Ruud
Van Nistelrooy, salah seorang penggempur hebat yang pernah anda saksikan aksinya
di Old Trafford. Tiada keraguan bila anda bercakap tentang instinct dan
ketajaman penyudah beliau ketika berada di dalam kotak penalti lawan. Jadi
tidak hairanlah mengapa pada 2001, Fergie melakukan perjudian besar dengan
merekrut RVN dari PSV Eindhoven meskipun beliau baru pulih dari kecederaan
lutut. 150 gol dari 219 penampilan beliau untuk United, dan itu berlaku dari
2001 hingga 2006.
Ratio 0.7 gol bagi setiap perlawanan sepanjang lima musim menyarung jersi United
adalah angka yang sangat menakjubkan bagi seorang penyerang seperti beliau. RVN
antara contoh `baka poacher’ yang pernah mewarnai pentas bolasepak dunia suatu
ketika dahulu menerusi ketajaman dan reaksi beliau ketika berada di hadapan
gawang lawan serta sangat klinikal dalam menyempurnakan sebarang peluang dari
pelbagai sudut atau situasi. Ringkasnya, `poacher’ seperti beliau adalah mimpi
ngeri buat mana-mana penjaga gol lawan.
Jadi
tidak hairanlah juga dari begitu ramai penyerang-penyerang yang pernah beraksi
untuk United, nama RVN masih kuat melekat dalam ingatan penyokong-penyokong The
Red Devils dan kekal dirindui penampilannya hingga ke hari ini meskipun
sudah lebih sembilan tahun beliau bersara. Dan dari kalangan
penyerang-penyerang yang pernah beraksi untuk United juga, Paul Scholes memilih
RVN sebagai penyerang terbaik yang pernah beraksi bersama beliau.
Saya
pernah bermain sebagai `pemain nombor 10’ dengan Ruud untuk satu musim. Saya
betul-betul menyukainya. Dia seorang penjaring gol yang ganas, betul-betul
ganas. Agaknya dia memang hidup untuk menjaringkan gol”, kata Scholes kepada
UTD Podcast. Ketika perseteruan antara United dan Arsenal sedang memuncak
ketika itu, persaingan antara RVN dan Thierry Henry bagi membuktikan siapa
penggempur terbaik di Liga Perdana juga tidak dapat dielakkan.
“Setiap
kali Ruud berjaya menjaringkan gol atau tidak dalam satu-satu perlawanan,
perkara pertama yang dia akan lakukan ketika menaiki bas selepas tamat
perlawanan ialah bertanyakan sama ada Henry menjaringkan gol atau tidak. Jika
Henry menjaringkan gol, dia tidak akan bercakap dengan sesiapapun sepanjang
perjalanan pulang kerana motivasinya ialah dia ingin menjadi penjaring gol
terbanyak. Bukan hanya untuk United tetapi di liga dan di mana sahaja”.
Pada
musim 2002/03, RVN mengatasi Henry untuk muncul selaku penjaring terbanyak liga
menerusi 25 gol yang beliau ledak, satu gol mengatasi legenda Arsenal itu.
Menurut Scholes lagi, RVN merupakan penyerang terbaik yang pernah menjadi rakan
sepasukannya di United. “Saya suka dengan cara dia menyudahkan peluang. Di
United, saya pernah bermain dengan beberapa penyerang tengah. Ada Cole, Yorke, Sheringham,
Solskjaer, Van Persie dan banyak lagi. Tapi bagi saya Ruud adalah `finisher’
terbaik”.
Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan