawa Shaw keluar dari St Mary merupakan nilai yang sangat berbaloi jika diukur kepada prestasi semasa beliau. Sekurang-kurangnya setiap kritikan yang dilemparkan Mourinho terhadap prestasi beliau empat tahun lalu sudah dijawab Shaw menerusi peranan dan penampilan cemerlang yang dimainkannya sebagai bek sisi United dalam tempoh dua musim terakhir.

 

Dari pemain yang pernah dilabel sebagai `barang yang tidak dimahukan Mourinho’, Shaw mengalami perubahan dramatik terutamanya dalam kualiti permainan beliau. Kedatangan Solskjaer pula seolah-olah memberikan `nyawa baharu’ kepada karier Shaw dan kini anda dapat melihat Luke Shaw dalam bentuk fizikal dan mental beliau yang jauh lebih baik. Adakah penampilan cemerlang Shaw musim ini satu isyarat darinya bahawa beliau sudah melepasi masa-masa sukar dalam kariernya? Atau anda mungkin sudah boleh mula move on dari terus membayangkan kelibat Patrice Evra? Glory Glory Manchester United!!!



12 Mac 2021

JOHN `THE FIXER' MURTOUGH...DoF PERTAMA DI OLD TRAFFORD

 


Manchester United akhirnya `menemui jalan yang benar’ selepas mereka mengumumkan perlantikan John Murtough sebagai Pengarah Bolasepak atau Director of Football (DoF) kelab. Meletakkan seorang DoF dalam hierarki pengurusan kelab merupakan langkah yang sepatutnya sudah lama United ambil dalam menangani cabaran pengurusan bolasepak moden. Tidak cukup dengan itu, berita gembira ini turut disusuli dengan perlantikan Darren Fletcher selaku Pengarah Teknikal.

 

Berbanding Fletcher yang memang sudah kita ketahui merupakan bekas pemain dan legenda kelab, siapa sebenarnya John Murtough ini? Nama Murtough sebenarnya bukanlah terlalu asing buat penyokong-penyokong United kerana pada 2013 beliau antara individu yang ada dalam pasukan staf kejurulatihan David Moyes ketika beliau dilantik selaku pengganti Sir Alex Ferguson. Di Goodison Park pula, Murtough merupakan bekas Ketua Akademi Everton dan juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Program Prestasi Tinggi Liga Perdana.

 

Meskipun jodoh Moyes bersama United tidak sampai semusim, Murtough bagaimanapun terus kekal di Old Trafford menerusi tugasnya sebagai Ketua Pembangunan Bolasepak United. Apa yang dilakukan Murtough sebelum beliau dilantik sebagai DoF pertama United? Murtough merupakan individu yang dipertanggungjawabkan bagi mengstruktur semula akademi United dan juga pencetus kepada wujudnya skuad wanita pada 2018. Jadi dengan segala pengalaman yang dimilikinya, beliau akhirnya melakar sejarah selaku DoF pertama kelab.

 

Kurang kompetennya Ed Woodward setiap kali bursa perpindahan pemain dibuka memacu tekanan dari penyokong-penyokong United yang mahukan agar kelab meletakkan seorang DoF dalam hierarki pengurusan mereka. Sebelum Murtough, sudah ada beberapa nama yang dicanangkan bakal mengisi jawatan tersebut, dan diantaranya ialah Edwin Van der Sar, Ralph Ragnick dan Luis Campos. Bagaimanapun kelab melihat Murtough sebagai calon yang lebih relevan memandangkan beliau sudah berada di Old Trafford dan terlibat dalam projek pembangunan kelab selama lebih tujuh tahun.

 

Faham dengan struktur yang cuba dibina dan budaya bolasepak United, Murtough memiliki kelebihan berbanding calon-calon yang saya sebutkan di atas. Kemampuan beliau dalam menganalisa potensi seseorang pemain banyak membantu Murtough ketika melakukan rundingan bagi mendapatkan pemain baharu. Sejak persaraan Fergie pada 2013, rata-rata pembelian yang dilakukan kelab dalam bursa perpindahan pemain menjadi bahan kritikan.

 

Bagaimanapun seiring dengan ketibaan Ole Gunnar Solskjaer pada penghujung 2018, Murtough turut diberikan tanggungjawab untuk melakukan pembaharuan dan memperbaiki struktur serta polisi kelab dalam urusan pengambilan pemain baharu. Apa yang berlaku selepas itu, anda dapat melihat Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka, Daniel James, Bruno Fernandes, Alex Telles, Edinson Cavani, Facundo Pellistri dan Amad Diallo di rekrut ke dalam skuad senior dan juga remaja.

 

Solskjaer turut menyambut baik perlantikan Murtough selaku DoF pertama United. Menurut beliau, Murtough merupakan seorang genius bolasepak yang bekerja di sebalik tabir. Tugas berat bakal dipikul Murtough untuk mengembalikan semula kegemilangan kelab, manakala penyokong pula mahu melihat progres yang bakal dilakukannya di Old Trafford sepanjang tempoh tiga tahun kontrak beliau.

 

Cabaran besar buat Murtough selepas ini bukan sekadar memenuhi ambisi penyokong yang mahu melihat kelibat Erling Haaland, Jadon Sancho atau Sergio Ramos musim depan, tetapi lebih kepada bagaimana beliau menggunakan `instinct’nya bagi merekrut pemain yang tepat dengan keperluan pasukan. Anda mungkin dambakan kelibat Edwin Van der Sar, tetapi United percaya bahawa Murtough adalah insividu yang tepat untuk tanggungjawab tersebut menerusi `eksperimen’ selama tiga tahun yang dilakukan kelab ke atas beliau.

 

Amat mengujakan untuk melihat maneuver kelab pada bursa perpindahan musim panas nanti kerana ia bakal menjadi ujian pertama kepada Murtough selaku DoF sulung di Old Trafford. Sentuhan beliau dalam struktur pembangunan menyaksikan United melakukan pendekatan yang lebih global menerusi kejayaan kelab mendapatkan `rising star’ seperti Facundo Pellistri, Amad Diallo, Hannibal Mejbri dan Alvaro Fernandez.

 

Melihat kepada `trend’ pembelian pemain yang dilakukan United dalam tempoh dua musim terakhir, anda mungkin sudah boleh meramal bahawa kelab tidak akan lagi menyasarkan pemain bertaraf `superstar’. Fokus utama sekarang lebih terarah kepada plan jangkamasa panjang dengan membina skuad berteraskan kekuatan pemain-pemain muda. Jadi kita mahu melihat langkah apa yang bakal dilakukan `The Fixer’ pada bulan Julai nanti kerana menurut beliau tumpuan utamanya adalah melakukan evolusi…bukan revolusi. Glory Glory Manchester United!!!